Thursday, January 31, 2008

Self-Esteem & Self-Definition

Self-esteem ialah perasaan suka terhadap diri sendiri. Orang yang memiliki estim tinggi sangat menyukai dirinya. Sebaliknya, orang yang berestim rendah tidak suka, tidak selesa, tidak bangga atau pun memandang rendah dirinya sendiri.

Self-esteem datangnya daripada self-definition iaitu cara seseorang melihat dirinya. Bagaimanakah anda melihat diri anda? Adakalanya persepsi kita terhadap diri sendiri tidak sama dengan cara orang lain melihat kita.

Mansor Shah, kerani di pejabat saya, seorang yang agak trendy. Pakaiannya kemas, berstokin hitam, berkasut kulit, rambutnya yang keperangan tercacak setiap hari. Melalui tingkah-lakunya, saya tahu Mansor memiliki estim diri tinggi. Hari ini saya bertanya kepadanya : Coi, bagaimana awak melihat diri awak?

Sambil tersipu-sipu dia berkata : Saya ini menurunkan tabi'at arwah datuk saya. Orang kampong memanggil datuk saya 'Mat Licin' sebab dia suka pakai baju bergosok dan minyak rambut. Datuk saya itu, hendak pergi jalan dekat-dekat kawasan rumah pun, dia mesti pakai minyak wangi. Dia tidak suka selekeh. Saya pun macam itu. Sejak sekolah menengah lagi saya suka imej smart. Saya rasa best begini, pergi ke mana-mana pun rasa confident.

Saya rasa self-definition Mansor ialah dia seorang yang tampan, menarik dan versatile. Meski pun hanya berkelulusan SPM, saya akui dia memang seorang yang serba-boleh dan penampilannya dapat meyakinkan orang lain yang berurusan dengannya.

Saya teringat sebuah kisah (diceritakan oleh Puan Sifu) tentang seorang salesman yang hendak menjual sejenis sabun pencuci kepada seorang Datin. Encik Salesman berkata : Datin, sabun ini sangat bagus. Jika Datin pakai sabun ini, tangan Datin tidak rosak. Harganya mahal sedikit tetapi sabun ini lembut. Ia tidak merosakkan tangan Datin.

Anda ingin tahu apa reaksi Datin itu? Dengan wajah yang masam dia menjeling Encik Salesman sambil berkata : Awak fikir tangan saya ini gunanya untuk mencuci baju? Tangan saya ini sudah lama tidak buat kerja cuci-mencuci. Itu kerja pembantu rumah saya. Tangan saya ini gunanya untuk tandatangan cek bernilai beribu-ribu RM.

Mengapakah Datin itu bereaksi sedemikian? Melalui tingkah-laku Datin itu, dapat diandaikan bahawa Encik Salesman tersilap membaca mindset bakal pelanggannya. Apakah self-definition Datin itu terhadap dirinya? Cuba anda fikirkan.

Andaikata Encik Salesman menukar skrip dan berkata begini : Datin, sabun ini sesuai untuk mencuci fabrik berjenama seperti Versace dan Yves Saint Laurent. Ia lembut, tidak merosakkan fabrik yang perlu penjagaan rapi. Pakaian Datin sesuai dicuci dengan sabun ini.

Apa pandangan anda tentang skrip baru Encik Salesman? Bagaimanakah reaksi Datin apabila diajukan sabun itu? Ya, besar kemungkinan Datin akan membelinya kerana ia dikaitkan dengan sesuatu yang eksklusif. Fabrik berjenama Versace dan YSL adalah simbol barangan mewah. Orang yang melihat dirinya sebagai berada dan berprestij pasti suka dikaitkan dengan simbol-simbol kemewahan.

Sebelum menjual sesuatu produk, seorang penjual perlu memikirkan strategi pemasaran yang cocok dengan self-definition pelanggannya. Dia perlu menyediakan skrip yang sesuai supaya pelanggan itu feel good apabila memiliki produk berkenaan. Seorang penjual perlu memahami mindset pelanggan dan menggunakan kreativiti untuk memperteguh estim pelanggan itu.

Wednesday, January 30, 2008

Jibunsyi Seorang Usahawan

Minggu lalu saya menerima pesanan sms diikuti kiriman emel daripada seorang wanita yang tidak dikenali. Beliau ingin berjumpa saya untuk satu sesi temubual. Nur FS adalah pelajar peringkat sarjana di UTeM. Salah satu subjek wajib beliau ialah Entrepreneurship di mana dia perlu menemubual seorang usahawan bagi mendapatkan maklumat tentang risiko dan cabaran yang dihadapi sepanjang kerjayanya.

Temujanji diatur dan kami berjumpa pagi semalam di sebuah restoran bertaman yang tenang dan sesuai untuk duduk berbicara. Sambil menjawab soalan-soalan Nur FS saya berkongsi pengalaman selama hampir 2 dekad sebagai usahawan. Bagaimana saya tercebur dalam bisnes sejak 1989 dan beberapa rentetan peristiwa yang berlaku sehingga saya akhirnya terjebak dalam penulisan buku-buku bisnes serta kini sedang bergiat dalam bidang latihan, konsultansi dan (selepas ini) business coaching.

Dalam tempoh 2 jam itu saya bercerita dengan tenang. Bermula daripada saat saya kembali dari USA setelah tamat pengajian, kemudian berkhidmat di syarikat ayah saya (satu keputusan yang amat berat terpaksa diambil kerana ayah saya di waktu itu kurang sihat), mengambil-alih kerusi MD apabila ayah saya meninggal dunia dan menerajui bisnes perkilangan itu selama 12 tahun.

Saya teringat semula bagaimana syarikat itu dibangunkan dan dikembangkan, kemudian di saat ia berada di tahap yang cukup memberangsangkan, ekonomi negara merudum secara tiba-tiba. Kesan kejatuhan ekonomi itu bertali-tali sehingga menjejaskan bisnes besar dan kecil. Syarikat keluarga saya tidak terkecuali. Segalanya hampir hancur dan saya bergelut dengan tekanan emosi sendiri.

Saat yang sukar itu adalah satu penanggungan yang amat berat sehingga saya mengalami serangan jantung. Ada beberapa entri di blog ini yang mengisahkan bagaimana saya melalui kehidupan selepas kesihatan tidak lagi stabil sehingga dengan izin Allah, saya beroleh kesihatan yang baik semula.

Sekiranya kejayaan sebagai usahawan diukur berdasarkan nilai aset yang dimiliki, saya tiada banyak maklumat untuk dikongsi bersama anda. Sebaliknya jika kejayaan itu dinilai melalui tindakan dan usaha membangun semula diri dan bisnes setelah ditimpa musibah, ya, saya memiliki pengalaman itu, khususnya dari segi merawat dan memulih bisnes yang demam dan sakit.

Suatu ketika dahulu saya begitu sukar menerima hakikat bahawa bisnes yang saya belai dan beri sepenuh perhatian hampir gagal dipertahankan. Begitu sukar untuk saya mengasingkan kegagalan bisnes dengan estim diri sendiri. Namun kini ia bukanlah isu besar lagi.

Saya akhirnya berjaya keluar daripada kemelut emosi dan dapat menerima hakikat bahawa semua yang saya alami adalah asam-garam dalam kerjaya seorang usahawan. Hakikatnya ialah semua bisnes mengalami masa naik dan masa turun. Erti kejayaan buat saya ialah dapat bangun semula dan menempah kejayaan baru yang lebih bermakna, insyaAllah.

Sesungguhnya terdapat berbagai hikmah yang tersirat di sebalik sesuatu yang berlaku dalam kehidupan seorang insan. Allah sahaja yang maha mengetahui apakah hikmah yang terselindung itu. Sebagai insan kerdil dengan berbagai kelemahan, saya amat bersyukur kerana diberi petunjuk dan jalan keluar oleh Allah s.w.t. Dia menggantikan apa yang hilang daripadaku dengan sesuatu yang lebih baik daripadaNya.

