Tuesday, November 11, 2008

SDSI Showcase 2008

Pameran SDSI (Satu Daerah Satu Industri) diadakan pada 7 hingga 9 November, 2008 di MITC, Melaka. Mengikut lapuran berita, ia disertai lebih 600 syarikat daripada seluruh Malaysia. Sambutan daripada para pengunjung juga dilapur sangat memberangsangkan. Saya ke sana pada hari terakhir (Ahad) dan memang benar, dewan pameran penuh sesak sehingga lewat petang. Pada pandangan saya, tempoh pameran selama 3 hari itu agak singkat. Diharap pada masa hadapan pihak penganjur dapat melanjutkan pameran tahunan ini sekurang-kurangnya 5 hari.

Penganjuran Showcase SDSI adalah satu usaha yang wajar diberi pujian. Bagi saya, ia berjaya mendekatkan hati masyarakat dengan produk -produk keluaran tempatan dan hasil bumi kita sendiri. Ia juga menimbulkan perasaan bangga di hati apabila melihat majoriti gerai pameran diwakili usahawan-usahawan Melayu yang gigih mempromosi produk masing-masing.

Jika pada suatu masa dahulu bidang bisnes kurang diminati orang Melayu, kini keadaan sudah berubah. Bidang bisnes semakin menjadi pilihan dan membudaya di kalangan orang-orang Melayu. Pelbagai jenis produk berkualiti dipamer dan dijual termasuk hasil pertanian seperti burung puyuh (daging), serunding cendawan, jeruk dan jus roselle, kek lapis Sarawak, jus manjakani, hasil anyaman, tenunan, batik, manik, sulaman, parang (produk Sabah), hiasan lanskap, pokok bonsai, ternakan ikan cara oceantronic, cokelat dan produk-produk herba seperti pecah beling, misai kucing dan hempedu bumi.

Paling menarik minat saya dan Zainal sudah pastilah produk hasilan mas cotek. Tidak dapat dinafikan herba ini sangat menyerlah dan khasiatnya bagi menjaga kesihatan semakin diperakui di kalangan masyarakat tempatan. Saya mengambil kesempatan membuat survey harga teh mas cotek di pameran ini. Hasil survey harga saya daripada 3 buah gerai seperti berikut...

Harga sekotak berisi 12 uncang teh mas cotek
Gerai A = RM10
Gerai B = RM7
Gerai C = RM10 (jika dibeli 2 kotak)


Secara logik harga yang paling murah pasti menarik hati pembeli. Namun tidakkah cara begini menjejaskan harga mas cotek di pasaran dan menguntungkan satu pihak sahaja? Jadi apakah cara terbaik supaya semua peniaga produk ini dapat sama-sama menikmati untung? Saya sarankan mereka menubuhkan satu persatuan supaya boleh duduk semeja dan berbincang bagi menetapkan satu harga yang dapat dipersetujui bersama.

1 comment:

  1. Satu pemain menguasai pasaran dinamakan monopoli

    Beberapa pemain menguasai pasaran dinamakan oligopoli. Ologipoli menjadi monopoli apabila pemain-pemain itu berpakat membentuk kartel. Kartel ialah satu bentuk monopoli.

    Banyak pemain dalam pasaran - pasaran bebas

    Persaingan yang sihat menguntungkan pembeli kerana pembeli boleh mendapat harga murah dan produk yang berkualiti. Ia sukar didapati dalam suasana monopoli melainkan pemain mempunyai rasa tanggungjawab sosial yang tinggi.

    Dalam pasaran bebas, menurunkan harga meningkatkan untung. Bukan sebaliknya. Ini tidak difahami oleh ramai yang baru menceburi bisnes mahupun yang sudah lama dalam bisnes. Dalam kerangka pemikiran ini, ramai yang tersungkur apabila mereka tidak mampu bersaing. Strategi bersaing yang paling utama ialah kos dan kualiti.

    Cara yang terbaik bukannya peniaga produk dapat sama-sama menikmati untung. Cara yang terbaik ialah supaya peniaga dan pembeli sama-sama mendapat manfaat.

    Bilakah bisnes akan maju apabila peniaga sentiasa bersikap mahu memonopoli pasaran dan memaksa pembeli menerima apa yang peniaga mahu? Dalam beberapa keadaan ia mungkin berhasil. Namun pengaruh globalisasi berupaya menyusahkan peniaga yang bersikap mahu memonopoli pasaran.

    Idea paling mudah ialah dengan menyeru kerajaan supaya mengenakan pelbagai peraturan untuk meyekat pesaing dari peringkat global. Pada masa yang sama pembeli dipaksa menerima harga dan kualiti yang telah ditetapkan. Cara ini mungkin dapat membantu peniaga. Namun cop 'jaguh kampung' pada dahi mereka akan terus berkekalan.

    ReplyDelete