Monday, January 26, 2009

Hukum Berhutang

Sejak zaman Rasulullah s.a.w. amalan berhutang sudah berlaku seperti kisah baginda berhutang seekor unta. Baginda membayar hutang untanya dengan unta lebih besar dan lebih baik. Sabda baginda bermaksud : Sebaik-baik kamu ialah orang yang melebihkan dan memperelokkan pembalasan hutangnya (menambah daripada apa yang diambil).

Islam menggariskan beberapa hukum tentang berhutang, ganjaran pemberi hutang serta cara membayar hutang. Rasulullah s.a.w. mengingatkan, orang berharta yang sengaja menangguhkan pembayaran hutangnya termasuk dalam kalangan orang yang zalim. Pada dasarnya Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang. Hal ini dijelaskan dalam hadis daripada Uqbah Amir bermaksud : Jangan kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya. Mereka berkata : Apa itu wahai Rasulullah? Beliau bersabda : Hutang.

Dijelaskan dalam sebuah hadis (Hadis Hasan) bermaksud : Hutang di segi pahala, lebih 2 pahala daripada sedekah. Diceritakan pula dalam kisah perjalanan Rasulullah s.a.w. bersama Jibril pada malam Israk Mikraj, tergantung di salah satu pintu syurga kata-kata bermaksud : Sedekah bersamaan 10 kali ganda, hutang bersamaan 18 kali ganda. Baginda bertanya kepada Jibril : Mengapa demikian? Jawab Jibril : Sedekah diberikan kepada seseorang, semua atau sebahagian. Sementara hutang, orang tidak akan berhutang kecuali terdesak.

Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis diriwayatkan Muslim bermaksud : Allah akan menolong hambaNya selama hamba itu suka menolong saudaranya. Memberi hutang boleh bertukar menjadi wajib apabila orang yang memerlukan hutang itu amat terdesak, seperti ditimpa musibah,bencana dan kurang upaya. Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah, ayat 2 bermaksud : Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan jangan kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksaNya.

Rasulullah s.a.w. mengingatkan orang berhutang bahawa dia terus terikat dengan pembayaran balik segala hutangnya. Dia mesti menjelaskan hutang ketika hidup kerana apabila orang yang berhutang meninggal dunia, rohnya akan tergantung di antara langit dan bumi sehingga dijelaskan hutang itu. Bagi mereka yang tidak mampu melangsaikan hutang sehingga dia meninggal dunia, maka hutang itu menjadi tanggung-jawab Baitulmal seperti yang berlaku di zaman Rasulullah s.a.w.

Ada ulamak berpendapat, tanggung jawab membayar hutang berpindah kepada waris si-mati. Jika anaknya juga miskin, maka hutang berbalik kepada cara pertama iaitu diserahkan kepada kerajaan. Firman Allah dalam Surah Al Baqarah, ayat 280 bermaksud : Dan jika (orang berhutang itu) dalam kesusahan, maka berilah tangguh sampai dia berkelapangan. Dan menyedekahkan (sebahagian atau semua) itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

Rasulullah amat menggalakkan orang yang berhutang berusaha membayar lebih daripada hutangnya. Ia sebagai tanda bersyukur atas bantuan yang dihulurkan si pemberi hutang. Dalam keadaan biasa, hukum memberi hutang adalah sunat. Bagi orang yang berhutang, hukum membayar balik hutangnya adalah wajib apabila sampai tempoh. Jika belum sampai tempoh dijanjikan, pemberi hutang tidak boleh meminta hutangnya dibayar-balik.

Diceritakan oleh Anas : Seorang lelaki antara kami memberi hutang suatu barang kepada temannya. Kemudian orang yang berhutang itu memberi hadiah kepadanya. Hal itu diceritakan kepada Rasulullah. Jawab baginda : Apabila salah seorang antara kamu memberi hutang sesuatu, kemudian dia diberi hadiah atau dinaikkan ke atas kenderaan, maka jangan diterima hadiah itu, juga jangan dia naik kenderaan itu. Kecuali jika sudah biasa di antara mereka memberi hadiah iaitu sebelum terjadinya hutang tersebut. (Hadis riwayat Ibnu Majah). Rencana ini ditulis oleh : Wan Marzuki Wan Ramli (dipetik daripada Berita Harian).

