Sunday, March 30, 2008

What are you grateful for?

Semalam program CBC (Certified Business Coach) saya masuk sesi ketiga. Kerana sampai awal, saya sempat berbual dengan Mimi, Wan Zini dan En. Rom. Tepat jam 9:00, kami (19 orang semuanya, Afoo tidak hadir) menduduki ujian bertulis selama 30 minit bagi menguji kefahaman tentang teras, keperluan dan asas-asas penting dalam proses coaching.

Queen yang pertama sekali keluar daripada bilik ujian, diikuti seorang demi seorang yang lain. Saya membuntuti En. Mohsin yang duduk di meja depan saya. Sambil menghantar kertas jawapan kepada Cik Hafidah (koordinator UMCCed), saya memulangkan pensel yang dipinjamkan Mr. Prakas.

Lega! Hmmm, bagi saya, macam makan kacang saja (hohoho!!!), tapi kata Mabel : Don’t knowlah. A bit confused. Already answered, when read again, got more confused. I saw them rub and rub many times. I didn’t rub. Where got time to rub??? Kami tergelak. Kelas disambung dengan perbincangan panjang lebar berhubung GROW Model.

Ketika minum petang, saya mengambil masa duduk berbual dengan Mr. Foo See Luan, trainer kami, seorang warga Singapura yang berusia lewat 60an. Antara kata-katanya yang masih terngiang-ngiang di telinga saya ialah : I often ask the coachee, “What are you most grateful for in life?” Often they would pause and ponder…

Sambungnya lagi : Some would ask me back, “Why do you ask this question?” And as usual, I leave it to them to answer. That particular question would some how trigger the mind to realize that, many a time, we tend to take things fore granted. We sometimes forget to appreciate. For example, the people who have helped us succeed in life. The fact is none of us can make it all by ourselves. We owe a lot to others...

Lewat petang ketika kelas tamat, saya menuruni anak tangga bersama Anis dan Sharon. Badan terasa letih. Nun di parkir kereta, saya ternampak kelibatnya. Terus dia melambai dengan senyuman manis terukir di bibirnya. Seperti biasa, tepat pada masa yang dijanjikan, dia setia menunggu saya.

Rosleen bertanya : Are you driving? Saya menggeleng sambil menunjuk ke arah dia : Itu 'supir' saya sudah menunggu…

Hmmm, saya amat bersyukur kerana Allah menjadikan dia untuk saya. Tanpa dia, mana mungkin saya dapat melakukan banyak perkara dalam hidup ini. Dialah yang selalu menyokong usaha-usaha saya. Dia menjadi pendorong kuat ketika saya menghadapi cabaran dan kesulitan. Selama 24 tahun hidup bersama (separuh daripada usia saya), budinya terlalu banyak untuk dikenang…

Doa saya semoga Allah sentiasa melindungi dan memberi petunjuk kepada dia. Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosanya. Semoga Allah menjadikan untuk dia kesudahan hidup yang penuh barakah. Dan yang pasti, saya akan terus membisikkan ke telinganya setiap malam (kekadang terlupa juga, hehehe!!!) betapa saya amat berterima kasih dan sangat menghargai dirinya...

Hmmm, selain dia, siapa lagi??? Siapakah yang pernah berjasa kepada saya tanpa saya sedari? Siapakah mereka yang secara langsung atau tidak, telah menyumbang sesuatu dalam pencapaian saya selama 48 tahun hidup di dunia ini? Adakah saya menghargai mereka? Saya perlu merenungi semula perkara-perkara yang selama ini saya mungkin terlepas pandang...

Thursday, March 27, 2008

Kedai Gaduh

Saya terlihat iklan di TV, seorang mamak menepuk roti canai. Tiba-tiba tekak merasa kecur. Sudah lama tidak ‘pekena’ roti canai yang tampak garing seperti itu. Lalu saya teringatkan 'Kedai Gaduh'. Di sana roti canainya memang garing dan sedap. Agak lama kami tidak ke 'Kedai Gaduh'. Semenjak jalan di tepi kedai itu dibesarkan, kami tidak lagi ke sana kerana susah hendak memarkir kereta.

‘Kedai Gaduh’ mendapat namanya melalui sikap tuan kedai itu yang selalu marah-marah. Hampir setiap kali ke kedainya, kami dapati wanita pertengahan umur itu sedang memarahi seseorang. Pendek kata, dia memang mudah bergaduh. Apabila pelanggan ramai, dia mulalah menunjuk belang. Pekerja-pekerja ditengking kerana lambat membersihkan meja atau terlupa antara teh dan teh O, nescafe dan nescafe O, milo dan milo O dan apa-apa lagilah.