Monday, January 28, 2008

Soft-Selling & Kesan Mata Baji

Semalam sekali lagi saya menghadiri bengkel penulisan di PTS. Seperti biasa bengkel sehari penuh itu dikendalikan Sifu PTS sendiri, Puan Ainon Mohd. Meski pun sudah berulangkali menghadiri bengkel beliau sejak 2006, saya masih rasa berbaloi menghabiskan cuti hujung minggu dan perjalanan berulang alik (Melaka-KL-Melaka) bagi mendapatkan bimbingan sifu saya.

Bengkel yang saya hadiri semalam bertajuk Bagaimana Menulis Buku Yang Nikmat Dibaca. Apa yang diajar di bengkel itu bukanlah isu yang ingin saya tuliskan di sini. Sebaliknya perkara yang amat menarik difokus ialah kepada teknik pakejing yang digunapakai oleh Puan Ainon bagi memasarkan produk beliau.

Contohnya, kandungan (content) bengkel yang saya hadiri semalam mengandungi teknik-teknik bagaimana hendak menghasilkan buku-buku motivasi. Sebagai seorang usahawan dalam bisnes buku, Puan Ainon cukup arif bahawa pasaran kini mahukan lebih banyak buku-buku motivasi. Permintaannya amat tinggi.

Andainya bengkel semalam diberi tajuk Bagaimana Menulis Buku Motivasi, besar kemungkinan tidak ramai penulis yang hadir. Bagi saya sendiri juga mungkin tidak mahu hadir kerana fokus saya ialah kepada buku-buku bisnes bukan buku-buku motivasi.

Namun begitu, apabila diberi tajuk Bagaimana Menulis Buku Yang Nikmat Dibaca, aduhai, siang-siang lagi saya sudah mendaftar untuk hadir. Ini isu yang penting buat saya sebagai penulis kerana saya mahu buku-buku yang saya tulis laku keras.

Puan Ainon sudah mengguna-pakai satu strategi pemasaran produk dipanggil soft selling. Dia tidak perlu memaksa-maksa orang datang ke bengkel beliau. Beliau tidak kata bengkel itu bagus kerana itu dan ini. Itu teknik hard-selling.

Apa yang Puan Ainon buat ialah memilih kata-kata yang cukup mengancam : Bagaimana Menulis Buku Yang Nikmat Dibaca. Hati saya meronta-ronta mahu hadir sebab saya mahu buku-buku yang saya hasilkan menjadi bestsellers.

Inilah yang dipanggil kesan mata baji (wegde effect). Ibarat kita hendak membelah sebongkol kayu besar, tidak perlulah kita mengapak sepenuh tenaga. Dengan menggunakan baji yang diketuk sedikit saja, kayu lebih mudah dibelah.

Saya belajar teknik bisnes yang sangat bagus semalam. Amat rugi jika saya tidak hadir. Alhamdulillah masa yang saya laburkan semalam dan kepenatan yang saya alami terasa berbaloi. InsyaAllah saya akan menghasilkan buku-buku motivasi bisnes kerana sudah belajar cara-caranya.

Buat Puan Sifu, semoga Allah membalas budi baiknya setimpal, malah berlebih-lebihan lagi dengan rahmatNya. Saya doakan beliau sihat selalu, dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Saya berterima kasih kerana dibimbing dengan ilmu yang berguna. Mudah-mudahan Allah membalas amal baiknya yang berusaha keras memandaikan anak-bangsa. Amin. Saya sudahi dengan sebuah pantun khas buat Puan Sifu :
Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

Saturday, January 26, 2008

Hello Coach!

Pagi tadi saya ke kampus bandar UMCCed di Jalan Tun Ismail, KL untuk menghadiri previu program Certified Business/Executive Coach Training. Program 6 bulan itu dijangka bermula Febuari 23, 2008 nanti (bersempena hari jadi saya, insyaAllah).

Kos program ini RM10,500. Aduh, ia bisa merobekkan sakuku! Namun saya berminat untuk enrol supaya nanti saya boleh menjadi seorang trainer + coach untuk usahawan kecil dan sederhana.

Kenalkah anda wanita dalam gambar ini? Wajah menawan itu sudah kerap keluar di TV dan majalah. Namun suara uniknya yang membuat saya pasti dialah wanita berhati mulia yang sanggup memelihara ramai anak malang yang terpinggir kerana HIV dan AIDS serta yang menghadapi masaalah sosial.

Sambil tersenyum, dia memeluk saya dan mengaku dialah Hjh Norlina Alawi, Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman, Malaysia (PERNIM). InsyaAllah beliau juga akan mendaftar untuk program certified coach ini. Di sebelah beliau ialah Dr. Jamaluddin Mohd. Yunos, bekas peserta program yang turut berkongsi pengalamannya di majlis previu hari ini.

Isu Bisnes Si Usahawan Butik

Mendengar dengan teliti adalah skil yang saya masih belum mahir. Saya sedang belajar memupuk kemahiran ini. Untuk memahami isu-isu yang dihadapi usahawan kecil, saya perlu sabar mendengar dan tidak cepat menyampuk atau mengutarakan pendapat sendiri. Bukan semua isu dapat diberi jawapan secara spontan. Sesetengah isu tampak remeh tetapi saya tidak tahu menjawabnya.

Ketika bertemu Puan Jun, seorang usahawan butik di sesi rundingcara Prosper baru-baru ini, beliau berkata : Saya rajin pergi kursus usahawan. Malah saya aktif dalam Usahanita. Tapi ada beberapa isu yang saya hadapi masih tidak tahu di mana mahu minta pertolongan. Contohnya sekarang kerajaan galakkan kita berniaga dengan rakan-rakan bisnes di dunia Melayu dunia Islam (DMDI). Saya memang mahu dapatkan bekalan kain dan pakaian dari Indonesia tetapi tidak tahu bagaimana hendak menguruskan soal kastam dan cukai apabila membawa masuk barang-barang itu dari sana.

Tambah beliau lagi : Saya pergi sendiri ke China untuk membeli pelbagai renda, kain-kain dan lain-lain keperluan. Di sana, isu bahasa pula timbul. Peniaga di sana ramai yang tidak pandai berbahasa Inggeris. Saya sendiri tidak mahir BI, oleh itu kenalah gunakan khidmat orang tengah. Awak bayangkan apabila rundingan harga dibuat melalui orang tengah. Tentu saya tidak mendapat harga terbaik. Inilah antara isu yang saya harap kerajaan dapat bantu dan tunjukkan cara mengatasinya.

Kelmarin saya pergi minum petang di Kluang Station yang bertempat di Tesco Melaka. Selesai minum saya melihat-lihat beberapa tapak pameran menjual pakaian di ruang tengah pusat beli-belah itu. Di sana saya terpandang Puan Jun dan seorang stafnya sedang melayan beberapa orang pelanggan.

Menurut Puan Jun, tapak niaga seluas 10' x 10' yang beliau sewa itu harganya RM6 ribu sebulan. Dia menyewa 4 tapak termasuk di Melaka Sentral, Mahkota Parade dan Hang Tuah Mall. Melihat kesungguhannya, saya kagum dengan usahawan wanita itu.

Isu-isu yang dihadapi usahawan kecil bukan semuanya berkaitan dengan modal, peluang niaga dan hal-ehwal pengurusan yang boleh di atasi dengan menghadiri kursus, latihan dan program motivasi. Ada banyak isu lain mereka mahu tanyakan dan perlukan panduan tetapi kepada siapa hendak bertanya? Bak kata Puan Jun : Jika dapat atasi isu-isu ini, insyaAllah, bisnes saya akan berkembang lebih lancar.

