Monday, October 29, 2007

Solat Jumaat

Jumaat minggu lalu saya dan Zainal ke Ipoh lagi. Tujuan kami ke sana ada 3. Pertama untuk meninjau status kontrak kerja kami di MAB, kedua untuk menghantar tuntutan No. 1 dan ketiga untuk menyampaikan sedikit sumbangan yang diminta Kelab Sukan MAB bagi meraikan sambutan Hari Raya dan Hari Keluarga.

Sebelum masuk waktu zohor, kami susur keluar daripada lebuhraya untuk singgah di Behrang 2020. Sementara menunggu Zainal bersolat Jumaat di masjid, saya melangkah masuk ke sebuah kafe siber yang terletak di seberang jalan. Agak janggal juga rasanya apabila orang sebaya saya memasuki sebuah kafe siber yang agak penuh dengan anak-anak muda seusia anak bujang saya.

Sambil menunggu giliran, saya duduk di sebuah kerusi dan bertanya kepada beberapa orang anak gadis yang sedang berkumpul di kaunter. Saya fikir mereka itu daripada UPSI Tanjung Malim. Rupa-rupanya saya tersilap. Berdekatan tempat itu terletak Politeknik Sultan Azlan Shah dan mereka adalah pelajar-pelajar institusi itu.

Walau pun suara azan sudah berkumandang, sekurang-kurangnya 6 orang anak muda masih leka bermain di komputer. Suara mereka terjerit-jerit. Ada yang ketawa kesukaan sementara yang lain menyumpah dengan kata-kata jelek. Saat itu terasa mulut saya hendak menegur mereka : Anak-anak ini tidak dengarkah azan? Cepatlah pergi ke masjid, solat jumaat sudah hendak mula, nanti kamu dapat pahala sebesar telur ayam.

Bagaikan mendengar suara hati saya itu, 2 orang daripada mereka bergegas keluar lalu menghidupkan enjin motorsikal dan memecut ke arah masjid di seberang jalan. Yang 4 orang lagi masih leka bermain di depan PC sambil terpekik-pekik dan ketawa berdekah-dekah. Adus... sakitnya mata saya melihat telatah mereka.

Pada hemat saya, anak-anak muda itu dalam lingkungan usia awal 20an. Mengikut hukum akal, selang beberapa tahun saja lagi mereka semua akan berkahwin dan kemudian menjadi bapa. Melihatkan tabiat mereka yang lalai, terasa kecut hati saya. Beginilah rupa calon-calon yang bakal menjadi peneraju, pembimbing dan ketua dalam keluarga orang Melayu/Islam. Ketika saya meninggalkan kafe siber itu, 4 anak muda yang saya ceritakan masih lagi terkinja-kinja di kerusi sambil menghadap PC.

Kami meneruskan perjalanan dan sampai di MAB Ipoh jam 3:00 petang. Nordin Buang, ketua pekerja kami kelihatan girang menunjukkan kemajuan kerja di tapak. Agenda seterusnya ialah berjumpa dengan jurutera MAB dan sejam kemudian selesailah urusan bersama mereka.

Di ruang parkir kereta, para pekerja MAB sedang sibuk menaikkan beberapa buah khemah untuk persiapan majlis Hari Raya dan Hari Keluarga yang akan berlangsung keesokkan harinya. Kami turut dijemput menghadiri majlis itu. Bagaimanapun Nordin dan para pekerja kami yang mewakili kami.

Lewat petang itu sambil menikmati hidangan, Zainal menelefon Alum di UTP. Katanya dia dan Nizam (rakan sebilik) sedang bersiap-siap hendak ke Lumut untuk satu majlis meraikan 'batch 2003' yang bakal 'graduate' hujung tahun ini dan semester depan (Mei 2008).

"Anak kan jadi artis malam ni, kena datang awal sikitlah Mak," kata Alum.

Saya mengacahnya bahawa kami akan singgah di Lumut untuk menyaksikan dia dan kumpulannya membuat persembahan malam itu.

"Jangan le Mak, Anak malulah nanti," jawab Alum.

Saya menahan gelak sambil berpesan, "Jangan lupa solat. Jadi artis pun kena solat. Jangan lupa baca Bismillah. Bawa kereta hati-hati. Jangan lupa diri ya."

"Ai, ai, mem!!!" jawab Alum mengakhiri perbualan kami.

