Tuesday, July 31, 2007

Dia Yang Ku Panggil Bak - Bahagian 2

Sebelum 1976, adik-beradik saya empat orang saja - Kak Long, saya, JB dan OG. Perbezaan umur antara kami berempat berselang satu ke lima tahun. Semasa kami kecil dulu, Bak pernah mengajar sebuah lagu karangannya sendiri.

Lagu itu Bak beri judul ‘Lagu Semangat’. Kami selalu di suruh menyanyikan lagu itu, lebih-lebih lagi apabila berselisih faham sesama sendiri. Selagi belum bermaaf-maafan antara satu sama lain, Bak pastikan lagu itu diulang berkali-kali. Senikata lagu itu berbunyi begini. . .

Lina, Lela, JB, OG, empat beradik
Mesti berpakat baik-baik
Berbudi, jangan lokek

Apabila kami berempat meningkat remaja, adik-beradik bertambah dua orang lagi. Zio lahir 1976, Ayza lahir 1980. Perbezaan umur antara saya dan Zio 16 tahun, sementara dengan Ayza, 20 tahun. Dengan kehadiran mereka berdua ‘Lagu Semangat’ kami diubahsuai menjadi…

Lina, Lela, JB, OG, Zio, Ayza, enam beradik
Mesti berpakat baik-baik
Berbudi, jangan lokek

Kini kami tinggal lima beradik sahaja. JB (nama sebenarnya Mazby) meninggalkan kami pada 23 Febuari, 1984. Dia ketika itu berusia 20 ½ tahun, terlibat dalam kemalangan maut dengan sebuah lori.

Secara kebetulan tragedi sedih itu berlaku pada hari jadi saya dan tarikh itu kekal terpahat di batu nisan JB. Suratan takdir ini tidak pernah diduga menimpa kami. Pemergian JB satu kehilangan besar terutama buat Bak yang ibarat hilang tangan kanannya. JB yang menjadi harapan Bak membangunkan bisnesnya pergi lebih dulu.

Sebagai kenangan, saya bersetuju dengan permintaan Bak menamakan anak saya bersempena nama arwah JB. Itu sebabnya nama Alum panjang berderet macam gerabak kereta api - Mazby Zubir Khairul Nazri Bin Zainal.

Lima tahun selepas pemergian JB, Bak meninggal dunia. Mengikut wasiat Bak, saya ditugas mengambil alih teraju pengurusan syarikatnya. Bak memberi tanggungjawab kepada saya menjaga Mak dan dua orang adik saya, Zio dan Ayza.

Saya diamanahkan memastikan mereka bertiga mendapat pembiayaan sara hidup sewajarnya. Zio dan Ayza diaturkan persekolahan mereka sehingga mampu berdikari. Zio ketika itu di tingkatan satu. Ayza di tahun tiga sekolah rendah.

Demi kasih terhadap Bak, saya bulatkan hati menerima amanahnya walau pun hati tidak pasti sama ada dapat melaksanakan dengan sempurna. Apa pilihan lain yang ada di tangan saya?

Kalau bukan saya, siapa lagi akan mengurus syarikat Bak? Wajarkah saya bersikap seperti enau melepas pucuk sendiri? Saya tidak mampu menolak hasrat Bak sekali pun terasa berat beban yang perlu di galas di bahu ini.

Bak selalu berpesan supaya saya membaca semula suratnya bertarikh 7 Ogos,1984. Surat itu, Bak namakan SURAT WASIAT, diberinya kepada saya pada hari saya berangkat ke Amerika dulu. Begini isi kandungan surat itu…


7 Ogos, 1984.
Anakku Norlela,

Bak serahkan kau dan suami ke hadrat Allah SWT. Semoga kamu berdua senantiasa dikasihi serta mendapat petunjukNya. Semoga kamu mendapat bimbingan serta sentiasa di bawah perlindunganNya. Semoga kamu diinsafkanNya.

Semoga kamu dipanjangkan umur. Semoga kamu mendapat ilmuNya. Semoga kamu dilimpahkan kurniaNya. Semoga kamu mengingati Allah dan taat segala suruhanNya. Semoga kamu menghayati umur yang dipinjamkan.

Semoga kamu sejahtera dengan segala kurniaan Allah. Semoga kamu mengenali dirimu. Semoga kamu mengenali ibubapamu. Semoga kamu mengenali bangsamu. Semoga kamu menginsafi dirimu. Semoga kamu menginsafi dirimu. . .

Semoga dapat kamu bezakan antara darah dan air. Semoga dapat kamu bezakan antara suami dan kenalan. Semoga dapat kamu bezakan antara hati dan perasaan. Semoga dapat kamu bezakan antara putih dan berwarna.

Semoga dapat kamu bezakan antara kampong halaman dan perantauan. Semoga dapat kamu bezakan antara lelaki dan perempuan. Semoga dapat kamu bezakan antara kesopanan dan biadab. Semoga dapat kau bezakan antara ikhlas dan kepentingan. Semoga dapat kamu bezakan... Amin Ya Rabbul Alamin.

