.jpg)
Yuzuki Melaka Sdn. Bhd. milik saya dan Zainal. Di bawah bumbung yang sama tetapi kami menjalankan 2 aktiviti bisnes berbeza. Sila lihat gambarajah. Ada yang bertanya : Mengapa namanya Yuzuki? Tuan dan Puan ada bau-bau bacang dengan Suzuki? Kami ketawa berderai. Aduhai, nama itu tiada kaitan apa pun dengan Jepun. Sebenarnya ia sebuah akronim.Dalam buku Memulakan Bisnes Sendiri, Puan Ainon menyatakan panduan pertama mencipta nama syarikat yang baik ialah nama itu dapat menerangkan aktiviti bisnes yang dijalankan. Contohnya, Kedai Kek Maimun. Nampaknya nama Yuzuki tidak memiliki ciri utama ini. Namun ia memiliki ciri yang lain iaitu mudah diingat.
Dengan penglibatan lebih 20 tahun dalam industri pagar, Zainal tidak langsung keberatan dipanggil the fencing expert. Itulah kepakaran yang menjadi punca rezeki. Projek terkini yang sedang dikendalikan ialah di Kompleks Penjara Baru Sg. Udang, Melaka dan Kampus Baru UniKL di Seri Alam, Johor.
Kerjaya saya sebagai trainer dan business coach bermula ekoran penglibatan saya dalam penulisan buku-buku bisnes. Tanpa diduga, saya semakin menyukai kerjaya baru ini. Bagi seorang yang sudah lama terlibat dalam bisnes perkilangan, mengubah haluan kepada bisnes latihan adalah cabaran besar. Namun ia boleh ditangani apabila saya memilih untuk menerobos sempadan diri.
Semalam kami ke Seri Alam, Johor dan berkesempatan bertemu Alum di tempat kerjanya. Dia kini bertugas sebagai Site Engineer di Johor. Alum merancang mahu pulang ke Melaka hujung minggu ini tetapi dibatalkan kerana saya ada program di KL dan Shah Alam pada hari Sabtu dan Ahad. Pertemuan singkat semalam melenyapkan perasaan rindu kepada anak bujang saya ini.
Sambil Terrano kami meninggalkan tapak kerja Alum, saya berkata : Kulitnya agak gelap tetapi saya nampak anak kita itu semakin handsome... Dan dengan selamba Zainal menjawab : Ke mana lagi hendak tumpahnya kuah jika tidak ke nasi... Aduhai, perasan pula dia!


