Wednesday, August 29, 2007

Rezeki

“Kau sudah buat haji, Nal?” tanya Pak Mus.

Zainal mengangguk.

“Pak Mus belum lagi. Tapi kalau nak pergi Mekah, macam ini saja, Nal.”

Orang tua itu memetik jari, berletap bunyinya. Cerita pergi Mekah menjadi topik perbualan sebaik kami berempat melabuhkan punggung ke kerusi restoran milik Pak Mus.

“Pak Mus bukan tak mampu. Malah dah terlebih mampu,” kata orang tua itu.

Saya dan Zainal duduk setentang dengan Pak Mus dan Ah Lo di sebuah meja segi empat.

“Kalau nak pergi Mekah tahun ini, bila-bila masa pun boleh. Tapi hati belum terbuka. Pak Mus belum mahu pergi, Nal.”

Orang tua itu terdiam seketika. Entah apa yang berlegar dalam kepalanya. Duit banyak tapi belum mahu ke tanah suci. Kenapa? Tergerak hati saya mahu bertanya, tapi tidak jadi. Mulut rasa terkunci. Buat apa jadi kepoci.

Kami baru kenal Pak Mus, belum pun sampai dua jam. Ah Lo, kawan Zainal, yang perkenalkan kami. Ikut congak saya, umur Pak Mus sudah lewat enam puluhan. Hendak kata dia ada penyakit, Pak Mus kelihatan sihat walafiat. Apa agaknya masaalah Pak Mus ini, tanya hati saya. Orang tua itu kemudian menjawab soalan yang bermain-main di kepala saya…

“Pak Mus ni kuat minum, Nal. Dah biasalah. Susah nak berhenti. Pak Mus masih tinggalkan sembahyang. Macam mana nak pergi Mekah ya?”

Orang tua itu membuka pekung di dadanya tanpa segan silu. Ah Lo mengulum senyum. Matanya mengerling saya dan Zainal. Mungkin lelaki Cina itu keliru. Ah Lo tahu kami sudah beberapa kali ke tanah suci. Dia pernah bertanya mengapa kami suka ke sana. Saya kata untuk berdoa. Mohon Tuhan murahkan rezeki, bahagiakan hidup kami dan macam-macam lagi.

Pak Mus pula beritahu dia belum mahu ke Mekah. Dia sendiri mengaku masih minum minuman keras dan tidak tunaikan solat. Agaknya Ah Lo rasa pelik sebab rezeki Pak Mus yang belum pernah menjejak kaki ke Mekah itu melimpah-ruah banyaknya.

“Ini Pak Mus kaya gila, Nal. Dia punya lori banyak. Teksi pun banyak. Ini restoran dia punya, kedai car wash sebelah dia punya. Tanah, kebun, rumah sewa, semua Pak Mus ada,” kata Ah Lo.

“Dia punya wang banyak lo! Makan sampai cucu cicit pun tak boleh habis,” Ah Lo mengusik Pak Mus yang tersenyum meleret-leret.

“Ah Lo ni, Nal, Pak Mus dah kenal lama, masa dia kecik-kecik lagi. Ayah dia kawan baik Pak Mus. Dulu kami kongsi berniaga. Berniaga dengan orang Cina ni bagus. Tapi jangan tipu mereka. Ah Lo ni anak-beranak Cina jenis baik.”

Ah Lo tersenyum mendengar pujian Pak Mus. Petang itu Ah Lo mengajak Zainal pergi melihat sebidang tanah yang baru di sewanya daripada Pak Mus. Kebetulan Zainal mengajak saya pergi bersama.

Ah Lo mahu kawasan tanah lapang itu di pasangkan pagar. Dia meminta Zainal membuat sebut harga alatan memagar termasuk kos memasangnya. Workshop Ah Lo yang terletak di Malim Jaya akan dipindahkan ke tapak baru yang disewa daripada Pak Mus itu.

Selesai menunjukkan sempadan tanah yang disewakan, Pak Mus mengajak kami minum di restoran miliknya, terletak tidak jauh dari situ. Di sebelah restoran Pak Mus terletak kedai cuci kereta, juga miliknya. Anak-anak Pak Mus yang uruskan kedua-dua kedai itu.