Tuan kedai itu bukan sahaja mudah baran terhadap pekerjanya tetapi juga kepada pelanggan. Contohnya apabila membuat pesanan, kita perlu memberitahu dengan tepat berapa keping roti canai yang kita mahu. Jangan pula nanti ketika sedang makan, kita teringin hendak menambah sekeping dua lagi, dia pasti akan memarahkan kita begini : Tadi mengapa tidak minta terus? Tidak nampakkah orang lain pun menunggu? Awak ingat awak seorang hendak makan?

Peliknya kedai itu tetap dikunjungi ramai pelanggan. Bagi saya sendiri, yang menarik adalah roti canainya. Garing dan sedap. Ditambah pula dengan gulai kari kepala ikan jenak dan sambal sotongnya. Rasanya memang sedap. Andainya anda hendak ‘tapau’ roti canai di ‘Kedai Gaduh’ itu, lebih baik berfikir banyak kali dahulu. Anda perlu membuat pertimbangan sama ada masanya sesuai atau tidak…

Jika bilangan pelanggan yang ada dalam kedai ketika itu ‘sedang-sedang’ ramainya, bolehlah anda meminta untuk ‘tapau’. Seandainya pelanggan yang menunggu berderet-deret, berawaslah sebelum anda membuka mulut. Nanti anda disergah begini : Awak mahu bungkus 10? Tak boleh. Nampak tidak orang ramai di sini? Kalau awak mahu juga, ambil 5 saja. Yang lucunya, ada juga pelanggan yang disergah itu berkata : 5 keping pun oklah…

Ketika ke sana Ahad lalu, saya dapati tuan kedai itu agak tenang. Tidak kedengaran lagi suara bisingnya menengking. Mungkin dia berubah sikap kerana bisnesnya kini terjejas ekoran pembesaran jalan di tepi kedai itu. Saya pasti kawasan parkir yang terhad menjadi antara punca pelanggan-pelanggan beralih ke tempat lain. Lagi pun, siapa yang mahu bersusah-payah di pagi Ahad hanya untuk sekeping roti canai... dan silap haribulan disergah seorang tauke garang! Yang pasti roti canainya masih sedap seperti dahulu.

Iktibar untuk peniaga :-

1. Jagalah tingkah-laku semasa berurus niaga. Berhati-hati dengan gerak-geri kita. Sikap kita dapat memikat hati atau membosankan pelanggan.

2. Jangan berfikir bahawa jika produk kita baik, orang sentiasa mahu membelinya. Apabila terdapat pilihan atau halangan baru, pelanggan boleh beralih ke tempat lain.

3. Jika pekerja kita selalu membuat kesilapan, desain satu peraturan bagi memudahkan kerja mereka. Kemudian latih mereka melakukannya dengan betul sehingga pandai.

Tuesday, March 25, 2008

Medical Check-Up

Saya membuat medical check-up tahunan setiap bulan Januari (sejak 2001). Tujuannya untuk memantau kesihatan. Ia bukanlah ujian menyeluruh, tetapi hanya perkara-perkara penting seperti diabetes screen, kidney function, kolesterol, hati, hepatitis screen, tumour markers, thyroid screen, rheumatoid factor dan urinalysis. Dr. Ab selalu berpesan, dalam soal kesihatan usahlah mengharapkan orang lain. Kita sendiri perlu bertanggungjawab. Bak kata orang sekarang, sendiri mahu ingat!

Ramai orang bercerita bagaimana mereka ditimpa penyakit kronik secara tiba-tiba. Apabila dikesan, penyakit itu sudah berada di tahap teruk dan peluang untuk pulih semula agak tipis atau hanya 50-50. Menurut Dr. Ab, semua penyakit biasanya memberi amaran terlebih dahulu. Kita perlu mengambil perhatian seandainya ada merasa sesuatu yang tidak kena. Jangan abaikan tanda-tanda itu. Cara yang baik ialah dengan membuat pemeriksaan kesihatan tahunan.

