Profil Saya

My Photo
NORLELA ZUBIR
Bukit Beruang, Melaka, Malaysia
Pengarah Eksekutif, Yuzuki Melaka Sdn Bhd. Berpengalaman mengurus bisnes keluarga lebih 15 tahun. Certified Trainer (PSMB), Certified Business Coach (UMCCed). BSc (Finance) Southern Illinois University, USA. Diploma In Accountancy (UiTM). Panel Perunding Perniagaan MARA (Bahagian Pembangunan Usahawan), Bidang Perundingan : Business Coaching. Hubungi saya di talian: 019-6562540 / e-mel norlelazubir@yahoo.com
View my complete profile

Modul Training

1. Panduan Memulakan Bisnes Sendiri
2. Panduan Mengurus Kewangan Bisnes Kecil
3. Panduan Memajukan Bisnes Keluarga
4. 6 Langkah Membangunkan Bisnes Berjaya
5. Panduan Menetapkan Kos & Harga
6. Panduan Membuat Simpan Kira Akaun Perniagaan
7. Membaca, Menganalisa & Interpretasi Penyata Kewangan
8. Kemahiran Coaching Untuk Mengurus Pekerja
9. Program 'Career Planning'
10. Program 'Becoming An Entrepreneur'

Manfaatkan Pengalaman Saya

Visi saya (sebagai trainer & business coach) ialah hendak memandaikan anak bangsa supaya dapat membangunkan bisnes berdaya maju dan mengikut syariat Islam. Kelompok sasaran saya ialah mereka yang berminat menceburi bisnes dan yang sedang mengendali bisnes-bisnes kecil.

Misi ini sedang saya laksanakan melalui dua cara. Pertama, dengan menulis buku-buku bisnes yang mudah difahami dalam Bahasa Melayu. Kedua, dengan menawarkan khidmat latihan dan khidmat business coaching.

Saya sudah melalui beberapa fasa dalam operasi perniagaan. Contohnya ketika bisnes baru bermula, berkembang-maju, ditimpa cabaran kecil, cabaran besar, cabaran teruk sehingga jatuh tersungkur dan perlahan-lahan berjaya bangun semula.

Kelebihan inilah (pengalaman pandai bodoh dalam mengurus bisnes) yang saya tawarkan buat anda. Manfaatkanlah pengalaman saya bagi memajukan bisnes anda.

Hubungi saya di talian : 0196562540 atau emel : norlelazubir@yahoo.com

Wednesday, July 1, 2009

Cerita Mas Cotek

Inilah kebun mas cotek kami.

Setelah dituai, daun-daun mas cotek dicuci dan
dibiarkan kering dengan panas matahari.

Daun-daun mas cotek yang sudah cukup kering dipek
dalam karung plastik. Setiap pek beratnya ialah 1 kg.
Sebahagian hasil tuaian yang sudah siap untuk dijual.
Saya menerima beberapa emel daripada pembaca blog ini yang ingin mendapatkan maklumat tentang penanaman mas cotek. Maka di entri kali ini saya kongsikan beberapa informasi yang mungkin berguna kepada pihak yang bertanya.

Seperti pernah saya ceritakan sebelum ini, saya dan suami menyertai program ladang kontrak anjuran Jabatan Pertanian Putrajaya pada tahun 2008. Kami menanam 300 batang pokok sahaja sebagai percubaan.

Kos keseluruhan yang kami belanjakan ialah RM3,600. Ini termasuk kos anak benih, tanah dan campurannya, polibeg, batu-bata (sebagai alas pokok), gaji pekerja serta baja organik. Pokok mas cotek hanya perlu disiram 3-4 hari sekali. Menjaganya agak mudah.

Oleh kerana kebun mas cotek kami ini terletak dalam dusun buah-buahan, pokok-pokok itu hidup subur dan rimbun tanpa banyak masaalah. Yang menimbulkan masaalah ialah 'perjanjian' ladang kontrak kami. Ia tidak menjadi!!!

Syarikat yang dilantik sebagai anchor tidak bersedia mengambil daun-daun kami seperti dijanjikan. Alasan diberi ialah mesin pengering daun belum sampai di kilangnya. Pokok-pokok yang sepatutnya dituai pada bulan Oktober, 2008 ditangguhkan penuaiannya ke bulan Disember, 2008.

