Friday, August 31, 2007

Merdeka!!!

Saya menerima kiriman sms daripada editor majalah Dewan Ekonomi, Encik Muhammad Azli Shukri. Mesejnya berbunyi...

Assalamualaikum. Selamat bercuti dan salam kemerdekaan. Semoga kelahiran merdeka yang ke 50 ini mendewasakan kita...

Ya, kepada anda semua, selamat bercuti dan salam merdeka daripada saya. Marilah sama-sama kita raikan hari bersejarah ini dengan mengenang jasa-jasa para pejuang kemerdekaan. Dan mari renungi diri kita sendiri dengan semangat merdeka. MERDEKA!!!

Thursday, August 30, 2007

Anita Mohd. Nor



Kata orang bijak pandai, “Anda boleh membantu orang susah dengan memberinya wang, tetapi jika anda mengajarnya satu kemahiran yang bagus, dia boleh mencari rezeki sendiri sepanjang hayat.”

Puan Anita Mohd. Nor, CEO Kolej Safa, berpegang teguh kepada kata-kata hikmah ini. Disamping menjalankan program diploma dalam jurusan teknologi maklumat, pengurusan, bisnes, sumber manusia dan perakaunan, Puan Anita tidak lupa membangunkan pelbagai modul latihan kemahiran bagi membolehkan para peserta bengkelnya menjadi pengusaha sesuatu produk atau perkhidmatan.

Hasrat murni Puan Anita adalah untuk melahirkan golongan usahawan kecil-kecilan khasnya daripada kalangan surirumah, pesara dan sesiapa sahaja yang berminat menjana pendapatan sampingan. Kisah beliau selanjutnya dalam buku '50 Usahawan Wanita'.

Untuk merujuk semula Usahawan-Usahawan Wanita yang telah diwarwarkan sebelum ini, baca seterusnya...

Nota : Baca kisah Di Ambang Maut (Bahagian 1) di blog 'Bukan Agendaku'...

Wednesday, August 29, 2007

Rezeki

“Kau sudah buat haji, Nal?” tanya Pak Mus.

Zainal mengangguk.

“Pak Mus belum lagi. Tapi kalau nak pergi Mekah, macam ini saja, Nal.”

Orang tua itu memetik jari, berletap bunyinya. Cerita pergi Mekah menjadi topik perbualan sebaik kami berempat melabuhkan punggung ke kerusi restoran milik Pak Mus.

“Pak Mus bukan tak mampu. Malah dah terlebih mampu,” kata orang tua itu.

Saya dan Zainal duduk setentang dengan Pak Mus dan Ah Lo di sebuah meja segi empat.

“Kalau nak pergi Mekah tahun ini, bila-bila masa pun boleh. Tapi hati belum terbuka. Pak Mus belum mahu pergi, Nal.”

Orang tua itu terdiam seketika. Entah apa yang berlegar dalam kepalanya. Duit banyak tapi belum mahu ke tanah suci. Kenapa? Tergerak hati saya mahu bertanya, tapi tidak jadi. Mulut rasa terkunci. Buat apa jadi kepoci.

Kami baru kenal Pak Mus, belum pun sampai dua jam. Ah Lo, kawan Zainal, yang perkenalkan kami. Ikut congak saya, umur Pak Mus sudah lewat enam puluhan. Hendak kata dia ada penyakit, Pak Mus kelihatan sihat walafiat. Apa agaknya masaalah Pak Mus ini, tanya hati saya. Orang tua itu kemudian menjawab soalan yang bermain-main di kepala saya…

“Pak Mus ni kuat minum, Nal. Dah biasalah. Susah nak berhenti. Pak Mus masih tinggalkan sembahyang. Macam mana nak pergi Mekah ya?”

Orang tua itu membuka pekung di dadanya tanpa segan silu. Ah Lo mengulum senyum. Matanya mengerling saya dan Zainal. Mungkin lelaki Cina itu keliru. Ah Lo tahu kami sudah beberapa kali ke tanah suci. Dia pernah bertanya mengapa kami suka ke sana. Saya kata untuk berdoa. Mohon Tuhan murahkan rezeki, bahagiakan hidup kami dan macam-macam lagi.

Pak Mus pula beritahu dia belum mahu ke Mekah. Dia sendiri mengaku masih minum minuman keras dan tidak tunaikan solat. Agaknya Ah Lo rasa pelik sebab rezeki Pak Mus yang belum pernah menjejak kaki ke Mekah itu melimpah-ruah banyaknya.

“Ini Pak Mus kaya gila, Nal. Dia punya lori banyak. Teksi pun banyak. Ini restoran dia punya, kedai car wash sebelah dia punya. Tanah, kebun, rumah sewa, semua Pak Mus ada,” kata Ah Lo.

“Dia punya wang banyak lo! Makan sampai cucu cicit pun tak boleh habis,” Ah Lo mengusik Pak Mus yang tersenyum meleret-leret.

“Ah Lo ni, Nal, Pak Mus dah kenal lama, masa dia kecik-kecik lagi. Ayah dia kawan baik Pak Mus. Dulu kami kongsi berniaga. Berniaga dengan orang Cina ni bagus. Tapi jangan tipu mereka. Ah Lo ni anak-beranak Cina jenis baik.”

Ah Lo tersenyum mendengar pujian Pak Mus. Petang itu Ah Lo mengajak Zainal pergi melihat sebidang tanah yang baru di sewanya daripada Pak Mus. Kebetulan Zainal mengajak saya pergi bersama.

Ah Lo mahu kawasan tanah lapang itu di pasangkan pagar. Dia meminta Zainal membuat sebut harga alatan memagar termasuk kos memasangnya. Workshop Ah Lo yang terletak di Malim Jaya akan dipindahkan ke tapak baru yang disewa daripada Pak Mus itu.

Selesai menunjukkan sempadan tanah yang disewakan, Pak Mus mengajak kami minum di restoran miliknya, terletak tidak jauh dari situ. Di sebelah restoran Pak Mus terletak kedai cuci kereta, juga miliknya. Anak-anak Pak Mus yang uruskan kedua-dua kedai itu.

Restoran dan kedai cuci kereta itu tampak maju benar. Pelanggan tidak putus-putus datang dan kenderaan masuk keluar silih berganti. Bisnes Pak Mus amat menjadi. Lokasi kedua-dua kedainya itu strategik kerana terletak berdekatan jalan besar.

“Kau dah lama jadi kontraktor, Nal?” tanya Pak Mus sambil membelek kad nama suami saya.

“Dah lama juga. Dulu sebelum ekonomi gawat, projek banyak. Tapi sekarang (2005) dah jauh kurang,” kata Zainal.

Pak Mus tekun mendengar.

“Tak apa, Nal. Bisnes boleh naik balik kalau kena caranya. Pak Mus dulu masa mula berniaga buat kecil-kecilan juga. Sekarang bisnes dah menjadi. Pak Mus ni ramai kawan. Kalau tak ada kawan macam mana Pak Mus nak dapat permit lori sewa sampai 60. Permit teksi sampai 20,” Pak Mus membuka rahsia bisnesnya.

“Pak Mus ni tak pernah lupakan budi kawan-kawan. Mereka yang banyak tolong naikkan bisnes Pak Mus. Apabila dia orang terdesak nak pakai duit, mereka telefon Pak Mus. Kekadang 5 ribu, kekadang 10 ribu. Mereka tak payah bayar balik. Pak Mus tak kisah, kira sedekah sajalah.”

Dia ada 60 permit lori dan 20 permit teksi??? Mak datuk, banyaknya!!! Orang berhutang dengan Pak Mus beribu-ribu RM tidak perlu bayar balik? Biar betul! Bukan calang-calang orang tua ini, bisik hati saya.

Di ruangan mata, saya terbayang duit Pak Mus bertimbun-timbun sambil otak mencongak pendapatan bulanannya. Permit lori sewa ada 60. Kalau disewakan RM50 sehari, sebulan jadi berapa? RM50 x 30 hari x 60 permit = RM 90,000.

Permit teksi ada 20. Kalau disewakan RM30 sehari, sebulan berapa pula? RM 30 x 30 hari x 20 permit = RM 18,000 sebulan. Jumlah besar ialah RM108,000 sebulan. Mak oiii, banyaknya!!! Patutlah orang pinjam duit dia kira sedekah saja.

Sambil otak ligat mencongak, saya terus mendengar celoteh Pak Mus. Orang tua itu tenang menghembus asap rokok dan menyambung cerita pengalaman niaganya.

“Pak Mus suka bergaul dengan orang Cina, Nal. Mereka pandai bisnes. Kawan-kawan Cina Pak Mus kaya-kaya semuanya. Mereka ajak masuk Diamond Club, Pak Mus join. Orang-orang Cina ni kan suka makan waktu maghrib. Tapi Pak Mus tak kisah, mereka ajak keluar, Pak Mus pergi. Mereka ajak minum, Pak Mus tunggang. Pak Mus ni tak ada pantang larang. Nak naikkan bisnes kita kena bercampur dengan orang Cina, Nal. Belajar cara mereka buat duit.”

Sepanjang dia bercerita, muka Pak Mus tetap bersahaja, macam tidak rasa apa-apa membuka tembelang sendiri. Celotehnya tidak membosankan. Hati saya berkata-kata : mungkin agaknya di mata Pak Mus, suami saya kelihatan lurus bendul dan dia ingin menurunkan ilmu bisnesnya kepada Zainal.

“Pak Mus ni berniaga macam-macam, Nal. Kau jangan buat satu bisnes saja. Susah bisnes kau nak bangkit. Baru-baru ni ada arkitek cari Pak Mus. Dia tu terdesak nak pakai duit RM20,000 dan nak pinjam dengan Pak Mus selama satu bulan. Pak Mus bagilah. Dengan syarat dia bayar balik RM25,000.”

Ah Lo ketawa terkekek-kekek.

“Fuyo Pak Mus, ini macam berniaga banyak syok. Pak Mus ada banyak wang boleh bagi orang pinjam. Kita orang cash flow selalu sangkut. Sendiri mahu rolling pun tak cukup maa…”

Mendengar kata-kata Ah Lo itu kami semua ketawa. Fikiran saya melayang. Sedekad yang lalu ketika ekonomi sedang rancak, nilai sesuatu kontrak yang kami kendalikan mencecah RM1 juta. Tapi Zainal masuk tender cara biasa. Tidak ada guna khidmat ‘orang dalam’.

Ada masa tender kami berjaya, ada masa kecundang. Setiap kali membida tender, kami berdoa memohon Allah murahkan rezeki kami sekeluarga. Juga rezeki pekerja-pekerja kami dan ahli keluarga mereka. Setahu saya Zainal tidak pernah beri ‘duit bawah meja’ kepada sesiapa pun sepanjang menjadi kontrator. Kalau dia dipanggil merunding harga oleh pihak yang mengeluar tender, peluang itulah yang diguna habis-habisan dengan menawar diskaun munasabah agar bidanya berjaya.

“Umur kau berapa, Zainal?” tanya Pak Mus.

“Dah masuk 50, Pak Mus. Dah tua saya ni,” jawab Zainal.

“Tak apa, Nal. Masih ada masa. Ubahlah strategi bisnes kau,” kata Pak Mus.

