Friday, February 29, 2008

Entrepreneurship Gaya Muhammad Rasulullah Saw.

Tuan Sabtu menghadiahkan saya sebuah buku bisnes yang dibelinya di Jakarta baru-baru ini. Buku itu bertajuk 14 Langkah Bagaimana Rasulullah Saw. Membangun Kerajaan Bisnis. Ia hasil tulisan Laode M. Kamaluddin, seorang pakar ekonomi antarabangsa yang juga Presiden Trustschool dan CEO International Eco Rescue Ltd.

Initisari 14 langkah itu seperti berikut (disalin mengikut gaya bahasa asli buku itu) :-

  1. Belajar makna kebebasan di sekolah alam.
  1. Belajar hidup mandiri sejak dini.
  1. Mengasah jiwa kepemimpinan sejak kecil.
  1. Menghargai perjalanan proses.
  1. Menjadi pribadi tahan banting yang siap menghadapi perubahan hidup.
  1. Memupuk dan memiliki keberanian.
  1. Berani berpetualang.
  1. Memiliki loyalitas.
  1. Memiliki ketekunan ekstra (istiqaamah).
  1. Selalu percaya diri.
  1. Memiliki sifat egaliter dalam membangun jaringan.
  1. Memiliki sikap dan selalu berempati pada orang lain.
  1. Berani bersikap bijaksana.
  1. Mempercayai God Factor dengan selalu berdoa padaNya.

Thursday, February 28, 2008

Kursus Teknikal Mas Cotek















Lanjutan daripada Program Padanan Perniagaan Industri Herba yang diadakan pada 21-22 November, 2007 lalu di Menara PKNS, PJ, disusuli dengan lawatan ke ladang-ladang mas cotek pada 6 Disember, 2007 di Batu Pahat, kini sampailah ke fasa ketiga iaitu kursus teknikal penanaman dan pemprosesan lepas tuai mas cotek. Kursus ini akan diadakan di Pusat Pertanian Lundang, Kota Bahru, Kelantan pada 4-5 Mac, 2008. Saya dan Zainal akan menghadiri kursus ini.

Sebelum ke KB, insyaAllah, kami akan singgah di Terengganu pada Ahad ini untuk bertemu beberapa orang pelanggan tetap yang majoriti berniaga di Kuala Berang. Sudah bertahun-tahun mereka melanggan Kawat Duri High Tensile daripada kami. Oleh kerana jarak yang jauh, kami dan mereka sekadar berurusan melalui telefon dan faks. Biasanya mereka membuat tempahan, kemudian wang dimasukkan ke akaun bank kami dan slip bank difakskan sebagai bukti. Seterusnya kami menyewa lori untuk menghantar Kawat Duri HT itu kepada mereka. InsyaAllah Ahad ini kami akan bertemu pelanggan-pelanggan setia ini sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bahru.

Gambar-gambar di atas : daun mas cotek (jenis jantan dan betina) yang sudah dituai dan dikeringkan termasuk akar dan buahnya (juga diasing dan dikeringkan). Semuanya (daun, buah dan akar) akan dikisar dan dicampurkan dalam kadar tertentu untuk dijadikan ramuan bagi mas cotek uncang dan ekstrasi minyaknya.

Morning Walk

Seperti biasa saya dan Zainal ke Taman Botanikal pagi ini. Selesai berjalan laju satu pusingan, kami bertembung dengan Mr. Tan. Kali ini dia bukan saja bersama isterinya tetapi ada 2 pasangan lain bersama mereka. Pasangan Tan itu adalah antara kenalan yang sama-sama beriadah di TB sejak beberapa tahun lalu.

Dia memperkenalkan kawan-kawannya kepada kami. Kesemuanya berusia antara 60an dan 70an. Kawan Mr. Tan berkata : Orang tua macam kami kena jaga 3 perkara. Jikalau 3 perkara ini dijaga betul, badan boleh sihat. Kalau tidak, kena sediakan duit ubat. No. 1, makan mesti betul. No. 2, tidur mesti betul. No. 3, berak mesti betul! Semua yang masuk mesti keluar balik. Kalau tidak, kita sakit!

Sambil berjalan seiring, Mr. Tan meluahkan rasa hatinya : Tempat ini sekarang sudah bagus. Kerajaan buatkan untuk kita selesa. Sayang sekali sikap orang kita suka langgar peraturan. Di depan sana ada tulis kenderaan tidak boleh masuk. Jalan alternatif sebelah belakang disediakan untuk kenderaan. Tapi tengoklah, sikap orang Malaysia. Ramai tidak ambil peduli. Tempat laluan ini pun kereta masuk juga.

Di kawasan parkir kereta, kami bertembung dengan seseorang yang sangat dikenali di Melaka ini. Dia segera menyapa kami dan bersalam-salaman. Mr. Tan yang peramah itu bertanya : Datuk Seri datang seorangkah? Dia tersenyum sambil berkata : Malaysia ini selamat. Apa hendak takut? Sebelum berlalu dia berpesan : Jangan lupa tunaikan tanggung-jawab mengundi.

Tidak sangka hari ini kami bertemu Ketua Menteri Melaka bersendirian di TB. Menurut Mr. Tan dia pernah terserempak dengan Datuk Ali berjogging sebelum ini. Dengar cerita beliau turut menjengah keadaan tandas di sana. Bagus juga KM buat spot check seperti itu. Pokok-pokok bunga di TB pun sudah banyak yang layu dan kekeringan...

Tuesday, February 26, 2008

Adakah Anda Bersikap Terbuka?

Antara ciri penting yang perlu dimiliki seorang usahawan ialah bersikap terbuka. Ingin tahu sama ada sikap anda benar-benar terbuka? Cuba jawab 'Ya' atau 'Tidak' kepada 10 perkara berikut :-

  1. Saya boleh menerima idea orang lain.
  1. Saya lebih banyak mendengar daripada bercakap.
  1. Apabila mendapat maklumat baru yang lebih baik, saya bersedia mengubah pendapat yang selama ini dipegang.
  1. Saya bersedia mengakui kesilapan.
  1. Saya akan memahamkan dan menghayati kedudukan sesuatu perkara sebelum mengambil tindakan.
  1. Saya suka bertanya.
  1. Saya tidak malu bertanya sesuatu meskipun perbuatan itu akan mendedahkan kejahilan saya.
  1. Saya sanggup membuat sesuatu mengikut cara lain yang bukan kebiasaan saya.
  1. Saya bersedia meminta tunjuk-ajar dan panduan orang yang lebih tahu.
  1. Saya tidak bersikap defensif apabila dikritik, malah sanggup menerima kebenaran meski pun ia pahit.