Thursday, January 24, 2008

Sesi Rundingcara Usahawan

Petang kelmarin saya menerima pesanan sms kiriman Datuk Lugiman Abu Seman, Pengurus PKPKS Melaka : Esok ada sesi kaunseling usahawan di sini. Jika puan hendak promosi buku dan mendapatkan input berkaitan usahawan, silalah datang.

Pagi ini saya ke pejabat PKPKS. Sesi rundingcara kali ini dikendalikan pihak PUNB, Unit Prosper. Sesi seperti ini diadakan 2 bulan sekali di tempat yang sama.

Sewaktu saya sampai, ramai usahawan sudah mendaftar dan sedang menunggu giliran untuk bertemu dengan pegawai-pegawai PUNB. Menurut Penolong Pengurus PKPKS, En. Hafizam Mustaffa, setakat ini 71 orang usahawan di Melaka sudah mendapat bantuan kewangan di bawah Skim Prosper.

Prosper (Projek Usahawan Bumiputera dalam Bidang Peruncitan) menawarkan 3 skim iaitu Prosper Runcit, Prosper Siswazah dan Prosper Pemborong. PUNB adalah Sekretariat Prosper dan ia bekerjasama dengan TPPT Sdn. Bhd. (sebuah syarikat hartanah kelolaan Bank Negara Malaysia) dalam menawarkan skim-skim pinjaman tersebut.

Bagi anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang pakej pinjaman Prosper ini, sila hubungi infoline : 03-27851477 atau emel kepada : prosper@punb.com.my. Anda juga boleh datang terus ke sesi rundingcara yang akan datang di PKPKS Melaka. Untuk jadual rundingcara itu, sila rujuk laman portal PKPKS di http://pks.micth.com

Saya tumpang-sekaki dalam perbincangan secara berkumpulan di antara pihak PUNB dengan ahli-ahli Usahanita Melaka. Gambar di atas dari kiri : Puan Noorhazreen Abd. Ghani (PUNB), Puan Norizan Md. Noor, Naib Pengerusi Usahanita dan ahli-ahlinya.

Disamping mendapat input untuk bahan penulisan saya, beberapa naskah buku saya turut terjual hari ini. Puan Noorhazreen juga berminat melihat katalog buku-buku keusahawanan yang lain terbitan PTS (beliau turut membeli buku saya) untuk pusat sumber di PUNB.

Terima kasih daun keladi kepada Datuk Lugiman dan En. Hafizam yang sudi menjemput saya dan memberi pelbagai maklumat. Bagi anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang peranan yang dimainkan oleh pihak PKPKS Melaka untuk pembangunan komuniti usahawan, khasnya di negeri Hang Tuah ini, sila lawati laman webnya di sini.

Wednesday, January 23, 2008

Bagaimana Menilai Peluang Bisnes

Orang yang baru hendak menceburi bisnes suka bertanya soalan ini : Dalam banyak-banyak bisnes, yang mana satu paling bagus? Andainya anda ditanya soalan ini adakah anda tahu apa jawapannya? Jawapannya amat mudah, katakan begini : Pilihlah bisnes yang paling sesuai dengan jiwa sendiri. Jangan ikut-ikut orang. Bak kata pepatah : ukur baju di badan sendiri.

Sebelum anda memilih bisnes yang ingin diceburi, analisalah diri sendiri. Buatlah kaji selidik tentang apa yang disukai dan tidak disukai. Janganlah tergopoh-gapah dalam membuat keputusan. Bezakan antara apa yang anda suka buat dengan apa yang anda mampu lakukan. Kaji dahulu buruk dan baiknya.

Bertanyalah kepada mereka yang berpengalaman dalam bidang yang anda ingin ceburi itu. Soalan-soalan bodoh pun boleh anda tanyakan. Janganlah malu untuk bertanya kerana semua maklumat yang anda perolehi berguna untuk merangsang otak anda berfikir sebelum membuat keputusan.

Ada orang berpendapat begini apabila dia melihat suatu peluang bisnes : Jika boleh buat duit, ambil sajalah. Rezeki jangan ditolak. Maut jangan dicari. Apa pendapat anda dalam soal seperti ini? Ya, rezeki yang datang bergolek memang sayang hendak ditolak. Tetapi tindakan itulah yang perlu diambil (menolaknya dengan baik) sekiranya peluang tersebut di luar kemampuan anda melaksanakannya.

Ketika ini pelbagai peluang bisnes dibuka dalam bidang pertanian, ternakan, peruncitan, francais, MLM, insuran dan sebagainya. Semuanya boleh dijadikan punca rezeki. Soalnya ialah yang mana satu hendak dipilih. Hati boleh menjadi keliru apabila di asak dengan kata-kata : Peluang sebaik ini tidak datang selalu. Rugilah jika dilepaskan.

Untuk menjayakan bisnes, kita hendaklah tahu mengurusnya sendiri. Amatlah tidak kena seandainya kita menerima peluang bisnes dengan bergantung kepada keupayaan orang lain semata-mata. Usahlah bersikap rencam meski pun ada berbagai peluang di depan mata. Usahlah hendak buat itu dan ini sekali gus. Fokuslah pada sesuatu usaha sehingga ia benar-benar menjadi. Tumpukan perhatian di situ sehingga berjaya dahulu.

Baru-baru ini saya ditawarkan suatu peluang bisnes oleh seorang kenalan yang sedang gigih berniaga di tanah seberang. Projek yang beliau usahakan itu ialah membuka ladang-ladang kelapa sawit di suatu daerah di Indonesia (Bengkalis) secara perkongsian. Pelaburannya tidaklah terlalu tinggi meski pun ladang-ladang itu teramatlah luas kawasannya.

Sanak saudara kenalan saya itu memiliki beratus-ratus hektar tanah terbiar. Mereka tiada kepakaran dan modal untuk mengusahakannya. Setelah lama berbincang, mereka akhirnya bersetuju untuk berusahasama dengan pelabur-pelabur dari Malaysia bagi membuka ladang sawit dengan tempoh perjanjian selama 25 tahun. Sesungguhnya peluang bisnes ini bolehlah dipertimbangkan. Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut sila hubungi : En. Husin Sudin, 019-6442104.

Saya mencongak umur sendiri. Sekarang usia saya sudah hampir mencecah 48 tahun (Febuari 23 nanti, insyaAllah). Dicampur 25 tahun lagi, akan jadi 73 tahun. Lalu hati saya ketawa sendiri. Waduh, sudah tua dan ganyut betul andainya saya masih hidup pada tahun 2033! Atau besar kemungkinan waktu itu riwayatku sudah tamat dan tulang-belulangku sudah sebati di dalam bumi. Berbaloikah merebut peluang bisnes ini? Hmmm, tepuk dada tanya selera. Jangan lupa ya. Ukur baju di badan sendiri!

Tuesday, January 22, 2008

Rakan Bincang

Dalam bisnes kita perlukan rakan untuk berbincang. Apabila terdapat sesuatu isu yang memerlukan kita membuat keputusan atau mencari penyelesaian, ada kalanya otak sendiri bagaikan tidak nampak solusi yang terbaik. Puas kita berfikir, mengkaji buruk dan baik, melihat daripada berbagai sudut, namun untuk mencapai kata pemutus, kita masih ragu-ragu dan tidak pasti. Seandainya anda pernah melalui dilema ini, ia bukanlah sesuatu yang pelik. Senario ini lumrah bagi sesiapa pun yang mengendalikan bisnes sendiri.