Seterusnya ditangguhkan lagi ke Januari, 2009 dan kemudian dari bulan ke bulan sehinggalah ke hari ini. Ceritanya masih sama iaitu mesin pengering belum sampai lagi. Inilah realiti yang saya alami sendiri dengan menyertai program ladang kontrak. Ia tidaklah semudah yang diwar-warkan.

Entah di mana silapnya saya kurang jelas. Pihak Jabatan Pertanian Putrajaya juga terus senyap tanpa berita. Aduhai, ini memang kes hangat-hangat tahi ayam! Pantang nenek-moyang saya apabila orang buat kerja sekerat jalan seperti ini.

Melihat daun-daun mas cotek semakin lebat dan rimbun, kami pening kepala memikirkan apa hendak dibuat dengan pokok-pokok itu. Sahabat saya, Syimah yang juga menyertai program ladang kontrak ini hampir putus asa melihat pokok-pokoknya banyak mati kekeringan.

Beliau yang tidak menggaji pekerja mengurus pokok-pokok itu sendirian. Seperti saya, Syimah juga tidak tahu apa hendak dibuat dengan pokok-pokoknya sebanyak 500 batang itu. Aduhai, sungguh tidak di sangka program ladang kontrak anjuran Jabatan Pertanian boleh tersadai sekerat jalan!

Saya pernah terbaca kisah seorang pengusaha produk herba di akhbar. Antara produk yang beliau keluarkan ialah teh mas cotek dalam bentuk uncang dan kapsul. Paling menarik ialah ladang dan kilang beliau terletak di Melaka, hanya 6 km dari rumah saya.

Saya hubungi tauke herba itu yang dikenali sebagai Tuan Hj. Yaacob dan isterinya, Hajah Hairani untuk berunding. Kebetulan pada waktu ini mereka baru mendapat pesanan untuk membekal teh mas cotek sebanyak 150,000 uncang dan memerlukan daun-daun mas cotek untuk diproses. Alhamdulillah, Allah memberi jalan keluar kepada saya.

Tuaian kali pertama kami ialah 100 kg daun basah. Setelah dikeringkan beratnya menjadi 20 kg sahaja. Harga daun mas cotek kering ialah RM40 sekilogram. Tuan Hj. Yaacob membayar tunai RM800.

InsyaAllah dalam 3 bulan lagi, pokok-pokok kami boleh dituai semula. Saya bersyukur usaha kami tidaklah sia-sia. Sehingga entri ini ditulis, syarikat anchor di Batu Pahat masih belum menerima mesin pengering yang ditempah setahun lalu. Itu namanya sindrom menunggu buah tidak gugur!!!

Jika anda bertanya pendapat saya tentang prospek menyertai program ladang kontrak, jawapan saya begini :-

1. Saya fobia.
2. Ada kemungkinan jaminan yang dijanji indah khabar dari rupa.
3. Selidiki betul-betul sebelum melabur wang, masa dan tenaga.

Thursday, June 11, 2009

Setahun Jagung Sebagai Business Coach - Part 1

Baru-baru ini saya menerima emel daripada En. Abdullah Awang (nama samaran). Beliau meminta khidmat nasihat berhubung beberapa isu bisnes yang sedang dihadapinya. En. Abdullah menjalankan bisnes peruncitan bersama seorang rakan kongsi. Dalam emel itu beliau menulis panjang lebar, meluahkan masaalah prestasi bisnesnya yang mendatar dan tidak berkembang walau pun sudah 2 tahun diusahakan.

En. Abdullah bertanya beberapa soalan, antaranya : Bagaimana hendak majukan bisnes saya? Apa patut saya buat untuk menjana keuntungan? Hasil usaha saya setakat ini bagaikan tidak berbaloi, patutkah saya tutup sahaja bisnes ini? Perlukah saya berpindah ke lokasi baru? Bagaimana hendak mengatasi perasaan saya dan rakan kongsi yang selalu stres ketika ini?

Emel itu beliau sudahi dengan kata-kata berikut : Coach Norlela, saya berharap puan sudi membantu saya. Berilah pandangan dan cadangan puan bagaimana hendak menyelesaikan isu-isu yang saya bangkitkan. Bagaimana pun secara terus-terang saya beritahu terlebih dahulu, pada waktu ini saya tidak mampu hendak membayar khidmat puan.