Sudah lebih sejam masa berlalu. Kami minta diri untuk beredar dan mengucap terima kasih untuk kopi dan roti jala yang Pak Mus belanja. Orang tua itu menghantar kami hingga ke parkir kereta.

“Dah lama kau pakai kereta ni, Nal?” Pak Mus menunjuk ke arah kereta merce 190 kami dengan muncung mulutnya.

“Sejak tahun ‘96. Kereta ni dah lama, Pak Mus,” jawab Zainal.

“Kau tak pandai jaga kereta, Nal. Kereta kau bertepek dengan tahi burung," Pak Mus mengata suami saya.

Cuba kau tengok C180 Pak Mus di sana tu. Berkilat, kan? Yang lagi satu, merce SLK hitam tu, macam mana? Cantik?”

Kami menoleh ke arah dua buah Mercedes berkilat milik Pak Mus yang tersadai di bawah garaj kereta. Memang macam langit dengan bumi apabila kereta-kereta Pak Mus itu dibandingkan dengan kereta Zainal yang sudah separuh umur.

“Pak Mus ada banyak kereta. Kereta Nal hari-hari pakai. Mana ada masa nak cuci?” Ah Lo membela Zainal.

“Alah, hantar saja di sini, boleh kasi cuci. Baru RM12,” balas Pak Mus.

Fikiran saya melayang lagi. Andai saya di tempat Pak Mus, bagaimana? Adakah saya leka diulit kemewahan yang melimpah-ruah? Macam mana gaya hidup saya andai berstatus jutawanita? Mungkinkah saya juga memiliki beberapa buah kereta yang harganya mahal berdentum? Maklumlah duit banyak…

Ujian kesusahan berat dan membebankan. Tapi ujian kesenangan tidak kurang hebatnya. Belum merasa, belum tahu. Saya tersenyum membayangkan beberapa jenis kereta mewah yang menjadi idaman hati.

“Kenapa senyum-senyum ni? Ela nak buat bisnes macam Pak Mus ke? Nak jadi ALONG ya???” tanya Zainal sambil memandu kereta keluar ke jalan besar.

Lamunan saya terhenti.

“Saya berkenan kedua-dua kereta Pak Mus tu. Cantikkkk!!! Nanti abang belikan saya macam tu ya. Abang ni baik, lawa, murah hati, kan???” saya mengurut-urut bahu Zainal.

Zainal tergelak besar. Saya terus mengeceknya dengan ikut menyanyi senikata lagu yang sedang bermain di radio ketika itu…

Harta bukan milikmu, untukmu hanya rezeki…
Terkurang himpun lagi, terlebih memberilah…

Tuesday, August 28, 2007

Gambar Minggu Lalu

Gambar di kiri, saya bersama Puan Ainon (Sifu PTS) dan Puan Maimun Simun atau Mun (Sifu MMU Melaka).

"Buat lawak pun tak pandai, macam mana nak buat skrip animasi ni?" Puan Ainon mengusik kami.

Kisah mitos 4 ekor naga berlawan dengan anaconda berkepala 7, kemudian jatuh ke lautan dalam dan semangat menyerap ke qalbu 4 super hero Asia : jaguh ninja, jaguh kungfu, jaguh tomoi dan jaguh silat. Mereka diseru bertemu sang puteri di Tasik Cini...

Puan Sifu, saya sudah mula tengok Sinchan, Doraemon, Jojo, Power Rangers... Mahu cari ilham... hehehe!

X-C-Den

Saya mendapat lesen memandu tahun 1978 ketika menunggu keputusan MCE (setaraf SPM sekarang). Sejak memegang lesen lebih 2 dekad lalu, saya tidak pernah disaman polis atau JPJ. Juga tidak pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya. Namun tahun lalu, rekod itu terpecah tanpa sengaja…

Peristiwa berlaku pada satu pagi ketika hendak keluar ke bandar Melaka. Seperti biasa saya mengundur Terrano sehingga melepasi pintu pagar. Driveway rumah saya agak panjang, lebih kurang 10 meter.

Bagi yang tidak biasa, mungkin terkial-kial ketika mengundur kereta di driveway saya itu. Tapi saya, dengan pejam mata pun boleh melakukannya. Maklumlah sudah biasa. Malangnya hari itu, lain pula yang terjadi. Sedang saya mengundur kereta, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman. Saya terkejut, terus menekan brek dan melihat ke side mirror. Alamakkk!!! Saya sudah terlanggar kereta orang…

Dengan jantung berdegup laju saya meluru turun dari Terrano. Kereta yang saya langgar itu jenis Charade, berwarna kelabu. Sesungguhnya memang saya tidak perasan langsung ada kenderaan sedang parking berdekatan luar pagar rumah saya.

Kereta comel separuh umur itu remuk di bahagian pintu depannya, sebelah pemandu. Dinding pintu itu terperosok ke dalam macam tin Coke dipenyekkan. Saya memeriksa Terrano tapi tiada berbekas satu calar pun. Kemudian saya pergi memeriksa kereta Charade itu dari dekat. Memang agak teruk keadaannya…

“Siapalah tuan empunya kereta yang malang ini,” bisik hati saya.

Mata liar memandang kawasan sekeliling tapi tidak kelihatan sesiapa pun. Ketika itu tergerak hati hendak cabut lari tapi dirundung rasa bersalah. Tidak sampai hati saya hendak langgar lari walau pun peluang terbuka luas.

Sedang saya mencongak-congak mencari akal apa yang patut dibuat, dari arah jalan besar kelihatan seorang lelaki berlari-lari anak menuju ke arah saya. Hati saya mula resah gelisah. Apabila dia semakin dekat, terdengar lelaki dalam usia 30an itu beristigfar berkali-kali…

“Astagfirullah… Astagfirullah… apa dah jadi ni Kak???”

Lelaki itu bersuara agak kuat. Kepalanya menggeleng melihat keadaan keretanya yang remuk. Mulut saya bagaikan terkunci sebab takut. Kaki dan tangan menjadi sejuk macam ais. Dada semakin kencang debak-debuknya. Mahu tidak mahu saya memberanikan diri menegur lelaki itu. Hendak lari pun bukannya sempat lagi.

“Tolonglah jangan marah saya, Encik. Saya tak sengaja,” saya merayu kepadanya.

“Akak tak boleh kena marah. Sikit pun Akak tak boleh kena marah. Tolonglah jangan marah Akak ya,” saya merayu lagi.

“Tak boleh kena marah???” tanya lelaki itu dengan kening berkerut.

Saya mengangguk. Sebenarnya saya pun tidak tahu mengapa saya memberi alasan bodoh itu kepadanya. Kemudian dengan penuh sopan santun saya menyusun kata-kata sambil cuba tersenyum padanya.

“Maaf ya, Encik. Akak tak sengaja. Ini kereta awak, kan??? Memang Akak yang langgar kereta ni. Tapi bukan sengaja. Akak terlanggar. Encik tolong tunggu sekejap, Akak nak telefon lawyer. Ehhh, sori, bukan lawyer. Nak telefon orang rumah Akak.”

Lelaki itu mengangguk tanpa bersuara sepatah pun. Saya segera mencari handset dalam beg tangan. Sambil menekan nombor telefon Zainal, saya bertanyakan nama lelaki itu.

“Shafie,” pendek dan cepat dia menjawab.

Tangan kiri lelaki itu sesekali memegang dagu, kemudian mengusap-usap kepala sendiri. Agaknya dia sedang memujuk dirinya supaya bertenang.

“Saya dah terlanggar kereta orang kat depan rumah kita,” saya mengadu kepada Zainal yang ketika itu baru sampai ke tempat kerjanya.

Sudah tentu suami saya terkejut dengan berita kemalangan itu.

“Ei, betul ke ni? Bukan ke Ela pemandu paling berhemah dalam dunia? Macam mana boleh langgar kereta orang?” suami saya masih sempat mengusik, dia fikir saya bergurau.

“Betullah, I dah langgar kereta orang! Penyek kereta tu. Abang kena tolong, please…” saya merayu kepada Zainal.

Belum pun sempat saya menyambung kata-kata, lelaki bernama Shafie itu menyampuk cakap saya.

“Ini bukan langgar tau Kak. Ini namanya radak!”

Saya tergamam seketika. Mendengar perkataan ‘radak’ itu hati saya bagai digeletek orang. Dengan sepontan saya ketawa terkekek-kekek. Hilang segala rasa cemas dan takut. Melihat saya ketawa berderai, Shafie pun tergelak sama. Sejuk hati saya tengok dia tersenyum…

Owner kereta yang I ‘radak’ ni namanya Shafie. Dia ada kat sini. Abang tolonglah cakap dengan dia ya. Cakap baik-baik tau sebab I yang bersalah.”

Saya hulurkan hanset pada Shafie supaya dia boleh berbincang dengan Zainal. Setelah berunding, saya lihat dia mengangguk-angguk. Tambah lega hati saya. Semasa Shafie mengembalikan telefon bimbit, sekali lagi saya memohon maaf kepadanya.

Mengikut perundingan antara mereka berdua, Zainal minta Shafie bawa keretanya ke workshop untuk ditaksir kos membaiki kerosakkan pintu keretanya itu. Dan minta dia datang semula ke rumah kami pada pukul 2:00 petang itu untuk mengambil cek.

Mujurlah lelaki itu bersetuju dan tidak marahkan saya sedikit pun. Rupa-rupanya dia jurutera yang sedang kendalikan projek lebuhraya berdekatan rumah saya. Menurut Shafie, dia pernah beberapa kali meletak keretanya berdekatan pintu pagar saya sebelum itu. Saya yang tidak perasan.

Seperti dijanjikan, petang itu Shafie datang mengambil ceknya bernilai RM400 sebagai bayaran gantirugi. Setelah saling halal-berhalal diantara kami, Shafie pun balik. Saya bersyukur peristiwa malang itu tidak menimbul kekecohan besar. Malah berkesudahan dengan suasana harmoni. Kepada suami, saya ucapkan terima kasih yang tidak terhingga dan berkali-kali saya mohon maaf kepadanya.

“Ampun kandaku beribu-ribu ampun! Aaasif ya zauji! Tuepuchi laoban!”

Saya benar-benar menyesal kerana menyusahkan orang lain hari itu. Bukan saja Shafie yang terganggu tugasnya, malah poket Zainal ‘terkoyak’ RM400 disebabkan kecuaian saya. Namun apa mahu buat, malang tidak berbau.

Mujurlah Zainal tidak marahkan saya sedikit pun. Bersyukur saya kepada Allah. Jika tidak, banjirlah rumah kami hari itu dengan airmata saya. Maklumlah sudah tua-tua begini kalau dimarahi suami, siapa yang tidak sedih.

Tambahan lagi saya ini mahluk sejenis Neng Yatimah, apabila sudah menangis, susah hendak berhenti. Tentulah pening kepala Zainal hendak memujuk saya. Siapa pula yang mahu memasak untuk dia nanti…

Mesej saya, andainya anda seorang perempuan, pandai-pandailah gunakan taktik lemah lembut untuk mengatasi apa-apa konflik yang anda hadapi. Mana ada orang lelaki yang tidak cair hati dengan pujuk rayu dan budi bahasa, betul tidak? Taktik ini namanya soft skills orang perempuan!

