Thursday, September 27, 2007

Hujan & Angin

Setelah dua kali jadual tertunda minggu lalu, pagi Rabu kami bertolak ke Ipoh. Ikut program kami akan singgah di MAB Subang dahulu. Selesai urusan di sana, barulah meneruskan perjalanan ke MAB Ipoh.

Sejak awal pagi itu perasaan saya rasa tidak enak. Entah apa yang tidak kena saya sendiri tidak tahu. Hati rasa berat hendak pergi. Namun saya kemaskan juga beg pakaian kerana kami akan bermalam di sana.

Hujan mulai turun sebaik saja kami melepasi tol Ayer Keroh. Zainal memandu di lorong tengah dengan kelajuan sekitar 90km/jam. Katanya jalan licin. Sekitar kawasan Pedas-Linggi, hujan semakin lebat dan pemandangan di hadapan agak kabur. Mata saya asyik memandang wiper yang ligat pergi balik di windscreen.

Ketika melalui satu kawasan berlopak air, tiba-tiba saja kereta kami berpusing dengan laju mengikut pusingan jam, sekali... dua kali... dan dalam sekelip mata kedudukan kereta sudah menghadap ke selatan...

Saya menjerit, "Ya Allah! Ya Allah! Ya Allah! Brek, Bang, brekkk!!!"

"Sudah brek ni tapi tak boleh berhenti!!!" Zainal memaut steering.

Dalam beberapa saat belakang kereta menghentam guardrail dan kereta kami melantun ke kanan, menjadikan posisinya melintang di lorong kanan. Sebaik ia menghadap tepat ke guardrail enjin pun terhenti. Tatkala Zainal cuba menghidupkannya semula, kelihatan sebuah kereta meluncur laju ke arah kami...

"Lailahaillallah!!! Kita mati, Bang!!!" jerit saya.

"Bismillahi tawakkaltu 'alallah," ucap Zainal berkali-kali.

Fikiran saya melayang-layang. Pada detik itu hati kecil berbisik : di sini rupanya ajal kami akan berakhir... Tiba-tiba kereta yang menuju ke arah kami itu berhenti, hanya lebih kurang sedepa daripada pintu di sebelah Zainal.

Ketika itu baru saya dapat menoleh dan kelihatan sebuah kereta peronda polis sedang mengarahkan kereta-kereta lain menyusur ke lorong sebelah kiri. Zainal memusingkan kereta ke arah utara dan berhenti di lorong kecemasan. Kereta peronda polis yang menunda kami dari belakang kemudian berhenti di sisi.

"Encik tak ada apa-apa?" tanya pegawai polis itu.

Zainal memberitahu mereka kereta kami tiba-tiba terpusing tatkala melalui lopak air dan mengucapkan terima kasih kepada mereka. Kami bersyukur kepada Allah hanya bumper yang kemek dan lampu signal sebelah kiri pecah. Keadaan kereta keseluruhannya baik dan perjalanan dapat diteruskan.

Alum datang ke Heritage selepas kelasnya berakhir lewat petang itu. Perjalanannya dari Tronoh ke Ipoh mengambil masa hampir sejam. Kelibat buah hati saya itu hanya kelihatan di Polo Cafe menjelang jam 7:10 malam. Sambil kami berbuka puasa, saya memberitahunya, "Nyaris-nyaris Anak jadi anak yatim hari ni!!!"

Mengingat kembali peristiwa itu, amat terasa di hati saya betapa lemahnya kita sebagai manusia. Apa yang kita usahakan sehabis daya pun, tidak meninggalkan bekas, melainkan dengan izin Allah jua. Andai suratan ajalku sudah sampai Rabu lalu, tidak mungkin kita bertemu lagi di sini. Aduhai...

Wednesday, September 26, 2007

Nancy Liew

Restoran makanan segera yang pertama difrancaiskan di Malaysia ialah Marrybrown Fried Chicken. Maklumat ini tercatat dalam The Malaysia Book of Records.

Marrybrown Fried Chicken Sdn. Bhd. diasaskan oleh pasangan suami isteri, Nancy Liew dan Lawrence Liew pada tahun 1981 di Johor Bahru.

Syarikat itu memiliki ratusan restoran yang francaiskan di dalam Malaysia dan luar negara dengan tenaga kerja mencecah lima ribu orang.

Cerita selanjutnya dalam buku ’50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia’.

Tuesday, September 25, 2007

Margaret Chin

Kesan globalisasi, persaingan, perubahan teknologi, salah laku korporat dan pecah amanah adalah antara cabaran yang membawa pelbagai risiko kepada organisasi bisnes. Menyedari besarnya impak risiko itu ke atas sesebuah syarikat, seorang usahawan wanita mendesain satu sistem kawalan menggunakan konsep balanced scorecard. Beliau ialah Puan Margaret Chin, pengarah urusan Roots Consulting Sdn. Bhd.

Puan Margaret menubuhkan firmanya pada tahun 1999. Bisnes itu bermula pada masa yang tepat. Selepas kejatuhan ekonomi di penghujung tahun 1990an, terdapat permintaan yang tinggi untuk khidmat pengurusan risiko daripada syarikat korporat dan sektor swasta.

Kisah beliau selanjutnya dalam buku '50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia'.

Saturday, September 22, 2007

Bisnes MLM

Pernahkah anda menyertai mana-mana syarikat MLM? Mungkin anda salah seorang daripada beribu-ribu usahawan MLM yang sudah menempah kejayaan dan menikmati berbagai imbuhan mewah. Namun bagi diri saya, nasib kurang menyerlah dalam bisnes ini. Saya pernah mencubanya selama setahun tapi tidak menjadi.

Saya terlibat dalam MLM secara tidak sengaja awal tahun 2004 dulu. Pada suatu hari ketika sedang makan roti canai dengan suami di sebuah restoran, saya disapa seorang wanita. Dia meminta izin duduk semeja dengan kami kerana tiada tempat kosong lain di restoran itu.

Wanita itu bernama Lijah dan dia amat peramah. Sambil makan dia berbual dengan saya. Suaminya, Salim, bersembang dengan Zainal. Seronok pula kami berempat bersembang sampai tidak sedar masa sejam berlalu. Ketika hendak beredar, kami bertukar-tukar nombor telefon.

Seminggu kemudian, Lijah menelefon saya. Dia mengajak saya menghadiri majlis home party di Sebatu Inn. Katanya saya boleh belajar macam-macam perkara di sana terutama dari segi penjagaan kulit muka dan kesihatan. Petang Ahad saya pun pergi. Selain saya dan Lijah, ada 10 ke 12 orang lain yang datang.

Selepas mendengar taklimat, saya diminta mencuba alat-alat penjagaan kulit yang dipamerkan. Bermacam jenis barang Lijah tunjukkan, terpesona saya dibuatnya. Semua barang-barang itu ada fungsi tersendiri dan berkualiti tinggi. Harganya pun apa lagi, bak kata Azwan Ali dalam program ‘Cit-Cat’nya, amboi, amboi, amboi!

Lijah merekomen satu set barangan untuk kulit saya. Kerana tergoda, saya pun beli. Maka terkopaklah RM350 daripada dompet. Kata Lijah, andai saya mendaftar menjadi ahli, ia lebih menguntungkan. Antara faedahnya, saya boleh mengumpul poin dan jika cukup jumlahnya, layak mendapat bonus.

Minggu berikutnya, Lijah mengajak saya ke suatu majlis lagi dipanggil NDO atau New Distributors Orientation. Dia menawarkan diri mengambil saya dari rumah dan menghantar saya pulang selepas majlis itu. Kata Lijah, saya dijemput untuk mendengar sahaja. Apa ruginya mendapatkan ilmu dan maklumat baru. Lagi pun, majlis itu percuma, bukan kena tiket pun.

Untuk menjaga hati Lijah yang baik itu, saya pun pergi. Malam itu saya dikenalkan dengan uplines Lijah. Secara berseloroh, Lijah memanggil mereka bertiga itu E-N-M iaitu emak, nenek dan moyang!

Semasa majlis NDO berlangsung, banyak maklumat disampaikan oleh ‘nenek’ Lijah terutama mengenai membina impian besar, konsep syarikat MLM mereka, cara menduplikasi uplines dan bermacam lagi. Katanya melalui perniagaan MLMlah ramai orang biasa berjaya membina empayar kekayaan sehingga berstatus jutawan.

Lijah semakin kerap menghubungi saya. Kekadang dia ajak saya berdating di Deli France untuk minum petang. Saya dapati Lijah itu baik benar, suka berkongsi cerita dan berbincang hal-hal berkaitan masa depan. Setiap kali kami bertemu, Lijah meminjamkan saya berbagai kaset dan buku buku mengenai MLM. Antaranya…

- Wave 3, The New Era In Network Marketing tulisan Richard Poe

- The Parable Of The Pipeline

- How To Build A Large Successful Network Marketing Organisation

- Questions Are The Answers oleh Allan Pease

- Business School tulisan Robert T. Kiyosaki; dan

- Copycat Marketing 101

Saya memang gemarkan buku. Apabila dapat buku, macam tikus jatuh ke beraslah saya, bergolek gelantang di atas katil atau di sofa membaca. Lepas satu buku, baca satu lagi, sampai habis. Dalam dua minggu saja semuanya selesai. Pada suatu hari Lijah mengajak saya berjumpa dengan ‘emak’nya (upline) di Sebatu Inn.

