Friday, July 31, 2009

Kisah Pagi Yang Indah...

Profesor Kamil (penulis buku ngetop Travelog Haji) dalam blognya selalu mempromosi kelebihan mengerjakan solat subuh berjemaah di masjid. Hati saya rasa terpanggil agar suami dan anak teruna saya turut melakukannya. Dulu-dulu semasa kami mengerjakan haji dan umrah, ia menjadi amalan tetapi lama-kelamaan solat subuh dikerjakan di rumah sahaja. Antara sebabnya kami kini tinggal berdua dan suami menemani saya solat di rumah.

Meski pun solat berjemaah di masjid tidak dituntut bagi perempuan, saya berhasrat melakukannya. Tujuan saya bagi mendorong suami dan anak kami membiasakannya. Bersempena bulan Rejab yang baru lalu, kami bersetuju memulakan rutin bersolat subuh di Masjid Al Alami, MITC. Pada mulanya liat sungguh hendak bangun seawal 5:30 pagi ke masjid. Liatnya ibarat hendak membuang lemak yang sudah tebal di badan. Selepas sebulan berlalu, ia menjadi kebiasaan.

Selepas solat subuh, biasanya kami pergi ber’jalan-jalan cari makan’. Barulah kami sedar bahawa rata-rata kedai makan milik orang Melayu belum dibuka selepas subuh. Mereka membuka kedai selepas pukul 7:00 atau 7:30 pagi. Sebaliknya kedai-kedai makan Mamak sudah pun berniaga sewaktu kami menyusuri jalan-jalan ke masjid. Kerap juga kami meronda-ronda di sekitar bandar Melaka dan singgah di kedai-kedai tertentu untuk ’pekena’ tosei.

Pagi ini kami meronda ke kawasan Bukit Katil. Kami singgah di sebuah kedai makan milik sepasang suami isteri Melayu. Satu peristiwa lucu terjadi. Sedang saya menyuap mee siam, tiba-tiba tauke kedai bersuara bising-bising. ”Biarlah dia nak makan. Yang awak perli-perli dia buat apa?” Isteri tauke pula menyampuk, ”Semalam pun awak buat begitu. Bukan awak yang bayar. Dia bayar sendiri. Kenapa awak kacau?”

Sejurus kemudian saya lihat seorang lelaki Cina separuh baya bergegas meninggalkan kedai itu. Saya menjongketkan kening kepada Zainal, bermaksud ’Kenapa tu?'. Zainal mengelipkan matanya, bermaksud ’Janganlah kepo!’ Sebentar kemudian tauke kedai menghampiri kami dan tanpa diminta dia bercerita. Katanya seorang pelanggan setianya asyik memperli seorang pelanggan setia lain yang berbadan gemuk.

Kata tauke itu lagi, pelanggan berbadan gemuk itu selalu memakan nasi lemak dengan lauk pauk rendang, telur goreng, sambal sotong, asam pedas tetel dan segelas teh tarik. Semalam pun dia bersarapan menu berat seperti itu. Pelanggan yang menegur itu menasihatinya supaya menjaga kesihatan, mentelah lagi badan si fulan itu sudah terlebih berat. Mungkin kerana dua hari berturut-turut dirinya dileteri, pelanggan berbadan gemuk itu terasa hati. Dia terus membayar dan berlalu pergi tanpa menghabiskan hidangannya.

Dalam kes ini, tauke kedai itu bakal kehilangan dua pelanggan setia. Yang seorang merajuk kerana diperli selalu makan banyak. Yang seorang lagi merajuk kerana dimarahi tauke kedai. Peninglah kepala si tauke kedai itu sebab masakan isterinya yang sangat sedap pun menimbulkan masaalah! Ketika Zainal membayar, tauke kedai itu bertanya, ”Tuan tinggal di mana?” Jawab Zainal, ”Di Bukit Beruang.” Lalu tauke itu bertanya lagi, ”Tuan kenal Hj. Salleh, dia itu orang Pas?” Zainal geleng kepala sambil tersenyum. Kami pun meninggalkan kedai itu.

Untuk makluman para pembaca budiman, Khamis depan, 6 Ogos, 2009, saya dijemput memberi ceramah bertajuk ”Perkongsian Pengalaman & Cabaran Dalam Bisnes Keluarga” di Seminar Peningkatan Daya Saing Usahawan Wanita anjuran MPC. Program itu diadakan di Kompleks MPC Wilayah Selatan, Johor Bahru. Bagi anda yang berada di JB dan ingin menghadiri seminar itu, mungkin sempat lagi menghubungi Tuan Syed Mohd Al-Khafiez Shah di talian 07-2377422. Jumpa di sana!

