Saturday, December 29, 2007

Tetamu Yang Di Nanti




Petang Jumaat lalu saya menerima panggilan daripada Prof Kamil. Katanya beliau sekeluarga akan ke Melaka pada pagi Sabtu. Antara agenda mereka ialah hendak bersarapan nasi gunting di Melaka Sentral, kemudian akan singgah sebentar di rumah saya untuk menandatangan buku Travelog Haji. Kata Prof Kamil : Kami tak mahu makan apa-apa, cuma mahu singgah sekejap saja.

Sejurus lepas itu Tuan Sabtu (yang sedang mengadakan kursus di PD) pula menelefon saya. Beliau memberitahu baru menerima sms daripada Prof Kamil. Pesan Tuan Sabtu : Esok bawalah Prof Kamil ke Lot 85 (restoran asam pedas terletak di Durian Daun, Melaka).

Pagi ini saya menyediakan sedikit juadah untuk tetamu yang dijangka sampai +/- jam 10:00 pagi. Sebelum bertolak ke Melaka, Prof Kamil ada mengirim sms. Saya membalas : Jangan makan kenyang sangat (nasi gunting). Di rumah saya kenalah minum teh...

Jam 10:30, rombangan tetamu yang dinanti sampai di halaman rumah kami. Saya dapat mengenali kesemua mereka selain Prof Kamil sendiri : bapa dan ibu mertuanya, Puan Roza, Sara, Azrai, Amirul dan Sofea kerana kerap melihat gambar dan membaca kisah mereka di blog. Rasanya seperti sudah kenal benar dengan mereka walau pun kami baru bertemu pertama kali.

Sahabat saya, Mun dan suaminya, Dr. Marzuki, sampai ke rumah kami kira-kira sejam kemudian. Saya menjemput mereka datang untuk sama-sama meraikan Prof Kamil sekeluarga. Secara kebetulan, suami Mun adalah rakan sekelas Prof Kamil di MRSM dahulu. Kami kemudian makan tengahari di Restoran Lot 85 dan berpisah kira-kira jam 1:30.

Rasanya bagaikan mimpi. Saya membelek buku yang dihadiahkan Prof Kamil beserta video pelancaran Travelog Haji. Zainal berkali-kali berkata : Abang tak sangka dia sudi datang hanya untuk memenuhi janji menandatangan buku.

Alum pula berkata : Mak ini bukan main lagi sekarang. Berkawan dengan profesor. Waduh!!!

Saya masih terasa seperti bermimpi. Di majlis pelancaran buku Travelog Haji pada 27 Ramadan lalu, saya sedikit hampa kerana tidak dapat bertemu penulis buku Travelog Haji itu dari dekat. Beliau waktu itu dikerumuni tetamu yang sangat ramai dan hanya sempat melambai ke arah saya ketika Zainal bersalam dengannya.

Sebenarnya saya agak terkilan kerana melalui komennya di blog ini Prof Kamil menjemput saya dengan nada sangat ramah. Ya, rasa terkilan itu terbawa-bawa sehingga keesokan harinya. Namun pada pagi 28 Ramadan, tanpa diduga saya menerima satu panggilan. Saya sungguh terkejut kerana pemanggilnya ialah Prof Kamil sendiri.

Kesimpulan saya : Prof Kamil mempunyai personal touch yang dapat menyentuh hati insan lain. Hari ini saya sekeluarga merasakan lagi sentuhan itu. Mudah-mudahan Allah memberkati persahabatan kami dengan insan istimewa ini dan seisi keluarganya. InsyaAllah.

Thursday, December 27, 2007

Surat Pilihan : Pendapat Zaharahanum Kamarudin

Melalui perbincangan kita dapat berkongsi pendapat dan melihat sesuatu isu bisnes dengan perspektif berbeza. Seperti mana saya katakan sebelum ini, dalam pengalaman orang lain banyak ilmu yang boleh kita perolehi. Tidak semestinya semua pendapat orang lain itu boleh dipakai bulat-bulat. Sekurang-kurangnya perbincangan dapat mencetuskan berbagai solusi dan ilham baru.

Yang baik boleh dijadikan teladan. Yang sebaliknya kita timbangkan sendiri. Diharap anda juga berfikiran sama. Janganlah kita bersikap prejudis. Tiada salahnya mendengar pendapat orang lain. Sekurang-kurangnya kita akan lebih berhati-hati ketika membuat keputusan untuk bisnes yang sedang kita usahakan.

Isu 'Impak Persekitaran Yang Berubah' mendapat respon daripada seorang pengunjung blog ini. Pandangan peribadi beliau yang mungkin berguna untuk kita semua, saya paparkan di sini untuk dikongsi bersama pembaca lain...