Anakku Norlela,

Bak katakan kamu punyai enam adik beradik. Bak katakan kamu semua berpakat baik-baik. Bak katakan kamu berbudi sesama adik-beradik. Bak katakan kamu anak yang baik. Bak katakan kamu anak bertanggungjawab. Bak katakan kamu anak berakhlak. Bak katakan kamu anak solehah. Bak katakan kamu anak berilmu.

Bak katakan kamu akan bertanggungjawab terhadap ibumu. Bak katakan kamu akan membimbing adik-adikmu. Bak katakan kamu akan jayakan perusahaan keluargamu. Bak katakan kamu anak yang adil. Bak katakan kamu anak yang tidak tamak. Bak katakan kamu anak yang tidak lokek.

Bak harapkan kamu tidak mengubah bintimu. Bak harapkan kamu tidak mengubah positif keturunanmu. Bak harapkan kamu tidak mengubah wasiat bapamu. Allah bersamamu. Kata-kataku bersamamu. Harapanku bersamamu.

Bak,
Zubir Haji Yusoff

Sunday, July 29, 2007

Dia Yang Ku Panggil Bak - Bahagian 1

Semasa kecil di Singapura, saya tinggal berjiran dengan keluarga orang Bawean. ‘Bak’ adalah panggilan untuk bapa bagi mereka. Mungkin kami adik-beradik terikut-ikut cara orang Bawean itu kerana kami juga memanggil ayah kami ‘Bak’.

Semasa muda ayah saya bekerja sebagai askar. Dia menjadi yatim piatu sejak berusia 11 tahun dan bersekolah Melayu setakat darjah 5. Bak mengambil peluang menyambung pelajaran semasa bertugas di Singapore Armed Forces (SAF). Semasa berhenti dari SAF, ayah saya berpangkat Pegawai Waran Kelas 2. Dia kemudian beralih angin ke JB dan menjadi Pengurus Tadbir di sebuah syarikat perkapalan.

Sejak muda Bak sudah biasa membuat dua kerja sebagai punca pendapatannya. Konsep multiple-stream-income menjadi amalan Bak. Semasa di Singapura dulu, siang hari Bak menjadi askar. Sebelah malam dia bertugas sebagai Book-Keeper di Singapore Polo Club.

Selain itu Bak giat berniaga secara kecil-kecilan. Bak berniaga kain-baju, pinggan–mangkuk dan mesin jahit letrik. Flet kecil kami di Toa Payoh bukan saja menjadi tempat tinggal, tapi bagaikan sebuah kilang mini. Di situlah kami sekeluarga membantu Bak mengusahakan produk dagangannya. Antaranya ialah kain potong…

Kain potong ialah kain yang sudah siap di potong sepanjang dua, tiga atau empat ela. Bak membelinya dalam buntilan-buntilan besar di Sungai Road, sebuah tempat membeli-belah secara borong yang terkenal di Singapura pada tahun 70an dulu. Kain-kain potong yang Bak beli masih baru tetapi sedikit berlapuk sebab lama tersimpan di gudang.

Saya dan Kak Long menolong Mak mencuci kain-kain potong itu. Di flet pada masa itu, kami menggunakan galah untuk menyidai pakaian - bergalah-galah kami menyidai kain-kain yang sudah dicuci. Apabila kering, kami menggosok, melipat dan memasukkannya dalam bungkusan plastik.

Stok kain-kain potong itu kami masukkan dalam kotak dan dibungkus dengan kertas minyak. Langkah seterusnya, Bak membuat iklan kecil di Utusan Malaysia atau Berita Harian. Ikan-iklan itu bertajuk ‘JUALAN MURAH – KAIN POTONG’.

Pada masa itu, kain baju Singapura menjadi tumpuan orang-orang di Malaysia kerana kualitinya baik dan harganya amat murah. Iklan-iklan Bak mendapat sambutan hangat. Selang beberapa hari iklan-iklan itu tersiar, kami mendapat pesanan. Semuanya datang melalui pos bersama money order.

Bak menyewa dua mail-box di Pejabat Pos Toa Payoh. Peti surat pertama diperuntukkan untuk saya dan JB. Yang kedua, untuk Kak Long dan OG. Kami empat beradik ditugaskan Bak memeriksa peti-surat itu setiap hari. Balik dari sekolah, berebut-rebutlah kami pergi ke Pejabat Pos Toa Payoh untuk memeriksa peti surat masing-masing. Siapa yang mendapat pesanan Bak berikan komisyen.

Kain-kain potong itu kami hantar kepada pelanggan melalui pos berdaftar. Itu termasuk dalam tugas kami adik-beradik. Apabila tiba bulan puasa, bertambah banyak pesanan untuk kain-kain potong yang masuk ke peti surat kami.

“Kita kaya!” Kami bersorak kegembiraan setiap kali mendapat pesanan tempahan kain potong itu.

Selain berniaga kain potong, Bak mengimport mesin jahit letrik (rupanya seperti mesin jahit SINGER) daripada Taiwan. Setiap kali barangan sampai dari pelabuhan, flet kami penuh dengan kotak-kotak berisi mesin letrik. Pada masa itu mesin letrik adalah produk baru dan belum sepopular sekarang.

