
Lebih 7 tahun lalu iaitu pada
27 April, 2001, saya mendapat rawatan
angio-plasty dan
stenting di Hospital Pantai Ayer Keroh, Melaka. Peristiwa diserang sakit jantung dan status kesihatan saya selepas mendapat rawatan itu ada dicoretkan dalam
3 entri di sini.
Alhamdulillah, kini saya sudah sihat seperti sedia kala.
Betulkah saya kini sudah sihat seperti sedia kala… malah lebih sihat daripada dahulu? Hmmm… betul, betul, betul… (bak kata ‘Upin & Ipin’)! Ya, dengan izin Allah, saya sihat wal afiat. Yang pasti saya memakan ubat secara berterusan sehingga sekarang.
Meski pun sihat, dengan memiliki rekod rawatan coronary artery disease (CAD), saya dianggap tidak layak untuk mendapat perlindungan insuran perubatan. Secara amnya, tiada syarikat insuran yang berani melindungi saya meski pun keputusan medical check-up tahunan saya tidak menunjukkan apa-apa masaalah kesihatan yang serius.
Baru-baru ini En. Sunthara Segar, rakan penulis di PTS yang juga seorang konsultan dalam perlindungan insuran, mencadangkan saya supaya memohon perlindungan insuran perubatan Etiqa Takaful. Beliau memperkenalkan saya kepada seorang ejen, En. Lutfi. Menurut En. Lutfi, jika saya benar-benar sihat, mungkin syarikat insuran itu boleh melindungi saya bagi penyakit-penyakit selain CAD.
Pagi tadi saya ke Hospital Pantai Ayer Keroh untuk mendapatkan APS (Attending Physician Statement) daripada Dr. Ong Pang Kok, pakar jantung yang merawat saya. Sudah lebih setahun saya tidak menemui beliau untuk pemeriksaan rutin. Setiap bulan ketika saya datang untuk mengambil ubat, kliniknya penuh dengan pesakit dan saya pun menjadi malas untuk bertemunya.
Sebaik sahaja saya duduk, Dr. Ong bertanya : You have any chest pain?
Saya dengan confident menjawab : No… not at all.
Sambil membaca Pathlab Report saya, Dr. Ong bertanya lagi : Very sure?
Saya mengangguk. Tiba-tiba… dia mula berleter : Your cholesterol level is border line. What happened? Ada makan sotong lagikah?
Saya tersengih sambil memberi alasan : Ada juga, but… not much. Just a little.
Dr. Ong : Mana boleh just a little, Norlela. It takes time to develop your cholesterol to this level. Norlela, you better watch out…
Jawab saya : Ok, Doc. Please write a good report for me. I’ve been ok these seven years, right? I excercise, do morning walks...
Dr. Ong memeriksa tekanan darah saya, kemudian beliau berkata : Border line… Your report will be ready on Monday. Anyway, they’ll want you to be tested on the treadmill later. So, you keep on exercising. Practice naik tangga…
Keluar daripada bilik Dr. Ong, 3 orang jururawat beliau (Eton, Jenny dan Yati) yang memang nakal terus mengusik saya…
Eton : Hmmm, padan muka dia kena marah dengan Dr., hihihi… Dah sakit pun berani makan sotong. Nak makan sotong lagi?
Jenny : Itu le, orang dah cakap… jangan makan sotong. Degil sangat, hihihi…
Yati : Hmmm, bagusss... padan muka dia kena marah dengan Dr. Itu le, tak nak bawak kuih raya untuk kita orang... Kedekut, tahi hidung masin, hihihi...
Saya tergelak-gelak. 3 orang jururawat Dr. Ong itu memang kurang asam. Namun mereka sangat mesra dengan semua pesakit termasuk saya. Gelagat mereka yang macam emak tiri membuat kami yang datang ke klinik tidak kering gusi.
InsyaAllah jika tiada aral merintang, APS saya akan siap pada minggu depan. Mudah-mudahan permohonan saya akan dipertimbangkan dan seterusnya diluluskan. Ya, moga-moga ada rezeki saya kali ini. Meski pun premium yang perlu saya bayar agak tinggi, ia adalah lebih baik daripada tiada perlindungan insuran langsung.
Risiko bagi menghadapi penyakit kronik kini sangat tinggi dan saya agak risau kerana masih tiada perlindungan insuran perubatan. Doakan saya. Saya teringat kata-kata En. Sunthara : Jika puan berjaya dilindungi, kita akan raikan bersama kejayaan ini.
Ya, jika ia menjadi kenyataan, insyaAllah, saya berjanji akan belanja cendol! Hmmm, terlanjur membicarakan topik ini, sudahkah anda memiliki insuran perubatan? Jika belum ada, janganlah berlengah lagi. Ambillah cepat, lebih-lebih lagi jika anda kini berniaga dan bekerja sendiri...