Assalamualaikum,

Puan Norlela,

Saya tahu tentang gerai makanan Encik Aziz cuma saya tidak pasti kedainya yang mana satu. Tapi kalau dia yang jual nasi lemak setiap pagi, memang saya kenal sangatlah sebab saya dan keluarga sering makan di situ dan dia satu-satunya yang berniaga nasi lemak dan lauk-pauk di situ. Dan jika benar, En. Aziz itu kini meneruskan perniagaan restorannya dengan menyewa kedai di hadapan gerai lamanya. Saya simpati juga dengannya sebab gerainya belum setahun pun diubahsuai sudah terpaksa dirobohkan atas arahan MPAJ.

Berkaitan masalah Encik Aziz, perkara ini ada pro dan kontranya. Jika kita ingat balik kes Pak Ali Lemang (yang berniaga di Jalan Hulu Kelang satu ketika dulu), beliau juga menjual lemang dengan berjaya hingga namanya menjadi jenama. Namun, apa jadi kepada perniagaannya apabila pemaju membeli tanah yang didudukinya selama puluhan tahun itu?

Kini Pak Ali menyewa satu lot rumah di AU5 dan menjadikannya sebagai pusat operasi lemangnya itu. Namun, Pak Ali mungkin tidak pernah terfikir bahawa jiran2nya boleh membuat aduan kepada MPAJ menyatakan Pak Ali telah menyalahgunakan kediamannya sebagai 'kilang dan kedai membuat dan menjual lemang'.

Tapi biasalah, jiran tetangganya baik2 belaka dan MPAJ pula tutup mata dan malas hendak ambil tindakan. Sebab itu ada banyak kediaman yang telah diubahsuai menjadi kedai, pusat pameran dan juga pejabat walaupun dalam pengetahuan saya, hal ini salah dari segi undang2. Namun jika saya salah, mohon puan betulkan.

Sebenarnya, saya hendak mengajak puan berfikir tentang mentaliti orang Melayu, apa yang membezakan kita dengan peniaga Cina. Saya tidak pandai kerana saya pun bukan peniaga. Apatah lagi, umur saya belum cecah 30 pun. Namun saya harap, puan sudi berkongsi pandangan saya ini.

Orang Melayu, suka berniaga dengan cara En. Aziz dan Pak Ali. Mereka 'meneroka' satu kawasan yang strategik, dengan wang ringgit mereka, membina kedai yang asalnya biasa2 sahaja menjadi cantik dan selesa, kedai kecil yang kemudiannya besar, tapi mereka tidak pernah berfikir atau mahu befikir mereka berniaga di atas tanah siapa.

Bukan En. Aziz dan Pak Ali sahaja, tapi saya percaya, ramai dalam kalangan orang Melayu begitu. Tanah kerajaankah? Tanah persendiriankah? Bila sudah dapat notis baru buru2 buat rayuan untuk mohon tanah berkenaan atau merayu siapa2 yang ada tempat untuk disewakan agar boleh meneruskan perniagaan. Pak Ali pernah merayu dalam TV3.

Dengan pendapatannya yang lumayan, pernahkah En. Aziz terfikir untuk memiliki restorannya sendiri? Dan kita lihat sekarang pun, En. Aziz masih 'sayangkan' tapak lamanya dengan berusaha menyewa empat lot kedai tersebut.

Sebenarnya, apakah yang dikejar oleh orang Melayu apabila mereka berniaga? Apakah mereka hanya ingin menimbunkan wang dalam akaun mereka atau bergaya dengan pelbagai jenis kenderaan mewah sahaja? Tidak pernahkah mereka terfikir bahawa lot kedai adalah aset yg sangat berharga? Kenapa dengan keuntungan yang sebegitu besar yang dikaut setiap tahun, En. Aziz tidak bertindak membeli mana2 kedai?

Orang kita terlalu gemar menyewa atas alasan tidak mahu pening kepala dengan masalah penyelenggaraan dan cukai2 yang dikenakan PBT. Tapi mereka tidak pernah hendak fikir banyak untungnya kalau memiliki kedai sendiri. Kalau pun kedai itu tidak digunakan atas perniagaan sendiri, kedai berkenaan boleh disewakan.

Malah kalau kena halau dari rumah pun, masih boleh tinggal di kedai. Tapi orang kita suka kumpul rumah, dan kereta, tapi tak terfikir hendak kumpul kedai. Kalau puan berjalan2 di sekitar Wangsa Maju, puan lihatlah lot2 kedai baru berhampiran stesen lrt di sana. Milik siapa lot kedai yang berkenaan? Semuanya memaparkan iklan untuk disewa. Namun, siapakah tuan punya sebenar lot2 kedai tersebut?

Puan, biasanya bila hal seperti ini terjadi, memang kita mudah melatah dan menyalahkan PBT. Tapi kita yang lemah ini bolehkah melawannya? Silap2 mereka akan buka segala kitab undang2 dan peraturan yang telah mereka wartakan lalu membungkus balik kita sampai tak bernafas. Kita tak boleh langgar undang2 sebab ia bakal menyusahkan diri kita sendiri. Kita jalanlah seiring dengan undang2. Carilah ruang dan peluang menggunakan undang2 itu demi keuntungan dan keselesaan kita.