Bak terima banyak permintaan dan menjual secara terus kepada pelanggannya di rumah-rumah mereka. Emak sayalah yang menjadi promoter dan mengajar para pembeli kami cara-cara mengoperasi mesin jahit berkenaan, membuat sulaman dan jahitan lubang butang.

Hampir setiap hujung minggu Bak dan Mak berulang-alik dari Singapura ke JB dan Melaka memasarkan mesin-mesin jahit itu. Apabila perniagaan sambilan itu bertambah maju, Bak membuat keputusan berhenti kerja makan gaji dan berniaga sepenuh masa.

Oleh kerana pelanggan Bak kebanyakannya daripada Melaka, Bak membuat keputusan berniaga di sana. Berpindahlah kami sekeluarga ke Melaka dan Bak membuka sebuah kedai menjual barang-barang letrik di Jalan Hang Tuah.

Namun entah kenapa sejak mula membuka kedai, bisnes Bak macam terbantut. Bak mengubah-suai produk dagangannya beberapa kali. Daripada mesin jahit, beralih menjual barang-barang letrik yang lain, menjual kaset dan katrij lagu, akhirnya kedai kami menjadi sebuah restoran. Malangnya masih bisnesnya tidak jalan. Keadaan itu berlarutan hampir dua tahun.

Memang pening kepala Bak tapi semangatnya tidak patah. Suatu hari Bak mengambil keputusan drastik menjual semua peralatan di restoran kami. Tiga bulan kemudian, Bak membuka sebuah bengkel besi di halaman rumah kami di Kampong Permatang Duyong.

Entah di mana Bak belajar mengimpal besi saya pun kurang pasti. Yang peliknya bisnes welding itu maju sejak awal lagi. Ada-ada saja orang datang buat tempahan bingkai tingkap, pintu, katil besi, perabut taman dan sebagainya. Setiap hari ayah saya berpakaian sut overall sibuk bekerja di bengkelnya.

Masa itu Bak belum mempunyai lori untuk mengangkut barang-barang. Bak meletak carrier di atas bumbung Mazdanya dan menjadikan ia seperti lori kecil. ‘Lori’ itu ke hulu ke hilir mengangkut tempahan ke rumah-rumah pelanggannya.

Di samping kimpalan, Bak membuat kerja kontrak am. Antaranya, membekal kereta tolak pungut sampah, memasang pembentung dan longkang serta membina jejantas di Kluang, Johor. Selain menggaji pekerja, adik-adik saya, JB dan OG membantu Bak. Tidak lama kemudian, Bak cuba mengusahakan industri membuat pagar rangkai Chainlink.

Dia membeli sebuah mesin terpakai yang beroperasi secara manual dan menghasilkan pagar rangkai Chainlink untuk bekalan kepada Jabatan Pertanian Melaka. Daripada pagar rangkai Chainlink, Bak menambah produk lain iaitu kawat duri.

Mungkin kerana rezekinya ada di bidang itu, perniagaan Bak terus berkembang. Bengkel kimpalan Bak bertukar wajah menjadi perusahaan alatan memagar. Impian besar ayah saya ialah memiliki sebuah kilang.

Impian itu Bak realisasikan dua tahun kemudian apabila bisnesnya semakin maju. Bak memindahkan operasinya ke sebuah kilang yang lebih sesuai di Kawasan Perindustrian Ayer Keroh.

Ayah saya satu-satunya pengilang Bumiputera pada tahun 1980an yang mengusahakan industri berbagai jenis alatan memagar seperti kawat duri, kawat rangkai chainlink, kawat concertina, kawat jaring ‘hexagonal’ dan paku. Industri itu dimonopoli orang-orang Cina tapi Bak mencubanya.

Donut

Pipinya gebu ketika kecil dulu. Anas, teman sekelasnya semasa di tahun satu menggelarkan dia Donut.

“Pipi kau ni macam donut. Tembam. Meh sini, aku nak gigit pipi montel kau. Nyam, nyam!”

Anas yang nakal mengetap giginya ke arah pipi Ayza yang menjeling, kemudian secepat kilat mencapai pembaris, terus terkedek-kedek mengejar Anas. Budak lelaki itu lari lintang-pukang menyelamatkan diri.

“Kau kata aku Donut? Kau ingat aku ni kuih? Kau tu buah nenas. Anas, buah nenas! Nenas! Nenas! Nenas!” Ayza mencekak pinggang. Lidahnya dijelir-jelir ke arah Anas.

Memang lucu bila terkenangkan kisah lama bagaimana gelaran Donut mula melekat pada diri Ayza, adik bungsu saya. Dulu memang dia marah berapi-api apabila dipanggil Donut tapi kini tidak lagi. Dalam keluarga kami, hanya saya yang kekal memanggilnya dengan gelaran itu.

Jarak umur antara saya dan Ayza berbeza 20 tahun. Ketika dia dilahirkan, saya sudah berada di semester 5 di UiTM. Kebetulan Mak melahirkan dia semasa cuti semester bermula dan saya sempat menjaga Mak dalam pantang.