Melalui sesuatu perbincangan akan tercetus berbagai ilham. Berbincang secara terbuka secara tidak langsung dapat membuahkan banyak idea : yang baru, lapuk, bodoh, tidak masuk akal, kelakar dan sudah pasti idea-idea yang bernas. Sesuatu yang pernah kita fikirkan sebelum ini mungkin dapat dilihat daripada perspektif berbeza setelah berbincang dengan seseorang. Perbezaan pendapat diantara kita dan rakan bincang itu boleh merangsang otak untuk membuat pertimbangan yang lebih munasabah.

Rakan saya, N, suka berfikir secara lompat-lompat : 1, 3, 10, 15, 6, 4... Saya pula lebih cenderung berfikir secara linear : 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7... Kami pernah menjalankan bisnes bersama pada suatu masa dahulu, kemudian berpecah kongsi untuk meneruskan usaha lain mengikut minat masing-masing. Namun antara saya dan N, kami saling memerlukan. Sehingga kini kami masih selalu bertemu untuk berbincang tentang berbagai perkara, khususnya yang berkaitan bisnes.

Bagi saya, rakan bincang kita tidak semestinya menjadi rakan kongsi. Antara saya dan N, cara kami berfikir dapat membantu mencetus berbagai ilham. Dia yang suka berfikir secara lompat-lompat memang sangat kreatif tetapi selalu tersasar jauh membincangkan isu-isu di luar tajuk. Oleh itu, dia memerlukan orang seperti saya untuk menarik dia kembali supaya fokus kepada isu asal yang sedang dibincangkan.

Saya yang cenderung berfikir secara linear ini selalu tersekat memikirkan sesuatu hal secara terperinci. Secara tidak langsung saya yang agak teliti dan berhati-hati ini agak 'slow' dalam tindakan. Oleh itu saya perlu disergah-sergah oleh N supaya tidak berlama-lama di suatu tahap dan ayuh... cepat fikirkan isu-isu yang lain.

Sebagai orang bisnes, kehadiran rakan bincang memang sesuatu yang wajar. Kita perlukan rakan bincang. Bukan ramai, cukuplah sekadar seorang dua. Mengikut pengalaman saya, kita perlu tahu membezakan diantara rakan bincang dengan rakan kongsi. Ciri-ciri rakan kongsi tidak sama dengan ciri-ciri rakan bincang. Jangan jadikan rakan bincang anda sebagai rakan kongsi secara automatik. Itu satu kesilapan besar yang bakal mengundang masaalah.

Sunday, January 20, 2008

Bye!

Dia sudah balik. Puas ku tahan-tahan, namun airmata ini terburai jua. Budak bertuah itu makin galak menyakat saya. Dia menyanyi lagu Johor Tanjung Puteri dengan suara mendayu-dayu : Dari Tebrau orang berakit, singgah Stulang membeli kopi...

Saya cuba menahan gelak sambil menyeka airmata. Pipi saya diciumnya. Airmataku terburai lagi. Dia ketawa terkekek-kekek sambil terus menyakat saya dengan menyanyi lagu Ulik mayang... Telatahnya amat menggelikan hati. Saya menahan ketawa tapi airmata masih menitis. Aduhai, anak nakalku... Semoga selamat sampai ke destinasimu. InsyaAllah.

La Tahzan

Hari ini Alum akan balik ke UTP (semester akhir). Dia bercadang bertolak ke Tronoh selepas zohor. Saya tolong mengemas barang-barangnya malam tadi. Sejak seminggu lalu, hati saya sudah mula dilanda rasa kekosongan. Rasa sepi ini boleh menerbitkan air mataku tanpa sebab...

Sudah 1.5 bulan rumah kami ini terasa riuh, sedikit berselerak dan kerap disulami berbagai aktiviti bersama (solat jemaah, masak-memasak, berjalan-jalan, etc. etc). Mulai hari ini, rumah ini akan sunyi dan penghuninya akan tinggal 2 orang semula. Aduh, rasa kekosongan ini amat menggigit-gigit perasaan saya...

Awal pagi semalam kami menerima berita kematian Md. Seh. Pemergiannya sudah dijangka, cuma menunggu masa. Kanser usus yang beliau deritai tidak menunjukkan tanda akan sembuh, malah semakin hari bertambah serius. Arwah Md. Seh adalah kawan sekampung Zainal dan juga bekas pekerja di syarikat keluarga saya. Di hari perkahwinan kami dulu, dialah yang menjadi pengapit Zainal. Wajah cerianya masih segar dalam ingatan.

Menurut Zainal, ketika membacakan surah Yasin di sisi jenazah pagi semalam, hatinya terasa pilu sekali. Saya dan Alum datang kemudian dan berada di sana sehingga selesai segala urusan. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkan dia bersama orang-orang beriman, insyaAllah.

Saya sudah bertekad tidak mahu melayan emosi yang negatif. Jika diturutkan rasa sedih yang sedang menjenguk hati ini, mungkin terbawa-bawa sehingga berhari-hari barulah surut. Ya, kehidupan ini perlu diterima seadanya. Yang manis dan yang sedih, kedua-duanya perlu diharungi dengan penuh redha.

Petikan hadis oleh Imam Tarmizi dan Imam Ahmad : Janganlah bersedih wahai Muaz. Sesungguhnya kesedihan itu sebahagian daripada syaitan. Wahai Muaz, bertakwalah kepada Allah di mana pun kamu berada. Iringilah keburukan itu dengan kebaikan. Nescaya keburukan itu dihapus oleh kebaikan. Dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik.

Thursday, January 17, 2008

Insuran Perubatan

Halimah menelefon saya semalam, katanya : Hj. Ali sakit. Kanser usus. Badannya sudah tinggal kulit dan tulang. Beratnya dulu 65 kg. Sekarang sudah turun, tinggal 45 kg. Sudah 4 bulan dia buat rawatan di Pusrawi. Operation untuk buang 16 inci ususnya kena belanja RM40 ribu. Kemoterapi kena buat 30 kali. Sekarang baru buat 5 kali. Sekali buat, belanjanya RM3 ribu.

Halimah mengeluh lagi dengan suara sebak : Ubat-ubat lagi, susu Enercal, kos semuanya tidak kurang RM500 sebulan. Pening kepala. Duit keluar macam air. Ubat habatussauda' yang doktor syorkan dia makan harganya mahal. Satu botol kecil, berpuluh RM. Sebulan kena makan beberapa botol. Tapi tidak mengapa, biar duit habis asalkan dia sihat semula.

Kata doktor, Hj. Ali hanya berpeluang hidup lebih kurang 2 tahun lagi. Saya mendengar dengan penuh empati. Aduhai, Allah yang mentakdirkan semuanya. Halimah isteri kedua, berkahwin dengan Hj. Ali untuk menumpang kasih. Mereka tiada anak. Kini hanya kesedihan yang membaluti hatinya. Meski pun payah, Halimah mahu berikhtiar memulihkan semula kesihatan suaminya. Biarlah dia bergolok-bergadai. Demi orang yang amat dikasihi, dia rela berkorban.

Ya, kos perubatan kini tidak murah. Bagi yang dilindungi insuran perubatan seperti suami Halimah, kuranglah sedikit bebanan yang dipikul, meski pun banyak perbelanjaan lain diperlukan untuk ikhtiar mempercepatkan si pesakit sembuh. Hj. Ali adalah bekas staf di Lembaga Tabung Haji yang baru beberapa tahun pencen. Mujurlah dia masih dilindungi insuran perubatan yang dibiayai bekas majikannya.

Berbalik kepada isu ini, sebagai orang yang mengurus bisnes sendiri, insuran perubatan adalah suatu perlindungan yang amat penting diberi perhatian. Kita perlu menyediakannya terutama buat diri sendiri, pasangan kita dan anak-anak. Janganlah memandang remeh tentang insuran perubatan. Hari ini mungkin kita sihat wal afiat tetapi esok lusa hanya Allah yang tahu. Penyakit kronik seperti kanser, sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan macam-macam lagi semakin kerap menyerang sesiapa saja, tidak kira yang tua atau muda.

