Friday, November 30, 2007

Pekerja Bangla

Projek kami di MAB Ipoh sudah 90% siap. InsyaAllah, jika tiada aral, pertengahan Disember nanti selesailah 100%. Sebenarnya kami sudah melewati tarikh siap asal iaitu 27 November lalu. Kami memohon masa tambahan selama 1 bulan. Kelulusan diberi berdasarkan laporan hujan yang di keluarkan oleh Jabatan Kaji Cuaca. Mengikut lapuran itu, hujan turun lebih 30 hari sepanjang bulan Oktober sehingga 20 November di tapak projek.

Petang tadi ketika kami berada di MAB Ipoh, hujan turun agak lebat. Pekerja kami (9 orang Bangla) duduk berlindung di bawah canvas, sementara Nordin (ketua) mengikut Zainal dan En. Hanafi (pegawai MAB) melihat kemajuan kerja di tapak. Mereka bertiga yang menaiki Pajero MAB kemudian singgah di kafe.

Mengikut cerita Nordin dan En. Hanafi, sejak musim hujan, kolam yang ada di tapak projek semakin banyak ikan di dalamnya. Minggu lalu mereka menjala di sana dan mendapat ikan tilapia dan patin hampir 50 kg. Khabarnya saiz ikan itu besar-besar belaka.

Menurut Nordin, 9 orang Bangla yang berada di bawah kelolaannya kini agak risau kerana kerja akan siap tidak lama lagi. Mereka adalah pekerja sementara yang tidak terikat dengan kami. Mereka dahulunya bekerja dengan seorang tauke Cina. Apabila syarikat tauke itu muflis, mereka dibebaskan untuk bekerja di mana-mana. Permit kerja masing-masing diperbaharui setiap tahun. Saya pun pelik bagaimana mereka mendapatkan kelulusan itu.

Sebelum ini 9 orang Bangla itu pernah bekerja dengan kami di Bekok iaitu projek bersama Ultimate Builders. Kemudian mereka mengikut kami ke Puchong iaitu projek bersama Perspec Prime. Ketika berpindah dari Puchong ke Ipoh, semua tikar-bantal mereka dibawa bersama. Barang-barang itu dimuatkan atas lori sementara mereka menaiki bas ke Ipoh.

Dalam 9 orang itu ada seorang yang menjadi ketua. Gajinya lebih sedikit daripada yang lain. Saya masih ingat, ketua Bangla ini berjumpa dengan Zainal untuk merunding gajinya dulu. Katanya dia boleh mengurus 8 orang Bangla yang lain kerana mereka mendengar arahannya. Gaji harian semua Bangla ialah RM40 sehari. Sebagai ketua, Zaman Bai meminta gaji RM50 sehari. Pembantu beliau bergaji RM45 sehari.

Biasanya apabila kami datang melawat tapak projek, Zainal akan memberi Nordin sejumlah wang untuk menjamu pekerja-pekerja kami. Walau pun hanya nasi bungkus dan air sirap, senyuman mereka lebar sehingga ke telinga sambil mengucap terima kasih.

Setiap kali mendapat gaji, 9 orang Bangla ini akan mengumpul duit masing-masing seperti sistem kutu untuk dikirim kepada keluarga salah seorang daripada mereka di kampung halaman. Dengan cara itu wang dikirim lebih banyak jumlahnya.

Antara 9 orang Bangla itu, ada 2 orang yang sangat kememeh. Setiap kali mendapat gaji mereka berdua akan menangis. Bukan kerana sedih tetapi bersyukur kepada Allah. Jarang sekali saya melihat orang menangis apabila mendapat gaji...

Saya kasihan melihat pekerja-pekerja kami membanting tulang, berpanas dan berhujan saban hari, sejak awal pagi sehingga matahari terbenam. Mereka meninggalkan tanah air dan kaum keluarga demi mencari rezeki. Antara kami dan mereka tiada beza. Ya, kami dan mereka sama-sama mencari rezeki halal di bumi Allah ini...

Wednesday, November 28, 2007

Surat Lama

Saya terjumpa sekeping surat dicelah fail lama yang tersimpan dalam peti besi di pejabat. Ia bertarikh 1 Oktober, 1980. Bersamanya terkepil sekeping surat lain, bertarikh 2 Oktober, 1980. Surat yang pertama bertulis tangan. Antara lain kandungannya berbunyi...

2 minggu lagi hari raya haji. Ela cadang nak balik. Harap Bak belikan tiket: KL-Melaka, Sabtu 18/10/80 jam 9:00 pagi. Melaka-KL, Isnin 20/10/80 jam 2:00 atau 4:00 petang.

Fulus Ela dah tinggal sikit. Ela malu nak tulis hal ni, tapi dah terpaksa. Masa Bak kirim duit nanti, buat money order ya. Kalau Bak kirim cek, lambat nak dapat duitnya. Kebulurlah Ela nanti.

Dalam bank Ela tinggal $10 lebih, tak boleh nak keluar lagi. Ela malulah tulis pasal ni. Tapi fikir-fikir balik, apa nak malukan. Selama ni pun, memang Ela minta duit Bak, ya tak... Peluk cium untuk Bak dan Mak.


Surat kedua yang bertaip berbunyi begini...

Surat anak Bak diterima sebentar tadi. Bak terlalu sibuk dengan urusan dan banyak menggunakan wang. Selit sepit yang Bak korek, Bak belikan MO bernilai $100 dan bersama-sama ini Bak sertakan.

Ela boleh balik pada hujung-hujung minggu dan Bak boleh hantar Ela sampai ke Seremban. Cara ini Ela tiba di ITM lebih awal daripada Bak sampai ke kampung. Tiket Ela dari KL akan Bak usahakan sekarang juga. Nanti Bak kirimkan. Salam dan peluk cium dari Bak dan Mak dan salam mesra dari adik-adik dan kakakmu.


Saya teringat Bak. Hatiku tiba-tiba merasa teramat rindu kepadanya...

Surat Pilihan

Minggu lalu saya menulis e-mel kepada Puan Sifu (Pengerusi PTS) untuk berkongsi cerita dan rasa. Sebagai mentee beliau, saya kekadang bersikap ibarat seorang anak yang mengadu isihatinya kepada ibu.

Puan Ainon Mohd. menyiarkan surat itu di laman web UNIKA pada entri 24 November, 2007. Anda boleh membaca kandungan surat tersebut di sini. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi respon.