Gunakanlah soft skills anda apabila perlu, lebih-lebih lagi dengan suami sendiri. Buaikan perasaan dia dengan kelembutan. InsyaAllah selesai masalah kita. Tapi jangan salah guna taktik ini untuk mengambil kesempatan ke atas orang lain. Selamat Mencuba!

Monday, August 27, 2007

Datin Dr. Rehana Kassim

RehanStat Sdn. Bhd. ditubuhkan pada tahun 1992 oleh pengasasnya Datin Dr. Rehana Kassim, seorang perangkawan.

Syarikat ini menawarkan perkhidmatan profesional dalam penyelidikan pemasaran dengan pengkhususan dalam reka bentuk penyelidikan, analisa data dan laporan hasil kajian.

Setiap pelanggan RehanStat memerlukan maklumat tertentu bagi membuat sesuatu dasar atau perancangan strategi. Sebagai contoh, Unit Penilaian Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri dan Multimedia Development Corporation, menggunakan khidmat RehanStat bagi mengumpul data di kalangan sampel penduduk Malaysia yang berumur 18 hingga 64 tahun bagi menentukan tahap keusahawanan penduduk di Malaysia.

Baca kisah beliau selanjutnya dalam '50 Usahawan Wanita’.

Hi-Tea With Local Authors

Petang Sabtu, 25 Ogos, 2007, saya menghadiri program minum petang bersama penulis tempatan anjuran MPH. Acara diadakan di Booker Room, MPH Megastore 1 Utama. Ia sebahagian daripada kempen 'Support Malaysian Writers' yang bertujuan menghargai hasil kerja penulis-penulis Malaysia.

Antara yang hadir ialah CEO MPH, Dato' Ng Tieh Chuan, Datuk Zaid Ibrahim (saya lupa nama buku beliau yang baru terbit), Rehman Rashid (A Malaysian Journey), Billi Lim (Dare To Fail), Dr. Rozieta Shaari (Raising Happy Kids), Lee Su Kim (Malaysian Flavours & Manglish), Bridget Menezes (Self-Empowerment) dan ramai lagi.

Acara utama program ialah forum membincangkan tajuk : The direction of the local book industry in the next 10 years. Ahli-ahli panel antaranya Dato' Ng, Puan Nisah Harun (peguam, penulis & pemilik Ujana Ilmu) dan Sharon Bakar.

Antara penulis-penulis PTS yang hadir selain saya ialah En. Shamsuddin Abdul Kadir (Hidup Tenang Walaupun Berhutang), Puan Saridah Abd. Hamid (Bahtera Nabi Nuh dan Kisah-Kisah Lain) dan En. Hashim Ali (Pelaburan Hitam).

Sebahagian penulis yang hadir menerbitkan buku mereka sendiri dan menghadapi isu pengedaran (di mana buku yang habis tidak di'replenish' dll.). Juga dibincangkan isu penjualan buku secara 'on-line' ke luar negara di mana harga buku mungkin RM20 tetapi kos penghantaran menjangkau RM200 ke RM600, menjadikan ia terlalu mahal.

MPH sendiri menghadapi dilema itu dan mencadangkan penubuhan 'guild' penulis untuk menangani isu tersebut bersama. Isu lain dibincang ialah harga buku-buku dijual lebih mahal di premis tertentu seperti di KLIA atau Amazon.com (dalam USD) tetapi royalti masih dibayar mengikut harga runcit biasa dalam RM.

Turut dibincangkan isu hakcipta untuk buku-buku tempatan yang diterjemahkan ke bahasa asing. Mr. Ng menggalak penulis-penulis berfikir secara global supaya buku-buku keluaran tempatan dapat diekspot. Puan Nisah Haron menasihati penulis membaca dan memahami dokumen perjanjian dengan penerbit sebelum menandatangan.

Sebagai penulis baru, saya berpuas hati melihat buku 'Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya' turut dipamerkan di ruangan promosi. Juga saya merasa amat berterima-kasih kepada PTS kerana mengiklan buku saya itu bersama beberapa buku lain (satu muka surat penuh) dalam MPH Quill, Issue 15 (Aug-Sept '07) iaitu majalah buku keluaran MPH.

Tatkala bertemu Puan Nisah Haron, saya bertanya mengapa buku saya tidak dijual di Ujana Ilmu (kedai buku online miliknya). Beliau tergelak-gelak kerana katanya buku-buku PTS terlalu banyak. Sambil itu beliau menuding kepada suaminya... "Tanya pada dia ni, Puan. Dia ni yang urus hal buku." Suaminya terpinga-pinga!!!

Sunday, August 26, 2007

Bukan Agendaku

Sejak kecil saya minat menulis tetapi bakat itu tidak dikembangkan. Walau pun tersemat di sudut hati untuk bergelar penulis pada suatu hari, selama bertahun-tahun saya tidak berusaha menulis secara serius kecuali menulis… DIARI.

Diari-diari sejak usia belasan tahun masih tersimpan dalam almari. Kalau semua itu boleh dipanggil buku, sudah banyak buku yang saya hasilkan! Selain diari, saya menulis anekdot iaitu kisah-kisah benar tentang kehidupan yang saya lalui, dalam bentuk cerita pendek.

Di sudut hati wujud impian untuk membukukan himpunan anekdot yang ada dalam simpanan saya yang diberi tajuk 'Bukan Agendaku'. Manalah tahu ada penerbit yang sudi menerbitkannya dalam bentuk sebuah novel. Manalah tahu, bisik hati kecil. Kata orang, belum cuba belum tahu. Sebagai contoh, siri novel ‘Diari Ibu’ tulisan Puan Rohani Din. Saya salah seorang daripada ribuan peminatnya.

Saya pernah menghantar manuskrip ‘Bukan Agendaku’ kepada Creative Enterprise. Editor yang saya temui meminta tempoh 3 bulan untuk menilainya. Namun kerana tiada khabar berita setelah 3 bulan berlalu, saya mengambil keputusan untuk menarik balik manuskrip itu.

Kali kedua saya menghantarnya kepada PTS, namun seperti yang anda ketahui, PTS hanya menerbitkan novel berkonsep jibunsyi dan mengguna kaedah surah Yusof. Sekali lagi manuskrip itu ditolak.

Kali ketiga, saya menghantar ‘Bukan Agendaku’ kepada Jemari Seni. Maklum balas yang saya terima ialah ia tidak sesuai dengan konsep novel yang mereka terbitkan. Ya, untuk kali ketiga, manuskrip sulung saya ditolak lagi oleh pihak penerbit.

Ketika berusaha menawarkan manuskrip ‘Bukan Agendaku’ kepada 3 penerbit itu, buku ‘Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya’ sempat disiapkan. Seperti kata Sifu PTS, buku-buku seperti ‘bBKb’ berkonsep kuih tempah iaitu PTS sudah menilai dan menerima sinopsisnya sebelum ia ditulis. Lalu jadilah buku ‘bBKb’ itu buku pertama saya berada di kedai-kedai buku.

Cerita-cerita yang dicoret dalam 'Bukan Agendaku' adalah asam garam kehidupan insan biasa. Dalam menjalani kehidupan, kekadang kita perlu mentertawakan diri sendiri… Itulah yang saya rasa sebenarnya.

Kisah-kisah itu adalah sebahagian daripada perjalanan hidup saya dalam meniti usia dan perubahan kerjaya. Walau pun saya menulis tentang kisah benar, kebanyakan nama yang saya gunakan sudah diubah. Demikian juga dengan nama tempat dan waktu berlakunya. Sebenarnya saya sekadar ingin bercerita. Bukan apa-apa pun.

Sebelum diserang sakit jantung lewat tahun 2001 dahulu, saya seorang yang terlalu memandang serius kepada kehidupan, baik dalam kerjaya, perhubungan sesama insan dan sebagainya. Sehingga saya terlupa menikmati hidup ini secara santai.

Sewaktu terlantar di wad CCU, saya mulai sedar yang sejak sekian lama saya terlupa menikmati kicauan burung di waktu pagi, terlupa menikmati secawan kopi dan terlupa meraikan perkara-perkara kecil dalam kehidupan. Sejak pulih, saya mula menikmati kehidupan ini, hari demi hari, dengan rasa penuh sedar, bukan sekadar melaluinya semata-mata.

Sesungguhnya kehidupan di dunia ini bukanlah satu perjalanan yang mudah. Tapi apakan daya, kita ini hanya insan. Walau apa pun takdir yang ditentukanNya, perlulah kita berlapang dada menerimanya. Tiada gunanya kita memecahkan kepala mempertikaikan kenapa dan mengapa.

Kita ini hanya insan yang diwajibkan berusaha dan berikhtiar, kemudian berserah diri bulat-bulat kepada kehendak Yang Maha Kuasa. Dalam mengharungi kehidupan ini, senjata paling berkuasa yang kita miliki adalah doa. Berdoalah, mudah-mudahan Allah jadikan untuk kita semua kesudahan hidup yang baik.

Saturday, August 25, 2007

Belajar Mengaji

Saya mula belajar mengaji (ketika berusia 7 tahun) di rumah ustaz Mat Din dan Makcik Rahmah. Rumah Pak Din di tingkat 5, Blok 22, Queen’s Close, Singapura. Rumah saya di tingkat 11, Blok 23. Saya boleh nampak rumah Pak Din daripada dapur emak. Untuk ke kelas mengaji, Mak buatkan saya sepasang baju warna ungu muda, sedondon blaus dan kain. Mak letak lace warna cokelat di bahagian leher dan lengan baju itu.

Tudung saya kain jarang warna merah jambu. Saya sudah lupa warna baju dan tudung Kak Long. Kami pergi mengaji selepas solat maghrib. Turun lif, naik lif, sekejap saja sudah sampai ke rumah Pak Din. Anak jiran kami, Comel yang sebaya saya ikut pergi mengaji bersama kami.

Pak Din kawan sekerja ayah saya. Siang hari dia bertugas sebagai askar. Sebelah malam dia buka kelas mengaji. Habis membaca Muqaddam (Juz Amma), saya beralih ke kitab suci Al-Qur’an. Masa itu baru naik darjah 2. Ayah yang merasa bangga dengan pencapaian saya, memberi upah 50 sen. Ketika itu 50 sen agak lumayan, dapat beli kuaci hitam 20 peket (5 sen = 2 peket)!

Naik darjah 4, keluarga saya berpindah ke JB. Di Jalan Mesra tempat kami tinggal, tiada orang mengajar Al-Qur’an. Jadi saya tidak belajar mengaji. Naik darjah 5, kami berpindah ke Taman Istimewa. Di situ ada seorang guru Al-Qur’an, namanya Pak Noh. Orang tua itu menyuruh saya mulakan bacaan dari awal walaupun saya sudah sampai juzuk ke 5. Selain Pak Noh, isterinya, Mak Jah, turut mengajar saya.

Sayangnya tidak sampai 6 bulan mengaji di rumah Pak Noh, ayah saya bertukar kerja lagi dan kami berpindah ke Melaka. Di kampong, saya sambung mengaji dengan Tok Amin di serambi rumah nenek. Beberapa orang sepupu dan kawan-kawan saya mengaji bersama. Ketika itu saya berusia 11 tahun.

