Thursday, July 31, 2008

Program Author Signing Di Pesta Buku Malaysia

Anda dijemput hadir ke Pesta Buku Malaysia 2008 di PWTC, Kuala Lumpur bermula 31 Julai hingga 3 Ogos, 2008. Aturcara bagi penulis-penulis PTS bertemu pembaca seperti berikut :-






31 Julai (Khamis)
Rahsia Mengurus Insurans Hayat: Sunthara Segar (12:00 tgh – 1:00 ptg)
PDA untuk Mesyuarat Berkesan: Ahmad Fadzli Yusof & Amin Idris (1:00 ptg – 2:00 ptg)
Islam yang Mudah: Alias Othman & Anisah Abd Ghani (2:00 ptg – 3:00 ptg)
50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia: Norlela Zubir (3:00 ptg – 4:00 ptg)


1 Ogos (Jumaat)
Rahsia Melabur dalam Unit Amanah: Sunthara Segar
Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif: Dr. Tengku Asmadi


2 Ogos (Sabtu)
Panduan Menjadi Ibu Bapa Cemerlang: Saat Sulaiman
Kusyi Hirdan, Hani Ismail, Fred Suriya & Amir Husaini


3 Ogos (Ahad)
10 Sahabat yang Dijanjikan Syurga: Saridah Hamid
Hadiah untuk Pengantin: Wan Shuhairi Wan Muhammad
Rahsia Islam di China: Ann Wan Seng
Salju Sakinah: Zaid Akhtar
Hanya Tuhan yang Tahu: A. Razak Adam
Makan Gaji Tetapi Kaya: Shamsuddin Abdul Kadir
Tarik Kekayaan dengan Kuasa Minda: Amar Mahmood

Wednesday, July 30, 2008

NPL Part 3

Sekiranya anda dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dalam sebuah syarikat Sdn. Bhd., besar kemungkinan anda perlu menjadi penjamin apabila syarikat itu membuat sesuatu pinjaman kemudahan di bank.

Ini sudah sewajarnya jika anda sendiri memiliki saham dalam syarikat itu. Sebagai penjamin atau guarantor, tanggung-jawab anda ialah memastikan semua hutang di bank dijelaskan oleh pihak syarikat, jika tidak, pihak bank boleh mengambil tindakan ke atas aset-aset peribadi anda.

Biasanya pihak bank menghendaki semua ahli lembaga pengarah dalam syarikat menjamin secara jointly guarantee. Jointly gurantee bermakna seseorang ahli lembaga pengarah itu terikat selama-lamanya dengan jaminan yang dibuat selagi semua hutang bank belum diselesaikan oleh pihak syarikat.

Dengan lain perkataan, jika hutang-hutang syarikat kepada bank sudah bertukar menjadi NPL, andalah yang akan dicari oleh pihak bank untuk membayarnya bagi pihak syarikat. Sekali pun jika anda tidak lagi menjadi ahli lembaga pengarah syarikat tersebut, anda masih terikat dan perlu bertanggungjawab penuh sebagai penjamin.

Katakan anda tidak memiliki apa-apa saham pun dalam syarikat itu tetapi telah dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dan perlu menjadi penjamin kepada syarikat. Apa yang boleh anda lakukan ialah menjamin secara group guarantee.

Melalui cara ini (group guarantee), jika anda tidak lagi menjadi ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan, anda boleh memohon kepada pihak bank untuk keluar iaitu tidak lagi menjadi penjamin dan tempat anda boleh digantikan dengan ahli lembaga pengarah yang baru.

Biasanya pihak bank mahukan semua ahli lembaga pengarah syarikat menjamin secara jointly guarantee. Mereka tidak akan menerangkan tentang group guarantee sebagai alternatif. Andalah yang perlu mengesyorkan perkara itu kepada pihak bank untuk melindungi hak anda. Lebih-lebih lagi jika anda tidak memiliki apa-apa saham dalam syarikat atau peratus saham anda agak kecil.

Tuesday, July 22, 2008

NPL Part 2

Sebelum pergi lebih lanjut kepada topik asal (dibincangkan di entri lepas) iaitu berhubung NPL (Non-Performing Loan), saya ingin menyentuh dahulu proses awal ketika kemudahan pinjaman ditawarkan oleh pihak bank kepada peminjam.

Kemudahan pinjaman (LC, BG, Factoring, OD & Term Loan) boleh dipohon sebagai satu pakej. Apabila permohonan bagi pakej kemudahan pinjaman itu diluluskan, pihak bank akan mengeluarkan surat tawaran kepada pemohon. Dalam surat tawaran itu dinyatakan syarat-syarat pinjaman, antaranya seperti berikut :-

  • Butiran kemudahan pinjaman diluluskan - termasuk kadar faedah, tempoh pinjaman, cara pembayaran balik, dll.
  • Jenis cagaran - gadaian biasanya berupa hartanah & penilaiannya dibuat jurunilai bertauliah.
  • Jenis jaminan oleh penjamin - melibatkan semua atau majoriti ahli lembaga pengarah.
  • Pengeluaran kemudahan pinjaman - dibuat apabila dokumen perjanjian pinjaman dan urusan guaman sudah disempurnakan.

