Monday, September 29, 2008

Selamat Hari Raya

Saya mengambil kesempatan di sini untuk menyampaikan salam Aidil Fitri dan selamat bercuti buat semua pengunjung blog ini di mana jua anda berada.

Semoga kita semua dilimpahi barakah yang melimpah ruah dan dapat meraikan Hari Raya ini dengan penuh bahagia di samping keluarga, sanak-saudara dan sahabat-handai.

Jika ada kesempatan, jemputlah datang beraya ke rumah saya di Bukit Beruang, Melaka dan jangan lupa, telefon saya dulu ya... 019-6562540.

(Gambar disalin daripada kad raya terbitan Total Care)

Ada-Ada Saja...

Selesai solat tarawikh dan solat witir sebentar tadi (malam terakhir Ramadan), wanita di sebelah saya terus bertanya dalam loghat Indonesia : Betulkah Hari Rayanya hari Rabu?

Saya mengangguk.

Dia bertanya lagi : Udah confirm?

Saya mengangguk.

Dia bertanya lagi : Ibu tahu dari mana?

Saya menjawab : Saya dengar berita pukul 8:00 tadi.

Wanita itu menjawab : Oh gitu... jadi sudah pasti hari Rabu ya...

Sambil meninggalkan masjid MITC, saya menahan gelak. Adoi, mana mungkin tidak pasti... bukankah tadi kita bersolat tarawikh, bukan bertakbir Hari Raya!

Thursday, September 25, 2008

Cerita Buku : Royalti & Ulang Cetak

Minggu lalu saya menerima 2 pucuk bingkisan daripada PTS. Bingkisan pertama berisi kad Hari Raya yang membariskan semua staf dan tim PTS. Aduhai, berseri-seri semuanya.

Bingkisan yang kedua berisi penyata kira-kira royalti bagi tahun berakhir 31 Disember, 2007 dan... ia juga beserta sekeping cek. Hmmm, saya sungguh gembira mendapat rezeki royalti ini menjelang Aidil Fitri. Tambahan lagi ini kali pertama saya mendapat royalti untuk kedua-dua buku saya yang terbit tahun lalu.

Saya panjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t. Buat Puan Ainon Mohd. dan syarikat penerbitannya, PTS, saya juga ingin mengucapkan setinggi terima kasih. Sebagai penulis baru, saya sangat menghargai ketelusan PTS dalam menunjukkan jumlah jualan buku-buku saya dan cara royalti dikira.

Beberapa hari lalu pula saya mendapat e-mel daripada En. Nazrul Shamsuddin, Pengurus PTSPro. Beliau menyampaikan berita gembira buat saya. Menurutnya, buku saya bertajuk 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia telah dipilih oleh Perpustakaan Negara Malaysia bagi dibekalkan ke perpustakaan desa seluruh Malaysia. Jumlahnya ialah sebanyak 1,089 naskah. Menurut En. Nazrul lagi, PTS dalam proses hendak mengulang cetak buku saya itu.

Bagi anda semua yang sudah memiliki buku-buku saya, mudah-mudahan anda mendapat beberapa manafaat. Hmmm, jika anda sudi, berkunjunglah ke rumah saya pada cuti Aidil Fitri ini. InsyaAllah duit royalti saya ini cukup untuk kita pekena cendol!

Sunday, September 21, 2008

Petang Ramadan Di Pekan Alor Gajah

Petang Jumaat lalu saya pergi ke Pejabat Tanah Alor Gajah. Cuaca amat panas petang itu, kulitku terasa bagaikan terbakar. Jika diikutkan hati, malas sekali saya hendak ke sana, tetapi demi urusan yang perlu dibuat, saya terpaksa. Lagi pun bukan saya yang memandu. Hmmm, bukankah saya ada supir... Aduh, siapa lagi supir saya itu jika bukan buah hatiku, Tuan Hj. Zainal...

Selesai urusan di PT, kami menyusuri pekan kecil itu mencari Pejabat Pos. Hmmm, dalam kepanasan itu masih juga saya mahu mengepos beberapa keping kad Hari Raya. Ketika Zainal turun membeli setem, saya duduk berteduh di dalam Terrano. Tiba-tiba cermin tingkap di ketuk seseorang. Mulut wanita berbaju kurung dan bertudung labuh itu terkumat-kamit berkata sesuatu. Sepasang matanya dikecilkan kerana menahan silau dan panahan matahari.