Tok Amin garang dan panas baran. Ketika mengajar, asyik mahu marah. Sebelum duduk membaca di depannya, Tok Amin menyuruh kami ‘meneras’. Sepanjang sesi mengaji, Tok Amin melarang kami bercakap. Aktiviti harian yang bermula pukul 3:00 petang itu menjadi satu perkara yang paling saya tidak suka.

Macam mana mahu suka kalau hati kecut memanjang? Tok Amin yang garang itu suka baling-baling rotan. Sepupu saya, Bakar lembab mengaji. Dialah yang selalu kena sebat dengan Tok Amin.

“Tok Amin tak habis-habis nak marah kita. Dia tertelan bom agaknya,” bisik saya kepada Bakar selepas kami habis mengaji.

“Dia tu tertelan bom dengan roket, torpedo dan kereta kebal,“ jawab Bakar meluahkan rasa hatinya.

“Agaknya emak Tok Amin beranakkan dia dalam gunung berapi atau pun dia tu beranak kembar dengan harimau,” saya menokok.

Kami ketawakan Tok Amin. Kasihan orang tua itu, teruk kena umpat. Entah kenapa Tok Amin terlalu garang. Apabila sudah naik angin, mulutnya mesti mengata... bodoh, bengap, malas!!! Aduh, bagai mahu meletup dada kami yang menunggu giliran membaca Al-Qur’an di depannya.

Masa membaca, suara saya terketar-ketar. Kekadang sampai terkeluar air mata sebab terlalu takut. Saya selalu buat helah, kononnya uzur. Kekadang saya ponteng sampai dua minggu atau beri alasan uzur dua kali sebulan. Mahu kelentong tapi tersalah fakta! Semuanya kerana mahu mengelak berjumpa Tok Amin. Akhirnya kelas mengaji di serambi nenek itu lengang sebab semua orang ponteng memanjang.

Semasa di tingkatan satu, keluarga saya berpindah semula ke Singapura. Terus saya ‘pencen’ belajar mengaji. Setakat membaca memang boleh tapi bab tajwid masih lintang-pukang. Ketika di UiTM dulu, Kak Seha yang selalu buat sesi usrah mengajak kami satu dorm membaca surah Yasin pada malam-malam Jumaat. Lama-kelamaan bacaan saya lancar. Semasa ada kes orang minyak dan histeria di kampus, surah Yasinlah menjadi senjata pelindung semangat saya.

Andainya Tok Amin tidak garang, saya teringin mendalami bacaan Al-Qur’an dengannya. Dia bukan saja handal bab mengaji tapi suaranya merdu. Saya selalu mendengar Tok Amin mengaji pada bulan Ramadan. Setiap hari dia membaca 2 ke 3 juzuk. Ketika solat, Tok Amin membaca surah-surah panjang. Suaranya mengasyikkan dan mendayu-dayu. Sayang sekali dia tidak pandai turunkan ilmunya itu.

Semasa Tok Amin muda dahulu, dia masuk peraduan mengaji di merata masjid di seluruh negeri Melaka. Dia bukan saja pandai mengaji tapi handal berzanji. Silapnya Tok Amin tidak tahu kaedah yang betul mengajar ilmu yang dimilikinya.

Datuk saya sebelah ayah, seorang imam di masjid Telok Mas. Antara kerja utamanya mengajar orang mengaji. Dengar cerita, datuk saya itu pun garang. Saya dengar bermacam cerita tentang dia mendera anak-anak muridnya tapi akhirnya mereka semua menjadi dan pandai mengaji.

Mak dan Ayah saya pun pandai mengaji tapi mereka tidak mahu mengajar anak-anak sendiri. Alasan mereka ialah tidak tahan hati sebab asyik hendak naik angin. Kata orang pun di mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Bapa borek, anak-menantu rintik!

“Kau dah pandai mengaji?” tanya Duan, sepupu saya yang bertugas sebagai peguam.

“Bolehlah juga sikit-sikit. Maklumlah, belajar dulu tak khatam,’ jawab saya.

“Kenapa kau tak khatam?” tanya Duan lagi.

“Dulu aku pindah-pindah sekolah, mengaji tidak kekal setempat. Tok Amin, masa mengajar kita dulu garang sangat, kau ingat tak? Aku asyik takut, macam mana mahu pandai. Itu sebab aku tak khatam,” saya membuka cerita lama.

Duan mencemikkan mukanya, mengejek saya.

“Sampai ke Amerika kau boleh pergi belajar, mengaji tak khatam kau salahkan Tok Amin? Tolonglah, kak oi!” Duan yang bermulut laser itu membidas saya.

“Pergilah belajar sendiri. Kau kan dah besar panjang. Ikhtiarlah, cari cikgu lain. Kau nak tunggu siapa lagi???”

Kata-kata Duan itu melekat terus di hati saya. Walau pun pedas tapi cukup benar, tepat terkena ke batang hidung. Saya terasa diri ini hipokrit besar. Kak Long saya dulu pun kurang pandai mengaji, tapi dia sudah lama belajar semula dan amat pandai membaca Al Qur’an. Suara Kak Long lunak. Dia mengaji berlagu macam bacaan Imam Subais yang terkenal di Masjidil Haram.

Sesungguhnya bukan mudah bagi orang dewasa untuk belajar mengaji semula. Andai hati tidak cekal, usaha itu pasti terbantut di tengah jalan. Beberapa bulan kemudian saya mengambil keputusan untuk mengaji semula dengan seorang Ustazah yang saya jemput khas ke pejabat. Kak Long yang perkenalkan dia. Ustazah itu baik orangnya tapi mulutnya pedas. Pertama kali mengajar, dia suruh saya baca surah Al-Fatihah. Selesai saya membaca dia pun beri komen…

“Awak ni mengaji macam budak-budak. Sebutan awak tak berapa betullah. Kenapa? Awak tak belajar ke dulu?” leter Ustazah itu.

Saya tersenyum kambing. Ustazah itu minta saya sambung bacaan lagi. Baru sebaris saya membaca, dia sudah menegur…

“Banyak salah bacaan awak ni. Lecehlah macam ni, banyak sangat saya nak kena ajar,” dia membebel.

Keesokan harinya, Ustazah itu tidak datang mengajar saya. Alasan diberi kepada Kak Long, anaknya tiada orang mahu jaga. Agaknya dia menyampahkan saya. Wallahualam. Sebenarnya saya pun tidak selesa sebab panas telinga mendengar bebelan Ustazah itu. Andainya saya ini budak kecil, sudah pasti dia pulas telinga saya!

Selang beberapa bulan, saya membuat bancian di pejabat. Rupa-rupanya ramai staf saya tidak pandai mengaji. Saya mengambil keputusan menjemput seorang Ustaz mengajar kami setiap Sabtu. Ustaz itu seorang qari yang pernah mewakili Melaka ke tilawah Al Qur’an peringkat kebangsaan. Belajar ramai-ramai tentulah seronok, tapi kami lebih banyak ketawa. Ustaz itu mengajar kami daripada peringkat asas supaya kami kenal sebutan huruf yang betul.

“Hah, Abang yang depan ini baca dulu,” Ustaz memberi arahan .

“Alif, Ba , Ta, Tha, Jim, Ha, Kho, Dal , Zal, Gho,” Wak Khamis membaca laju.

“Bukan ‘Gho’. Sebut ‘Ro’,” tegur Ustaz.

“Ra”, Wak Khamis mengikut .

“Bukan ‘Ra’. Sebut ‘Ro’” Ustaz membetulkan lagi.

“Re,” Wak Khamis mengikut.

“Bukan ‘Re’, Bang. Sebut ‘Ro’” Ustaz membetulkan.

“Saya sebut ‘Gho’ tadi, salah. ‘Ra’ salah. ‘Re’ pun salah. Habis yang betul apa, Ustaz?” Wak Khamis garu kepalanya.

“Abang sebutlah betul-betul. Cuba bezakan bunyinya,” Ustaz itu menegur.

“Re,” Wak Khamis mencuba lagi .

“Macam ni, bang. Kalau ‘Ra’, rasa. Kalau ‘Re’, reban. Kalau ‘Ro’, roket,” Ustaz menerangkan panjang lebar.

“Lidah saya ni dah keraslah, Ustaz,” kata Wak Khamis tersipu-sipu.

Kami ketawakan Wak Khamis macam mahu pecah perut. Begitulah siksanya mengajar orang tua mengaji. Tidak sampai sebulan mengajar kami, Ustaz itu minta berhenti kerana ada tugasan lain. Sebagai ganti, dia perkenalkan Ustaz Abdul Rashid. Ustaz baru ini baik orangnya. Dia mengajar lebih 5 tahun di pejabat saya. Walau pun hanya 4 ke 5 orang saja yang kekal mengaji, Ustaz Rashid tetap datang setiap minggu.

Di samping mengaji seminggu sekali di pejabat , saya belajar tambahan dengan seorang guru lain, namanya Ustazah Norhani. Dia mengajar saya menghaluskan bacaan. Apabila khatam, saya belajar lagi dengan Ustaz Rumainoor. Ustaz ini mengajar mengikut kaedah QIRAATI .

Dia mengguna 3 buah buku rujukan tulisan H . Dachlan Salim Z. Melalui tunjuk ajar Ustaz Rumainoor, saya benar-benar faham hukum tajwid. Dari situlah saya menghayati Al-Qur’an sepenuh hati. Perasaan cintakan Al-Qur’an benar-benar timbul di hati nurani saya selepas boleh membacanya dengan baik.

Suatu masa dahulu saya hanya memiliki senaskah Al-Qur’an. Apabila sudah menghayatinya, saya membeli beberapa naskah baru. Ketika pertama kali menjejak kaki ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi dulu, saya terpegun melihat beribu-ribu Al-Qur’an tersusun rapi di atas rak-rak dan dibaca orang sepanjang masa, siang dan malam. Di kedai-kedai menjual Al-Qur’an di sana, pilihan ada berbagai-bagai jenis, bentuk dan saiz. Apabila mengunjungi tanah suci, kedai-kedai seperti itulah yang paling saya minati.

Saya ingin berkongsi cerita mengenai seorang kawan yang sama-sama menunaikan haji dengan kami dulu. Namanya Haji Saleh dan isterinya, Hajah Sari. Anak lelaki pasangan itu belajar di Jepun, kemudian berkahwin dengan teman wanitanya, orang Jepunlah.

Yang uniknya, Haji Saleh mengajar sendiri menantunya itu mengaji Al-Qur’an. Oleh kerana dia menggunakan kaedah baru seperti Qiraati yang mudah difahami, Sarah Michi, menantu Jepun Haji Saleh dan Hajah Sari itu, kini pandai mengaji. Dia khatam Al-Qur’an hanya beberapa bulan setelah memeluk agama Islam. Saya kagum sungguh dengan usaha Haji Saleh yang murni itu.

Selain kelas Al-Qur’an, kini ada kelas ‘Lughatul Qur’an’ atau pun kelas memahami bahasa Al-Qur’an. Selain membaca, kita sewajarnya faham apa yang kita baca supaya hikmah Al-Qur’an dapat kita terjemahkan dalam kehidupan sehari-hari.