Sebagai anak bungsu, Ayza paling manja dalam keluarga kami. Dia disayangi dan dilayan macam Sang Puteri. Donut kami ini pandai menyanyi ketika kecil dulu. Saya masih ingat suaranya yang serak-serak basah ala-ala Donald Duck, menyanyikan lagu kesukaannya di taman bunga Mak…

Tepi gunung, air terjun
Ramai orang, bermain
Tempat tinggal, tukang kebun
Yang anaknya, Mahani

Ketika Ayza masih kecil, hubungan dia dengan saya rapat sekali. Saya selalu memanjakan dia dengan membawanya round-round naik kereta ke bandar Melaka pada hujung minggu. Saya tahu dia amat sayangkan saya. Ketika Ayza berusia 4 tahun, saya mendirikan rumah tangga. Sebulan selepas itu saya dan suami berangkat ke luar negara melanjutkan pelajaran kami.

Mungkin kerana lama berjauhan dengannya, Donut kemudian renggang sedikit dengan saya. Lebih-lebih lagi setelah melahirkan Alum, saya memberi tumpuan kepada anak sendiri. Namun jarak usia yang berselang 5 tahun menjadikan Ayza dan Alum bagaikan kakak dengan adik. Kini Ayza sudah berumah tangga dan dialah ibu Etuy. Saya masih suka memanggilnya ‘Don’ atau ‘Nut’ - singkatan bagi Donut.

Friday, July 27, 2007

Fantasi Etuy


Etuy berusia 3 tahun setengah. Dia budak lelaki. Gambar di sebelah kiri, sengaja dipakaikan tudung oleh ibunya kerana dia suka berposing di depan kamera.




"Ini siapa?" saya bertanya sambil menunjuk pada gambar di kiri.

"Ini Etuy," jawab anak comel itu yang sedang sibuk bermain 'araba (kereta) mainan.

"Bukanlah, ini kan perempuan?" saya menyakatnya.

"Okan, ini Etuy," jawabnya lagi. (Okan = bukan).

"Mana boleh, ini babane lah," saya terus menyakatnya.

Babane
adalah panggilan untuk neneknya di Turki.

"Ana, anok tatap," Etuy memberi amaran kepada saya. (Translated - Mak Ngah, shut up!).

Saya masih belum puas menyakat. "Habis tu, mana babane?" tanya saya.

"Babane syini," Etuy menunjuk kepada talipon di sebelah TV.

"Babane ada dalam tu?" tanya saya lagi. Etuy mengangguk.

Saya ketawa sampai meleleh air mata. Nenek dia selalu menelefon lalu disangka duduk di situ!

Nafisah Radin

Pada tahun 2006 beliau dinobatkan sebagai Woman Entrepreneur Of The Year oleh firma Ernst & Young. Sebelum itu pada tahun 2004 beliau memenangi anugerah Most Innovative Woman Entrepreneur bagi kategori perkhidmatan profesional daripada NAWEM. Nafisah Radin, arkitek dan pemilik tunggal dua buah firma, NR Architect dan NR Interior Design. Ikuti kisahnya nanti.

Thursday, July 26, 2007

Siapa yang lebih baik?

Assalamualaikum. Cerita ini saya adaptasi daripada satu kisah dalam buku Pak Hamka bertajuk 'Lembaga Budi'. Pada suatu hari Pak Hamka ditanya oleh seorang pelajar, yang mana lebih baik antara 2 insan berikut

a). Seorang tua yang tidak pernah tinggal solat tetapi zalim
b). Seorang doktor yang sangat baik tetapi jarang-jarang solat

Lelaki tua yang alim itu sentiasa solat di awal waktu. Dia rajin beribadah, namun agak pembaran orangnya. Dia pantang sekali melihat orang-orang yang malas solat. Pasti disergah dan dimakinya dengan kasar.

Doktor yang baik hati itu duduk berjiran dengan lelaki alim tersebut. Di kliniknya, doktor itu melayan semua pesakitnya dengan penuh hormat dan prihatin. Malah pesakit-pesakit yang miskin tidak pernah dikenakan bayaran. Doktor itu sangat menyayangi binatang dan ada memelihara seekor anjing.

Pada suatu hari, anjing doktor itu telah memasuki rumah jirannya. Lelaki alim itu teramat marah, lalu dilemparnya anjing itu dengan kayu. Kaki binatang itu patah dan berlumuran darah. Terhinjut-hinjut anjing itu berlari pulang ke rumahnya.

Melihat anjingnya cedera parah, doktor itu terus memeluknya. Diusap-usap anjing itu, lalu segera dirawat kakinya yang luka.

Lalu bertanya pelajar tersebut kepada Pak Hamka, "Tidakkah solat itu menjadikan orang lebih baik? Mengapa lelaki tua yang rajin solat itu amat kejam hatinya?"

Pak Hamka menjawab, "Ya, solat semestinya menjadikan seseorang itu lebih baik. Lelaki tua itu seandainya dia tidak solat, hatinya akan lebih kejam dan jahat. Sementara doktor itu pula, seandainya dia rajin solat, dia pasti akan menjadi insan yang lebih baik."


Wednesday, July 25, 2007

Mercedes Mata Belalang

Tengahari tadi Zainal ke pejabat Datuk Lim. Saudagar Cina itu yang menjemputnya datang. Beliau meminta Zainal membuat sebutharga bagi beberapa kerja pembinaan di kilangnya. Kilang Datuk Lim adalah antara yang terbesar di Kawasan Perindustrian Krubong, Melaka.