Zainal menjongketkan keningnya 2 kali. "Masbuk habis anak kita ya," katanya.

"Haah. Bukan main lagi dia. Tak apakah kita biarkan, Bang?" tanya saya.

Zainal tersengih. "InsyaAllah, doakan dia selalu. Kita dulu pun pernah muda, kan???"

Thursday, October 25, 2007

Kisah Usahawan Kecil : 2

Sambil kami makan nasi lemak pagi tadi, Dee bercerita suatu kisah bagaimana hatinya terbuka untuk menceburi bisnes membuat kek. Begini kisahnya...

Pada satu hari Dee merayau-rayau di bandar Melaka dengan Kelisanya. Fikirannya bingung, asyik memikirkan bisnes apa yang mahu dia ceburi. Sudah banyak kursus dihadiri tapi perasaan 'belum bersedia' masih tebal bersarang di hatinya.

Dalam dia merayau-rayau itu, tiba-tiba perut Dee terasa lapar. Ketika melalui jambatan Cathay, Dee teringat sebuah warung kecil di bawah jambatan itu dan dia pun singgah. Di sebuah meja panjang, seorang wanita warga emas berpakaian sempoi sedang minum teh. Dee duduk di sebelahnya. Sambil makan, Dee berbual dengan wanita tua itu.

Kata Makcik itu dia baru balik dari Pejabat Kebajikan, mengambil duit bantuan. Setiap bulan, apabila mendapat duit bantuan RM60 itu, dia akan belikan kain batik beberapa helai di gerai-gerai Kg. Jawa. Kain-kain batik itu kemudian dijual semula kepada orang-orang kampungnya. Melalui jualan kain batik itu, dapatlah Makcik tersebut membuat keuntungan beberapa belas ringgit.

Selain kain batik, Makcik itu juga berniaga telur ayam. Dia menawarkan telur-telur di dalam raganya kepada Dee. Selain telur, Makcik itu juga menjual keropok ikan. Bekalan keropok ikan diperolehi melalui anaknya yang menjadi pemandu bas ekspres yang berulang-alik dari Melaka ke Kelantan.

Secara purata, Makcik itu menjana pendapatan beberapa ratus RM sebulan melalui bisnes kecil-kecilannya. Katanya dia tidak perlukan bantuan kewangan daripada anaknya kerana berupaya menampung sara hidup sendiri.

Sejak pertemuan dengan Makcik tua itu, Dee mencermin dirinya : Aku ini dengan kelulusan MBA, dengan pengalaman menjadi manager bank bertahun-tahun, dengan kursus bermacam jenis, tapi... satu bisnes pun tak jadi lagi??? Baik aku buang atau bakar saja ijazah MBA itu!!!

Sambung Dee lagi dalam cermin dirinya : Makcik tua yang tidak tahu membaca, tidak tahu Bahasa Inggeris, lagi kan boleh berdikari, ada 'guts' dan boleh buat bisnes!!! Alahai, aku ini apa hal??? Ego??? Ya, aku ada ego yang terlalu besar. Konon aku pandai, banyak ilmu, tapi.... sebenarnya... banyak waswas, tidak yakin diri, dan NO ACTION!!! Malunya aku!!!

Hari itu Dee membuat tekad baru untuk berpegang kepada cogankata Nike : Just Do it! Dan esoknya dia memulakan langkah pertamanya meneroka bisnes membuat kek. Peristiwa tersebut berlaku 2 tahun yang lalu. Demikianlah kisah yang dikongsi Dee untuk iktibar kita bersama.

Wednesday, October 24, 2007

Kisah Usahawan Kecil : 1

Pagi semalam saya menerima sms daripada Dee. Mesejnya ringkas : Need 2 c u. Where r u? Urgent.

Waktu itu saya baru saja sampai ke pejabat dan saya menjawab : Datang ke sini, boleh?

Dee membalas sms, meminta saya bertemunya di Bukit Katil tetapi saya tidak dapat pergi ke sana kerana tiada kenderaan. MF24 tinggal di rumah. Terrano pula di tangan Zainal. Saya tahu Dee kecewa apabila dia menjawab : Tak apalah.

Hati saya tertanya-tanya apa halnya dengan Dee. Selepas solat zohor saya telefon dia. Suara Dee sebak di hujung talian dan dia tidak mahu bercakap lama. Katanya : I'm in good hands now. I'll call you later.