Tuesday, November 27, 2007

Sijil Halal

Menurut cerita seorang usahawan yang mengusahakan produk makanan, sijil halal sukar diperolehi. Katanya lagi, syarikat orang Melayu lebih susah hendak mendapat sijil halal itu berbanding syarikat orang Cina. Betulkah???

Saya bertanyakan hal ini kepada seorang pegawai MARDI. Beliau adalah salah seorang ahli panel dalam jawatankuasa yang menilai permohonan sijil halal. Kata orang, untuk bersikap adil eloklah kita mendengar cerita kedua belah pihak. Ikuti cerita pegawai MARDI itu...

"Ya, memang benar cerita yang awak dengar itu," Puan Nor memulakan bicaranya.

"Mengapa jadi begitu?" tanya saya.

"Hmmm, panjang kisahnya. Contohnya begini. Kami memberitahu pihak pengurusan hotel-hotel di bandar ini supaya mendapatkan bekalan bahan mentah daripada pembekal-pembekal yang mempunyai sijil halal. Contohnya bekalan daging ayam. Ini bagi menjamin ayam-ayam yang dihidangkan di hotel-hotel itu adalah halal dan selamat dimakan oleh orang Islam," Puan Nor berhenti seketika untuk meneguk kopinya.

"Pihak hotel-hotel itu pula meminta kami syorkan nama-nama pembekal daging ayam halal. Mereka (pihak hotel) tiada halangan untuk mematuhi arahan kami itu. Sayangnya, dalam senarai pembekal daging ayam halal yang ada pada kami kebanyakan syarikat dimiliki bukan Bumiputera. Walau pun bukan Islam, syarikat mereka memiliki sijil halal," kata Puan Nor.

"Syarikat Bumiputera tiada sijil halalkah?" tanya saya.

"Saya sudah beritahu beberapa pembekal daging ayam Bumiputera supaya memohon sijil itu. Tapi mereka kata 'susah' sebab kena patuhi banyak syarat. Mereka kata, mereka orang Melayu dan beragama Islam. Itu sudah cukup untuk membuktikan bekalan daging ayam mereka halal," kata Puan Nor lagi.

Menurut Puan Nor, untuk mendapat sijil halal, tempat penyembelihan perlulah bersih, tempat memproses ayam juga bersih daripada segala kotoran. Bukanlah semata-mata penyembelihan dibuat mengikut syariat Islam itu bermakna sudah halal.

Katanya lagi, apabila di syaratkan memasang tile di lantai dan dinding serta membuat longkang-longkang untuk menyalurkan air kotor daripada tempat penyembelihan, pengusaha-pengusaha Melayu itu marah. Mereka kata semua itu perlukan banyak belanja. Apatah lagi apabila kedai perlu ditutup buat sementara untuk renovasi.

"Apabila awak tengok tempat penyembelihan mereka, tentu awak pun tidak selesa. Tahi ayam bersepah-sepah, darah ayam, isi perut ayam bertimbun dan air kotoran dibuang ke sungai. Terlalu kotor. Andainya kami keluarkan sijil, boleh timbul isulah," terang Puan Nor.

Sambung Puan Nor lagi, pengusaha-pengusaha Cina pula bertindak segera apabila dikenakan syarat-syarat itu. Mereka merenovasi kedai, memasang tile di lantai dan dinding dan mematuhi syarat-syarat lain. Dalam tempoh 2 minggu semua syarat dipatuhi. Penyembelihan pula dilakukan oleh pekerja-pekerja Islam. Oleh sebab itu, mereka berjaya mendapat sijil halal.

Lalu saya teringat kata-kata bos SMIDEC di Bengkel Pemahaman Geran Halal & Pembungkusan baru-baru ini. Katanya, konsep halal adalah agenda Allah. Halal adalah cara hidup. Penyediaan makanan halal perlulah mengikut lunas-lunas toiban iaitu bersih yang lebih bersih. Ayat di dalam Al-Qur'an 'halalan toiban' bermaksud halal lagi baik.

Sunday, November 25, 2007

A Different Chinese

Baru-baru ini sewaktu kami merayau-rayau di MPH Ipoh, Zainal menunjukkan sebuah buku bertajuk A Different Chinese (ADC). Katanya : Abang mahu beli, nampak macam best. Saya mencemik sambil menunjukkan buku pilihan saya bertajuk Nama Beta Sultan Alauddin (NBSA) karya Faisal Tehrani. Kata saya : Yang ini lagi best.

Balik ke hotel, Zainal menonton TV, kemudian terlelap. Jam sudah 11:00 malam. Saya pula sejak sampai ke bilik terus bergolek atas katil bersama buku NBSA. Buku itu kisah sejarah kesultanan Melaka yang ditulis dengan gaya cerita: seorang datuk bercerita kisah sejarah kepada 3 orang cucunya yang pulang bercuti di kampung. Buku itu memang best!!! Tepat jam 12:00 malam, saya sudah selesai beberapa bab.

Buat seketika mata saya meleret kepada buku Zainal : A Different Chinese. Buku itu masih belum terusik. Hati saya melonjak hendak melihatnya, lalu buku NBSA saya letak di tepi meja lampu. Sebaik saja membuka muka surat pertama, saya terus membacanya. Ha, buku ADC itu pun best!!! Tepat jam 1:00 pagi, saya sudah selesai beberapa bab.

Aduhai, mata saya terus tidak mahu tidur. Fe'el saya memang suka membaca 2 atau 3 buku serentak. Saya meletakkan kedua-kedua buku itu sebelah-menyebelah dan memandang mereka ibarat hendak memilih air tebu dengan cendol ketika hendak berbuka puasa. Aduhai, rambangnya mataku!!!

A Different Chinese ditulis oleh CQ, seorang penulis Cina kelahiran Bukit Katil, Melaka. Di dalam buku itu beliau membuat perbandingan di antara kaum-kaum Cina di seluruh dunia : Cina negeri China, Cina Taiwan, Cina Hong Kong, Cina Singapura, Cina Filipina, Cina Thailand, Cina Indonesia dan Cina Malaysia.

CQ seorang yang berpengalaman luas dalam dunia bisnes, khasnya di bidang pemasaran peringkat global. Beliau banyak berinteraksi dengan berbagai peringkat usahawan Cina dan berkesempatan meneliti tabiat dan ciri yang wujud dalam komuniti bisnes kaum Cina di seluruh dunia.