Ketika menulis isu ini saya teringat peribahasa berbunyi sudah terhantuk, baru tengadah atau dalam bahasa Inggeris, crying over spilled milk. Setiap kali saya mendengar suara-suara merungut dan memperlekehkan insuran perubatan, mulut saya gatal sekali hendak berkongsi cerita. Ya, cerita tentang pengalaman sendiri yang saya pernah coretkan di sini. Dulu saya juga pernah mengambil mudah tentang insuran perubatan dan kini menanggung akibatnya.

Sebagai bekas pesakit jantung, tiada satu syarikat insuran pun yang mahu melindungi saya sekarang. Polisi mereka hanya melindungi orang-orang yang memiliki rekod kesihatan bersih. Orang-orang seperti saya kenalah tanggung risiko sendiri. Hmmm, apa hendak dikata, sudah nasibku. Bagi anda yang masih belum mengambil insuran perubatan, janganlah berlengah lagi.

Bayangkan diri anda, pasangan atau salah seorang daripada anak-anak anda tiba-tiba diserang penyakit kronik hari ini. Sedang anda tiada perlindungan insuran perubatan untuk diri sendiri dan mereka. Siapakah yang akan menanggung kos perubatan itu nanti? Siapa lagi kalau bukan anda sendiri. Oleh itu, bak kata orang sekarang : sendiri mahu ingatlah. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.

Wednesday, January 16, 2008

Rencana Di MHI

Terima kasih diucapkan kepada Datuk Lugiman Abu Seman dan En. Mohd. Hafizam Mustaffa, dari Pusat Khidmat Perusahaan Kecil & Sederhana (PKPKS) Melaka, yang membuka ruang untuk saya menulis di akhbar MHI. Rencana pertama bertajuk Membaca, mendengar sumber ilmu dalam bisnes tersiar Ahad lalu, pada Januari 13, 2008. Kandungan penuhnya seperti berikut :-

Kerjaya sebagai usahawan semakin popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Ia bukan sahaja menjadi pilihan golongan muda seperti lepasan universiti dan kolej, malah turut di minati golongan lebih berusia, contohnya mereka yang memilih untuk bersara awal atau pun mereka yang sudah bosan untuk bekerja makan gaji.

Sejak dahulu sehingga kini pihak kerajaan terus menyediakan berbagai bantuan dan kemudahan untuk membantu mereka yang menceburi bisnes. Dengan dorongan dan sokongan yang diberikan itu dijangka bertambah ramai lagi yang akan menjadi usahawan di masa hadapan. Perkembangan yang sihat ini sangat menepati hasrat kerajaan untuk meramaikan masyarakat perdagangan di negara kita.

Bagi mereka yang baru menceburi bisnes, banyak perkara yang perlu diketahui. Sebagaimana bidang-bidang lain, untuk mengurus bisnes kita memerlukan berbagai ilmu. Sebagai pemilik bisnes kitalah perancang utama yang menentukan berbagai keputusan. Kita ibarat pilot pesawat terbang atau kepten kapal yang perlu menentukan halatuju bisnes yang dikendalikan.

Di dalam apa jua jenis bisnes, hampir setiap masa kita perlu membuat keputusan-keputusan penting dan pastinya memerlukan maklumat yang betul. Secara logiknya keputusan yang tepat akan membawa impak baik dan positif kepada bisnes kita. Sementara keputusan sebaliknya boleh membawa impak buruk dan negatif, malah mungkin juga bencana besar.

Di manakah kita boleh mendapat ilmu dan maklumat bagi membantu kita membuat keputusan? Sukarkah untuk mendapatkan ilmu dan maklumat bisnes itu? Sebenarnya terdapat banyak sumber di sekeliling kita yang boleh dimanafaatkan. Salah satu cara yang mudah dan praktikal ialah membaca buku-buku bisnes dan bahan bacaan yang berkaitan di akhbar atau majalah. Di pasaran kini terdapat banyak bahan bacaan yang boleh menambah pengetahuan kita dalam bisnes.

Sebagai usahawan, sama ada masih baru atau pun sudah lama menceburi bisnes, kita perlu rajin membaca. Jadikanlah membaca satu hobi kerana secara tidak langsung kita menambah banyak maklumat berguna. Peruntukkan sedikit wang setiap bulan untuk melabur dalam buku-buku bisnes dan carilah bahan bacaan yang mudah difahami. Percayalah, sambil membaca banyak ilmu boleh diceduk bagi membantu kita mengendalikan berbagai isu bisnes.

Selain membaca, satu lagi cara yang praktikal ialah dengan mendengar pengalaman orang lain. Apabila kita bertanya kepada mereka yang sudah lama berniaga, biasanya masing-masing akan berkongsi berbagai cerita VSS iaitu VERY SUCCESSFUL STORIES dan VERY SAD STORIES. Bagi anda yang ingin mengetahui realiti dunia bisnes, dengarlah kedua-dua versi cerita kejayaan dan kegagalan itu tanpa rasa prejudis.

Hampir semua usahawan yang sudah berjaya pernah menempuh kegagalan. Itulah hakikat yang perlu kita terima sebagai orang bisnes. Apabila kita banyak mendengar pengalaman orang lain tentang cerita jatuh-bangun dan suka-duka dalam bisnes, secara tidak langsung kita lebih bersedia menghadapi kemungkinan gagal dan akan lebih berhati-hati. Jangan sekali-kali memandang rendah kepada mereka yang pernah gagal. Ambillah pengalaman mereka sebagai iktibar dan pengajaran.

Apakah yang boleh kita perolehi dengan mendengar pengalaman bisnes orang lain? Sebenarnya banyak yang boleh kita dapat hanya dengan mendengar. Dalam kisah-kisah orang bisnes biasanya ada petua, pesanan, tip, strategi, contoh berkesan, contoh tidak berkesan, solusi, jalan keluar, idea, ilham dan 1001 macam lagi. Percayalah, tidak rugi kita banyak mendengar. Malah cara ini boleh menambah input bagi membantu kita menyelesaikan berbagai isu.

Bukan semua yang kita baca atau dengar boleh digunakan 100%. Mana-mana yang baik dan sesuai bolehlah kita tiru bulat-bulat. Atau pun kita kaji semula dan ubahsuai di mana yang perlu. Bagi bisnes kita, kitalah yang lebih tahu apa yang boleh dan tidak boleh dibuat. Kata orang, mengukur baju biarlah di badan sendiri. Sekurang-kurangnya dengan mendengar pengalaman orang lain, otak kita terangsang untuk berfikir dan besar kemungkinan dapat mencetuskan ilham lebih baik.

Amatlah rugi andainya kita terus mengulangi kesilapan-kesilapan yang orang lain pernah lakukan dalam bisnes mereka hanya kerana kita tidak peka. Maklumat-maklumat itu sudah tertulis dalam berbagai buku dan bahan bacaan atau pun sudah kerap diceritakan orang tetapi kita tidak membaca dan mendengar dan kerana itu kita tidak tahu. Ingatlah, sebagai orang bisnes kita tidak boleh bersikap naïve atau lurus bendul. Kita perlu peka dan banyak mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita.

Tuesday, January 15, 2008

Pelaris

Meski pun Allah sudah menjamin rezeki bagi setiap mahlukNya, masih ramai yang kurang yakin dengan jaminan itu. Di kalangan kita masih ramai yang sangsi bahawa Allahlah yang menentukan luas atau sempit rezeki seseorang itu.

Allah menegaskan soal rezeki ini dalam banyak ayat. Contohnya dalam surah Al-Ankabut ayat 62 bermaksud : Allah melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya. Dan Dia pula yang menyempitkan baginya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Surah Ar-Ra'd ayat 26 bermaksud : Allah meluaskan rezeki dan menyempitkan bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia pada hal kehidupan di dunia itu (dibandingkan dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan yang sedikit.

