Friday, April 24, 2009

Corat-Coret Pesta Buku 2009

Saya ke PBAKL Selasa lalu bersama teman baik, Noridah Ujang. Kami bertolak dari Melaka jam 9:00 pagi, menumpang Zainal yang kebetulan ada urusan di KL. Booth pertama yang ingin dilawati sudah pasti booth PTS, namun kami terlajak ke booth Karnadya dan sempat bertemu bosnya, Puan Aina Emir.

Ketika sampai di booth PTS, Tuan Esa Abd. Samad sedang membicarakan bukunya, Belajar Santai... Impak Maksima! Dia dikerumuni ramai remaja berbaju sekolah. Turut berada di sana, Tuan Zamri Mohamad yang sibuk melayan pengunjung. Di celah-celah orang ramai, saya ternampak Puan Ainon Mohd. Tatkala kami berpeluk Arab, terasa hilang rinduku kepada wanita istimewa yang dikasihi ramai ini.

Ya, gembira betul hati dapat bertemu sifu saya, terlebih lagi apabila beliau meleterkan saya. Katanya : Pesta Buku ibarat hari raya buat penulis. Di manalah seronoknya jika kita hanya pakai baju lama pada hari raya? Kena pakai baju lama sebab tidak ada baju baru... Adus, Puan Sifu perli sayalah tuuu... dan ditanyakan lagi soalan cepu emas : Mana buku???

Puan Ainon menceritakan perkembangan terbaru di PTS, antaranya tentang siri Young Aishah karya Saridah Hamid sudah dilesenkan kepada penerbit Indonesia, siri Young Khalid (novel untuk remaja awal lelaki) akan diterbitkan tidak lama lagi dan jualan siri Buat Duit sedang menggebu-gebu...

Kami kemudian beralih ke booth Al Hidayah. Di sana saya memborong beberapa buku rujukan bagi menulis siri 31 Cerita (bed-time stories). Saya sedang menulis siri ini yang merupakan siri cerita motivasi untuk kanak-kanak. Ia berdasarkan pengajaran daripada kisah-kisah para nabi, biografi Nabi Muhammad dan para sahabat beliau.

Siri 31 Cerita memerlukan buku-buku rujukan yang sahih sumber maklumatnya. Buku-buku itu tidak mudah diperolehi di kedai-kedai buku biasa selain harga yang agak tinggi. Dengan diskaun khas bersempena Pesta Buku, memang berbaloi saya membimbit dua beg kuning sampai lenguh-lenguh tangan.

Di booth DBP, saya mencari novel yang baru terbit bertajuk Berlabuh Di Hujung Senja. Penulisnya, En. Halil Ali, adalah bekas teman sepejabat dan sebilik Zainal di tahun 1980an ketika mereka berkhidmat di Johor Port dahulu. Ini adalah novel sulung beliau. Di blognya, En. Halil menulis sajak dan saya suka gaya penulisannya. Tahniah En. Halil!

Sementara menunggu Zainal datang menjemput kami, saya duduk bersembang dengan En. Roslan Isa, Pegawai Promosi PTS yang juga bekas editor buku saya. Menurut beliau, meski pun ekonomi meleset sekarang ini, siri Usahawan Cilik, siri 31 Cerita dan siri Buat Duit terus laku dan tinggi jualannya. Buku-buku seperti ini akan terus diterbitkan PTS sepanjang tahun 2009.

Kesempatan bersantai di pesta ini selama empat jam (sambil membaca buku-buku baru di ruang rehat dan duduk berbual-bual menjalin hubungan baik dengan staf-staf dan bos PTS) satu pelaburan masa yang berbaloi. Paling disyukuri suami saya tetap manis melayan saya ketika menjemput kami pulang. Alhamdulillah.

Saturday, April 18, 2009

Pesta Buku 2009


Pesta Buku 2009 sudah bermula semalam di PWTC dan akan berlangsung sehingga 26 April. InsyaAllah saya akan ke sana pada hari Selasa, 21 April. PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (penerbit buku saya) membuka gerai di lot 72-79 (bersebelahan Dewan Tun Hussein Onn). Menurut Puan Ainon, pada tahun ini PTS mempamerkan banyak buku-buku baru. Kata hatiku: Rugilah saya kerana tiada buku baru tahun ini... Gambar di atas (sebahagian booth PTS di PBAKL 2009) dipetik daripada blog Unika. Nampaknya buku-buku (lama) saya ada di atas rak-rak itu. Bagi anda yang belum lagi mendapatkan buku-buku saya, anda boleh membelinya di sana dengan harga diskaun. Jomlah ke sana!

Tuesday, April 14, 2009

Sindrom Baldi Bocor

En. Tambi (nama samaran) menghubungi saya untuk mendapatkan khidmat coaching. Beliau seorang kontraktor landskap. Isu dihadapi En. Tambi ialah bisnesnya bagus (banyak mendapat projek) tetapi untungnya tidak nampak.

Kata En. Tambi : Masa membuat kosting untuk sebutharga, saya jangkakan dapat untung 35%. Tapi sebenarnya margin yang saya buat purata antara 10-12% sahaja. Saya bingung kenapa untung saya tinggal ciput sangat.