Saya menurunkan cermin tingkap sambil bertanya : Ya, ada apa?

Wanita itu menunjukkan beberapa buah buku berwarna hijau : Ini tafsir surah Yasin. Kakak tengoklah. Tafsir ini oleh Dr. Fatma El Zahra, pendakwah Arab yang selalu berceramah dalam TV itu. Dia bercakap pelat sedikit macam P. Ramlee bercakap Arab. Kakak tahu, bukan? Dia itu tembam macam saya ini juga.

Saya mengambil buku yang beliau hulurkan dan bertanya harganya. Melihat saya berminat, wanita itu tersenyum : Buku ini RM10 saja dan boleh dapat 2 CD percuma.

Sambil bertanya buku-buku lain yang dibawanya, saya merenung wajah wanita berusia 20an itu. Kulit pipinya yang tidak berbedak kelihatan berminyak, basah berpeluh dan dihiasi bekas-bekas jerawat yang kehitam-hitaman. Timbul rasa kasihan di hati saya, namun saya kagum dengan semangatnya yang kental dalam berusaha mencari rezeki.

Sambil membayar harga 2 buah buku, Tafsir Surah Yasin dan Penenang Jiwa (Imam Ghazali), saya bertanya lagi kepadanya : Banyakkah jualan awak hari ini?

Jawab wanita itu : Adalah, Kak. Ini kakak beli 2, adalah lagi komisen saya.

Hati saya bertambah ingin tahu : Purata berapa komisen awak dapat sehari?

Jawabnya : Dalam RM20 lebih. Ada masa dapat lebih. Lagi baik saya berjual macam ini. Dulu saya minta kerja di kedai buku, tapi tidak dapat. Cuma hari ini panas sangat. Saya tidak larat hendak berjalan jauh-jauh. Ok, terima kasih ya.

Sambil menyambut tangannya untuk bersalam, saya nyatakan sesuatu yang membuat mata wanita itu bersinar dan bibirnya tersenyum ceria : Terima kasih pada awak juga. Semoga Allah murahkan rezeki orang yang rajin berusaha seperti awak. Saya ucapkan tahniah sebab bukan semua orang boleh berjualan seperti yang awak buat ini.

Pagi ini saya membaca Tafsir Surah Yasin itu. Buku kecil itu amat bagus isinya. Sebenarnya ia bukan tulisan Dr. Fatma El Zahra tetapi adalah salinan dari kuliah beliau yang dibuat khas bagi rakaman VCD pada Disember, 2005. Buku itu diterbitkan oleh Whole-Mart Business Point Sdn. Bhd. Jika anda terjumpa buku ini di mana-mana, belilah kerana ia amat berbaloi dengan harga sekadar RM10.

Petikan buku itu di muka surat 55...

Suatu masa Rasulullah SAW ketawa sampai nampak gigi taringnya. (Rasulullah tak pernah ketawa sampai nampak gigi taring. Tidak serupa kita ini sampai barang dalam pun nampak). Fatimah Zahra pun bertanya : Tolong beritahu, mengapa kamu ketawa?


Rasulullah kata : Aku ketawa Fatimah - orang munafik di hari kiamat, Tuhan tanya kenapa tak sembahyang? Dia munafik, dia tipu Tuhan sampai kiamat pun dia tipu lagi. "Eh, sembahyang. Malaikat salah tulis. Saya sembahyang".

Allah kata : Iyakah salah tulis? Mari, tutup mulut dia.

Setelah mulut dia ditutup, kaki dia bercakap, tangan dia bercakap. Itulah - Alyauma nakhtimu 'alaa afwaahihim... Anggota badan kita sendiri, adik-kakak, bersaksi atas perbuatan kita di hari kiamat. Cuba fikir - tangan yang kita hari-hari bubuh krim, hari-hari potong kuku, hari-hari pakai cincin, esok akan bercakap kepada Tuhan, apa yang kita usaha, apa yang kita lalai. Bimaa kaanu yaksibuun.