Saya hanya menyampaikan apa yang saya fikirkan (hasil perbincangan dengan suami yang banyak pengalaman). Mungkin puan boleh gunakan kebolehan puan untuk menyedarkan orang melayu betapa pentingnya kedai sebagai aset. Janganlah bersenang-lenang atas tanah kerajaan dan janganlah mengimpikan hendak memilikinya walau sedetik pun. Sia-sia sahaja kalau dihalau kelak.

Memang bumi ini milik Allah, tapi kalau berniaga atas tanah kerajaan tanpa dokumen hitam putihnya atau surat kebenaran, berkatkah rezeki itu? Memang perniagaan kita halal tapi janganlah kerana tanah sekangkang kera menjadi sebab kita diazab di akhirat kelak.

Saya berharap apa yang saya tulis ini ada manfaatnya.

Wassalam,
Zaharahanum Kamarudin

Belajar Kemahiran Hidup



Siapa kata anak lelaki malas ke dapur...


Bak kata pepatah Melayu, hendak seribu daya. Tak hendak seribu dalih...


Sebagai ibu, saya berpegang pada pepatah lama... hendak melentur buluh biarlah daripada rebung. Tidak rugi orang lelaki belajar ke dapur. Fikirkan masa depan sendiri, hehehe!!!

Tuesday, December 25, 2007

The Wise Old Man

Sahabat saya, Azizah Mirasa, mengirim emel dan kisahnya seperti berikut...

A man of 92, short, very well-presented, who takes great care of his appearance, is moving into an old people's home today. His wife of 70 has recently died and he is obliged to leave his home. After waiting several hours in the retirement home lobby, he gently smiles as he is told that his room is ready. As he slowly walks to the elevator using his cane, I describe his small room to him including the sheet hung at the window which serves as a curtain.

"I like it very much," he says with the enthusiasm of a little boy who has just been given a new kitten.


"Sir, you haven't seen the room yet, hang on a moment, we are almost there," I said.


"That has nothing to do with it," he replies. "Happiness is something I choose in advance. Whether or not I like the room does not depend on the furniture or the decor. Rather it depends on how I decide to see it."

He continues, "It is already decided in my mind that I like my room. It is a decision I take every morning when I wake up. I can choose to spend my day in bed enumerating all the difficulties that I have with my body that no longer works very well. Or I can get up and give thanks to Allah for those parts that are still in working order."

He continues, "Every day is a gift and as long as I can open my eyes, I will focus on the new day and the happy memories that I have built up during my life. Old age is like a bank account. You withdraw in later life what you have deposited along the way."

So, my advice to you is to deposit all the happiness you can in your bank account of memories. Thank you for your part in filling my account with happy memories which I am still continuing to fill. Remember the following guidelines for happiness...

1. Free your heart from hate
2. Free your mind from worry
3. Live simple
4. Give more
5. Expect less

Monday, December 24, 2007

Kasih Ibu


To a mother, her children are always her babies, even if they have grey hair.

By : Janet Leigh

The mother whose heart has been plucked out to make sacrifices still says, when her grown child stumbles : Are you hurt, my child?

By : Erica Jong

Petikan daripada buku :
Thoughts On Being A Mother By Helen Exley.

Saturday, December 22, 2007

Bisnes Kumpulan Elit

Kawan lama saya, Munirah, bertugas di sebuah universiti. Baru-baru ini kami terserempak di sebuah pusat beli belah dan saling bertanya khabar. Secara kebetulan Munirah kini mengajar subjek keusahawanan. Sambil kami minum kopi, saya memberitahu dia tentang buku-buku saya yang memfokus kepada bisnes kecil dan sederhana.

Kata saya : Selain apa yang di ajar secara akademik, dalam bisnes kita perlukan banyak kemahiran praktikal. Contohnya cara berkomunikasi dengan berkesan.

Saya menceritakan satu peristiwa di mana dalam sebuah seminar keusahawanan, seorang usahawan menempelak sekumpulan pegawai kerajaan yang dikatakan lambat memproses permohonan bantuan kewangannya. Para hadirin bersorak-sorak dan bertepuk-tangan tanda menyokong tindakan usahawan itu.

Kerana menurutkan geram, banyak kata-kata tajam dilepaskan dalam majlis tersebut. Tapi apakah kesannya selepas itu? Tentulah ada tindak-balas yang defensif daripada pihak yang dikecam. Kadangkala orang terlupa bahawa memelihara hubungan baik dengan pihak yang bantuannya diperlukan sangat penting.

Kata saya : Hendak menegur orang pun perlukan konsep 'menang-menang'. Ia salah satu kemahiran praktikal yang perlu ada pada semua usahawan.

Reaksi spontan Munirah membuat saya terfikir sesuatu. Bahawa dia tidak nampak pentingnya topik yang saya timbulkan itu.

Kata beliau : Saya sudah lama buat kajian sendiri. Budak-budak universiti tidak berminat dengan bisnes konvensional. Contohnya pembuatan dan pengilangan. Selain sudah biasa, bisnes begitu perlukan modal besar. Budak-budak universiti lebih berminat dengan bisnes baru seperti e-commerce, bisnes internet, francais, MLM, unit trust dan insuran.