En. Tambi tidak tahu ke mana pergi untung perniagaannya. Situasi beliau ibarat orang mengangkut air dari perigi. Dia pergi-balik mengandar air tetapi tempayan yang diisinya tidak penuh-penuh!

Dalam sesi coaching, saya bertanya En. Tambi soalan berhubung pengurusan modal pusingan, terma jualan, kawalan kredit dan pengurusan stok. Daripada soal-jawab itu, En. Tambi menemui 2 perkara yang ada kaitan dengan isu dihadapinya.

Pertama, beliau selalu lambat membuat tuntutan bayaran (kerja-kerja yang sudah siap tidak segera diinvois kepada pelanggan). Kedua, sistem pungutan hutang beliau tidak agresif. Menurut En. Tambi, beliau mempunyai 2 kemudahan modal pusing di bank iaitu kemudahan overderaf dan kemudahan factoring.

En. Tambi menggunakan kedua-dua kemudahan itu sepenuhnya untuk melancarkan aliran tunai syarikatnya. Kata En. Tambi : Faedah ke atas overderaf dan factoring itu sudah diambilkira dalam pengiraan kos.

Dengan kemudahan factoring, En. Tambi boleh menjual invois-invoisnya kepada bank dan dia dibayar 80% daripada nilai invois. Dengan cara ini dia boleh rolling semula wang itu sebagai modal pusing sebelum menerima bayaran sebenar daripada pelanggan. Tarikh matang invois-invois yang difaktorkan itu (dijual kepada bank) ialah 45 hari.

En. Tambi memberi kredit 30 hari kepada pelanggannya. Sesetengah pelanggan mengambil peluang menarik tempoh kredit itu antara 60 sehingga 90 hari. Pihak bank mengenakan denda lewat selepas tarikh matang invois, maka di sinilah peratus keuntungan En. Tambi mula terhakis.

Iktibar daripada kes ini ialah kita boleh menggunakan kemudahan bank sebagai modal pusing dan melancarkan aliran tunai. Pada masa sama kita tidak boleh leka dengan kawalan kredit dan aktiviti pungutan hutang. Ini kerana kemudahan bank, selain ada kos faedah ditetapkan, juga tertakluk kepada denda lewat.

Nota : Anda memerlukan khidmat bisnes coaching? Hubungi saya di : 019-6562540 atau emel : norlelazubir@yahoo.com

Saturday, April 4, 2009

Pandai Kowtim

Zainal mempunyai 3 orang site supervisor. Setiap orang menjaga satu projek pagar di tempat yang berlainan. Di antara 3 orang itu, Nordin paling baik prestasinya. Beliau boleh menyiapkan sesuatu kerja lebih awal daripada tempoh ditetapkan. Contohnya, untuk satu bahagian kerja yang diberi tempoh siap 2 minggu, dia dan tim kerjanya dapat menyiapkan dalam seminggu sahaja. Hasil kerja Nordin dan timnya berkualiti dan selalu dipuji pihak pelanggan dalam Progress Meeting bulanan yang dihadiri Zainal.

Supervisor kedua, Shariff namanya, sesekali merasa tercabar dengan prestasi baik Nordin. Beliau memberi alasan Nordin boleh menyiapkan kerjanya lebih awal kerana diberi kawasan kerja mudah iaitu tiada bercerun atau tanah tidak keras. Supervisor ketiga, namanya Salleh, memberi alasan Site Engineer yang menjaga tapak dia bekerja sangat cerewet, menyebabkan kerja-kerja di sana adakala kurang lancar. Ada kebenaran juga alasan-alasan yang mereka timbulkan itu.

Saya ingin kongsikan strategi kerja Nordin. Ia berguna dan boleh diaplikasi dalam mengurus bisnes kita. Pendekatan Nordin ialah dia pandai membuat orang suka kepadanya. Istilah mudah ialah dia pandai kowtim dan di mana-mana pun dia bekerja, Nordin mudah mendapat bantuan. Contohnya untuk mengalih tiang-tiang pagar konkrit, pemandu excavator akan datang tanpa bertangguh apabila Nordin memerlukan dia. Contoh lain, apabila Nordin memerlukan simen ready-mix, lori siput itu akan datang menghantarnya mengikut masa dijangkakan. Hanya sesekali Nordin perlu menunggu lama.

Alat kowtim yang Nordin gunakan bukanlah canggih, bahkan biasa-biasa sahaja. Antaranya :-

1. belanja kopi/teh tarik di warung berhampiran tapak kerjanya
2. memberi sebatang rokok kepada driver excavator dan driver lori
3. mengangkat tangan apabila bertembung orang-orang di tapak
4. bertegur-sapa dengan semua orang di tapak kerja
5. menepuk-nepuk bahu orang yang membantunya

Dalam buku How To Win Friends & Influence People oleh Dale Carnegie, terdapat petikan berikut :-

The deepest principle in human nature is the craving to be appreciated. The rare individual who honestly satisfies this heart hunger will hold people in the palm of his or her hand (and even the undertaker will be sorry when he or she dies!).