Pagi tadi Dee telefon saya lagi, mengajak keluar untuk sarapan pagi. Saya bertanya : Apa kena semalam?

Dee menarik nafas, lalu menjawab : Kecewa...

Menurut Dee, semalam dia duduk menangis di dalam kereta selama beberapa jam di parkir kereta King's Hotel. Setelah perasaannya reda, barulah dia balik ke rumah.

Saya mengusiknya : Buat suspen saja. Saya fikir awak kena rompak!

Dee tergelak : Haah, kena rompak dengan Zam.

Zam adalah suami Dee. Lelaki itu seorang pegawai tinggi di sebuah syarikat swasta yang bakal bersara tahun depan. Dee pula sudah 5 tahun mengambil skim VSS. Dulu dia berjawatan pengurus bank. Kini Dee menceburi bisnes membuat kek kukus dan pelbagai jenis kek lain (ala Secret Recipe). Sudah 2 tahun bisnesnya beroperasi di rumah. Musim hari raya yang baru lalu, jualan kek Dee mencecah RM80,000.

Melihat prestasi bisnesnya yang meningkat, Dee bercadang membuka sebuah kedai. Dia sudah membuat survey tempat yang sesuai. Kebetulan semalam Zam bercuti dan Dee mengajaknya melihat kedai itu. Sayangnya Zam tiba-tiba jadi berang. Kata Zam, Dee hendak mencari masaalah. Andainya bisnes itu tidak menjadi, pasti rugi dan membazirkan wang. Zam turut beri amaran bahawa dia tidak mahu memikul beban baru menjelang hari pencennya yang semakin hampir.

Dee mengeluh : Kenapa dia tak mahu sokong saya? Kenapa dia patahkan semangat saya?

Zam dan orang-orang sepertinya (yang mungkin sedang menghadapi fobia bagaimana hendak mengendalikan kehidupan selepas pencen) terlalu takut menghadapi risiko, lebih-lebih lagi yang melibatkan kewangan. Bagi mereka, bisnes = risiko = rugi!!!

Iktibar : Antara cabaran utama yang perlu ditangani seorang usahawan baru adalah persediaan mental pasangan hidupnya. Orang yang sepatutnya menjadi pendorong kuat ada kalanya bertukar menjadi pengkondem utama. Dia ibarat musuh dalam selimut. Bak kata pepatah, harapkan pagar, pagar makan padi. Bak mengharapkan sokong, sokong membawa rebah.

Saturday, October 20, 2007

Kenangan Di Hari Raya

Assalamualaikum. Sudah lebih seminggu saya tidak menulis di sini. Hendak dikatakan saya beraya sakan tidak juga. Namun hari-hari yang cepat berlalu penuh terisi dengan aktiviti melayan tetamu dan pergi berziarah.

Hari Raya terasa lebih bermakna ketika meraikan sanak saudara dan sahabat handai yang datang berkunjung ke rumah. Saat adik-beradik, ipar-duai dan anak-anak saudara berkumpul di rumah menjadi kenangan manis setiap tahun.

Kelmarin rumah saya dikunjungi sebuah keluarga besar yang pada mulanya tidak saya kenali kerana lama tidak bertemu.

Mereka adalah balu, anak-menantu dan cucu kepada bekas pekerja di syarikat keluarga saya. Arwah Mahamat meninggal dunia lebih sedekad lalu ketika memandu lori dalam perjalanan pulang menghantar kawat duri di Beserah, Kuantan, Pahang. Allahyarhamhu diserang sakit jantung.

Ketika beliau meninggal dunia, anak-anaknya yang 9 orang itu masih bersekolah. Kini masing-masing sudah dewasa dan beberapa orang sudah berumahtangga. Saya tidak sangka mereka masih mengingati sedikit usaha kami yang menguruskan pencen SOCSO dan pengeluaran wang KWSP ayah mereka.

"Terima kasih banyak, Makcik Lela dan Pakcik Zainal. Dengan duit pencen Abah itulah kami dapat menampung hidup dan belanja sekolah," kata Angah yang kini bertugas sebagai seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta.

Saya merasa gembira melihat anak-anak arwah Mahamat yang kelihatan terurus dan menjaga ibu mereka dengan baik. Kata Kak Asmah, beliau sentiasa mengingatkan anak-anaknya tentang kami, bekas majikan ayah mereka. Apa lagi yang dapat saya katakan selain mengucap syukur kepada Allah. Dialah yang sebenarnya membantu mereka, bukan kami.