Saya tersenyum dan mengangguk sambil berkata : Oh ya?

Jawab Munirah : Ya, mereka lebih minat dengan apa yang boleh jadikan diri mereka jutawan.

Saya bertanya : Bukankah francais perlukan modal besar?

Jawab Munirah : Ya, sekarang ada Prosper dan PUNB sediakan pinjaman. Bisnes beginilah disukai pelajar-pelajar universiti.

Tambah Munirah lagi : Saya bercadang mahu menjemput beberapa penceramah yang membuat bisnes internet untuk berkongsi pengalaman dengan pelajar-pelajar saya.

Saya tersenyum lagi sambil bertanya : Macam Irfankhairi?

Jawab Munirah : Sebenarnya teknik Irfankhairi itu sudah outdated. Di Malaysia ini, masih orang boleh terima lagi. If you go global, semua itu sudah outdated.

Saya tersenyum sendiri sambil hati berkata : Yang Irfankhairi ajar sekarang pun saya belum dapat praktikkan...

Sebelum beredar kami bertukar-tukar kad nama. Saya agak yakin Munirah tidak akan membaca buku-buku saya. Andainya Irfankhairi pun sudah outdated, saya ini apa tah lagi!!! Melihat kelulusan di kad namanya pun, peluh saya sudah merecik, hehehe!!!

Bagi anda yang berfikiran terbuka, janganlah mendiskriminasi sesuatu bisnes itu bertaraf tradisional atau elit. Perkara-perkara asas dalam bisnes (tidak kira apa jenis bisnes pun) termasuk kemahiran praktikal adalah sama saja.

Dengarlah dan bacalah berbagai pengalaman bisnes orang lain, contohnya seperti dalam buku Kisah 50 Usahawan Wanita Malaysia. Anda pasti bersetuju bahawa mereka yang sudah berjaya (sebelum menjadi jutawan) pernah merasai jatuh dan bangun.

Ambillah iktibar daripada berbagai kesilapan yang orang lain pernah lakukan serta dengari suka duka yang sudah mereka harungi. Di dalam pengalaman berharga mereka itu ada banyak tips, petua, solusi, strategi, ilham dan 1001 lagi kemahiran praktikal yang tidak pernah diajar di universiti.

Wednesday, December 19, 2007

Impak Persekitaran Yang Berubah

Baru-baru ini saya bertemu En. Aziz, seorang usahawan bisnes makanan yang sangat berjaya. Beliau berkongsi kisah bisnesnya yang kini sedikit terganggu dek persekitaran yang sudah berubah. Dilema yang sedang beliau hadapi agak penting untuk kita renungkan bersama.

En. Aziz menjalankan bisnes makanannya di Melawati. Sudah bertahun-tahun beliau berniaga di sebuah warung bersaiz sederhana yang dibina di atas tanah milik kerajaan (dengan belanja sendiri). Bisnes En. Aziz amat bagus.

Menurut beliau, jualan harian di warungnya mencecah RM3 ribu sehari. Pada hujung minggu hasilnya lebih lumayan daripada itu. Secara kasar jualan bulanan En. Aziz bernilai lebih RM80,000 dan hampir RM1 juta setahun.

En. Aziz seorang yang sangat rajin dan cekap mengurus bisnesnya. Meski pun mempunyai ramai pembantu, beliau sendiri bertungkus-lumus bekerja bagi memastikan urusan di kedainya berjalan lancar. En. Aziz juga bijak mengurus kewangan. Pendek kata, beliau memiliki ciri-ciri seorang usahawan Bumiputera yang unggul.

Baru-baru ini tapak warung En. Aziz diambil balik oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Warung beliau dirobohkan dan di atas tapak yang sama, PBT tersebut kini sedang mendirikan 12 lot warung kecil. En. Aziz sudah memohon untuk mendapatkan 4 lot menggunakan nama beliau, isteri dan 2 orang saudaranya. Beliau memohon kepada pihak PBT supaya diberi 4 lot sederet yang kedudukannya saling bersebelahan.

Perkara yang kini merisaukan En. Aziz ialah saiz setiap lot warung itu amat kecil dan hanya boleh memuatkan 4 buah meja. En. Aziz pening kepala memikirkan bagaimana beliau hendak berniaga seperti biasa dengan 16 buah meja sahaja sedangkan sebelum ini warung beliau boleh memuatkan 30 buah meja.

En. Aziz pernah pergi berbincang dengan pihak PBT dan mencadangkan supaya dibina di atas tapak asal sebuah warung sahaja dengan rekabentuk yang lebih baik serta disewakan semula kepada beliau. En. Aziz bersedia membayar sewa sehingga RM1,000 sebulan. Bagaimana pun cadangan beliau ditolak.