Jika anda menjawab ‘YA’ kepada SEMUA soalan di atas, anda sebenarnya seorang yang sangat bersikap terbuka. Tahniah buat anda!

Sekiranya anda menjawab ‘TIDAK’ kepada satu soalan atau lebih, masih ada ruang untuk anda melembutkan sikap dan ego. Bak kata orang bijak pandai : Apa yang kita tahu sebenarnya kita pelajari daripada orang lain!

Dipetik daripada buku bertajuk Talent Is Never Enough tulisan John C. Maxwell.

Monday, February 25, 2008

Pelanggan Membeli 'Convenience'

Rumah baru En. Hakim sudah siap dibina. Pada suatu petang beliau dan isterinya, Puan Rashidah mengunjungi sebuah kedai menjual lampu di bandar. Di kawasan itu terdapat 2 buah kedai menjual lampu. Bagaimana pun pasangan itu teringin sangat hendak mengunjungi kedai yang pertama. Mereka selalu mengintai-intai daripada luar kedai itu dan tertarik dengan berbagai jenis lampu yang terpasang di dalamnya.

Apabila melangkah masuk, pasangan itu terpesona dengan kecantikan lampu-lampu yang dipamerkan. Bagaimana pun kebanyakkan lampu-lampu itu sudah bertanda SOLD. Apabila bertanya kepada jurujual, mereka dimaklumkan bahawa stok lampu-lampu bertanda SOLD itu sudah habis. Jurujual memberitahu, lampu-lampu itu jika hendak ditempah, memerlukan masa lebih-kurang sebulan.

Jurujual kemudian mengesyorkan supaya En. Hakim dan Puan Rashidah naik ke tingkat atas untuk melihat lampu-lampu yang lain. Lampu-lampu di bilik pameran atas tidak kurang cantiknya. En. Hakim meminta jurujual memetik suis bagi sebuah chandelier yang dia berkenan. Malangnya mentol-mentol lampu itu tidak menyala pula. Menurut jurujual, mentol-mentol baru tidak dipasang kerana kehabisan stok.

Puan Rashidah tertarik hati dengan sebuah lampu bilik tidur dan ingin membeli sepasang. Malangnya stok yang ada hanya satu. Sekali lagi beliau merasa hampa. En. Hakim dan Puan Rashidah terpaksa meninggalkan kedai itu tanpa membeli apa-apa. Mereka kemudian singgah di kedai lampu yang kedua. Di sana harga lampu-lampu yang dipamerkan jauh lebih murah dan banyak pula pilihan.

Jurujual di kedai kedua menunjukkan berbagai jenis lampu kepada mereka. Apabila satu demi satu suis dipetik, pasangan itu bersorak gembira kerana terpesona dengan kecantikan lampu-lampu itu. Setelah berpuas hati mereka pun duduk berbincang dengan jurujual. Keseluruhannya nilai lampu-lampu yang mereka beli di kedai kedua itu ialah RM3,000.

Itu belum lagi termasuk nilai beberapa unit kipas angin dan water heater. En. Hakim dan Puan Rashidah turut mendapatkan khidmat juruletrik yang disediakan oleh kedai kedua itu. Dalam tempoh seminggu semua kerja pemasangan lampu dan barangan letrik lain di rumah baru mereka siap sempurna.

Iktibar untuk peniaga :-

1. Pelanggan yang datang ke kedai kita bukan saja ingin membeli barang. Mereka juga ingin 'membeli' convenience iaitu keselesaan dan kemudahan.

2. Antara convenience yang sangat disukai pelanggan ialah produk-produk yang dijual banyak pilihan, stok mencukupi, masa tempahan pendek, susunatur kedai memudahkan pelanggan mengambil barangan, khidmat penghantaran disediakan, servis jurujual cekap, kaunter bayaran banyak dibuka, servis sampingan disediakan dan kemudahan parkir percuma.

3. Sebagai contoh, elemen convenience yang disediakan KFC dan McD ialah akses drive-in. Jika anda tersangat lapar dan ingin segera mengalas perut tanpa perlu menunggu lama, tentu sekali akses drive-in ini pilihan terbaik.

Sunday, February 24, 2008

Memori Manis















Sempena hari istimewa, pagi semalam saya menanam sepasang pokok mas cotek jenis daun lebar dipanggil ‘telinga gajah’ (atau 'telinga kera'?). Di beli di Batu Pahat beberapa bulan lalu, baru semalam dialihkan daripada poli beg ke dalam pasu. InsyaAllah jika panjang umur, pada hari istimewaku tahun depan, diharap kedua-duanya sudah rimbun.

Meski pun umur sudah mendekati setengah abad, hatiku masih mahu dirai-raikan pada hari istimewa… Sekeping kad dan sejambak bunga daripada Zainal, jamuan kecil diadakan adikku Donut bersama Mak, Kak Long, Yin & Etui, hadiah buku pemberian adik iparku, Mehmet, panggilan telefon daripada kakak ipar, Kak Pah, kiriman-kiriman emel dan sms serta ucap selamat daripada kawan-kawan dan kenalan bloggers... semuanya ku syukuri dengan Alhamdulillah.

Buah hatiku, Alum, yang berada di UTP mengirim sms berbunyi : Remember Mak, your middle name is ‘confident’… Saya tersenyum mengenangkan anakku yang sudah dewasa pandai pula memberi nasihat kepada ibunya. Tidak kurang menghiburkan hatiku ialah kad maya kiriman Azlanlin, kenalan blogger yang kreatif dari Kluang, Johor.

Dan teristimewa ialah entri Puan Sifu PTS di laman UNIKA. Puan Ainon yang amat dikasihi menjadikan blog ini sebagai blog pilihan Sifu. Terima kasih Sifuku! Juga terima kasih buat anda semua… Terima kasih di atas ingatan dan doa-doamu buat saya. Semoga Allah makbulkan, insyaAllah.