Pada pandangan umum, orang-orang Cina semuanya sama. Rupa-rupanya tidak. Mereka berlainan dan berbeza daripada pelbagai segi walau pun tampak seperti sama. Antara yang diceritakan CQ ialah, diantara semua bangsa Cina, Cina Malaysialah yang paling berbudi bahasa dan mudah bertolak ansur.

Bagi kita di Malaysia, kaum Cinalah yang paling rajin dan proaktif berbanding bangsa lain. Tapi di mata komuniti Cina peringkat global, Cina Malaysia suka relaks, bak kata CQ : The Malaysian Chinese are said to lack the fighting spirit... Maksudnya, tidak cukup kiasu!!!

Saya teringat suasana di kota suci Mekah, ketika melewati kedai-kedai di mana-mana pun, peniaga-peniaga di sana akan berkata : Malaysia Bagus!!! Orang Malaysia (Melayu) memang terkenal dengan sikap berbudi bahasa dan bertolak-ansur berbanding dengan bangsa-bangsa lain yang kasar dan suka bertelagah.

Lalu saya terbayang kaum Cina Malaysia yang berada di luar negara. Rupa2nya mereka juga dipuji dengan gelaran: Malaysia Bagus!!!

Andainya Cina Malaysia yang sangat proaktif di mata kita di Malaysia dianggap suka relaks, cuba bayangkan anggapan terhadap bangsa Melayu di mata komuniti Cina peringkat global... Sudah bersediakah kita untuk bersaing dengan mereka???

Saturday, November 24, 2007

Klinik Usahawan

Saya, Maimun (Mun) dan Shaharimah (Syimah) menghadiri klinik usahawan anjuran PKNS pada 21 dan 22 November lalu. Lokasinya di Seminar & Conference Centre, Tingkat 15, Menara PKNS, PJ. Kami berulang-alik Melaka-PJ-Melaka selama 2 hari itu. Perjalanan kami bermula jam 6:30 pagi dan berakhir kira-kira jam 9:00 malam.

Klinik ini membincangkan peluang bisnes dalam industri herba melalui pemasaran kontrak pada hari pertama. Kemudian bagi yang berminat diadakan sesi business match-making dengan 5 syarikat payung pada hari kedua. Pada hari pertama 250 orang peserta hadir dan 150 daripada jumlah itu berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut termasuk kami bertiga.

5 syarikat payung yang terlibat dalam program ini ialah Malaysian Herbal Corporation (MHB), Rentak Timur Sdn. Bhd. (RTSB), BanDar Agro Spice Industries (BASPI), Moro Seri Utama Enterprise (MSUE) dan Phtofolia Sdn. Bhd. (PSB).

Pada hari kedua, para peserta dibahagi kepada 5 kumpulan. Setiap kumpulan diberi masa 1 jam untuk mendengar taklimat setiap satu syarikat payung secara bergilir dengan kumpulan lain. Dalam sesi itu, para peserta diberi peluang bertanya apa saja soalan tentang peluang bisnes yang ditawarkan. Kami bertiga dalam kumpulan 4.

Secara ringkasnya setiap syarikat payung itu sudah ada kilang mereka sendiri yang menghasilkan produk-produk seperti ekstrak vanila, rempah-ratus dan pelbagai herba yang diperlukan dalam industri makanan, kosmetik dan pembuatan ubat-ubatan. Mereka menjadi pembekal bahan mentah dan ramuan separa siap kepada syarikat-syarikat seperti Nestle, Adabi, Maggi dan kilang-kilang kosmetik serta pharmaseutikal.

Permintaan untuk bahan mentah herba yang sudah diproses atau diekstrak amat tinggi, baik di dalam mahu pun di luar negara. Ratusan tan diperlukan setiap bulan. Sebagai pembekal, syarikat-syarikat payung itu memerlukan banyak 'contract farmers' bagi mendapatkan herba-herba seperti serai, limau purut, mas cotek, bunga kantan, vanila, cengkih, daun kari, halia, cili, daun bawang dan macam-macam lagi. Bagi yang berminat, syarikat payung akan mengaturkan siri lawatan dan perbincangan lanjut sehingga akhirnya membuat kontrak perjanjian untuk tempoh beberapa tahun.

Yang diperlukan di pihak peserta ialah tanah, sama ada milik sendiri atau dipajak. Ada jenis tanaman yang memerlukan minima 5 ekar. Ada yang memerlukan minima 1/4 ekar sahaja. Ada juga syarikat payung yang menyediakan tanah seluas 100 ekar dan memerlukan 10 syarikat atau individu untuk menguruskan penanaman. Teknik menanam, penyediaan benih, cara penanaman, membaja sehingga pengangkutan tuaian di aturkan apabila kontrak sudah ditandatangan. Agensi yang terlibat dalam program ini ialah Kementerian Pertanian Bahagian Industri Herba.

Tujuan saya ke klinik tersebut adalah untuk mendapatkan informasi bagi dijadikan bahan tulisan saya untuk terbitan di majalah dan buku-buku seterusnya. Sambil itu saya juga mencari peluang bisnes seandainya sesuai. Saya bukan rencam, maksudnya hendak buat itu dan ini, tapi sanggupkah melakukannya? Sebenarnya saya sekadar mahu memulakan sesuatu usaha secara kecil-kecilan khasnya dalam industri herba yang mempunyai masa depan cerah ini.

Yang menarik minat saya ialah penanaman mas cotek kerana ia tidak memerlukan tanah yang luas. Menurut En. Ismail, bos Moro, tanah dusun buah-buahan juga sesuai di sulam dengan pokok-pokok mas cotek. Syimah dan Mun juga berminat dengan mas cotek. Tadi Syimah menelefon En. Ismail dan beliau bersetuju untuk datang esok bagi melihat tapak dan kesesuaian tanah. Saya pun tumpang sekaki iaitu akan mengajak beliau melawat tanah dusun saya yang luasnya sekangkang kera.

Syimah bertanya : Besarkah kera itu? Kalau king-kong, besar juga kangkangnya. Mahu makan 2-3 ekar.

Jawab saya : Kera saya jenis king-kong terencat tumbesaran. Jadi kangkangnya 1/4 ekar je!!!

