Wednesday, December 31, 2008

Ustaz Ghaus 2

Ustaz Ghaus pernah bercerita suatu kisah sekembalinya beliau melawat Syria. Kisah itu mengenai sebatang pokok besar yang hidup subur di sebuah padang pasir yang tandus. Menurut beliau pokok berusia lebih seribu tahun itu sangat rimbun dan rendang. Batangnya sebesar pemeluk. Menurut cerita orang-orang tempatan di sana, Nabi Muhammad s.a.w. ketika muda pernah berteduh di bawahnya semasa baginda pergi berniaga di Syria.

Ustaz Ghaus membuat anologi begini : tidaklah mustahil bagi seseorang itu berjaya mengekalkan diri dalam amal kebaikan meski pun terpaksa hidup dalam persekitaran di mana maksiat dan kemungkaran berlaku secara berleluasa. Caranya ialah dengan berusaha keras meneguhkan iman serta menjaga dan meningkatkan amal ibadah setiap masa. Ibarat pokok besar yang diceritakan itu, ia mampu bertahan beratus tahun biar pun di kelilingnya hanya ada batu-batu pejal dan padang pasir yang kering kontang.

Saya teringat kisah pokok besar itu ketika melihat sebuah album yang menyimpan gambar-gambar Ustaz Ghaus. Isteri beliau yang mengeluarkan album itu dan mempelawa kami melihatnya. Ada 6 keping gambar Ustaz Ghaus sedang berteduh di bawah pokok tersebut. Saya meminta izin Kak Faridah bagi meminjam gambar itu untuk di’scan’ tetapi beliau hanya diam. Mungkin beliau belum bersedia berpisah dengan gambar suaminya.

Sebagai balu orang alim Kak Faridah tampak tenang ketika menceritakan kisah Ustaz Ghaus yang berulang alik ke hospital di akhir-akhir hayatnya. Menurut beliau jenazah suaminya selamat dikuburkan di kampung halamannya di Masjid Tanah. Pasangan itu mempunyai 13 orang anak (3 daripadanya sudah berkahwin) dan yang bungsu baru berusia 11 tahun. Katanya lagi : Mungkin saya akan terus tinggal di sini dan mungkin juga akan berpindah ke kampung.

Sejak beberapa hari yang lalu, saya membaca semula buku catitan kelas pengajian tasauf yang dikendalikan Ustaz Ghaus. Buku itu masih tersimpan dengan baik. Suara Ustaz Ghaus rasa terngiang-ngiang di telinga saya. Semoga Allah cucurkan rahmat ke atas rohnya. Semoga rohnya berada dalam sejahtera di alam barzah. Terima kasih buat guruku yang tidak ku kenali secara peribadi tetapi memberiku ilmu yang sangat berharga.

Tuesday, December 30, 2008

Ustaz Ghaus 1

Sekitar tahun 2005 saya mengikuti kelas agama di Kampung Bukit Lintang. Guru yang mengajar bernama Ustaz Ghaus. Rumah beliau diubah suai sebahagiannya menjadi madrasah. Lokasinya agak jauh tersorok daripada jalan besar dan di kelilingi kebun getah. Pada mulanya berat hati saya hendak ke kelas itu tetapi diajak berkali-kali oleh Rosnani dan Sajahan, maka saya pun pergi.

Apabila tiba di perkarangan rumah Ustaz Ghaus saya terkejut melihat ruang parkir besar yang boleh memuat lebih 30 buah kereta, tidak termasuk motorsikal. Begitulah ramainya orang yang datang (sekitar 60 orang) ke kelas beliau pada hari-hari biasa. Di hujung minggu khabarnya lebih ramai lagi yang hadir.

Ustaz Ghaus mengajar ilmu tauhid, tasauf, fekah, tafsir Al Qur’an, tajwid dan hadis sepanjang minggu. Saya memilih untuk hadir pada hari Selasa sahaja, jam 9:00 hingga 11:00 pagi. Mengikut jadual, pada hari Selasa Ustaz Ghaus mengajar tasauf. Setiap kali ke kelas itu saya membawa Mak bersama.