"En. Zainal tolong beri saya harga baik-baik punya. Saya suka bekerja dengan orang yang gentleman. Siap kerja nanti, saya bayar tunai," kata Datuk Lim.

Setelah berjanji akan memberi sebutharga pada esok hari, Zainal memohon diri untuk pulang. Ketika hendak beredar, Zainal terserempak dengan sebuah mercedes mata belalang model baru yang meluncur dan berhenti tepat di hadapan pintu masuk ke pejabat Datuk Lim.

Pemandu mercedes itu seorang lelaki Melayu. Sebaik kereta itu berhenti, turunlah sepasang lelaki dan wanita tua. Yang lelaki berambut putih bagaikan bunga lalang, memakai singlet tanpa lengan dan berseluar pendek. Yang perempuan, juga berambut putih bagaikan bunga lalang, memakai T-shirt dan sepasang seluar warna biru muda.

Sebaik saja terpandang Zainal, si lelaki tua terus menyapa, "Lu cali siapa?"

Dipendekkan cerita mereka berdua adalah ibu dan bapa Datuk Lim. Meski pun sudah lanjut usia, masih lagi terlibat dalam pengurusan bisnes keluarga mereka.

Neeta Gosalia

Pada kebiasaannya orang berketurunan India berambut lebat, tapi tidak begitu bagi Neeta Gosalia. Beliau menghadapi masaalah rambut gugur yang serius ketika baru berusia 17 tahun. Waktu itu sekitar tahun 1984, Neeta yang bekerja di kedai tekstil ayahnya berasa rendah diri apabila berhadapan dengan pihak pelanggan yang sering bertanya tentang rambutnya.

Dia berusaha berubat dengan berbagai cara. Hampir semua jenis produk rambut yang terdapat di pasaran dicubanya tanpa berkira soal harga. Namun masaalah rambutnya masih tidak dapat di atasi. Beliau akhirnya bertemu penawar rambut gugur dan mengasaskan Neeta Herbals Sdn. Bhd.

Tuesday, July 24, 2007

Hatiku rindu...

Anak saya, Mazby Zubir Khairul Nazri Bin Zainal, baru beberapa hari balik ke UTP di Tronoh, Perak. Semester lepas dia menjalani internship program di projek pembinaan penjara baru di Bentong, Pahang. Oleh sebab itu hampir setiap hujung minggu dia berkesempatan balik ke rumah. Kini semester baru sudah bermula.

Tanpa dia, rumah kami ini kembali sunyi. Melihat bilik anak teruna saya yang kosong dan sepi, hati saya terusik dibuai kenangan di hujung-hujung minggu bersamanya. Timbul rasa kesal di hati saya kerana selalu merungutkan biliknya yang bersepah macam tongkang pecah dan hingar-bingar dengan bunyi gitar. Kini semuanya tiada lagi.

Biliknya yang tidak berpenghuni itu kini kemas teratur. Gitar tong dan gitar lektriknya tersandar kaku di satu sudut. Semuanya membuat hati saya dihimpit perasaan kesunyian dan kehilangan.

Saya melahirkan Khairul di Murphysboro, Illinois, 22 tahun yang lalu. Dia anak tunggal kami. Dan mempunyai anak tunggal adalah satu cabaran besar bagi saya, terutama sekali bila dia sudah dewasa dan mula meninggalkan rumah. Setiap kali Khairul habis bercuti hujung semester, saya akan dirundung perasaan kehilangan. Saya akan dibuai kerinduan yang bukan dibuat-buat.

Sudah bertahun-tahun saya mengalami keadaan ini. Malah sejak Khairul masuk ke sekolah berasrama penuh di tingkatan satu dahulu. Masa itu hampir tiga bulan saya bagaikan orang bingung. Asyik berendam air mata bagaikan Neng Yatimah. Jenuh suami saya, Zainal, menghiburkan hati saya yang berduka-lara. Lama-kelamaan saya jadi lali.

Kata orang alah bisa tegal biasa. Mujurlah saya tidak menjadi buta macam Kassim Selamat (maksud saya KS yang original – bukan KS, Si Matahati Puan Sifu kita itu). Walau pun saya berjiwa sentimental, Khairul tidak menurunkan langsung tabiat ini. Malah dia contrast dengan saya. Bukankah orang sentimental itu jenis yang jiwang-jiwang? Macam saya ini, jiwa saya agak sensitif.

Apabila tiba Hari Ibu misalnya, beria-ia benar saya mengharapkan kad ucapan daripada anak tunggal saya. Malah bukan kad saja, kalau boleh saya inginkan bunga ros, cokelat, panggilan telefon dan yang seumpamanya. Macam yang diterima ibu-ibu lain. Tapi anak saya, Si Khairul itu jenis mahluk Allah yang tidak ambil kisah sangat dengan sambutan Hari Ibu. Biasanya dia beri alasan begini…

“Apasal Mak kecoh-kecoh sangat. Anak dah kata, Anak ni memang sayangkan Mak. Tak payahlah tunggu Hari Ibu baru nak cakap.”