Aduhai, saya dirundung rasa serba-salah setiap kali menerima emel seperti ini! Jika tidak bersedia membantu orang yang terdesak dan memerlukan bantuan, saya memberi gambaran seolah-olah faktor kewangan adalah penentu segala-galanya. Saya tidak tergamak berbuat begitu. Dalam menangani kes seperti En. Abdullah, saya akan mencadangkan seperti berikut :-

1. Saya senaraikan isu-isu dibangkitkan. Isu-isu itu biasanya saling kait-mengait. Namun ia perlu ditangani satu persatu.
2. Saya maklumkan bahawa saya boleh berikan sesi coaching secara pro-bono (tidak berbayar) bagi salah satu sahaja daripada isu-isu itu.
3. Saya akan meminta beliau memilih satu isu (biasanya yang paling mendesak) untuk dibincangkan.

Meski pun dibuat secara pro-bono, saya tetap mengikut prosedur sebelum memulakan sesi coaching iaitu dengan meminta pihak coachee membaca dan memahami dahulu semua peraturan ditetapkan dalam TOR (terms of reference). Antara syarat dalam kontrak coaching itu ialah berhubung dengan peranan pihak coach dan peranan pihak coachee.

Selain itu, kontrak itu juga menyentuh tentang menjaga hubungan profesional dan kerahsiaan, kesediaan coachee memberi komitmen dan bersikap terbuka ketika proses coaching dijalankan serta dia akan bertanggung-jawab ke atas tindakan-tindakan yang perlu diambil untuk mencapai matlamatnya.

Setahun jagung sebagai Business Coach, saya berjaya membina hubungan baik dengan beberapa orang coachee. Mereka mengguna khidmat saya ketika ini. Proses coaching dibuat dari masa ke masa melalui kiriman sms, telefon dan emel. Paling menyentuh hati, para coachee yang mendapat khidmat pro-bono saya mengirim hadiah berupa kain tudung sulaman tangan yang cantik dan keropok ikan tamban yang sedap. Kata pepatah Melayu, orang berbudi, kita berbahasa. Orang memberi, kita merasa. Semoga Allah murahkan rezeki mereka (dan rezeki saya) serta dimajukan bisnes-bisnes kecil yang sedang mereka usahakan, insyaAllah.

Sunday, June 7, 2009

Formula Z-score

Anda pernah dengar tentang Formula Z-score? Formula ini dirumus oleh ahli ekonomi dan kewangan, Edward I.Altman pada tahun 1968. Formula Z-score diguna untuk mengukur tahap ‘kesihatan kewangan’ sesebuah syarikat bagi meramal sama ada ia berkemungkinan menjadi bankrap dalam tempoh 2 tahun.

Formula Z-score itu seperti berikut :-

Z = 1.2 T1 + 1.4 T2 + 3.3 T3 + 0.6 T4 + 0.999 T5

T1 = Working Capital / Total Assets
T1 mengukur kecairan asset berbanding saiz syarikat.

T2 = Retained Earnings / Total Assets
T2 mengukur keuntungan syarikat.

T3 = Earnings Before Interest & Taxes / Total Assets
T3 mengukur kecekapan operasi syarikat.

T4 = Market Value of Equity / Book Value of Total Liabilities
T4 mengukur tahap selamat harga pasaran saham syarikat.

T5 = Sales / Total Assets
T5 mengukur wang yang dipusing-ganti dalam perniagaan.

Menurut Altman, kumpulan syarikat yang berkemungkinan menjadi bankrap dalam tempoh 2 tahun atau masih berstatus selamat ialah apabila nilai purata mata :

Z = - 0.25 (bakal bankrap)
Z = + 4.48 (status selamat)

Ingin tahu tahap ‘kesihatan kewangan’ syarikat anda? Rujuk kepada penyata kewangan syarikat anda yang terbaru dan buatlah perkiraan. Gunakan penanda-aras Formula Z-score seperti berikut :-

1. Zon selamat : Nilai purata Z lebih daripada 2.99
2. Zon berjaga-jaga : Nilai purata Z berada antara 1.80 dan 2.99
3. Zon bahaya : Nilai purata Z kurang daripada 1.80