Dalam perjumpaan itu otak saya di ‘cuci’ hampir dua jam. ‘Emak’ Lijah menerangkan tentang pelan pemasaran syarikat MLM mereka. Berkali-kali dia katakan rugi besar andai saya melepaskan peluang keemasan di depan mata. Setelah ‘kena goreng’ saya mengambil keputusan menyertai syarikat itu sebagai ahli biasa. Maka jadilah saya downline atau ‘anak’ Lijah.

Sebulan menjadi ahli, Lijah memujuk saya jalankan bisnes itu secara sambilan. Alang-alang menjadi ahli, apa salahnya buat bisnes sekali, kata Lijah. Setelah kerap didesak, saya bersetuju mencuba. Niat asal saya sekadar mecari pengalaman baru. Selama ini saya hanya mendengar cerita orang dan membaca buku-buku MLM tetapi tidak pernah menceburi MLM secara langsung.

Menurut cerita Lijah, buat bisnes MLM tidak susah. Cuma ada 7 perkara wajib perlu dibuat setiap hari. Iaitu mendengar tape, membaca buku, menggunakan semua produk, membuat jualan runcit, menghadiri semua mesyuarat, menghubungi upline setiap hari dan menunjukkan pelan pemasaran kepada kenalan baru.

Lijah berjanji akan membantu saya. Saya disarankan menduplikasi semua cara yang dia ajarkan. InsyaAllah, kata Lijah, jika menduplikasi caranya 100%, saya boleh berjaya dalam bisnes MLM itu. Kunci kejayaan ialah kena tiru apa dia buat 100%.

Modal untuk memulakan bisnes itu lebih kurang RM2,000. Ia digunakan untuk pembelian sebuah beg dipanggil ‘kedai bergerak’ berisi beberapa produk asas dan peralatan untuk digunakan ketika membuat demonstrasi kepada bakal pelanggan.

Dengan memiliki ‘kedai bergerak’ itu saya pun bergelar business builder. Sejak itu saya menghadiri program latihan dan mesyuarat mingguan bersama ‘emak’ dan ‘nenek’ saya. Dalam seminggu, kami bertemu secara tetap sebanyak dua kali. Namun antara saya dan Lijah, kami berhubung melalui telefon setiap hari. Kekadang kami pergi ke KL dan ke JB untuk sesi ceramah, konvensyen, rally pengiktirafan dan sesi promosi produk.

Saya kemudiannya disaran menghantar permohonon untuk menjadi Executive. Dengan status itu, barulah saya dapat menikmati bonus. Syaratnya ialah saya perlu mencukupkan jualan terkumpul sebanyak RM30,000 dalam tempoh 6 bulan. Saya terlepas pandang satu hal penting. Iaitu syarat kuota jualan minima bulanan sebanyak RM8,000 dikuatkuasa serta-merta apabila saya menjadi Executive.

Lijah tidak perjelaskan syarat itu secara khusus dan saya sendiri terlepas pandang. Andai menyedari lebih awal, pasti saya tidak bersetuju memohon menjadi Executive pada waktu itu. Tindakan itu terlalu awal buat saya yang masih belum cukup bersedia untuk berdepan dengan berbagai kerenah dan cabaran bisnes MLM.

Daripada 7 perkara wajib yang perlu dilakukan saban hari, ada dua hal sukar betul mahu buat. Yang pertama, mengekalkan jualan runcit sebanyak RM8 ribu sebulan. Yang kedua, menunjuk pelan pemasaran kepada kenalan baru. Bukan saya tidak cuba membuat temu janji dengan sahabat-handai dan saudara-mara. Namun sasaran saya selalu tidak mengena.

Sepanjang minggu menghubungi kawan, saudara dan sesiapa saja yang saya kenali, mengajak mereka datang ke majlis home-party atau majlis NDO. Ada yang berjanji mahu hadir tapi kemudian membatalkan di saat akhir. Daripada 10 orang yang saya hubungi, biasanya 9 orang mengatakan tiada masa mahu datang.

Hendak cari 10 orang baru untuk dihubungi setiap minggu bukannya senang. Jeran betul saya. Setiap bulan saya membeli stok untuk mencukupkan target jualan minima. ‘Emak’ dan ‘nenek’ yang sarankan buat begitu supaya saya tidak hilang kelayakan sebagai Executive. Oleh kerana prestasi tidak menyerlah, selalulah saya ditegur para uplines.

Saya dikata tidak patuh 100% dalam menduplikasi teknik-teknik yang mereka ajarkan. Memang saya akui tidak boleh hendak menduplikasi cara mereka itu 100%. Bukan kerana malas atau suka memandai sendiri, tapi kerana sifat semulajadi saya tidak suka memaksa orang. Saya rasa malu dan tebal muka menelefon orang berulangkali sedangkan orang dihubungi itu cuba mengelak.

Kata uplines saya, ketika membuat temujanji dengan orang dihubungi, jangan sekali-kali beritahu mereka yang saya mahu tunjukkan produk atau pelan pemasaran. Sebaliknya, katakan pada mereka saya mahu kongsi satu peluang keemasan.

Jika mereka bertanya lebih lanjut tentang peluang keemasan itu, jangan beritahu apa-apa pun. Biarlah rahsia bak lagu Siti Nurhaliza! Tujuannya supaya orang-orang yang dijemput itu berasa suspens dan dapat tahu sendiri ketika mereka datang ke majlis NDO. Bagi saya, taktik itu kelakar betul!

Bagi saya, apabila orang asyik bertanya atas urusan apa saya menjemput mereka, saya beritahu hal sebenar. Jika mereka tidak mahu datang atau tiada masa, saya jemput mereka datang di minggu berikutnya.

Uplines kata cara saya salah. Mereka suruh saya pujuk orang-orang itu sampai mereka kata ‘ya’. Bagi saya jika orang tidak mahu, sudahlah. Buat apa mahu paksa mereka. Macam tidak reti bahasa. Uplines kata saya kena bersikap persistent. Selagi saya tidak patuh menduplikasi cara mereka 100%, bisnes saya tidak akan menjadi.

Sesetengah kenalan yang saya hubungi memberi alasan mereka tiada duit untuk beli produk kesihatan yang saya tunjukkan. Setelah melihat sendiri gaya hidup dan keadaan rumah masing-masing, memang saya akui mereka kurang mampu dari segi kewangan.

Uplines kata saya perlu menekankan kelebihan fungsi produk sehingga bakal pelanggan merasa berbaloi membelinya walaupun mahal. Entahlah. Saya sendiri tidak suka dipaksa-paksa, macam mana mahu buat begitu kepada orang lain.

Satu isu lagi ialah sesetengah pelanggan suka berhutang. Apabila tiba masa membayar, mereka mengelat. Macam-macam alasan diberi, sampai 2 ke 3 bulan baru diselesaikan hutang. Cekik darah betul…

Beberapa kali saya ditegur secara terbuka kerana datang sedikit lewat ke mesyuarat mingguan yang bermula tepat jam 8:00 malam. Kata ‘nenek’, saya tidak berdisiplin. Dia memanggil saya slow coach. Apabila saya beritahu perlu solat maghrib terlebih dahulu sebelum datang ke mesyuarat, dengan selamba dia menjawab begini. . .

Norlela, tell God you’ll pray later. He’ll understand. I always do that. I just pray in my heart first. Why not pray when you go home after the meeting?”

‘Nenek’ menjeling apabila saya kata solat maghrib tidak boleh ditangguh, kena tunaikan segera pada waktunya. Apabila kami ke KL atau JB sekereta, lagi timbul isu. ‘Nenek’ tidak mahu berhenti di surau R&R untuk kami yang Muslim menunaikan solat jamak. Dia suruh kami solat setelah balik ke rumah untuk menjimatkan masa.

Di sepanjang perjalanan ke KL atau JB itu, ‘nenek’ bercerita hal bisnes MLM saja. Tentang produk itu dan ini. Atau pun dia mainkan berbagai tape mengenai hal yang sama. Katanya, untuk berjaya dalam bisnes MLM, kami kena penuhkan masa dengan aktiviti berguna. Suatu ketika dalam mesyuarat mingguan kami, ‘nenek’ memberi nasihat berikut. . .

Please remember, ours is a serious business. Clients are our assets. When they call, no matter how busy you are, immediately answer them. Even if your baby’s crying at that time. Attend the client first. Remember, the baby is a liability. The client is an asset.”

TAKSUB. Itulah ungkapan yang paling sesuai diberikan kepada ‘nenek’ MLM saya. Ketaksubannya cuba diterapkan kepada downlinesnya dan itu menimbulkan rasa bosan. Seolah-olah dalam hidup ini tiada hal lain lebih penting daripada produk dan bisnes MLM itu saja. Dalam otaknya hanya ada perkara itu dan dia mahu sifatnya diduplikasikan 100%. Aduhai…

“Muak, muak, muak! Cucu dah muak sangat ni, nenekku sayang! Siang malam, kau tak ada cerita hal lain. Pening kepala gua ni,” jerit hati saya.

Apabila hal ini saya suarakan kepada Lijah, dia diam saja. Kata Lijah, saya jangan ambil hati sangat dengan kerenah ‘nenek’. Dia ingatkan saya, mengikut etika, downlines tidak boleh bercakap hal-hal negatif tentang uplines. Lijah menasihati saya menurut saja cakap ‘nenek’.

Katanya tujuan dan niat ‘nenek’ sebenarnya baik. Lagipun menduplikasi uplines 100% amat penting. Tapi terus terang saya tidak boleh ikut peraturan itu. Kata Lijah, saya tiada pilihan sebab ‘nenek’ itu upline kami. Suka tidak suka saya kena terima dia. Jadi, macam mana saya ini?