Tahun ini saya terlewat membuat medical check-up. Kebetulan semalam saya terasa sakit di dalam telinga dan pergi ke klinik Dr. Ab. Ketika itulah baru teringat hal medical check-up. Dr. Ab mengingatkan supaya saya datang seawal jam 8 (hari ini) kerana darah dan air kencing perlu diambilnya sebelum saya bersarapan pagi. Dia turut mengesyorkan Zainal membuat medical check-up bersama saya.

Sebenarnya Zainal teramat fobia kepada jarum. Meski pun sudah mencecah usia 52 tahun, dia tersangat degil bab medical check-up. Ada-ada saja alasan yang diberi untuk mengelak darahnya diambil. Semalam Dr. Ab memujuknya lagi. Beliau membuka rahsia bahawa ramai orang dewasa yang takut jarum. Dan mereka lebih ramai di kalangan orang lelaki berumur seperti Zainal.

Kisah pertama tentang seorang lelaki yang bertubuh sasa telah pitam di bilik air klinik itu. Kata Dr. Ab, ketika diambil darah, lelaki itu tampak seperti biasa dan kemudian dia ke bilik air untuk mengambil air kencing. Hampir 10 minit berlalu lelaki itu masih tidak masuk semula ke bilik rawatan. Dr. Ab pergi menjengah ke bilik air dan mendapati lelaki itu sudah pengsan!

Cerita kedua tentang seorang lelaki yang pada kebiasaannya suka berbual tetapi secara tiba-tiba menjadi senyap ketika darahnya diambil. Kata Dr. Ab, lelaki itu memejam mata dan mematikan dirinya. Ketika disuruh membuka matanya, lelaki itu bagaikan tidak percaya yang darahnya sudah diambil. Dia terlalu takut sehingga tidak terasa tangannya sudah dicucuk. Zainal ketawa besar… (bab ini dia seronok!!!).

Pagi tadi ketika pulang daripada morning walk, kami singgah di klinik Dr. Ab. Belum pun Dr. Ab mengeluarkan jarum, Zainal sudah pejamkan mata. Aduhai, gelihati saya melihat gelagat orang lelaki yang takut jarum. Berkali-kali Dr. Ab menyuruhnya releks. Entah mengapa dia terlalu takut saya pun pelik. Bukannya banyak darah yang diambil itu, cuma 10ml. Ketika dia dicucuk saya dan Dr. Ab melayannya berbual tentang roti canai cicah dengan gulai kari… Hehehe!!!

Friday, March 21, 2008

Don't transfer your monkey unto my shoulder...

Hari ini Roi menelefon saya. Katanya : Bisnes saya teruk sekarang. Sakit kepala fikirkan soal duit. Pening!!! Anak-anak asyik merungut. Saya catu duit belanja mereka. Duit saya banyak di tangan orang. Hampir RM30,000. Tapi, orang-orang yang berhutang itu, apabila saya minta balik, mereka tidak mahu bayar. Saya sempit betul sekarang. Kalau boleh, saya mahu pinjam. Bukan banyak, RM5,000 saja. Nanti saya bayarlah balik secara ansuran.

Saya hanya diam. Terasa janggal apabila dia tiba-tiba ingin meminjam wang daripada saya kerana kami baru mengenali satu sama lain beberapa bulan lalu. Namun di sudut hatiku, timbul rasa kasihan. Mungkin dia terlalu terdesak…

Roi menyambung : Saya sudah baca buku-buku Puan. Tapi saya masih tidak dapat mencari jalan keluar untuk selesaikan masaalah bisnes saya. Saya pening sangat. Bantulah saya. Saya ini ibu tunggal. Saya juga saudara baru. Tidak bolehkah Puan bantu saya sedikit? Kawan-kawan saya tidak dapat membantu lagi. Saya mati akal. Tidak tahu lagi hendak pinjam daripada siapa.

Saya menjawab : Jika awak mahu, saya boleh cuba bantu awak untuk mencari jalan bagaimana mengutip semula hutang-hutang yang ada. Jika dapat pungut hutang-hutang itu, awak tidak perlu meminjam lagi. Dengan terus meminjam, awak hanya menambah beban.

Roi membalas : Puan mahu tolong saya pungut hutang? Bagaimana?

Saya : Ya, saya boleh tunjukkan caranya dan awak cubalah usahakan. RM30,000 itu banyak. Jika dapat pungut 50% pun, Alhamdulillah. Awak ada simpan senarai nama orang-orang yang berhutang itu? Jika ada, bawa sekali invois dan apa-apa dokumen yang ada. Saya akan cuba bantu awak bagaimana menuntut hutang-hutang itu.