Menurut pihak PBT, mereka mahu membina 12 lot kedai kecil bagi membuka peluang kepada orang lain (selain En. Aziz) meski pun bisnes yang boleh dijalankan hanya secara kecil-kecilan. Bagi mereka tindakan itu rasional.

Apa pendapat anda? Adakah tindakan PBT yang secara tidak langsung merosakkan sebuah bisnes orang Melayu yang sudah terbukti maju itu rasional? Susah juga hendak menjawab soalan ini kerana sebagai tuan tanah, PBT itu berhak membuat apa yang dirasakan wajar di pihak mereka.

Iktibar daripada kisah ini ialah dalam bisnes kita perlu sentiasa menjangka kemungkinan yang bakal berlaku ekoran daripada persekitaran yang sering berubah. Memandangkan warung beliau terletak di atas tapak yang bukan milik sendiri, En. Aziz sewajarnya sudah menjangka isu ini lambat laun pasti akan timbul.

Dengan kedudukan kewangan beliau yang kini kukuh, sudah tiba masanya En. Aziz mencari tapak baru yang lebih strategik. Ya, saya sudah mula terbayang sebuah restoran besar milik En. Aziz (seperti Restoran Haslam) yang dikunjungi ramai pelanggan setiap hari...

Sunday, December 16, 2007

Apabila Mem Besar Tiada Di Rumah...

6 hari saya tiada di rumah. Bukan jauh sangat pun langkah saya, sekadar di KL saja. Meski pun begitu, amat terasa betapa rindunya saya kepada dua lelaki yang ditinggalkan di Melaka. Siapa lagi kalau bukan Mr. Z dan anaknya, Mr. A.

Tepat jam 5:00 petang Jumaat lalu, mereka berdua sudah menanti saya di lobi Grand Seasons. Kebetulan saya terlewat keluar kerana sesi bergambar dengan teman-teman. Tatkala saya melihat handset, ada 2 miss call daripada Alum dan 2 miss call daripada Zainal.

Semalam saya masih letih tetapi hari ini sudah segar. Saya melihat sekeliling rumah. Daun-daun kering dan ranting-ranting patah di bawah pokok mangga bertaburan di sana-sini menutupi tanah. Ketara benar sudah lama halaman rumah tidak bersapu.

Pokok-pokok bunga dan pelepah pinang ada yang sudah rebah ke bumi, mungkin ditiup ribut. Dedalu sudah memanjat pagar. Rumput liar memenuhi pasu-pasu bunga. Saya menarik nafas panjang.

Dalam peti ais, ada 2 teko berisi teh O. Sayur-sayuran masih dalam bungkusan plastik. Sawi sudah berwarna kuning, kangkong sudah kering. Di atas kabinet dapur dan almari TV, terdapat beberapa cawan dan gelas kosong.

Hari ini saya menyediakan hidangan tengahari : asam pedas ikan kurau dan udang goreng butter. Sebaik saja gulai di atas dapur itu mendidih, Alum sudah menceduk kuah semangkuk kecil untuk di hirup. Sambil menceduk untuk kali kedua dia berkata : Ini baru masuk. Cukup garam, cukup asam.

Selepas makan, dua beranak yang kekenyangan itu tertidur di depan TV. Seorang terlelap di atas kerusi malas. Yang seorang lagi tergolek di atas karpet. Kira-kira jam 5:00 tadi Alum terjaga. Dengan mata yang masih sembab macam karipap dia berkata : Mak ni masak kuah taruh ubat tidur ke???

Sebentar tadi dia lalu di sini sambil mengintai-intai skrin dan bertanya : Mak taip apa tu? Saya menahan gelak sambil menjawab : Adalah cerita sikit...

Monday, December 10, 2007

Tenaga Baru

Saya sendiri tidak tahu dari mana datangnya tenaga ini. Bagi orang lain mungkin apa yang saya lalui sekarang adalah perkara biasa. Tapi bagi saya yang pada suatu waktu dahulu mengalami masaalah kesihatan yang kronik, tenaga yang ada pada saya kini adalah sesuatu yang sedikit luar biasa.

Contohnya pada Khamis minggu lalu saya menghadiri kursus dan melawat ladang-ladang mas cotek di Batu Pahat. Acara itu yang memakan masa seharian penuh agak meletihkan. Kami bertolak awal pagi dan pulang lewat malam.

Esoknya saya boleh ke pejabat seperti biasa. Hari Sabtu saya masih bertenaga untuk menghadiri jemputan kahwin sepupu saya. Bukan itu saja, pada hari itu juga rumah kami dikunjungi beberapa orang tetamu di sebelah pagi dan petang. Saya gembira dapat melayani mereka.

Seterusnya semalam (Ahad) saya menghadiri bengkel terjemahan Islamika anjuran PTS yang juga mengambil masa seharian penuh. Zainal dan Alum menemani saya ke KL dan sementara saya berbengkel, mereka melepak di Melawati.

