Monday, February 23, 2009

Salam 49!

Malam Ahad lalu Alum balik ke Melaka dari Seri Alam. Sejurus sampai di rumah dia berkata : Mak, tutup mata. Saya bertanya : Kenapa? Jawabnya : Ada hadiah. Cepat Mak, tutup mata. Saya pun menutup mata, sambil itu mencuri hendap kotak yang dibawanya. Aduhai, hatiku berbunga-bunga. Bagi seorang ibu, perkara yang sangat bermakna buatnya adalah ingatan, kemesraan, kata-kata lembut dan layanan baik anak terhadapnya. Hadiah itu, jika ada, ia ibarat bonus. Terima kasih, anakku!

Sebulan lalu saya meng‘angin-angin’kan kepada Zainal bahawa saya tidak mahu lagi diberi jambangan bunga untuk hadiah hari jadi. Saya meng‘angin-angin’kan bahawa saya HANYA inginkan sepasang cermin mata baru. Itu sahaja. Zainal ketawa terkekek-kekek. Saya pun ketawa terkekek-kekek. Itu namanya ketawa ada makna. Aduhai! Harga cermin mata 3 dalam 1 (rabun jauh + rabun dekat + pelindung silau matahari) yang saya inginkan itu hampir mencecah 3K. Terima kasih, Tuan Hajiku!

Tahun ini saya menyambut hari jadi dengan 2 orang anak saudara baru. Ainul Sofia Binti Zahayu lahir pada 18 Febuari, 2009 sementara sepupunya, Ismail Zubir Gazi Gursoy Bin Mehmet Gursoy lahir pada 20 Febuari, 2009 (lihat gambar). Ainul Sofia adalah anak ketiga. Ismail Zubir adalah anak kedua. Kedua-duanya dilahirkan melalui pembedahan. Selamat datang ke kelab ikan, sayang!

Hari ini usiaku genap 49 tahun, suatu angka yang hampir mencecah setengah abad. Bayangkan jika 49 batang lilin dipasang di atas sebuah kek… aduhai, pasti hangus dan rentung. Di usia begini, hati sentiasa mengingatkan diri bahawa baki umur semakin kurang, apakah persediaanku sudah cukup jika ajal datang menjemput? Ya, usia 49 bukanlah untuk berleka-leka. Di usia begini, amat perlu saya sedarkan diri.

Sejak awal pagi saya menerima kiriman sms. Di antaranya ada satu pesanan berbunyi begini : Jalan ke lubang kubur semakin dekat, kampong hendak dituju terlalu jauh, bagaimana amal yang hendak dibawa ke sana? Aduhai, berdesing telingaku ini. Wahai kawanku, jika hendak mengingatkan saya pun, janganlah sampai begitu sekali. Kecutlah perut saya ini! Terima kasih buat sahabat-sahabatku : Maimun Simun, Noridah Ujang, Rosnani Samad dan Husnia Hashim. Terima kasih juga buat insan-insan yang kusayangi : Mak, Kak Long, Donut, Dayana Hanim, Syikin dan Zahayu. Juga terima kasih buat adik iparku, Mehmet Gursoy dan pengirim-pengirim ucapan yang istimewa seperti berikut :

"Puan Norlela, Selamat Menyambut Hari Lahir, semoga panjang umur, murah rezeki, diberkati usia dan ditambah iman. Amin." - Tengku Asmadi Tengku Mohamad

"Salam Puan, Happy Birthday. Semoga puan dipanjangkan umur dan diberikan kekuatan terus berkarya untuk memandaikan anak bangsa." - Fakharoll Rodziee Don

Thursday, February 19, 2009

Langkah Pertama Bakal Usahawan

Dalam satu seminar, seorang usahawan agrobiz berkongsi pengalaman bagaimana beliau tercebur dalam bisnes memproses ikan keli salai. Cerita bermula dengan usahawan itu menyertai sebuah projek ternakan ikan keli secara kontrak. Mengikut perjanjian diantara dia dengan sebuah syarikat anchor, usahawan itu hanya perlu mengusahakan ternakan ikan, sementara syarikat anchor akan mengambil ikan-ikan itu untuk diproses menjadi produk seterusnya. Bagaimana pun syarikat anchor selalu lewat mengambil ikan-ikannya yang sudah membesar. Kos makanan ikan pula terus meningkat. Untuk mengelak menanggung rugi, usahawan itu mengambil tindakan menghasilkan sendiri ikan keli salai. Sekarang bisnesnya sedang berkembang.