Tuesday, September 16, 2008

Kenanganku

Semalam, 15 September, 19 tahun lalu, Bak kembali ke rahmatullah. 19 tahun sudah berlalu, namun ku rasa seperti masih baru peristiwa itu. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh ayahku, Haji Zubir Bin Haji Yusoff.

Kisah Bak pernah saya tuliskan di sini, di sini dan di sini.

Gambar saya bersama Bak di sebelah diambil oleh Mak (pada hari Wukuf di Arafah) ketika kami mengerjakan haji tahun 1989. Waktu itu saya berusia 29 tahun dan Bak, 52 tahun.

Selama 45 hari di tanah suci, saya menjadi anak manja mereka. Ada jemaah menyangka saya masih anak dara (andartu!). Sebenarnya waktu itu saya sudah berkahwin dan Alum berusia 4 tahun.

Saya masih ingat ketika Bak mengajak saya menemaninya dan Mak ke tanah suci. Kata Bak, jika saya tidak mahu, mungkin tahun berikutnya dia sudah tiada. Secara kebetulan, Bak meninggal dunia 52 hari selepas kami kembali dari tanah suci.

Masa berlalu terlalu cepat. Semuanya tinggal kenangan. Pada waktu dan saat ini hatiku amat merindui Bak.

Wednesday, September 10, 2008

Lembaga Pengarah Dalam Syarikat Sdn. Bhd.

Semua syarikat Sdn. Bhd. perlu ada lembaga pengarah syarikat. Pengarah-pengarah syarikat dipilih oleh pemegang saham dalam mesyuarat agung tahunan. Perlantikan mereka adalah bagi tempoh satu tahun iaitu sehingga mesyuarat agung tahunan yang berikutnya. Perkhidmatan pengarah syarikat yang sudah tamat boleh disambung semula dengan perlantikan baru. Pengarah syarikat terbahagi kepada 2 :-

1. Pengarah eksekutif
2. Pengarah bukan eksekutif

Pengarah eksekutif terdiri daripada pegawai dan pengurus yang bekerja dalam syarikat sepenuh masa. Mereka ini terlibat dengan hal-ehwal pengurusan secara langsung.

Pengarah bukan eksekutif terdiri daripada orang yang tidak terlibat secara langsung dalam pengurusan syarikat.

Daripada segi undang-undang, kewajipan yang dipikul oleh pengarah eksekutif dan pengarah bukan eksekutif pada syarikat yang mereka wakili adalah sama dan tiada perbezaan.Tugas dan tanggung-jawab utama lembaga pengarah terbahagi kepada 2 :-

1. Berkaitan dengan hal-ehwal syarikat. Contohnya, membantu pihak pengurusan menentukan hala tuju syarikat, menilai prestasi bisnes, memastikan perancangan dilaksanakan dan sumber hasil syarikat digunakan dengan betul serta membuat keputusan bagi kepentingan syarikat.

2. Memastikan syarikat melaksanakan kewajipan dan tanggung-jawabnya seperti dituntut oleh pihak berkuasa daripada segi undang-undang. Antaranya :-

i. Memastikan rekod perakaunan dan rekod kewangan syarikat disimpan dan diselenggara dengan betul.
ii. Memastikan rekod perakaunan diaudit oleh juruaudit bertauliah.
iii. Memastikan laporan tahunan syarikat difailkan kepada Pendaftar Syarikat.
iv. Memastikan segala keperluan dan tuntutan undang-undang pada syarikat dipatuhi. Contohnya, pengambilan pekerja asing secara halal.

Peranan pengarah syarikat adalah sama seperti mana peranan pemegang amanah. Amanah yang dipegang oleh pengarah syarikat adalah pada 3 pihak utama iaitu syarikat, pemiutang dan kakitangan syarikat.

Lembaga pengarah perlu bersikap jujur dan berkata benar bagi kepentingan syarikat. Ahli-ahli lembaga pengarah tidak boleh bertindak mengikut kepentingan peribadi masing-masing atau pun kehendak pihak tertentu di kalangan pemegang saham. Mereka tidak boleh menyalahgunakan kuasa dengan memihak kepada orang yang berkepentingan atau membuat keputusan yang diketahui dapat memudaratkan syarikat.