Hari ini (sehingga Jumaat nanti, insyaAllah) saya menghadiri kursus di KL (train-the-trainer workshop). Selain itu saya masih bertenaga untuk menulis. Sesungguhnya saya amat gembira dengan tenaga baru ini. Doa saya semoga Allah memberi nikmat ini untuk hari-hari seterusnya, insyaAllah.

Saturday, December 8, 2007

Promosi Di Radio 24 & Akhbar Melaka Hari Ini

Buku Travelog Haji tulisan Prof. Kamil kini meletup-letup di pasaran. Sebagai rakan penulis yang sama-sama bernaung di bawah bumbung PTS, saya merasa sungguh bangga dengan kejayaan beliau. Sesungguhnya ia memberi motivasi besar kepada saya sebagai penulis baru.

Bertambah yakin hati saya bahawa tim PTS dan Puan Sifu sendiri begitu serius mempromosi penulis-penulis beserta buku-buku mereka. Secara rasmi saya kini menjadikan Prof. Kamil sebagai mentor dalam bidang penulisan dan akan menjejaki beliau melalui usaha menghasilkan buku-buku (insyaAllah) bestsellers seperti karya beliau, insyaAllah.

Minggu ini, editor PTSPro, En. Roslan Isa menghubungi saya berhubung promosi buku di Radio 24. Kata beliau, En. Sunthara dan En. Shamsuddin Abdul Kadir sudah dijadualkan ke udara pada tarikh-tarikh tertentu. Saya juga dicadangkan menyediakan 7 slot.

Hmmm... saya memang mahu tapi aduhai, hatiku ketaq!!! Saya memujuk hati, andai tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya. Ya, saya menerima peluang ini walau pun hati kecil masih berkata-kata : Akak ketaqqq, ketaaaqqq!!!

Minggu ini juga En. Hafizam Mustaffa, Penolong Pengurus di Pusat Khidmat Perusahaan Kecil & Sederhana (PKPKS) Melaka menghubungi saya. Beliau mencadangkan saya menulis beberapa rencana berkaitan keusahawanan untuk akhbar Melaka Hari Ini.

Kata En. Hafizam, saya tidak diberi imbuhan apa-apa tetapi boleh mempromosi buku-buku saya setiap kali rencana disiarkan. Bos beliau, Datuk Lugiman, turut menyokong cadangan itu dan saya sudah bersetuju. Saya amat berterima kasih kepada mereka di atas peluang yang dibuka kepada saya ini.

Oh ya, saya ingin berkongsi satu kisah lagi berhubung promosi buku. Anak saya, Alum, baru balik bercuti panjang mulai malam tadi. Kata beliau : Mak, Anak sudah tengok video di blog Mak. Semua kira oklah juga. Tapi, Anak terfikir, kenapa Mak aku bercakap dengan muka berkerut-kerut, macam bercerita kisah perang???

Hihihi!!! Saya tergelak besar sambil tangan ini terasa hendak memulas telinga Alum. Binawe!!! Hakikatnya memang benar dan itu semua berlaku akibat ketaq, hehehe!!!

Thursday, December 6, 2007

Ladang Mas Cotek

Sebelum ini saya kurang berminat dengan herba-herba tradisi orang Melayu seperti tongkat ali, kacip fatimah dan mas cotek. Antara penyebabnya ialah herba-herba itu selalu dikaitkan dengan faktor seksual.

Iklan-iklan di TV dan radio misalnya, secara tersirat terlalu memfokus khasiat herba-herba tersebut ke arah itu. Terus-terang saya merasa geli dan malu mahu mengaitkan diri dengan herba-herba 'gatal' itu.

Baru-baru ini ketika menghadiri bengkel herba anjuran PKNS, saya didedahkan kepada perspektif berbeza. Saya mulai faham bahawa herba-herba tradisi kita mengandungi banyak khasiat untuk penjagaan kesihatan dan rawatan berbagai penyakit kronik.

Mas cotek contohnya amat sesuai untuk mengubati kanser payu dara, kolesterol tinggi, gout, paru-paru berair, darah tinggi, buasir, migrain dan kencing manis. Kajian makmal oleh FRIM dan Jabatan Pertanian membuktikan herba ini mengandungi chemical content berupa anti oksida yang kuat selain membantu penyerapan nutrien dan melancarkan peredaran darah. Saya benar-benar kagum.

Selama ini saya kenal benar dengan khasiat teh hijau, ginseng dan cordyceps. Sayangnya saya tidak pernah ambil tahu tentang herba-herba tradisi yang tumbuh di negara sendiri, sedangkan khasiat yang terkandung di dalam herba-herba tradisi kita tidak kurang hebatnya. Malah melalui kajian bio-teknologi, herba-herba itu berpotensi besar dipasarkan ke seluruh dunia.

Hari ini saya dan Zainal menghadiri majlis taklimat penanaman mas cotek di Kg. Sg. Nibong, Batu Pahat Johor. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Pertanian, Bahagian Padi, Tanaman Industri & Florikultur Putrajaya.