Roi dengan cepat menjawab : Mana ada semua itu, Puan? Mereka yang berhutang itu semuanya kawan-kawan saya. Mana saya ada buat surat hitam putih atau invois… Saya ini lembut hati, Puan. Hati saya cepat cair apabila kawan-kawan minta tolong. Saya tidak sampai hati tengok mereka susah. Sekarang ini saya pula yang kesempitan.

Tiba-tiba talian terputus. Beberapa minit kemudian saya terima sms Roi : Maaf, kredit habis. Saya terdesak sangat. Terlalu sempit. Pinjamkan saya sedikit pun jadilah.

Saya berfikir beberapa ketika, kemudian membalas smsnya : Mohon berbanyak maaf. Saya tidak dapat pinjamkan wang. Oleh kerana awak kesempitan sangat, beritahu saya no. akaun bank. Nanti saya masukkan sedikit wang. Anggap ini pertolongan daripada Allah. Awak tidak perlu bayar balik.

Anda ingin tahu mengapa saya tidak mahu meminjamkan wang kepada Roi? Saya mempunyai beberapa alasan berbuat demikian:-

  1. Mengikut firasat saya, besar kemungkinan Roi tidak akan membayar-balik wang yang mahu dipinjam itu. Saya sudah beberapa kali terkena, melibatkan wang peribadi (jika dikumpul semuanya) bernilai puluhan ribu RM. Lumrahnya, wang yang dipinjamkan kepada orang-orang dalam situasi sebegini (terdesak tahap tinggi) akan menimbulkan kesulitan ketika ingin mendapatkannya semula.
  1. Apabila orang ingin meminjam wang tetapi tidak menyatakan dengan jelas bila dan bagaimana dia hendak membayar balik, berwaspadalah. Lazimnya, mereka memang tiada rancangan untuk menjelaskan hutang itu. Kerana terdesak, mereka terpaksa menabur janji. Menuntut hutang seperti ini akan memeningkan kepala kita di kemudian hari.
  1. Hutang yang sukar dipungut atau tidak mahu dibayar adalah antara punca putusnya silaturrahim dalam sesuatu perhubungan. Saya mahu mengelakkan ini daripada terjadi.

Saya memilih untuk membantu Roi dengan cara lain. Setelah memasukkan sejumlah wang (ciput saja!) ke akaunnya, saya mengirim sms. Semoga bebannya dapat diringankan. Doa saya semoga dia bertemu jalan keluar untuk mengatasi isu yang dihadapinya.

Wednesday, March 19, 2008

Jawapan Untuk Edoray

Pada entri kali ini, saya akan menjawab beberapa pertanyaan yang dikemukakan oleh seorang pengunjung blog bernama samaran edoray. Beliau yang merupakan pemilik blog aspirasiku ingin tahu perkara-perkara berikut :-

  1. Apa bezanya antara program mentor-mentee dan coaching?
  2. Adakah program mentor-mentee berbayar?
  3. Berapa kadar bayaran coaching untuk sejam?
  4. Bagaimana pula dengan konsultan?

Dalam program mentor-mentee, seorang mentor bertindak sebagai guru, sementara menteenya pula sebagai pelajar. Biasanya, mentor adalah pakar dalam sesuatu bidang dan dia akan memberi tunjuk-ajar dan panduan kepada mentee yang ingin menimba ilmu dalam bidang yang sama.

Contohnya Puan Sifu kita di PTS itu. Beliau seorang mentor yang mengajar mentee-menteenya selok-belok penulisan buku dalam bengkel-bengkel yang diadakan, juga melalui blog UNIKA. Oleh kerana mentor itu berstatus guru, tarafnya pastilah lebih tinggi daripada mentee (maksud saya, dalam bidang yang diajarnya).

Sebagai guru, seorang mentor boleh menunjuk ke-terror-an ilmu dan kepakarannya kepada mentee. Menjadi tugas mentor memberi arahan dan menegur kesilapan menteenya. Sebagai pelajar, mentee perlu menurut kata mentor. Dengan kata lain, agenda dalam program mentor-mentee ditetapkan oleh mentor. Oleh itu, mentee tidak bolehlah ‘melawan tauke’.

Dalam program coaching pula, coach bertindak sebagai rakan kepada coachee (pelanggannya). Biasanya coachee memerlukan khidmat coach bagi mendapatkan bantuan untuk membolehkannya beralih, contohnya, daripada paras 1 kepada paras 2. Coach bertindak sebagai fasilitator yang mendorong peralihan coachee itu.