Surah Asy-Syura ayat 12 bermaksud : KepunyaanNyalah perbendaharaan langit dan bumi. Dia melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya dan menyempitkannya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.

Seorang teman saya bercerita tentang pelaris sebagai ikhtiar untuk beroleh rezeki yang melimpah ruah. Beliau menyimpan secebis perca kain kiswah (kain penutup Kaabah) sebagai azimat. Selain itu beliau juga menyimpan sekeping wang kertas yang sudah dibawa bertawaf mengelilingi Kaabah. Menurutnya, kain perca kiswah dan wang kertas itu dijadikan ibu duit. Kononnya azimat-azimat itu mujarab sebagai pelaris dalam bisnes.

Semua kepercayaan tentang azimat sebagai pelaris adalah tahyul dan berdosa jika dilakukan. Terdapat banyak cara yang lebih murni untuk beroleh kemurahan rezeki. Antara lain adalah dengan mengamalkan solat dhuha, selalu membaca surah Al-Waqi'ah, melalui selawat-selawat serta membaca doa-doa khusus untuk memohon rezeki halal yang luas.

Perlu diingat bahawa orang yang menggunakan azimat, sama ada bisnesnya maju atau tidak, dia tetap berdosa. Pada anggapan orang seperti ini, azimat yang dipakainyalah yang membawa tuah. Sedangkan pada hakikat sebenar, rezekinya sudah ditentukan Allah. Bukanlah azimat atau pelaris yang menjadi puncanya.

Sebaliknya bagi orang yang berusaha dengan hatinya bulat bertawakkal, insyaAllah mendapat pahala meski pun bisnesnya kurang berhasil. Apatah lagi jika usahanya berjaya, bertambah beruntunglah dia. Rezeki yang diusahakan tanpa mengamalkan perkara-perkara tahyul pastinya mendapat pahala dan dipenuhi barakah.

Sunday, January 13, 2008

Allah Menjamin Rezeki MahlukNya

Firman Allah dalam surah Hud, ayat 6 bermaksud : Dan tidak ada suatu binatang melata pun di bumi melainkan Allah yang memberi rezekinya. Dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat menyimpannya. Semuanya tertulis dalam kitab yang nyata.

Dalam sebuah kisah diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. mengahwini seorang perempuan, kemudian beliau mengadakan jamuan kecil untuk meraikan perkahwinan itu. Malangnya makanan yang ada sangat sedikit. Para sahabat yang diundang berbincang sesama sendiri sambil menikmati hidangan itu, sementara Rasulullah mengerjakan solat sunat. Selesai solatnya, Rasulullah bertanya : Apa yang sedang kamu semua bincangkan?

Jawab mereka : Tentang rezeki.

Rasulullah bertanya lagi : Bolehkah aku ceritakan apa yang disampaikan oleh Jibrail kepadaku?

Jawab mereka : Silakan ya Rasulullah.

Lalu Nabi s.a.w. pun bercerita : Jibrail bercerita kepadaku tentang Nabi Sulaiman a.s. yang pada suatu hari mengerjakan solat di tepi pantai. Beliau terpandang seekor semut sedang berenang di atas air. Semut itu membawa sehelai daun hijau dan ia memanggil seekor katak. Katak itu pun keluar lalu didukungnya sang semut dan dibawanya ke dasar laut. Nabi Sulaiman a.s. kemudian meminta semut menceritakan kepadanya apa yang ada di dasar laut itu.

Semut berkata : Di dalam laut itu ada sebuah batu besar. Seekor ulat hidup di tengah-tengah batu itu. Rezeki ulat itu diserahkan kepadaku mengurusnya. Setiap hari aku memberi ulat itu makan daun hijau sebanyak 2 kali. Aku dihantar ke dasar laut oleh malaikat yang menjelma sebagai katak. Setiap kali selepas makan daun hijau yang ku berikan kepadanya, ulat itu mengucap syukur kepada Allah. Katanya : Allah Maha Besar yang mentakdirkan aku hidup di dalam laut.

Kesimpulannya, sedangkan ulat yang hidup di dasar laut ditentukan rezekinya oleh Allah. Inikan pula umat Muhammad. Allahlah yang memberi rezeki dan rahmatNya kepada mereka. Allah menjamin rezeki semua mahlukNya.

Petikan daripada buku Panduan Memperoleh Rezeki oleh Muhammad Isa Selamat.

Friday, January 11, 2008

Lawak Bodoh

Isnin lalu saya dan Alum pergi ke Pejabat Pos Durian Tunggal untuk menambah simpanan kami di akaun ASB. Kami sengaja pergi ke Pejabat Pos DT yang terletak di sebuah pekan kecil. Tujuan kami ke sana adalah untuk mengelak kesibukan di Pejabat Pos Ayer Keroh (yang lebih hampir dengan kediaman kami). Maklum saja, di awal-awal tahun begini, ramai sungguh orang yang mahu mengemas-kini akaun ASB masing-masing (mahu tengok berapa dividen yang diperolehi) dan Pejabat Pos Ayer Keroh full-house memanjang.

Di kelilingi beberapa buah kampung, tidak hairanlah para pelanggan yang mengunjungi Pejabat Pos DT terdiri daripada mereka yang saling mengenali satu sama lain. Di dalam pejabat pos itu, masing-masing bercakap sesama sendiri tentang siapa baru balik haji, siapa sakit dan dimasukkan ke hospital, siapa buat kenduri doa selamat, isteri siapa baru bersalin, etc etc. Saya dan Alum yang saling berpandangan tersenyum mendengar perbualan-perbualan itu.

Di antara mereka yang beratur depan kaunter adalah seorang lelaki Melayu yang sudah tua, mungkin usianya lewat 70an. Orangnya kecil, pakaiannya sempoi, rambutnya yang beruban dan jarang-jarang kelihatan meremang sahaja. Dia menjinjing sebuah beg plastik. Raut wajahnya yang kerepot dan jalannya yang lambat-lambat menimbulkan rasa kasihan kepada sesiapa yang memandang.

Tiba gilirannya, orang tua itu menghulurkan buku ASBnya yang tampak masih baru. Kerani yang melayaninya terus mengemaskini buku itu dan sejurus kemudian beliau berkata : Duit Pakcik termasuk dividen, ada RM250.

Jawab pakcik tua : Apa???

Kerani menjawab dengan lembut : Duit pakcik ada RM250.

Jawab pakcik lagi : Ahhh??? Apa???

Reaksi pakcik tua yang kurang pendengaran itu menarik perhatian ramai. Hampir semua mata mula tertumpu kepadanya. Seorang lelaki berkopiah (dalam usia 60an) yang berdiri di belakang pakcik tua itu mula menyampuk. Katanya : Duit awak dalam buku itu ada RM250.

Jawab pakcik tua sambil mengangguk : Ohhh...

Kerani bertanya lagi : Pakcik nak keluar duit berapa banyak?

Jawab pakcik tua : Ahhh??? Apa???

Kerani itu membalas dengan senyuman manis : RM200 cukup??? Saya isikan borang ya.

Pakcik tua masih kelihatan keliru. Matanya terkelip-kelip memandang kerani di depannya. Selesai mengisi borang, kerani itu membantu pakcik tua mengecap jarinya dan terus memproses pengeluaran wang. Pakcik tua itu tersenyum, mungkin merasa lega kerana dia sendiri bagaikan tidak tahu berapa jumlah wang yang hendak dikeluarkan.

Tiba-tiba lelaki berkopiah mencuit bahu pakcik tua dan bertanya : Duit RM200 itu mahu buat apa???

Pakcik tua menjawab : Ahhh??? Apa???