Secara kebetulan pada Hari Raya tahun ini saya sempat bertemu beberapa orang sakit. Ada yang menderita sakit tua dan ada yang mengidap penyakit kronik. Semalam kami ke Kg. Majidee untuk menziarahi kawan lama Zainal yang kini sakit : lemah jantung, kencing manis, darah tinggi, gout, lelah dan entah apa lagi.

Saya leka mendengar Encik Malekal bercerita tentang penyakitnya. Termasuk kisah dia lari dari hospital, melawan cakap doktor, menghisap rokok di tandas wad, mencuri-curi makan dan minum sirap ketika diarahkan berpuasa oleh jururawat dan macam-macam lagi. Degil sungguh dia, bagaimanalah penyakitnya mahu sembuh! Isterinya sungguh penyabar melayan si suami yang banyak keletah itu.

Di Plentong kami menziarahi Bibik Timah, ibu saudara Zainal yang juga sakit. Dia amat kurus tetapi terurus dengan baik. Berkali-kali airmatanya menitis mengenang dirinya yang tidak bermaya untuk bergerak seperti dahulu. Saya sedih melihatnya menggenggam tangan Zainal seperti tidak mahu dilepaskan ketika kami memohon diri untuk pulang.

Saya sendiri pernah sakit selama berbulan-bulan. Pengalaman itu masih melekat di ingatan. Lazimnya orang sakit cepat terasa hati dan bersikap pesimis. Mereka kehilangan nikmat sihat dam amat memerlukan dorongan, kata-kata yang lembut dan telinga yang sanggup mendengar segala rintihan dan keluhan.

Bagi yang tidak mengerti atau kurang sabar, melayani orang sakit amat membosankan. Ya, bukan mudah untuk berempati dengan mereka yang sentiasa bersikap pesimis terhadap hidup dan masa depan. Sebagai iktibar, hargailah apa yang kita ada selagi masih memilikinya. Nikmat sihat itu amat perlu disyukuri dan dijaga sebaik mungkin.

Saturday, October 13, 2007

Selamat Hari Raya

Kami tiga beranak mudah tersenyum, namun ketika gambar ini diambil, lain pula jadinya. Cerita di sebalik gambar ini, kami bertiga sebenarnya sedang rancak berbual tanpa menggerakkan bibir...

"Lambat sangat tauke ni. Perut Mak dah sakit sangat, aduhhh...," keluh saya.

"Sabar Mak, sabar!!! Sikit jam lagi selesai. Mak control baik-baik. Hmmm... sikit jam lagi je ni. Control, control Mak, " kata Alum.

Tauke studio masih pergi balik membetulkan lampu, kemudian menjawab panggilan telefon.

"Alahhh... lambat sangatlah tauke ni. Mak dah tak boleh tahan lagi ni...," rungut saya.

"Tarik nafas, lepas! Tarik nafas, lepas! Hmmm, relax... relax... control cun... control cun...," sahut Zainal sambil mengusap-usap bahu saya.

Itulah kisahnya mengapa kami bertiga kelihatan serius. Kami sungguh ralat sebab tidak sempat senyum. Tauke studio itu pun satu hal. Sepatutnya dia ingatkan kami : Say cheese!!! Lain kali saya kena ingat : apabila bergambar mesti senyum walau pun perut sedang memulas!!!

Kepada anda yang setia mengunjungi blog ini, kami seisi keluarga mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidil Fitri'. Saya memohon ampun dan maaf seandainya pernah terkasar bahasa atau terdapat mana-mana bahagian dalam tulisan saya di sini yang menyinggung perasaan anda.

Seandainya anda berada di Melaka pada musim cuti Hari Raya, jemputlah datang ke rumah kami di alamat : No. 25, Jalan Bukit Beruang Utama 2, Taman Bukit Beruang Utama, 75450 Melaka. No. telefon saya : 019-6562540.

Tuesday, October 9, 2007

Hantu

Kami ke Ipoh Ahad lalu. Dapatlah berbuka puasa sekali lagi bersama Alum. Malam itu dia tidur bersama kami di Heritage. Esoknya dia balik ke UTP dan kami pula ke Kuala Kangsar. Selesai urusan di Propel N5, kami balik ke Ipoh semula. Jam 3:00 petang barulah selesai urusan di MAB. Sewaktu kami tiba di KL hari sudah lewat petang. Kami berbuka puasa dan bermalam di Hotel XYZ.