Berbeza dengan peranan mentor, seorang coach tidak boleh menggurui coachee. Walau se-terror mana pun ilmu coach itu, dia perlu menahan dirinya daripada hendak memberi nasihat atau mengoreksi coachee. Ini kerana dalam program coaching, agenda ditetapkan oleh coachee, bukan coach. Yang hendak diberi keutamaan adalah solusi pilihan coachee.

Di awal program coaching, coachee akan menentukan apa gol yang ingin dicapainya. Gol itu adalah gol coachee. Coach akan membantu coachee mencari solusi melalui teknik pertanyaan dan imbasan. Oleh sebab itu skil mendengar amat penting dimiliki seorang coach. Bagaimana pun, seandainya coachee itu sendiri yang meminta pandangan dan nasihat, coach boleh memberitahu apa pendapatnya.

Program coaching amat berkesan apabila wujud kepercayaan (trust) yang tinggi di pihak coachee terhadap coachnya. Oleh kerana itu coach perlu membantu coachee untuk selesa meluahkan isu yang dihadapinya tanpa berselindung. Kekadang coachee akan bercakap berbelit-belit kerana dia sendiri keliru meski pun jawapan yang dicarinya sudah ada. Di sinilah coach memainkan peranannya. Dia membantu coachee melihat isu dan solusi yang difikirkannya dengan jelas.

Sama ada keputusan yang diambil oleh coachee betul atau tidak, bukanlah tanggung-jawab coach. Yang penting ialah coach dapat membantu coachee mencari solusi untuk mencapai apa yang diingininya. Kekadang coachee hanya inginkan ‘validation’ daripada coach ke atas keputusan yang diambilnya.

Sama ada program mentor-mentee berbayar atau tidak, saya kurang pasti. Bagaimana pun, program mentor-mentee bersama Puan Sifu adalah percuma. Bukti hasil daripada program Puan Ainon itu ialah buku-buku kita (mentee-menteenya) berjaya diterbitkan. Berhubung bayaran untuk coaching pula, saya dengar melalui trainer saya, ia mengikut kes (dan isu yang ditangani).

Kekadang solusi dapat dicapai oleh coachee melalui 1 sesi sahaja. Kekadang program itu perlu dilanjutkan sehingga beberapa sesi dalam tempoh beberapa bulan. Dalam program yang saya ikuti, perkara ini saya belum belajar! Saya dengar, pendapatan seorang coach yang bagus boleh tahan lumayannya. Ini yang membuat saya rasa bersemangat untuk menjadi coach!

Konsultan adalah pakar rujuk. Peranannya juga berlainan daripada mentor dan coach. Namun begitu, sebagai trainer, kita boleh mengaplikasi skil-skil sebagai konsultan, mentor dan coach dalam situasi tertentu. Jika kita hendak jadi coach 100%, takut-takut nanti kita jadi ‘coach lapar’ (hungry coach) pula! Pelanggan mungkin mahukan khidmat tambahan selain coaching, jadi kita bolehlah tawarkan kepelbagaian dengan caj-caj yang berasingan.

Sunday, March 16, 2008

Keranamu Ayam

Alum amat suka ayam panggang yang dimasak dengan resepi ala-Turki oleh Ayza a.k.a. Donut (adik bungsu saya). Ketika balik bercuti baru-baru ini, Alum membeli beberapa peha ayam dan meminta ibu saudaranya itu me-marinate-nya. Ayam-ayam itu kemudian disimpan dalam peti ais sementara dia melepak dan bermain dengan Etuy (sikecil dalam gambar ini).

Bagi Etuy, Alum adalah 'Maseby' (Mazby). Ketika dia lebih kecil dahulu, Etuy terkeliru di antara Alum dengan Zainal. Baginya, Alum adalah 'Maseby' sementara Zainal dipanggilnya 'Alum'.

Lewat petang ketika hendak pulang ke rumah kami, Alum mengeluarkan kotak plastik berisi ayam yang sudah diperap itu daripada peti ais. Etuy yang mengekorinya bertanya : Maseby, kenapa Maseby ambik ayam Mama?

Alum menyakat : Sebab aku mahu makan semua ayam ini. Aku nak masak kat rumah aku. Lepas itu, aku nak makan sampai habis!!! Hahaha!!!"