Saya tahu Khairul bercakap benar tapi hati saya tetap merasa tidak puas selagi tidak mendapat kad ucapannya. Semasa di tingkatan dua dahulu, dia telah memberi saya sekeping kad ucapan pada Hari Ibu. Punyalah kembang berbunga-bunga hati saya ini, ibarat bulan jatuh ke riba. Saya seronok sangat.

Kad itu cantik, simple dan hand made, bertulis, ‘Happy Mothers’ Day To U, Mom! I Luv U!’ Sayangnya kad itu tiada bertandatangan. Saya bertanya kepada Khairul mengapa dia tidak turunkan tandatangannya di kad ucapannya itu.

“Anak kena sainlah. Kalau tak ada tandatangan, tak lengkaplah kad Anak ni,” komplen saya beria-ia.

Anda nak tahu apa reaksi Si Khairul selanjutnya?

Dia jawab, “Mak, I want to ask you something. So far, you dah beranak berapa kali? Who else on this planet would call you MOM?”

Hah, itu dia, terkedu saya dibuatnya. Tapi bila difikirkan balik ada benarnya kata-kata Khairul itu. Kenapa saya tak menghargai kad pemberiannya itu sebaliknya menimbulkan hal titik-bengik pula?

Kadang-kadang cakap anak-anak boleh mendorong kita untuk merenung diri sendiri. Inilah padahnya kalau para ibu (sayalah tu!) suka bersikap cerewet tak tentu pasal.

Caroline Russell

Caroline Russell ialah CEO Boh Plantations Sdn. Bhd. Beliau mewarisi syarikat pengeluar teh terkemuka itu daripada ayahnya, Tristan Beauchamp Russell. Sejarah teh Boh di negara ini bermula apabila datuk Caroline, John Archibald Russell, memulakan penanaman teh di Cameron Highlands pada tahun 1929.

Caroline dan keluarganya memiliki ladang teh seluas 1,200 hektar di tanah tinggi itu. Bagaimanakah keluarga Russell yang berasal dari Scotland menjadi pengeluar teh terkemuka di Malaysia? Dapatkan maklumatnya dalam buku 'Kisah 50 Usahawan Wanita'.

Sunday, July 22, 2007

penulis, selebriti dan JUTAWAN akhirnya

Entri hujung minggu Puan Sifu mengenai penulis selebriti naik mahkamah dan respon gentelman Prof Muhd Kamil diikuti komen-komen yang masuk, amat menarik untuk di abadikan di sini.

Walau apa pun yang bicarakan, yang pastinya setiap insan penulis itu tentu pernah terlintas di mindanya akan perjalanan wawasannya... bermula sebagai penulis, naik taraf sedikit sebagai selebriti yang akhirnya menjejaki tahap jutawan! InsyaAllah.

Tentunya berita gembira yang menunggu: Kisah 50 Usahawan Wanita... adalah kisah 50 Jutawan Malaysia!

Saturday, July 21, 2007

Berjimat Cermat Dalam Bisnes

Orang yang terlalu berkira dalam soal duit digelar 'si tahi hidung masin'. Yang terlalu kedekut pula dipanggil 'sitangkai jering'. Namun dalam bisnes amat perlu kita berkira dalam hal-ehwal kewangan.

Arwah bapa saya pernah berpesan begini, "Ibarat orang menuang air ke dalam cawan, sampai air itu melimpah ke piring. Air yang tumpah ke piring itulah yang kau boleh minum. Yang ada dalam cawan itu jangan kau usik."

"Sebab?" tanya saya perlahan.

"Air yang dalam cawan itu ibarat 'modal'. Air yang tumpah ke piring itu 'untungnya'. Kalau modal itu pun kau habiskan, apa yang tinggal nanti?" jawab ayah saya sambil menjegilkan matanya.

Orang tua itu kalau bercakap soal duit, moodnya pasti serius.

"Ini kes THM alias TK (tahi hidung masin alias tangkai jering)," bisik saya kepada Zainal yang sedang duduk menaip di depan PC. Kami menahan ketawa.

Baru-baru ini ketika bertemu Puan Faiza Bawumi (tauke beras Faiza) di Batu Pahat, beliau bercerita tentang Munah (nama samaran) iaitu seorang stafnya yang cuba hendak berniaga untuk mencari wang tambahan. Si Munah membuat biskut yang dijualnya dengan harga 20 sen sekeping.

Modal untuk Munah membeli tepung, gula dan telor didahulukan oleh Puan Faiza. Beliau memberi Munah peluang membeli barang di pasar mininya secara kredit. Selang beberapa bulan, Si Munah tidak mahu lagi berniaga biskut. Dia memberitahu Puan Faiza yang dia mahu berhenti berniaga kerana bisnesnya rugi.

"Macam mana boleh rugi?" tanya Puan Faiza.

"Saya buat biskut macam biasa, tapi tidak untung. Modal harian saya RM10, jualan dapat RM7 sahaja. Daripada rugi setiap hari, lebih baik saya berhenti berniaga," jawab Munah sambil menunjukkan wang jualan hari itu yang tersimpan dalam kotak plastik.