Friday, February 22, 2008

Comek Lilac

Comek ialah anak sotong. Warnanya jernih seakan-akan ungu muda. Budak kecil (di dalam gambar) yang di kanan sekali itu dipanggil Si Comek oleh ibu dan bapanya.

Menurut mereka, wajah anak kecil itu mirip seekor anak sotong. Mmmm… apabila diamat-amati memang dia ada iras-iras anak sotong sebab mukanya selalu saja mencemik…

Gambar ini diambil pada tahun 1961 di Kampung Bugis, Singapura. Di sebelah Si Comek ialah kakaknya. Kanak-kanak yang berdua lagi itu adalah kawan-kawan mereka, Mamat dan Yayah. Ketika gambar ini diambil, Si Comek berusia 1 tahun.

Esok, 23 Febuari, 2008, insyaAllah, Si Comek akan menyambut hari jadinya yang ke 48. Rasanya sudah tiba masanya dia digelar Si Kurita, sotong gergasi! Masakan masih layak dia dipanggil Si Comek. Aduhai, dia sudah tidak cocok lagi dengan nama secomel itu… Cepat sungguh masa berlalu. Pejam celik, pejam celik, sudah semakin antik Si Comek itu.

Itulah wajahku 47 tahun yang lalu. Saya paparkan gambar ini buat merenung diri bahawa pada suatu hari dahulu diriku juga hanya seorang anak kecil yang sangat lemah. Tanpa belas kasihan ibu dan bapaku yang membesarkan dengan penuh kasih-sayang, masakan dapat saya menikmati hidup dan menjadi seorang insan seperti hari ini.

Tarikh 23 Febuari diingati bukan sahaja kerana ia hari jadi saya. Tarikh itu juga terpahat di nisan adik saya, Mazby, yang kembali ke rahmatullah pada tahun 1984. Sudah 24 tahun dia pergi meninggalkan kami. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya dan di tempatkan bersama orang-orang yang beriman, insyaAllah.

Thursday, February 21, 2008

Lagi Tentang Syarikat Sdn. Bhd.

Permohonan anda untuk menubuhkan syarikat Sdn. Bhd. akan dihantar oleh setiausaha syarikat anda kepada Pendaftar Syarikat yang kini dikenali sebagai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Apabila permohonan itu sudah lulus dan bayaran pendaftaran dijelaskan, anda akan diberikan dokumen-dokumen berikut oleh setiausaha syarikat anda :-

  1. Form 24 : Return of Allotment of Shares
  2. Form 48A : Appointment of Directors
  3. Form 49 : Return Giving Particulars of Directors, Manager & Secretaries and Changes
  4. Memorandum & Articles of Association (M&A) – untuk ditandatangan
  5. Minit Mesyuarat yang pertama

Anda bolehlah memulakan perniagaan Sdn. Bhd. itu. Form 24, Form 49 dan M&A adalah dokumen penting bagi syarikat Sdn. Bhd. Anda akan selalu menggunakan dokumen itu. Contohnya ketika anda hendak membuka akaun bank, memohon pinjaman, membeli kenderaan, mendaftar di Kementerian Kewangan, memasuki pelawaan tender dan sebagainya.

Anda boleh menambah modal berbayar syarikat anda (yang pada asalnya hanya RM2). Pertambahan modal berbayar boleh dibuat dalam bentuk tunai atau harta (in cash or in kind). Harta yang dimaksudkan itu seperti tanah, bangunan, kenderaan, mesin dan jentera. Harta itu perlu diberi satu nilaian dan nilainya itu dijadikan jumlah tambahan kepada modal berbayar.

Harta tersebut kemudian menjadi milik syarikat Sdn. Bhd. anda. Pertambahan modal berbayar perlulah didaftarkan di SSM. Semua urusan itu akan diuruskan oleh setiausaha syarikat. Anda hanya perlu memberitahu butir-butirnya dan dia akan menyediakan resolusi untuk anda dan pengarah yang lain tandatangani.

Semua keputusan penting yang dibuat dalam syarikat anda seperti hendak menambah modal dibenarkan, menambah modal berbayar, membeli bangunan, menjual kenderaan, menukar pengarah syarikat dan memeterai sesuatu perjanjian perlu dibincangkan bersama semua pengarah syarikat. Kemudian satu resolusi disediakan dan ditandatangan oleh mereka menandakan keputusan itu dibuat dan dipersetujui bersama.

Apa itu M&A? Memorandum & Articles of Association adalah satu lagi dokumen penting dalam syarikat Sdn. Bhd. Ia mengandungi 2 bahagian iaitu :-

  1. Memorandum of Association
  2. Articles of Association

Memorandum of Association mengandungi maklumat tentang aktiviti-aktiviti bisnes yang boleh dijalankan oleh syarikat Sdn. Bhd. anda.

Articles of Association pula mengandungi maklumat berkaitan tadbir-urus syarikat berhubung dengan saham, mesyuarat agung tahunan (MAT), perlantikan pengarah syarikat, setiausaha syarikat, cap mohor, akauns, keuntungan dan penggulungan syarikat.

Tuesday, February 19, 2008

Bagaimana Menubuhkan Syarikat Sdn. Bhd.

Sekiranya anda ingin menjalankan bisnes, anda perlu menubuhkan sebuah syarikat. Biasanya di peringkat awal anda akan menubuhkan sebuah syarikat bertaraf enterprais. Anda mempunyai 2 pilihan iaitu sama ada menubuhkan :-

1. Syarikat milikan tunggal, atau pun

2. Syarikat perkongsian.

Selain itu, anda juga boleh terus memulakan sebuah syarikat Sdn. Bhd. Syarikat enterprais dan syarikat Sdn. Bhd. mempunyai beberapa ciri berbeza. Kos menubuhkan syarikat enterprais jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kos memperbadankan sebuah syarikat Sdn. Bhd. Prosedur menubuhkan syarikat enterprais juga lebih mudah. Mengapakah begitu?

Sebab pertama ialah syarikat enterprais biasanya bermodal kecil sementara syarikat Sdn. Bhd. modalnya lebih besar. Oleh kerana itu, syarikat Sdn. Bhd. adalah entiti bisnes yang lebih kukuh dan selamat berbanding syarikat enterprais. Ciri ‘kukuh dan selamat’ di sini bermaksud syarikat Sdn. Bhd. diurus tadbir mengikut kawalan undang-undang iaitu tertakluk kepada Akta Syarikat, 1965.

