Friday, May 22, 2009

Mendorong Diri Sendiri

Hampir setiap hari saya menerima emel daripada para pembaca blog ini yang memerlukan khidmat coaching. InsyaAllah, jika masa mengizinkan saya cuba menjawab emel tuan/puan dalam masa terdekat. Inilah kelebihan khidmat saya iaitu respon cepat dan personalised. Tuan/puan boleh kemukakan apa-apa soalan tentang memula dan mengurus bisnes sendiri. Lebih baik jika soalan itu berkisar isu yang sedang tuan/puan hadapi supaya perbincangan terfokus kepada topik yang spesifik. Peranan saya sebagai coach ialah membantu tuan/puan mencari jawapan yang mungkin sudah pun ada di fikiran tetapi tidak terkeluar lagi kerana masih kabur. Ada masanya tatkala mengurus bisnes, kita menghadapi keadaan buntu dan merasa perlu berbincang dengan seseorang yang sedia mendengar dan memahami situasi. Itulah sebabnya diperlukan khidmat business coach. Oleh itu silalah menulis kepada saya.

Baru-baru ini seorang pembaca mengirim emel meminta saya memberinya semangat kerana dia ditimpa sikap malas berusaha. Maka pada entri kali ini saya menulis tentang isu ini. Mudah-mudahan sedikit sebanyak ia dapat membantu pihak yang bertanya.

Lebih sedekad yang lalu syarikat saya ada menggaji 16 orang pekerja Bangla. Kisah mereka pernah saya ceritakan dalam entri di sini. Beberapa bulan lalu, bekas pekerja Bangla bernama Syafiqul menalipon saya. Tujuannya untuk memberitahu dia sudah 3 tahun kembali semula ke Malaysia dan sedang bekerja di Kelang.

Menurut Syafiqul, syarikat tempat dia bekerja sedang menghadapi masaalah ekoran kegawatan ekonomi dan dia dijangka diberhentikan kerja. Syafiqul memohon bekerja sementara di tempat saya kerana permit kerjanya masih hidup. Kebetulan kami memerlukan khidmat welder tambahan, maka saya mengizinkan dia datang.

Syafiqul datang ke Melaka menaiki bas, kemudian mengambil teksi ke syarikat kami. Pertama kali bertemu semula setelah sekian lama tidak berjumpa, Syafiqul memberi komen spontan seperti berikut : Bos Jaynal, awak sudah tua! Zainal hanya tersenyum sambil itu berbisik kepada saya : Budak Bangla ini mahu kena karate!

Syafiqul bercerita kisah hidupnya setelah kembali ke Bangladesh. Wang simpanannya membolehkan dia membeli sebidang tanah dan menyelesaikan pelbagai hutang yang ditanggung. Dia kembali semula ke Malaysia bukan kerana tiada pekerjaan di kampung halaman. Menurut Syafiqul, entah mengapa sifat malas bekerja mula timbul dalam dirinya apabila di kelilingi ramai kaum keluarga.

Hakikat sebenar Syafiqul seorang yang ringan tulang. Sebelah petang setelah habis waktu bekerja, dia menawarkan diri menuai daun mas cotek di kebun kami. Kata Syafiqul : Saya mesti kerja, Bos. Dua anak sudah besar, mesti sekolah. Sekarang keluarga perlu duit. Isteri tanam padi, boleh makan 1 tahun. Saya hantar isteri RM1000 satu bulan. Ada lebih, beli tanah lagi. Hutang saya sudah tinggal sedikit.

Meski pun Syafiqul hanya seorang pekerja biasa, saya mengambil beberapa iktibar daripadanya. Seperti tertulis dalam buku bertajuk Mendorong Diri Sendiri karya bersama Puan Ainon Mohd. dan Prof. Abdullah Hassan, saya petik kata-kata berikut :-

Kita memerlukan persepsi yang betul tentang siapa dan apa diri kita sebenarnya... Kita mungkin menjadi penyebab mengapa kehidupan kita kacau lalu gagal... Kebanyakan orang gagal bukan disebabkan ancaman-ancaman luaran, sebaliknya kerana mereka enggan berdepan realiti diri mereka sendiri secara jujur...

Saya sarankan, dapatkan buku ini dan bacalah seterusnya. Buku ini sangat berkesan untuk membantu kita mendorong diri sendiri, insyaAllah. Anda perlukan khidmat Business Coaching? Hubungi saya di 019-6562540 atau emel : norlelazubir@yahoo.com

Thursday, May 14, 2009

Cafe Under The Cherry Tree

Beberapa tahun duhulu, di jalan masuk sebuah taman perumahan, ada sebuah warung yang sangat laris jualannya. Warung itu terletak di bawah sepohon pokok ceri dan ia pun menjadi popular dengan nama Cafe Under The Cherry Tree. Saya pernah bersarapan pagi di sana beberapa kali dan sotonya memang sedap.

Sebahagian besar pengunjung warung itu terdiri daripada orang-orang yang bekerja di pejabat kerajaan dan swasta. Setelah agak lama tidak ke sana, saya teringat semula akan kesedapan soto di warung itu. Malangnya apabila saya ke sana, warung itu sudah tiada lagi. Yang tinggal hanya tapaknya. Dengan perasaan hampa saya pun memusing kereta. Dalam hati berkata : Batu Belah batu bertangkup, aku kempunan hendak makan soto!

Tiba-tiba saya terlihat beberapa orang berpakaian pejabat sedang keluar daripada sebuah restoran. Saya pun mengambil keputusan untuk singgah. Restoran berpintu kaca itu berhawa dingin. Hiasan dalamannya sederhana tetapi menarik. Ketika terpandang saya, tauke restoran itu menegur : Macam pernah tengoklah puan ini. Kenal saya?

