Dua orang kontraktor binaan bertemu di sebuah majlis perkahwinan. Sambil menikmati hidangan, mereka bercerita tentang senario bisnes semasa yang banyak melibatkan pemberian rasuah. Encik Malungun berkata : Saya tahu memberi rasuah itu haram, tetapi jika saya tidak mahu beri, susahlah hendak dapat peluang bisnes. Jawab Encik Chalit : Kita perlu yakin rezeki kita di tangan Allah, bukan di tangan manusia. Encik Malungun mengeleng-geleng kepalanya sambil berkata : Itu saya tahu tetapi dalam bisnes tindakan kita perlu praktikal. Jika tidak ikut trend, kita terlepas peluang. Ini realiti dalam bisnes. Encik Chalit tersenyum sambil mengunyah lauk, kemudian berkata lagi : Kita kena bertawakkal kepada Allah.
Sketsa di atas ini bukanlah rahsia besar. Hampir setiap hari kes-kes rasuah dilaporkan di dada-dada akhbar. Yang menyedihkan ialah ia banyak berlaku di kalangan orang-orang Islam. Yang meminta rasuah itu adalah orang Islam. Yang memberi rasuah pun adalah orang Islam. Ramai orang percaya pemberian rezeki ditentukan oleh Allah. Bagaimana pun mereka tidak begitu yakin untuk bertawakkal kepadaNya dalam bab rezeki ini.
Bertawakkal yang saya maksudkan di sini ialah berusaha dahulu, kemudian disusuli dengan memohon doa kepada Allah. Contohnya apabila membida tender kerja, proses mengisi borang tender, mengisi nilai BQ, meletak harga, penyediaan profil syarikat (dengan pengalaman-pengalaman kerjanya) dan memasukkan pekej borang tender itu ke dalam peti tender (sebelum tarikh tutupnya), semua itu termasuk dalam bab usaha. Kemudian, kita berdoalah banyak-banyak. Sama ada tender itu berjaya atau tidak, kita serahkan sahaja kepada Allah.
Namun bagi sesetengah orang bisnes, usahanya tidak terhenti di situ. Ia disusuli dengan proses melobi dan membuat perhitungan tertentu dengan pihak yang berkuasa membuat keputusan. Bagi sesetengah orang Islam, meminta dan memberi rasuah adalah normal dan adat dalam bisnes. Malang sekali jika amalan rasuah ini terus-menerus tidak dipandang hina dan jijik oleh orang-orang Islam sendiri. Menyentuh bab tawakkal, sila ikuti kisah berikut :-
Seorang lelaki sedang memanjat sebuah gunung, tiba-tiba dia tergelincir dan melurut jatuh ke bawah. Sambil menjerit-jerit meminta pertolongan, dia cuba berpaut kepada sebuah batu. Lelaki itu memeluk batu itu kuat-kuat. Kemudian dia cuba mengintai ke bawah dan ternampak sebuah gaung yang dalam. Lelaki itu merintih-rintih kesedihan : Ya Tuhanku, tolonglah aku! Tolonglah aku! Jika tidak engakau yang menolong aku, pasti aku mati. Tiada daya aku hendak memanjat ke atas. Bahkan tenagaku semakin lemah. Ya Tuhan, tolonglah aku! Jika tidak, aku akan jatuh ke dalam gaung! Matilah aku!
Tiba-tiba terdengar suatu suara berkata-kata : Lepaskan tanganmu itu. Nanti engkau akan jatuh ke bawah tetapi engkau pasti selamat. Lelaki itu terkejut besar lalu bertanya : Siapa engkau? Hoi suara, siapa engkau? Jawab suara itu : Akulah Tuhanmu. Lepaskan tanganmu. Nanti engkau akan jatuh dengan selamat. Jawab lelaki itu : Aku tidak percaya! Aku tidak percaya! Hoi suara, ada sesiapa lagikah di atas sana yang boleh tolong tarik aku ke atas? Soalan lelaki itu tidak mendapat jawapan.
Kisah di atas ini diilhamkan oleh seorang bukan Muslim. Oleh itu ia tidak syariah-compliant. Bagaimana pun iktibar yang boleh diambil ialah kisah ini hendak menunjukkan tahap tawakkal seorang insan kepada Tuhannya. Ramai orang Islam mengaku beriman tetapi tahap tawakkalnya sama sahaja seperti lelaki yang berpaut kepada batu itu dan Encik Malangun seperti dalam 2 kisah di atas.
Maksud Ayat 1000 dinar (Surah Ah Thalaaq, ayat 2-3) : Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.