Urusan menubuhkan sebuah syarikat Sdn. Bhd. biasanya dilakukan oleh sebuah syarikat setiausaha (secretarial company). Anda boleh mendapatkan khidmat syarikat ini dengan melantik mereka sebagai setiausaha syarikat. Semua syarikat Sdn. Bhd. perlu mempunyai setiausaha syarikat. Bagi menubuhkan syarikat Sdn. Bhd. anda perlu mengambil langkah-langkah berikut :-

  1. Pilih 3 nama yang sesuai dan susun mengikut prioriti (nama yang paling disukai letak di atas sekali).

Apabila permohonan anda diproses, Pendaftar Syarikat akan menyemak sama ada nama-nama yang anda pilih itu sudah wujud dan digunakan oleh syarikat lain. Jika ya, mereka akan memilih nama lain berdasarkan pilihan kedua dan ketiga anda.

  1. Fotostat kad pengenalan bagi 2 orang yang akan menjadi pemilik saham sekaligus juga bertindak sebagai pengarah syarikat anda.

Semua syarikat Sdn. Bhd. yang hendak ditubuhkan bermula dengan modal berbayar RM2 dengan 2 orang pemilik saham.

  1. Nyatakan aktiviti utama yang akan dijalankan oleh bisnes anda.
  1. Sediakan bayaran antara RM2,300 hingga RM2,500 untuk pendaftaran syarikat.

Amaun bayaran ini adalah berdasarkan jumlah ‘Modal Dibenarkan’ (authorized capital) sebanyak RM100,000 iaitu jumlah minima ketika penubuhan syarikat Sdn. Bhd.

Bersambung…

Monday, February 18, 2008

Ada-ada saja

Seorang cikgu bercerita pengalamannya menunaikan haji baru-baru ini. Di Makkah, beliau tinggal sebilik dengan beberapa orang termasuk seorang eksekutif bujang berusia 30 tahun. Setiap pagi lelaki muda itu liat sungguh untuk bangun solat subuh. Apabila dikejutkan untuk ke masjid, dia akan berkata : Nanti saya bangun. Cikgu pergilah dulu.

Hampir setiap hari orang muda itu bersolat subuh di dalam bilik sahaja. Seperti biasa pada suatu pagi, dalam perjalanan balik dari masjid, Si Cikgu dan teman-teman sebiliknya yang lain singgah minum di kedai. Ketika mereka sampai semula di bilik, eksekutif muda itu baru terjaga. Sambil terpisat-pisat menggosok mata, beliau bertanya : Cikgu, subuh ada lagikah?

Cikgu itu tersenyum kambing. Dengan selamba dia menjawab : Ada, besok pagi, insyaAllah!


Saturday, February 16, 2008

You Tak Pergi Salun???

En. Md. Dom menjalankan bisnes insuran. Sebagai ejen dan pakar runding insuran selama lebih 10 tahun, beliau mempunyai ramai pelanggan tetap terdiri daripada tauke dan pemilik pelbagai bisnes. Salah seorang daripada pelanggan utama En. Md. Dom ialah Puan Melisa, tuan punya sebuah syarikat pembinaan.

Puan Melisa seorang usahawan yang baik hati. Sejak mengenali En. Md. Dom dan mendapati perkhidmatan beliau amat bagus, Puan Melisa terus memberi peluang bisnes kepadanya. Setiap tahun, beliau menyerahkan semua urusan insuran syarikatnya yang meliputi insuran pembinaan, insuran lori dan kenderaan lain, insuran kebakaran, insuran pekerja dan sebagainya kepada En. Md. Dom.

Puan Melisa berpendapat lebih baik beliau menyokong En. Md. Dom kerana dengan cara itu dapat membantu anak-bangsa dan saudara seagamanya sendiri. Beliau turut merekomen En. Md. Dom kepada rakan-rakan bisnesnya yang lain. En. Md. Dom sangat menghargai bantuan Puan Melisa dan hubungan mereka menjadi bertambah mesra.

Pada suatu hari, En. Md. Dom datang ke syarikat Puan Melisa untuk menyerahkan dokumen. Kebetulan pada waktu itu, staf Puan Melisa yang ingin ditemuinya sedang keluar minum. Melihat En. Md. Dom menunggu agak lama, Puan Melisa yang baru selesai mengerjakan solat dhuha keluar menjemput En. Md. Dom masuk ke pejabatnya.

Mereka berbual-bual tentang kereta. Kebetulan Puan Melisa sangat meminati Volvo. Begitu juga dengan En. Md. Dom. Topik Volvo itulah yang selalu dibualkan setiap kali mereka bertemu. En. Md. Dom faham sangat dengan minat Puan Melisa itu dan beliau mengambil peluang membina hubungan-baik dengan Puan Melisa dengan bercerita macam-macam tentang model Volvo yang lama dan baru.

Melihat mood Puan Melisa yang sangat baik lagi mesra itu, En. Md. Dom pun berkata : Puan Melisa, jika saya beritahu sesuatu, puan marahkah? Saya ini kasihan dengan puan. Sudah lama saya ingin beritahu hal ini tetapi saya rasa serba-salah hendak bercakap. Manalah tahu nanti puan tidak suka dengar pula.

Puan Melisa sedikit terkejut mendengar kata-kata En. Md. Dom itu. Namun beliau tersenyum dan bertanya apa perkara yang hendak diperkatakan itu. En. Md. Dom berdehem lalu berkata : Saya lihat puan ini selalu tidak bersolek. Kenapa? Kulit muka puan nampak kering. Puan pergilah ke salun buat rawatan muka. Isteri saya selalu buat rawatan facial. Orang perempuan kena jagalah bab muka ini.

Puan Melisa terdiam seketika. Kemudian dengan wajahnya tersenyum manis beliau menjawab : Tadi saya ambil wudhu’ sebab hendak solat dhuha. Inilah sebabnya tidak berbedak. Terima kasihlah En. Md. Dom beritahu saya hal ini. Oya, lihat di luar sana, staf saya sudah sampai. En. Md. Dom bolehlah berjumpa dia sekarang.