Saturday, January 24, 2009

Silaturrahim

Ustaz Hakimin menelefon saya. Katanya, beliau, ‘Cikgu’ Rosidi, Tuan Suhaimi dan beberapa orang lagi staf MAP Training berada di Melaka. Mereka sedang membuat persiapan untuk program Motivasi Alihan Pelajar yang akan diadakan di Kompleks Masjid Negeri Melaka pada Sabtu dan Ahad (24 & 25 Januari, 2009). Kami membuat temujanji untuk makan malam bersama. Tanpa diduga, bos mereka, Dr. Tengku Asmadi dan keluarganya turut serta. Destinasi pilihan ialah Perkampungan Ikan Bakar Terapung Umbai. Malam tadi memberi kesempatan kepada saya dan Zainal mengenali lebih dekat pakar motivasi terkemuka ini. Kepada Dr. Tengku dan isteri, Ustaz Hakimin serta grup MAP Training yang lain, terima kasih sudi meluangkan masa bersama kami.

Wednesday, January 21, 2009

Pesanan Buat Graduan

Bakal graduan fakulti FKEKK, UTeM
Ahad minggu lalu saya ada temujanji dengan 5 orang pelajar UTeM. Kami bertemu di Kampung Buku yang terletak di Taman Botanikal, Ayer Keroh, Melaka. Pada pagi itu kami membincangkan topik keusahawanan. Mereka yang merupakan pelajar tahun akhir, kursus ijazah kejuruteraan elektronik, inginkan maklumat bagi menyiapkan kertas projek. Mereka mengaku tidak banyak tahu tentang aspek keusahawanan. Menurut mereka, ketika ini tiada seorang pun bercadang hendak menjadi usahawan kecuali jika tidak dapat mencari pekerjaan apabila mereka tamat belajar pada bulan Mei tahun ini.

Sambil menjawab soalan-soalan yang mereka ajukan (mereka membawa satu senarai), perbincangan kami berkisar kepada topik-topik seperti bisnes internet, bisnes pertanian, bisnes part-time di rumah dan sebagainya. Saya ambil kesempatan bertanya beberapa soalan yang mendorong mereka berfikir lebih dalam tentang dunia bisnes. Semakin lama berbincang, semakin disedari mereka sebenarnya tahu banyak perkara, bahkan ada yang mula mengaku berminat untuk mempunyai bisnes sendiri setelah berkeluarga kelak.

Waktu itu saya teringatkan peristiwa Puan Ainon Mohd. ditanya sekumpulan pelajar KUIS berhubung soal kerjaya. Manakah yang lebih baik diantara makan gaji dan bekerja sendiri? Puan Ainon menjawab : Pintu masuk pekerjaan di mana-mana pun boleh. Tetapi biarkan pintu itu terus terbuka. Maksudnya ialah, janganlah selepas kita menjadi jurutera atau doktor (sebagai contoh) maka kita tidak boleh lagi membuat perkerjaan lain. Biarkan pintu itu terus terbuka! Pesanan yang sama saya sampaikan kepada 5 orang pelajar UTeM itu.

Sunday, January 18, 2009

Isu Usahawan Wanita

Assalamualaikum Puan Norlela. Saya sedang dalam proses menyediakan proposal PhD dan berminat dalam isu-isu usahawan wanita. Mohon pandangan puan, isu apakah yang perlukan perhatian? Isu apa yang saya boleh bantu? Ada yang mencadangkan tentang training policy dan saya sedang kaji polisi oleh KPW. Mohon pandangan puan sebagai usahawan dan konsultan. Terima kasih. (http://idarizyani.blogspot.com/)

’Alaikumsalam Puan Ida. Saya lebih memfokus kepada usahawan wanita yang mengendali bisnes kecil dan mikro. Pada pandangan saya, antara isu dihadapi mereka ialah sukar mendapat sokongan padu daripada suami. Saya temui banyak kes di mana usaha usahawan wanita terbantut kerana pelbagai halangan yang dikenakan oleh pasangan masing-masing, meski pun bisnes mereka (yang dibuat dalam keadaan serba terhad) membuahkan hasil yang sangat baik.

Antara faktor yang membuat sebahagian suami kurang memberi sokongan ialah kesukaran isteri mereka membahagikan masa, antara urusan rumahtangga dan perniagaan . Ada juga kes para suami yang fobia menghadapi risiko rugi lalu menghalang usaha isteri. Sebahagian suami yang tiada semangat keusahawanan pula memomokkan pelbagai alasan bagi mengehadkan kegiatan bisnes isteri mereka.

Ada sesetengah usahawan wanita berani meredah (langgar cakap suami) secara terang dan berdepan risiko pertengkaran dll. Ada juga kes suami yang kuat menghalang isterinya berbisnes, kemudian apabila dia sudah pencen baru sedar bisnes itu sangat bagus dan berbaloi (setelah dia melihat sendiri hasilnya). Saya fikir lebih ramai kaum wanita (yang ada semangat keusahawanan) boleh berjaya dalam bisnes jika mereka mendapat sokongan padu dan restu pihak suami. Apa pendapat anda dalam isu ini?

