Saturday, July 3, 2010

Kursus Team Building JBSB


Pada 24-27 Jun, 2010 Total Manpower Solution Consultant (TMS) berkampung di Saujana Asahan Resort, Melaka bagi mengendalikan kursus team-building untuk Jati Beringin Sdn. Bhd. (JBSB). Kursus ini sepatutnya sudah berlangsung pada tahun lalu, tetapi kerana kesibukan dan menerima banyak tempahan pelanggan, bos besar JBSB, En. Asmadi Wahid, terpaksa menangguhkannya beberapa kali.

JBSB adalah sebuah syarikat vendor kepada TNB dan Telekom. Syarikat milik bumiputera 100% ini sedang berkembang maju dan merasa amat perlu membentuk satu pasukan kerja yang mantap dan bersinergi. Pada malam terakhir kursus, En. Asmadi turut mengadakan jamuan BBQ untuk meraikan anggota kerja syarikatnya. Kami di TMS mendoakan JBSB terus mencapai kejayaan dan kecemerlangan, insyaAllah.

Tim Training TMS



Ini adalah gambar tim training saya di bawah Total Manpower Solution Consultant (TMS). Dari kiri - Cikgu Kamal Padzli, saya, Coach Mohamad Fuad Ariff, Puan Anita Othman, En. Rafiee Hj. Yahya dan Ustaz Meor Zulharmin. 
TMS diasaskan oleh Coach Fuad pada awal tahun 2008 dan pejabatnya terletak  di TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor. TMS mengendalikan berbagai kursus seperti  team-building, program bina insan dan pembinaan karektor untuk remaja/belia, kursus ICT dan kursus keusahawanan.
Saya dan Coach Fuad mula berkenalan ketika kami sama-sama mengikuti kursus Certified Business Coach (CBC) di UMCCed pada tahun 2008. Kami kemudiannya menjadi sahabat baik. Keserasian antara kami timbul kerana sama-sama terlibat dalam bidang bisnes. Beliau beberapa kali mengajak saya menyertai pasukan training-nya terutama apabila mengendalikan kursus keusahawanan. Akhirnya saya bersetuju menerima pelawaannya itu. Kini isteri beliau, Puan Anita juga adalah sahabat baik saya. 
Coach Fuad berpegang kuat kepada nilai bekerja sebagai satu jemaah. Hasrat beliau agar tim training TMS menjadi satu pasukan yang saling lengkap-melengkapi. Serba sedikit info tentang tim training saya yang lain - Cikgu Kamal adalah trainer di Jabatan Latihan Khidmat Negara, Kem Gunung Semanggol, Taiping. Ustaz Meor Zuharmin menjalankan bisnes pertanian dan beliau terlibat dalam banyak kursus di bidang keagamaan. En. Rafiee Hj. Yahya bertugas di GITN Sdn. Bhd. di Pulau Pinang dan terlibat dalam kursus berkaitan ICT. Puan Anita pula adalah penyelaras logistik dan koordinator kursus di TMS.    

Friday, May 7, 2010

Gratitude Journal

Noridah menelefon saya jam 7:30 pagi. Dia hendak datang ke rumah saya.

“I bawa nasi lemak 2 bungkus. You tolong buat Nescafe kaw-kaw... 5 minit lagi sampai,” kata Noridah.

Kami bersarapan di meja kopi di ruang tamu saya. Sedap betul makan nasi lemak berlauk sambal sotong sambil duduk bersila. Seperti biasa, pagi itu kami bukan saja bersarapan, tetapi sambil makan Noridah menjalani sesi coaching bersama saya.

Khidmat coaching saya kepada Noridah tidak dikenakan bayaran sebab dia sudah declare tidak mahu membayar saya dengan wang… (aduhai, jika semua coachee saya buat begini, saya akan menjadi hungry coach!!!). Sebaliknya, Noridah akan membelanja saya makan : sarapan pagi, brunch atau lunch. Sesekali dia akan membelanja saya di Hotel Ramada. Tidak kira di mana pun, sesi coaching kami selalu berlangsung dalam suasana santai.

Makcik Enon (seorang jiran dan sahabat baik ibu mertua saya) memberi saya seikat sayur pucuk ubi dan buah betik ketika saya balik ke kampong baru-baru ini. Sayur pucuk ubi itu dibungkus kemas-kemas dalam surat khabar lama dan diikat dengan tali rafia. Buah betik yang masak ranum itu pula diletak dalam sebuah kotak. Sebelum ini, Makcik Enon juga ada memberi saya jeruk buah binjai.

Makcik Enon berkata, “Jeruk ini Makcik buat sendiri. Makcik jamin ia bersih. Insya Allah, awak makan tidak sakit perut.”