En. Md. Dom pun meminta diri. Sejak hari itu, Puan Melisa tidak pernah lagi menegur mesra En. Md. Dom apabila terserempak dengannya di pejabat. Beliau sekadar tersenyum dan mengangguk sahaja. Secara berperingkat, urusan insuran juga diarahkan oleh Puan Melisa kepada staf beliau supaya dibuat dengan orang lain. Akhirnya bayang En. Md. Dom pun tidak pernah lagi kelihatan di pejabat Puan Melisa.

Iktibar buat peniaga :-

  1. Perlu diingati bahawa pelanggan adalah BIG BOS. Dia perlu sentiasa dihormati sebagai orang yang DI ATAS kita.
  1. Meski pun pelanggan bersikap mesra, jangan samakan dia seperti kawan baik kita. Biarlah dia hendak beramah-tamah tetapi kita sendiri perlu tahu diri. Jangan pula lupa bahawa dia yang menentukan periuk nasi kita berasap atau tidak. Ibaratkan dia seperti TUAN sementara kita pula KULI.
  1. Kita perlu kenal SIAPA yang membuat keputusan penting dalam syarikat pelanggan kita. Hati ORANG yang menanda-tangan cek yang bakal kita terima itu perlu dijaga dengan baik. Berhati-hatilah supaya tidak mengucapkan kata-kata atau melakukan sesuatu yang boleh menyinggung perasaan ORANG itu.

Thursday, February 14, 2008

Markona, Kona, Kona Baring!

Saya ada seorang kawan bernama Markona. Nama manjanya Kona Baring (corner baring)! Markona masih solo dan beliau banyak duit kerana menjalankan bisnes kecantikan dan spa di 3 buah tempat di Kuala Lumpur. Baru-baru ini ketika kami bertemu Markona kelihatan amat muram.

Menurut Markona, dia baru kehilangan RM50,000. Terbeliak mata saya mendengar cerita bagaimana wang sebanyak itu lesap dalam tempoh 4 bulan. Menurut Markona dia telah menjual 2 buah bisnes spanya untuk mengumpulkan wang RM50,000 itu yang kemudian dijadikan modal bagi menubuhkan sebuah bisnes baru.

Bisnes barunya ialah sebuah restoran makanan barat. Menurut Markona adik saudaranya, Mazli, yang pernah bertugas sebagai chef di sebuah hotel mencadangkan idea bisnes itu. Mazlilah yang mereka-bentuk konsep restoran dan menu makanan serta bertindak sebagai pengurus. Markona menyerahkan segala kerja menubuhkan restoran itu kepada Mazli. Restoran Markona terletak di sebuah kedai 2 tingkat yang disewa RM1,200 sebulan.

Tingkat atas restorannya sepatutnya diubahsuai menjadi sebuah pusat spa. Malangnya renovasi masih tidak siap kerana Mazli memberitahu wang yang ada di tangannya sudah habis. Ekoran daripada soal-selidik Markona yang bertalu-talu, Mazli berkecil hati dan mengambil keputusan menarik diri. Markona pening kepala kerana modal bisnes itu ditanggung dirinya seorang. Mazli tidak keluar sesen pun.

Sambil menyapu airmatanya Markona berkata : Sekarang pusat spa aku hanya ada satu. Cukup-cukup makan sahaja. Habis musnah segala usaha aku selama ini. Restoran itu pula tidak berapa jalan. Hendak dapat RM300 semalam pun susah. Aku sakit kepala fikirkan duit RM50,000 hangus sekelip mata. Mazli sudah cuci tangan. Bayang dia pun tidak nampak lagi.

Markona menunjukkan jari-jemarinya kepada saya sambil berkata : Tengoklah tangan aku ini. Sudah kasar dan kering. Dulu kuku-kuku aku semua berkilat. Tangan-tangan aku halus semasa duduk di spa. Aku tidak biasa buat kerja masak-memasak tetapi sudah terpaksa. Hendak tutup restoran ini terasa sayang. Modal sudah banyak habis di sini. Bak kata pepatah, sayang2 buah kepayang. Dimakan pahit, hendak buang, sayang.

Saya memujuk Markona supaya bersabar. Sesiapa pun yang berada di tempat Markona akan merasa kecewa dan kesal. Namun apakan daya. Nasi sudah menjadi bubur. Sebelum kami berpisah, saya menghadiahkan buku-buku saya, Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya dan 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia kepada Markona.


Iktibar buat peniaga :-

  1. Menurut Datuk Maznah Hamid, modal yang paling penting dalam bisnes bukanlah duit tetapi diri sendiri. Kita sendirilah yang perlu serba-tahu segala selok-belok bisnes yang mahu diceburi.
  2. Sebelum memilih jenis bisnes yang ingin diceburi, kita perlu membuat analisis ke atas diri sendiri. Adakah kita betul-betul minat? Atau kita termakan cakap-cakap manis orang? Sesuaikah bisnes itu dengan personaliti kita? Bersediakah kita untuk memberi komitmen 100% dan menghadapi segala kemungkinan (buruk dan baik)?
  1. Menceburi bisnes dengan tiada kemahiran mengendalikannya melibatkan risiko besar. Jika orang berpengalaman seperti Markona pun pening, apa tah lagi orang yang tiada pengalaman langsung dalam bisnes. Tinggi risikonya apabila kita mengharap kepada orang lain sepenuhnya untuk mengurus bisnes kita.
  1. Lebih baik melabur sebahagian modal untuk menghadiri kursus-kursus berkaitan yang dapat meningkatkan kemahiran sendiri dalam bisnes baru yang ingin diceburi.

Tuesday, February 12, 2008

Memikat Hati Pelanggan Versi Datuk Maznah Hamid

Datuk Maznah Hamid adalah usahawan pertama yang saya temuramah untuk buku 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia. Dalam pertemuan lebih 2 jam dengan The Iron Lady itu, beliau berkongsi banyak kisah bisnes. Antara yang menarik ialah cerita-cerita bagaimana beliau memberi layanan istimewa kepada para pelanggannya.

Sebagai seorang yang terlibat dalam bisnes keselamatan, ramai di kalangan pelanggan Datuk Maznah adalah orang-orang bisnes yang kaya-raya. Pada suatu malam, Datuk Maznah dikejutkan daripada tidur nyenyaknya oleh satu panggilan telefon. Pemanggilnya seorang tauke besar berbangsa Cina yang juga bergelar Datuk. Tauke itu kedengaran sangat tidak tenteram. Dia berkata demikian : Datuk, saya tidak boleh tidur. Hati saya sangat runsinglah. Bolehkah Datuk menolong saya?