Thursday, November 22, 2007

Bengkel Usahawan

Minggu ini saya menghadiri 2 bengkel usahawan. Yang pertama berlangsung pada hari Isnin, 19 November di EQ, Melaka adalah anjuran SMIDEC. Yang kedua berlangsung di PJ selama 2 hari (Rabu - semalam dan Khamis - hari ini) anjuran PKNS. Saya akan menulis tentang bengkel-bengkel tersebut di entri akan datang kerana kesuntukan masa ketika ini.

Bengkel SMIDEC dihadiri lebih 200 orang. Satu rekod yang sangat baik menandakan bidang keusahawanan semakin diminati ramai. Bengkel PKNS apa tah lagi. Semalam lebih 250 orang hadir dan hari ini dijangka bilangan yang sama akan hadir di Klinik Usahawan yang membuka peluang niaga dalam sektor herba.

Saya mengambil peluang mempromosi kedua-dua buku saya kepada rakan-rakan peserta. Ramai juga yang berminat untuk membeli dan sudah menghubungi saya. Sepatutnya saya membuka booth kecil untuk membolehkan buku-buku saya dijual.

Rasa ralat pula apabila ada yang bertanya: boleh saya dapat buku-buku puan sekarang??? Saya hanya membawa contoh buku-buku dan tidak membawa stok untuk dijual. Sesungguhnya saya merasa amat seronok apabila menerima e-mel malam tadi daripada seorang usahawan yang mahukan 5 naskah buku saya yang kedua. Dan panggilan telefon daripada seorang usahawan lagi yang mahu menempah 2 naskah. Alhamdulillah!!!

Lewat petang kelmarin saya menempah 100 buah naskah (50 bagi tiap satu tajuk) kepada Bahagian Jualan, PTS. Esok, insyaAllah, saya akan mengirim buku-buku yang sudah ditempah para pelanggan. Ada lebih 40 naskah semuanya. Alhamdulillah!!!

Tuesday, November 20, 2007

Pengalaman Pertama

Selepas program Bicara Penulis Ahad lalu, hati saya terasa senang sekali. Mungkin kerana berjaya berdiri selama 1 jam di atas pentas (dalam sebuah pusat beli-belah yang penuh dengan pengunjung) membicarakan buku-buku hasil karya sendiri, amat terkesan di hati saya satu perasaan bahawa sebagai seorang penulis memang sewajarnya saya yang membicarakan isi kandungan buku-buku saya supaya bakal-bakal pembaca tahu apa yang menarik terkandung di dalamnya.

Pada mulanya memang saya terasa amat jeran, saya bagaikan pening-pening lalat memikirkan program Bicara Penulis itu. Saya membuat keputusan untuk hadir sehari awal iaitu pada hari Sabtu untuk melihat sendiri bagaimana 2 rakan penulis, En. Shamsuddin Abd. Kadir dan En. Zamri Mohamed membicarakan buku-buku mereka.

Aduhai, kecut hati saya tatkala melihat En. Roslan (tepat pada pukul 1:50 petang) naik ke pentas dan mengalu-alukan kedatangan para pelanggan ke Centre Court kerana acara akan bermula. Dia terus menjemput para pelanggan walau pun panggilannya seperti tidak dihiraukan orang. En. Roslan memang bold. Dia dengan bersahaja terus berceloteh memperkenalkan penulis-penulis yang akan mengambil bahagian.

Tepat jam 2 petang En. Shamsuddin naik ke atas pentas. Masa 1 jam yang diberi dipergunakan 100% untuk bercakap tentang buku beliau. Dia memang bersemangat dan saya mengurut dada 2-3 kali sambil memikirkan giliran saya di esok hari. Hati berkata-kata : Akak takut... Akak ketaq sangat... Akak nak balik Melaka... Akak nak ambil MC... Tolong sama gua, tolong! Gua takut!

En. Zamri Mohamed lagi candi orangnya. Seronok pula saya melihat telatahnya di atas pentas. Anak muda berusia 26 tahun itu benar-benar mempromosi buku-buku beliau sampai hampir terlajak masa sejam itu. Aduhai, dari mana mereka ini dapat semangat yang begitu kental.

En. Roslan, Cik Rozita, En. Zain dan tim PTS yang lain, mereka memang best. Saling bekerjasama menukar banting/poster dan buku-buku yang dipamerkan apabila pentas berganti penulis. Saya sangat suka dengan semangat mereka : rajin, proaktif, cekap, bold.

Malam itu saya dan Zainal menginap di Hotel De Palma. Sesungguhnya saya sangat teruja dengan semangat rakan-rakan penulis dan tim PTS. Saya berkata kepada diri sendiri : Norlela, jangan lepaskan peluang ini. Just do it! Malam itu saya berehat secukupnya. Hati saya tidak putus2 berdoa kepada Allah : Ya Tuhanku, berilah aku kekuatan...

Dipendekkan cerita, esoknya saya tunaikan solat dhuha, kemudian solat jamak zohor dan asar sebelum check-out jam 1:20 petang. Setibanya di Alpha Angle, perasaan saya masih tenang. Saya tersenyum melihat banting/poster dengan gambar saya sudah siap terpasang di atas pentas. Dan Alhamdulillah, semuanya dapat saya tempohi dengan baik.

Gelodak hati saya hilang terus sebaik saja saya membulatkan hati bahawa saya tidak akan turun daripada pentas melainkan jarum jam sudah mencecah pukul 3 petang. Seperti saya katakan di entri sebelum ini, Zainal memberi saya gred C+ saja.

Dia kata : Lain kali jangan menjerit, apabila suara you serak, bunyinya tak best... oppsss... best juga... tapi tak berapa best, hehehe!

Jawab saya : Hmmm, apa-apa ajelah. Yang penting I sudah merdeka. Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Untuk makluman anda, ketika bercakap di atas pentas, saya dapat menangkap beberapa pasang mata yang tekun mendengar bicara saya. Antara mereka itu ada yang duduk di kerusi, ada yang bersandar di rak buku, ada yang sedang memilih buku... Mereka mendengar dan memandang ke arah saya sambil mengangguk dan dengan sendiri saya sedar, memang ada orang yang mendengar dan memberi perhatian.

Kami balik ke Melaka kira-kira jam 5:00 petang. Itulah pengalaman pertama saya. Akhirkata, terima kasih kepada PTS kerana memberi peluang ini kepada saya. Buatlah acara begini lagi kerana saya pasti akan memberi kerjasama penuh. Secara peribadi, ia sudah menyuntik semangat yang tinggi kepada saya dan insyaAllah saya mahu melakukannya berkali-kali lagi dengan lebih baik. Akak sudah berani, hehehe!!!