Restoran dan kedai cuci kereta itu tampak maju benar. Pelanggan tidak putus-putus datang dan kenderaan masuk keluar silih berganti. Bisnes Pak Mus amat menjadi. Lokasi kedua-dua kedainya itu strategik kerana terletak berdekatan jalan besar.

“Kau dah lama jadi kontraktor, Nal?” tanya Pak Mus sambil membelek kad nama suami saya.

“Dah lama juga. Dulu sebelum ekonomi gawat, projek banyak. Tapi sekarang (2005) dah jauh kurang,” kata Zainal.

Pak Mus tekun mendengar.

“Tak apa, Nal. Bisnes boleh naik balik kalau kena caranya. Pak Mus dulu masa mula berniaga buat kecil-kecilan juga. Sekarang bisnes dah menjadi. Pak Mus ni ramai kawan. Kalau tak ada kawan macam mana Pak Mus nak dapat permit lori sewa sampai 60. Permit teksi sampai 20,” Pak Mus membuka rahsia bisnesnya.

“Pak Mus ni tak pernah lupakan budi kawan-kawan. Mereka yang banyak tolong naikkan bisnes Pak Mus. Apabila dia orang terdesak nak pakai duit, mereka telefon Pak Mus. Kekadang 5 ribu, kekadang 10 ribu. Mereka tak payah bayar balik. Pak Mus tak kisah, kira sedekah sajalah.”

Dia ada 60 permit lori dan 20 permit teksi??? Mak datuk, banyaknya!!! Orang berhutang dengan Pak Mus beribu-ribu RM tidak perlu bayar balik? Biar betul! Bukan calang-calang orang tua ini, bisik hati saya.

Di ruangan mata, saya terbayang duit Pak Mus bertimbun-timbun sambil otak mencongak pendapatan bulanannya. Permit lori sewa ada 60. Kalau disewakan RM50 sehari, sebulan jadi berapa? RM50 x 30 hari x 60 permit = RM 90,000.

Permit teksi ada 20. Kalau disewakan RM30 sehari, sebulan berapa pula? RM 30 x 30 hari x 20 permit = RM 18,000 sebulan. Jumlah besar ialah RM108,000 sebulan. Mak oiii, banyaknya!!! Patutlah orang pinjam duit dia kira sedekah saja.

Sambil otak ligat mencongak, saya terus mendengar celoteh Pak Mus. Orang tua itu tenang menghembus asap rokok dan menyambung cerita pengalaman niaganya.

“Pak Mus suka bergaul dengan orang Cina, Nal. Mereka pandai bisnes. Kawan-kawan Cina Pak Mus kaya-kaya semuanya. Mereka ajak masuk Diamond Club, Pak Mus join. Orang-orang Cina ni kan suka makan waktu maghrib. Tapi Pak Mus tak kisah, mereka ajak keluar, Pak Mus pergi. Mereka ajak minum, Pak Mus tunggang. Pak Mus ni tak ada pantang larang. Nak naikkan bisnes kita kena bercampur dengan orang Cina, Nal. Belajar cara mereka buat duit.”

Sepanjang dia bercerita, muka Pak Mus tetap bersahaja, macam tidak rasa apa-apa membuka tembelang sendiri. Celotehnya tidak membosankan. Hati saya berkata-kata : mungkin agaknya di mata Pak Mus, suami saya kelihatan lurus bendul dan dia ingin menurunkan ilmu bisnesnya kepada Zainal.

“Pak Mus ni berniaga macam-macam, Nal. Kau jangan buat satu bisnes saja. Susah bisnes kau nak bangkit. Baru-baru ni ada arkitek cari Pak Mus. Dia tu terdesak nak pakai duit RM20,000 dan nak pinjam dengan Pak Mus selama satu bulan. Pak Mus bagilah. Dengan syarat dia bayar balik RM25,000.”

Ah Lo ketawa terkekek-kekek.