Bagi Zainal isu itu kecil saja. Jika tidak sesuai, tarik diri. Sedang kami berbincang, Lijah menelefon beritahu ‘nenek’ mahu buat mesyuarat tergempar pada malam Isnin jam 8:00. Malam Selasa, ada majlis NDO di Sebatu Inn.

Ketika itu awal Ramadhan (2004). Saya beritahu Lijah tidak dapat hadir. Saya mahu kurangkan aktiviti sebelah malam supaya dapat bersolat terawih di masjid. Anda mahu tahu apa jawapan Lijah? Alahai, macam biasalah juga.

Dia buat tidak reti bahasa. Lijah itu bukankah sekutu rapat ‘nenek’ MLM saya… Katanya : Lela buat solat terawih di rumah sajalah lepas meeting nanti. Tidak payah pergi masjid pun boleh. Jangan tidak datang ya. See you there!

Kedua-dua majlis NDO dan mesyuarat itu saya tidak hadir. Saya hantar sms memberitahunya mahu bercuti sepanjang bulan puasa. Itu saja. Tapi macam biasa Lijah buat tidak reti bahasa. Namun saya terus matikan diri. Saya tidak jawab satu pun panggilan telefon Lijah mahu pun ‘nenek’.

Pesanan suara dan sms daripada mereka berdua datang bertalu-talu ke mail box tapi langsung tidak saya hiraukan. Satu pun saya tidak layan. Saya pekakkan telinga terus. Selama ini saya terlalu menjaga hati mereka. Susah benar mulut saya mahu ucapkan NO!!!!, hingga sikap mereka yang suka mendesak itu menjadi-jadi.

Saya mahu tengok sejauh mana sikap persistence mereka itu. Sesungguhnya mereka memang tidak mudah give up. Mereka terus telefon saya bertalu-talu tapi hati saya sudah bulat. Saya bertekad untuk mematikan diri terus sepanjang bulan Ramadan itu.

Selepas hari raya, saya maklumkan kepada Lijah yang saya tidak mahu bergerak aktif lagi. Terus-terang dan tanpa berselindung saya terpaksa mengakui bahawa saya hilang minat dan tidak mahu teruskan bisnes itu. Mungkin bisnes MLM tidak sesuai dengan jiwa saya.

Kepada anda yang berjaya di dalam MLM, saya ucapkan TAHNIAH! Sesungguhnya anda mempunyai semangat cukup kental. Bagi saya, bukan semua orang boleh menjalan bisnes MLM. Seperti mana membina kerjaya di bidang lain, tidak ada jalan mudah untuk berjaya dalam bisnes ini melainkan melakukan dengan penuh minat.

Bagi diri saya, keputusan menarik diri mungkin paling baik. Buat menyemak saja saya dalam bisnes MLM ini. Sikap terjal dalam menghadapi segala kerenah dan cabaran yang datang bersamanya tidak wujud dalam diri saya.

Kepada para uplines yang banyak membantu saya mengenali dunia MLM, saya ucapkan ribuan terima kasih. Maafkan saya di atas segala kesilapan dan kekasaran terutama sekali ketika saya mematikan diri sepanjang bulan Ramadan 2004 dulu.

Teruskanlah perjuangan anda. Saya doakan semoga anda meraih kejayaan yang dicari-cari selama ini. Walau pun tidak berjaya di dalam bisnes ini, sekurang-kurangnya saya mencuba dan mendapat serba-sedikit pengalaman berguna.

Kepada Lijah, janganlah berkecil hati dengan saya. Sekali-sekala (lepas raya nanti) jomlah kita pergi minum kopi dan makan roti sandwic di Deli France. Saya sudah terasa rindu hendak makan garlic bread cicah dengan mushroom soup

Wednesday, September 19, 2007

powermakers OR power rangers???


Gambar : Sesi di MITC Melaka (2004)

Kay mengajak saya membuat bisnes berkaitan program motivasi dan pengembangan minda. Saya bersetuju asalkan ia bersifat project basis. Ini kerana saya belum bersedia untuk terikat dengan Kay sebagai rakan kongsi. Andainya wujud keserasian, boleh difikirkan langkah seterusnya.

Projek pertama kami ialah menganjur sebuah program motivasi diberi nama ‘Impianku Bermula Di Sini’ atau ringkasnya dipanggil ‘Program Impian’. Kami mengambil masa seminggu untuk merangka isi kandungan program sehari itu dan menyiapkan butirannya dalam power point. Apabila siap, kami sediakan bahan promosi berupa flyer.

“Kita kena ada nama syarikatlah. Pakai nama sendiri, nampak tak pro. Jom ikut aku. Kita pergi cari nama,” kata Kay.

Pergi cari nama??? Mahu cari di mana??? Hati tertanya-tanya sambil kaki mengikut Kay menaiki keretanya menuju ke sebuah rumah berkembar di Taman BH. Di sana kami bertemu seorang lelaki India bernama VJ, pemilik syarikat QDMC.

Untuk makluman anda, syarikat tersebut menawarkan khidmat konsultansi mencari nama yang sesuai dan ‘serasi’ bagi syarikat baru. VJ juga memberi khidmat nasihat bagaimana menulis tandatangan yang ada ‘tuah’ yang dipanggilnya millionaire signature.

Sebagai contoh, VJ menasihati pelanggannya sama ada huruf ‘i’ dalam ejaan tandatangan perlu ditulis dengan bertitik atau pun tanpa titik. Atau di bawah tandatangan perlu ada garisan atau tidak. Kata VJ, perkara-perkara kecil begitu boleh menentukan tuah seseorang.

Berbagai kisah menarik diceritakan tentang ‘tuah besar’ memakai nama dan tandatangan yang serasi di mana bisnes dikatakan boleh berkembang maju. Setelah meminta butir-butir diri Kay, VJ memasukkan data itu ke dalam komputernya yang mempunyai perisian khas untuk urusan tilik-menilik. Berikut adalah beberapa nama yang dikatakan ‘serasi’…

  • Geotime Consultancy Service
  • Innopath Consultations & Solutions
  • Eramasa Consultations & Solutions
  • Powermakers Consultancy

Daripada 4 nama yang disyorkan, Kay memilih nama Powermakers Consultancy dan kemudian mendaftarnya di SSM. Kata Kay, nama Powermakers itu tampak profesional. Tapi yang lucunya, orang selalu tersasul dan memanggil syarikat itu Power Rangers!

Program Impian kami yang pertama berlangsung pada 6 Disember, 2004 di bangunan MITC, Melaka dan di sertai 30 orang pelajar sahaja. Yang kedua, juga berlangsung di MITC, dihadiri 70 orang pelajar. Program yang ketiga di adakan di INB Resort. Yang keempat dan seterusnya, di beberapa tempat lain termasuk di sekolah dan kehadiran pelajar mencecah lebih 100 orang.

Antara aktiviti yang kami jalankan dalam Program Impian itu ialah satu sesi di mana kami meminta para peserta yang berusia antara 10 ke 12 tahun membayangkan 4 impian yang ingin mereka capai apabila dewasa.

Impian pertama, sebuah universiti tempat mereka ingin melanjutkan pelajaran serta kelulusan tertinggi yang ingin mereka capai di bidang akademik. Kedua, kerjaya yang ingin mereka ceburi. Ketiga, jenis rumah yang ingin mereka diami dan keempat, jenis kereta yang ingin mereka miliki suatu hari nanti.

Para peserta kecil itu dikehendaki membayangkan keempat-empat impian itu dengan seberapa jelas yang boleh. Kemudian, mereka perlu menulis, melukis atau menampal gambar-gambar berhubung 4 impian itu seperti mana yang mereka imaginasikan, di sebuah buku sketch yang kami berikan, diberi nama Buku Impian.

Untuk membantu kanak-kanak itu mencari ilham, kami sediakan untuk mereka senarai panjang nama-nama universiti tempatan dan seberang laut, jenis-jenis kelulusan akademik serta senarai berbagai kerjaya. Semuanya kami tampalkan di dinding dewan.

Setimbun majalah-majalah terpakai yang mempunyai pelbagai gambar rumah berhias cantik, mahligai dan gambar kereta-kereta mewah juga kami sediakan. Mereka dibenarkan menggunting mana-mana gambar yang disukai dan menampalnya di Buku Impian masing-masing.

Mereka di beri masa sejam setengah untuk menyiapkan tugasan itu. Dalam sesi berikutnya, mereka diminta berkongsi cerita tentang impian masing-masing. Otak budak-budak memang lucu kerana mereka tidak bersikap hipokrit. Apa saja yang terfikir dinyatakan tanpa berselindung.

Antara kerjaya pilihan mereka yang popular ialah doktor pakar, jurutera, angkasawan, saintis, ketua polis, arkitek, peguam, interior designer, usahawan dan tauke kedai emas. Boleh dikatakan masing-masing semuanya ingin mendiami mahligai indah dengan berbagai kemewahan, disamping memiliki kereta besar berjenama mahal.

Melihat Buku Impian budak-budak itu, saya perasan satu perkara yang amat ketara. Iaitu perbezaan di antara budak-budak daripada keluarga berada atau dari kawasan bandar dengan yang datang daripada latar belakang kurang berada dan kawasan kampong.

Latar belakang hidup dan pendedahan kanak-kanak itu kepada dunia luar memang mempengaruhi tahap pemikiran dan kreativiti mereka dalam menceritakan kehebatan impian masing-masing.

Setelah merangsang pemikiran kanak-kanak itu dengan 4 impian masa depan mereka, kami membawa mereka ‘balik ke alam nyata’ dengan menyatakan bahawa semuanya bermula dengan keputusan peperiksaan UPSR mereka. Mereka perlu berjaya dalam peperiksaan itu terlebih dahulu sebelum dapat melangkah lebih jauh.