Makcik Enon seorang ibu tunggal. Umurnya lewat 60an dan kerjanya mengajar kanak-kanak di kampong mengaji Al Qur’an. Untuk menyara hidup,dia menjual jajan kepada kanak-kanak sekolah yang lalu-lalang di hadapan rumahnya. Saya selalu membayar zakat kepada Makcik Enon memandangkan dia layak menerimanya.

Dalam kehidupan seharian, kisah-kisah seperti yang saya ceritakan ini boleh dianggap perkara biasa. Bagaimana pun jika kita renungkan semula, ia boleh juga dianggap sebagai nikmat-nikmat kecil yang istimewa.

Cuba fikir semula : Selalukah orang mendapat peluang di bawakan nasi lemak ke rumahnya, khas untuknya menikmati sarapan pagi? Selalukah orang mendapat hadiah pucuk ubi dan buah betik dan si pemberi itu menunggu kedatangan kita dan memberinya dengan senyum manis? Selalukah orang mendapat peluang begitu?

Jika kita amati, ada banyak nikmat-nikmat kecil yang berlaku dalam kehidupan kita setiap hari. Semua itu boleh menceriakan hidup kita jika kita mahu menghargainya. Saya ada sebuah buku catitan yang saya beri nama Gratitude Journal. Di dalamnya saya catitkan perkara-perkara yang menggembirakan hati saya, meski pun hal-hal yang kecil saja. Kata orang, saat-saat gembira dapat memberi tenaga positif kepada kita. Jika kita selalu memberi fokus kepada perkara-perkara yang positif, hati dan jiwa kita akan tenang selalu.

Kata orang, hati kita sendiri akan ceria jika kita suka menceriakan hati orang. Saya yakin perkara ini benar. Apa pendapat anda?

Saturday, April 17, 2010

Pak Mus

Pada 29 Ogos, 2007, saya ada menulis sebuah entri bertajuk Rezeki. Ceritanya berkisar tentang seorang usahawan bernama (nama samaran) Pak Mus.

Hari ini saya mendapat berita Pak Mus telah kembali ke rahmatullah pada Tahun baru Cina yang lalu. Khabarnya beliau kemalangan di jalanraya. Pada malam kejadian, Pak Mus dilanggar ketika sedang berjalan di depan kedai cuci kereta dan restoran miliknya. Pemandu yang melanggar Pak Mus itu disahkan polis berada dalam keadaan mabuk dan memandu dengan laju. Pak Mus diheret hampir 100 meter daripada tempat dia dilanggar.

Coretan kisah Pak Mus yang saya tulis berlaku pada tahun 2005. Masa yang berlalu telah mengubah kita semua, insyaAllah, menjadi hamba Allah yang lebih baik. Semoga roh Allahyarham Pak Mus dicucuri rahmatNya.

Friday, March 5, 2010

Cell Phone Vs The Qur'an

Saya melangkah ke dekad baru minggu lalu… ke permulaan usia siri 5 dan secara rasmi masuk dalam kategori warga emas. Saya bersyukur ke hadrat Illahi di usia ini badan saya masih sihat (on medication), penglihatan masih baik (with glasses), boleh memandu, makan dan tidur tiada masaalah, sangat kamceng dengan suami, ada beberapa orang teman baik, anak ok, hubungan dengan ahli keluarga alhamdulillah dan ada duit kocek yang mencukupi untuk membeli cendol dll. Alhamdulillah, syukur kepada Allah.

Beberapa bulan lalu saya terjumpa sebuah buku di celah-celah rak buku saya. Saya tidak ingat bila buku itu dibeli tetapi saya pasti belum lagi membacanya (inilah penyakit orang suka beli buku… jumpa buku terus dibeli kemudian disimpan lalu terlupa membacanya). Tajuk buku itu ialah “Persediaan Menghadapi Hari Tua” tulisan Ahmad Muhammad Abdul Ghaffar. Dalam bab 6 ada ditulis tentang aktiviti di usia tua dan salah satu daripadanya ialah berdampingan dengan Al Qur’an. Maksud ‘berdampingan’ ialah membaca, mendengar, mempelajari dan mengamalkan isi kandungan Kalam Allah itu.

Saturday, February 20, 2010

Kisah Aneh

Saya terima sms : Kak Aji, kenapa tak update blog? Apa sudah jadi?
Saya jawab : Sekarang ini mana ada orang baca blog. Sekarang ini zaman Facebook.

Itu hanya alasan. Jawapan sebenar ialah kesuntukan masa. Hari ini genap 2 bulan saya balik dari tanah suci. Meski pun begitu apabila bertemu kawan-kawan masih ada yang bertanya tentang kisah-kisah di tanah suci. Soalan paling kerap ialah : Apa pengalaman pelik-pelik di sana?