Meski pun beliau merasa kurang selesa kerana diganggu tidurnya, Datuk Maznah tidak menunjukkan reaksi kurang senang. Sebaliknya dengan tenang beliau bertanya apa masaalah yang mengganggu fikiran tauke besar itu. Sambil mendengar dengan teliti, hati beliau berkata-kata : Alahai, apa hal pula tauke ini mengadu masaalahnya dengan aku malam buta begini? Dia ingat aku ini Power Rangerskah? Power Rangers pun tidak boleh selesaikan semua kes!

Datuk Maznah ketawa sendiri sambil terus memasang telinga. Selepas sabar mendengar, Datuk Maznah memujuk tauke itu dengan lembut sambil berkata : Beginilah. Datuk jangan risau sangat. Sekejap lagi saya bangun sembahyang dan saya akan berdoa. Sekarang saya mahu baca satu doa untuk tenangkan fikiran. Datuk dengar baik-baik. Ini doa sangat bagus. Doa ini saya ambil dalam Kitab Suci Al Qur’an.

Datuk Maznah pun membacakan sebuah doa untuk menenangkan hati dalam versi Melayu. Tauke besar itu mengikut bacaannya perlahan-lahan. Kemudian Datuk Maznah berkata : Sekarang Datuk pergi tidur, ok. Jangan risau apa-apa lagi. Itu masaalah boleh selesai. Datuk orang baik. Tuhan boleh tolong. Good night, Datuk!

Datuk Maznah pun bangun mengerjakan solat tahjud dan selesai solat beliau berdoa seperti yang biasa beliau amalkan. Dipendekkan cerita, tidak lama kemudian, tauke besar itu menjemput Datuk Maznah datang ke pejabatnya. Beliau memperkenalkan Datuk Maznah kepada rakan-rakan niaganya yang lain. Tauke itu memuji-muji Datuk Maznah di hadapan mereka.

Menurut Datuk Maznah, bisnes beliau berkembang di kalangan orang-orang kaya secara word of mouth. Para pelanggan yang merasa sangat berpuas hati kerana diberi layanan istimewa oleh beliau merekomenkan dirinya kepada rakan-rakan bisnes mereka. Kata Datuk Maznah : Saya tidak pernah meminta-minta bisnes. Orang yang beri bisnes kepada saya kerana mereka sukakan saya. Mereka kata saya pandai memujuk, hahaha!!!

Tambah Datuk Maznah lagi : Kadang-kadang isu-isu yang tidak ada kena mengena dengan bisnes pun, mereka tanya saya bagaimana hendak selesaikan. Ada satu kes anak orang kaya mahu kahwin dengan penjaga kuda. Ayahnya meminta saya pujukkan supaya anak gadisnya itu mengubah fikiran. Hoi, itu cerita lagi best, hahaha!!!

Iktibar kepada peniaga :-

  1. Orang bisnes perlu ada banyak skil. Antara yang paling penting ialah skil memujuk (skill of persuasion) dan skil menyelesai masaalah (problem soving).
  1. Apabila orang bisnes memiliki banyak skil kemanusiaan, bisnes mereka akan bertambah baik.
  1. Iklan yang dibuat melalui word of mouth sangat kuat impaknya. Kita tidak perlu pun beria-ia mengatakan betapa bagusnya perkhidmatan kita. Sebaliknya orang lain yang berpuas hati dengan apa yang kita beri akan melakukannya dengan cara mereka sendiri.
  1. Kata-kata pujian tentang sesuatu bisnes yang didengar melalui pihak ketiga terbukti lebih berkesan untuk memikat hati pelanggan.

Sunday, February 10, 2008

Mohan Si Tukang Gunting

Sudah 22 tahun Zainal bergunting dengan Mohan. Kedainya yang dahulu terletak di Ayer Keroh Heights kini sudah bertambah 2 buah lagi iaitu di Batu Berendam dan Melaka Sentral. Kedai di Ayer Keroh itu kini dikendalikan oleh 2 orang anak lelaki beliau. Kedai di Batu Berendam pula dikendalikan oleh orang kanan Mohan, seorang pekerja dari India yang sudah lama berkhidmat dengannya. Mohan sendiri menguruskan kedai terbaru di Melaka Sentral bersama seorang anak saudaranya.

Saya perhatikan sejak bertahun-tahun Zainal tidak serasi dengan tukang gunting lain. Pernah dia bertukar angin ke kedai lain untuk sekali-dua tetapi pasti akan kembali kepada Mohan. Dia sanggup pergi dan pulang tanpa bergunting kerana ramai sangat pelanggan yang menunggu giliran. Kemudian kira-kira jam 9:00 atau 10:00 malam, Mohan akan membuat panggilan : Abang, sekarang datang, boleh? Saya tunggu, Abang datang, wokey?

Saya pernah bertanya Zainal tentang keistimewaan Mohan. Suatu hari dia mengajak saya menemaninya bergunting. Sebaik saja ternampak Zainal melalui cermin kedainya, Mohan yang bermuka manis itu membuka pintu kaca dan mempersilakan kami masuk. Dia mengelap sebuah kerusi dan menjemput Zainal duduk. Kemudian dia pergi ke rak dan menghulurkan beberapa majalah kepada saya. Muka manisnya berseri tersenyum.

Waktu itu lagu popular Kabie Kushie Kabie Gham sedang mendayu-dayu dari corong radio. Selesa pula rasanya duduk di kedai berhawa dingin itu sambil membaca majalah hiburan dan beberapa akhbar harian. Saya tersenyum apabila terpandang kaki sendiri yang bergoyang-goyang mengikut alunan muzik rentak Hindustan!

Sedang Mohan menggunting rambut Zainal, anak saudaranya melayani seorang anak muda. Lelaki seakan Mat Rempit itu menunjukkan fesyen rambut dalam majalah dan memilih stail rambut tercacak. Beberapa ketika kemudian saya lihat pemuda itu memberi komen dan anak saudara Mohan mengangguk-angguk sambil mengubah-suai rambut pelanggannya itu seperti dikehendakinya.