Dalam surat tawaran bank, syarat-syarat pinjaman dinyatakan secara am. Butir-butir terperinci dinyatakan dalam Perjanjian Pinjaman. Dokumen itu disediakan oleh firma guaman yang dilantik oleh pihak bank (kos guaman ditanggung oleh peminjam).

Pihak peminjam biasanya berada dalam mood yang seronok ketika dipanggil menandatangan dokumen Perjanjian Pinjaman. Ahli-ahli lembaga pengarah yang menjadi penjamin pula dengan senang hati menurunkan tandatangan mereka di depan peguam.

Sebahagian daripada mereka mungkin tidak jelas tetapi tidak bertanya lebih lanjut kepada peguam apa maksud terma tertentu, contohnya jointly guarantee. Apakah yang dimaksudkan dengan jointly guarantee? Apakah alternatif lain yang ada jika seorang ahli lembaga pengarah tidak bersetuju menjamin secara jointly guarantee?

Jika kita tidak bertanya, pihak peguam tidak akan memberitahu apa implikasi yang bakal dihadapi oleh seorang penjamin seandainya kemudahan yang dijamin itu bertukar menjadi NPL di kemudian hari. Tugas mereka ialah melindungi kepentingan pihak bank, bukan pihak peminjam.

Peminjam sebenarnya tidak perlu bersetuju dengan apa saja yang dinyatakan dalam dokumen Perjanjian Pinjaman. Contohnya, pihak yang menjamin boleh memilih alternatif lain seperti menjamin secara group guarantee. Di entri akan datang, insyaAllah, saya akan menerangkan perbezaan diantara group guarantee dengan jointly guarantee.

(bersambung di entri akan datang)

Monday, July 21, 2008

NPL Part 1

Mingguan Malaysia semalam melapurkan Datuk Seri Najib Tun Razak (selepas menyempurnakan Majlis Penutup Konvensyen Ekonomi Bumiputera) berkata : Jika bank bertindak menarik kemudahan pinjaman atau overdraf, yang menjadi mangsa adalah peniaga kita sendiri. Kemungkinan mereka akan gulung tikar sekiranya ini berlaku. Saya meminta pihak bank tidak terlalu drastik dalam tindakan mereka kerana ia boleh menyebabkan pengusaha bumiputera dan bukan bumiputera menghadapi tekanan yang amat sukar.

TPM berkata demikian ketika mengulas kesan suasana ekonomi tidak menentu yang boleh melumpuhkan sektor perniagaan. Sebagai contoh dalam senario hari ini, para peniaga terutama mereka yang banyak menggunakan kemudahan pinjaman bank sedikit sebanyak pasti merasa terancam dengan kemungkinan berlakunya melesetan ekonomi ekoran gelombang ekonomi dunia yang semakin terumbang-ambing.

Persoalannya di sini, adakah gesaan yang dibuat oleh TPM itu suatu perkara yang benar-benar serius sehingga menjadi arahan yang perlu dipatuhi oleh pihak bank atau ia hanya satu gimik politik menjelang pemilihan UMNO? Hmmm, wallahua’lam! Sesungguhnya saya tidak berani hendak komen apa-apa pun.

Dalam entri kali ini dan beberapa entri seterusnya, insyaAllah, saya ingin membincang topik berkaitan tindakan bank ke atas para peniaga yang gagal membayar balik kemudahan pinjaman mereka. Saya merasakan perkara ini amat wajar dibincang supaya kesedaran wujud lebih awal di benak bakal peminjam tentang tindakan yang mungkin dihadapi ekoran kegagalan membayar balik pinjaman.

Dengan meningkatnya bidang keusahawanan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, banyak bank yang menawarkan kemudahan pinjaman kepada mereka yang ingin menceburi bisnes. Antara kemudahan pinjaman yang biasanya ditawarkan bagi modal pusingan bisnes adalah berupa :-

  • Letter Of Credit (LC) - untuk pembelian bahan mentah
  • Bank Guarantee (BG) - untuk jaminan setuju terima tender kerja dan bekalan
  • Contract Financing (Factoring) - untuk pemfaktoran invois-invois jualan
  • Overdraf (OD) – untuk modal pusingan
  • Term Loan (TL) – untuk pembelian bangunan dan mesin

Di sebalik kerancakan tawaran kemudahan pinjaman yang pelbagai itu, adakah bakal-bakal peminjam menyedari apa yang akan berlaku seandainya kemudahan pinjaman mereka (di kemudian hari) bertukar menjadi NPL (Non Performing Loan). Apakah yang dimaksudkan dengan NPL? Dalam bahasa mudah, NPL adalah pinjaman yang gagal dibayarbalik.