Friday, May 22, 2009

Mendorong Diri Sendiri

Hampir setiap hari saya menerima emel daripada para pembaca blog ini yang memerlukan khidmat coaching. InsyaAllah, jika masa mengizinkan saya cuba menjawab emel tuan/puan dalam masa terdekat. Inilah kelebihan khidmat saya iaitu respon cepat dan personalised. Tuan/puan boleh kemukakan apa-apa soalan tentang memula dan mengurus bisnes sendiri. Lebih baik jika soalan itu berkisar isu yang sedang tuan/puan hadapi supaya perbincangan terfokus kepada topik yang spesifik. Peranan saya sebagai coach ialah membantu tuan/puan mencari jawapan yang mungkin sudah pun ada di fikiran tetapi tidak terkeluar lagi kerana masih kabur. Ada masanya tatkala mengurus bisnes, kita menghadapi keadaan buntu dan merasa perlu berbincang dengan seseorang yang sedia mendengar dan memahami situasi. Itulah sebabnya diperlukan khidmat business coach. Oleh itu silalah menulis kepada saya.

Baru-baru ini seorang pembaca mengirim emel meminta saya memberinya semangat kerana dia ditimpa sikap malas berusaha. Maka pada entri kali ini saya menulis tentang isu ini. Mudah-mudahan sedikit sebanyak ia dapat membantu pihak yang bertanya.

Lebih sedekad yang lalu syarikat saya ada menggaji 16 orang pekerja Bangla. Kisah mereka pernah saya ceritakan dalam entri di sini. Beberapa bulan lalu, bekas pekerja Bangla bernama Syafiqul menalipon saya. Tujuannya untuk memberitahu dia sudah 3 tahun kembali semula ke Malaysia dan sedang bekerja di Kelang.

Menurut Syafiqul, syarikat tempat dia bekerja sedang menghadapi masaalah ekoran kegawatan ekonomi dan dia dijangka diberhentikan kerja. Syafiqul memohon bekerja sementara di tempat saya kerana permit kerjanya masih hidup. Kebetulan kami memerlukan khidmat welder tambahan, maka saya mengizinkan dia datang.

Syafiqul datang ke Melaka menaiki bas, kemudian mengambil teksi ke syarikat kami. Pertama kali bertemu semula setelah sekian lama tidak berjumpa, Syafiqul memberi komen spontan seperti berikut : Bos Jaynal, awak sudah tua! Zainal hanya tersenyum sambil itu berbisik kepada saya : Budak Bangla ini mahu kena karate!

Syafiqul bercerita kisah hidupnya setelah kembali ke Bangladesh. Wang simpanannya membolehkan dia membeli sebidang tanah dan menyelesaikan pelbagai hutang yang ditanggung. Dia kembali semula ke Malaysia bukan kerana tiada pekerjaan di kampung halaman. Menurut Syafiqul, entah mengapa sifat malas bekerja mula timbul dalam dirinya apabila di kelilingi ramai kaum keluarga.

Hakikat sebenar Syafiqul seorang yang ringan tulang. Sebelah petang setelah habis waktu bekerja, dia menawarkan diri menuai daun mas cotek di kebun kami. Kata Syafiqul : Saya mesti kerja, Bos. Dua anak sudah besar, mesti sekolah. Sekarang keluarga perlu duit. Isteri tanam padi, boleh makan 1 tahun. Saya hantar isteri RM1000 satu bulan. Ada lebih, beli tanah lagi. Hutang saya sudah tinggal sedikit.

Meski pun Syafiqul hanya seorang pekerja biasa, saya mengambil beberapa iktibar daripadanya. Seperti tertulis dalam buku bertajuk Mendorong Diri Sendiri karya bersama Puan Ainon Mohd. dan Prof. Abdullah Hassan, saya petik kata-kata berikut :-

Kita memerlukan persepsi yang betul tentang siapa dan apa diri kita sebenarnya... Kita mungkin menjadi penyebab mengapa kehidupan kita kacau lalu gagal... Kebanyakan orang gagal bukan disebabkan ancaman-ancaman luaran, sebaliknya kerana mereka enggan berdepan realiti diri mereka sendiri secara jujur...

Saya sarankan, dapatkan buku ini dan bacalah seterusnya. Buku ini sangat berkesan untuk membantu kita mendorong diri sendiri, insyaAllah. Anda perlukan khidmat Business Coaching? Hubungi saya di 019-6562540 atau emel : norlelazubir@yahoo.com

Thursday, May 14, 2009

Cafe Under The Cherry Tree

Beberapa tahun duhulu, di jalan masuk sebuah taman perumahan, ada sebuah warung yang sangat laris jualannya. Warung itu terletak di bawah sepohon pokok ceri dan ia pun menjadi popular dengan nama Cafe Under The Cherry Tree. Saya pernah bersarapan pagi di sana beberapa kali dan sotonya memang sedap.

