Monday, April 28, 2008

Lidah kelu...

Dalam aturcara seminar atau bengkel, waktu rehat tengahari biasanya hanya sejam. Dalam tempoh itu, 2 perkara perlu dilaksanakan oleh para peserta yang Muslim : makan dan solat zohor. Sebahagian orang memilih untuk solat dahulu, kemudian makan.

Meski pun masa agak singkat, tidaklah susah untuk melakukan kedua-dua perkara itu. Pokok pangkalnya kita tidak berlenggang-kangkong. Makanlah cepat-cepat, kemudian segera ke surau. Hmmm, bagi ramai wanita, mereka masih sempat bersolek selepas mengerjakan solat! Ibarat kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Apabila selalu dilakukan, memang tiada masaalah untuk masuk semula ke bilik seminar tepat jam 2:00 atau 5-10 minit terlewat.

Orang perempuan yang tidak solat biasanya ada keuzuran. Namun ada yang jujur memberi alasan : Saya tidak selesa solat dalam tergopoh-gapah. Leceh hendak berebut masuk toilet. Saya ini jenis yang suka cuci bersih-bersih. Nanti balik rumah, saya qada'lah...

Atau pun alasan begini : Saya geli hendak guna toilet macam ini (tandas duduk). Rasa tidak selesa. Saya kurang yakin selagi tidak cuci bersih-bersih. Lebih baik qada' saja. Balik rumah nanti, saya kumpul sekali dan qada selepas magrib.

Saya hanya senyum. Mahu menegur tetapi tidak jadi. Cuma hati kecil yang berkata-kata : Mana boleh qada' solat hanya dengan alasan-alasan begitu. Itu semua (gelikan toilet dan mahu cuci bersih-bersih) hanya mainan perasaan. Orang lain pun mencuci bersih-bersih dan tiada masaalah melakukannya.

Kekadang saya marahkan diri sendiri. Sudah tahu perkara itu salah tetapi tidak pula menegur. Saya memilih untuk diam kerana serba-salah. Secara kebetulan, mereka yang bersikap begitu berpersonaliti baik, matang, bijak, bergaya dan sudah berumur.

Ya Allah, ampunkan daku...

Tuesday, April 22, 2008

Seminar Peningkatan Produktiviti Usahawan Wanita

Hari ini saya menghadiri program anjuran MPC (Perbadanan Produktiviti Malaysia) dan PENIAGAWATI (Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan & Profesyen Malaysia). Saya dijemput menyampai ceramah bertajuk Perkongsian Pengalaman & Cabaran Dalam Bisnes Keluarga. Lebih 170 orang usahawan wanita hadir, majoriti mereka dari Melaka.

Sebelum tiba giliran saya, ceramah disampaikan oleh Presiden PENIAGAWATI, Dato' Hazimah Zainuddin bertajuk Isu & Cabaran Usahawan Wanita Dalam Perniagaan.

Ia diikuti ceramah oleh Dato' Azlin Shaharbi, Timbalan Presiden PENIAGAWATI bertajuk Penubuhan Organisasi Perniagaan & Aspek Undang-Undang Yang Releven. Ceramah terakhir disampaikan En. Mohd. Yazid Jenin (MPC) bertajuk Kecemerlangan Melalui Persekitaran Berkualiti.

Kedua-dua buku saya, Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya dan 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia dijual kepada para peserta seminar bersempena program ini. Terima kasih kepada pegawai MPC, Cik Wan Fazlin Nadia Wan Osman yang menguruskan penjualan buku-buku saya.

Dato' Hazimah yang kisahnya turut termuat dalam buku kedua saya amat gembira ketika kami bertemu. Hmmm, kami berpeluk Arab! Sebenarnya ketika hendak menulis kisahnya dulu, saya menginterviu Dato' Hazimah melalui e-mel dengan perantaraan P.A. beliau. Hari ini adalah kali pertama kami bertemu-muka dan pastinya saya juga amat gembira.

Dato' Azlin yang merupakan seorang peguam asyik bertanya tentang PTS. Beliau mahu berhubung dengan Puan Sifu. Meski pun sibuk dengan tugasan, beliau kepingin sangat berbincang tentang penulisan buku bersama Puan Sifu kita yang popular itu. Buku pertama Dato' Azlin diterbitkan Peniagawati.