Tuesday, July 21, 2009

Bagaimana Memikat Hati Pelanggan

Dalam bisnes kita perlu pandai menjual. Antara skil menjual ialah pandai memikat hati pelanggan. Sesetengah orang keliru bahawa orang pasti akan membeli sesuatu produk apabila produk itu cantik dan bagus. Sebenarnya menjual sesuatu tidaklah semudah mengadakan produk yang cantik dan bagus sahaja.

Hakikat yang perlu disedari ialah orang hanya membeli daripada kita apabila dia menyukai kita. Dia menyukai kita kerana kita pandai mengambil hatinya. Contohnya, kita masuk ke sebuah kedai di sebuah mall dan kita dapati jurujual di situ asyik mengekor dan membuat kita rasa tidak selesa. Lalu tidak lama kemudian kita mengambil keputusan untuk keluar dan pergi ke kedai lain pula.

Saikologi pembeli yang perlu kita fahami ialah kuasa membeli ada di tangannya. Oleh itu dia mahu diberi layanan baik sehingga dia tertarik mengeluarkan wang yang tersimpan di dalam dompetnya untuk membeli produk kita. Orang bisnes perlu ingat bahawa pembeli membeli daripada kita melalui cara kita ‘menjual diri kita’. Orang bisnes yang berpengalaman berpesan, “Janganlah cuba menjual apa-apa sebelum kita selesai ‘menjual diri kita.’”

Apabila kita tidak dapat menjual produk atau perkhidmatan yang kita tawarkan, maka kita perlu menyiasat, adakah produk atau perkhidmatan kita itu yang cacat atau diri kita sendiri yang ‘cacat’. Apabila kita sendiri menjadi ‘salesman’ kepada produk atau perkhidmatan kita, apakah yang perlu kita buat? Apakah pantang larang yang perlu kita awasi?

Tip pertama ialah kita perlu pandai senyum dan menyapa pelanggan. Tip kedua, kita perlu pandai ‘tabik’ kepada pelanggan dengan menggunakan bahasa yang betul. Perlu diingati bahawa dalam bisnes, bahasa adalah wang. Contohnya apabila kita menyapa pelanggan, sapalah dia dengan panggilan yang boleh membuat dia rasa dihormati dan dimuliakan.

Satu tabiat orang kita ialah suka memanggil pelanggan perempuan dengan panggilan ‘kakak’ atau jika pelanggan itu berusia dipanggil ‘makcik’. Sebenarnya ini pantang besar yang perlu dielakkan. Panggilan-panggilan seperti itu adakala boleh diterima tetapi adakala menjatuhkan estim seseorang. Saya pernah bertanya kepada seorang jurujual mengapa dia memanggil seorang pelanggan ‘Makcik’. Lalu jurujual itu menjawab, “Pelanggan itu lebih-kurang sebaya dengan usia ibu saya.”

Saya geleng kepala mendengar alasan jurujual itu lalu berpesan kepadanya, “Dia bukan ibu awak. Dia adalah pelanggan awak. Jangan sesekali samakan mana-mana pelanggan pun dengan ibu atau saudara-mara awak.” Ini berlaku ketika saya mengadakan sesi coaching bagi seorang coachee yang membuka kedai pakaian di Kuantan. Menurut coachee saya, dia selalu melayan pelanggan yang datang ke butiknya tetapi butiknya kurang laku. Coachee saya bertanya, “Kenapa pelanggan tidak mahu membeli walhal saya sudah penat melayannya mengacu 10 helai baju?”

Saya memberi cadangan, “Belajarlah skrip bisnes yang betul supaya dapat menarik hati pelanggan. Buatlah skrip itu lebih awal. Contohnya, jika pelanggan itu seorang wanita muda, panggilan sesuai buatnya ialah Cik Puan. ‘Cik Puan’ bermaksud wanita cantik dan dikasihi. Jika wanita berusia, panggilan sesuai ialah Puan. Jangan sekali-kali di’kakak’ atau di’makcik’kan dia. Mana kita tahu jika dia ada gelaran Datin atau Puan Sri atau pun berjawatan tinggi seperti Profesor, Akauntan atau Pengarah. Bayangkan jika dia datang bersama teman yang mungkin menahan gelak mendengar cara kita memanggil pelanggan itu. Tanpa sedar kita sudah merendahkan meratabatnya dan mencalar estim dirinya.”

Ini sebahagian kisah dalam sesi coaching yang saya kendalikan. Jika anda memerlukan khidmat coaching untuk menangani isu-isu bisnes, sila hubungi saya di talian 019-6562540. Atau emel saya di norlelazubir@yahoo.com

Wednesday, July 1, 2009

Cerita Mas Cotek

Inilah kebun mas cotek kami.