Seandainya syarikat menjadi insolvent atau tidak mampu membayar hutang-hutang, pengarah-pengarah syarikat memikul tanggung-jawab melunaskan hutang-hutang itu daripada sumber mereka sendiri. Lembaga pengarah juga perlu memastikan hak-hak pekerja seperti ditetapkan dalam undang-undang dilaksanakan oleh pihak syarikat.

Dipetik daripada buku saya, Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya, Bab 7, muka-surat 88-90.

Sunday, September 7, 2008

Seminar Isu-Isu Perniagaan Keluarga

Semalam, Sabtu, 6 September, 2008, saya dijemput memberi ceramah di Seminar Isu-Isu Perniagaan Keluarga anjuran Kolej Yayasan Melaka. Seminar itu dihadiri oleh semua pelajar semester 6 Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (BBA Hons) Program UUM/KYM.

Menurut En. Mohamad Ikhwan Bin Mohamed Azahar, Pengarah Seminar tersebut, program yang merupakan tugasan mereka bagi subjek 'PME 3035 Seminar Keusahawanan' disertai 180 orang pelajar.





Meski pun seminar diadakan pada sebelah petang (2-5), program ini berlangsung dalam suasana amat ceria. Sesi soal jawab juga mendapat respon sangat baik daripada para pelajar itu.

Hmmm, saya gembira dapat berkongsi ilmu dengan anak-anak muda belia di petang Ramadan yang mulia itu. Tambahan lagi apabila mereka sendiri tampak menyukai subjek keusahawanan. Mungkin juga sikap pensyarah mereka, En. Rosmizan Ali yang cool itu menjadikan program mendapat sambutan baik.

Saya membawa 25 naskah kedua-dua buku saya untuk dijual kepada mereka yang berminat. Tidak sangka pula ramai yang mahu memilikinya dan beratur mendapatkan tanda-tangan saya. Waduh, lengoh juga tangan saya dibuatnya (hihihi, perasan!).

Kepada anda semua, Selamat Berpuasa dan semoga bulan Ramadan yang penuh barakah ini menjadikan kita bertambah rajin melakukan ibadah bagi mendapat keredhaan Allah. s.w.t.

Thursday, September 4, 2008

Catatan Seminggu

Khamis, 28 Ogos, 2008

Telefon bimbit saya berbunyi jam 7:41 pagi. Nama penulis ngetop PTS yang kini menjadi selebriti tertera di skrin. Cuba teka siapa dia? Hmmm, siapa lagi kalau bukan Prof. Kamil, Pengarah UiTM Segamat. Waktu itu dia dalam perjalanan dari Segamat ke Shah Alam. Mungkin ketika melintasi Melaka, dia teringatkan saya.

Dengan suara ceria, Prof. Kamil berkata : Ini Kamil, Puan. Saya hendak beritahu, buku Travelog Haji cetakan ke 6 sudah keluar. Dalam buku itu ada dimasukkan ulasan Puan. Nanti Puan cari buku itu di kedai buku. Lalu dibacakannya petikan ulasan saya itu. Saya pun teringat semula e-mel yang dihantar kepadanya tahun lalu tentang ulasan buku ngetop itu.

Katanya lagi : Buku baru saya (tajuknya saya lupa) akan keluar tidak lama lagi. Dia bertanya khabar kerana lama tidak mendengar berita saya dan turut memberitahu Roza, isterinya, kini sudah menjadi pensyarah.

Lalu saya menjawab : Saya tahu, Prof. Sebenarnya saya selalu ke blog Prof. dan mengikuti perkembangan. Cuma saya tidak tinggalkan jejak. Prof. sekarang sangat ngetop, saya segan, hihihi! Jawab Prof. Kamil sambil tergelak : Itulah kawan-kawan semua sudah hilang...

Hmmm, saya geleng kepala. Prof. Kamil sudah beberapa kali memberi kejutan kepada saya. Ramadan tahun lalu, sehari selepas pelancaran buku Travelog Haji, dia menelefon saya. Waktu itu saya sekadar mengenalinya melalui blog dan beliau menjemput kami ke majlis pelancaran buku itu di UiTM, Shah Alam.