Seorang lagi usahawan agrobiz berkongsi kisahnya menyertai projek ternakan lembu. Dalam projek usahasama itu (bermula dari ternakan hingga ke proses menghasilkan produk berasas daging lembu), dia dan rakan-rakannya melabur modal RM30 ribu seorang. Beliau kemudian dihantar menghadiri beberapa siri kursus di dalam negara dan di China. Apabila wang pinjaman untuk projek itu hendak dibayar oleh pihak bank, syarikat anchor mahu wang itu dimasukkan ke akaunnya sedangkan di pihak usahawan-usahawan yang terlibat tidak bersetuju. Maka projek usahasama itu pun tergantung dan sehingga kini belum ada penyelesaian lagi.

Bidang agrobiz amat popular ketika ini dan menarik minat ramai bakal usahawan. Bagaimana pun sebelum menceburi bidang ini, eloklah kita berhati-hati dan banyak bertanya kepada mereka yang sudah terlibat dengannya. Cerita-cerita kejayaan boleh menyuntik semangat, sementara yang sebaliknya boleh membantutkan niat mereka yang baru ingin mencuba. Hakikat berniaga memang begitu, sentiasa ada pasang dan surut, masa naik dan masa turun. Yang penting kita perlu tabah berusaha, disamping itu terus menambah ilmu dan mendapatkan maklumat baru dengan menghadiri kursus, membaca dan berinteraksi dengan usahawan-usahawan lain.

Baru-baru ini MISDEC Melaka mengadakan sesi taklimat program latihan bisnes untuk para pekerja kilang yang akan diberhentikan kerja (ekoran kelembapan ekonomi semasa). Program latihan bisnes secara intensif itu akan dijalankan selama 20 hari oleh BizCoach Firm Sdn. Bhd. dan dibiayai sepenuhnya oleh SMIDEC. Ramai perserta yang hadir taklimat tersebut menyatakan hasrat hendak menceburi bidang agrobiz seperti projek cacing, lintah, cili kulai, cili bangi, rosselle, ikan keli dan cendawan. Syarat utama dikenakan SMIDEC ialah bakal peserta program perlu komited untuk menceburi apa jua bisnes. Jika hati mereka berbelah bahagi dan masih ada niat bekerja makan gaji (seandainya mendapat tawaran kerja baru), mereka dinasihatkan tidak mengikuti program itu. Jika hati mereka sudah bulat, mereka dialu-alu memulakan langkah pertama menjadi usahawan! Dapatkan keterangan lanjut tentang program ActionCoach ini dengan menghubungi Coach Asri Jusoh di talian 012-2936464.

Sunday, February 15, 2009

Wan Zini

Sahabat yang saya kenali ketika di UMCCed, Wan Zini Binti Wan Jaafar (bertudung kuning) kembali ke rahmatullah jam 3:00 petang tadi. Saya menerima sms daripada Coach Hasril jam 9:00 pagi, memberitahu Wan Zini sedang koma di ICU, Hospital Ampang. Dia mengidap kanser darah. Jam 2:00 petang saya mendapat berita beliau sudah nazak. Saya bacakan surah Fatehah dan Yasin untuknya, dan sebaik sahaja selesai, telefon saya berbunyi membawa berita sedih itu. Saya rasa bagaikan bermimpi. Jenazah Wan Zini (yang sebelum ini bertugas di MATRADE) pada mulanya hendak disemadikan di kampung halamannya di Kelantan tetapi kemudian diubah ke Sg. Buluh dan dijangka akan dikebumikan lewat petang ini juga. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Wednesday, February 4, 2009

Ladang kontrak, benarkah terjamin pembeliannya?

