Wednesday, August 27, 2008

Kebun Mas Cotek Hj. Zainal

Ketika saya sibuk dengan program Business Coaching beberapa bulan lalu, Zainal pula sibuk dengan projek mas coteknya. Ini gambar kebun mas cotek Hj. Zainal, diambil 4 bulan lalu pada 27 April, 2008.

Kini pokok-pokok mas cotek itu sedang tumbuh subur dan rimbun. Di atas ini gambar terbaru yang diambil pada 27 Ogos, 2008. InsyaAllah, daun pokok-pokok ini boleh dituai dalam tempoh 4 bulan lagi.

Tuesday, August 26, 2008

Hari Bersejarah

Petang Sabtu minggu lalu, saya dan Zainal bertolak ke Ipoh. Esoknya adalah hari bersejarah buat kami iaitu Majlis Konvokesyen UTP ke 8 di mana Alum salah seorang graduan yang menerima ijazahnya pada sesi pagi. Sambil menanti upacara perarakan graduan bermula, saya memerhati sekeliling dewan yang meriah diserikan wajah-wajah para ibu-bapa dan kaum keluarga.

Mereka datang dengan berbagai gaya. Ada yang lengkap bersut hitam dan tali leher. Pasangannya pula berkebaya dan selendang panjang atau bersari dan berskirt labuh. Ada yang berkemeja batik, berjubah, bersongkok dan berserban. Sementara yang sempoi sekadar bersandal dan berkemeja T. Para ibu Melayu ramai yang bergaya dengan tudung manik serta baju kurung yang bertaburan dengan batu-batu hiasan berkilauan.

Waktu itu saya teringat suatu bab dalam novel Sang Pemimpi tulisan Andrea Hirata yang bertajuk Baju Safari Ayahku. Sambil membayangkan persiapan awal dan perasaan para ibu-bapa berbagai bangsa yang datang dari dekat dan jauh itu, saya kembali terkenang cerita penulis tersebut yang berbunyi begini…

Pada hari penyerahan buku laporan, ibu-bapaku sudah menyiapkan segalanya. Suami-isteri itu bangun pukul 3 pagi. Ibuku menyalakan arang dalam seterika, mengipas-ngipasnya, dan dengan pantas memercikkan air pandan dan bunga kenanga, yang telah direndamnya sehari semalam, di sekujur baju safari empat saku keramat itu. Ayahku kembali melakukan pemeriksaan pada basikalnya untuk sebuah perjalanan jauh yang sangat penting.

Selesai solat Subuh, ayahku sedia untuk berangkat. Dengan sut lengkapnya : tali pinggang bermotif ular tanah, kasut kulit buaya yang berkilat, dan stoking bola sepak, serta baju safari jahitan isterinya tahun 1972, yang sekarang berbau harum seperti kuih Bugis, ayah tidak kelihatan seperti buruh kasar. Sekarang beliau adalah petugas cacar, syahbandar, atau paling tidak, kelihatan seperti kerani di pejabat desa…

Canselor UTP, Tun Mahathir, dalam ucapannya berpesan supaya para graduan tidak melupakan berbagai pihak yang telah berjasa kepada mereka. Antara lain, jasa universiti tempat mereka menimba ilmu, jasa para pensyarah dan tenaga pengajar, jasa para penaja yang membiayai pengajian mereka dan yang paling utama, jasa ibu-bapa yang membesarkan mereka sejak lahir ke dunia ini.