Lelaki berkopiah bertanya lagi sambil menjongket keningnya : Duit RM200 itu awak mahu buat apa???

Si pakcik tua termangu-mangu. Mata kecilnya terkebil-kebil, mungkin memikirkan apa jawapan yang sesuai. Aduh, saya geleng kepala. Kenapalah dia bertanya lagi kepada si pakcik tua yang tampak tambah keliru. Saya memandang Alum sambil menahan gelak.

Kata saya : Suruh pakcik tua itu jawab... duit RM200 itu mahu beri pada awaklah!!!

Wednesday, January 9, 2008

Buku Baru 2008

Tahun ini, insyaAllah, saya bertekad mahu menyiapkan 2 buah buku. Kedua-duanya masih buku berkaitan bisnes dan pengurusan. Sepatutnya buku ke3 saya sudah siap pada 31 Disember, 2007 yang lalu. Malangnya ia masih belum selesai, masih lagi separuh jalan. Puncanya kerana saya memulakan buku ke4 pula ketika sedang menulis buku yang ke3.

Saya perlu berbincang semula dengan En. Roslan, editor PTSPro, berhubung tarikh siap yang baru bagi buku ke3 dan memaklumkan kepadanya sinopsis buku ke4. Buku baru itu saya mulakan tanpa pengetahuannya. Secara tiba-tiba saya terasa ingin menulisnya dan terus saya mulakan sehingga penulisan buku ke3 tertangguh.

Ah, mungkin saya ini mentee yang tidak mendengar nasihat Puan Sifu kerana tidak menggunakan teknik KJ Method sepenuhnya dan masih menulis ikut mood. Tugasan di pejabat bukanlah puncanya. Entahlah, mungkin saya menyibukkan diri dengan aktiviti lain seperti kursus dan etc etc. Ah, saya memang pandai mencari alasan mengapa buku saya belum siap ditulis.

Buku ke3 saya bertajuk Bagaimana Menghargai Pekerja Anda. Buku ke4 pula belum bertajuk. Ia berkaitan Kemahiran Praktikal Bagi Bisnes Kecil & Sederhana. Saya teruja menulisnya kerana beberapa orang yang saya kenali membuka bisnes kecil masing-masing sepanjang tahun lalu. Secara tidak langsung banyak perkara yang mendorong saya untuk menulis buku ke4 itu.

Saya masih memikirkan bagaimana hendak menulis beberapa buah buku serentak. Melihat buku Pak Latip (Abdul Latip Talib) yang terbit satu demi satu (berderet-deret) tahun lalu, saya benar-benar kagum dengan semangatnya. Pak Latip begitu konsisten menulis. Novel terbaru beliau yang sedang saya baca kini ialah kisah Si Bongkok Tanjung Puteri. Novelnya, Salahudin Penakluk Jerusalem juga sudah saya baca.

Saya juga berhasrat menulis buku-buku di luar bidang saya seperti novel remaja. Sebelum itu saya perlu banyak membaca novel-novel yang bagus. Pesan Puan Sifu, untuk menghasilkan novel yang bermutu, penulis perlu membiasakan dirinya membaca karya-karya yang bagus yang mempunyai ciri-ciri evergreen, menggunakan Bahasa Melayu Tinggi, mengandungi unsur-unsur budaya dan sejarah serta dapat memandaikan bangsa.

Aduh, saya bukan seorang peminat novel. Namun akhir-akhir ini saya sudah membaca beberapa karya penulis-penulis yang hebat seperti Ayat-Ayat Cinta (Habiburrahman El Shirazy), Laskar Pelangi (Andre Hirata), Jibam (Ujang) dan terbaru, Surat-Surat Perempuan Johor (Faisal Tehrani) dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Pak Hamka).

Monday, January 7, 2008

Buku Bisnes Untuk Usahawan PKS

Sifu saya, Puan Ainon Mohd. menulis kata-kata ini di blog UNIKA : Apabila saudara duduk menghadap skrin komputer, wajah siapakah yang saudara bayangkan akan membaca buku-buku tulisan saudara?

Hmmm, bagi saya yang memfokus kepada isu-isu berkaitan bisnes kecil dan sederhana, pastinya membayangkan wajah-wajah usahawan dan bakal usahawan PKS (perniagaan kecil dan sederhana). Mereka adalah golongan yang saya jangkakan berminat membaca buku-buku saya. Juga buku-buku rakan-rakan penulis di PTS yang turut menulis dalam bidang bisnes.

Dalam bayangan saya, majoriti golongan usahawan PKS itu adalah orang-orang Melayu. Mereka terdiri daripada berbagai latar-belakang seperti para graduan universiti, orang-orang yang memilih untuk bersara awal, ibu tunggal, suri-rumah yang ingin mencari pendapatan sampingan, para lepasan sekolah dan kolej dan sebagainya.

Bayangan saya terbentuk melalui kata-kata Puan Ainon bahawa orang Melayu kini tidak lagi perlu didorong-dorong untuk menceburi bisnes. Mereka sudah mahu dan sudah bersedia untuk berniaga. Kini mereka mahu tahu cara-cara untuk mengurus bisnes dengan betul. Ya, dengan sedikit pengalaman yang ada saya ingin menulis untuk golongan ini.

Mengikut data pihak SMIDEC, bilangan usahawan yang terlibat dalam bisnes kecil dan mikro mencecah 500,000 orang di Malaysia. Jumlah itu ternyata amat besar. Andainya 1% sahaja daripada mereka membaca buku-buku bisnes terbitan PTS, tidak kurang 5,000 naskah diperlukan bagi setiap judul.

Secara kasarnya sasaran pembaca bagi buku-buku bisnes itu sudah ada. Persoalannya ialah di manakah buku-buku bisnes itu boleh dibeli? Jika anda menjawab buku-buku itu boleh dibeli secara on-line di Book Cafe dan e.Kedai.net, jawapan anda memang tepat. Dalam katalog kedai-kedai online itu tersenarai penuh judul-judul buku bisnes terbitan PTS.

Bagaimana pula dengan kedai-kedai buku terkemuka? Bukankah buku-buku bisnes berbahasa Melayu juga dijual di situ? Anda ingin tahu jawapannya??? Mengikut pengamatan saya, buku-buku bisnes berbahasa Melayu tidak banyak terdapat di kedai-kedai buku besar seperti Popular, MPH, Borders dan Kinokuniya. Andai anda tidak percaya, pergilah sendiri menjengok ke kedai-kedai buku itu.

Yang banyak dipamerkan di kedai-kedai buku utama itu adalah buku-buku bisnes berbahasa Inggeris. Di mana-mana pun hampir serupa, baik di Melaka, KL, Ipoh... memang tidak mudah untuk mendapatkan buku-buku bisnes berbahasa Melayu kecuali beberapa judul buku best-sellers seperti tulisan Azizi Ali, Chef Li dan Ann Wan Seng.

Jika ada pun buku-buku bisnes berbahasa Melayu di sebahagian kedai-kedai buku utama itu, tempatnya adalah di satu rak yang padat (bersebelahan dengan novel-novel Melayu). Atau pun letaknya di sebuah sudut yang dikhaskan untuk Malay Books.

Bilangan buku-buku bisnes berbahasa Melayu yang dipamerkan di kedai-kedai buku utama juga kecil (1 ke 2 buah sahaja bagi setiap judul). Judul-judul buku yang dipamerkan juga tidak banyak. Ia tidak selengkap seperti yang terdapat dalam katalog di kedai-kedai buku online.

Golongan usahawan PKS sewajarnya digalakkan banyak membaca buku-buku bisnes. Mereka boleh mendapat banyak ilmu melalui pembacaan buku-buku seperti itu. PTS sendiri mengambil langkah menerbitkan buku-buku bisnes yang mudah dibaca. Buku-buku bisnes terbitan PTS ditulis secara santai dan mudah difahami oleh mereka yang berpendidikan biasa-biasa saja.