“Fuyo Pak Mus, ini macam berniaga banyak syok. Pak Mus ada banyak wang boleh bagi orang pinjam. Kita orang cash flow selalu sangkut. Sendiri mahu rolling pun tak cukup maa…”

Mendengar kata-kata Ah Lo itu kami semua ketawa. Fikiran saya melayang. Sedekad yang lalu ketika ekonomi sedang rancak, nilai sesuatu kontrak yang kami kendalikan mencecah RM1 juta. Tapi Zainal masuk tender cara biasa. Tidak ada guna khidmat ‘orang dalam’.

Ada masa tender kami berjaya, ada masa kecundang. Setiap kali membida tender, kami berdoa memohon Allah murahkan rezeki kami sekeluarga. Juga rezeki pekerja-pekerja kami dan ahli keluarga mereka. Setahu saya Zainal tidak pernah beri ‘duit bawah meja’ kepada sesiapa pun sepanjang menjadi kontrator. Kalau dia dipanggil merunding harga oleh pihak yang mengeluar tender, peluang itulah yang diguna habis-habisan dengan menawar diskaun munasabah agar bidanya berjaya.

“Umur kau berapa, Zainal?” tanya Pak Mus.

“Dah masuk 50, Pak Mus. Dah tua saya ni,” jawab Zainal.

“Tak apa, Nal. Masih ada masa. Ubahlah strategi bisnes kau,” kata Pak Mus.

Sudah lebih sejam masa berlalu. Kami minta diri untuk beredar dan mengucap terima kasih untuk kopi dan roti jala yang Pak Mus belanja. Orang tua itu menghantar kami hingga ke parkir kereta.

“Dah lama kau pakai kereta ni, Nal?” Pak Mus menunjuk ke arah kereta merce 190 kami dengan muncung mulutnya.

“Sejak tahun ‘96. Kereta ni dah lama, Pak Mus,” jawab Zainal.

“Kau tak pandai jaga kereta, Nal. Kereta kau bertepek dengan tahi burung," Pak Mus mengata suami saya.

Cuba kau tengok C180 Pak Mus di sana tu. Berkilat, kan? Yang lagi satu, merce SLK hitam tu, macam mana? Cantik?”

Kami menoleh ke arah dua buah Mercedes berkilat milik Pak Mus yang tersadai di bawah garaj kereta. Memang macam langit dengan bumi apabila kereta-kereta Pak Mus itu dibandingkan dengan kereta Zainal yang sudah separuh umur.

“Pak Mus ada banyak kereta. Kereta Nal hari-hari pakai. Mana ada masa nak cuci?” Ah Lo membela Zainal.

“Alah, hantar saja di sini, boleh kasi cuci. Baru RM12,” balas Pak Mus.

Fikiran saya melayang lagi. Andai saya di tempat Pak Mus, bagaimana? Adakah saya leka diulit kemewahan yang melimpah-ruah? Macam mana gaya hidup saya andai berstatus jutawanita? Mungkinkah saya juga memiliki beberapa buah kereta yang harganya mahal berdentum? Maklumlah duit banyak…

Ujian kesusahan berat dan membebankan. Tapi ujian kesenangan tidak kurang hebatnya. Belum merasa, belum tahu. Saya tersenyum membayangkan beberapa jenis kereta mewah yang menjadi idaman hati.

“Kenapa senyum-senyum ni? Ela nak buat bisnes macam Pak Mus ke? Nak jadi ALONG ya???” tanya Zainal sambil memandu kereta keluar ke jalan besar.

Lamunan saya terhenti.

“Saya berkenan kedua-dua kereta Pak Mus tu. Cantikkkk!!! Nanti abang belikan saya macam tu ya. Abang ni baik, lawa, murah hati, kan???” saya mengurut-urut bahu Zainal.

Zainal tergelak besar. Saya terus mengeceknya dengan ikut menyanyi senikata lagu yang sedang bermain di radio ketika itu…

Harta bukan milikmu, untukmu hanya rezeki…
Terkurang himpun lagi, terlebih memberilah…

No comments:

Post a Comment