Bahkan wajar dikenang juga jasa para guru sejak di bangku sekolah rendah lagi dan jasa sesiapa jua yang pernah terlibat secara langsung atau tidak terhadap kemajuan diri kita. Kata Tun, orang Melayu yang memang pandai menghargai budi, terkenal dengan pantun-pantunnya, antara lain pantun yang berbunyi…

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Lucunya Tun sendiri terlupa pantun di atas. Beliau memulai pantunnya dengan…

Gunung Daik bercabang tiga,
Pulau… pulau apa… saya lupa… jauh ke tengah
Lagi apa… saya lupa…
Budi yang baik dikenang juga…

Gelagat Tun mengundang gelak-ketawa semua tetamu di dalam dewan. Ah, entah kenapa hati saya terasa sayu melihat Tun yang kelihatan semakin uzur dan lemah, namun tetap gigih melaksanakan tugasnya di majlis itu. Di sebalik penglibatannya yang kurang disenangi dalam kemelut politik semasa, kehadiran Tun di majlis itu sungguh bererti. Kata-katanya masih amat bernas dan penuh bermakna. Di hatiku dan anak bangsa Malaysia yang lain, pastinya budi dan jasa Tun akan tetap dikenang zaman-berzaman.

Tuesday, August 19, 2008

Budaya Menghargai

Saya sudah mula memberi khidmat coaching kepada pihak yang memerlukan. Ada sesi yang berbayar (kadarnya munasabah) dan ada yang pro bono. Yang penting bagi saya di peringkat awal ini ialah dapat terus membiasakan diri menjadi coach dan mengumpul jam perkhidmatan (clock-in coaching hours). Di sini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman dalam menawarkan khidmat coaching kepada para pelanggan saya.

Dalam beberapa sesi coaching, saya dapat mengesan satu perkara yang acapkali berlaku di mana sang coachee memberi reaksi hampir serupa. Anda ingin tahu apa perkara itu? Ia hanya perkara kecil yang tampak remeh-temeh dan bagaikan tidak penting sehingga kita selalu terlupa melakukannya. Cuba anda teka apa dia?

Yang saya maksudkan ialah membuat orang merasa dirinya dihargai. Ya, saya dapati agak ramai orang yang merasakan diri mereka tidak dihargai. Atau pun pengorbanan yang mereka lakukan tidak diberi pengiktirafan yang setimpal. Mereka bagaikan merintih-rintih mengenainya. Bukan wang ringgit yang didambakan tetapi hanya sebuah penghargaan yang boleh diucapkan dengan kata-kata yang mudah.

Dalam banyak isu personal dan isu bisnes yang dibincangkan, saya kerapkali mendengar komen begini diucapkan oleh sang coachee : Saya tidak sedar apa yang saya lakukan selama ini sangat bermakna. Saya selalu berfikir ia hanya perkara rutin dan tidak memberi impak besar. Komen itu merupakan respon kepada maklum-balas yang saya berikan setelah mendengar apa yang mereka perkatakan.

Ya, sejak menjadi coach, saya mulai pandai mendengar. Ia berlaku tanpa saya sedari. Pada mulanya agak sukar bagi saya tidak menyampuk dan tidak membuat andaian tertentu ketika coachee sedang bercakap. Namun lama-kelamaan saya dapat mendengar tanpa prejudis, malah mendengar untuk memahami apa yang tersirat.

Hanya dengan saya sabar mendengar luahannya, sang coachee bagaikan merasa satu hubungan akrab terbina di antara dia dan saya. Pelik tetapi benar. Saya hanya menyatakan sesuatu yang begitu ketara (setelah beberapa ketika mendengar), tetapi kerana perkara itu tidak diperakui oleh sesiapa sebelumnya, sang coachee mula menunjukkan reaksi lega.

Contohnya dalam satu kes saya berkata begini : Saya dengar tadi dalam tempoh 6 bulan, Puan sudah melakukan perkara a, b, c dan d. Tidak sampai setahun pun Puan sudah berjaya ke tahap ini. Syabas, Puan! Bersetujukah Puan perkara a, b, c dan d itu tidak mudah dilakukan? (Sang coachee terdiam sejenak, kemudian mengangguk dan senyuman terukir di bibirnya).