Pada pagi 28 Ramadan itu, Prof. Kamil menelefon untuk mengucapkan terima kasih kerana kami memenuhi undangannya dan memohon maaf kerana dia tidak sempat melayan kami. Katanya, dia melihat semula video rakaman pelancaran buku itu dan ternampak saya dan Zainal berdiri tercangak-cangak memerhatikan dia yang dikerumuni para tetamu.

Hujung tahun 2007, Prof. Kamil sekeluarga berkunjung ke rumah kami. Selepas itu dengan kesibukannya setelah berpindah ke Segamat, saya fikir dia sudah tidak ingat lagi kepada saya. Hmmm, rupa-rupanya dia masih ingat kepada saya yang belum ngetop ini...

Sabtu, 30 Ogos, 2008

Saya mendapat berita kematian ibu biras saya. Anim memberitahu ibunya meninggal di Seremban dan jenazah akan disemadikan di kampung mereka di Sg. Udang, Melaka. Tengahari itu saya dan Zainal ke rumah keluarga Anim. Ketika kami sampai, jenazah sedang dimandikan dan di ruang tamu berlangsung majlis membaca Yasin dan Tahlil. Jenazah yang siap dikafan kelihatan kecil dan leper. Melihat jenazah diusung ke masjid dan kemudian ke perkuburan sungguh menginsafkan hati saya.

Suatu hari kelak kita yang masih bernafas ini juga akan mengalami perkara yang sama. Tubuh kita juga akan terbujur kaku ketika diusung orang ke perkuburan. Semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh Allahyarhamha Makcik Aishah Zahari.

Selasa, 2 September, 2008

Makcik Putih berniaga di sebuah warung di Bukit Beruang. Dia dibantu anak terunanya yang dipanggil SiBoy. SiBoy itu bodoh-bodoh alang atau mengikut istilah sesetengah orang, wirenya short satu. Walau pun usia sudah menjangkau lewat 20an, gayanya bercakap macam budak-budak dan tampak lembik. Dengan tubuhnya yang besar, SiBoy kelihatan lucu. Namun begitu dia sangat menghormati pelanggan.

Di Masjid MITC selepas solat tarawikh, ketika orang berpusu-pusu keluar, saya terpandang seorang lelaki berkopiah dan bertubuh besar menunggu di balik tiang. Tiba-tiba pemuda itu memaut tangan seorang wanita bertelekung. Diciumnya tangan wanita itu, kemudian dicium pipi kanan dan kiri. Wanita itu terus memaut tangan sipemuda. Mereka saling berpimpin-pimpin di celah-celah orang ramai.

Wanita itu tidak lain tidak bukan ialah Makcik Putih dan pemuda yang memeluk bahunya bagi melindunginya daripada rempuhan orang ramai ialah SiBoy. Aduhai, hati saya amat tersentuh. Bertuahnya Makcik Putih memiliki seorang anak sesetia SiBoy. Tiba-tiba saya merasakan SiBoy itu sungguh istimewa. Sejuk perut ibumu, Boy!

Rabu, 3 September, 2008

Jam 3:45 pagi saya terjaga ketika mendengar injin kereta dihidupkan. Tanpa berlengah saya bangun dan membersihkan diri, kemudian memanaskan makanan di dapur. Selepas bersahur, kami menghantarnya ke halaman rumah. Dia memasukkan ke bonet kereta sebuah bakul berisi pakaian sudah dicuci, sebuah oven dan sebuah beg berisi 2 biji pinggan, sebiji mangkuk, mug dan sudu garfu. Juga sepeket ketulan-ketulan ayam Farmbest dan sekotak sambal goreng ikan bilis.

Jam 4:30 pagi Alum mula bertolak kerana perlu sampai ke tempat kerjanya di Pasir Gudang sebelum 8:00 pagi. Saya berpesan : Jangan lupa solat subuh. Dia menjawab : Hmmm. Saya berpesan lagi : Sampai sana, buat apa? Terus dijawabnya : Hantar sms pada Mak.

Zainal tersenyum melihat gelagat kami dua-beranak. Sambil keretanya meluncur keluar, saya memanjatkan doa yang tidak putus-putus : Ya Allah, selamat anakku dalam perjalanannya. Selamat anakku daripada malapetaka. Selamatkan anakku di mana jua dia berada. Amin.