Monday, November 19, 2007

Terapung Di Awan!

Semalam Ahad, November 18, adalah pengalaman pertama saya bercakap dalam program Bicara Penulis anjuran bersama PTS dan MPH. Itulah pertama kali kaki saya berdiri di atas pentas dalam sebuah pusat beli-belah dan bercakap di hadapan orang ramai. Perasaan saya... hohoho... nanti akan saya ceritakan kepada anda!!!

Walau apa pun saya amat bersyukur kerana berjaya melakukannya : saya tidak terpengsan atau tersakit perut tetiba atau terkelu (kerana darah gemuruh) semasa berada di atas pentas! Ia satu pencapaian besar bagi saya yang sudah beberapa malam tidak dapat tidur lena kerana risaukan program itu.

Zainal memberi saya gred C+ untuk persembahan saya. Beberapa perkara dikomennya. Saya terima hakikat bahawa banyak lagi yang perlu saya perbaiki. Namun saya bersyukur, C+ itu bermakna saya tidak gagal.

Saya amat berterima kasih kepada tim PTS (En. Roslan, Cik Rozita, En. Zain dan lain-lain). Juga rakan-rakan penulis seperti En. Zamri Mohamed dan En. Shamsuddin Kadir atas sokongan moral mereka. Mereka hadir program saya dari awal hingga akhir. En. Zamri Mohamed menulis entri tentang intisari bicara saya di blog beliau.

Tidak ketinggalan kehadiran mengejut keluarga saya : Ayza (Donut), Mak, Mehmet dan Etuy. Saya sangat menghargai sokongan mereka. Terima kasih kerana bersusah-payah datang dari Melaka untuk menyokong saya. Oh ya, PTS ada membuat video untuk sesi saya. Gambar-gambar ketika program bicara penulis itu boleh dilihat di sini.

Subuh ini usai mencuci gigi dan melihat di cermin, tetiba saya ter-menyanyi lagu Fernando dendangan Abba. Senikatanya berbunyi begini : If I have to do the same again, I would, my friend, Fernando!!!

Sunday, November 18, 2007

Program Bicara Penulis

Untuk makluman anda, PTS sudah mengaturkan program bicara penulis untuk beberapa penulisnya termasuk diri saya bersempena dengan MPH Book Fair bulan November ini.

Acara itu diadakan mulai 17 hingga 25 November, 2007 di Alpha Angle Wangsa Maju. Giliran saya ialah pada hari Ahad, 18 November, 2007, insyaAllah.

Program saya dijadual bermula jam 2:00 hingga 3:00 petang. Harap dapat bertemu anda di sana. Jangan lupa dapatkan buku Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya dan 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia!!!

Friday, November 16, 2007

Mengigau

Kami ke Ipoh lagi atas urusan kerja di MAB. Sejak diusik hantu yang menghuni bilik Hotel XYZ di KL bulan Ramadan lalu, saya lebih selesa menginap di tempat yang kami sudah biasa. Di Ipoh, tempatnya di mana lagi kalau bukan di Heritage. Malangnya ketika menempah bilik, tiada kekosongan pula. Pilihan seterusnya ialah Impiana Casuarina. Saya bertawakkal kepada Allah, harap-harap biarlah bilik yang kami dapat nanti hantu-free...

Bilik di Impiana Casuarina sebenarnya jauh lebih baik. Yang paling saya suka ialah dapat menyewa talian internet di dalam bilik kami. Cajnya RM20 untuk 12 jam. Saya turun ke lobi untuk mengambil username dan password. Balik ke bilik, tanpa berlengah saya mengeluarkan laptop dan menyambung kabel ke soket di tepi almari solek.

Usai peperiksaannya petang itu, Alum datang ke hotel. Kami pergi makan berdua, selepas itu balik semula ke bilik. Selesai solat, kami berbual-bual lagi. Macam-macam cerita, maklumlah sudah lama tidak berjumpa. Sambil bercerita, dengan selamba dia masuk ke dalam selimut dan berkata : Mak, Anak ngantuklah. Mak tarikkan langsir tu, mata Anak silau...

Saya memandang langit petang yang redup di cermin tingkap. Redup begini pun boleh silau, bisik hati saya sambil menarik langsir. Ketika menoleh semula kepadanya, budak bertuah itu sudah siap berbungkus dalam selimut sampai ke paras telinganya. Dan dalam sekejapan, dia sudah terlena.

"Petang-petang tak baik tidur," kata saya. "Orang kata, tidur petang nanti jadi gila. Anak tak takut ke?" tanya saya.

"Anak ngantuk sangat ni, Mak. Semalam Anak stay-up," jawab Alum daripada dalam selimut.

Saya melihat dia bergulung macam ulat kepompong. Walau pun usia sudah 22.5 tahun, tabiatnya kekadang macam budak kecil. Kata orang, inilah sindrom anak tunggal. Di depan ibu-bapa dia kekadang terlupa yang dirinya sudah 'besar kerbau' tetapi terasa seperti budak kecil. Hohoho!!!

Alum balik ke UTP selepas solat magrib dan makan malam. Di pendekkan cerita tidak lama kemudian saya pun terlena. Menurut Zainal, selang beberapa minit saja saya sudah mula bercakap-cakap dalam tidur. Dia melayan saya bercakap beberapa ketika. Dialognya seperti berikut...

Saya : Dia dah nak pindah...

Zainal : Pindah mana???

Saya : Pindah kat Sungai Petani...

Zainal : Oooo... siapa yang nak pindah???

Saya : Entah...

Zainal : Ada nampak nombor???

Saya : Nombor??? Hmmm... tak ada...

Zainal tergelak-gelak. Katanya manalah tahu kot-kot saya ternampak nombor bertuah yang boleh menang 1st prize!!! Hehehe!!! Binawe!!!

Thursday, November 15, 2007

Tauke Hujan Emas Malaysia

Ramai orang yang mengambil jurusan pengurusan perniagaan ketika di universiti tidak membuka bisnes sendiri. Sebaliknya ramai orang yang tidak pernah belajar pengurusan bisnes berani membuka perniagaan dan menjadi usahawan. Pelik tetapi benar.