Saya turut membicarakan khidmat business coaching kepada para peserta seminar. Ramai yang bertanya berbagai isu berhubungkait bisnes keluarga ketika sesi soal-jawab. Saya gembira dapat memperkenalkan diri, syarikat saya (Yuzuki Melaka Sdn. Bhd.), khidmat yang saya tawarkan, buku-buku saya dan juga PTS dalam program hari ini.

Ucapan terima kasih saya khas buat Dr. Rahmat Md. Smail, Pengarah MPC Wilayah Selatan dan En. Zakaria Md. Shariff, Pengurus MPC Wilayah Selatan. Terima kasih Pak Ya! Aduhai, kembang rasa hati apabila Pak Ya menyambut saya di lobi dan menguruskan pengangkutan buku-buku saya ke tingkat 7. Thank you yam leaf!

Sunday, April 20, 2008

Are You Solution Focused?

Sambil menaip entri ini, saya menyanyi-nyanyi kecil lirik lagu P. Ramlee berbunyi begini : Barang yang lepas, usah dikenang... Kalau dikenang, merana badan...

Hmmm, anda mungkin sudah dapat meneka apa yang berlaku kepada saya ketika coaching practicum semalam. Adus, kesilapan berlaku tanpa sengaja. Ia bermula dengan bagus, kemudian saya terlupa teknik dan terikut rentak coachee lalu berpusing-pusing kehilangan arah sekejap. Pastinya masa terbuang beberapa minit dan markah saya ditolak. Saya tidaklah teruk sangat. Namun seharusnya saya melakukan dengan lebih baik.

Seharian semalam kami di kelas menjadi pengkritik. Giliran saya menjadi coach di penghujung, oleh itu sebahagian besar rakan saya sudah selesai giliran masing-masing. Mereka pun memfokus sebagai pengkritik. Berderai-derai kami ketawa ketika menonton video dan melihat gaya seorang demi seorang menjadi coach.

Ketika memberi maklum-balas, suasananya seperti Ogy Ahmad Daud dan Adlin Aman Ramli mengkritik pelajar-pelajar AF. Mereka bertanya saya : Norlela, do you take the coachee's monkey? Saya jawab: No... Dan mereka tergelak-gelak lagi : Yes, you did when you said bla... bla... bla...! Adus, saya tidak perasan pun melakukan kesilapan itu!

Ya, bukan senang melakukan coaching di depan kamera. Macam-macam yang mahu di jaga. Ketika menurunkan saya di UMCCed pada awal pagi Zainal berpesan : Ingat, jangan berkerut. Itu sesi coaching, bukan pergi perang!!!

Saya tergelak-gelak. Ya, memang kebiasaan saya suka berkerut apabila terlalu ralit bercakap tentang sesuatu isu. Lalu saya pun asyik mengingatkan diri supaya senyum selalu. Dek sibuk menjaga kerut dan senyum, saya terlupa pula teknik, hehehe!

Orang kata, kita belajar melalui kesilapan. Sesungguhnya sesi semalam adalah proses belajar yang berkesan. Saya cuba menggunakan pendekatan solution focus tetapi masih melakukan pendekatan problem-solving.

Apabila mengaplikasi diagnostic approach saya sebenarnya berperanan sebagai konsultan dan melakukan consulting bukan coaching. Biasanya dalam proses coaching, coachee mahukan coach memberinya solusi dan jalan keluar. Cara itu lebih mudah baginya. Dia tidak perlu pecahkan kepala berfikir.

Solusi yang datang daripada pihak coach mungkin sangat baik dan bagus tetapi belum tentu ia praktikal dilaksanakan dalam situasi yang dihadapi coachee. Proses coaching mengiktiraf bahawa coachee lebih tahu apa yang sesuai untuknya. Dengan lain perkataan, the monkey must be transfered back to the coachee!