Siap bergunting, Mohan menyikat rambut Zainal. Dikerolnya berkali-kali dan kemudian dia mengeluarkan cermin. Zainal tersenyum lebar. Selesai semuanya, Mohan mengemaskan misai dan janggut Zainal. Kemudian dia membongkokkan badan Zainal dan menepuk-nepuk dengan agak kuat beberapa kali : Papap, papap! Papap, papap! Saya terleka melihat Zainal rileks sahaja dikarate-manja oleh lelaki India itu!

Akhir sekali Mohan memulas-mulas kepala Zainal, ke kiri dan ke kanan. Kedengaran bunyi berletap-letap. Senyuman Zainal bertambah lebar tanda puas hati. Sambil dia bangun dan mengeliat lega, tangannya menyeluk poket dan dompet dikeluarkan. Sebelum kami melangkah keluar kedainya, Mohan sekali lagi membukakan pintu dan mengucapkan terima kasih. Senyuman manisnya tidak lekang di bibir sambil dia berpesan supaya Zainal datang lagi ke kedainya.

Iktibar buat peniaga :-

1. Senyuman adalah senjata sulit yang sangat memikat hati pelanggan. Peniaga yang tidak suka senyum (urat senyumnya terputus) perlu belajar mengukir senyum selalu (menyambung semula urat senyumnya).

2. Layanan istimewa meski pun hanya hal-hal kecil yang biasanya dianggap remeh-temeh sangat bermakna buat pelanggan. Layanan special itulah yang menggamit pelanggan untuk terus datang berulang-ulang kali.

3. Mengekalkan pelanggan lama adalah jauh lebih mudah berbanding usaha memikat hati pelanggan baru. Caranya ialah dengan terus memberi layanan bagus dan memuaskan setiap kali berurusan dengan pelanggan lama.

Friday, February 8, 2008

Karya Norlela Zubir


Ini merupakan buku pertama dan kedua yang berjaya saya hasilkan melalui bimbingan Sifu PTS.

Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya merupakan pendedahan eksklusif pengurusan bisnes keluarga, memaparkan senario sebenar serta cabaran yang acap kali berulang. Alhamdulillah, buku ini berjaya dilesenkan untuk penerbitan di Jakarka bersama lebih banyak buku-buku lain di bawah naungan PTS.

50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia mewakili kisah semua kaum wanita yang gigih dan berani meneroka bidang keusahawanan. Setiap usahawan yang diceritakan menyimpan kisah istimewa bagaimana membangun dan mempertahankan bisnes masing-masing. Pengalaman mereka diharap menjadi pendorong dan pembakar semangat, selain menjadi model untuk diteladani.

Buku-buku ini berharga RM18 setiap satu dan boleh dibeli di kedai-kedai buku, antaranya di Popular dan MPH dan secara on-line di BookCafe dan e-Kedai.net.

Anda juga boleh memesan terus kepada saya: norlelazubir@yahoo.com atau hubungi talian : 019-6562540.

Saya mengharapkan maklum balas anda bagi tujuan penambahbaikan karya. Selamat Membaca!

Ulasan Buku Di Utusan Malaysia











Ulasan buku 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia di Utusan Malaysia semalam, Khamis, 7 Febuari, 2008. Terima kasih kepada pengulas, Noraini Abd. Razak.

Wednesday, February 6, 2008

Winning Customers' Hearts

Saya suka membeli ikan pada waktu petang. Yang saya maksudkan adalah ikan segar yang baru ditangkap nelayan. Di Melaka terdapat beberapa buah tempat menjual ikan segar pada waktu petang, contohnya di Pantai Klebang, Tanjong Keling dan Ujong Pasir.

Di Ujong Pasir, terdapat 2 orang penjual ikan yang berniaga bersebelahan. Kedua-duanya berketurunan Portugis atau di gelar ‘Gerago’ oleh orang-orang tempatan. Seorang bernama Peter dan seorang lagi namanya Yusof. Gerai mereka berdua dibuka setiap hari sedangkan gerai-gerai yang lain tidak menentu.

Awalnya dahulu saya lebih cenderung membeli di gerai Yusof berbanding Peter. Niat saya untuk memberi sokongan moral kepada saudara seagama. Setiap kali pelanggan datang memilih ikan-ikannya, Yusof suka berkata begini : Hah, ikan bawal putih ini mahal, RM60 sekilo. Mahu yang murah, ambil ikan kembung, RM8 sekilo. Kita jual ikan ada gred. Ada rupa, ada harga. Mahu yang baik, harga kena mahal. Hahaha!!!

Seandainya pelanggan ramai, Yusof sangat ceria. Lebih-lebih lagi apabila yang datang itu orang-orang Cina berkereta besar. Yusof akan bersorak-sorak dengan suara lantang mengalukan kedatangan mereka. Adakalanya saya perlu menunggu agak lama untuk ikan-ikan saya ditimbang kerana Yusof terlalu leka melayan pelanggan-pelanggan berkereta besar itu.

Peter lain halnya, mudah tersenyum dan menyapa. Budi-bahasanya baik. Yang saya suka tentang Peter ialah dia rajin melayan. Andainya ikan yang dipamerkan tidak berkenan di hati kita, dia akan mengeluarkan ikan-ikan lain atau udang daripada tong simpanannya. Biasanya ikan-ikan yang disimpan itu sudah ditempah oleh peniaga-peniaga ikan bakar tetapi kerana hanya mahukan seekor-dua, Peter tidak keberatan menjualnya kepada kami.

Selain itu, Peter menyediakan khidmat 2 orang tukang siang ikan yang akan bertanya stail bagaimana yang kita kehendaki : sama ada ikan mahu dikelar selebar 3 jari, dipotong belakang stail butterfly atau dibuang sisek, insang dan perut sahaja. Adakalanya Peter memberi idea menu yang sesuai untuk memasak ikan-ikannya.

Yang paling menambat hati ialah ikan-ikan yang sudah disiang itu akan dipek dalam beg plastic sebanyak 2 lapis. Tangkai beg plastic itu pula siap dipintal-pintalkan, sebelum dicangkukkan ke tangan kita dengan penuh sopan. Hah, memang saya suka sangat dengan layanan Peter itu!

Tanpa disedari semakin lama semakin kerap kami membeli di gerai Peter. Baru-baru ini ketika sedang memilih ikan, kedengaran satu suara berkata begini daripada gerai di sebelah : Orang Islam sepatutnya membeli di kedai orang Islam supaya ekonomi orang Islam meningkat. Barulah dapat berkat. Tapi... ada orang lebih suka majukan bisnes orang kafir.