Oleh kerana keletihan, kami terus tertidur. Jam 2:30 pagi saya bangun dan mengejutkan Zainal untuk solat. Saya sudah berazam, meski pun kami bermusafir, janganlah sampai terlepas solat terawih dan lain-lain, lebih-lebih lagi di malam 27 Ramadhan. Selesai solat jam 4:00 pagi, kami turun ke cafe untuk bersahur.

Selesai solat subuh, Zainal tidur semula. Saya leka membaca buku. Mahu tidur semula mata saya tidak mengantuk pula. Tiba-tiba saya terdengar bunyi berletap. Mata mencari-cari dari mana ia datang.

Ada bunyi mendesah seperti air sedang dimasak. Saya baru perasan bunyi itu datang daripada jag air dan memang benar air sedang mendidih!!! Saya tidak menekan suis, bagaimana ini boleh berlaku???

Entah kenapa hati saya tidak pula terasa takut. Saya pergi ke jag itu dan mematikan suis plug. Kemudian saya terus membaca sehingga terasa mengantuk. Kisah ini saya beritahu kepada Zainal apabila kami 'check-out' jam 8:30 pagi.

Zainal mengangkat kening sambil berkata, "Ada hantu dalam bilik itu. Tapi dia usik-usik saja. Sebelum dia usik Ela, dia sudah usik Abang dulu..."

Menurut Zainal, selesai solat subuh dia membuka laptop. Oleh kerana tiada line untuk internet, dia 'off'kan laptop itu. Beberapa minit kemudian laptop itu ter'on' semula dengan sendiri. Waktu itu saya berada di dalam bilik air. Zainal yang hairan terus 'off'kan laptop itu sekali lagi kemudian dia terlelap.

Hmmm... betulkah ada hantu dalam bilik itu??? Andainya betul, pasti dia terkejut sebab saya dan Zainal buat tidak faham saja dengan usikannya. Seolah-olah kehadirannya tidak dipedulikan langsung. Kasihan hantu itu, hendak menyakat orang dia pula yang kena balik!!! Walau apa pun, saya merasa amat bersyukur kepada Allah kerana melindungi kami.

Monday, October 8, 2007

Harga Cemburu

Seorang wanita miskin sedang menjual berbagai jenis keju di pasar. Datang seekor kucing di gerai wanita itu lalu dicurinya seketul keju yang besar dan di bawa lari. Perbuatan kucing itu diperhatikan oleh seekor anjing lalu dikejarnya.

"Berikan saya keju itu," kata anjing sambil menyalak dengan kuat.

"Mana boleh, ini keju saya," jawab kucing dengan garang.

"Itu bukan keju kau. Aku nampak kau mencurinya di gerai wanita miskin. Berikan cepat, jangan degil! Berikan cepat," kata anjing dengan lagak samseng.

"Cubalah ambil kalau berani. Aku akan cakar mata kau," sergah kucing sambil menunjukkan kuku-kukunya yang panjang lagi tajam.

Anjing cuba merampas keju itu. Dia menyalak dan memarahi kucing. Kucing tidak mahu mengalah. Dia juga riuh memarahi anjing dan cuba mencakar mata lawannya. Setelah lama bergaduh masih juga tiada penyelesaian. Akhirnya kucing memberi cadangan.

"Kalau terus begini tiada kesudahan. Mari kita cari serigala. Biar dia jadi pengadil," kata kucing.

"Ok, aku setuju, biar dia jadi referee," jawab anjing.

Mereka pun pergi mencari serigala. Setelah mendengar cerita kedua belah pihak, serigala pun berdehem-dehem.

"Kamu berdua ini bodoh betul. Biar aku selesaikan hal ini. Kalau kamu berdua setuju, keju ini akan aku potong dua biar adil," kata serigala.

Anjing dan kucing bersetuju dengan cadangan itu. Serigala pun mengambil pisau lalu dipotong keju itu menjadi dua. Dengan sengaja dipotongnya sebelah kanan lebih besar daripada yang sebelah kiri.

"Kenapa bahagian dia besar? Bahagian saya pula lebih kecil, ini tidak adil," protes kucing.

"Ya tak ya, kenapa keju anjing lebih besar? Biar saya potong sedikit supaya jadi sama besar dengan keju kucing," jawab serigala.