Tauke Syarikat Baja Semburan Hujan Emas Malaysia, Encik Hussin Sudin, merupakan bekas budak pejabat PDRM, Muar. Pada tahun 1998 di usia 40 tahun, beliau mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjadi petani. Tanah di belakang rumahnya seluas 0.8 hektar diusahakan dengan menanam 500 batang pokok kelapa pandan, berselang seli dengan 5000 keladi mawar.

Melalui pergaulannya dengan petani-petani Cina di daerahnya, Encik Hussin mempelajari kaedah yang berkesan untuk meningkatkan hasil tanamannya. Caranya ada 2. Yang pertama ialah menggunakan klon benih baik yang cepat mengeluarkan hasil. Yang kedua ialah menggunakan cara pembajaan yang betul dan sistematik, mengikut jenis dan usia tanaman.

Bermula daripada situ, Encik Hussin mendapat ilham menghasilkan baja cecair semburan yang sesuai dan berkesan untuk semua jenis tanaman. Beliau mencipta bajanya sendiri menggunakan beberapa campuran mengandungi unsur NPK, MgO dan mikro mengikut sukatan-sukatan tertentu.

Sebahagian daripada ruang rumahnya dijadikan makmal untuk memproses baja cecair itu. Dia membuat sendiri penyedilikan R&D bagi menentukan jumlah campuran dan sukatan yang paling baik dengan membancuh bahan-bahan menggunakan beberapa peralatan seperti tong dram dan mesin pencuci pakaian.

Baja ciptaannya itu kemudian dicuba di ladangnya sendiri. Hasilnya terbukti sangat baik dan jauh lebih berkesan daripada baja jenis tabur. Pokok kelapa pandan yang menggunakan baja ciptaannya mengeluarkan buah-buah yang boleh dipetik 40 hari sekali.

Baja ciptaan Encik Husin yang pada mulanya dipasarkan kepada petani-petani di daerah Muar kini sudah terdapat di merata tempat di negara ini. Untuk meyakinkan mutu produk keluarannya kepada para pelanggan yang semakin meningkat, beliau mendapatkan sijil pengesahan daripada pihak SIRIM.

Selain pasaran tempatan, baja cap Cenderawaseh kini dieksport ke Indonesia dan Selatan Thailand. Encik Husin adalah contoh usahawan yang tidak memiliki ijazah. Beliau sedang meniti kejayaan sedikit demi sedikit. Kegigihan beliau menceburi bidang keusahawanan yang penuh cabaran wajar diteladani.

Bagi anda yang berminat menjadi ejen pengedar baja cecair semburan ini, sila lawati blog Encik Hussin Sudin di : http://hujanemasmalaysia.blogspot.com/

Tuesday, November 13, 2007

Hujan Emas Malaysia

Rencana tentang Syarikat Baja Semburan Hujan Emas Malaysia sudah beberapa kali tersiar di Utusan Malaysia, Berita Harian dan Harian Metro.

Syarikat ini mengeluarkan baja cecair semburan berjenama Cenderawaseh yang amat sesuai untuk pertanian dan tanaman kontan termasuk getah dan kelapa sawit. Ia juga sesuai untuk pokok buah-buahan dan pokok-pokok bunga.

Pemilik syarikat ini, Encik Hussin Sudin mengusahakan produk bajanya di Muar, Johor. Produk itu bukan sahaja laris di pasaran tempatan, malah sudah memasuki pasaran di Indonesia dan Selatan Thailand.


Perusahaan baja Encik Hussin bermula secara kecil-kecilan di rumahnya lebih 3 tahun lalu. Kini sudah berkembang ke tahap yang boleh dibanggakan bagi masyarakat Melayu, khususnya golongan usahawan PKS. Namun begitu, Encik Hussin Sudin dengan rendah hati mengakui beliau tidak berpelajaran tinggi. Ikuti kisah beliau dalam entri yang akan datang...

Sunday, November 11, 2007

Teka-Teki

Sudah lama saya tidak ketawa sampai keluar airmata. Alum yang pandai buat lawak sehingga saya tidak kering gusi. Tapi sudah beberapa minggu dia tidak balik kerana peperiksaan sudah dekat. Jadi, agak kurang saya ketawa kebelakangan ini.

Kata orang, tidak elok kita banyak ketawa. Namun sesekali dapat gelak besar pasti melegakan perasaan. Pagi tadi saya singgah di blog Uncle J dan terbaca 10 soalan teka-tekinya. Aduhai, pecah perut saya membaca entri itu bersama komen-komen yang gila-gila. Saya ketawa sampai keluar peluh!!!

Bercerita tentang teka-teki, suatu hari adik saya (Ayza alias Donut) memberi satu teka-teki berbunyi begini : Ada seekor kuda yang serba boleh. Boleh terbang, boleh berenang, boleh bercakap, boleh menari dan boleh buat macam-macam lagi. Kuda apakah itu?

Teka-teki itu diajukan kepada suaminya, Mehmet Gursoy. Bermacam-macam jawapan diberi tapi semuanya tidak tepat. Akhirnya Mehmet yang kehabisan idea menjawab : Saya tahu Azya, itu kuda lahabau...

Saya ketawa macam hendak pecah perut. Sungguh tidak sangka orang Turki pun tahu guna perkataan unik orang Melaka itu. Gambar di atas : Alum & Etuy.

Friday, November 9, 2007

Lokasi

Sebelum ini, laluan kenderaan untuk ke Muar dari Melaka melalui jalan lama. Jalan itu sudah wujud berpuluh tahun. Semasa bersekolah di Singapura dahulu, saya sekeluarga berulang-alik ke Melaka melalui jalan tersebut. Ia melalui beberapa pekan dan kampung seperti Kg. Alai, Kg. Telok Mas, Kg. Pernu, Umbai, Pulai, Merlimau, Serkam dan Sg. Rambai.

Untuk sekian lama, jalan Melaka-Muar itu sentiasa sibuk. Dengan peredaran masa ia menjadi sempit kerana hanya ada 2 lorong. Bagi pemandu yang 'ikut buku' (patuh sangat dengan peraturan jalan raya) memang susah hendak memotong kenderaan di hadapan apabila melalui jalan ini. Saya sendiri rasa ngeri kerana di jalan inilah arwah adik saya, Mazby, menemui ajalnya pada tahun 1984 akibat kemalangan dengan sebuah treler.