Kata-kata berbau sindiran itu diulang beberapa kali. Saya dan Zainal (yang kenal benar dengan tuan empunya suara itu) saling berpandangan. Peter turut memandang kami sambil tersenyum. Saya dan Zainal membalas senyuman Peter, kemudian kami terus memilih ikan kurau, ikan bawal putih, ikan parang, ikan tenggiri dan udang great grandfather tanpa menghirau mahu pun menoleh ke gerai sebelah.

Iktibar Buat Peniaga :-

1. Jangan buat andaian buruk tentang kemampuan dan kuasa membeli pelanggan kita.

2. Beri layanan istimewa kepada setiap pelanggan. Jangan bersikap double-standard.

3. Selalulah bersangka baik dengan pelanggan. Jika hari ini mereka tidak membeli barangan kita, mungkin esok-lusa mereka melanggan semula.

4. Terima hakikat bahawa pelanggan berhak membuat pilihan sendiri.

5. Muhasabah diri mengapa pelanggan beralih arah kepada pesaing kita.

Tuesday, February 5, 2008

10 Kunci Rezeki Menurut Al Qur'an & As Sunnah

Semua jalan untuk kebaikan manusia ditunjukkan di dalam Kitab Suci Al Qur'an dan Al Hadis, termasuk bagaimana mendapatkan rezeki. Allah dan Rasulnya memberi petunjuk bahawa rezeki akan datang dari setiap arah apabila kita dilimpahi barakah dari bumi dan langit.

Umat Islam perlu yakin bahawa rezeki akan mudah mengalir (meski dalam keadaan ekonomi turun) apabila langkah-langkah tertentu dipraktikkan. Berikut 10 kunci yang dapat membuka pintu rezeki menurut Al Qur'an dan As Sunnah :-

1. Istighfar (memohon ampun kepada Allah) dan bertaubat. Kedua-duanya wajib dilakukan secara lisan dan perbuatan.

2. Takwa (menjaga diri dari berbuat maksiat kepada Allah) dengan mentaati segala perintah dan menjauhi semua laranganNya.

3. Tawakkal (bersandar dan mengharap kepada Allah semata-mata) sambil terus berusaha.

4. Beribadah dengan penuh konsentrasi kepada Allah.

5. Mengiringi haji dengan umrah.

6. Silaturrahim (berbuat baik kepada kaum keluarga yang dekat). Berbuat baik tidak terbatas dalam soal material sahaja tetapi termasuk melindungi mereka daripada bahaya dan kesusahan.

7. Berinfaq (bersedekah) di jalan Allah dengan harta-benda dan tenaga.

8. Memberi bantuan nafkah kepada orang yang sedang menuntut ilmu agama sepenuh masa.

9. Berbuat baik kepada orang-orang yang lemah.

10. Berhijrah (keluar daripada tempat yang kufur dan berpindah ke tempat beriman) untuk mencari keredhaan Allah.

Maksud Surah At Thalaaq (Ayat 2-3) : Barang siapa yang takut kepada Allah, maka Allah mengadakan baginya tempat keluar (dari kesulitan), dan (Allah) akan mencukupkannya (memeliharanya). Sungguh Allah menyampaikan (melangsungkan) utusanNya. Sungguh Allah mengadakan kadar (aturan) yang tertentu bagi tiap-tiap sesuatu.

Maksud Surah At Thaha (Ayat 124-126) : Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata : "Wahai Tuahanku, mengapa Engkau himpunkan aku dalam keadaan buta pada hal aku dulu celek?" Allah berfirman : "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu lalu engkau melupakan dan meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan dan ditinggalkan."

Di petik daripada buku Kunci-Kunci Rezeki Menurut Al Qur'an & As Sunnah oleh Dr. Fadl Ilahi.

Sunday, February 3, 2008

Cas Bateri

Sudah seminggu saya demam. On and off. Ikut jadual hari ini saya sepatutnya menghadiri bengkel training yang dikendalikan oleh saudara Osman Affan di KL. Saya sudah mendaftar awal-awal lagi. Namun kerana kurang sihat, rancangan itu terpaksa dibatalkan. Hati rasa ralat tapi rasanya lebih elok hari ini saya gunakan untuk terus mengecas bateri. Ya, bateri saya sudah lemah.

Pagi semalam saya berdating dengan Mak. Itu rutin biasa. Seminggu sekali kami dua-beranak akan bertemu untuk bertukar-tukar berita. Hajat hati saya hendak bawa Mak ke nurseri tetapi kerana cuaca panas, rancangan itu dibatalkan. Kami pergi sarapan di Bukit Katil, kemudian singgah di kedai kain di Bukit Piatu. Dalam tidak sihat pun, saya masih sempat mencuci mata.

Sebelah petangnya, saya melepak di rumah dengan novel Andrea Hirata bertajuk Sang Pemimpi. Kisah Si Ikal dan Si Arai bertumbuk di kedai A Siong membuat saya tidak kering gusi. Saya terus membaca sehingga ke muka surat 47, kemudian secara tiba-tiba teringatkan limau madu di dalam peti ais. Saya terus ke dapur mencari buah manis itu.

Sambil mengunyah tangan saya membuka kabinet lalu ternampak beg kecil mengandungi Galvanic Spa System. Sudah lama saya tidak menggunakannya. Beberapa ketika kemudian saya mula menyapu gel di muka dan mengurutnya dengan alat spa. Zainal yang sejak balik dari pejabat leka membelek v-cam dalam senyap-senyap merakam semua perbuatan saya.

Mulutnya terkumat-kamit berkata sesuatu sambil merakam video itu. Antara kata-katanya yang kedengaran jelas di telinga saya ialah : Ini isteri saya sedang bersenang-lenang. Inilah cara isteri saya mengecas baterinya yang lemah. Mula-mula dia makan limau 2 biji. Selepas itu dia buat spa pula, bla, bla, bla!

Saya menahan gelak, namun membiarkan Zainal dengan aktivitinya. Dia memang suka menyakat saya. Komennya yang entah apa-apa membuat saya ketawa berderai-derai. Ha, itu kisah semalam. Hari ini saya rasa bertambah sihat. Mungkin petang ini kami perlu pergi ke Kg. Lapan bagi mendapatkan khidmat tukang urut tapak kaki pula.