Saya bersyukur kepada Allah kerana diberiNya ilmu boleh membaca wahyu-wahyuNya. Hasrat yang tersimpan di hati ini ialah kalau saya bercucu nanti, saya mahu mengajar mereka mengaji Al Qur’an. InsyaAllah.

Mudah-mudahan saya tidak bersikap panas baran macam Tok Amin! Saya sudah merasa betapa susahnya hendak memahami sesuatu kalau fikiran kita takut dan risau memanjang. Ada orang kata, guru zaman dulu-dulu memang garang tapi anak murid mereka menjadi. Namun bagi saya, cara itu tidak sesuai diamalkan di zaman ini dan masa akan datang.

Bak kata Dr. Tuah Iskandar, pakar motivasi yang terkenal itu, otak manusia berfungsi paling baik ketika ia berada dalam keadaan alpha iaitu arus minda ketika tenang dan cool. Dalam keadaan tenang, otak lebih tajam dan mudah ‘menangkap’ apa yang di pelajari.

Oleh itu tidak perlulah gunakan kaedah yang kasar dan keras macam yang dipraktik guru-guru mengaji zaman dulu. Saya berdoa semoga impian murni saya tercapai jua suatu hari nanti. InsyaAllah.

Friday, August 24, 2007

Puan Faiza Bawumi Sayed Ahmad

Sebagai ikhtiar untuk sentiasa mendapat kemurahan rezeki dalam bisnes, tauke beras Faiza ini mengamalkan solat sunat tahajjud dan solat sunat dhuha hampir setiap hari. Selesai mengerjakan solat dhuha, beliau mengamalkan doa :-

“Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha adalah waktuMu. Cahayanya adalah cahayaMu. Kekuatannya adalah kekuatanMu. Ya Allah, sekiranya rezekiku berada di langit, maka turunkanlah. Sekiranya rezekiku berada di dalam bumi, keluarkanlah. Jika ia jauh, dekatkanlah. Jika ia dekat, permudahkanlah. Dengan kebenaran dhuhaMu, cahayaMu, kekuatanMu dan kesucianMu, berikanlah kepada hamba-hambaMu yang soleh. Ya Allah, cucurilah rahmat ke atas penghulu kami, Nabi Muhammad dan keluarga beliau serta para sahabatnya serta kesejahteraan. Segala puji bagi Allah seru sekelian alam.”

Kisahnya dalam buku '50 Usahawan Wanita'.

It's My Life!






















Kedua-dua gambar di atas menceritakan kesudahan kisah bertajuk 'Dunia Ini Bulat'.

Ya, dunia ini bulat macam bola. Apa-apa saja boleh berlaku. Bukan manusia yang berkuasa mutlak menentukan apa bakal terjadi dalam kehidupannya. Semua dalam ketentuan Allah jua.

Oleh itu, jangan sekali-kali berputus asa dalam menempuh cabaran hidup. Dan… dalam menghadapi masalah, jangan melawan arus, nanti kita letih, lesu dan lemas. Percayalah dengan qada dan qadar. Yakinlah pada takdir.

Setelah berusaha sesungguh hati, berserah diri bulat-bulat kepadaNya. InsyaAllah, Allah mendengar doa-doa kita. Untuk pasrah dan bersabar menghadapi dugaan bukannya mudah. Cakap memang senang tapi mahu buat… susah!!!

Dunia Ini Bulat


Saya mula bersekolah pada tahun 1967 di Singapura, kemudian berpindah sekolah beberapa kali. Antara darjah satu hingga tingkatan lima, saya belajar di enam buah sekolah. Tiga di Melaka, dua di Singapura dan satu di JB.

Julai, 1978 saya masuk ke UiTM Shah Alam. Selepas 3 tahun, mendapat diploma dan mula bekerja. Pada awal 80an, graduan UiTM larisnya macam gopis (goreng pisang). Jawatan pertama saya sebagai Pembantu Eksekutif di Ibu Pejabat Felda, Jabatan Angkut.

Tatkala surat tawaran kerja itu sampai, girangnya hati saya ibarat bulan jatuh ke riba. Tapi ibu bapa saya berat hati melepaskan saya pergi. Alasannya, mereka takut saya jadi hantu apabila tinggal di ibukota.

Saya berhempas pulas memujuk kedua-duanya untuk mendapat restu. Dan... merasalah saya menjadi warga kota. Tapi ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Saya dapat menjadi city girl ngam-ngam satu bulan sahaja. Memang tidak sempat jadi hantu pun!!! Anda hendak tahu apa terjadi? Ceritanya begini…

Baru seminggu saya mulakan tugas di KL, ayah saya terbaca satu iklan jawatan kosong di Melaka. Tanpa berlengah dia menelefon, menyuruh saya pohon jawatan berkenaan. Kerana tidak kuasa pening kepala, saya turutkan cakap ayah walau pun dalam hati tidak bercadang langsung mahu berpindah tempat kerja.

Permohonan kerja di Melaka itu mendapat pertimbangan. Apabila sampai surat panggilan temuduga, ayah saya gunakan kuasa vetonya. Dia datang ke pejabat dan mengarahkan saya letak jawatan dengan notis 24 jam.

Sejak kecil saya patuh kepada ibu bapa. Bukannya saya ini baik sangat tapi tidak mahu berbalah dengan mereka. Antara rela dan terpaksa saya meletak jawatan. Pengalaman saya bekerja di KL hanya sebulan itu saja.

Di Melaka saya bertugas di pejabat pihak berkuasa tempatan. Pejabat baru saya itu terletak di sebuah pekan kecil. Setiap hari saya berulang-alik dengan bas ke pejabat yang jaraknya lebih kurang 20 km dari rumah. Perjalanan ke tempat kerja melalui beratus-ratus ekar ladang getah dan ladang kelapa sawit yang berderetan di kiri dan kanan jalan. Terlalu jauh bezanya dengan suasana yang saya lalui ketika bertugas di KL sebelum itu.

Staf di pejabat baru saya majoritinya orang tua-tua (40an) kecuali pembantu pejabat. Dia seorang saja yang muda. Begitu juga di jabatan-jabatan lain berdekatan pejabat saya. Hampir kesemuanya dipenuhi orang-orang hampir pencen! Peluang hendak dapat ‘pakwe’ yang sesuai di pekan kecil itu boleh dikatakan nol. Sesekali terdetik di hati - mungkinkah saya jadi andalusia (anak dara lanjut usia) kalau terus-menerus berada di sana

Masuk tahun kedua bekerja di pekan kecil itu saya mula rasa bosan. Bukan boring main-main tapi sudah sampai ke tahap mati akal. Saya mencari jalan keluar dengan memberitahu ayah saya mahu menyambung pengajian. Malangnya dia tidak bersetuju dengan rancangan saya.

Sebagai helah, ayah saya kenakan satu syarat. Anda mahu tahu apa syarat itu? You won’t believe it, my dear! Ayah saya kenakan syarat supaya saya berkahwin terlebih dahulu. Kalau sudah kahwin saya boleh pergi belajar ke USA, UK atau mana-mana pun, you name it, dia kata. Alasannya, dia takut saya hanyut dan jadi liar seandainya pergi overseas dengan status masih bujang.

Saya mahu berkahwin dengan siapa??? Pakwe pun tidak ada macam mana hendak kahwin? Ayah saya buat selamba saja mendengar rungutan saya. Ketika itu saya frust gila sebab ayah saya guna kuasa vetonya. Hati saya terkilan sangat tapi apakan daya.

Pada suatu hari keluar iklan di surat khabar tentang ujian TOEFL (Test of English As A Foreign Language). Sesaja untuk suka-suka saya mendaftar dan pergi menduduki ujian itu di KL pada 19 Febuari, 1983.

Dalam dewan peperiksaan, saya duduk di belakang seorang jejaka Melayu berkulit sawo matang. Secara kebetulan, kawan jejaka itu duduk di belakang saya. Sementara menunggu ujian bermula, si dia di depan saya asyik berpaling ke belakang dan berbual dengan temannya yang di belakang saya. Akhirnya mata kami bertembung. Dia menegur saya dan kami berkenalan secara ringkas.

Dalam sekejapan saja jejaka di depan saya itu sudah beramah-tamah. Tanpa segan silu dia bertanya kalau-kalau saya ada pemadam spare sebab dia mahu pinjam. Hai, baru kenal tidak sampai 10 minit dia sudah berani meminjam harta benda saya... Saya tidak berkenan betul dengan jejaka itu tapi saya berikan juga pemadam extra yang ada dalam kotak pensel.

Selesai ujian saya ambil bas ke Puduraya dan balik ke Melaka. Tidak lama kemudian keputusan ujian TOEFL itu pun keluar. Markah saya ok. Pada suatu hari di pejabat, saya terima panggilan telefon dari Johor Bahru. Pemanggilnya saya tidak kenal. Puas si pemanggil itu memperkenalkan dirinya tapi saya memang tidak ingat.

Rupa-rupanya dia adalah jejaka yang duduk di depan saya semasa ujian TOEFL dahulu! Katanya dia terhutang budi kepada saya sebab pinjamkan pemadam ketika ujian. Saya tergelak besar, tidak sangka pula pemadam spare itu masih disimpannya.

Dia mendapat nombor saya daripada operator telefon. Sesungguhnya saya sudah terlupa langsung hal pemadam, apatah lagi wajahnya. Di pendekkan cerita, jejaka itu yang namanya Zainal Ahmad, bertanya khabar, keputusan ujian TOEFL saya dan ke mana saya hendak further study

Saya kelentongkan dia, kononnya sudah memohon tempat di beberapa universiti seperti di Indiana, Iowa dan Colorado. Yang sebetulnya satu habuk pun tidak ada. Semua itu saya reka-reka saja. Dia beria-ia mempelawa saya belajar di universiti yang sama dengannya di SIU-C. Diberinya alamat universiti itu dan diajarkan cara-cara untuk memohon masuk ke sana. Sesaja untuk suka-suka saya menghantar permohonan ke universiti berkenaan.

Tidak lama selepas itu, keluar pula iklan biasiswa JPA untuk pengajian di seberang laut. Sekali lagi si dia tawarkan diri mengambilkan borang untuk saya. Saya pun apa lagi, bak orang mengantuk disorongkan bantal. Ditakdirkan Allah kedua-dua pemohonan saya untuk mendapatkan tempat di universiti dan penaja biasiswa, berjaya.

Bersambung...

Thursday, August 23, 2007

Helen Read

Helen Read adalah jenama pakaian wanita. Ia juga adalah nama pengasas Ms Read Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang mengendalikan rangkaian butik pakaian untuk golongan wanita bertubuh besar. Kisah Puan Helen Read dalam buku '50 Usahawan Wanita'.

Wednesday, August 22, 2007

Tunang

Semasa kecil dulu, saya ditunangkan dengan Bakar, anak Bibik Liya. Kerana sepupu saya itu berkulit gelap, saya menangis bagai nak rak setiap kali diajuk akan berkahwin dengan Bakar. Pak Lang Usop paling suka menyakat kami. Mendengar pantun dua keratnya, saya pasti meraung sekuat-kuat hati.