Bahagian keju yang lebih itu dimakan oleh serigala.

"Hah, sekarang saya punya pula lebih kecil. Ini tidak adillah," sergah anjing.

"Hmmm... kalau begitu, biar saya potong bahagian kucing sedikit lagi supaya sama besar dengan kamu punya," jawab serigala.

Bahagian keju yang lebih itu dimakan dengan lahap oleh serigala.

"Sekarang sudah adil," kata serigala.

"Tidak, bahagian anjing lebih besar, saya punya kecil sedikit," protes kucing yang mula berang.

"Kalau begitu biar saya potong sedikit bahagian anjing supaya adil," jawab serigala sambil memakan keju yang lebih itu.

Begitulah terjadi berulang-ulang. Akhirnya habis semua keju tersebut dimakan oleh serigala di depan mata kepala kucing dan anjing. Itulah harga cemburu...

Kisah ini dipetik daripada buku '48 Laws Of Power' tulisan Robert Greene.

Thursday, October 4, 2007

Serahkan Tugas Kepada Yang Pakar Dalam Bidangnya

Pada zaman Saidina Abu Bakar, Islam semakin berkembang melalui peperangan. Ketika hendak menakluki Jerussalem dan tanah-tanah di Persia, Abu Bakar melantik Khalid Bin Walid sebagai ketua panglima perang. Tindakan beliau itu sangat tidak dipersetujui oleh Saidina Umar.

"Saya tidak setuju Khalid Bin Walid dilantik sebagai kepala perang," kata Umar.

"Mengapa? Apa alasan kamu?" tanya Abu Bakar.

"Saya tidak setuju kerana Khalid Bin Walid tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang soleh. Dia cuma dirikan solat wajib 5 waktu tetapi solat tahajjudnya kurang. Dia tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang mula-mula berhijrah ke Madinah, " jawab Umar.

Meski pun demikian, Saidina Abu Bakar tetap dengan pilihannya. Apabila Abu Bakar meninggal dunia, Umar mengambil alih pucuk pemerintahan negara. Antara tindakan yang beliau ambil selepas itu ialah memberhentikan Khalid Bin Walid daripada jawatannya.

Khalid Bin Walid dilucutkan jawatan ketika beliau sedang memimpin satu peperangan. Tempatnya sebagai ketua diganti oleh staf beliau sendiri, Abu Ubaidah. Meski pun kurang selesa mengambil alih tugas jeneralnya, Abu Ubaidah tetap menurut perintah yang dikeluarkan oleh Saidina Umar.

Masa berlalu dan Khalid Bin Walid kemudian meninggal dunia. Setelah beliau tiada, Umar menghitung jasa-jasa Khalid Bin Walid kepada agama dan negara. Umar baru tersedar bahawa tiada lagi dalam sejarah Islam orang yang sehebat Khalid Bin Walid dalam memimpin peperangan.

Khalid Bin Walid pernah menentang dua pasukan musuh dari Rom dan Persia, serentak. Walau pun dilihat kurang warak daripada segi ibadah, beliau terbukti seorang panglima perang yang berani dan hebat.

Khalid Bin Walid sangat cekap mengatur strategi dan taktik peperangan. Di bawah kepimpinan beliau, pasukan tentera Islam mencapai banyak kejayaan. Jasa Khalid Bin Walid terlalu besar untuk diperhitungkan.

"Abu Bakar memang bijak," kata Umar. "Untuk mencapai matlamat yang ditetapkan, sesuatu urusan itu perlu diserah kepada orang yang ahli dalam bidangnya," kata Umar lagi dengan perasaan kagum terhadap Abu Bakar.

Saidina Umar akur bahawa orang-orang yang beliau anggap soleh seperti Abdullah Bin Umar atau Abu Hurairah yang dapat menghafaz beribu-ribu hadis, tidak boleh menjadi ketua panglima perang seperti Khalid Bin Walid. Mereka tiada kepakaran dalam ilmu peperangan.

Kisah ini dipetik daripada buku 'Renungan Tasawuf : Manisnya Iman' tulisan Prof. Dr. Hamka.

Tuesday, October 2, 2007

Insaf

Ibnu Samaa' diundang baginda Harun Al-Rasyid datang ke istananya di Baghdad. Baginda sudah merasa sangat sepi kerana lama tidak mendengar fatwa bernilai tinggi dari ulama'. Oleh kerana udara sangat panas, Harun Al-Rasyid meminta air minuman. Datanglah khadam baginda membawanya. Ketika baginda hendak minum, bertanya Ibnu Samaa'...