Lumrahnya, solusi sudah ada di dalam minda coachee. Dia hanya memerlukan sounding board. Itu saja. Proses coaching membantu coachee melihat solusi yang sudah ada itu dengan jelas. Coach tidak perlu mencarikan solusi. Sebaliknya tumpu sahaja kepada agenda coachee dan bertanya soalan-soalan power yang lebih solution-focused.

Hmmm, saya perlu melakukan lebih banyak coaching practicum. Jika anda berminat menjadi coachee saya, boleh hubungi saya melalui e-mel dan nyatakan isu anda. Saya akan pertimbangkan dan jika sesuai, saya aturkan masa untuk sesi coaching bersama anda. Buat sementara ini, khidmat saya masih percuma. Ambillah peluang ini dan hubungi saya.

Selepas sesi semalam kami perlu meneruskan khidmat coaching bersama coachee yang sama selama 5 jam lagi. Jadual akan diatur bersama coachee saya. Mungkin 5 jam coaching itu dilakukan dalam 4 atau 5 sesi. Di akhir proses itu kami perlu menyediakan lapuran lengkap dan membuat presentation kepada UMCCed sebagai tugasan akhir sebelum menamatkan program pada bulan Ogos nanti, InsyaAllah.

Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. InsyaAllah, saya akan meneruskan ke tahap seterusnya iaitu mendapat akreditasi ACC (Associate Certified Coaches) yang dikeluarkan ICF, badan yang mengiktiraf Coach Profesional.

Friday, April 18, 2008

Coaching Practicum

19 April, 2008 adalah tarikh dijadualkan UMCCed bagi sesi latihan coaching bersama coachee sebenar. Kami yang seramai 20 orang dibahagi kepada 2 kumpulan. Setiap orang akan menjadi coach dan menjalani sesi coaching selama 30 minit mengikut giliran yang sudah ditetapkan. Markah bagi latihan coaching ini ialah 25 mata.

Sesi coaching practicum ini akan diadakan dalam sebuah bilik yang siap dipasang kamera dan perakam video. Para peserta lain akan mengikuti sesi coaching itu secara siaran langsung di bilik bersebelahan. Apabila selesai satu sesi coaching, para peserta yang menonton video akan memberi komen terhadap teknik coaching yang aplikasikan oleh Si Coach.

Sesi saya adalah pada pukul 4:00 hingga 4:30 petang. Coachee saya disediakan oleh UMCCed kerana saya tiada calon sendiri. Beberapa hari lalu UMCCed meng-emel kepada saya butiran diri coachee saya itu lalu saya menghubungi beliau untuk berkenalan.

Namanya HH, seorang pelajar kolej dalam bidang multi-media. Umurnya 26 tahun, tinggal di Putrajaya dan bahasa Inggerisnya kedengaran amat baik. Kami sekadar berkenalan dan tidak langsung menyentuh tentang coaching issue. Saya beritahu dia perkara itu akan dibincang semasa sesi coaching sebenar nanti.

Saya tidak risau sangat tentang sesi coaching esok. InsyaAllah saya akan cuba melakukan yang terbaik (macam gaya Si Bob AF2, hehehe!). Sebenarnya saya sudah cuba meng-coach 3 orang baru-baru ini ketika menghadiri Career & Entrepreneurship Fair di MMU Melaka.

Secara kebetulan mereka singgah di booth saya dan apabila diberitahu saya sedang belajar menjadi business coach, mereka bertanya beberapa perkara. Saya pun mencubalah ilmu coaching yang baru saya pelajari. Kata trainers saya, ilmu coaching perlu dipraktikkan, barulah tahu di mana salah dan silap sendiri.

Antara isu yang ditanya para coachee saya waktu itu ialah perasaan buntu sama ada mahu berhenti kerja dan menumpu sepenuh masa kepada bisnes unit-trust atau terus bekerja dan membuat bisnes unit-trust secara sambilan. Juga tentang isu mencari kerja tanpa pengalaman dan isu konflik dalam diri.

Saya gunakan teknik-teknik coaching seperti mendengar dengan penuh perhatian dan bertanya soalan-soalan yang berhubung kait dengan maklumat yang saya dengar daripada mulut coachee sendiri. Saya juga mengaplikasi solution-focused approach. Antara reaksi yang saya terima berbunyi seperti berikut :-

Thank you, Madam. I think I know what to do now.
Thank you so much for your help. I appreciate it very much.
May God bless you. I hope we can meet again.


