Wednesday, May 28, 2008

Mencari Rezeki

Khamis minggu lalu, kami ke Ipoh. Destinasi pertama ke kilang SWI di Jelapang, urusan membeli bahan mentah (HT wire). Akhir-akhir ini bekalan HT wire susah hendak dapat. Harga pula naik melambung, kini mencecah RM6 ribu se metrik tan.

Kami bukan pelanggan baru tetapi apabila permintaan cable wires meningkat di luar negara, SWI asyik berdolak-dalik. Mereka berjanji mahu hantar tetapi lori yang dinanti tidak sampai-sampai dan terpaksalah kami datang berjumpa mereka. Kami bertanya : Mana kawat? (Gaya bertanya seperti Puan Sifu bertanya : Mana buku?).

Malam itu sub-kon kami, Tuan Nana datang dari Kulim mengambil cek yang kami bawa untuknya. Perjumpaan dengannya di lobi hotel cuma sejam lebih tetapi sempat berbincang soal kerja. Alhamdulillah tiada masaalah besar. Tuan Nana membawa seorang wanita muda yang manis malam itu. Saya tidak bertanya siapa gerangannya. Dalam hatiku berkata : Tuan Nana ini playboy rupanya!

Zainal mengenyit mata kepada saya. Katanya : Macam tahi cicak! Kami tergelak. Aduhai, apa tidaknya. Tuan Nana berkulit hitam manis, pasangannya pula putih melepak! Esoknya, Zainal hadir mesyuarat bersama PLUS dan Propel di Plaza Tol Kemunting, Taiping. Semua kontraktor maintenance lebuhraya N4 hadir sendiri kerana tidak boleh menghantar sub-kon sebagai wakil.

Semalam kami ke Ipoh lagi, kali ini destinasinya di MAB Ipoh. Kami keluar rumah jam 5:00 pagi. Sebelum ke Plaza Tol Ayer Keroh, Zainal singgah membeli air di kedai 24 jam di BBI. Saya melihat seorang lelaki berkulit hitam (mungkin warga Afrika) membuka tong sampah, dia mencari kotak-kotak terbuang dan tin kosong. Barang-barang yang dikutip di masukkan ke bonet kereta kancilnya. Hatiku berkata : Ah, dia mencari rezeki.

Kami singgah di Seremban untuk solat subuh, kemudian meneruskan perjalanan ke Ipoh. Ya, kami juga mencari rezeki sambil menyusur lebuhraya di awal pagi...

Saturday, May 24, 2008

Problem Talk vs Solution Talk

Problem Talk

A : Apa masaalah awak?

B : Saya sedih sangat. Setiap hari saya balik kerja lewat tapi bos saya masih tidak puas hati.

A : Kenapa bos awak macam itu?

B : Entahlah. Dia itu pandai cakap saja. Dia bukan faham apa yang berlaku di pejabat.

A : Apa yang berlaku di pejabat?

B : Saya peninglah. Kerja banyak sangat. Semua saya perlu uruskan.

A : Awak sudah beritahu bos awak hal ini?

B : Belum lagi. Saya risau dia tidak percaya yang kerja saya memang banyak.

A : Jadi, apa awak mahu buat?

B : Entahlah. Awak belum kenal bos saya. Dia teruk. Saya sedih dia buat saya macam ini.

Ciri-Ciri Problem Talk : Memfokus kepada masaalah, mencari punca ke akar umbi, mencari siapa yang bersalah, situasi bertambah buntu, terasa payah hendak menyelesaikan isu.

Solution Talk

A : Apa yang merunsingkan awak?

B : Setiap hari saya balik kerja lewat tapi bos saya masih tidak puas hati.

A : Apa yang awak mahu sebenarnya?

B : Saya mahu seorang pembantu. Kerja di pejabat banyak. Saya tidak larat buat seorang.

A : Bagaimana awak mahu yakinkan bos awak yang awak layak mendapat seorang pembantu?