Sepanjang beberapa bulan menghadiri kelas beliau, saya tidak pernah melihat wajah Ustaz Ghaus. Ini kerana kaum lelaki dan kaum wanita duduk berasingan di madrasah itu. Namun saya cukup kenal suara beliau yang lantang di corong pembesar suara. Ustaz Ghaus bercakap stail orang kampong Melaka iaitu seakan menengking. Arwah datuk saya dulu pun bercakap stail begitu. Bunyinya agak garang dan keras.

Pada suatu hari saya dan Mak terlewat datang. Ketika kami sampai kelas sudah bermula. Menariknya pada hari itu sebuah TV sudah terpasang dan tersiar gambar seorang tok guru sedang duduk bersila dan bercakap di depan mikrofon. Seorang hamba Allah bermurah hati membelikan TV dan perakam video untuk siaran ke ruang duduk kaum wanita. Itulah pertama kali saya melihat Ustaz Ghaus. Orangnya berusia sekitar 60an.

Menjelang bulan Ramadhan tahun itu, Ustaz Ghaus menunaikan umrah dan kelas pun diberhentikan buat sementara. Selepas itu beliau kerap jatuh sakit dan kelas ditangguhkan lagi. Pada waktu itu saya sudah mendaftarkan diri dan Mak untuk menghadiri kelas Pengajian Usuluddin anjuran UMCCed di Seremban. Apabila kelas Usuluddin bermula (kami mengikuti 3 modul kesemuanya selama setahun setengah) kelas Ustaz Ghaus tidak kami hadiri lagi.

Sabtu lalu Sajahan mengajak saya pergi ke rumah Ustaz Ghaus. Sajahan juga sudah lama tidak mengikuti kelas kerana sibuk mengurus stesen minyaknya di Bahau. Tujuan kami ke sana untuk bertanya jadual kelas terkini kerana bercadang hendak hadir semula mulai tahun 2009. Isteri Ustaz Ghaus, Kak Faridah, menyambut kami di muka pintu rumahnya. Mendengar hajat kedatangan kami, beliau terdiam seketika. Kemudian menjawab perlahan : Ustaz Ghaus sudah meninggal. Hari ini masuk hari ke 35. Bersambung…

Monday, December 29, 2008

Surat Cik Su 1

Assalamualaikum Puan Norlela.

Nama saya Su. Saya sedang tercari-cari web / forum yang membincang tentang bisnes sendiri, lalu terjumpa blog puan. Saya bekerja sambilan di sebuah syarikat swasta hampir 3 tahun. Kini tiba masanya saya ingin ceburi bidang perniagaan. Saya anak sulong dari 4 beradik dan sudah kehilangan bapa sejak di bangku sekolah. Banyak semangat saya hilang dari suasana dan keadaan keluarga yang melalui bermacam dugaan. Saya ingin berniaga untuk membantu keluarga. Sejak 2 tahun kebelakangan ini, bermacam bisnes saya kaji, tapi satu pun saya tidak mampu laksanakan, mungkin kerana tidak ada pengangkutan, modal, kawan, dll alasan yang mematahkan semangat. Saya terbaca buku Amar Mahmood (petua manjadi jutawan). Saya terkesan dengan kata-kata beliau, antaranya, persepsi diri, gaya pemikiran separa sedar dan beberapa buku yang lain (buku puan akan saya cari, insyaAllah terutama 50 kisah usahawan wanita). Bermacam saya temui peluang bisnes samada di tempat saya sendiri mahupun di tempat lain. Masalah saya sekarang, saya sendiri terasa tidak mampu berbuat sesuatu di luar tabiat. Bila hendak buat sesuatu, terus nampak kepayahan. Betul kata Amar Mahmood, mahu mula yang payah, bila sudah mula seterusnya senang. Cuma hendak teruskan semangat pula payah. Apa yang nampak, saya mahu bantu keluarga. Saya juga tidak mempunyai modal, tiada simpanan. Puan, bisnes apa yang saya boleh buat? Saya sudah daftar syarikat sendiri (syarikat enterprise). Saya buat design, wakil percetakan. Saya amat meminati design satu ketika dahulu tapi kini pasaran di tempat saya tidak begitu mengizinkan. Tidak banyak idea bernas dapat saya keluarkan masa membuat design. Saya mudah bosan bila buat sesuatu yang tiada peningkatan. Saya suka berusaha buat benda yang baru. Dari segi ilmu, saya ada bab bina laman web, tapi kini rasanya saya sudah tidak berapa minat. Saya pernah mengkaji buka kedai dobi, kedai fotostat (printing), pernah juga fikir menjual ikan segar, nursery kanak2, namun tiada kekuatan. Kini, saya berminat berniaga pakaian dan tudung. Saya sedang kaji macam mana buat profit sharing, tapi saya tiada pengetahuan mendalam dalam bidang akaun. Puan, fikiran saya bercelaru. Diharap puan dapat memberikan tips atau motivasi khusus agar saya nampak apa sebenarnya masalah saya dan kebolehan saya yang saya tidak sedar atau saya langsung tiada bakat dalam bidang perniagaan. Terima kasih sudi luangkan masa membaca emel saya.