Adakah itu petanda baik buat saya? Hmmm, doakan saya semoga sesi esok berjalan lancar. Saya ingin menulis lebih lanjut tentang pendekatan solution-focus tetapi masa agak lewat waktu ini. Saya perlu tidur sekarang kerana selepas subuh esok, InsyaAllah, saya perlu bertolak ke KL. 'Supir' saya sudah lama menganyam mimpi di Bukit Katil (tidur tergolek atas katil)! InsyaAllah saya akan menulis tentang pendekatan solution-focus dalam coaching di entri yang akan datang.

Monday, April 14, 2008

23 Tahun

Hampir sebulan kami tidak bertemu. Waktu ini hatiku teramat rindu kepadanya. Dia tidak berkesempatan pulang kerana sibuk. Kami juga tidak berkesempatan melawatnya kerana kesuntukan masa di hujung minggu.

Dua hari lagi (16 April, 2008) genap usianya 23 tahun. Hmmm, dia sudah besar panjang. Dia bukan lagi anak kecil seperti di dalam gambar-gambar ini, meski pun di hatiku dia bagaikan sentiasa seperti itu. Ya, di hatiku dia seperti tidak besar-besar! Beginilah perasaan seorang ibu terhadap anak-anaknya, lebih-lebih lagi yang memiliki anak tunggal seperti saya.

Semakin Alum dewasa semakin saya sedar betapa dia wajar mempunyai kehidupan sendiri. InsyaAllah bulan Mei nanti, dia akan menamatkan pengajian, kemudian akan bekerja. Entah di mana tempat pekerjaannya, wallahualam.

Dua-tiga tahun akan datang, besar kemungkinan dia akan berkahwin pula. Ya, anakku sudah dewasa. Dia bukan lagi anak kecil seperti di dalam gambar-gambar ini. Dan saya juga semakin bersedia untuk menempuh masa depan tanpa mengharapkan dia selalu berada di samping kami.

Seperti saya, dia juga perlukan kebebasan untuk menentukan kehidupannya sendiri. Saya doakan semoga kehidupan anakku selamat sejahtera dan bahagia selalu. Selamat Hari Jadi! Mak dan Babah sayang Anak sehingga ke akhir hayat kami...

Thursday, April 10, 2008

Career & Entrepreneurship Fair 2008 di MMU Melaka


MMU Melaka mengadakan Career & Entrepreneurship Fair 2008 selama 3 hari bermula 8 hingga 10 April. Syarikat saya, Yuzuki Melaka Sdn. Bhd. antara 36 exhibitors yang menyertai program itu.

Ini pertama kali saya membuka booth di MMU iaitu apabila Bahagian Hal Ehwal Pelajarnya bersetuju dengan proposal saya mengadakan bengkel keusahawanan bertajuk Starting Your Own Business While Still In University pada minggu akhir bulan April ini. Assistant Director STAD mencadangkan program saya itu dipromosi oleh sekumpulan 10 orang pelajar. Antara strategi pemasaran mereka ialah menjemput para pengunjung yang melawat booth kami untuk mengambil ujian dipanggil Entrepreneur Test.

Tujuan ET ialah untuk mengetahui sama ada para pelajar itu memiliki ciri-ciri asas seorang usahawan. Semua pelajar yang mengambil ujian diberi kupon untuk menyertai cabutan nombor bertuah. Antara hadiah paling popular yang menjadi idaman ramai ialah Apple Ipod Nano 8GB dalam pelbagai warna.

Ini semua idea En. Syukor yang faham benar apa yang menarik perhatian golongan muda. Sudah 2 petang (Selasa & Rabu) tepat jam 5:00, cabutan nombor bertuah dilakukan di pentas dewan pameran. Para pelajar yang menanti acara itu bersorak gembira. Pada mulanya saya tidak tahu apa bendanya Ipod Nano itu! Sejak semalam barulah saya tahu. Aduhai, ketinggalan zaman sedikitlah Si Trainer ini!!!