Hitam hitam si tampuk manggis
Sungguh pun hitam senyumnya manis!

Entah kenapa, Bakar yang tiga tahun lebih tua daripada saya itu sedikit pun tidak marah. Mungkin dia suka dipadankan dengan saya.

“Kalau kau berani kahwin dengan aku, nanti aku bagi kau makan cacing!” saya menjerit sambil menghentak-hentak kaki dan menjeling Bakar.

Apabila tangisan saya menjadi-jadi, nenek yang selalu datang memujuk. Katanya kami bertunang olok-olok saja, bukannya betul-betul. Mendengar cakap nenek itu saya pun senyap.

“Dah besar nanti barulah boleh kahwin betul-betul,” usik Pak Lang Usop.

Saya melalak lagi. Yang paling menyakitkan hati saya ialah gelagat kaum keluarga kami. Mereka asyik ketawa macam kena geletek. Suka sangat dia orang menyakat. Bakar pula hanya berdiam diri, matanya saja yang terkebil-kebil. Saya yang tidak tahan kena sakat, menjeling Bakar berlilit-lilit. Menjeling bakal tunang!

Apabila orang di sekeliling berhenti mengusik, saya bermain semula dengan Bakar. Sebenarnya, dia budak baik dan selalu beralah dengan saya. Kalau kami bermain di bangsal tempat orang menumbuk padi nenek, Bakar menolong saya buat kuih daripada tanah. Kami main terap kuih menggunakan kulit kerang. Kalau bergaduh, saya selalu mencubit dan memulas telinganya tapi Bakar tidak pernah membalas.

Apabila dewasa kami buat hal sendiri-sendiri. Saya meneruskan pelajaran hingga ke universiti. Bakar jadi drebar lori. Dia berkahwin dengan gadis pilihannya dan mereka hidup bahagia dengan beberapa orang anak. Itu kisah tunang saya semasa kecil dulu. Bila diingatkan semula terasa amat lucu.

Kesian Si Bakar yang menjadi mangsa cubitan saya. Tidak berbaloi pun dia tahankan badannya sampai berbintat kena cubitan saya, sebab dia tidak dapat berkahwin pun dengan perempuan garang ini!

Sejak zaman persekolahan sehingga ke UiTM, saya tidak pernah ada boyfriend. Mungkin sebab saya ini jenis square atau ‘skima’ ikut istilah budak-budak sekarang. Bukan tidak teringin ber’pakwe’, tapi perasaan malu terlalu tebal. Jadi selama tiga tahun di kampus, saya simpan secret heartthrob saja. Kawan-kawan sebilik asrama saya, semua ada seorang satu ‘buah hati rahsia’. Kami ‘berjumpa’ secret heartthrob masing-masing di dewan makan.

Sambil beratur menunggu giliran hendak mengambil nasi, kami intailah ‘buah hati’ kami yang sedang menjamu selera. Setiap semester kami menukar ‘buah hati’ baru. Kami cari yang handsome dan bergaya saja. Pilihan saya mestilah yang berbadan kurus, tinggi, berkulit sawo matang dan memakai cermin mata. Tapi ‘si dia’ itu tidak kenal saya pun! Sampai tamat pengajian di UiTM, saya masih solo.

Masuk ke alam pekerjaan, saya sudah pandai bergaya. Mula tahu pakai gincu dan beg tangan yang sebelum itu asing bagi saya. Ketika itu umur saya masih muda, baru 21 tahun, tentulah comel-loteh. Di pekan kecil tempat saya bertugas dulu, memang tidak ramai orang muda-muda, jadi calon boyfriend memang tidak ada di sana. Tapi saya tidak kisah sangat sebab belum terfikir pun hal kahwin.

Hasrat di hati mahu enjoy dan layan diri dulu. Mahu beli kebaya nyonya, kain batik wiron yang berkipas di depan, beg tangan, kasut tumit tinggi, gincu, minyak wangi, mekap, cincin, gelang, rantai dan 1001 macam lagi. Itu belum termasuk mahu belikan emak saya almari dapur, set kerusi makan, set pinggan pyrex dan lagi dan lagi. Soal boyfriend memang tidak menjadi prioriti ketika itu.

Pada suatu hari, pejabat saya dikunjungi seorang Pembantu Teknik daripada Kementerian. Beliau ditugaskan membuat soil test di sebuah tapak projek yang akan didirikan sebuah pasar dua tingkat. PT itu orangnya agak tinggi, berumur lebih kurang 24 tahun, berkaca mata dan masih bujang. Pada mulanya, dia tidak sedar pun kehadiran saya di pejabat, maklumlah perempuan ini pemalu! Selang beberapa hari barulah dia perasan dan mula menegur saya. Anak dara muda, di mana ada bunga di situ si kumbang hinggap…

“Hai, apa khabar? Saya Ali. Ali bin Baba,” PT itu memperkenalkan dirinya.

“Baru hari ini saya nampak you,” tambahnya lagi dengan senyuman lebar.

“Saya Norlela. Awak ni Ali Baba? Saya pernah dengar nama you ni. Yang 40 orang lagi di mana?” tanya saya.

Lelaki itu tergamam seketika, kemudian ketawa besar. Dia baru teringat kisah Ali Baba dengan 40 orang penyamun!!! Bermula dari situ kami menjadi kawan. Setiap pagi sebelum mulakan tugas dia duduk di depan meja saya. Kami berbual. Sejak sudah berkawan, waktu lunch kami pergi makan bersama.

Dia membeli nasi bungkus dan makan di depan meja saya. Habis waktu kerja, sementara menunggu bas sampai di stesen, Ali Baba dan saya berbual lagi. Dia suka bercakap, ada-ada saja ceritanya. Saya ini pun apa kurang. Kata orang bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi. Ali bertugas di pejabat saya hampir tiga minggu. Selepas selesai kerjanya dia kembali ke KL.

Sejak awal lagi saya dapat rasakan kami serasi. Ali yang bertubuh kurus dan berkulit sawo matang itu baik orangnya. Hanya satu perkara yang merimaskan saya tentang dia iaitu asap rokoknya. Itu saja. Yang lain semua wokey! Sejak dia balik ke KL, Ali kerap menelefon saya di pejabat. Malah dia juga mengirim surat dan kad ucapan.

Suatu hari dia meminta nombor telefon saya di rumah, katanya hendak hubungi saya pada hujung minggu. Tapi saya tidak dapat berikan sebab nombor telefon rumah saya P&C. Semuanya kerana ayah sayalah. Ayah saya itu kalau ada orang lelaki menelefon di rumah kami, dia akan soal selidik si pemanggil itu. Soalan cepu emas dalam ‘temuduga’ spontan ayah saya lazimnya berbunyi begini…

“Di mana awak kenal anak pakcik? Apa hubungan awak dengan anak pakcik? Awak ni nak berkahwin dengan anak pakcik ke?”

Hah, manalah saya tidak cemas!!! Ayah saya memang tidak sporting dalam bab ini. Dia cemburu habis. Jadi untuk elakkan konflik, saya minta Ali menelefon di pejabat saja. Agak lama kami berhubungan. Suatu hari Ali memberitahu saya dia menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke UK. Dia berjanji akan terus berutus-surat dengan saya semasa di sana. Kalau ada jodoh dan panjang usia, kata Ali, kami akan berjumpa lagi.

Pada malam Ali berangkat ke Glasgow, saya mula memikirkan masa depan bersamanya. Apakah kesudahan hubungan kami berdua? Adakah dia akan terus mengingati saya selama berada di UK? Adakah wajar saya mengharapkan apa-apa daripada dia? Kami pernah berbicara soal hati dan perasaan tapi tidak sampai menyentuh hal masa depan bersama. Entahlah.

Sejak malam itu, saya agak pasti, tidak akan ada apa-apa hubungan istimewa antara kami berdua. Saya yang pemalu ini tidak mungkin akan bertanya dia soal-soal yang terlalu peribadi kalau bukan Ali yang memulakan.

Surat-surat Ali sampai satu demi satu ke pangkuan saya dari UK, sebahagiannya agak tebal sehingga dapat saya bayangkan dengan jelas suasana dan keadaan kehidupannya di negara mat saleh itu. Dia kirimkan sekeping potret dirinya memakai kot tebal, bersarung tangan dan topi sedang berdiri berlatar-belakangkan salji memutih. Makin lama gambar itu saya tatap, semakin tawar hati saya. Entahlah. Hendak tunggu dia balik 4 tahun kemudian bukannya sekejap. Silap haribulan saya menjadi pungguk merindukan bulan…

Hendak dijadikan cerita, ketika itulah Zainal mula menelefon saya. Asalnya, dia hanya mahu bertanya tentang keputusan ujian TOEFL saya. Tapi sejak membuat panggilan kali pertama itu, dia macam ketagih pula. Esok lusanya dia telefon lagi sampai saya jadi rimas. Kekadang dia menelefon saya sehingga tiga kali sehari. Waktu itu Zainal bertugas sebagai Pegawai Trafik di Johore Port dan masa kerjanya mengikut shif.

Orang telefon, saya jawablah, masakan hendak marah-marah pula. Siapa sangka dalam diam-diam, saya yang dikatakan square dan ‘skima’ ini pernah ada dua orang boyfriend dalam satu masa! Seorang di Pasir Gudang dan seorang lagi di seberang laut. Senario saya ketika itu bak lirik dalam lagu Farrah AF2 itu... “ku pasang dua”!!! Tuah badan saya, beb!!!

Saya sebenarnya bukan seorang yang mata keranjang tapi saya “pasang dua” kerana perasaan ketika itu terlalu boring. Waktu itu saya bertugas di pekan kecil yang tidak happening langsung. Rutin harian saya hanya berulang-alik ke pejabat. Hendak pergi jalan-jalan ke bandar, ada had masa tertentu sebab ayah pakai sistem punch card. Saya tidak diizinkan balik ke rumah lebih lewat daripada pukul 6.00 petang. Macam mana tidak boring maa???

Di pendekkan cerita, pada suatu hari Zainal yang mabuk cinta itu, melamar saya. Saya tidak mengambil masa yang panjang untuk membuat keputusan. Daripada menunggu Ali yang belum tahu hujung pangkalnya, lebih baiklah saya bersikap praktikal iaitu menerima lamaran Zainal. Keesokkan harinya, pada 4 Februari, 1984, keluarga Zainal dengan resmi masuk meminang saya. Ayah saya mengenakan empat syarat sebelum menerima peminangan Zainal itu.

Yang pertama, Zainal kena izinkan saya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang saya hajati. Yang kedua, dia kena izinkan saya bekerja. Ketiga, dia tidak boleh menganiayai saya iaitu tidak boleh memukul-bantai atau mengusir daripada rumah. Yang keempat, dia tidak boleh memadukan saya.

Kesemua syarat ayah saya itu dipersetujui pihak Zainal. Anda mahu tahu apa yang terjadi selepas rombongan peminangannya meninggalkan rumah kami? Saya disakat Kak Long menyebabkan saya menangis sehingga bengkak mata. Ceritanya begini.