B : Saya kena beritahu dia beban kerja saya banyak tetapi saya takut dia tidak percaya.

A : Saya akan gunakan ukuran skala 1 hingga 10. Katakan pada skala 1, beban kerja awak tidak banyak dan pada skala 10, sangat banyak. Macam mana beban kerja awak sekarang?

B : Hmmm, saya rasa sekarang beban kerja saya pada skala 6.

A : 6 saja? Bukankah tadi awak kata beban kerja awak banyak?

B : Ya, saya baru sedar kerja saya tidaklah banyak sangat sebenarnya!

A : Apa perlu awak buat sekarang?

B : Saya akan uruskan masa saya dengan lebih cekap.

Ciri-Ciri Solution Talk : Memfokus kepada jalan keluar, matlamat yang diingini ditetapkan, skala diguna bagi melihat isu dengan perspektif lebih jelas, bertanya soalan yang menimbulkan kesedaran, nampak jalan penyelesaian.

Friday, May 23, 2008

Perunding Latihan PTS

Saya mula dikenali sebagai penulis buku pada tahun 2007. Dengan izin Allah, PTS yang menjadikan impian sejak kecil itu satu realiti.

Dengan galakan kuat Puan Ainon, saya menceburi pula bidang training. Seorang teman penulis bertanya : Mengapa sibuk sangat mahu jadi trainer?

Saya menjongketkan kening 2 kali... Mungkinkah suatu hari nanti saya menjadi seperti mereka dalam gambar ini? Doakan saya berjaya.

Thursday, May 22, 2008

Teka-Teki


Bulatan merah yang mana lebih kecil?

1. Bulatan merah yang di kelilingi 6 bulatan kuning besar?

atau

2. Bulatan merah yang di kelilingi 8 bulatan kuning kecil?


Monday, May 19, 2008

Sapaan Sosial

Dalam bengkel Bahasa Melayu Tinggi (BMT) anjuran PTS semalam, saya amat tertarik dengan topik sapaan sosial. Prof. Emeritus Abdullah menerangkan sapaan sosial ialah gantinama yang kita gunakan untuk memanggil orang lain dan diri sendiri dalam percakapan dan penulisan. Contoh sapaan sosial ialah panggilan seperti Ayah, Mama, Maklong, Tuan, Tuan Haji, Datuk, Dr., Tan Sri, Cik Puan, saya, depa, mu, hang, aku, kamu, Ayang, Along dan sebagainya.

Di sekolah kita tidak diajar secara khusus cara sapaan sosial yang betul. Oleh sebab itu kita kurang peka apakah kesan penggunaan gantinama yang tidak kena pada tempatnya. Lazimnya kita akan memanggil orang yang lebih berusia sebagai Pakcik, Makcik, Kakak atau Abang. Yang muda biasanya dipanggil Adik. Sebenarnya panggilan untuk orang yang tiada hubungan dengan kita tidak boleh disamakan dengan panggilan yang dikhaskan untuk ahli keluarga kita sahaja.

Contohnya dalam bisnes dan urusan rasmi, cara yang betul memanggil pelanggan ialah Tuan, Saudara, Cik Puan atau jika kita tahu, boleh juga menggunakan gelaran yang sesuai dengan profesyen atau pangkat pelanggan tersebut seperti Cikgu, Puan Hajah dan Datin. Sesetengah jurujual secara hentam keromo memanggil semua pelanggan wanita dengan panggilan Kakak dan orang lebih muda dipanggil Adik. Alasannya ialah cara itu menunjukkan kemesraan.

Gantinama seperti Kakak, Abang, Pakcik, Makcik dan Adik tidak sesuai digunakan dalam urusan bisnes dan urusan rasmi. Panggilan sebegitu bukan tanda mesra pelanggan sebaliknya menunjukkan sikap kurang adab dan berkemungkinan menjatuhkan martabat seseorang. Ia juga membawa persepsi orang yang menggunakan gantinama itu kurang bijak (dalam memadankan taraf) dan boleh dianggap bersikap kurang ajar.