Bukan para pelajar saja yang berminat dengan bengkel saya ini. Beberapa orang staf syarikat exhibitors juga mahu menyertainya. Mereka ambil peluang berbincang isu-isu bisnes sambil melihat buku-buku saya. Betul juga kata Puan Sifu, apabila ada buku sendiri, lebih mudah untuk memasarkan diri kita sebagai trainer.

Monday, April 7, 2008

Pesta Buku 2008

Semalam (Ahad) saya dan Zainal singgah di PWTC untuk ke Pesta Buku. Booth PTS terletak di seberang sungai. Di celah-celah orang ramai saya terlihat Puan Sifu yang berwajah ceria... dan berpeluk Arab kami berdua! Sifu bertanya : Mana lagi?

Saya memperkenalkan beliau kepada Zainal : Kami berdua saja, Puan. Tadi ke majlis kahwin bersama Hj. Sabtu dan isterinya. Mereka akan datang ke sini petang ini.

Jawab Sifu : Hmmm, Hj. Sabtu itu ya... Saya memang mahu berjumpa dia. Saya mahu tanya mana buku dia? Nanti saya beduk sebab buku tidak siap-siap lagi!

Pesan Sifu kepada Zainal : Apabila isteri menulis buku, suami berilah semangat. Kita sama-sama berusaha pandaikan bangsa.

Zainal berbisik kepada saya : Patutlah Ela serasi sangat dengan Puan Sifu. Satu fesyen rupanya. Sama rendang!

Ramai yang saya temui ketika di booth PTS semalam. Antaranya, Pak Latip (penulis buku PTS yang banyak menghasilkan buku) bersama cucunya, Puan Ain Maisarah yang sibuk melayan peminat-peminat novel remajanya, En. Nazrul dan En. Faris.

Sebelum meninggalkan booth PTS saya membeli 3 buah buku : Kenapa Saya Tidak Berfikir Begitu? karya Ainon Mohd., Rahsia Bisnes Mamak karya Muhammad Faisal Sharbudin & Zamri Mohamad dan Mencari Jalan Pulang karya Kassim Ahmad.

Wednesday, April 2, 2008

Projek Mas Cotek

Petang Jumaat minggu lalu ketika kami dalam perjalanan ke KL, bos Syarikat Moro Enterprise menelefon saya. Katanya, anak benih mas cotek akan dihantarnya kepada kami pada pagi Sabtu. Walau pun diberitahu kami outstation, dia bersetuju untuk menghantar juga. Nampaknya En. Ismail sudah tidak sabar-sabar lagi hendak menjadikan kami penanam kontraknya!

Sebenarnya saya memang sudah bercadang hendak memulakan projek ini dalam masa terdekat tetapi dek kerana sibuk dengan program coaching, ia tertangguh. Tambahan lagi kebelakangan ini musim hujan. Tapak yang kami sediakan cepat ditumbuhi rumput dan perlu dibersihkan semula.

Namun begitu, elok juga En. Ismail bersikap proaktif. Jika tidak, harus tertunda lagi projek ini! Anak benih dan tanah campuran (tanah baja + pelepah/bahan pokok kelapa sawit yang dihancurkan) sudah ada. Saya hanya perlu membeli poli beg (20x20 inci). Ya, kami membuat keputusan untuk menanam dalam poli beg, bukan terus di atas tanah. Itu lebih baik untuk jangka panjang. Kami juga perlu membeli batu-batu blok untuk dijadikan tapak pokok-pokok itu.

Hanif sudah bersetuju mengalihkan pokok-pokok itu ke dalam poli beg pada hari Ahad minggu ini. Kami hanya perlu sediakan upah untuknya. Saya sendiri belum pasti berapa lama masa diperlukan Hanif untuk menanam 300 batang pokok itu. Yang pasti, upahnya dikira ikut 'piece rate'. Mungkin 3 batang upahnya RM1... Hmmm, saya rasa maksima pun upahnya 2 batang untuk RM1... Aduh, andainya dia rasa tidak berbaloi, mana tahu Hanif suruh saya tanam sendiri! Bos projek ini sebenarnya ialah Hj. Zainal. Peranan saya sebagai cheerleader saja!!!