Melihat Alum berjalan keluar menuju ke kereta dengan kotak ayam di tangannya, Etuy mulai cemas dan merayu berulangkali : Anok (jangan) Maseby. Anok ambik ayam Mama.

Tangan Si Etuy cuba menggapai kotak ayam tetapi Alum mengelak dan mengangkatnya tinggi-tinggi sambil terus menyakat : Hahaha!!! Malam ini engkau dengan Baba, Mama, Nenek... tak dapat makan ayam. Aku nak makan ayam ini sampai habis. Ngap, ngap, ngap!!!

Alum membuat bunyi orang sendawa berulangkali. Perbuatan itu menjadikan Etuy bertambah geram kerana dipermainkan. Alum terus mengejek membuat Etuy hilang sabar. Dia mula menjerit dan meraung : Masebyyyyy!!!! Anok ambik ayam Mama!!! Maseby, tak baik tau!!! Masebyyyyyy!!!!!!

Ketika 'perang saudara' itu berlangsung, nenek mereka sedang duduk di sofa dan menonton TV di ruang tamu. Dia ketawa terkekek sambil membiarkan sahaja kerenah 2 orang cucu itu 'bercakaran'. Dipendekkan cerita, selepas Alum pulang Etuy terus meraung. Meski pun dipujuk oleh neneknya, dia tidak mahu berhenti menangis.

Mehmet yang tidak tahu hujung pangkal, menyangka Etuy sengaja membuat perangai. Dia terus melepuk-lepuk bontot anak kecil itu. Etuy bertambah kuat meraung. Ayza yang juga tidak tahu apa berlaku turut memarahi Etuy. Ayza bertanya : Kenapa Etuy selalu jerit-jerit masa Maseby nak balik? (Lazimnya memang Etuy suka memprotes dan membuat bising kerana tidak mengizinkan Alum balik).

Sambil teresak Etuy berkata : Bukan Etuy, Mama. Maseby yang buat. Maseby ambik ayam Mama. Habisy, Mama.

Ayza dan Mehmet saling berpandangan. Ayza mula menyelidiki apa sebenar yang berlaku. Sambil memeluk Etuy dia bertanya : Maseby ambik ayam Mama???

Etuy mengangguk dengan wajah sedih. Namun esakannya semakin reda. Ayza bertanya lagi : Maseby ambik ayam yang Mama goreng tadi ke?

Etuy menggeleng, kemudian menjawab : Bukan ayam goreng, Mama. Maseby ambik ayam yang Mama buat macam ini.

Etuy menunjukkan gaya Ayza me-marinate ayam dengan tangan kecilnya.

Ayza dan Mehmet saling berpandangan. Hampir serentak mereka berkata : Alamak, kita sudah tersalah pukul dia!!!

Di rundung rasa kesal, mereka menoleh ke arah Mak untuk mendapatkan pengesahan. Mak dengan selamba menjawab : Itulah, lain kali jangan terburu-buru. Budak ini tak bersalah. Dia nak selamatkan ayam untuk kita!!!

Friday, March 14, 2008

Ajar Anak Buat Bisnes

Semalam saya menerima pesanan sms daripada seorang remaja bernama Jihan Rufaidah Mustapha berbunyi begini : Assalamualaikum Aunty Lela, Jihan here. I'm selling small cupcakes 50 pieces for RM10. Pisang flavour. Would you like to buy?

Saya segera membalas sms daripada usahawan kecil itu : 'Alaikumsalam Jihan, my dear. Tolong hantarkan esok pagi ya. Terima kasih.

Inilah cupcakes yang dihantar oleh Jihan dan ibunya pagi ini. Cupcakes comel itu sungguh sedap. Dalam masa 5 minit saja, saya sudah 'ngap' 5 biji!! Jihan tersenyum simpul menerima RM10 iaitu bayaran cupcakes hasil tangannya.

Jihan Rufaidah kini belajar di tingkatan 3. Di hari-hari cuti, dia mencari wang poket sendiri dengan menjual cupcakes. Dia bakal usahawan wanita Malaysia di masa depan, insyaAllah. Rasanya ini contoh yang baik buat menggalak anak-anak kita mula berniaga. Syabas kepada ibunya, Noridah Ujang, pemilik Rufaidah Home Bake Cakes & Cookies.