Kami kemudiannya mendedahkan mereka kepada potensi otak manusia yang hebat. Kami tunjukkan cara membuat gol jangka pendek dan gol jangka panjang. Kanak-kanak itu turut di ajar mengenali Time Wasters dan cara-cara membuat pernyataan harian kepada diri sendiri dipanggil Affirmations.

Kami juga adakan sesi berkongsi cerita oleh beberapa orang Role Model tentang teknik belajar dan cara mengingat fakta. Yang menjadi Role Model itu terdiri daripada para pelajar universiti yang kami jemput khas untuk menceritakan pengalaman belajar ketika kecil dahulu sehingga berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM.

Secara keseluruhan Program Impian itu amat disukai para peserta kecil kami kerana ia berselang-seli dengan aktiviti hiburan seperti nyanyian dan permainan. Walau pun masih baru, saya dan Kay bolehlah dikatakan berjaya melakukan tugas itu. Kata orang pun, see the leglah!!!

Untuk makluman anda, ketika kecil dulu saya tidak pernah mempunyai Buku Impian. Tidak pernah terfikir pun untuk membuatnya sebab tidak tahu pun tentangnya. Yang pernah saya lakukan ialah berangan-angan saja untuk mencapai impian itu dan ini.

Zaman saya bersekolah dulu, pengangkutan utama untuk ke mana-mana ialah bas MOS. Bas berwarna merah kuning itu selalu sampai lewat dan sentiasa sesak sampai ke tangganya. Ia bergerak lambat sekali macam kura-kura tua.

Semua itu membuat saya berazam sejak kecil lagi untuk belajar memandu dan memiliki sebuah kereta sendiri. Impian saya ialah tidak mahu menaiki bas MOS sampai bila-bila pun!

Seperkara lagi ialah saya pernah berazam untuk tinggal di sebuah rumah yang berpagar seperti rumah-rumah di bandar. Ini kerana zaman saya kecil dulu, kerap benar saya terpicak tahi ayam yang bersepah-sepah di kaki lima dan halaman hampir setiap rumah di kawasan kampong saya!

Apabila terkenang impian dulu-dulu, terasa betapa kecilnya dunia saya masa itu. Ketika itu otak saya ini tidak pernah dirangsang supaya berimpian perkara yang besar-besar. Betapa beruntungnya nasib budak-budak zaman sekarang yang terdedah kepada bermacam pilihan.

Terlanjur bercerita tentang impian, pernahkah anda bertanya lagi kepada diri sendiri : apakah impian anda yang terkini? Biasanya semakin usia meningkat, kita terlupa akan impian diri sendiri. Kononnya hanya budak-budak layak berimpian sedangkan orang dewasa tidak memerlukannya lagi. Tapi benarkah begitu?

Betulkah orang dewasa tidak perlu lagi mempunyai impian? Sebenarnya tidak salah jika kita terus membina impian baru dalam hidup ini. Contohnya, apabila kita sudah mencapai sesuatu impian, kita bina impian yang lain pula.

Saya pernah menghadiri seminar National Achievers Congress 2003 di mana salah seorang penceramah, Brian Tracy, menyatakan apabila kita mempunyai impian, jangan hanya menyimpannya di dalam kepala. Sebaliknya hendaklah impian itu dituliskan secara hitam putih.

Kata Brian, tulis satu impian yang ingin anda capai di atas sekeping kertas dan kemudian simpanlah kertas itu dalam laci atau dompet anda. Kemudian, untuk merealisasikan impian itu, ikuti 6 langkah berikut :-

  1. Tuliskan butiran gol yang ingin anda capai.
  2. Tetapkan jangka masa untuk mencapai gol itu.
  3. Senaraikan perkara-perkara yang perlu anda buat.
  4. Susun perkara-perkara itu mengikut keutamaan.
  5. Ambil tindakan seperti yang anda rancangkan itu.
  6. Buat satu perkara setiap hari ke arah pencapaian gol anda itu.

Setahun kemudian, anda bukalah semula kertas impian itu dan anda boleh pastikan apa yang anda catitkan di situ hampir atau sudah pun menjadi kenyataan. Jika tidak percaya, cubalah sendiri.

Kesimpulannya, apa pun yang kita mahu, jika dicatitkan dengan jelas, InsyaAllah, perkara itu akan melekat di otak kita. Secara tidak langsung kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Ini berlaku kerana minda terpendam akan sentiasa mengingatkan tentangnya, membuat kita lebih fokus untuk berusaha ke arah itu dan menjadikan ia satu kenyataan.

Cuba anda bayangkan seseorang yang tiada mempunyai impian. Adakah orang begini tampak ceria dan bersemangat atau dia kelihatan bosan dan muram melalui kehidupannya yang hambar? Pasti anda dapat meneka jawapannya.

Tanpa impian, hidup kita akan terasa kosong. Kita mungkin dilanda resah, tidak bahagia, kurang menghargai masa dan selalu kecewa. Ini kerana mencabar diri mencapai sesuatu memberi kita semangat untuk berusaha. Oleh itu untuk mencapai kehidupan lebih bermakna, perlulah kita memiliki impian baru, waima pada usia sudah menjelang senja.

Cuba anda bayangkan seorang banduan yang sedang menanti hukuman gantung. Masihkah orang begini perlu berimpian? Jawabnya ‘ya’ kerana Islam mengajar manusia jangan sekali-kali berputus asa. Sang banduan itu masih boleh bertaubat bersungguh-sungguh dan memohon keampunan daripada Allah.

‘Kita boleh mencapai apa saja impian yang kita inginkan’ – apa pendapat anda? Bagi saya, semua itu mengarut. Bukan semua orang boleh menjadi Nicol David, David Beckham, Siti Nurhaliza atau Mawi, sekalipun ramai yang kepingin sangat menjadi seperti mereka.

Dalam menetapkan impian dan mengejarnya, biarlah kita bersikap realistik serta jujur kepada diri sendiri. Ukur dulu segala kekuatan dan kekurangan yang ada dalam diri kita. Ini kerana mengetahui apa yang kita mampu buat sama pentingnya dengan mengetahui apa yang kita tidak mampu buat.

Berimpian terlalu tinggi sedangkan apa yang ingin dicapai itu tidak realistik dengan kebolehan diri, boleh merosakkan seseorang. Janganlah suka hendak membuat perkara yang mustahil kerana ia membuang masa dan boleh melunturkan semangat.

Tuesday, September 18, 2007

Meals In Minutes

Ketika mengambil keputusan berhenti kerja pada bulan Oktober, 2001, persoalan yang kerap saya fikirkan ialah bagaimana hendak mengisi masa lapang. Saya sudah biasa bekerja. Jika duduk berehat saja di rumah, lama-lama bosan. Sudah lama saya berimpian memiliki sebuah restoran. Tiba-tiba hati teringin hendak mencuba.

“Kau berhenti kerja sebab nak kurangkan stres. Rehat ajelah kat rumah. Kenapa sibuk nak bisnes? Nanti kau sakit balik, macam mana?”

“Kau ingat buka restoran tu senang? Penatnya bukan main. Kau tak larat nanti.”

“Kau ni ibarat keluar dari mulut harimau, mahu masuk mulut buaya. Fikir dulu masak-masak.”

Begitulah antara pandangan ahli keluarga dan kawan-kawan apabila mendapat tahu saya mahu buka restoran. Ramai yang menggeleng kepala tapi saya tidak ambil pusing sangat. Saya perlu buat sesuatu untuk mengisi masa walau pun hanya bisnes kecil-kecilan. Zainal tiada halangan, cuma dia berpesan : jangan merungut apabila penat.

Rumah kedai 2 tingkat kami di Taman Dimensi sudah lama siap dan diserahkan kunci oleh pemaju. Lokasinya dekat dengan kampus UiTM Lendu, di Alor Gajah. Di situ saja sudah cukup ramai pelajar dan pensyarah. Apabila buka restoran tentu akan jadi tumpuan ramai, fikir saya.

Soalnya, bolehkah saya menguruskan restoran? Saya tiada pengalaman khusus dalam bidang masak-memasak secara komersial. Yang saya ada hanya pengalaman mengurus syarikat pengilangan selama 12 tahun. Sebuah kilang dan sebuah restoran bukankah jauh berbeza? Ah, cubalah dulu. Belum cuba, belum tahu, bisik hati saya. Semangat saya mula berkobar-kobar.

Konsep restoran yang saya inginkan ialah yang sesuai dengan nama yang saya pilih untuknya, Restoran Meals-In-Minutes. Saya membayangkan restoran itu selesa, berhawa dingin dan menu utamanya berupa set nasi ayam, set asam pedas dan beberapa jenis makanan barat. Setelah menyediakan kertas rancangan dan mereka-bentuk renovasi, saya pun memohon lesen perniagaan di MPAG.

Memulakan bisnes baru bukanlah kerja enteng Terlalu banyak yang perlu diuruskan. Selesai membeli bermacam peralatan dapur, kerusi-meja dan pinggan mangkuk, saya mencari pembekal bahan mentah, tukang masak, pembantu restoran, membuat promosi dan bermacam-macam hal lagi. Apabila restoran mula beroperasi, kerja bertambah.

Di bulan pertama dan kedua, kesihatan saya ok. Masuk bulan-bulan seterusnya, ada hari saya ok, ada hari kesihatan kantoi. Namun, pekerja saya seramai 4 orang boleh diharap. Mereka banyak membantu. Apabila tidak bertugas outstation, Zainal singgah di restoran kami selepas waktu pejabat. Dia membantu saya apa-apa yang patut.