Setelah dituai, daun-daun mas cotek dicuci dan
dibiarkan kering dengan panas matahari.

Daun-daun mas cotek yang sudah cukup kering dipek
dalam karung plastik. Setiap pek beratnya ialah 1 kg.
Sebahagian hasil tuaian yang sudah siap untuk dijual.
Saya menerima beberapa emel daripada pembaca blog ini yang ingin mendapatkan maklumat tentang penanaman mas cotek. Maka di entri kali ini saya kongsikan beberapa informasi yang mungkin berguna kepada pihak yang bertanya.

Seperti pernah saya ceritakan sebelum ini, saya dan suami menyertai program ladang kontrak anjuran Jabatan Pertanian Putrajaya pada tahun 2008. Kami menanam 300 batang pokok sahaja sebagai percubaan.

Kos keseluruhan yang kami belanjakan ialah RM3,600. Ini termasuk kos anak benih, tanah dan campurannya, polibeg, batu-bata (sebagai alas pokok), gaji pekerja serta baja organik. Pokok mas cotek hanya perlu disiram 3-4 hari sekali. Menjaganya agak mudah.

Oleh kerana kebun mas cotek kami ini terletak dalam dusun buah-buahan, pokok-pokok itu hidup subur dan rimbun tanpa banyak masaalah. Yang menimbulkan masaalah ialah 'perjanjian' ladang kontrak kami. Ia tidak menjadi!!!

Syarikat yang dilantik sebagai anchor tidak bersedia mengambil daun-daun kami seperti dijanjikan. Alasan diberi ialah mesin pengering daun belum sampai di kilangnya. Pokok-pokok yang sepatutnya dituai pada bulan Oktober, 2008 ditangguhkan penuaiannya ke bulan Disember, 2008.

Seterusnya ditangguhkan lagi ke Januari, 2009 dan kemudian dari bulan ke bulan sehinggalah ke hari ini. Ceritanya masih sama iaitu mesin pengering belum sampai lagi. Inilah realiti yang saya alami sendiri dengan menyertai program ladang kontrak. Ia tidaklah semudah yang diwar-warkan.

Entah di mana silapnya saya kurang jelas. Pihak Jabatan Pertanian Putrajaya juga terus senyap tanpa berita. Aduhai, ini memang kes hangat-hangat tahi ayam! Pantang nenek-moyang saya apabila orang buat kerja sekerat jalan seperti ini.

Melihat daun-daun mas cotek semakin lebat dan rimbun, kami pening kepala memikirkan apa hendak dibuat dengan pokok-pokok itu. Sahabat saya, Syimah yang juga menyertai program ladang kontrak ini hampir putus asa melihat pokok-pokoknya banyak mati kekeringan.

Beliau yang tidak menggaji pekerja mengurus pokok-pokok itu sendirian. Seperti saya, Syimah juga tidak tahu apa hendak dibuat dengan pokok-pokoknya sebanyak 500 batang itu. Aduhai, sungguh tidak di sangka program ladang kontrak anjuran Jabatan Pertanian boleh tersadai sekerat jalan!

Saya pernah terbaca kisah seorang pengusaha produk herba di akhbar. Antara produk yang beliau keluarkan ialah teh mas cotek dalam bentuk uncang dan kapsul. Paling menarik ialah ladang dan kilang beliau terletak di Melaka, hanya 6 km dari rumah saya.

Saya hubungi tauke herba itu yang dikenali sebagai Tuan Hj. Yaacob dan isterinya, Hajah Hairani untuk berunding. Kebetulan pada waktu ini mereka baru mendapat pesanan untuk membekal teh mas cotek sebanyak 150,000 uncang dan memerlukan daun-daun mas cotek untuk diproses. Alhamdulillah, Allah memberi jalan keluar kepada saya.

Tuaian kali pertama kami ialah 100 kg daun basah. Setelah dikeringkan beratnya menjadi 20 kg sahaja. Harga daun mas cotek kering ialah RM40 sekilogram. Tuan Hj. Yaacob membayar tunai RM800.

InsyaAllah dalam 3 bulan lagi, pokok-pokok kami boleh dituai semula. Saya bersyukur usaha kami tidaklah sia-sia. Sehingga entri ini ditulis, syarikat anchor di Batu Pahat masih belum menerima mesin pengering yang ditempah setahun lalu. Itu namanya sindrom menunggu buah tidak gugur!!!

Jika anda bertanya pendapat saya tentang prospek menyertai program ladang kontrak, jawapan saya begini :-

1. Saya fobia.
2. Ada kemungkinan jaminan yang dijanji indah khabar dari rupa.
3. Selidiki betul-betul sebelum melabur wang, masa dan tenaga.