Wednesday, March 12, 2008

Program MPC

Saya menerima surat jemputan daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan yang berpejabat di Johor Bahru. Mereka akan menganjurkan program 'Seminar Peningkatan Produktiviti Usahawan Wanita' pada 22 April, 2008 di Hotel Renaissance, Melaka. Objektif utama program itu adalah untuk memberi pendedahan kepada golongan usahawan wanita berhubung :-

1. strategi peningkatan produktiviti

2. penjenamaan produk ke arah peningkatan daya saing; dan

3. isu serta cabaran usahawan wanita dalam perniagaan.

Mengikut aturcara program yang disertakan, antara penceramah jemputan ialah Dato’ Hazimah Zainuddin (Presiden Peniagawati) yang akan membicarakan tajuk ‘Isu dan Cabaran Usahawan Wanita dalam Perniagaan’.

Penceramah kedua adalah saya sendiri yang diberi tajuk ‘Perkongsian Pengalaman Perniagaan dan Cabaran Dalam Perniagaan Keluarga’. Saya diberi masa selama 1.5 jam (11:30 pagi hingga 1:00 tengahari) untuk berkongsi pengalaman dalam bisnes.

Di sebelah petang, Cik Azlin Sharabi (Timbalan Presiden Peniagawati) akan membicarakan tajuk ‘Penubuhan Organisasi Perniagaan & Aspek Undang-undang yang Relevan’. Terakhir sekali ialah ceramah bertajuk ‘Amalan P&Q ke Arah Peningkatan Daya Saing’ oleh penceramah MPC sendiri.

Tentunya dalam program ini, saya akan memfokus kepada sebahagian isu yang terkandung dalam buku-buku saya, Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya dan 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia. Perkara ini sudah dibincangkan dengan En. Zakaria Md. Shariff, Pengurus MPC Wilayah Selatan ketika beliau berkunjung ke pejabat saya bulan Febuari lalu.

Tuesday, March 11, 2008

Kemahiran Mendengar

Saya sedang mempraktik salah satu skil asas yang penting yang perlu dimiliki seorang koc iaitu kemahiran mendengar. Mendengar yang dimaksudkan di sini ialah mendengar dengan penuh perhatian dan empati tanpa prejudis terhadap apa yang diperkatakan atau membuat apa-apa pra-andaian.

Tanpa sedar kita kekadang mendengar tetapi memilih-milih maklumat yang didengari. Tanpa betul-betul memahami kedudukan sesuatu perkara, kita terus memberi pendapat sendiri. Ini biasa berlaku dalam kehidupan seharian. Contohnya, apabila seseorang bercakap, kita yang mendengar cenderung untuk memikirkan jawapan yang sesuai untuk membalas kata-katanya.

Kekadang belum pun habis orang itu bercakap kita sudah bersedia untuk menyambung kata-katanya. Tanpa sedar kita memotong cakap orang lain kerana merasa kita lebih tahu topik yang diperkatakan itu daripada dia. Dengan hanya mendengar sekali lalu kita merasa sudah faham sesuatu isu yang diperkatakan lalu terus menyampuk.

Apabila kita mahir mendengar, kita bukan saja mendengar apa yang diperkatakan. Sebaliknya kita juga mendengar apa yang TIDAK diperkatakan. Seorang koc yang mahir perlu dapat mengawal dirinya daripada cuba menunjuk pandai atau hendak menunjuk ajar pelanggannya.

Ini kerana status hubungan diantara seorang koc dan pelanggannya adalah pada aras yang sama iaitu sebagai 'partners' atau rakan kongsi. Ia bukan seperti hubungan diantara mentor dengan mentee di mana mentor bertindak sebagai guru dan mentee pula mengikut arahannya.

Seorang koc yang mahir perlu membantu pelanggannya membuat luahan tanpa merasa terancam. Lazimnya orang tidak akan menyatakan perkara sebenar apabila wujud perasaan terancam dalam hatinya seperti takut disangka bodoh, mengarut atau kuatir dipersendakan. Oleh sebab itu amat penting bagi seorang koc membantu pelanggannya merasa selesa untuk membuat luahan.

Dalam menghadapi sesuatu isu, seseorang mungkin mengatakan perkara A & B adalah punca penyebabnya. Seorang koc yang mahir mendengar akan dapat membantu menyedarkan pelanggannya bahawa andaian yang dibuat itu silap kerana perkara C & D adalah punca yang sebenar.