Saya bertanya lagi : Bagaimana Puan dapat melakukannya? Ceritakanlah kepada saya. Sang coachee pun bercerita lagi dengan bersemangat. Dalam beberapa situasi, saya dapati isu-isu konflik timbul kerana ada pihak yang merasa dirinya tidak dihargai. Perasaan itu begitu kompleks dan menyakitkan. Apabila terlepas daripada belenggu perasaan itu, mereka merasa lega dan dapat keluar daripada kebuntuan yang dihadapi.

Mungkin budaya saling menghargai agak kurang dipraktikkan dalam masyarakat Melayu. Apa pendapat anda? Lebih-lebih lagi dalam memberi penghargaan kepada orang-orang yang mempunyai hubungan rapat dengan kita. Ia agak kurang diamalkan oleh sesetengah orang. Bak kata orang putih, we often take foregranted of those people who are most important to us.

Saya suka mengesyorkan kita jangan lupa bahawa semua insan di dunia ini memerlukan suntikan semangat, biar pun hanya sekadar kata-kata yang mudah diucapkan seperti terima kasih. Kata-kata yang memberi mesej penghargaan dapat menyejukkan hati sesiapa jua. Ia memberi kekuatan yang bukan sedikit kepada pihak yang menerimanya. Sebaiknya usahlah kita lokek dalam hal-hal sebegini.

Bagi anda yang memerlukan khidmat coaching untuk menangani isu-isu personal dan bisnes, sila hubungi saya di talian no. : 019-6562540 atau emelkan isu anda ke alamat : norlelazubir@yahoo.com

Friday, August 15, 2008

Etuy & Mural

Dinding di bilik ibu saya telah diconteng oleh seseorang. Suspeknya dikenalpasti berdasarkan clue yang ditinggalkan. Namun apabila disoal-siasat, suspek berusia 4 tahun 8 bulan itu tidak mahu mengaku. Lalu ibu suspek itu (Donut) pun mencapai gagang telefon dan berpura-pura menelefon ke balai polis Ayer Keroh untuk membuat lapuran polis. Ikuti dialog berikut :-

Donut : Tuan Inspektor Polis, bilik Mak saya kena conteng, Tuan. Hmmm, oh, Tuan mahu tahu siapa nama tukang conteng itukah? Oh, nama dia ada ditulis di dinding itu, Tuan. Hmmm, oh, dia tulis, 'Name : Etuy', Tuan. Hmmm, Tuan mahu tahu dia conteng dengan apa? Oh, itu pun dia ada tulis di dinding itu, Tuan. Dia tulis 'Artline 500', Tuan. Tuan mahu tangkap diakah, Tuan? Oh, ok, Tuan. Bila mahu tangkap dia, Tuan? Hmmm, oh, ok, sekejap lagi ya, Tuan. Ok, bye, Tuan!

Etuy yang memerhatikan ibunya (dengan muka berkerut-kerut) terus berteriak : Mama, STOP!!! Etuy tak luv Mama!!!

Saturday, August 9, 2008

Hello Coaches, Congratulations!

Hari ini tamatlah program coaching yang saya hadiri di UMCCed sejak 6 bulan lalu. Tugasan akhir kami (selepas menduduki ujian bertulis advanced level dan menyediakan lapuran projek) ialah membuat persembahan power-point tentang Coaching Practicum yang telah dilaksanakan bersama coachee. Setiap orang diberi masa persembahan 15 minit untuk melaporkan tentang pengalaman, teknik-teknik digunakan, cabaran dihadapi dan pencapaian masing-masing.

Secara rasminya kelas hari ini tamat jam 2:00 petang. UMCCed mengadakan parti kecil dan juga sesi karaoke buat kami. Saya pulang jam 3:00. Di samping bersyukur saya kini sudah memiliki kemahiran coaching, saya juga sedar ilmu ini perlu dipraktikkan dan pastinya tidak akan berakhir setakat di sini sahaja.