Cik Su yang dihormati,

Alaikumsalam dan terima kasih menghantar emel. Terdahulu saya ucapkan syabas kepada puan yang terus berusaha menerobos sempadan diri menceburi bidang bisnes meski pun bidang ini masih asing dan baru buat puan. Melalui emel dikirim, saya dapati keinginan puan untuk berniaga sudah ada. Bagi mengorak langkah seterusnya puan sedang menghadapi isu-isu seperti berikut :-

1. Belum jelas hendak menceburi bisnes apa. Bagaimana memilih bisnes paling sesuai?
2. Belum menetapkan matlamat bisnes. Apakah matlamat yang ingin dicapai?
3. Perlukan persediaan yang mantap (ilmu dan asas-asas bisnes). Apa yang perlu disediakan?
4. Mahukan sokongan material (modal). Di mana hendak dapatkan bantuan?
5. Mahukan sokongan moral (dorongan berterusan). Di mana hendak dapatkan bantuan?

Jika benar 5 perkara yang saya rumuskan ini, puan perlu memikirkan semula 5 persoalan di atas. Mula-mula cuba jawab soalan berikut :-

1. Apakah bisnes yang sepadan dengan minat, kebolehan dan personaliti puan?

Tip 1 : Pilih bisnes yang puan suka buat dan boleh lakukan kerana minat yang mendalam, bukan kerana terpaksa. Senarai bisnes yang puan fikirkan sudah ada : web-design, kedai fotostat, pakaian, ikan segar, dobi, nurseri kanak-kanak. Cuba fikir semula berdasarkan minat, kebolehan dan personaliti puan. Senaraikan butir-butir itu tanpa prejudis. Contohnya, jika waktu ini puan kurang pengetahuan dalam sesuatu, jangan risau kerana nanti boleh ditingkatkan dengan kursus dll. Buatlah 1 pilihan. Untuk renungan puan, saya sediakan contoh berikut :-

Contoh 1 : A suka buat sales. Dia pandai menjual. Apabila dia buat promosi, barangannya laku keras. Namun personaliti sebenar A ialah dia sangat pemalu dan tidak suka bertemu orang. Dia juga cepat bosan duduk di kedai menunggu pelanggan datang. Akhirnya A memilih membuat bisnes internet dan sangat berjaya.

Contoh 2 : B sangat minat bidang pertanian lalu menceburi bisnes cacing. B tidak sedar dirinya seorang yang amat penggeli. Meski pun menggaji pekerja, B merasa tertekan kerana loya melihat cacing setiap hari. Kasihan dia! Akhirnya dia tutup bisnes itu. Sehingga bertemu lagi, selamat maju jaya buat puan.