Apabila selesai urusniaga, kami tutup kedai bersama dan balik ke rumah di Bukit Beruang. Saya biasanya memandu di depan sementara Zainal menunda di belakang. Untuk kemudahan saya, Zainal mengubahsuai tingkat atas rumah kedai kami itu. Dia buatkan bilik tidur dan pejabat untuk saya melepak apabila penat.

Jualan harian di restoran kami sederhana saja. Saya dapati para pelajar di UiTM Lendu lebih suka keluar makan pada waktu lewat petang sehingga ke jauh malam. Pada waktu siang, restoran saya lebih dikunjungi para pensyarah dan orang pejabat sahaja.

Bagi meningkatkan jualan, restoran saya beroperasi dari jam 9.00 pagi sehingga 11.00 malam. Waktu perniagaan yang panjang itu meletihkan. Seperkara lagi yang saya tidak suka ialah kunjungan para pelanggan yang ramai pada waktu menjelang senja. Rutin harian itu menimbulkan rasa serba-salah.

Ketika suara azan mula berkumandang di surau, urusniaga di restoran saya mula merancak. Beberapa pasangan muda kerap datang menjamu selera pada waktu senja dan memadu kasih sambil makan. Di restoran saya ada privacy. Jadi mereka duduk berlama-lama, sampai tidak hiraukan solat magrib. Pekerja saya yang 4 orang itu pun, kerana terlampau sibuk melayan pelanggan, selalu terlepas solat magrib.

Untuk menyelesaikan isu itu saya memendekkan waktu berniaga, dari jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang saja. Tentu anda dapat agak apa yang terjadi selepas itu. Ya, jualan saya merosot. Apabila tiba cuti semester, bertambah teruk jadinya. Taman Dimensi tiba-tiba jadi lengang selengang-lengangnya, macam tidak berpenghuni.

Ketika musim cuti semester, restoran saya sunyi sepi. Seharian menunggu pelanggan tapi jualannya tidak seberapa. Untuk jimatkan kos saya membuat keputusan untuk menutup kedai sementara menunggu semester baru dibuka. Pekerja saya yang 4 orang itu kenalah bercuti panjang.

Saya terpaksa akui sudah melakukan banyak kesilapan kerana tidak membuat market research yang lengkap sebelum membuka restoran kami itu. Kesilapan-kesilapan itu sepatutnya boleh dielakkan andai saya lebih teliti. Pertama, tentang cuti semester UiTM yang lamanya hampir 3 bulan. Ketika para pelajar bercuti, hampir semua bisnes di Taman Dimensi turut terbantut. Perkara ini saya terlepas pandang.

Kedua, saya tidak tahu yang MPAG akan membina sebuah medan selera betul-betul di seberang jalan, setentang dengan pintu masuk ke UiTM. Belum setahun saya membuka Meals-In-Minutes, medan selera itu pula di bina dan beberapa bulan kemudian mula beroperasi. Oleh kerana lokasinya lebih dekat, lebih mudah bagi para pelajar singgah makan di situ daripada hendak ke restoran saya.

Ketiga, sikap saya sendiri. Saya tidak sedar (sehinggalah melalui sendiri pengalaman itu) yang saya pantang betul melihat orang-orang muda berdating dalam kedai saya. Rasanya macam saya bersubahat membuat maksiat. Setiap petang darah saya menyirap melihat pasangan teruna-dara memadu kasih.

Alahai, naik berbulu biji mata saya. Menyampah betul!!! Anda fikirlah sendiri, andainya tauke sudah menyampahkan pelanggannya, apa mahu jadi??? Untuk makluman anda, RESTORAN MEALS-IN-MINUTES kemudian ditutup terus. Saya terpaksa akui sudah tersilap memilih lokasi. Kedai itu sekarang saya sewakan. Nampak gayanya ia lebih sesuai sebagai sebuah cyber café.

Apabila memikirkan modal puluhan ribu yang sudah dilabur di RESTORAN MEALS-IN-MINUTES itu, kesal juga saya. Tapi bisnes kantin selama 2 tahun sudah balikkan modal dan saya harus bersyukur. Yang lebih penting saya mendapat pengajaran berharga.

Iktibar daripada pengalaman ini ialah jika hendak menceburi bisnes, carilah bidang yang sesuai dengan diri kita. Baik dari segi kebolehan, ketahanan mahu pun prinsip yang kita pegang. Sekadar menyukai sesuatu bisnes itu tidak bermakna kita layak melakukannya. Kuncinya ialah mengukur baju di badan sendiri.

Norlela : tidak suka keluar malam – segan duduk di kaunter cash register sebagai cashier – tidak tahan lasak untuk buat kerja catering – malas cuci pinggan – tidak suka muzik yang bising – rimas pasangan berdating dalam restoran – suka kira duit – suka makan di rumah - etc etc etc. Keputusan : Norlela tidak sesuai buat bisnes restoran!!!

Monday, September 17, 2007

Makcik Kantin

Suatu hari seorang kawan menelefon saya dan bertanya sama ada saya berminat untuk menyertai sebutharga kantin sekolah. KANTIN SEKOLAH??? Huh, tidak pernah terfikir pun saya akan hal seperti itu. Boleh untungkah? Alahai, sekolah rendah, berapa senlah yang boleh dapat agaknya.

Bermacam soalan negatif timbul di kepala saya. Tapi kerana mahu menjaga hati kawan, saya katakan saya minat. Dia pun belikan borang sebutharga untuk saya. Harganya RM10 saja. Semasa hendak mengisi borang tersebut, kawan saya itulah yang membantu. Dia seorang guru, sudah biasa makan di kantin dan tahu lebih-kurang harga semasa.

Mahu jadikan cerita, sebutharga yang saya masuk itu berjaya!!! Semasa mendapat surat tawaran, saya seronok sekali. Tapi, apabila mahu memulakan perniagaan, timbul satu isu baru. Saya malu bergelar MAKCIK KANTIN!!! Perasaan malu saya memuncak ketika pergi ke pejabat sekolah itu untuk menanda-tangan surat perjanjian.

“Puan, ORANG KANTIN BARU sudah datang. Dia nak sain kontrak,” kerani sekolah memanggil Guru Besar.

“Apa??? Orang kantin? Alamak, dia panggil kita orang kantin,” saya berbisik sambil mencubit peha Zainal.

“Memanglah, habis tu dia nak panggil kita apa?” Zainal ketawa.

Bermula Januari 2002, dengan rasminya saya menjadi MAKCIK KANTIN. Guru-guru di sekolah itu pula memanggil saya KAKAK KANTIN. Kalau dulu di pejabat orang panggil BOS atau PUAN HAJJAH, bermula saat itu sudah bertukar MAKCIK KANTIN! Saya tidak suka dengan gelaran baru itu yang buat saya terbayang seorang perempuan gemok dengan apron plastik serta mukanya berminyak-minyak. O tidakkkkk!!! Saya mesti ubah persepsi itu dan meminta pandangan Zainal mengenainya…

“Macam ini tak boleh jadilah, Bang. Saya mahu jadi Makcik kantin glamer : bergaya, pakai bedak, gincu dan minyak wangi, okey tak???”

Zainal tersenyum sambil menggeleng kepala. Mungkin dia menyampah atau meluat dengan kerenah saya, wallahualam. Yang pasti dia tidak pula marahkan saya. Malah dia kata, buatlah apa pun asalkan hati saya bahagia! Untuk makluman anda, kantin saya itu diberi nama BEAR HUG CAFÉ.

Murid-murid di SKBB ramainya lebih seribu orang, tidak termasuk guru-guru dan kakitangan pejabat. Saya menggaji 8 orang pekerja termasuk seorang tukang masak yang handal dari Kampong Krubong. Kesemua pekerja yang saya gaji itu jenis yang tahan lasak dan kuat bekerja.

Sejak berniaga di kantin, saya selalu ke pasar borong dan gudang pemborong barang runcit. Sekurang-kurangnya seminggu 2 kali. Rakan niaga saya pada masa itu termasuk Azmi Ayam, Rahman Keropok, Ramu Telor, Aunty Sayur, Menantu Asoh, Balan Roti dan Siah yang jual belacan serta sayur kampong di kaki lima pasar borong. Apabila kami sudah saling kenal-mengenali, saya membuat pesanan bekalan melalui telefon saja kerana sudah ada good rapport dan networking.

Pada mulanya saya agak kekok. Barang-barang jualan di kantin semuanya murah-murah belaka, dalam lingkungan 20 sen hingga RM1. Hari pertama berniaga, saya terkejut besar. Sebaik saja loceng waktu rehat berbunyi, budak-budak terus menyerbu ke kantin macam ikan piranha nampak mangsanya.

“Makcik… nak nasi lemak!!! Makcik… nak mi gorenggg!!!” jerit kanak-kanak yang ramai itu.

“Ya sayang, Makcik ambikkanlah ni. Tolong sabar sikit,” lembut Kak Peah dan Kak Nureen menjawab.

“Makcikkkkkk! Nak milOOOO!”

“Makcikkk! Nak ayam goreng! Nak sirap! Nak kacang pedas!”

“Makcikkk! Nak tambah sambaLLLLL!”

Haru biru suara budak-budak yang ramai itu lagi. Namanya pun budak-budak, andai tidak menjerit dan tidak berebut, memang tidak sahlah!

“SaBAUUUUUU!!! Tangan Makcik dua aje ni. Aku cubit kau kang, nakkk??”

Kak Limah menggertak budak-budak itu, kemudian marahnya disusuli dengan ketawa ceria. Tangan-tangan kecil berebutan menghulur duit, bersilang-silang. Yang baru mulai sekolah terkial-kial membilang duit syiling. Yang lebih besar, terus menolak hendak ke depan. Lapar sangat nampaknya mereka semua, macam sudah tidak makan 100 hari!