Cuba kita bayangkan situasi di mana seorang pelanggan lelaki dipanggil Abang sementara isterinya dipanggil Makcik. Bagaimana perasaan mereka? Panggilan 'Abang' boleh menimbulkan salah faham kerana ia membawa mesej intim. Andaikata si jurujual berusia lewat 20an dan isteri pelanggan itu pula baru awal 40an, sudah pasti panggilan 'Makcik' amat janggal.

Panggilan yang membawa persepsi mesra sangat berisiko dalam urusan rasmi. Ketika melayan pelanggan, kita perlu menunjukkan rasa hormat. Berwaspadalah jangan sampai kita memperlekehkan mereka pula. Panggilan dengan gantinama yang betul menggambarkan adab dan kematangan seseorang, juga memberi persepsi tentang tahap pemikiran dan pendidikannya serta pengetahuan dalam penggunaan Bahasa Melayu Tinggi (BMT).

Thursday, May 15, 2008

Hutang Lapuk

Beberapa minggu lalu saya terbaca sebuah cerpen di akhbar. Saya sudah lupa tajuk dan siapa penulisnya. Namun kisah dalam cerpen itu masih segar di ingatan. Kisahnya berkisar tentang si penulis cerpen itu menemani sahabatnya di dalam kubur. Sahabatnya seorang jutawan dan dia membuat permintaan khas kepada si penulis iaitu apabila dia mati, si penulis hendaklah menemaninya di dalam kubur selama 30 hari. Setelah puas dipujuk, si penulis bersetuju dan dia akan dibayar RM30 juta.

Apabila sahabatnya meninggal, si penulis pun dikuburkan sekali bersama mayat. Ketika berada di dalam kubur, penulis mengalami peristiwa ngeri. Bukan saja diganggu bunyi gegak gempita serta pekik raung yang tidak keharuan sepanjang masa, dia juga terpaksa berdepan dengan malaikat yang menyoalnya bermacam-macam perkara. Dia ketakutan namun mengenangkan habuan RM30 juta yang menanti dia bersabar. Lalu dicuba sedaya upaya menjawab soalan-soalan yang ditanyakan.

Antara yang ditanya ialah cara dia mencari rezeki, berapa hasil diperolehi, bagaimana kesan tulisannya kepada orang-orang yang membaca, sama ada dia tahu betapa banyak hati yang dilukai hasil daripada tulisannya dan bagaimana dia mahu meminta ampun daripada orang-orang itu yang sebahagiannya sudah kembali ke rahmatullah. Penulis terpinga-pinga kerana soalan-soalan itu tidak langsung diduganya.

Kemudian dia tanya pula tentang PC yang diguna untuk menulis, daripada hasil mana ia diperolehi, tentang motor kapcai yang dia tunggangi ke tempat kerja daripada hasil mana ia dibeli. Penulis memberitahu motor kapcai itu sudah lama dan dibeli sewaktu dia menunggu keputusan SPM. Dia membantu ibunya menoreh getah dan daripada upah itu dibelikan motor. Lalu dia ditanya tentang pisau toreh getah ibunya dibeli daripada hasil mana. Penulis semakin bingung dengan soalan yang bertalu-talu itu.

Sementara itu mayat sahabatnya semakin reput dan ulat-ulat mula mengerumuni si penulis. Dalam keletihan yang teramat sangat, barulah dia sedar yang dia tidak makan dan minum apatah lagi tidur semenjak masuk ke liang kubur itu. Dengan perasaan yang semakin tertekan, si penulis akhirnya mengambil keputusan untuk keluar. Dia rela tidak mendapat upah RM30 juta yang dijanjikan itu. Pisau toreh pun dipersoal, inikan pula wang RM30 juta itu, tentu banyak lagi yang dia perlu bersoal-jawab dengan malaikat. Penulis pun keluar dan cerita pun tamat di situ.