Sebahagian besar pengunjung warung itu terdiri daripada orang-orang yang bekerja di pejabat kerajaan dan swasta. Setelah agak lama tidak ke sana, saya teringat semula akan kesedapan soto di warung itu. Malangnya apabila saya ke sana, warung itu sudah tiada lagi. Yang tinggal hanya tapaknya. Dengan perasaan hampa saya pun memusing kereta. Dalam hati berkata : Batu Belah batu bertangkup, aku kempunan hendak makan soto!

Tiba-tiba saya terlihat beberapa orang berpakaian pejabat sedang keluar daripada sebuah restoran. Saya pun mengambil keputusan untuk singgah. Restoran berpintu kaca itu berhawa dingin. Hiasan dalamannya sederhana tetapi menarik. Ketika terpandang saya, tauke restoran itu menegur : Macam pernah tengoklah puan ini. Kenal saya?

Saya terpinga-pinga, tidak pasti siapa dia. Dia menyambung lagi : Dulu puan bersekolah di MGHS, betul? Nama Norlela, betul? Saya tersengih, dalam hati berkata : Saya belajar di MGHS di tingkatan 1 selama 6 bulan sahaja. Ada juga orang yang masih ingat wajah saya setelah 36 tahun tidak pernah berjumpa! Bekas rakan sekolah saya itu (gelarannya Si Montel) menceritakan pengalamannya berniaga makanan.

Dia bermula daripada bawah, berniaga di warung dan kantin. Rupa-rupanya dialah tauke Cafe Under The Cherry Tree yang sudah dirobohkan. Selain warung itu, dia juga pernah berniaga di kantin kakitangan kompleks beli-belah Jaya Jusco. Kini beberapa orang anak Si Montel bekerja di syarikat keluarga mereka, mengurus bisnes restoran dan katering yang sedang berkembang maju. Moral of the story : Mulakan bisnes kecil daripada bawah. Kumpul modal sedikit demi sedikit. Apabila sudah ada pengalaman, besarkan bisnes itu.

Saya menerima beberapa surat daripada pembaca blog ini yang menyatakan hasrat ingin berniaga tetapi tiada pengalaman dan tidak tahu bagaimana hendak memulakan bisnes. Ada yang sudah mula berniaga, kemudian terasa hendak berhenti kerana bingung dengan pelbagai cabaran yang menimpa mereka. Antara perkara yang boleh saya syorkan buat pihak yang bertanya ialah mulakan dengan membuat pelaburan terhadap diri dan masa anda.

Ada 3 cara yang boleh anda lakukan. Pertama, mulakan dengan membaca buku-buku bisnes. Di pasaran sekarang terdapat banyak buku bisnes berbahasa Melayu yang ditulis secara santai dan mudah difahami. Antaranya bertajuk Memulakan Bisnes Sendiri, Formula Menjadi Usahawan Berjaya, Rahsia Bisnes Orang Cina, Siri Buat Duit, Siri Mula Bisnes, Kisah 50 Usahawan Wanita Malaysia, Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya, Bisnes Mamak dan banyak lagi.

Bacalah sebanyak yang mungkin untuk menimbulkan minat anda dan mencari idea untuk memulakan bisnes anda sendiri. Kedua, berkawanlah dengan orang-orang yang terlibat dengan bisnes supaya anda mendapat pendedahan tentang dunia bisnes. Minda orang bisnes tidak serupa dengan minda orang makan gaji. Tajuk perbualan mereka pun berbeza. Ambillah mana yang baik untuk dibuat teladan dan iktibar.

Ketiga, mulakan bisnes secara kecil-kecilan atau bantu kawan-kawan yang sedang membuat bisnes. Dengan cara itu, kita dapat mencipta pengalaman. Kita tidak akan tahu susah-senang mengendalikan sesuatu bisnes melainkan kita mencubanya sendiri. Cabaran awal yang bakal kita hadapi ialah bagaimana menghadapi rejection dan mengikis perasaan malu. Jika 2 perkara ini pun belum boleh kita kendalikan dengan betul, janganlah berani mengeluarkan modal besar untuk memulakan bisnes.