"Tadi semasa saya datang ke sini, kawan awak datang dan awak sajikan biskut itu 10 keping. Dia makan sekeping saja. Apabila dia hendak pulang, awak bekalkan baki biskut 9 keping dalam piring itu dan awak tambah 5 lagi. Ada awak bayar harga biskut-biskut itu? Semuanya 15 keping, jadi RM3," kata Puan Faiza.

Munah menggeleng.

"Cuba awak ingat balik, anak awak makan berapa keping hari ini?" tanya Puan Faiza lagi.

"Anak saya 6 orang, seorang makan 2 keping. Saya dan suami makan sekeping seorang. Anak-anak jiran saya tadi ada 3 orang dan mereka makan 2 keping seorang. Semuanya 20 keping," jawab Munah.

"Itu sama juga dengan RM4. Awak ada bayar harga kuih-kuih itu?" tanya Puan Faiza.

Munah menggeleng.

"Sebenarnya jualan awak bukan RM7 tapi RM14. Modal awak RM10. Jadi awak ada untung RM4. Malangnya awak siang-siang lagi sudah makan untung awak itu," Puan Faiza menerangkan.

"Kalau hendak berniaga, 1 sen pun kita kena kira, Munah. Barulah tahu untung dan rugi. Lain kali kalau awak hendak makan biskut sendiri pun, kenalah bayar. Keluarkan duit daripada poket awak dan masukkan dalam kotak plastik itu, " Puan Faiza mengakhiri ceritanya.

Sambil mendengar celoteh Puan Faiza yang saya panggil 'Ummi' itu, saya terkenang arwah ayah yang sudah lebih 18 tahun meninggal dunia. Orang bisnes, sejak dahulu hingga sekarang, prinsip mereka tetap serupa.

Apabila memikirkan syarikat beliau telah dan sedang menaja program 'Bersamamu' di TV3 yang memakan belanja entah berapa juta RM sejak beberapa tahun yang lalu hingga kini, mana mungkin orang yang berkira soal duit seperti Puan Faiza Bawumi itu layak digelar 'si tahi hidung masin' atau 'si tangkai jering'.

Friday, July 20, 2007

Sepetang di dusun rambutan

Di sini saya sertakan gambar-gambar dua permata hati saya. Yang besar itu anak tunggal saya. Masih menuntut di UTP, di tahun akhir. Yang kecil itu sepupunya yang buat masa ini juga anak tunggal. Ibunya adik bungsu saya, bapanya berasal dari Denizli, Turki. Kedua-dua permata hati saya ini memiliki nama yang panjang tetapi lebih popular dengan nama pendek masing-masing.















Di kiri, Mazby Zubir Khairul Nazri Bin Zainal (Alum).
Di kanan, Mukhlis Ertugrul Gazi Gursoy (Etuy).

Sujud Terakhir

Assalamualaikum.

Gambar di sebelah bertajuk Beautiful Ending dikirim seorang teman. Menurut cerita si pengirim gambar, lelaki yang sedang bersujud itu meninggal dunia ketika bersolat di Masjid Nabawi.

Thursday, July 19, 2007

Skil Menjual Diri

"Katakan hari ini saya serahkan bisnes saya kepada tuan untuk mengurusnya. Saya beri tuan gaji RM50,000 sebulan. Bagaimana? Tuan mahu terima?" tanya Datuk Maznah Hamid yang digelar The Iron Lady itu.

Saya mengangkat kening dua kali kepada En. Roslan Isa, editor PTSPro yang menemani saya menemuramah beliau di pejabat Securiforce akhir bulan lalu. En. Roslan yang murah senyuman itu bertambah lebar tersenyum apabila saya membesar-besarkan mata kepadanya.

"Soalnya di sini bukanlah sama ada tuan mahu atau tidak, tapi adakah tuan mempunyai skil yang mencukupi untuk menggalas tanggung-jawab berat itu. Hendak mengurus bisnes saya tuan perlu berani. Hari-hari di sini macam hendak pergi perang. Kami uruskan duit orang berjuta-juta, melibatkan senjata api, berdepan dengan kumpulan gengster dan macam-macam lagi," kata Datuk Maznah. "Ada kalanya pelanggan menalipon jam 2:00 atau 3:00 pagi, minta tolong tenangkan hatinya sebab dia tidak boleh tidur," cerita beliau lagi.

Untuk menceburi bisnes, kata Datuk Maznah, seseorang itu perlu memiliki banyak skil. Yang beliau maksudkan di sini ialah kemahiran 'soft skills'. Antara yang terpenting ialah skil menjual diri dan skil memujuk (selling skills and skills of persuasion).

"Kalau tuan tiada skil menjual diri yang bagus, janganlah terus hendak buat bisnes. Nanti tuan susah. Prinsip saya ialah kita boleh menjual apa saja, kepada sesiapa saja, di mana-mana pun, dengan harga apa pun sekiranya kita boleh menjual diri kita dahulu," katanya lagi.

Tamat sesi temuramah bersama Datuk Maznah petang itu, kedua belah cuping telinga saya bagaikan keluar asap berkepul-kepul! Ini kerana semangat sudah terbakar dan membara!!! Di sebelah ini ialah gambar beliau bersama anaknya, Reza. Jumpa lagi!