Monday, December 22, 2008

10 Hukum Kehidupan

Buku ini dihadiahkan oleh sahabat saya, Noridah Ujang beberapa tahun dahulu. Keadaannya yang lunyai menandakan buku ini selalu dibaca. Penulis buku ini mengupas 10 hukum kehidupan dan strategi bagaimana menghadapinya. Rumusan kandungan Life Strategies tulisan Philip C. McGraw seperti berikut :-

Life Law #1 : You either get it, or you don’t.
Strategy : Become one of those who gets it.

Life Law #2 : You create your own experience.
Strategy : Acknowledge and accept accountability for your life.

Life Law #3 : People do what works.
Strategy : Identify the payoffs that drive your behavior and that of others.

Life Law #4 : You cannot change what you do not acknowledge.
Strategy : Get real with yourself about your life and everybody in it.

Life Law #5 : Life rewards action.
Strategy : Make careful decisions and then pull the trigger.

Life Law #6 : There is no reality; only perception.
Strategy : Identify the filters through which you view the world.

Life Law #7 : Life is managed; it is not cured.
Strategy : Learn to take charge of your life.

Life Law #8 : We teach people how to treat us.
Strategy : Own, rather than complain about, how people treat you.

Life Law #9 : There is power in forgiveness.
Strategy : Open your eyes to what anger and resentment are doing to you.

Life Law #10 : You have to name it before you can claim it.
Strategy : Get clear about what you want and take your turn.

Tuesday, December 16, 2008

Hj. Zainal : Dulu & Sekarang

1974 - 19 tahun

1976 - 21 tahun

1980 - 25 tahun

Pak Lang & 'Orang Cina' (Hana) - 2007

Pak Lang & 'Tok Mat' (Hafi) - 2007

Buat suamiku yang amat dikasihi,
Selamat Hari Jadi ke 53...
Semoga Allah memberkati hidupmu sehingga ke akhir hayat,
Amin...

Monday, December 15, 2008

Dolah

Ketika hujan turun renyai-renyai petang Sabtu minggu lalu, saya mendapat berita Dolah meninggal dunia. Khabarnya dia pitam di bilik air rumahnya, lalu terus tidak sedarkan diri. Menurut birasnya, Hanif, sejak kebelakangan ini Dolah kerap memakan daging kambing di majlis kenduri. Mungkin dia mengidap penyakit darah tinggi. Wallahua’lam. Ketika berita itu saya ketahui, jenazah Dolah sudah pun dikebumikan di kampung halamannya di Nyalas, Melaka.

Dolah adalah bekas operator mesin di syarikat keluarga saya. Dia sudah lama berhenti kerja, kira-kira 13 tahun yang lalu. Saya membuka album lama untuk mencari gambar Dolah dan saya temui gambar di sebelah ini. Lelaki nombor dua dari kanan itulah Dolah. Waktu itu dia berusia lewat 20an dan masih bujang. Kini di usia 40an, dia sudah beristeri dan mempunyai seorang anak.

Sejak Dolah berhenti kerja, saya tidak pernah bertemunya. Saya cuba mengingat semula mengapa Dolah berhenti kerja sedangkan Hanif, birasnya, masih bersama kami sehingga ke hari ini. Lalu saya teringat beberapa peristiwa (datang kerja lewat dan lain-lain) yang menyebabkan saya terpaksa memberi surat amaran kepadanya. Lantaran surat itu, Dolah mengambil keputusan berhenti kerja.

Dolah sebenarnya pandai bertukang. Apabila orang kampung memanggilnya untuk membuat rumah, dia akan mengambil cuti berhari-hari untuk bertukang. Mungkin itulah yang mendorong Dolah mengambil keputusan berhenti kerja iaitu untuk menumpukan perhatian kepada kerja-kerja pertukangan rumah.

Apabila kita menjalankan bisnes dan perlu menggaji pekerja, adalah wajar bagi kita memiliki kemahiran yang dipanggil the skills to hire and fire. To hire tidaklah susah benar tetapi to fire, yang dimulai dengan mengeluar surat-surat amaran, bagi saya agak sukar. Adakalanya kita dirundung rasa bersalah dan perasaan kesal, namun mahu atau tidak ia terpaksa juga dilakukan.

Semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh Dolah…

Saturday, December 13, 2008

Masa Menuai

Ini gambar pokok-pokok mas cotek di kebun Hj. Zainal yang kini berusia hampir 8 bulan. Untuk melihat gambar-gambar ketika pokok-pokok ini baru ditanam dan ketika berusia 4 bulan, sila klik di sini. InsyaAllah daun dan buah mas cotek ini akan dituai buat pertama kali pada hujung bulan Disember, 2008. Sebahagian daripada pokok-pokok itu juga dijadikan anak-anak benih. Membuat anak benih agak mudah. Caranya ialah dengan memotong dahan yang berpucuk sepanjang 7 ke 8 inci dan ditanam terus ke poli beg berisi tanah, pasir dan baja kompos (diperbuat daripada pelepah dan tunggul pokok kelapa sawit yang dihancurkan). Jika anda ingin menempah anak-anak benih mas cotek dalam kuantiti yang banyak, sila hubungi Hj. Zainal di talian 019-6661466.

Thursday, December 4, 2008

Ground Rules

Cik S menceritakan kisah dia dipermainkan rakan kongsi. Dua tahun lalu Cik S menghadiri kursus menternak kambing boer. Meski pun tiada pengalaman, beliau sangat berminat menceburi bidang itu. Dalam kumpulan beliau (ketika berkursus) ada seorang peserta (namanya Encik Joe) juga berminat memulakan projek menternak kambing boer.

Encik Joe mempelawa Cik S menyertai projek ternakan kambing itu di ladangnya di Batu Pahat. Cik S bersetuju lalu membayar harga 2 ekor kambing boer dan kos makanan selama satu tempoh ditetapkan. Beberapa bulan berlalu, Cik S menelefon Encik Joe bertanya tentang kambing-kambingnya dan dimaklum semua berjalan dengan baik.

Selepas setahun, Cik S diberitahu 2 ekor kambingnya sudah beranak dan anak-anak kambing itu jantan. Beberapa bulan kemudian apabila Cik S menelefon lagi, beliau dimaklumkan salah seekor kambingnya mati terjatuh dalam perigi. Encik Joe meminta Cik S mengirim wang tambahan bagi kos makanan kambing-kambingnya.

Baru-baru ini Cik S mengambil keputusan mengambil balik kambing-kambing beliau (3 ekor semuanya) untuk diternak sendiri. Bagaimana pun En. Joe mengenakan beberapa syarat. Antaranya, Cik S perlu mendapat permit dan membuat ujian darah kambing-kambing itu sebelum boleh di bawa keluar dari Batu Pahat. Cik S kurang jelas mengapa syarat-syarat itu dikenakan.

Sampai ke hari ini Cik S masih belum dapat mengambil kambing-kambingnya. Beliau merasa dirinya tertipu. Kata Cik S : Semasa kami sama-sama berkursus, saya dapati Encik Joe itu tidak berkira orangnya. Saya merasa yakin dan melabur wang dalam projek ternakannya. Sekarang ini saya fikir lebih baik duit itu dilabur dalam ASB, sudah tentu dapat dividen.

Moral of the story : Set ground rules clearly

1. Sebelum berkongsi niaga, selidiki dan kenali dahulu bakal rakan kongsi itu.

2. Fahami dan timbangkan syarat-syarat perkongsian sebelum bersetuju melabur wang.

3. Buat perjanjian perkongsian dalam bentuk hitam-putih, bukan secara lisan.

Tuesday, December 2, 2008

Coaching Untuk Peserta Kursus

Ahad lalu sekali lagi saya dijemput ke program kursus keusahawanan anjuran TMS Consultant Sdn. Bhd., syarikat milik sahabat saya, En. Mohamad Fuad Ariff dan isterinya, Puan Anita Othman. Program itu diadakan sempena pembukaan dan perasmian pusat latihan mereka, TMS-PLK Training Center terletak di Subang Desa, U15, Shah Alam pada hari sebelumnya.