(bersambung di entri akan datang)

Friday, July 18, 2008

15 Julai, Ulang Tahun Pertama Blogku

Saya sedang demam, batuk dan sakit tekak. Mungkin ini penangan makan buah rambutan. Atau faktor cuaca hujan dan panas yang berlarutan sepanjang minggu ini.

Hajat di hati hendak menulis sesuatu bersempena genap setahun usia blog ini pada 15 Julai lalu tetapi saya tiada mood dan tiada ilham. Ketika ini teringin pula hendak makan popia tetapi malas mahu buat. Hmmm, tengok gambar pun jadilah!

Rasanya tidak lengkap jika tidak menyatakan penghargaan buat biras saya, Tuan Sabtu, kerana dialah orang yang membantu saya memulakan blog ini. Setahun lalu, saya sendiri tidak menyangka blog ini akan terus aktif ditulis sehingga ke hari ini.

Sudah beberapa hari kerja saya tergendala. Sesi coaching dengan coachee saya juga tertangguh. Kelas coaching esok hari, insyaAllah saya cuba hadir. Rasa sayang hendak ponteng tetapi jika terus batuk begini, apakan daya, mungkin kena tuang kelas.

Buat anda yang sudi mengunjungi blog ini saya ucapkan setinggi terima kasih. Diharap bahan-bahan yang ditulis di sini sedikit sebanyak dapat memberi manafaat kepada anda. Dengan ilmu yang sangat terbatas, saya masih berimpian menjadi antara orang-orang yang dapat memandaikan bangsanya melalui penulisan, insyaAllah. Saya sudahi entri ini dengan terjemahan Ayat 2 & 3 Surah At Talaq atau biasanya disebut Ayat 1,000 Dinar...

Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya akan dijadikan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta diberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

(Terjemahan dipetik daripada buku Amalan Sepanjang Hayat terbitan Muafakat).

Thursday, July 10, 2008

Kewajipan Merekod Hutang Dalam Bisnes

Dalam mengendali urusan bisnes, besar kemungkinan kita akan terlibat dengan amalan berhutang atau memberi hutang. Contohnya dalam urusan berjual-beli secara kredit atau pun ketika kita membuat sesuatu pinjaman yang bertempoh.

Dalam Islam hukum berhutang adalah harus. Hukum membayar hutang pula adalah wajib. Semua urusan hutang mestilah direkodkan dengan betul dan jelas. Tanggung-jawab merekod hutang-piutang adalah satu kewajipan yang dituntut oleh Allah SWT. Ini dinyatakan secara panjang lebar di dalam Surah Al Baqarah, ayat 282 yang bermaksud :-

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis diantara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah SWT telah mengajarnya. Oleh itu hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah SWT Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun daripada hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi surat hutang itu) maka hendaklah kamu mengadakan 2 orang saksi lelaki daripada kalangan kamu. Kemudian jika tiada saksi 2 orang lelaki, maka bolehlah seorang lelaki dan 2 orang perempuan daripada orang-orang yang kamu persetujui menjadi saksi, supaya jika seorang lupa daripada saksi-saksi perempuan yang berdua itu, maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu lebih adil di sisi Allah SWT dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu) maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu, hendaklah kamu bertakwa kepada Allah SWT, dan Allah SWT sentiasa mengetahui tiap-tiap sesuatu.

(Terjemahan ayat di atas dipetik daripada Utusan Malaysia, Rabu, 9 Julai, 2008).

Monday, July 7, 2008

24th Anniversary

Hari ini ulang tahun ke 24 perkahwinan kami. Sewaktu bernikah pada tahun 1984, saya berusia 24 tahun dan Zainal 28 tahun.

Saya bertanya kepadanya : Apa yang sudah berubah? Lalu dijawab dengan cepat : Dulu, beratnya 46kg. Sekarang, 64 kg (opps! 63kg). Dulu, tidak pandai main duit. Sekarang ini, hohoho! Hmmm, dalam baik dia kenakan saya...


Lalu saya membalas : Dulu, rambutnya hitam di belah tengah, stail ala-ala afro. Sekarang, rambutnya warna perak, dibelah tepi, stail otai, hehehe!

Semalam (Ahad), kami 3 beranak pergi hi-tea untuk meraikan majlis ulang tahun ini. Petang tadi pula, saya mendapat sejambangan bunga dan sekeping kad. Hmmm, bertambahlah lagi koleksi jambangan bunga dan kad ucapan yang sedia ada.

Sambil mengucap terima kasih saya berkata : Eh, tadi saya nampak 2-3 set Corelle koleksi Country Rose. Mana dia? Zainal ketawa terkekek. Dia tahu saya menyindir!

Kami bersyukur kepada Allah di atas kurniaan rumah-tangga yang bahagia dan berkasih-sayang meski pun kini semakin di mamah usia.

Semoga diberiNya kesempatan buat kami meraikan ulangtahun jubli perak pada tahun hadapan, insyaAllah.