Pekerja-pekerja saya tidak menang tangan melayan pelanggan-pelanggan kecil kami. Tapi itu hal budak-budak. Di dalam kantin pula, para guru pun tidak kurang hebatnya. Mereka lapar juga dan sama sibuk menjamu selera. Begitulah halnya suasana di kantin saya setiap hari antara jam 10.15 hingga 11.15 pagi. Selepas tamat waktu rehat, giliran pekerja-pekerja saya pula makan dan melepaskan lelah sebelum menyambung semula kerja masing-masing.

Anda mahu tahu berapa jualan seharian di kantin sekolah rendah? Andai tidak berniaga sendiri saya pun tidak tahu. Sebenarnya agak lumayan, lebih kurang RM900 sehari dan semuanya TUNAI. Nampak saja kantin itu kecil dan tidak glamer, maklumlah kantin sekolah. Tapi pulangan urusniaganya baik. Hari-hari saya bawa pulang bercekak-cekak duit kertas RM1 yang sudah siap bersusun dan berikat dengan getah. Setiap ikat bernilai RM100. Duit syiling pun bertimbun banyaknya.

Setelah dua tahun (2002-2003) berniaga di SKBB, kontrak saya pun tamat tempoh. Sayangnya saya tidak berjaya di dalam sebutharga yang baru. Namun saya bersyukur kerana memperolehi pengalaman berharga yang dapat saya kongsikan bersama anda di sini.

Saya teringat buku ‘Menjejaki Jutawan Senyap’ karya Dr. Rusly Bin Abdullah alias Chef Li yang pernah mengajar saya memasak masakan barat suatu ketika dulu. Saya mengikuti kursus beliau di Seremban.

Kata Dr. Rusly dalam bukunya : Jangan dipandang sengkek orang yang berniaga kecil-kecilan. Ramai peniaga pasar malam dan warung di tepi jalan yang bertaraf jutawan. Tapi mereka digelar jutawan senyap sebab tidak heboh-heboh.

Ada satu kenangan manis yang ingin saya coretkan di sini. Pada suatu hari semasa menjadi MAKCIK KANTIN dulu, saya mengikut kawan saya, Kay, menghadiri satu seminar di Hotel Century Mahkota di Banda Hilir. Tajuk seminar itu ialah Dinar and Dirham Based Economy : An Alternative to the Present Economy.

Teman-teman Kay yang menganjurkan seminar itu. Saya turut membantu mereka dalam urusan pendaftaran para peserta. Disamping membantu, dapatlah saya tumpang sama mendengar. Antara yang hadir di seminar itu ialah beberapa orang pensyarah MMU. Semasa tea break, salah seorang pensyarah wanita dari MMU itu menyapa saya.

Excuse me, can I ask you something, please? My daughter here said she knows you. She keeps saying that you’re her MAKCIK KANTIN!”

Saya tergamam sebab tidak menyangka ada insan yang kenal pada saya dalam bilik seminar itu. Belum pun sempat saya menjawab, wanita itu menyambung lagi…

I told my daughter, how come? What is your MAKCIK KANTIN doing here? May be wrong person. But she insisted you are her MAKCIK KANTIN!”

Dia perkenalkan anaknya kepada saya. Budak perempuan itu menemankan ibunya ke seminar berkenaan sementara menunggu masa hendak ke pusat tuition. Melihat wajah gadis sunti itu, terus saya dapat cam. Dia murid tahun 6 di SKBB dan memang salah seorang pelanggan tetap saya! Seterusnya anda ikutilah dialog berikut…

Curious Mom : I just want to check with you. Betul ke awak MAKCIK KANTIN di sekolah my daughter? Apa awak buat di sini?

Saya .. .. : Betul, puan. Saya tauke di kantin SKBB.

Curious Mom : Eh, ye ke? Dah tu awak buat apa di seminar ni???

Saya .. .. : Oh, kisahnya begini, puan... bla… bla… bla…

Bukankah saya sudah katakan, persepsi tentang MAKCIK KANTIN di mata masyarakat umum lain sedikit. Mana ada MAKCIK KANTIN hadir seminar di hotel berkaitan dengan isu kewangan seperti Dinar Emas!!!

Untuk makluman anda, Curious Mom itu ialah Puan Maimun Simun (Mun) yang kini menjadi sahabat baik saya. Kami kini sama-sama berguru dengan Puan Sifu untuk menjadi penulis yang turut bersama-sama dalam misi memandaikan bangsa, InsyaAllah.

Saturday, September 15, 2007

Rezeki

Pelanggan kami, En. Aziz TERSAD yang tinggal di Kuala Berang, Hulu Terengganu, mengirim 2 kotak besar berisi buah-buahan. Kotak pertama berisi duku langsat, lebih 30 kg. Kotak kedua mengandungi pulasan, lebih 10 kg.

Saya mengucap panjang tatkala pemandu lori sewa menurunkan 2 kotak besar itu di beranda rumah. Masya Allah!!! Kata pemandu lori itu, beliau juga diberi buah-buahan oleh En. Aziz.

Meski pun tinggal berjauhan, pelanggan kami yang seorang ini selalu mengirim buah-tangan. Setiap kali kami membuat penghantaran Kawat Duri High Tensile yang dipesannya, beliau pasti mengirim keropok ikan buat kami. Bukan sedikit tetapi berbelas bungkusan. Tapi kali ini tiada pula keropok ikan dikirim.

Bagaikan pantang besar bagi En. Aziz andainya saya mengirim buatnya buah tangan seperti cencalok dan belacan. Berlebih-lebih pula dia membalas. Mujurlah pemandu lori sewa sudi menjadi orang tengah.

Saya dan Zainal membungkus buah-buahan itu ke dalam plastik. Lebih baik cepat diagih-agihkan. Maklum saja sekarang bulan puasa, andai disimpan lama-lama mungkin rosak. Bungkusan buah-buahan itu diagihkan kepada jiran-jiran dan sebahagian lagi kepada kaum keluarga. Lagak kami berdua petang itu bagaikan penjual buah!!!

Menjelang magrib tatkala azan berkumandang, terdengar suara orang memberi salam. Kelihatan seorang anak muda menatang dulang di luar pintu pagar. Jiran saya yang membuka restoran menghadiahkan kami juadah berbuka : nasi goreng nenas dan roti Lebanon.

Hati saya terlalu gembira. Meski juadah yang saya sediakan sendiri hanya pegaga masak lemak dengan keledek, ikan masak kicap dan sup kambing, tiba-tiba saja meja kami penuh dengan rezeki. Syukur Alhamdulillah!!!

Thursday, September 13, 2007

Rumah

Tahun ini rakan saya, Nia dan familinya akan berhari raya di mahligai baru mereka. Rumah stail Tudor itu kosnya RM??? juta. Kelmarin Nia kirim mesej memberitahu dia akan adakan rumah terbuka pada bulan Syawal nanti. InsyaAllah panjang umur saya akan penuhi undangannya.

Beberapa minggu lalu, Nori mengajak saya ke rumah Kartini di Ozana Impian. Rumah agam dua tingkat itu berbilik banyak dan besar-besar belaka. Bilik tidur utamanya sudah sebesar ruang tamu + ruang makan di rumah saya. Bilik-bilik airnya secantik hotel 5 bintang, ruang dapur (wet & dry), taman bunga dihiasi kolam air pancut berbentuk hati, aduhai, sepadanlah dengan kosnya yang bernilai RM??? juta.

Sabtu lalu, Mun menunjukkan rumah Zaharah yang dirakam di telefon bimbitnya. Terleka mata menikmati ruang-ruang indah di rumah Zaharah yang berstail Bali. Semua sudut sedap mata memandang. Pemiliknya seorang arkitek dan citarasanya diabadikan di mahligai impian itu.

Semalam dan kelmarin saya berkunjung ke rumah beberapa orang ibu tunggal (IT), menghantar wang zakat dan sedikit buah tangan untuk mereka menyambut Ramadhan. Rumah PPRT milik Kak Nureen seperti kotak, masuk sahaja ke ruang tamu sudah nampak dapur dan bilik tidur. Meski perabut yang ada tidak seberapa, kelihatan rumah itu sempit benar.

Kak Nurren seorang IT yang menyara 2 anak melalui pendapatan menjaga anak-anak jiran. Senyumannya masih manis menyambut kedatangan saya meski pun rengekan anak-anak kecil di pangkuannya membingitkan telinga.

Rumah teres Midah yang kusam bagaikan tenggelam diapit rumah-rumah bersebelahan. Dia juga IT, menyara 4 anak dan seorang ibu tua dengan menjaga anak-anak jiran. Bicara Midah tetap ramah-tamah menyambut saya dan Mak. Kami sampaikan sedikit buah tangan untuk mereka.

Seterusnya saya menziarahi Sitinor, IT beranak empat dan Sal, IT beranak 3 yang menjadi tukang cuci di CIMB Jalan Hang Tuah. Tidak banyak bezanya kediaman mereka berdua berbanding Kak Nureen dan Midah.

Tengahari tadi saya ke rumah Makcik Enon yang tinggal sendirian di rumah usang peninggalan arwah suaminya. Dia gembira menyambut kedatangan saya. Sebelum pulang, saya minta dia ber'posing' di depan kamera (gambar di atas).

Saya teringat kata-kata Mun : Rumah sebesar mana pun, secantilk mana pun, ia tetap hanya sebuah rumah. Yang penting adalah menjadikannya "rumahku, syurgaku. Baiti jannati". Rumah yang saya diami sekarang sudah berusia 16 tahun. Di mata saya, ia masih manis.