Ini dilakukan melalui teknik menyoal yang menggunakan kata-kata luahan pelanggan itu sendiri sebagai asasnya. Sebagai contoh, si pelanggan berkata : Semua orang tidak boleh dipercayai. Semuanya tidak jujur. Lalu koc bertanya kepadanya : Maksud anda, ibu-bapa anda juga tidak jujur? Teknik menyoal seperti itu akan dapat mengorek ke akar isu sebenar yang dihadapinya.

Friday, March 7, 2008

Kursus Teknikal Mas Cotek di Mardi Telong

Para peserta kursus (dari Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Melaka) bergambar bersama pegawai dan staf di Stesen Mardi Telong, Bachok, Kelantan. Lelaki yang berbaju kuning-putih (berdiri di barisan tengah) adalah En. Ismail Dahalan, pemilik Syarikat Moro Seri Utama Enterprise iaitu syarikat payung yang merupakan pembeli hasil tuaian dalam projek mas cotek ini.

Pihak Mardi di Telong membuat kajian secara saintifik bagi membuktikan khasiat mas cotek dan bagaimana mengekal kualitinya supaya produk-produk yang dihasilkan berasaskan herba itu boleh diekspot. Kajian efikasi juga dilakukan bagi menentukan dosej yang selamat diambil dan jenis-jenis mas cotek yang mempunyai potensi pengeluaran hasil tinggi.

Pihak Mardi juga memberi tunjuk-ajar kaedah penuaian yang sesuai tanpa merosak dan membantut tumbesaran pokok, apa perlu dilakukan selepas mas cotek dituai dan proses pengeringannya. Pengendalian selepas tuai adalah penting serta perlu mengikut beberapa peraturan supaya hasil tuaian tidak rosak dan menjejaskan kualitinya.

Menurut Hj. Musa Yaacob dan Puan Nurul Afza, pegawai-pegawai penyelidik di Stesen Mardi Telong, mereka kini merasakan hasil kajian yang diusahakan di sana lebih bermakna dan memberi manafaat kepada masyarakat. Mas cotek adalah antara herba hasil bumi kita yang bernilai tinggi dan berpotensi dipasarkan di peringkat global.

Hasil kajian Mardi ke atas herba mas cotek juga sudah memenangi beberapa pengiktirafan antarabangsa. Sebelum ini daerah Telong di Bachok dikenali dengan hasil tembakau. Meski pun hasilnya tinggi, mereka di Mardi merasa kurang enak kerana seolah-olah mendorong industri rokok yang memudaratkan kesihatan umum.

Saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran kursus ini. Khususnya buat En. Mohamed Redza Baba, Ketua Bahagian Herba dan Rempah Ratus bagi Tanaman Industri, Kementerian Pertanian, Putrajaya.

Assalamualaikum!

Hampir seminggu blog ini tidak dikemaskini iaitu sejak Sabtu lalu. Pada 1 Mac, 2008, saya memulakan program Certified Business Coach di UMCCed City Campus, Jalan Tun Ismail, KL. Program ini mengambil masa 6 bulan dan saya akan berulang-alik ke KL pada hari-hari Sabtu sehingga Ogos depan, insyaAllah.

Sebaik saja kelas tamat pada jam 6:00 petang itu, kami bertolak ke Kuantan dan bermalam di sana. Itu pertama kali saya melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang kini berakhir di Jabur. Pagi Ahad, kami meneruskan perjalanan ke Kuala Berang. Suasana pilihanraya amat terasa di Terengganu. 'Perang' bendera kelihatan di merata tempat, tampak meriah dan ceria, berselang-seli antara BN, Pas dan UMNO. Tayar kereta kami pancit di perjalanan dan diganti baru di pekan Ajil. Di Kuala Berang kami berjumpa dengan beberapa orang pelanggan. Perjalanan kami kemudian diteruskan ke Kota Bahru.










Kami ke KB untuk menghadiri kursus teknikal berhubung cara penanaman dan penuaian mas cotek di Pusat Latihan Pertanian Lundang. Rasional kursus ini diadakan di Kelantan ialah kerana penyelidikan herba-herba industri khasnya mas cotek dibuat di MARDI Telong yang terletak di Bachok. Ia menjadi tempat utama yang kami lawati. Selepas mendaftar di PLPL jam 2:30 petang Isnin, kami meronda-ronda di bandar. Saya amat gembira melihat buku saya, 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia dan banyak buku-buku penulis PTS yang lain di kedai buku Popular di KB Mall.