Syarikat Moro Seri Utama Enterprise menjadi tuan rumah bagi program hari ini. En. Ismail Dahlan, pengurus syarikat itu adalah usahawan yang sangat berjaya dalam menghasilkan produk-produk mas cotek. Antara keluaran syarikat beliau ialah serbuk mas cotek dalam bentuk uncang (seperti teh uncang).

Dalam program hari ini yang dihadiri 60 orang peserta dari seluruh Malaysia, kami diberi taklimat berhubung jenis-jenis pokok mas cotek, teknologi penanaman dan pembajaannya serta cara penuaian dan pengeringan.

Pokok mas cotek sesuai ditanam di tanah gambut, tanah liat dan tanah bukit. Untuk memberi kefahaman kepada para peserta, kami di bawa melawat beberapa ladang. Antaranya di Sg. Nibong (tanah gambut), Kg. Beroleh (tanah liat) dan Empangan Semerung (tanah bukit).

Matlamat program ini adalah untuk mendapatkan bekalan mas cotek melalui perjanjian ladang kontrak. Para peserta yang berminat akan diberi kursus teknikal untuk menjadi penanam mas cotek dan seterusnya membekalkan daun, ranting, buah dan akar mas cotek itu kepada Syarikat Moro Seri Utama Enterprise.

Keluasan ladang secara kelompok (di seluruh negara) melalui penanam-penanam kontrak yang disasarkan oleh Syarikat Moro ialah 500 hektar. Ini bagi menampung keperluan bahan mentah syarikatnya dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Permintaan ke atas produk mas cotek kini dan di masa depan dijangka semakin melonjak tinggi di pasaran tempatan dan global.

Wednesday, December 5, 2007

A Call From Makkah Al Mukarramah

Anda masih ingat kisah cek tangguh yang saya tulis di entri dua hari lalu??? Hmmm... hari ini ada perkembangan terbaru berhubung isu itu...

Ya, pagi ini Zainal menerima panggilan dari Makkah Al Mukarramah. Cuba anda teka panggilan itu daripada siapa? Hmmm... sipemanggil itu ialah En. Bedul, bos Syarikat Alifbata Sdn. Bhd. Beliau sudah dimaklumkan oleh eksekutifnya, En. Tompel bahawa kami hanya akan membuat penghantaran baki Razor Babed Tapes (RBT) yang bernilai RM120,000 pada minggu pertama 2008.

Kata En. Bedul : Tolonglah, Tn. Haji Zainal. Saya berharap sangat. Tolong buat penghantaran RBT itu sebelum 15 Disember, 2007.

Zainal menjawab : Maaf, En. Bedul. Saya tidak boleh tanggung risiko sebesar ini. Amaunnya besar sangat. Andai terjadi apa-apa (bayaran tidak dapat kerana cek tendang), habislah saya.

Balas En. Bedul : Saya ini mahu buat haji. Saya sekarang berada di tanah suci. Masakan saya berani memberi cek tendang kepada Tn. Haji. Tolonglah pertimbangkan permintaan ini. Saya berharap sangat. Fikir-fikirkanlah. Saya akan berdoa di depan Kaabah supaya hati Tn. Haji jadi lembut.

Sejurus kemudian Zainal menerima pesanan SMS daripada En. Bedul. Mesejnya masih sama iaitu beliau meminta kami membuat penghantaran RBT sebelum cek tangguhnya matang pada 31 Disember, 2007.

Zainal menjongketkan keningnya sambil bertanya : Apa macam Mak Aji, anti setuju???

Saya menggeleng : La'!!! Ana la' setuju!!! Ana sudah serik kena tipu. Anta sudah lupakah? Yang tipu kita dulu siapa??? Bangsa Melayu, ada nama, ada kereta mewah, ada pejabat hebat, ada gelaran haji!!! Huhuhu... Ana masih fobia. Only in God ana trust. Others have to pay cash...

Adakah saya ini berhati batu? Adakah saya kejam? Tolong beri pendapat anda ya...

Tuesday, December 4, 2007

Terkena Kerana Naive

Sebagai syarikat yang bermodal kecil, terma jualan yang kami amalkan ialah tunai. Hanya beberapa pelanggan terpilih (yang mempunyai rekod bersih dan hubungan niaga yang lama dengan kami) mendapat kemudahan terma kredit.

Prosedur yang kami amalkan ialah pihak pelanggan yang membuat pesanan pembelian perlu membayar deposit 50%. Baki 50% lagi perlu dijelaskan terlebih dahulu sebelum penghantaran dibuat ke tempat pelanggan itu.

Pada suatu hari di pejabat, staf saya, Mansor Shah, menghulurkan sekeping cek bernilai RM12,000. Cek yang dikeluarkan oleh Popai Sdn. Bhd. (PSB) itu bertarikh 20 Disember, 2007. Tanpa ditanya Mansor menerangkan bahawa En. Meon (bos PSB) mengirim cek tangguh tersebut kepada pemandu lori (iaitu lori yang kami sewa untuk menghantar kawat duri High Tensile kepada En. Meon).