Mun bertanya : Lela tak mahu buat rumah baru? Soalan yang bagus, jawab hati saya. Kalau ada juta-juta RM, apa salahnya!!! Namun realitinya juta-juta RM itu tidak ada. Lalu saya jawab : Mun, rumah ini sudah memadai buat saya. Sebenarnya itu alasan 'sour grapes'!

Wednesday, September 12, 2007

Senyumlah...


Perunding Imej & Pengarah Urusan Asset Tree, Chung Siak Eoi, dipetik berkata dalam sebuah rencana bertajuk 'Personaliti Diri Tarik Perhatian' terbitan Berita Harian...

"Senyuman adalah solekan sebenar untuk mendapat rahsia wajah berseri. Tiada guna bersolek tebal tetapi wajah sentiasa masam dan menakutkan orang.

Senyuman bukan saja membuat anda mudah didekati tetapi juga melegakan 26 otot di sekeliling wajah. Jika anda masam selalu, 62 otot wajah mengalami ketegangan. Akibatnya wajah mudah berkedut, membuat anda kelihatan tua."

Kata orang, senyum itu sedekah. Orang yang murah senyuman biasanya murah rezeki. Sempena bulan puasa bermula esok, rajin-rajinlah senyum meski pun perut lapar ya!!!

P/S untuk Anak : Jangan marah Mak letak gambar Anak bergigi 2 di sini!!! Comelkan, hehehe!!! Salam sayang dan Selamat Berpuasa.

Tuesday, September 11, 2007

Forgive & Forget

Saya ingin mengajak anda merenungi 2 potong kata-kata hikmah yang pernah tersiar di akhbar harian. Yang pertama berbunyi begini…

“Lebih baik anda lupakan sahaja dan bergembira
daripada anda mengingati dan berduka.”
- Christina Georgina Rossetti

Apa pendapat anda? Bagi saya nasihat itu baik sekali diamalkan dalam kehidupan ini. Tiada gunanya terus mengenang kisah-kisah lalu yang melukakan perasaan. Sebaliknya elok kita berikan maaf kepada pihak berkenaan, kemudian lupakan terus hal-hal itu daripada ingatan.

Kata orang, memberi maaf itu satu ubat yang mujarab, bukan kepada si pelaku kesalahan tetapi kepada hati kita sendiri. Selagi kita menyimpan dendam, selagi itulah jiwa tersiksa. Ibarat memikul beban yang berat dan menyeretnya ke mana-mana kita pergi.

Memberi maaf tidak semestinya dengan pengetahuan si pelaku kesalahan itu. Memadailah memaafkan dia dalam hati kita. Dengan bersikap begini, kebahagiaan dan keceriaan akan selalu berdamping dengan kita. InsyaAllah. Seterusnya, mari kita renungi kata-kata hikmah berikut…

“Maasalahnya, semua orang berangan-angan hendak mengubah dunia
tetapi tidak ada seorang pun yang berangan-angan untuk mengubah diri sendiri.”
- Leo Tolstoy

Hendak mengubah diri sendiri bukanlah perkara mudah, apa tah lagi hendak mengubah orang lain. Dalam soal mengubah diri, kita perlu lakukannya sepanjang hayat. Mungkin pada suatu ketika kita berpegang kuat pada suatu nilai yang dirasa amat baik. Kemudian dengan perubahan masa, kita dapati nilai itu membawa mudarat. Apa perlu dibuat ialah mengubah diri. Jangan terus pertahankan sesuatu yang terbukti tidak boleh dipakai lagi.

Dalam kehidupan masa kini bukan semua orang pandai mengenang budi. Malah ramai yang termasuk dalam kategori diberi betis, hendak peha. Apabila sudah dapat peha, hendak pijak kepala pula. Begitulah ragam manusia.

Daripada merungut, mengeluh dan bersedih diri kita menjadi mangsa, lebih baik mengubah sikap sendiri. Jangan suka salahkan orang bulat-bulat. Kekadang kita pun ada memain peranan dalam menjadikan diri kita sebagai mangsa. Contohnya, apabila kita menolong orang yang tidak kena pada tempatnya.

Hidup di dunia ini hanya sementara. Suatu hari nanti, sama ada mahu atau tidak, hidup kita akan berakhir. Oleh itu nikmatilah hari-hari yang masih ada dengan hati tenang dan ceria. Berusahalah mencari ketenangan dan kebahagiaan kerana ia berada di mana-mana.

Hargai apa yang kita ada selagi masih memilikinya. Nikmatilah kehidupan singkat yang dianugerahkan Allah kepada kita.

Akhirkata, selamat menyambut Ramadhan Al Mubarak!

Monday, September 10, 2007

Datuk Norida Hamzah

Wanita ini digelar ‘tauke jet’ kerana memiliki jet pejuang MIG29N. Datuk Norida Hamzah adalah pengarah eksekutif Aerotree Defence & Services Sdn. Bhd.

Antara perkhidmatan ditawarkan Aerotree ialah menyediakan jet penunda, membekal alat ganti, komponen dan tayar untuk jet pejuang, menyediakan latihan simulator untuk juruterbang serta membaiki jet pejuang MIG29N dan radar.

Bagaimanakah Datuk Norida boleh terjebak di dalam bisnes yang jarang sekali diceburi kaum wanita ini? Kisah beliau dalam buku ’50 Usahawan Wanita’.

Dato' Farah Khan

Dato’ Farah Khan adalah ikon fesyen bagi golongan elit dan para penggemar barangan mewah di Malaysia. Beliau merupakan presiden dan pengasas bersama empayar Melium Group.

Melium memasarkan pakaian, kasut, beg dan asesori berjenama seperti Aigner, Cole Haan, Tod’s, Hugo Boss, Christian Lacroix, Ermenegildo Zegna, Emilio Pucci, Just Cavalli, D&G, GF Ferre, C’N’C’, Osh Kosh, Liz Clairboxne, Galliano, Stuart Weitzman dan Mauboussin.

Kisah beliau dalam buku ’50 Usahawan Wanita’.

Sunday, September 9, 2007

Personaliti dot dot dot

Antara subjek penting dalam bisnes ialah psikologi, interpersonal communication dan soft skills iaitu ilmu kemanusiaan. Mengapa subjek-subjek ini penting? Jawabnya mudah i.e. kerana dalam bisnes kita berurusan dengan manusia. Kali ini mari kita berbincang topik personaliti.

Kajian tentang personaliti manusia khabarnya sudah wujud sejak beribu tahun dulu. Kononnya orang Mesir, Eropah dan Yunani sudah lama mengkaji hal itu. Menurut sejarah psikologi, Hippocrates yang dianggap ‘bapa perubatan’ dan hidup lebih 2,300 tahun dulu membahagikan personaliti manusia kepada 4 jenis dikenali sebagai : Sanguine, Melancholic, Choleric dan Phlegmatic.

Sebenarnya kesemua 4 personaliti yang tersebut itu ok. Tiada satu pun yang lebih baik atau kurang baik. Malah tidak ada satu pun yang boleh diberi tempat pertama, kedua, ketiga atau corot. Bukankah Allah itu Maha Pencipta? Dialah yang menjadikan keempat-empat personaliti itu dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Tujuan kita mengenali jenis-jenis personaliti itu supaya dapat memahami diri sendiri dan orang lain. Ini kerana perbezaan personaliti kerap menimbulkan konflik dan salah faham di dalam hubungan sesama manusia. Biasanya kita bersikap prejudis terhadap orang lain yang peribadinya berbeza dengan kita.

Hanya kerana berlainan cara berfikir dan menilai sesuatu kita mungkin menganggap orang lain tidak serasi dengan kita. Hakikatnya, berlainan personaliti tidak bermakna diri kita atau orang lain itu jahat, baik, salah atau betul. Terimalah kejadian seseorang itu seadanya dan cuba fahami cara dia berfikir dan menilai sesuatu.

Dengan wujudnya pengertian, kita tidak mudah menghukum seseorang atau berprasangka buruk terhadapnya. Kita juga lebih bebas menjadi diri sendiri tanpa perlu berpura-pura atau ‘memakai topeng sosial’ di hadapan orang lain.

Di laman web OneIshy.com, anda boleh mengambil ujian personaliti secara on-line. Anda akan diminta menjawab 40 soalan tentang sikap dan tabiat peribadi anda. Untuk mendapat maklum balas tepat, perlulah bersikap jujur dan telus. Dalam beberapa saat saja, maklum balas diberi, sama ada personaliti anda jenis Sanguine, Melancholic, Choleric atau Phlegmatic.

Agak jarang seseorang itu mempunyai hanya satu jenis personaliti. Biasanya ia sedikit bercampur. Personaliti saya sendiri ialah Melancholic-Phlegmatic. Diantara 2 jenis personaliti itu, tabiat Melancholic lebih dominan bagi saya.

Sebenarnya personaliti dipengaruhi 2 faktor penting iaitu genetik dan persekitaran. Selain keturunan, pengaruh keluarga, kawan-kawan, cara hidup, fahaman agama, status ekonomi dan kerjaya turut menyumbang dalam pembentukan personaliti seseorang.

Jom kita bercerita tentang personaliti Sanguine. Agak mudah mengenali orang jenis ini. Si Sanguine mudah mesra dengan sesiapa pun. Apabila bertemu dengan orang tidak dikenali, dia terlebih dulu menegur sapa. Orang Sanguine sukakan warna-warna terang. Baik dari segi berpakaian atau pun apa saja yang menjadi milik mereka.