Saturday, January 10, 2009

Istiadat Konvokesyen UMCCed

Hari ini saya menerima sijil Certified Business Coach (CBC) di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya dalam Majlis Penyampaian Sijil & Diploma Eksekutif UMCCed ke 20. Semua teman sekelas saya turut hadir kecuali Mr. Prakas, Mr. Low, En. Fuad dan Puan Wan Zini. Rasa terhutang budi kepada suamiku yang baik hati di atas keizinan, sokongan dan kesediaannya menjadi supir (membawa saya berulang-alik Melaka-KL-Melaka) selama 6 bulan. Semoga Allah membalas segala budi-baiknya dengan pahala yang setimpal. En. Hasril (pelajar 50an paling bising dalam kelas saya) menunjukkan kad namanya yang baru. Kad itu ada gelaran 'Coach' di depan namanya. Beliau berkata : Lepas ini semua orang mesti buat kad nama baru macam ini. Kalau tidak, aku tak mahu kawan. Kami semua tergelak sambil menjawab serentak : Aye, Coach Hasril!

Thursday, January 8, 2009

Hari Asyura

Beberapa hari lalu Sajahan memberitahu tentang majlis meraikan anak-anak yatim. Ia akan diadakan di rumah Puan Rahimah pada hari Rabu, 10 Muharram, jam 2:30 petang. Entah macam mana saya terlupa terus hal itu tetapi teringat semula kira-kira jam 3:00 petang. Saya geleng kepala memikirkan 2 perkara :-

1. Sempatkah hendak menukar wang di bank?
2. Apa alamat rumah Puan Rahimah? Saya hanya ada nombor telefon beliau.

Saya terfikir hendak membatalkan niat ke majlis itu apabila Sajahan yang saya hubungi berkata beliau penat dan tidak jadi pergi. Namun hati rasa ralat tatkala membayangkan 40 orang anak yatim berkumpul di majlis itu. Dalam saya berkira-kira sama ada hendak pergi atau tidak, Zainal muncul di depan mata. Saya bertanya : Ada peket angpau 40 keping? Zainal menjawab : Ada. Kenapa? Saya terus mengajaknya ke bank. Selesai menukar wang jam 3:30 petang, saya mengajaknya ke rumah Puan Rahimah pula.

Menurut Sajahan rumah wanita itu terletak di Taman Kenanga, di belakang Masjid Tengkera. Jam 4:00 kami sampai di belakang Masjid Tengkera tetapi tiada Taman Kenanga. Yang ada ialah Taman Siantan. Saya telefon Sajahan dan beliau memberi arahan begini : Jalan terus ke depan, nanti akan jumpa simpang 4, di sebelah kanan ada rumah 2 tingkat (rumah Cina), di sebelah kiri ada rumah teres setingkat. Masuk lorong itu dan cari rumah ada gate kayu. Senang saja. Ada banyak kereta di depan rumah itu.

Kami sampai di simpang empat tetapi tidak jumpa apa yang diberitahu oleh Sajahan. Sebaliknya yang kami nampak ialah beberapa deretan rumah kedai dan sebuah flat 4 tingkat. Zainal meminta nombor telefon Puan Rahimah dan dengan panduan beliau, kami sampai ke tempat yang hendak dituju selang 5 minit kemudian.

Ustaz Ahmad sedang berceramah ketika itu. Saya terus menyerahkan peket-peket angpau kepada Puan Rahimah yang menyambut kedatangan kami. Saya beritahu dia kami perlu segera balik ke pejabat. Wanita itu meminta saya tunggu sebentar. Beliau pergi memanggil beberapa orang anak yatim dan menyuruh saya mengusap kepala mereka. Katanya : Usaplah. InsyaAllah, Allah berikan rahmat sebanyak mana rambut di kepala mereka. Bergilir-gilir anak-anak yatim itu bangun dan setelah kepala mereka diusap, masing-masing kembali duduk di atas pentas. Puan Rahimah membekalkan saya 2 bungkusan nasi briyani dan buah-buahan untuk dibawa pulang. Saya mengucapkan terima kasih kepadanya. Juga terima kasih yang tidak terhingga kepada Zainal. Ketika balik dari pejabat, saya singgah di rumah Sajahan dan memberinya satu bungkusan nasi briyani buat berbuka puasa. Aduhai, jika Allah menginginkan sesuatu itu berlaku, diberiNya kemudahan dan semuanya sempat dilakukan. Alhamdulillah.