Tuesday, July 17, 2007

Selamat Hari Jadi

Assalamualaikum. Pada petang Khamis minggu lalu saya ke pejabat Nouvelle Visages untuk menemuramah bos syarikat itu, Pn Sosilawati Lawiya.

Orangnya amat merendah diri walau pun ternyata beliau sangat berjaya sebagai usahawan. Selesai sesi temuramah, suaminya, Nash, muncul di muka pintu pejabatnya dan beliau menjemput saya naik ke tingkat 3. "Ada makan-makan sikit, jemputlah. Janganlah balik dulu," pintanya beria-ia. Pn Wati hanya tersenyum meleret-leret.

Rupa-rupanya Nash dan staf-staf NV mengadakan majlis hari jadi 'surprise' untuk Pn Wati. Pada hari itu beliau berusia 44 tahun, namun dirinya masih cun dan menawan. Gambar di sebelah diambil setelah Nash selesai membaca doa selamat. Ketika duduk menjamu selera bersama pasangan romantik itu, Nash begitu ramah berbual. "Janganlah segan puan," katanya berkali-kali.

Dalam hati saya terasa hendak suruh dia menyanyi lagu 'Pada Syurga Di Wajahmu' tapi lidah saya terasa kelu pula. Untuk mengetahui bagaimana kisah Pn Sosilawati membangunkan bisnes beliau, bacalah buku baru saya nanti ya. Kata Pn Wati, dia sebenarnya 'terjerumus dalam bisnes' kerana desakan hidup... Jumpa lagi!

Topik-topik 'taboo' dalam buku bBKb

Assalamualaikum.

Dalam buku 'Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya' anda dapat membaca banyak topik tentang perkara-perkara yang dianggap 'taboo' atau 'pantang' dalam bisnes keluarga untuk dibincang secara terbuka.

Bagi sesetengah orang, topik-topik 'taboo' itu dianggap mengaibkan diri sendiri apabila didedahkan. Namun saya mendapat banyak maklum-balas yang positif daripada para pembaca yang merasakan buku itu meluahkan rasa hati mereka. Buku itu ibarat jurucakap bagi mereka yang hendak menegur tapi takut menyinggung perasaan.

Walau apa pun, tepuk dada tanyalah selera sendiri. Jika sesuai bagi anda, ambillah. Jika tidak bersetuju, tidak usah ikut. Yang baik jadikan teladan. Yang sebaliknya, buat iktibar.

Kisah Graduan Mohon Kerja

Assalamualaikum. Ketika saya menemuramah Puan Faiza Bawumi (tauke beras Faiza) di Batu Pahat 2 minggu lalu, beliau berkongsi kisah seorang graduan yang datang memohon kerja di syarikatnya. Puan Faiza menawarkan graduan itu kerja mempeket rempah serbuk. Seperti yang diduganya tawaran itu terus ditolak. Alasan diberi ialah beliau memiliki ijazah, mana mungkin mahukan kerja mempeket rempah.

Sebenarnya bisnes Puan Faiza yang berjaya hari ini bermula dengan membuat dan mempeket rempah. Selain rempah, beliau juga mempeket asam kecut, gula-gula dan belon untuk dijual di kedai runcit miliknya yang dibuka di rumah. Waktu itu rempah Puan Faiza dikenali sebagai 'rempah tok kadi' dan sangat popular di pasar daerahnya. Mengapakah rempah itu dipanggil sedemikian? Bacalah kisah Puan Faiza sepenuhnya di buku 'Kisah 50 Usahawan Wanita' yang bakal terbit.

Monday, July 16, 2007

kisah 50 USAHAWAN WANITA Malaysia

Buku baru saya bertajuk 'Kisah 50 Usahawan Wanita Malaysia' bakal terbit dalam bulan September ini. Atas inisiatif PTSPro, promosi untuk buku itu, insyaAllah, akan dibuat dalam majalah Dewan Ekonomi keluaran bulan September.

Mengambil sempena sambutan 50 tahun merdeka, majalah Dewan Ekonomi merancang untuk menerbitkan sebuah rencana dengan tajuk yang sama. Saya telah diminta menyediakan profil 50 usahawan itu untuk Dewan Ekonomi, hanya satu perenggan pendek bagi setiap orang.

Menurut Cik Rozita dan En. Roslan, majalah itu dijangka berada di pasaran pada awal bulan September, sementara buku saya pula dijangka menyusul dalam tempoh lebih kurang 2 minggu selepas itu. Kepada En. Nazrul, Cik Rozita dan En. Roslan - terima kasih banyak di atas segala usaha dan bantuan tuan-tuan. Semoga buku itu mendapat sambutan.

Sunday, July 15, 2007

1 Rejab 1428 / 15 Julai 2007

Dengan lafaz yang mulia, Bismillah hirrahman nirrahim...

Saya merakamkan kesyukuran kepada Allah di atas kelahiran blog ini bersempena ketibaan 1 Rejab 1428 (10.30 malam, 15 Julai 2007).

Kewujudannya bagi membongkar senario dan cabaran-cabaran dalam pengendalian bisnes kecil dan sederhana.

Kehadiran anda semua adalah inspirasi penting buat saya untuk kita sama-sama dapat berdiskusi. Salam perkenalan.