Semasa ayah saya ditanya oleh pihak lelaki mengenai wang hantaran, dia meletakkan harga RM3,000 bersih. Ibu saudara Zainal menawar, minta kurang RM500. Mereka syorkan wang hantaran RM2,500 serba satu. Itulah puncanya saya kena sakat. Kata Kak Long dia tidak pernah dengar orang menawar wang hantaran. Mulanya saya tidak rasa apa-apa tapi apabila ahli keluarga lain turut mengusik dan mentertawakan saya, apa lagi turunlah ‘hujan ribut’!

Saya menangis sampai bengkak mata sebab rasa terhina. Akhirnya ayah panggil saya dan dia berikan satu nasihat yang sampai kini masih saya ingati. Kata ayah, orang yang tidak tahu bersyukur di atas segala nikmatNya akan dimurkai Allah.

“Ramai anak dara yang tidak pernah dipinang orang sampai jadi andartu. Kau baru kena tawar RM500, nak merajuk? Apa hinanya? Sampai bila nak menangis? Kenapa jadi macam ni, kau tak bersyukur pada Allah???” tanya ayah saya bertalu-talu.

“Mereka terima kesemua empat syarat yang Bak tetapkan. Itu yang penting,” Ayah memujuk saya lagi.

Mendengar nasihat ayah itu, tangisan saya menjadi reda. Kini, ketika saya mengenang semula peristiwa tersebut, timbul rasa kesal di hati saya. Kenapalah saya sanggup membuang air mata hanya kerana usikan nakal ahli keluarga.

Sebenarnya ketika menulis kisah ini hati saya terasa amat rindu pada Bak. Sebagai ayah, dia terlalu memikirkan masa depan anak-anaknya. Kalaulah dia masih hidup ketika ini, pasti akan saya peluk dan cium pipinya. Saya ingin ucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepadanya kerana Bak memilihkan suami yang amat menyayangi diri saya.

Saya dan Zainal bertunang pada 11 Mac, 1984. Beberapa bulan kemudian, kami bernikah. Saya mengirim sekeping kad kahwin kami kepada Ali Baba di UK dengan harapan dia mengerti sendiri antara dia dan saya sudah tiada hubungan apa-apa lagi.

Selain itu, surat-surat Ali yang tersimpan dalam laci meja saya di pejabat, saya bakar semuanya. Setelah menjadi seorang isteri, saya berikrar tidak mahu lagi ada hubungan istimewa dengan sesiapa pun. Hati ini saya bulatkan hanya untuk suami saya seorang saja.

Sebenarnya nilai hantaran tidak menentukan kebahagiaan sesebuah perkahwinan. Begitu juga dengan saiz majlis kahwin. Bukan kecil besarnya yang menentukan jodoh kekal ke akhir hayat. Kadang-kadang kita terlupa semua itu dan kalau boleh hendak yang besssssst saja.

Wang hantaran mahu tinggi. Hadiah hantaran hendak yang paling berharga dan paling cantik. Kad jemputan yang paling kelas gitu. Majlis kahwin mesti paling happening dan berbulan madu di tempat paling top.

Kalau tidak lengkap semuanya bagaikan tidak sah kerja kahwin itu. Sebenarnya yang penting sekali ialah kita memohon keberkatan daripada Allah. Semoga diberiNya kebahagiaan berumahtangga dan kasih sayang yang kekal abadi hingga ke akhir hayat. Sekarang ini apabila rasa tidak sihat, saya pasti akan mengusik Zainal begini…

“Itulah, masa meminang saya dulu, hantaran saya kena tawar. Kalau tidak tawar, tentu you tak rugi macam ni. Sebab mintak diskaun RM500, you dapat bini banyak penyakit. Duit ubat saja dah habis beribu-ribu. Hehehe, padan muka!!!”

Zainal ketawa geli-geli hati setiap kali saya mengungkit cerita hantaran kena tawar itu. Dia kata sepatutnya wang hantaran itu kena tawar lebih lagi dan kena minta diskaun 50% sebab saya ini banyak sangat defects!!!

Hah, bagi sesiapa yang mungkin terfikir hendak meminta diskaun wang hantaran, berawaslah. Takut-takut nanti anda pun jadi macam suami saya yang dapat isteri ala-ala barang ‘reject shop’!!!

Apabila Tsunamiku Melanda

Telefon bimbit berbunyi tatkala saya dan Alum dalam perjalanan pulang dari Alor Gajah. Sayup-sayup melodi ringtoneAll Rise’, lagu kumpulan Blue dalam beg tangan saya. Panggilan itu datangnya daripada Mimah The Carpenter.

Hairan saya sebab Mimah jarang telefon. Sekian lama tiada berita, mengapa Mimah telefon? Mungkin dia mahu jelaskan hutang lapuk itu, bisik hati kecil. Namun sangkaan itu meleset. Mimah membawa berita buruk untuk saya…

“Kakkk!!! Akak kat mana???? Maafkan saya, Kakkkk!!! Saya nak bagi tahu Akak satu hal. Hal penting niiii!!! Hal rumah tangga Akakkk!!! Tolong jangan marah saya. Ini hal rumah tangga Akak. Saya cuma nak selamatkan rumah tangga, Akakk!!! Jangan sampai jadi porak peranda macam rumah tangga saya.”

Berdesing telinga saya dengar kata-kata Mimah itu. Suaranya kelam-kabut. Dalam pada itu, jantung saya berdebar laju. Apa pula halnya dengan rumah tangga saya? Kenapa Mimah jadi kalut dan tidak tentu arah?

“Bertenang, Mimah. Cakaplah betul-betul. Kenapa ni?” tanya saya.

“Tolong jangan marah saya, Kak. Akak kena janji dulu. Kalau Akak marah, saya tak sanggup nak cakap. Ini soal rumah tangga Akak. Saya cuma nak tolong. Nanti Akak menyesal,” jawab Mimah.

Kata-kata Mimah yang penuh misteri itu buat saya keliru.

“Kalau nak cakap, cakap sajalah. Jangan nak acah-acah,” kata saya.

“Saya nampak Abang Zainal, Kak. Dia dengan sorang perempuan kat Café Subaidah. Saya ingatkan perempuan itu Akak, rupa-rupanya Tina, Kak. Saya nampak dia orang berdua tengah minum, mesra sangat, Kak. Gelak-gelak. Tina tu kan kawan Akak. Kenapa dia keluar dengan Abang Zainal??? Akak tahu tak dia orang keluar berdua?”

Saya tergamam. Memang saya terkejut mendengar berita itu. Ia memang janggal. Apa hal suami saya keluar minum berdua dengan Tina, janda beranak empat itu? Biasanya Zainal tidak lakukan hal-hal seperti itu. Sekurang-kurang pun dia akan beritahu saya terlebih dulu. Apa pula urusan Tina dengan Zainal?

“Kalau Akak masih tak percaya, Akak pergilah ke Café Subaidah sekarang. Dia orang masih ada di sana. Pergilah Akak selidik sendiri. Mana tahu dia orang ada hubungan sulit. Saya kesian pada Akak. Akak banyak tolong saya. Saya terhutang budi. Sekarang saya kena tolong Akak. Dulu bekas suami saya buat hal macam ini juga. Keluar curi-curi dengan pompuan dangdut. Lama-lama dia orang kahwin. Rumah tangga saya hancur. Saya tak mahu hal ini terjadi pada Akak. Kalau Akak susah saya pun…bla…bla…bla…”

Saya mematikan handset walau pun Mimah belum habis bercakap. Kepala saya ligat berfikir, lalu saya mengajak Alum terus ke Café Subaidah yang terletak berhampiran bangunan MITC. Sebaik kami sampai di sana, kelihatan suami saya memandu Terranonya keluar parkir kereta.

Di belakang kenderaannya, kelihatan Tina, juga sedang beredar dari kawasan Café Subaidah. Nampak gayanya sahlah mereka keluar berdua. Melihat saya dan Alum tiba-tiba terpacul, Zainal mengangkat lampu. Tambah mendebarkan dada saya, Tina juga memain lampunya ke arah kami. Saya terus mendail handset Zainal.

“Abang dari mana? Abang keluar minum dengan siapa?” tanya saya.

“Eh, abang tak pergi minum pun. Kebetulan saja Abang lalu kat MITC ni. Ela dengan Anak dari mana?” jawab Zainal seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Darah saya terus menyirap.

“Abang janganlah bohong. Abang keluar dengan Tina, kan???”

“Taklah. Abang tadi… Abang tadi…,” suara Zainal terputus-putus.

Aduhai, suami saya sudah pandai main wayang rupanya. Sudahlah begitu, dia tidak mahu mengaku. Saya matikan telefon dan terus mengajak Alum pulang ke rumah yang tidak sampai 2 km dari MITC. Zainal sudah sampai lebih dulu ketika kami tiba. Dia menunggu saya di muka pintu. Sebaik saya melangkah masuk, dia menarik tangan saya.

“Abang mintak maaf. Abang sebenarnya tadi…”

Belum pun sempat Zainal habis berkata-kata, saya menolak tangannya, lalu masuk ke bilik. Apa-apa pun, sama ada hendak bertumbuk atau bermain pedang, biarlah saya tunaikan solat asar dahulu. Jam sudah pukul 6:00, hampir luput waktu asar. Selesai solat, saya melipat telekong dan duduk di sisi katil. Rasa terkejut melihat Zainal dan Tina di kawasan Café Subaidah masih belum hilang.

Saya fikir Mimah mengada-adakan cerita. Rupa-rupanya benar. Memang saya tidak sangka. Apa hubungan suami saya dengan Tina, tanya hati kecil. Tiba-tiba telefon saya berbunyi, ada SMS masuk ke mailbox. Mesej itu daripada Tina… “Hi! Long time no news. How r u?”

Saya menjawab mesej Tina itu tanpa berlengah… “I’m ok. Saw u with my hubby, what’s up?”

Mesej itu tidak dijawab oleh Tina. Seketika kemudian saya dengar handset Zainal berbunyi. Telefon Zainal itu ada di atas almari solek, lalu saya mengambilnya. Nombor yang tertera di skrin tidak lain tidak bukan, nombor Tina.

Mungkin dia mahu beritahu Zainal tentang mesej yang baru diterimanya daripada saya. Bedebah punya Tina, hati saya mula menyumpah. Perempuan itu memang hendak kena tumbuk dengan saya…

Selang lima minit, Zainal masuk ke bilik. Perlahan-lahan dia duduk di sisi. Tangan saya dipegangnya. Seperti biasa (kalau sedang naik angin), saya menolak tangannya sambil menjeling. Zainal memujuk sambil rambut saya dibelai-belainya.

“Maafkan Abang. Abang bukan nak bohong. Abang terkejut sangat tadi bila nampak Ela dengan Alum tiba-tiba tersepa depan Abang,” kata Zainal.

“Abang terkejut sebab kami nampak Abang dengan Tina, kan? Abang ni kenapa?” tanya saya.

“Abang mintak maaf. Hal ini terjadi tiba-tiba. Tadi Tina call Abang, dia ucap Happy Birthday (hari jadi Zainal jatuh pada hari sebelumnya). Abang tanya dia, tak ada hadiah ke? Itu yang dia ajak Abang minum teh tarik. Bukan apa-apa pun, Abang tak ada apa-apa dengan dia. Sumpah.”