Kursus Asas Pembentukan Usahawan Cemerlang adalah siri pertama dalam program keusahawanan yang akan diadakan di pusat latihan itu. Kelmarin ia dihadiri 18 orang peserta. Saya diberi slot menyampaikan tip-tip do’s & don’ts dalam pengurusan bisnes keluarga.

Sebahagian peserta kursus sudah mempunyai pengalaman berniaga, antaranya bisnes membaiki komputer, bisnes insuran, bisnes tanaman nenas, bisnes pasar Ramadan, bisnes homestay dan bisnes food stall. Meski pun masih muda, mereka berani mencuba dan ada yang pernah gagal beberapa kali dalam bisnes kecil-kecilan yang diusahakan.

Saya diminta 2 orang peserta untuk memberi sesi coaching ketika waktu rehat. Peserta A membawa isu perbalahan dengan rakan kongsinya. Dia dan rakan kongsi itu sama-sama bekerja di syarikat mereka. Rakan kongsi itu juga merupakan ahli keluarganya.

Ini antara kata-kata peserta A : Saya cerewet tentang mutu kerja. Saya sangat rapi bab kebersihan tetapi dia tidak. Jadi saya selalu tegur dia. Bila saya tegur dia ikut, lepas itu dia berbalik kepada asal. Akhirnya saya ambil keputusan buat kerja itu sendiri tetapi saya selalu membebel. Dia pula suka diam. Saya beritahu dalam meeting mingguan kami, jika ada perkara dia tidak puas hati, kami boleh berbincang. Tapi dia tidak mahu bercakap. Puan tolong beri idea apa yang saya perlu buat?

Dalam kesempatan yang terhad itu, saya memulakan sesi coaching dengan peserta A. Saya banyak mendengar dan bertanya soalan-soalan kepada peserta A. Akhirnya beliau merumuskan begini : Saya perlu ubah cara saya bercakap dengan rakan kongsi saya. Dia pernah beri beberapa idea sebelum ini tetapi saya potong-potong cakap dia. Mungkin dia terasa hati dengan sikap saya. Saya pun jarang puji dia. Sebenarnya dia ok tetapi sebab dia degil, saya malas hendak beri pujian.

Wajahnya tampak lega. Sebelum sesi setengah jam itu ditutup saya meminta peserta A menyatakan 3 langkah yang akan beliau ambil serta-merta untuk menangani isu yang beliau kemukakan itu. Peserta A pun menyatakan 3 langkah berikut :-

1. Saya akan ubah cara saya bercakap dengan rakan kongsi saya. Saya akan guna cara lebih lembut dan tidak mengarah-arah dia.

2. Saya akan cari peluang untuk memuji sesuatu tentang hasil kerja dia. Saya hendak dia tahu bahawa saya menghargai apa yang dia buat untuk bisnes kami.

3. Saya akan minta pendapat dia bagaimana untuk meningkatkan prestasi bisnes kami. Masa itu nanti saya akan cari ruang untuk selitkan sedikit tentang pentingnya bab menjaga kebersihan. Saya perlu beri dia masa untuk berubah.

Peserta A berjanji akan memaklumkan perkembangan seterusnya kepada saya melaui e-mel atau telefon. Tanpa berlengah, peserta B muncul seraya memberi arahan kepada peserta A : Kamu sudah siap, bukan? Sekarang ke tepilah kamu... Giliran saya pula sekarang ini. Ok puan, isu saya begini... bla... bla... bla...

Saya terus mendengar. Dalam bisnes terdapat berbagai isu yang perlu ditangani. Ada yang tampak kecil tetapi masih perlu dicarikan penyelesaian. Sesi coaching dengan peserta B terpaksa dihentikan separuh jalan kerana kesuntukan masa. Kata peserta B : Puan masih berhutang dengan saya. Hmmm, no problem... Hubungilah saya dan kita boleh sambung semula sesi coaching yang tertangguh tempoh hari.

Jika anda ada isu bisnes untuk dibincang dan memerlukan khidmat coaching, sila hubungi saya di norlelazubir@yahoo.com