Saya sedang memikirkan cara yang efektif untuk memanafaatkan ilmu ini untuk membantu (diri saya dan) orang lain berjaya. Setakat ini saya sudah mengenal-pasti 3 cara iaitu :-

1. menulis tentang teknik dan kemahiran coaching
2. membuat modul latihan tentang teknik dan kemahiran coaching
3. menawarkan khidmat coaching

Jika anda mempunyai isu-isu yang perlu ditangani dan ingin mencuba khidmat coaching, sila hantarkan emel kepada saya di alamat : norlelazubir@yahoo.com atau pun hubungi saya di talian : 019-6562540.

Wednesday, August 6, 2008

Pengalaman Di Pesta Buku Selangor

Sejak menjadi penulis, sudah 4 kali saya terlibat dengan program buku (Book Talk dan Author Signing). Ia pengalaman mencabar buat seorang insan yang tebal sifat pemalunya seperti saya. Hmmm, masih teringat lagi bagaimana ketaqnya saya ketika berdiri di atas pentas sambil membicarakan buku-buku saya di pusat beli-belah Jusco Alpha Angle suatu ketika dulu...

Hampir seminggu menjelang program bicara buku pertama buat saya itu, saya tidak lena tidur. Jika dapat tidur pun, sekadar tidur-tidur ayam. Bukan sahaja tidur tidak lena, mandi pun macam tidak basah, makan pula terasa tiada selera.

Apabila acara itu sudah selesai saya merasa seperti terapung-apung di atas awan! Leganya hatiku bukan main. Bahkan ketika itu saya sudah mula berangan hendak buat sekali lagi (bercakap di atas pentas), hohoho! Hmmm, bagi saya, kejayaan menakluki rasa takut ibarat berjaya menakluki Gunung Everest.

Pengalaman kedua pula berlangsung di Mahkota Parade, Melaka. Meski pun sudah ada secubit pengalaman, perasaan gementar tetap mengganggu jiwaku. Namun semuanya saya harungi jua dengan nekad dan membuat muka selamba ketika duduk bercakap di atas pentas ditemani Pegawai Media PTS, En. Roslan Isa. Selepas acara itu, sekali lagi saya merasa seperti terapung-apung di atas awan. Aduhai!

Sifu saya, Puan Ainon Mohd., berkata : Tiada siapa pun yang tahu kita sedang takut jika kita pandai sembunyikan perasaan itu. Orang tidak akan tahu jika kita dapat mengawal bahasa badan (body language) seperti tertunduk-tunduk, tersipu-sipu dan menggelabah. Hmmm, sebenarnya saya tahu semua itu. Di usia 48 tahun ini memang banyak perkara yang saya sudah tahu. Cuma secara praktikalnya, saya masih perlu terus berusaha…

Minggu lalu di Pesta Buku Selangor, saya bertemu rakan penulis yang lebih senior, Tuan Sunthara Segar. Seperti saya, beliau juga terlibat dalam program Author Signing yang dianjurkan pihak PTS. Meski pun pertemuan itu singkat, saya dapat mempelajari beberapa perkara daripada Tuan Sunthara. Yang pertama sekali, beliau menunjukkan cara mempromosi buku. Saudara ingin tahu apa dilakukannya?

Hmmm, Tuan Sunthara sungguh peramah, dia menegur hampir semua pengunjung yang lalu-lalang di depan gerai PTS. Katanya : Saya penulis buku ini (sambil menunjukkan sederet bukunya kepada pengunjung itu). Wajahnya tersenyum manis. Seterusnya apabila pengunjung itu bertanya sesuatu, Tuan Sunthara menjawab : Oh, perkara itu ada saya tuliskan di bab 9. Encik baca di sini, tempat yang saya tandakan ini (sambil menunjukkan bab itu kepada orang yang bertanya).