Iktibar : Semua tindakan kita (besar dan kecil) akan dipersoalkan di kemudian hari.

Saya membelek penyata akaun syarikat KZ bagi tahun 2007. Masih ada hutang lapuk yang belum dilunaskan si fulan A bernilai RM43,000 dan si fulan B sebanyak RM150,000. Sejak 2003 mereka berjanji mahu membayarnya. Akhir tahun lalu, si fulan A meminta tangguh sehingga dia balik daripada tanah suci. Apabila ke KL saya memerhati pejabat si fulan A yang tersergam. Ketika singgah P.A.nya memberitahu dia tiada. Si fulan A out-station. Ya, bisnes semakin maju dan dia sangat sibuk.

Si fulan B sudah berpindah ke Dubai. Sesekali dia hubungi kami meminta sebutharga. Dia berjanji akan membayar hutangnya jika projek yang sedang dirundingkan di sana berhasil. Setakat ini masih tiada apa-apa. Rakan kongsi si fulan B menghilangkan diri apabila syarikat lama mereka terkubur. Hanya si fulan B yang tidak lari tapi tidak juga membayar hutangnya.

Saya sedang berkira-kira hendak mencadangkan kepada lembaga pengarah syarikat KZ supaya kedua-dua hutang lapuk itu dilupuskan. Sudah letih bermain sorok ibu dengan si fulan A. Usaha dengan si fulan B pun tidak berhasil. Ya, umur hutang-hutang itu sudah masuk 6 tahun. Jika anak kecil sudah layak masuk tadika.

Saya terfikir, jika saya kirimkan kisah cerpen ini kepada si fulan A dan si fulan B, mungkin mereka akan kecut perut dan segera melunaskan hutang masing-masing. Hmmm, manalah tahu cara ini berkesan. Saya sedang memikirkan perkara yang bakal berlaku di kemudian hari : Bagaimana si fulan A dan si fulan B hendak menjawab soalan-soalan tentang hutang lapuk itu?

Tuesday, May 13, 2008

Buku PTS Edisi Indonesia

(Entri ini dipetik daripada blog Puan Sifu)

"FAMILLIONAIRE!" adalah buku terbaru PTS yang diterbitkan semula di Jakarta sebagai edisi Indonesia.

Sampai hari ini PTS sudah melesenkan 56 judul buku-buku karangan penulis-penulis PTS kepada penerbit-penerbit Indonesia.

Namun masih banyak kedengaran pengarang dan penerbit Malaysia yang mengeluh-ngeluh mengatakan negara Indonesia tidak melayan buku-buku Malaysia dengan baik.

Ini buku pertama karangan Puan Norlela Zubir, tetapi buku ini sudah berjaya menarik minat PT Hikmah

PT HIKMAH adalah anak syarikat milik penuh MIZAN GROUP, penerbit kedua terbesar di Indonesia, selepas PT GRAMEDIA.

PT GRAMEDIA juga melesen buku-buku PTS.

Puan Norlela adalah contoh bagaimana buku tulisan pengarang baru yang belum terkenal pun sudah berjaya dipilih oleh penerbit Indonesia bagi diterbitkan semula untuk pasaran negara itu.

Justeru, penulis-penulis Malaysia perlu mengetahui ciri-ciri buku yang menarik minat penerbit Indonesia.

Kandungan buku mesti bersifat export-ready, barulah buku itu ada peluang dapat diekspot.

Banyak buku pengarang Malaysia yang hanya dapat di jual dalam pasaran tempatan sahaja kerana isu-isu yang dikupas dalam buku-buku itu adalah isu-isu yang terlalu lokal sifatnya.

Dalam perjanjian pelesenan antara PTS dan penerbit-penerbit Indonesia itu, mereka dibenarkan menukar judul asal buku dan melakukan editing pada teks supaya sesuai dengan Bahasa Indonesia dan citarasa pasaran Indonesia.

