Thursday, August 27, 2009

Salam Ramadhan

Ramadhan yang dinanti sudah tiba. Hari ini masuk hari ke enam kita berpuasa. Di bulan penuh barakah ini, mari kita memperbanyak amal ibadah supaya dapat menikmati ganjaran besar yang disediakan Allah buat kita. Tahun ini saya rasa bertuah kerana mendapat dua orang rakan bertadarus. Program kami bermula jam 7:30 hingga 9:00 pagi di Masjid Al Alami, MITC. Pada tahun-tahun lalu, saya bertadarus sendirian atau bersama Zainal sahaja.

Di bulan puasa ini, pokok-pokok dokong saya mula berbuah buat kali pertama. Ketika memetik buah dokong yang berjuntaian itu, rasa terkecur air liur, tetapi selepas berbuka puasa tertutup pula selera. Aduhai, sudah tua-tua begini pun saya masih ada perasaan macam budak-budak kecil yang lapar mata!
Di kebun saya ada enam batang pokok petai. Hujung minggu lalu, buah-buah petai saya dicuri orang. Saya rasa kasihan kepada sipencuri itu. Lantaran tidak berani meminta, dia terpaksa menceroboh kebun orang. Sebenarnya dia tidak perlu bersusah-payah mengait buah daripada luar pagar. Jika dia datang berjumpa saya dan Zainal menyatakan hajatnya, insyaAllah kami akan menghadiahkan buah-buah itu kepadanya seperti mana kami menghadiahkan kepada orang lain.

Saya ingin memetik informasi menarik daripada blog Prof. Kamil untuk renungan kita. Beliau mengatakan bahawa mengikut statistik, penduduk dunia kini ada sekitar 6.8 bilion orang. Daripada jumlah itu, 21% atau 1.4 bilion adalah orang Islam. Seperti yang kita yakini, hanya orang Islam yang berpotensi masuk ke syurga. Maka 1.4 bilion orang Islam itu adalah bakal-bakal ahli syurga.

Seterusnya Prof. Kamil memetik sebuah hadis qudsi yang menyebut "dalam setiap 1000 umat (keturunan Nabi Adam) hanya seorang yang akan terus ke syurga [Hadis Sahih Bukhari Jilid 3, Hadis Nombor 1470]" iaitu 0.1%. Ini bermakna daripada 6.8 bilion manusia di dunia kini, yang akan terus ke syurga hanya 0.1% atau 6.8 juta orang dan mereka mestilah daripada kalangan orang Islam. Secara ringkas, hanya sekitar 0.5% orang Islam (insyaAllah) akan dimasukkan terus ke syurga (6.8 juta/1.4 bilion). Sementara 99.5% lagi (walau pun Islam) akan ke neraka. Adakah kita termasuk dalam golongan 0.5% itu? Atau golongan 99.5%? Bersempena Ramadhan yang mulia (di mana Allah berjanji mengabulkan doa-doa orang berpuasa dengan penuh ikhlas) mari kita berdoa agar kita termasuk dalam golongan yang sedikit itu, insyaAllah.

Thursday, August 13, 2009

Bengkel Buat Duit Dengan Mengajar Tuisyen


Anda berminat menjana wang secara sambilan antara RM1120 hingga RM2520 sebulan dengan mengajar tuisyen?

Sahabat saya, Tuan Osman Affan, pakar motivasi program SMART STUDY membuka peluang ini. Beliau akan mengadakan Bengkel Buat Duit Dengan Mengajar Tuisyen pada hari Ahad, 6 September, 2009.

Pelajari kemahiran sebagai guru tuisyen daripada pakar motivasi tersohor ini. Untuk maklumat lanjut, sila klik di sini.

Monday, August 10, 2009

Expect The Unexpected!

Manusia hanya boleh merancang dan membuat persediaan sebaik mungkin. Namun apa yang bakal berlaku hanya Allah yang tahu. Di Seminar Peningkatan Daya Saing Usahawan Wanita yang berlangsung di MPC JB minggu lalu terjadi insiden di luar jangka. Bagi penceramah pro, mungkin tidak terasa apa-apa sangat. Bagi saya yang berdarah gemuruh, waduh... berpeluh dahiku apabila bekalan letrik tiba-tiba terputus!!!
Mujur giliran saya belum sampai waktu itu. Penceramah ketiga, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi tenang sahaja menyampaikan ceramah beliau bertajuk Aspek Undang-Undang Menentukan Kejayaan Perniagaan. Para peserta memberi perhatian meski pun pendingin udara tidak berfungsi dan dewan hanya di sinari cahaya samar-samar daripada pintu-pintu yang dibuka. Saya tabik kepada mereka yang bersemangat menimba ilmu. Setiap peserta mendapat senaskah buku tulisan Datuk Azlin, Timbalan Presiden Peniagawati bertajuk Undang-Undang Untuk Usahawan. Buku berharga RM59.90 itu mengandungi banyak maklumat tentang aspek undang-undang yang releven dalam pengurusan bisnes dan wajar dimiliki sebagai rujukan.

Sambil menunggu giliran, saya bertawakkal kepada Allah. Tanpa mikrofon dan alat-bantu (slides & power-point) yang sudah disediakan, saya memikirkan apa perlu diubahsuai. Ketika saya terkomat-kamit membaca doa, tiba-tiba lampu-lampu dewan menyala semula. Alhamdulillah! Dewan riuh dengan sorakan dan tepukan. Mereka bertanya apa doa yang saya baca. Saya tersipu-sipu dan mengucap syukur kepada Allah. Di program ini, buku-buku saya terjual 30 naskah dan 14 naskah lagi buku tulisan Puan Ainon (Mendorong Diri Sendiri & Memulakan Bisnes Sendiri). Juga terjual buku tulisan Ashadi Zain (Rahsia Bisnes Isteri Nabi : Khadijah) dan buku Muslim Kelana (Menjadi Usahawan Sehebat Muhammad Bin Abdullah). Terima kasih kepada Tuan Syed Mohd Al Khafiez yang mengaturkan seorang pegawai MPC mengurus jualan buku-buku tersebut. Terima kasih juga kepada Dr. Rahmat Md. Smail, Pengarah MPC Wilayah Selatan yang sangat baik layanannya. Bagi para peserta seminar yang memerlukan khidmat coaching, silalah hubungi saya. Mohon maaf saya tidak berkesempatan menjawab penuh beberapa pertanyaan dikemukakan tempohari. Gambar bersama beberapa peserta, dari kanan : Dr. Rahmat Md. Smail, Dato' Hazimah Zainuddin (berbaju hijau) - Presiden Peniagawati, Puan Rosleena (bersut hitam) - MPC, Dato' Azlin - Timbalan Presiden Peniagawati dan Puan Noriah Ashari (bersut krim) - Pengarah Urusan Atikah's Songket.