Tuan Sunthara memang seorang jurujual yang profesional. Saya suka melihat dia membesar-besarkan matanya ketika bercakap. Dia tampak sungguh meyakinkan dan bersemangat. Dia mengajar saya lagi : Berikan kad nama Puan kepada pengunjung. Kadang-kadang mereka sekadar melihat-lihat dahulu dan tidak terus membeli buku kita. Jadi, kita berilah sedikit buah-tangan supaya boleh dibawanya pulang. Kad nama kita itu sangat penting, berikan kepada mereka supaya mereka teringatkan kita.

En. Sunthara bukan sahaja mempromosi buku-bukunya tetapi turut mempromosi buku-buku saya. Katanya kepada sekumpulan pengunjung wanita : Saudari-saudari mahu jadi usahawan? Baca buku ini (Kisah 50 Usahawan Wanita). Ini penulisnya, Puan Norlela Zubir. Yang lucunya saya secara tiba-tiba menjadi tersipu-sipu ketika seorang budak perempuan menghulurkan 2 buah buku kepada saya sambil meminta tandatangan : Ini untuk ibu saya. Namanya Puan Zurinah! Saya pun menandatangan buku-buku itu sambil diperhatikan Tuan Sunthara yang terus memanggil pengunjung lain.

Aduhai, waktu itu peluh saya merecik-recik keluar. Puas saya lap dengan tisu tetapi masih terus keluar lagi dan lagi. Saya sebenarnya terasa sangat malu, eh… bukan malu, tetapi darah gemuruh, hohoho! Tuan Sunthara terus mengusik saya : Puan sedang berpeluh, hahaha! Sabar, sabar, jangan panic, hahaha! Saya turut ketawa bersamanya.

Petang itu saya menyedari bahawa sebagai penulis saya perlu pandai menjual buku-buku saya. Bak kata Editor PTSPro, Tuan Aizat : Penulis perlu bekerjasama. Di PTS terdapat terlalu banyak buku untuk dipromosi. Jika penulis membantu promosi bukunya, tentulah lebih baik. Saya bersetuju dengan En. Aizat dan saya juga berterima kasih kepada Tuan Sunthara kerana mengajar saya menjadi seorang jurujual.

Saturday, August 2, 2008

Program Author Signing Di Pesta Buku Selangor

Anda dijemput hadir ke Pesta Buku Selangor yang berlangsung 25 Julai hingga 3 Ogos, 2008. Aturcara bagi penulis-penulis PTS bertemu pembaca seperti berikut :-









Tarikh: 2 Ogos 2008 (Sabtu)

Penulis: Nuriazam Ismail, Serunai Fakir, Ainin Naufal, Faizal Dzasrik, dan Muhammad Alif Redzuan
Masa: 1.00 – 2.00 petang
Deskripsi: PTS menjemput ibu bapa supaya membawa anak-anak menyertai game win lose or draw. Mereka berpeluang bersama dan bergembira dengan penulis remaja popular. Hubungi En. Nazri, 016-661 1940 bagi maklumat lanjut. Semua dijemput hadir.

Penulis: Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad
Masa: 2.00 – 3.00 petang
Buku: Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif
Deskripsi: Penulis best seller Motivasi Alihan Pelajar memberi motivasi berguna cara memotivasikan anak. Temui Presiden TAMRIN ini bagi bertanya berkenaan cara mengurus anak supaya belajar secara bijak. Hubungi Cik Siti Nor Fadilah Saleh, 016-661 1764 bagi maklumat lanjut. Semua dijemput hadir.

Penulis-Penulis Lain:
Bahtera Nabi Nuh: Saridah Hamid
Rahsia Melabur dalam Unit Amanah: Sunthara Segar (12:00 tgh – 1:00 ptg)
50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia: Norlela Zubir (1:00 ptg – 2:00 ptg)
Salju Sakinah: Zaid Akhtar

Tarikh: 3 Ogos (Ahad)

Dunia Ini Sederhana Kecil: Baharuddin Bekri
Ini Suatu Cerita: Faizal Dzasrik