"Jika air seteguk itu amat sukar dicari sedangkan Tuanku sudah tersangat haus, berapakah akan Tuanku bayar harganya?"

"Biar habis separuh kekayaanku, tetap aku membelinya," jawab raja.

"Minumlah Tuanku air seteguk itu yang kadangkala harganya melebihi separuh daripada kekayaan Tuanku," kata Ibnu Samaa'.

Raja pun minum. Setelah itu baginda meminta Ibnu Samaa' meneruskan pengajaran fatwanya. Lalu ulama' itu bertanya lagi...

"Jika air yang seteguk tadi tidak mahu keluar dari dalam diri Tuanku walau pun bersusah payah diusahakan tetap juga tidak mahu keluar, berapakah harga yang Tuanku akan bayar bagi mengeluarkannya?"

"Kalau air itu tidak mahu keluar, apalah gunanya kemegahan dan kekayaan. Biar habis seluruh kekayaanku ini, akan aku gunakan bagi mengubati diriku sehingga ia keluar!" jawab Harun Al-Rasyid.

"Maaf Tuanku, rupa-rupanya segelas air najis lebih mahal harganya daripada seluruh kekayaan Harun Al-Rasyid. Maka tidakkah Tuanku insaf, bagaimana besarnya kekuasaan Allah. Maha kayanya Dia di hadapan kita makhluk yang lemah ini. Tidakkah tiba masanya kita tunduk kepadaNya dan insaf akan kelemahan kita?" tanya Ibnu Samaa'.

Baginda Harun Al-Rasyid menangis tersedu-sedu mendengar fatwa itu.

Petikan daripada buku 'Renungan Tasawuf : Manisnya Iman' tulisan Prof. Dr. Hamka.

Monday, October 1, 2007

Ramadan Yang Ceria

Masjid MITC di Ayer Keroh adalah lokasi tetap saya dan Zainal berterawih seandainya tidak balik ke kampung mertua (Krubong) atau outstation. Setiap malam jam 8:00, kami bertolak ke masjid.

Biasanya Zainal singgah sekejap di U-Centre untuk membeli sebotol air untuk saya. Bulan puasa ini saya cepat haus. Berselang waktu solat (Isyak, terawih & witir) pun sempat minum sebotol walhal ketika berbuka sudah minum (macam naga!!!).

Sampai di masjid, mata saya akan mencari-cari sepasang kasut di rak (aras 2). Di situ biasanya terletak sepasang kasut comel warna maroon. Ia kepunyaan ibu saya. Apabila ternampak kasut itu, tahulah saya dia ada menunggu saya di saf nombor 2 atau 3. Mak datang ke masjid bersama adik ipar saya, Mehmet Gursoy. Ayza tidak ke masjid kerana menjaga anak mereka, Etuy.

Kekadang saya bawakan sedikit buah tangan untuk Mak. Minggu lalu saya bawakan dia karipap 3 keping (diisi dalam zipper sandwich bag). Esoknya apabila kami bertemu lagi Mak bercerita Ayza komplen : ada ke 3 keping aje... mana cukup??? Saya ketawa terkekek.

Karipap itu saya buat 6 keping saja sebenarnya!!! Untuk saya, 2 dan Zainal, 1. Lebih mudah beli saja di kedai tapi rasanya, bak kata Mun : tak masyukkk... Zainal tidak suka karipap, dia ahli dalam bab manisan : pengat pisang, pengat keledek, bubur kacang.

Beberapa hari lalu saya bawakan Mak cucur udang 6 keping. Esoknya Mak bercerita lagi, Ayza komplen : Ini tidak adil!!! Aduhai, pecah perut saya ketawa. Semalam saya berbuka di rumah mertua. Saya membawa sebuah bakul berisi juadah berbuka ke sana. Sampai di rumah mertua, saya memberi salam. Mak Temah gembira menyambut kami.

"Makcik nak beli makanan? Saya ada jual macam-macam ni... ada sambal udang, tahu sumbat, bubur lambuk... semangkuk 20 sen je," saya mengusik ibu mertua yang ketawa terkekek.

Kepada anda semua, Selamat Berbuka Puasa petang nanti. Semuga anda sihat dan senyum selalu...