Kata Mansor lagi : En. Meon tidak beritahu saya yang dia hendak beri cek tangguh. Dia cuma kata tidak sempat hendak ke bank untuk masukkan baki bayaran 50% dan berjanji memberi cek kepada pemandu lori.

Saya menggeleng kepala. Kata saya : Mengikut prosedur, En. Meon perlu memasukkan baki bayaran itu ke akaun kita dahulu sebelum penghantaran dibuat kepadanya. Betul tak???

Mansor mengangguk beberapa kali.

Sambung saya lagi : Kenapa awak ubah prosedur, Choi? Kenapa awak buat penghantaran sebelum En. Meon jelaskan bayaran? Andainya cek tangguh ini tendang, macam mana???

Mansor terdiam seketika. Kemudian dengan dahi yang berkerut-kerut dia berkata : Saya sudah telefon En. Meon lebih 10 kali tapi dia tidak jawab langsung. Sms saya pun dia tidak jawab. Lecehlah dia. Buat saya susah.

Hari ini masuk minggu kedua Mansur cuba menghubungi En. Meon untuk mendapatkan cek yang baru bertarikh semasa. Sudah 3 kali Mansor pergi ke pejabat beliau di KL tetapi kelibat En. Meon tetap tidak kelihatan.

Iktibar : Dalam bisnes, kita tidak boleh bersikap naive atau lurus bendul. Berwaspadalah dengan pelanggan yang bermulut manis. Ikut prosedur kerja dan jangan cuai. Di mana-mana pun pasti ada pihak yang mahu mengambil kesempatan ke atas orang yang tidak berhati-hati.

Monday, December 3, 2007

Cek Tangguh

Biasanya di hujung-hujung tahun seperti sekarang, jabatan-jabatan kerajaan menghabiskan peruntukan pembelian masing-masing. Dua minggu lalu kami mendapat pesanan daripada Syarikat Alifbata Sdn. Bhd. untuk pembelian Razor Barbed Tapes (RBT) bernilai RM170,000. RBT itu perlu dibekalkan kepada sebuah jabatan kerajaan.

Semasa rundingan harga, Zainal memaklumkan kepada bos Syarikat Alifbata, En. Bedul, bahawa terma bayaran kami adalah tunai. Dia perlu membayar deposit 50% ketika membuat pesanan dan baki 50% perlu dibayar sebelum penghantaran dibuat oleh pihak kami. Terma itu dipersetujui oleh En. Bedul.

Minggu lalu, staf kami, Mansor Shah, pergi ke pejabat Syarikat Alifbata untuk mengambil pesanan rasmi dan cek. Beliau dimaklumkan oleh eksekutif Syarikat Alifbata, En. Tompel, bahawa bosnya, En. Bedul, sudah berangkat ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji. Dua keping cek yang sudah siap bertulis jumlah dan bertandatangan diserahkan kepada Mansor.

Cek yang pertama bertarikh 26 November, 2007 bernilai RM50,000. Cek yang kedua bertarikh 31 Disember, 2007 bernilai RM120,000. En. Tompel memberitahu Mansor penghantaran semua RBT perlu disempurnakan sebelum 15 Disember, 2007. Tidak boleh tidak. Ini kerana beliau perlu menghantar invois kepada jabatan kerajaan berkenaan sebelum 31 Disember, 2007.

Cek yang pertama dimasukkan ke bank pada hari itu juga. Untuk penghantaran pertama, kuantiti RBT yang kami hantar bernilai ngam-ngam RM50,000. Hari ini Mansor mengingatkan saya mengenai pesanan En. Tompel. Katanya : En. Tompel pesan, kita tidak boleh hantar lewat. Nanti dia susah.

Saya memandang Mansor dengan senyum kambing.

Kata saya : Ingat, jangan hantar dulu, Choi. Awak telefon En. Tompel dan beritahu dia sekali lagi, terma kita adalah 'tunai'. Apabila cek RM120,000 itu sudah 'clear', barulah kita buat penghantaran. Paling awal pun kita boleh hantar pada minggu pertama 2008. Beritahu dia, kita boleh hantar sebelum 15 Disember sekiranya dia beri cek baru dengan tarikh semasa.

Mansor memandang saya dengan dahi berkerut-kerut...

Sunday, December 2, 2007

Roti Jala

Di pasar malam saya leka memerhatikan seorang wanita membuat roti jala. Cara dia memusing-musing cawan acuan roti jala itu begitu berseni sehingga roti jalanya kelihatan seperti renda-renda benang kait yang halus dan berbunga-bunga.

Hari ini saya cuba membuatnya. Bukan susah pun membuat adunan roti jala itu. Yang mencabar ialah memusing-musing cawan roti jala itu. Lubang-lubang kecil di bawah acuan itu kerap tersumbat.

Saya membuat roti jala itu sambil duduk bersila di depan TV. Anda lihatlah sendiri gambar di atas. Walau pun rupanya kurang cantik, rasanya boleh tahan. Siapa lagi hendak memuji... hehehe... masuk bakul angkat sendiri!!!