Pasaran Indonesia adalah Laut Biru bagi penulis dan penerbit Malaysia. Laut Biru ini luar biasa besarnya dibandingkan dengan pasaran dalam negeri kita di Malaysia.

Buku terlaris PTS, Rahsia Bisnes Orang Cina karya Ann Wan Seng, terjual 10 ribu naskhah setahun di Malaysia, tetapi buku itu terjual 30 ribu unit di Indonesia dalam masa 2 bulan selepas masuk pasaran.

Isunya sekarang adalah penerbit Malaysia mesti sangup melaburkan wang mempromosi buku-buku terbitan mereka kepada penerbit-penerbit Indonesia supaya mereka berminat melesen buku-buku itu bagi diterbitkan semula sebagai edisi Indonesia.

Sunday, May 11, 2008

Ada-ada saja

Di KLIA, sepasang suami-isteri Cina sedang sabar menunggu ketibaan sahabat karib mereka dari Taiwan. Kapalterbang sudah mendarat tetapi tetamu yang dinanti masih belum kelihatan. Mata mereka berdua ralit memerhatikan orang-orang yang sedang berjalan keluar dari dewan ketibaan.

Tidak semena-mena si isteri mengulum senyum. Jarinya pantas mencuit bahu si suami. Mereka saling berpandangan, kemudian berbisik-bisik. Mata mereka leka memerhatikan sekumpulan jemaah umrah (pastinya orang Melayu). Pasangan Cina itu bertanya sesama-sendiri : Mengapa orang-orang ini berpakaian pelik?

Kumpulan jemaah umrah yang sedang menolak troli masing-masing semakin dekat. Penampilan mereka tambah mencuri perhatian pasangan Cina itu. Yang lelaki berjubah labuh warna putih, lengkap dengan vest berwarna beige ala pakaian orang Pakistan dan berserban stail Yasser Arafat. Yang wanita berjubah hitam dengan taburan manik berkilauan.

Daripada celoteh orang-orang di sekeliling, pasangan Cina itu dapat meneka jawapan bagi soalan yang bermain-main di minda mereka. Bahawa kumpulan yang berjubah dan berserban ala Yasser Arafat itu menerapkan penampilan penduduk Arab Saudi. Sementara alasan di sebalik pemakaian vest ala pakaian orang Pakistan itu ialah penerbangan mereka transit semalam di Karachi.

Itu saja, bukan apa-apa...

Selamat Hari Ibu


Buat Cik Ju Sayang, yang manis dan sedap mata memandang lagi comel loteh...

Buat buah hatiku, pengarang jantung dan penyejuk hati...

Buat insan mulia yang tidak terhingga banyak budinya kepadaku...

Buat yang amat pengasih...

Selamat Hari Ibu
, Mak. Doaku semoga Mak bahagia dan sihat selalu...

Friday, May 9, 2008

Life Is Too Short For The Wrong Job?

26 April, 2008 lalu, saya mengambil penilaian Profile XT. Ia dikendalikan secara online di makmal komputer UMCCed oleh e-Profiles Sdn. Bhd. Terdapat 6 bahagian dengan 314 soalan multiple choice perlu dijawab. Penilaian Profile XT bukanlah subjek wajib dalam coaching tetapi ia dijadikan nilai tambah dalam program Certified Business Coach anjuran UMCCed. Jika hendak mengambil ujian itu sendiri, kosnya hampir RM400.

Profile XT menguji beberapa perkara : stail berfikir, sifat/kelakuan serta minat/ kecenderungan. Tujuan mengambilnya untuk meramal sama ada saya sesuai menjadi Business Coach. Kesesuaian kerjaya dengan diri kita menentukan tahap produktiviti dalam bidang diceburi.