Keistimewaan jalan ini ialah kita boleh melihat banyak rumah Melayu Melaka yang cantik-cantik di kiri dan kanan jalannya. Halaman di depan rumah-rumah itu umumnya bersih dihiasai pokok-pokok bunga dalam pasu yang disusun berderet-deret. Pada musim buah-buahan, gerai-gerai buah akan tumbuh bagai cendawan selepas hujan di tepi-tepi jalan itu.

Bagi saya, orang-orang dari luar yang ingin melihat suasana kampung tradisi di Melaka, di jalan Melaka-Muar inilah tempatnya selain daripada di Masjid Tanah. Oleh kerana jalan ini sibuk sangat, bisnes-bisnes kecil dan industri kampung di sepanjang jalan itu turut berkembang.

Mulai tahun ini sebuah lebuhraya (dinamakan Lebuh AMJ) yang baru siap dibina dibuka kepada orang ramai. Ia bermula daripada Simpang Empat, Alor Gajah dan boleh merentas terus ke Muar. Melalui lebuhraya baru ini kita boleh sampai ke Muar dari bandar Melaka dalam tempoh 30 minit saja.

Saya suka lebuhraya baru itu kerana tidak perlu lagi menempuh kawasan kemalangan yang banyak terdapat di sepanjang jalan lama. Malangnya ia membawa mudharat kepada golongan bisnes terutama pemilik bisnes kecil dan sederhana. Perniagaan mereka merosot teruk kerana kini tidak banyak kenderaan melalui jalan itu.

Seorang peniaga bercerita, kedai kawannya yang menjual 1001 jenis kuih kering seperti kerepek pisang, dodol, wajik dan lain-lain menjadi tumpuan umum terutama menjelang perayaan besar seperti Hari Raya. Kuih-kuih di kedainya sangat laris dan biasanya habis sebelum Hari Raya. Tapi tahun ini berlaku sebaliknya. Ketika bulan Syawal semakin jauh meninggalkan kita, kuih-kuih di kedainya masih banyak tidak terjual.

Peranan lokasi amat penting dalam bisnes. Iktibar daripada kisah ini ialah orang bisnes perlu sentiasa peka kepada perubahan yang berlaku di sekitarnya. Bagi yang berada di zon selesa dan mengabaikan faktor ini, pasti akan pening kepala. Lokasi yang sudah bertahun-tahun menjadi tumpuan orang kini tidak lagi menarik kedatangan pelanggan.

Wednesday, November 7, 2007

Nasihat Tauke Bahulu Warisan

Di negara kita yang aman makmur ini, kerajaan menyalurkan banyak bantuan kepada golongan usahawan, khususnya untuk membantu kaum Bumiputera. Berbagai-bagai agensi ditubuhkan untuk menyalurkan kemudahan kewangan dan khidmat nasihat.

Menurut tauke Bahulu Warisan, Puan Siti, beliau bermula dengan bantuan daripada Jabatan Pertanian. Agensi itu turut mengadakan promosi hasil keluaran para usahawan di bawah bimbingannya di pasaraya Jusco, Tesco dan Giant.

"Budi baik pihak yang membantu di peringkat awal sangat saya kenang," kata Puan Siti. "Tapi, janganlah harapkan sangat bantuan-bantuan itu. Sekiranya ada, adalah. Lebih baik kita berusaha dengan duit sendiri. Apabila terlalu berharap, kita kecewa. Malah makan hati berulam jantung," tambah Puan Siti.

Menurut Puan Siti, bantuan yang beliau terima tidaklah mudah memperolehinya. Ia sangat bergantung kepada pegawai yang mengurus permohonan itu. Seandainya pegawai itu 'suka pada kita', dia akan memproses permohonan dengan cepat. Jika sebaliknya, berbulan-bulan permohonan itu tergantung tanpa jawapan.

"Saya sudah melalui saat-saat menyakitkan itu," kata Puan Siti. "Tatkala bantuan modal pusing sangat mendesak, saya terpaksa tebalkan muka menggagau ke sana ke mari. Masa itu bisnes sedang berjalan tapi modal tersekat. Puas saya merayu supaya dicepatkan proses permohonan saya tapi hampa."

Sambungnya lagi, "Pegawai yang bertugas tidak memberi layanan yang diharapkan. Puas saya menunggu tapi jawapan diterima ialah permohonan saya ditolak. Untuk teruskan bisnes saya bergolok bergadai, meminjam di sana-sini. Allah saja yang tahu peritnya penderitaan saya. Hai, apabila diingat-ingat semula terasa serik sangat. Saya tak mahu harapkan bantuan-bantuan itu lagi. Dengar macam senang boleh dapat, tapi tidak mudah sebenarnya."

"Yang banyak dan betul-betul membantu saya ialah peniaga-peniaga Cina. Mereka itulah yang membekal mesin-mesin dan bahan mentah secara kredit ketika saya sangat memerlukan bantuan. Mereka membantu saya bersungguh-sungguh selama bertahun-tahun sampai saya boleh berdiri sendiri. Saya menjaga hubungan baik kami dengan menepati masa melunaskan hutang kepada mereka," cerita Puan Siti lagi.

"Sekarang ini saya tidak perlu merayu-rayu lagi sebab ramai pembekal yang datang sendiri menawarkan kredit kepada saya. Saya bukan berlagak sombong tapi inilah realitinya. Apabila kita sudah ada nama sedikit, orang sudah kenal, ramai pula yang datang menawarkan itu dan ini. Tapi saya tidak memerlukan lagi semua itu," kata Puan Siti.

Di mata bangsa lain, kaum Bumiputera terkenal sebagai golongan yang suka mengharapkan sabsidi. Juga tersohor sebagai pihak yang sentiasa dimanjakan kerajaan kerana hak istimewanya. Tapi betulkah semua itu?

Jawapannya hanya kita sendiri yang tahu. Situasi seperti dilalui Puan Siti boleh dirumuskan dengan menghayati maksud 2 perumpamaan berikut : (1). indah khabar dari rupa (2). lembu punya susu sapi dapat nama.

Monday, November 5, 2007

Bahulu Warisan


Apabila mengunjungi pasaraya seperti Jusco, Tesco dan Giant di Melaka, KL, Negeri Sembilan dan Johor, anda mungkin pernah singgah di kiosk menjual bahulu yang dimasak dalam oven di depan mata anda.

Bahulu yang kian popular sebagai snek ringan itu dikenali dengan nama Bahulu Warisan. Kini terdapat 21 kiosk Bahulu Warisan di negara kita dan bilangannya akan terus bertambah atas permintaan ramai.