“Dah selalu Abang buat hubungan dengan Tina? Saya tak tahu dia ada contact Abang sebelum ini,” jawab saya.

“Maafkan Abang. Tolonglah, maafkan Abang. Abang tak fikir apa-apa pun masa dia pelawa tadi. Tapi bila dah sampai kat Café, Abang rasa tak sedap hati. Rasa macam tak kena. Tapi, Abang dah berjanji, jadi Abang teruskan juga.”

Saya diam seribu bahasa.

“Abang sampai dulu dan cari meja betul-betul sebelah kaunter mamak tebar roti. Tempat itu terang, banyak orang sekeliling, tidak tersorok. Dia datang saja, order teh, tak sampai ½ jam kami beredar.”

Saya masih diam membatu.

“Abang memang nak beritahu Ela hal ini bila dah balik rumah, tapi Ela tiba-tiba aje dah tahu dulu. Itu yang Abang terkejut sangat. Maafkan Abang. Please, maafkan Abang. Percayalah pada Abang. I love you, sayang. I love you so much.”

Saya masih tidak berkata sepatah pun. Namun airmata keluar membuak-buak macam paip pecah. Walau pun Zainal kata tiada apa-apa di antara dia dan Tina, hati saya bagaikan kaca terhempas. Bagai kain dikoyak rabak.

Alum datang memujuk saya. Dia tidak berkata apa-apa kepada Zainal. Sebaliknya dia memeluk ayahnya, setelah itu memeluk saya semula. Selepas solat magrib, Alum minta izin untuk keluar bertemu kawan. Saya tahu dia rasa tidak selesa dalam keadaan itu dan mahu memberi ruang kami menyelesaikan kekusutan.

Sebaik saja Alum keluar, Zainal memujuk saya lagi dengan bermacam-macam cara. Tapi saya tidak makan dipujuk. Telinga saya bagaikan pekak dan mata bagaikan buta. Saya buat tidak endah dan menjauhkan diri sepanjang malam.

Sambil duduk menaip di depan PC, saya meluahkan isi hati. Lamunan saya terbang jauh mengenang saat bertemu Tina pertama kali awal tahun 1990an. Dia seorang wakil syarikat insuran yang menggantikan tempat En. Zainun, orang yang sebelum itu berurusan dengan saya. Ketika itu Tina masih isteri orang, belum berstatus janda.

Saya mengambil insuran dengan Tina untuk segala macam perlindungan – untuk mesin, stok, bangunan kilang, projek pemasangan pagar dan lain-lain. Setelah bertahun-tahun berurusan dengannya, kami jadi akrab.

Saya dan Tina selalu keluar makan tengahari bersama. Hubungan kami jadi renggang apabila saya berhenti kerja. Sejak ketiadaan saya, Tina berurusan dengan Zainal. Tapi setahu saya, hubungan mereka setakat di pejabat saja, tidak pernah lebih daripada itu.

Awal tahun 2000, Tina mengalami masaalah rumahtangga, kemudian bercerai. Ketika itu dia hubungi saya, meminta izin menamakan Zainal sebagai muhrim bagi membolehkan dia turut serta dalam satu rombongan umrah yang kami turut sertai. Ketika di tanah suci itulah saya berpeluang mengenali Tina dengan lebih dekat.

Kata Tina, bekas suaminya tidak jujur. Mereka bercerai kerana kehadiran orang ketiga. Kembali daripada umrah, hubungan kami terputus. Setahun kemudian, ketika saya menyertai bisnes MLM, saya hubungi Tina semula.

Saya mempelawa dia sertai bisnes MLM itu dan Tina bersetuju. Sejak dia menjadi downline saya, kami kerap bertemu tapi itu pun tidak lama. Seperti saya, Tina tidak serasi dengan syarikat MLM yang kami sertai. Begitulah kisah saya dengan Tina.

Rajuk saya masih belum reda keesokan harinya. Zainal memohon maaf lagi tatkala hendak ke pejabat. Saya masih diam membisu. Kalau diikutkan hati, mahu saja saya jeritkan sekuat-kuatnya – I HATE YOU!!!

Pagi itu Alum bertolak ke KL dengan teman-temannya. Mereka sudah buat rancangan seminggu lebih awal. Sebelum pergi, Alum memujuk saya. Katanya, dia juga tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan Zainal. Dia memujuk saya supaya cepat-cepat memaafkan ayahnya. Sejurus keluar rumah, Alum mengirim SMS berbunyi begini…

“Mak, jangan gaduh lama-lama ya. Anak sayang Mak dan Abah.”

Airmata saya menitis. Kalau tidak memikirkan Alum, mahu saja saya turutkan hati pergi jauh-jauh meninggalkan Zainal. Kepercayaan saya kepadanya sudah luntur. Sejak melihat dia dengan Tina, perasaan saya jadi curiga, apakah mereka berdua ada hubungan sulit? Mungkinkah mereka selalu berjumpa, hanya saya yang tidak tahu.

Saya mengambil wudhu, kemudian dirikan solat dhuha. Selesai mengerjakannya, saya mencapai handset lalu menaip mesej kepada Tina. Kami berbalas SMS…

Saya - I’m still waiting 4 ur reply. Since when you start dating my hubby?

Tina - I’m sorry. I x pernah date ur hubby b4 this. Never. I cuma belanja dia minum semalam, that’s all. Not more than that.

Saya - Perbuatan itu manis ke? Somebody saw u with my hubby and call me bagai nak rak. U x malu ke orang kata u ada affair dgn Zainal? I x sangka u buat hubungan dgn suami I.

Tina - Demi Allah, I x ada affair dgn Zainal. I minta maaf. I x ada niat nak khianati hubungan kita. This is my mistake. Sorry.

Saya - Walau apa pun alasan, sepatutnya u tahu batasnya. Suami u dulu buat affair, kan? U marah tapi u sendiri apa kurang? I warn u, jangan call Zainal ever again. I saw ur miss call di hp Zainal yesterday. U ni kenapa? What do u have in mind? Tolong jangan ganggu rumah tangga saya lagi.

Hati saya masih terbuku. Mula-mula memanglah tiada apa-apa, kalau sudah berlanjutan, macam mana? Semua hubungan sulit bermula seperti itu. Lama-lama jadi biasa dan mula bercinta. Apabila sudah timbul perasaan kasih dan sayang, apa lagi… tentulah hendak kahwin. Kononnya sudah jodoh. Semua itu trick yang bukan susah difahami. Tina membalas mesej saya.

Tina - I’ve known u for 13 yrs. U should have trust in me.

Saya - I am never suspicious of u b4 this. But u ruin my trust. When u date my hubby, what do u expect me to feel? Happy?

Tina - I already said, I x ada affair dengan Zainal. Kalau u x mahu percaya, terpulanglah. I swear, I x ada affair dengan Zainal.

Saya - U take advantage of our friendship.

Tina - I x sangka hubungan kita berakhir begini.

Saya - U r responsible 4 all this mess, not me.

Sampai di situ ‘perang’ SMS kami. Harapan saya semoga Tina akan ingat selalu batas pergaulannya dengan suami orang. Selesai ‘berperang’ dengan Tina, badan saya terasa amat letih. Namun perasaan beransur lega.

Petang itu ketika Zainal pulang daripada pejabat, dia belikan saya sejambak bunga. Siap dengan kad ucapan memohon maaf tersisip di celah kuntuman-kuntuman ros merah hati yang memikat.

Esoknya dia bawa saya ke Tanjung Agas, Muar, untuk makan mee rebus. Lusanya dia bawa saya ke Air Hitam, untuk beli pasu bunga dan singgah di Muar, beli murtabak Singapura. Tulat, langkat… saya terus dilayan macam Sang Puteri (puteri otai!!!).

Akhirnya hati saya pun sejuk. Kata orang, kerak nasi direndam akan kembang. Sebenarnya ada perkara menyentuh hati yang membuat saya terpanggil memaafkan Zainal. Katanya…

“Selama 21 tahun kita kahwin (perkara itu berlaku tahun 2005), cuba Ela ingat-ingat, ada tak Ela buat perkara-perkara yang menyinggung perasaan Abang? Pernah tak? Fikirkanlah.”

Saya diam seribu bahasa (ketika itu masih mogok tidak mahu bercakap)…

“Sebenarnya Ela pun ada lakukan perkara-perkara yang melukakan hati Abang. Tapi Abang masih boleh maafkan. Abang ampunkan semua salah-silap Ela sebab tak mahu Ela berdosa. Abang selalu ampunkan sebab Abang sayangkan Ela. Jadi, tak bolehkah maafkan Abang? Tolonglah maafkan Abang. Abang tahu Abang bersalah.”

Dengan izin Allah, terbuka hati saya untuk berdamai. Saya sedar, saya bukanlah baik sangat. Ya, saya sedar dosa-dosa saya terhadap suami bukan sedikit. Ketika saya sakit berbulan-bulan lamanya dulu, banyak tanggungjawab saya tidak dapat ditunaikan dengan sempurna.

Dia tidak pernah menyisihkan saya, malah memberi semangat supaya berusaha mengembalikan kesihatan. Masakan saya lupa segala budi baiknya. Dia tidak jemu menceriakan hari-hari saya yang suram ketika sakit dulu. Mengingatkan semua itu saya beristigfar dan memohon ampun kepada Allah. Di pendekkan cerita, rumahtangga kami yang berkocak kembali tenang.

Pada suatu hari, saya bertanya Zainal mengapa dia berbohong mengatakan dia tidak keluar dengan Tina, pada hal dia baru pergi minum dengan mak janda itu. Anda tahu apa jawapan Zainal? Begini dia jawab…

“Abang terperanjat masa ternampak Ela dengan Alum. Sebab terlalu terkejut, Abang tersasul. Abang takut sebenarnya. Hati Abang cakap, ‘alamak, macam mana bini aku boleh tahu ni? Dia ni Tok Bomoh ke?’

Saya menahan gelak.

“Memang Abang mati akal. Tak tahu nak cakap apa lagi. Abang rasa macam nak lari. Macam mana Ela boleh tahu hal ini?” Zainal cuba mengorek rahsia.

Saya kata padanya itu firasat seorang isteri. Sehingga kini Zainal masih tidak tahu Mimah The Carpenter yang menjadi Magnum PI (spy). Dia percaya saya ada power ‘Tok Bomoh’!!!

Mimah pula, apabila dia menelefon hendak tahu perkembangan, saya katakan padanya Zainal sudah hubungi peguam untuk menyaman dia di mahkamah kerana membuat fitnah.

“Janganlah Kakkkk!!! Kalau saya kena naik mahkamah, macam mana??? Saya tak ada duit, Kakkk!!!” rayu Mimah dengan suara terketar-ketar.

“Tolonglah Kakkk!!! Saya dah rasa nak terkencing niiii!!!” kata Mimah lagi.

“Itu saya tak tahu. Kau pergi cari lawyer, Mimah. Cari lawyer yang terror-camera sebab Zainal nak saman kau RM1 juta,” jawab saya sambil menahan gelak mendengar suara Mimah meraung di corong telefon.