Warna, reka bentuk dan ciri-ciri yang mencuri perhatian adalah pilihan Si Sanguine. Dia gemar menjadi tumpuan orang. Di mana saja Si Sanguine berada, suasana pasti gamat dan ceria dengan kerenah candinya. Pendek kata Si Sanguine memang pandai bersosial. Dia suka memberi puji-pujian, sukakan benda-benda baru dan mempunyai bermacam idea menarik.

Sayangnya Si Sanguine agak pelupa. Janji-janjinya kekadang tidak ditepati. Maklum saja dia sukakan keseronokan, sekejap-kejap rancangannya berubah. Si Sanguine sebenarnya cepat bosan. Tumpuannya kepada sesuatu biasanya tidak lama. Sikapnya itulah yang menghampakan orang lain tapi Si Sanguine tidak ambil peduli sangat. Dia jarang merasa dirinya bersalah.

Ini kerana Si Sanguine selalu optimis dan tidak suka melayan perasaan dengan memikir hal-hal negatif. Walau pun begitu jangan sangka orang jenis Sanguine tidak sensitif. Dia pun perasa orangnya, lebih-lebih lagi di saat moodnya kurang baik.

Orang Melancholic senang berada dalam kumpulan kecil dan di kalangan kelompok yang dia sudah biasa. Si Melancholic kurang selesa menjadi tumpuan ramai. Sifatnya teliti dan rapi. Apabila buat kerja, semuanya sebaik mungkin. Kemas, teratur dan lengkap sehingga susah mencari cacat celanya. Kekadang, dek kerana teliti sangat, Si Melancholic menjadi lembab. Dia banyak membuang masa dengan merancang dan mengatur sesuatu.

Orang jenis Melancholic sanggup bersusah-payah untuk orang lain. Hatinya lembut dan mudah bersimpati. Sayangnya perasaan Si Melancholic mudah tersinggung. Si Melancholic juga mudah risau. Hal-hal belum terjadi pun dia fikirkan. Tabiatnya yang suka memendam perasaan itu yang merimaskan orang lain.

Orang Choleric jenis yang tegas. Dia sentiasa ada matlamat dan gol tertentu yang hendak dicapai. Orang jenis ini selalu bersemangat melaksanakan sesuatu tugasan. Dia akan berusaha sampai menjadi, walau dengan apa cara sekali pun. Andainya perlu kerah orang, marah, jerit atau maki-hamun pun, Si Choleric sanggup lakukan.

Dia tidak ambil peduli sangat perasaan orang demi mencapai matlamat yang diingini. Orang lain yang tidak tahan dengan sikap Si Choleric. Siapa yang selesa duduk dengannya, salah sikit sudah mengamuk. Apabila sudah marah, dia bercakap lepas saja. Tiada tapis-tapis. Buruk baik habis dihamburkan. Ini kerana Si Choleric kurang sabar apabila naik darah.

Orang Choleric paling tidak tahan berurusan dengan orang lembab. Dia jadi stres berhadapan dengan orang yang lambat bertindak, malah semangatnya mudah kantoi apabila menghadapi kerenah remeh-temeh. Bagusnya orang Choleric ini, panas barannya cepat reda. Apabila hatinya sudah sejuk, dia ok. Dia tidak suka simpan perasaan lama-lama dan tidak mengungkit hal-hal yang sudah lepas.

Orang Phlegmatic jenis yang cool memanjang. Orangnya tidak moody, tidak suka marah-marah dan selalu relaks. Dalam keadaan apa pun Si Plegmatic tampak tenang. Apabila hatinya gembira, tidak tampak sangat keriangannya. Begitu juga apabila dia dalam kesedihan. Malah dalam keadaan kelam-kabut pun Si Phlegmatic tidak nampak gabra. Dia pandai mengawal perasaan dan tidak mudah panik atau gelabah.

Orang Phlegmatic tidak menonjol tapi mempunyai ramai kawan dan sangat disenangi orang. Si Phlegmatic ada kekuatan tersendiri di dalam dirinya. Isu orang Phlegmatic ialah dia selalu berada di zon selesa. Akibat perasaannya yang selalu selesa, dia pemalas sedikit. Terutama dalam membuat perubahan untuk memajukan diri sendiri. Baginya cukuplah dengan apa yang ada. Jangan pening-pening kepala. Mungkin motto yang menjadi pegangan orang Phlegmatic ialah Don’t worry. Be happy!

Sudah kenal 4 personaliti itu, bolehlah kita gunakan ilmu ini dalam kehidupan harian, bisnes dan kerjaya. Bergembiralah andainya anda mempunyai rakan kongsi atau staf jenis Sanguine. Dia dapat menceriakan suasana. Tapi janganlah ambil peduli sangat akan segala janji-janji manisnya. Dia mungkin ingat dan mungkin terlupa. Anda kena ingat, orang Sanguine jarang merasa dirinya bersalah. Jadi janganlah harapkan dia mengaku salah dengan rela hati.

Bagaimana berurusan dengan orang berpersonaliti Melancholic? Fahamilah bahawa dia mudah rasa tertekan. Apabila dia buat kesilapan dan anda hendak menegur, berpada-padalah. Ini kerana perasaan Si Melancholic itu sendiri sudah menghukum dirinya. Janganlah anda menambah lagi beban perasaannya dengan kata-kata yang boleh mengguris hati. Orang jenis Melancholic mahu dipujuk. Dia perlu selalu dihargai.

Andainya anda sukakan cabaran, bergaullah dengan orang Choleric. Tapi awas! Anda tahanlah sedikit dengan kerenahnya yang kuat meletup itu. Apabila bercakap dengannya, beringat-ingat, jangan timbulkan kemarahan Si Choleric. Dia bukan macam Si Melancholic yang tidak melawan. Jangan lupa orang Choleric itu ada angin pus-pus!

Andainya anda hendak belajar bertenang, dampingilah Si Phlegmatic. Untuk makluman anda, bergaduh dengan orang Phlegmatic paling tidak syok sebab dia tidak melawan. Saya bercakap melalui pengalaman. Bayangkan kalau anda sedang marah berapi-api, lawan anda pula buat ‘dono’ saja. Tidak ada fight, macam mana mahu bergaduh?

Andainya anda jenis Choleric, mungkin anda cepat melupakan kata-kata pedas yang pernah diucapkan. Tapi jangan lupa, rakan kongsi, staf dan orang-orang yang berurusan dengan anda dari jenis Melancholic akan sentiasa ingat kata-kata kesat anda itu. Oleh itu, berhati-hatilah.

Apabila anda berurusan dengan orang jenis Sanguine, cubalah bersikap toleransi dengannya. Bagi mengelak konflik, janganlah anda terlalu berkira dengannya. Orang jenis Sanguine amat sesuai bekerja secara berkumpulan. Apabila bersendirian, dia cepat jemu.

Bagi staf-staf anda dari jenis Phlegmatic, mereka bagus kerana tidak mudah panik. Namun mereka perlu selalu didorong. Jika tidak, mereka akan leka dan lalai. Anda perlu sesekali bersikap tegas dengan orang jenis Phlegmatic, barulah kata-kata anda memberi kesan.

Teori personaliti ibarat sebuah peta. Ia bukanlah tepat sangat tapi dapat memberi panduan. Dengan teori personaliti, kita mampu sedikit sebanyak memahami tabiat manusia. Mudah-mudahan dengan adanya ilmu ini kita dapat membaiki hubungan sesama insan. Jangan selalu melihat kepada perbezaan, sebaliknya cubalah cari pengertian agar terbina hubungan silaturrahim yang sihat.

Dalam bahasa Inggeris ada ungkapan your true colors, bermaksud tabiat sebenar kita. Kekadang kita menyamar untuk menutupi ‘warna’ diri. Atau dengan kata lain, kita memakai ‘topeng sosial’ dan berlagak menjadi orang lain. Saya pernah cuba meniru personaliti orang Sanguine, tapi tidak bertahan lama kerana terasa penat dan letih. Lebih selesa kita menjadi diri sendiri dengan personaliti ‘ori’.

Friday, September 7, 2007

Lagi Gambar Kenangan


Gambar kiri : 1984
Perasmian kilang Bak oleh Datuk Seri Mohd. Adib Adam.

Gambar kiri bawah :
Bak (berjalan kiri sekali) mengiringi tetamu dan para jemputan masuk ke kilangnya.

Gambar kanan : 1989
Norlela bersama Bak di Arafah pada musim haji, lebih kurang 60 hari sebelum Bak kembali ke rahmatullah.

Doaku di pagi Jumaat yang mulia ini, semoga roh Bak dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin. Amin Ya Rabbul 'Alamin.

Anita Ali

Pada 28 Jun, 2007, program francais Laksa Shack dilancarkan oleh Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Tarikh itu saat penuh bersejarah buat pengasasnya, Puan Anita Ali.

Laksa Shack menjual berbagai jenis laksa di bawah satu bumbung seperti laksa Johor, laksa asam, laksa Sarawak, laksa kari, laksa lemak Singapura, Laksa Bali dan Laksa Nyonya Melaka. Restoran itu juga menjual makanan alternatif seperti nasi briyani Johor dan roti jala.

Rangkaian restoran Laksa Shack dimiliki oleh Sierra Circle Sdn. Bhd. Pengarah Urusannya, Puan Anita Ali, menubuhkan Laksa Shack pada tahun 1994. Rangkaian restoran itu terdapat di beberapa lokasi di Lembah Kelang, selain sebuah di Pulau Pinang dan sebuah lagi di Johor Bahru.

Kisah Puan Anita Ali dalam buku '50 Usahawan Wanita'...