Yang lebih menarik ialah kini sudah ada 4 buah kiosk Bahulu Warisan di Singapura. Ia juga sedang dipikat saudagar dari Dubai untuk diadakan di negara timur tengah itu.

Maklumat lebih menarik ialah kiosk Bahulu Warisan kini sedang dalam proses difrancaiskan sepertimana Nelson's yang menjual jagung dan 1901 yang menjual hotdog. Hebat juga snek tradisi kita ini ya. Tahukah anda milik siapa bisnes menarik ini?

Untuk makluman anda ia adalah milik sepasang suami-isteri yang tinggal di Masjid Tanah, Melaka. Puan Siti Zueliah dan suaminya, En. Azhar memulakan bisnes mereka di rumah 17 tahun yang lalu. Saya menjejaki pasangan ini di kediaman mereka minggu lepas.

Saya langkah kanan sebenarnya kerana sehari selepas pertemuan kami mereka dijadualkan bertolak ke Surabaya. Namun mereka dapat luangkan masa lebih dua jam untuk berkongsi pengalaman.

Melihat bisnes yang sudah menjadi, memang terliur. Apa tidaknya, Bahulu Warisan kini menjadi mesin cetak duit buat pasangan ini. Bukanlah susah untuk mencongak perolehan tahunan bisnes ini yang sudah mencecah berjuta RM.

Namun bukan hal itu saja yang ingin saya bicarakan di sini. Saya mahu menyentuh tentang realiti membangunkan sebuah bisnes kecil. Bagi mereka yang ingin atau baru menceburi bisnes, maklumat ini amat penting. Mereka perlu tahu supaya tidak terpukau dengan gambaran yang manis-manis sahaja.

Saturday, November 3, 2007

30 Usahawan Wanita Gemilang


Majalah Dewan Ekonomi keluaran November, 2007 menyiarkan rencana saya yang dipetik daripada buku '50 Kisah Usahawan Wanita'.

Menurut En. Azli, editor DE, hanya 30 usahawan yang dipilihnya untuk dipaparkan di muka surat 16 hingga 21 kerana yang 20 lagi tiada gambar.

Terdapat typing error pada ejaan nama Puan Nafisah Radin (ditulis Nafusah Radin). Saya mohon maaf bagi pihak DE.

Rencana ini hanyalah catitan ringkas. Untuk membaca kisah penuh usahawan-usahawan itu, dapatkan buku '50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia' yang akan berada di pasaran dalam masa terdekat. Selamat membaca!

Thursday, November 1, 2007

Fokus

Sebaik saja beliau bersara pada bulan Mei tahun ini, Puan Norbi Husin dilantik menjadi rektor sebuah kolej baru di Melaka. Kolej itu dikenali dengan nama Kolej Antarabangsa DMDI dan bertempat di Melaka Mall (dahulu pusat beli-belah Kotamas).

DMDI adalah singkatan bagi 'Dunia Melayu Dunia Islam'. Bunyinya sedap kerana kemelayuan dan islamik tapi bagi saya ia mungkin boleh mengehadkan pasaran. 'DMDI' itu rasanya kurang sesuai untuk menarik perhatian bangsa-bangsa lain selain orang Melayu ke kolej itu. Tapi itu pendapat peribadi saya saja. Mungkin agaknya fokus penubuhan kolej itu ialah untuk pasaran di nusantara. Wallahua'lam.

Puan Norbi adalah bekas pentadbir beberapa buah sekolah di Melaka. Sekolah-sekolahnya pernah terpilih sebagai johan Sekolah Harapan Negara peringkat kebangsaan dan mendapat Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan. Puan Norbi juga merupakan seorang penulis buku yang sudah menghasilkan 2 buah buku bertajuk 'Asam Pedas Gula Melaka' dan 'Gurukah Aku Atau...?' Kedua-dua hasil karya beliau terbitan Utusan Publications berkisar tentang dunia perguruan dan pendidikan.

Berbalik kepada Kolej DMDI, ia sebenarnya mengambil-alih tempat Institut Kota Melaka yang dahulu beroperasi di tempat yang sama. Sebagai permulaan, Kolej DMDI mengadakan kursus PJJ di peringkat diploma, ijazah dan sarjana dengan kerjasama beberapa buah universiti tempatan. Ia juga menjalankan berbagai kursus jangka-pendek untuk program komuniti.

Baru-baru ini Puan Norbi menghubungi saya. Perbincangan kami berkisar tentang cadangan mengadakan program Bahasa Inggeris untuk komunikasi. Beliau bertanya sama ada saya dapat mendesain modul-modul latihan yang sesuai. Untuk makluman anda, beberapa tahun dahulu saya bersama seorang teman menjalankan program motivasi dalam bahasa Inggeris untuk remaja pada musim cuti sekolah.

Saya meminta masa seminggu untuk menyelesaikan kerja-kerja saya dahulu. Dalam tempoh itu saya berfikir apakah wajar untuk melabur masa menyediakan modul-modul latihan itu. Ia memerlukan masa dan kajian teliti untuk menyesuaikan dengan sasaran pasaran. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk memperkenalkan seorang teman yang sedang menjalankan program latihan bahasa Inggeris untuk orang awam kepada Puan Norbi.

Selain institusi ternama seperti MMU, UiTM, UTeM, Politeknik dan Kolej Komuniti, di Melaka kini sudah sedia ada beberapa kolej swasta yang menawarkan berbagai jenis kursus dalam berbagai jurusan di peringkat diploma, ijazah dan sarjana. Antaranya Kolej Yayasan Melaka, OUM, Kolej Stamford dan Kolej Teknologi Cosmopoint. Selain itu UiTM juga sudah menubuhkan kampus dalam bandar yang menawarkan kursus-kursus menarik. Nampaknya saingan untuk Kolej DMDI agak hebat. Untuk menonjolkan diri, ia perlu mempunyai 'niche' yang tersendiri.

Bagi saya sendiri, memang mudah untuk lari fokus apabila ditawarkan sesuatu yang baru. Tapi kali ini saya berjaya menolaknya dengan baik. Tumpuan saya sekarang ialah untuk memasarkan modul latihan saya yang memfokus kepada bisnes kecil dan sederhana. Ia berdasarkan faktor-faktor dalam buku-buku saya 'Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya' dan '50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia'. Saya perlu mengukur baju di badan sendiri.