Bagi mereka yang sudah biasa membeli buku-buku secara online, tidaklah menghadapi kesulitan mencari buku-buku bisnes yang dapat membantu mereka. Bagaimana pula dengan mereka yang masih belum mesra komputer dan tiada kemudahan internet??? Anda ada pendapat untuk dikongsi bersama saya?

Sunday, January 6, 2008

Self-Audit

Sifu saya, Puan Ainon Mohd. bijak orangnya. Dia dapat 'membaca' apa yang sedang bermain-main di fikiran mentee-menteenya (termasuk saya). Di sini saya memetik 2 nota kuliah beliau yang tersiar di blog UNIKA beberapa hari lalu, antara lain bermaksud...

1. Ramai di antara kita suka membuat self-audit. Apabila keterlaluan ia menjadi penyekat kejayaan. Ramai di antara kita sering meragui kebolehan sendiri. Orang tidak mengata sangat tetapi kita yang terover mengkritik diri sendiri.

2. Kita menulis bagi memandaikan bangsa. Jangan pedulikan orang pandai-pandai lain. Mereka itu sudah pandai-pandai belaka. Buku-buku PTS bukan ditulis bagi bacaan mereka, sebaliknya untuk orang-orang yang belum begitu pandai dalam sesuatu bidang ilmu.

Meski pun sudah menghasilkan dua buah buku, perasaan meragui kebolehan diri sesekali mengetuk pintu hati saya. Contohnya ketika beberapa orang daripada kalangan mereka yang berkelulusan tinggi menyatakan hasrat ingin memiliki buku-buku saya. Mulut ini tanpa sengaja berkata : Apabila membaca buku-buku ini, jangan lupa penulisnya tidak bersekolah tinggi!!!

Entah mengapa saya berkata demikian. Sedangkan saya sendiri tahu bukanlah mudah untuk menghasilkan sesebuah buku. Menulis adalah satu tugasan yang berat dan memerlukan daya fikiran serta disiplin. Bukanlah mudah hendak menghasilkan sesebuah karya seandainya kita tidak benar-benar minat dan serius menulis.

Bagi sesetengah orang, kata-kata saya itu menandakan perasaan seorang yang merendah diri. Ya, itu memang benar. Namun hakikatnya di luar sedar saya kadangkala cenderung membandingkan diri dengan mereka yang berkelulusan sarjana dan Ph.D. Terselit rasa bimbang di sudut hati andainya hasil tulisan saya dinilai secara negatif.

Sebenarnya mereka itu tidak pun memandang rendah, malah menghormati dan merasakan pengalaman saya dalam bisnes selama beberapa tahun memberi autoriti untuk saya menulis dalam bidang yang saya ceburi ini.

Thursday, January 3, 2008

Buat Duit Atas Angin

Anda masih ingat kisah cek tangguh yang diberi oleh En. Bedul, bos Syarikat Alifbata untuk pembelian Razor Barbed Tapes (RBT) bulan Disember lalu? Cek tangguh bernilai RM120,000 itu sudah saya masukkan ke akaun syarikat kami pada tarikh ia matang (31/12/07) Isnin lepas.

Hari ini saya dimaklumkan oleh pihak bank bahawa cek tersebut dikembalikan. Ia bounced atau dengan lain perkataan cek itu TENDANG! Untuk makluman anda, En. Bedul sudah pulang ke KL daripada menunaikan fardhu haji beberapa hari lalu.

Apabila beliau dihubungi berhubung cek tendang itu, Hj. Bedul berkata : Tidak mengapa, nanti saya buatkan bank deraf. Awak siapkan saja barang itu dan hantarkan sebelum 8 Januari. Pada hari awak hantar, saya akan berikan bank deraf itu. Saya janji. Jangan lupa, hantarkan barang itu ke Jabatan ABC sebelum 8 Januari.

Saya menjawab : Minta maaf, tuan haji. Tuan perlu buat bayaran dahulu sebelum saya boleh hantarkan barang. Bukankah saya sudah beritahu terma ini sejak awal lagi?

Jawab Haji Bedul : Bank deraf pun awak tidak percaya??? Susahlah begini. Awak yang salah dalam hal ini. Jika awak ikut cakap saya, tidak jadi begini. Sepatutnya awak sudah hantar barang itu pada awal bulan Disember dan saya sudah boleh dapat bayarannya daripada Jabatan ABC sebelum 31/12/07.

Jawab saya lagi : Minta maaf, tuan haji. Saya tunggu bank deraf tuan dahulu. Lebih cepat tuan bayar, cepatlah saya hantarkan barang itu.

Hati saya berkata : Cek sudah meletup pun Hj. Bedul masih mahu saya percayakan dia lagi??? Ah, dengar sini baik-baik Tuan Haji Bedul... Tebang buluh pakai kapak, hulur (duit), baru nampak (RBT).

Iktibar :

1. Dalam bisnes, jangan mudah percayakan kata-kata manis dan janji-janji molek. Biar pun yang berjanji itu seorang Tuan Haji yang baru balik daripada Makkah.

2. Jangan tergoda dengan amaun pesanan yang bernilai besar. Jangan kerana takut terlepas peluang maka kita melonggarkan syarat kawalan kredit.

3. Ingatlah, di zaman ini terlalu ramai (terutama orang Melayu) yang ingin membuat bisnes atas angin. Mereka mahu membuat untung percuma tanpa keluarkan modal satu sen pun.

4. Orang seperti ini akan menggunakan cable mereka untuk mendapatkan peluang bisnes dan air liur semata-mata untuk menumpang modal pusing orang lain.

5. Jangan ambil risiko. Andainya pembeli itu anda tidak cukup kenal, jangan beri dia kemudahan kredit.

6. Ingatlah, kita perlu tidur nyenyak setiap malam. Biarkan dia (si pembeli seperti Tuan Haji Bedul) yang tidak lena tidur dek memikirkan di mana hendak cari sumber duit untuk membayar kita.

Tuesday, January 1, 2008

Selamat Tahun Baru

Semalam (31 Disember, 2007) auditor datang mengira stok jam 11:00 pagi. Saya berada di pejabat seharian.

Menjelang petang, badan terasa sudah demam. Aduh, kepala sakit berdenyut. Kaki dan tangan terasa lenguh.

Selepas solat magrib saya pun buat perisytiharan : Malam ini Mak tak boleh memasak...

Alum menjongket kening kepada abahnya : Ini kes berat, rosak program kita malam ini...

Saya mengerang : Arrrggghhh, cepatlah bentang tilam, Mak sakit ni... Arrrggghhh...

Alum pun membentang tilam kecil di depan TV, siap dengan bantal dan comforter. Mereka dua beranak berbahagi tugas. Sambil saya tergolek menonton Buletin Utama, Alum menyediakan makan malam : ayam paprik dan sambal goreng concord (guna cili padi). Zainal memesin tangan dan kaki saya dengan massager. Dalam hati, saya ketawa : Hihihi!!!

Saya tidur awal di malam tahun baru dan terjaga jam 4:00 pagi. Tahun 2007 sudah menutup tirainya. Ya, sudah 5.5 bulan saya menulis blog ini. Semuanya bermula pada 15 Julai, 2007 lalu dan orang yang mendorong saya ialah Tuan Sabtu, beras... oppsss, biras saya. Terima kasih, bos!!!

Buat anda semua, Selamat Menyambut Tahun Baru 2008. Semoga kita semua dianugerahkan Allah kehidupan yang lebih sejahtera, sihat wal afiat, diberikan kekuatan iman, ketabahan hati, kesungguhan menjalankan tugas serta beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.

P/S : Atas permintaan pengunjung setia blog ini (Kak S) dipaparkan gambar sambal concord...