Saya terpinga-pinga, tidak pasti siapa dia. Dia menyambung lagi : Dulu puan bersekolah di MGHS, betul? Nama Norlela, betul? Saya tersengih, dalam hati berkata : Saya belajar di MGHS di tingkatan 1 selama 6 bulan sahaja. Ada juga orang yang masih ingat wajah saya setelah 36 tahun tidak pernah berjumpa! Bekas rakan sekolah saya itu (gelarannya Si Montel) menceritakan pengalamannya berniaga makanan.

Dia bermula daripada bawah, berniaga di warung dan kantin. Rupa-rupanya dialah tauke Cafe Under The Cherry Tree yang sudah dirobohkan. Selain warung itu, dia juga pernah berniaga di kantin kakitangan kompleks beli-belah Jaya Jusco. Kini beberapa orang anak Si Montel bekerja di syarikat keluarga mereka, mengurus bisnes restoran dan katering yang sedang berkembang maju. Moral of the story : Mulakan bisnes kecil daripada bawah. Kumpul modal sedikit demi sedikit. Apabila sudah ada pengalaman, besarkan bisnes itu.

Saya menerima beberapa surat daripada pembaca blog ini yang menyatakan hasrat ingin berniaga tetapi tiada pengalaman dan tidak tahu bagaimana hendak memulakan bisnes. Ada yang sudah mula berniaga, kemudian terasa hendak berhenti kerana bingung dengan pelbagai cabaran yang menimpa mereka. Antara perkara yang boleh saya syorkan buat pihak yang bertanya ialah mulakan dengan membuat pelaburan terhadap diri dan masa anda.

Ada 3 cara yang boleh anda lakukan. Pertama, mulakan dengan membaca buku-buku bisnes. Di pasaran sekarang terdapat banyak buku bisnes berbahasa Melayu yang ditulis secara santai dan mudah difahami. Antaranya bertajuk Memulakan Bisnes Sendiri, Formula Menjadi Usahawan Berjaya, Rahsia Bisnes Orang Cina, Siri Buat Duit, Siri Mula Bisnes, Kisah 50 Usahawan Wanita Malaysia, Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya, Bisnes Mamak dan banyak lagi.

Bacalah sebanyak yang mungkin untuk menimbulkan minat anda dan mencari idea untuk memulakan bisnes anda sendiri. Kedua, berkawanlah dengan orang-orang yang terlibat dengan bisnes supaya anda mendapat pendedahan tentang dunia bisnes. Minda orang bisnes tidak serupa dengan minda orang makan gaji. Tajuk perbualan mereka pun berbeza. Ambillah mana yang baik untuk dibuat teladan dan iktibar.

Ketiga, mulakan bisnes secara kecil-kecilan atau bantu kawan-kawan yang sedang membuat bisnes. Dengan cara itu, kita dapat mencipta pengalaman. Kita tidak akan tahu susah-senang mengendalikan sesuatu bisnes melainkan kita mencubanya sendiri. Cabaran awal yang bakal kita hadapi ialah bagaimana menghadapi rejection dan mengikis perasaan malu. Jika 2 perkara ini pun belum boleh kita kendalikan dengan betul, janganlah berani mengeluarkan modal besar untuk memulakan bisnes.

Anda perlukan khidmat Business Coaching? Hubungi saya di 019-6562540 atau emel : norlelazubir@yahoo.com

Monday, May 11, 2009

Career Planning Program

Hujung minggu lalu Powermakers Consultancy (milik sahabat saya, Noridah Ujang) mengadakan program Career Planning di Saujana Asahan, Melaka. Para peserta terdiri daripada 50 orang pelajar tahun akhir, jurusan pengurusan pemasaran, Multimedia University (MMU Melaka).

Puan Zaharah Bakar, pensyarah para pelajar itu, mengambil inisiatif dan memberi komitmen menyediakan minda para pelajarnya menghadapi dunia pekerjaan yang bakal ditempuhi. Turut hadir memberi sokongan dalam program 2 hari 2 malam itu adalah suami beliau, En. Nor Ismail, tuan punya firma Noris Architect dan dua orang anak gadis mereka.

Dalam program tersebut, saya mengendalikan sesi Becoming An Entrepreneur. Dalam aktiviti kerja berkumpulan, para pelajar itu menunjukkan kreativiti yang pelbagai dan mengaplikasi pengetahuan mereka dalam teknik-teknik pemasaran, kejurujualan dan promosi produk.

Maklumat menarik yang saya perolehi ialah ramai di kalangan para pelajar berminat dalam bisnes. Seorang pelajar berbangsa Cina memberitahu saya, beliau sudah pun menjalankan bisnes online sejak setahun lalu. Daripada keuntungan bisnes kecilnya, beliau sudah menyimpan RM6 ribu untuk persiapan membayar balik pinjaman PTPTNnya.

Saujana Asahan terletak di kaki Gunung Ledang, gunung lagenda penuh mistik dan rahsia. Maka tidak sahlah jika program ini tidak disertai beberapa aktiviti luar di sebelah petang seperti mendaki, meredah hutan & sungai, flying fox dan abseiling (obstacle activities). Semua aktiviti luar dikendalikan tim En. Koh yang terdiri daripada Cikgu Taufik dan En. Azlan.

Kami mengalu-alukan para pensyarah, tenaga pengajar dan pihak pengurusan kolej dan universiti yang ingin mengadakan program Career Planning mendapatkan khidmat kami. Sila hubungi saya di : 019-6562540 atau emel : norlelazubir@yahoo.com