Kelmarin saya mendapat 5 laporan berhubung penilaian Profile XT itu. Secara keseluruhan keputusan saya menunjukkan kesesuaian 73% dengan kerjaya sebagai Business Coach. Pencapaian saya dari segi thinking style dan occupational interests agak tinggi. Namun tabiat saya dari segi sociability peratusnya sedikit rendah. Begitu juga dengan assertiveness, agak tebal ciri kemelayuan saya dari segi ini (kurang assertive). 2 perkara itu antara yang perlu saya pertingkatkan lagi untuk berjaya dalam kerjaya coaching.

Di kelas saya ada seorang-dua yang kurang gembira walau pun keputusan penilaian mereka mencecah 85%. Trainer kami, Dr. Chin, bertanya : If you have a low percentage, does it mean you cannot be a coach? Is it the end of the world?

Hmmm, persoalannya, bolehkah keputusan penilaian Profile XT dipercayai 100%? Mengikut amalan biasa dalam pemilihan staf baru contohnya, penilaian melalui temuduga diambilkira sebanyak 70% dan keputusan Profile XT hanya 30%. Yang penting Profile XT dapat memberi kesedaran di mana kelebihan dan kekurangan kita.

Wednesday, May 7, 2008

Famillionaire!


Pagi semalam saya menerima panggilan telefon daripada Editor Pengurusan PTS Pro, Cik Rozita Abdul Razak. Beliau memberitahu akan mengirim 5 naskah buku berkulit kuning kepada saya dengan poslaju.

Famillionaire!
adalah tajuk buku itu. Ia adalah versi Indonesia bagi buku pertama saya yang bertajuk asal Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya.

Buku itu yang sudah dilesenkan oleh pihak PTS diterbitkan semula di Indonesia oleh Syarikat Hikmah (PT Mizan Publika). Penterjemahnya ialah Edy Sembodo. Khabarnya buku itu baru sahaja berada di pasaran sana.

Saya sempat membaca beberapa muka surat buku Famillionaire! Bagi saya Edy Sembodo melakukan terjemahan yang bagus. Seronok pula saya membacanya. Ya, sesetengah ayat berbunyi agak lucu, contohnya : bermental tempe, di bawah satu atap dan ibarat orang mengendarai mobil dengan ban bocor...

Buat Puan Ainon Mohd. yang dikasihi, terima kasih di atas usaha Puan sehingga berjaya melesenkan buku saya ini. Begitu juga kepada tim PTS yang telah mempromosi buku ini disamping buku-buku terbitan PTS yang lain. Budibaik Puan dan tim PTS sentiasa dikenang. Saya rasa tambah bersemangat hendak menyiapkan buku baru!

Lawatan Ke Lokasi Penanaman Mas Cotek Di Melaka

Seperti dijadualkan, hari ini Jabatan Pertanian Putrajaya mengadakan lawatan ke beberapa lokasi penanaman mas cotek di Melaka termasuk di tempat kami.

Di bawah Program Padanan Perniagaan Industri Herba 2008, Syarikat Moro Seri Utama yang merupakan syarikat payung bagi mas cotek mensasarkan keluasan penanaman sebanyak 500 ekar. Bagaimana pun keluasan ladang kontrak yang kini menyertai program ini ialah 324 ekar.

Gambar di sebelah : Hj. Zainal bersama En. Redza, Jabatan Pertanian Putrajaya (di tengah), En. Ismail, Syarikat Moro Seri Utama (no. 2 dari kiri) dan pegawai-pegawai Jabatan Pertanian Melaka.

Monday, May 5, 2008

Kebun Mas Cotek

Ini sebahagian daripada 'ladang' mas cotek yang sedang diusahakan Hj. Zainal. 300 batang anak benih yang dibeli tempoh hari mengambil tempat kurang 20% daripada tapak kebun kami yang luasnya suku ekar. Masih ada ruang untuk ditanam 2,000 batang lagi.

Jabatan Pertanian Putrajaya akan mengadakan lawatan ke Melaka pada 7 Mei, 2008, bagi meninjau perkembangan para peserta kursus yang mengikuti program penanaman mas cotek di Mardi Telong, Bachok Febuari lalu. InsyaAllah kebun ini salah satu destinasinya.