Tuesday, January 6, 2009

Persediaan Mental Menghadapi Ekonomi Meleset






Banyak akhbar pada waktu ini melapurkan berita tentang keadaan ekonomi semasa dan apa yang bakal berlaku ekoran krisis ekonomi dunia. Senario ekonomi pada tahun ini dijangka terus meleset. Sesetengah orang tidak terjejas dengan berita-berita begini tetapi bagi saya, hati jadi berdebar-debar. Pengalaman melalui kejatuhan ekonomi era 1997-1998 masih segar dalam ingatan saya. Apabila bisnes terjejas ekoran kejatuhan ekonomi, proses pemulihannya mengambil masa sangat lama.

Berbeza dengan krisis ekonomi 10 tahun lalu, kesan kejatuhan kali ini berlaku secara kurang mendadak. Namun saya percaya kesan kejatuhan itu akan sampai dan kita perlu bersedia mulai sekarang terutama daripada segi mental. Dalam buku pertama saya, Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya, ada saya selitkan satu kisah bertajuk Apabila Ekonomi Merudum (muka surat 106 hingga 113). Ketika ekonomi merudum dahulu, saya membeli dan membaca buku-buku yang di atas.

Sunday, January 4, 2009

Orang Kaya & Wang Mereka

Selamat Tahun Baru 2009. Buat anda yang sudi mengunjungi blog ini saya doakan semoga anda berada dalam sihat sejahtera dan diberi ketenangan jiwa serta dikurniakan Allah dengan rezeki halal yang melimpah-ruah, insyaAllah.

Dalam entri pertama tahun ini saya ingin bercerita kisah orang bisnes yang banyak wang, namun sangat berjimat-cermat dalam berbelanja. Yang pertama kisah kawan saya, R, seorang Pengarah Urusan di sebuah syarikat percetakan. Cerita ini sudah lama berlaku iaitu ketika R masih menjadi Penolong Pengurus dan belum mengambil-alih syarikat ayahnya.

Pada suatu hari, R pergi makan di restoran bersama ayahnya. Mereka makan nasi campur sahaja. R mengambil ayam goreng dan beberapa lauk lain tetapi tindakannya ditegur ayahnya. Kata R : Bapa saya suruh taruh balik ayam seketul. Dia suruh saya berjimat-cermat. Ayah saya kata jangan makan lauk banyak-banyak, nanti perut saya penuh cacing.

Saya ketawa terkekek-kekek. Antara percaya dengan tidak saya bertanya : Betulkah cerita ini? Masakan sampai begitu bapa awak berjimat? R memandang saya dengan dahi berkerut : Ya, saya tidak bohong. Ini kisah benar. Orang tua itu suruh letak balik ayam goreng yang saya ambil. Saya fikir dia bergurau, rupa-rupanya tidak. Saya pun letaklah ayam itu balik.

Kisah kedua diceritakan kawan saya, M, seorang tauke daging. Selain bisnes daging, keluarga M memiliki beberapa buah pasar mini dan bisnes-bisnes lain yang berjaya. Pendek kata ayah M seorang tauke besar. Kata M : Ayah saya jika pergi makan di kedai, dia akan order teh O dan mee goreng. Dia akan minta limau 2 biji. Satu untuk perah dalam mee dan satu lagi untuk perah dalam teh O.

Kita mungkin menyangka orang bisnes yang banyak duit akan membelanjakan wang mereka sesuka hati. Hakikatnya tidak begitu. Warren Buffet, orang kedua terkaya di dunia, pun sangat berjimat-cermat. Menurut cerita, beliau masih mendiami rumah lamanya di Omaha yang dibeli lebih 50 tahun dahulu ketika baru berkahwin. Rumah itu hanya ada 3 bilik tetapi bagi beliau, ia mecukupi dan memenuhi semua keperluan hidupnya.

Warren Buffet dikatakan tidak suka bergaul dengan golongan atasan. Masa lapangnya banyak dihabiskan di rumah, menonton TV sambil makan pop-corn. Beliau tidak suka menggunakan jet peribadinya walaupun memiliki syarikat jet terbesar di dunia. Berhemat iaitu sikap berhati-hati berbelanja dan bersederhana memenuhi keperluan hidup dituntut dalam Islam. Ahmad, Ath-Thabrani dan Al-Bazzar melapurkan Nabi Muhammad berkata : Tidak akan lemah orang yang berhemat.