Saya pernah menulis beberapa entri di blog ini berhubung penanaman mas cotek yang diusahakan oleh suami saya sejak setahun lalu. Oleh kerana ini pertama kali menceburi bidang bisnes tani, Hj. Zainal mengambil keputusan untuk mencuba dahulu secara kecil-kecilan. Beliau menanam 300 batang pokok sahaja di tanah dusun kami dengan kos lebih-kurang RM3 ribu.

Sebelum memulakan penanaman, kami mengikuti beberapa siri kursus yang dianjurkan Jabatan Pertanian dan syarikat payung (yang terlibat dalam projek ladang kontrak ini). Kami semakin yakin dengan pokok herba ini apabila mengetahui khasiatnya bernilai tinggi. Ia hasil kajian saintifik oleh pihak MARDI yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Saya menerima beberapa emel daripada pembaca yang ingin tahu tentang prospek penanaman mas cotek secara ladang kontrak. Sesetengah pembaca yang mempunyai tanah berkeluasan 1 hingga 10 ekar sangat berminat untuk melabur dalam bidang ini. Di sini saya ingin berkongsi beberapa maklumat yang mungkin dapat membantu anda membuat pertimbangan.

Pokok-pokok kami kini berusia 10 bulan. Setakat ini tanaman ini belum pernah di tuai lagi. Tuaian pertama dijadualkan pada bulan Disember tahun lalu tetapi ditangguhkan beberapa kali kerana mesin pengering baru (yang ditempah) masih belum sampai di kilang syarikat payung. Mesin itu dijangka sampai pada bulan Febuari ini dan kami masih menunggu pengesahan daripada syarikat payung itu tentang tarikh tuaian yang baru.

Apa yang ingin saya katakan ialah, di peringkat awal kami berpendapat projek ladang kontrak lebih mudah kerana urusan pembelian sudah dijamin oleh syarikat payung. Hakikatnya tidaklah semudah itu. Oleh kerana kami tidak bergantung kepada projek ini sebagai sumber hasil, ia tidaklah menjadi isu besar. Bagaimana pula bagi mereka yang bergantung kepada hasil penanaman ini untuk menampung kehidupan?

Saya berpendapat jika anda ingin membuat pelaburan besar dalam bidang tanaman kontrak seperti ini, terlebih dahulu anda perlu mendapatkan kepastian tentang bagaimana pengurusan tuaian akan dibuat di ladang anda oleh syarikat payung. Kami sendiri sudah memastikan perkara ini tetapi beberapa faktor di luar jangka berlaku. Kebergantungan kepada syarikat payung semata-mata ada kesan sampingannya. Jika mereka tidak mengambil hasil tuaian itu, penanam tidak memperolehi hasil tanamannya.

Agak terlalu awal untuk saya mengatakan usaha bisnes tani ini tidak berbaloi. Bukan itu yang saya maksudkan di sini. Dengan percubaan secara kecil-kecilan itu banyak perkara yang dapat kami pelajari tentang penanaman herba istimewa ini. Kami juga berjaya menghasilkan anak-anak benih yang kini mendapat permintaan menggalakkan daripada pihak pelanggan. Jika anda perlukan anak-anak benih mas cotek spesis betina (jenis telinga kera), sila hubungi Hj. Zainal di talian : 019-6661466.

Pesan saya buat anda yang berminat dengan projek ladang kontrak, sebelum anda melabur eloklah dibuat kajian terperinci tentang kemampuan syarikat payung yang berurusan dengan kontrak anda itu. Kekadang apa yang kita dengar bukanlah maklumat yang tepat 100%! InsyaAllah saya akan maklumkan perkembangan projek mas cotek kami di entri yang lain.