Anda perlukan khidmat Business Coaching? Hubungi saya di 019-6562540 atau emel : norlelazubir@yahoo.com

Monday, May 11, 2009

Career Planning Program

Hujung minggu lalu Powermakers Consultancy (milik sahabat saya, Noridah Ujang) mengadakan program Career Planning di Saujana Asahan, Melaka. Para peserta terdiri daripada 50 orang pelajar tahun akhir, jurusan pengurusan pemasaran, Multimedia University (MMU Melaka).

Puan Zaharah Bakar, pensyarah para pelajar itu, mengambil inisiatif dan memberi komitmen menyediakan minda para pelajarnya menghadapi dunia pekerjaan yang bakal ditempuhi. Turut hadir memberi sokongan dalam program 2 hari 2 malam itu adalah suami beliau, En. Nor Ismail, tuan punya firma Noris Architect dan dua orang anak gadis mereka.

Dalam program tersebut, saya mengendalikan sesi Becoming An Entrepreneur. Dalam aktiviti kerja berkumpulan, para pelajar itu menunjukkan kreativiti yang pelbagai dan mengaplikasi pengetahuan mereka dalam teknik-teknik pemasaran, kejurujualan dan promosi produk.

Maklumat menarik yang saya perolehi ialah ramai di kalangan para pelajar berminat dalam bisnes. Seorang pelajar berbangsa Cina memberitahu saya, beliau sudah pun menjalankan bisnes online sejak setahun lalu. Daripada keuntungan bisnes kecilnya, beliau sudah menyimpan RM6 ribu untuk persiapan membayar balik pinjaman PTPTNnya.

Saujana Asahan terletak di kaki Gunung Ledang, gunung lagenda penuh mistik dan rahsia. Maka tidak sahlah jika program ini tidak disertai beberapa aktiviti luar di sebelah petang seperti mendaki, meredah hutan & sungai, flying fox dan abseiling (obstacle activities). Semua aktiviti luar dikendalikan tim En. Koh yang terdiri daripada Cikgu Taufik dan En. Azlan.

Kami mengalu-alukan para pensyarah, tenaga pengajar dan pihak pengurusan kolej dan universiti yang ingin mengadakan program Career Planning mendapatkan khidmat kami. Sila hubungi saya di : 019-6562540 atau emel : norlelazubir@yahoo.com

Friday, April 24, 2009

Corat-Coret Pesta Buku 2009

Saya ke PBAKL Selasa lalu bersama teman baik, Noridah Ujang. Kami bertolak dari Melaka jam 9:00 pagi, menumpang Zainal yang kebetulan ada urusan di KL. Booth pertama yang ingin dilawati sudah pasti booth PTS, namun kami terlajak ke booth Karnadya dan sempat bertemu bosnya, Puan Aina Emir.

Ketika sampai di booth PTS, Tuan Esa Abd. Samad sedang membicarakan bukunya, Belajar Santai... Impak Maksima! Dia dikerumuni ramai remaja berbaju sekolah. Turut berada di sana, Tuan Zamri Mohamad yang sibuk melayan pengunjung. Di celah-celah orang ramai, saya ternampak Puan Ainon Mohd. Tatkala kami berpeluk Arab, terasa hilang rinduku kepada wanita istimewa yang dikasihi ramai ini.

Ya, gembira betul hati dapat bertemu sifu saya, terlebih lagi apabila beliau meleterkan saya. Katanya : Pesta Buku ibarat hari raya buat penulis. Di manalah seronoknya jika kita hanya pakai baju lama pada hari raya? Kena pakai baju lama sebab tidak ada baju baru... Adus, Puan Sifu perli sayalah tuuu... dan ditanyakan lagi soalan cepu emas : Mana buku???

Puan Ainon menceritakan perkembangan terbaru di PTS, antaranya tentang siri Young Aishah karya Saridah Hamid sudah dilesenkan kepada penerbit Indonesia, siri Young Khalid (novel untuk remaja awal lelaki) akan diterbitkan tidak lama lagi dan jualan siri Buat Duit sedang menggebu-gebu...

Kami kemudian beralih ke booth Al Hidayah. Di sana saya memborong beberapa buku rujukan bagi menulis siri 31 Cerita (bed-time stories). Saya sedang menulis siri ini yang merupakan siri cerita motivasi untuk kanak-kanak. Ia berdasarkan pengajaran daripada kisah-kisah para nabi, biografi Nabi Muhammad dan para sahabat beliau.

Siri 31 Cerita memerlukan buku-buku rujukan yang sahih sumber maklumatnya. Buku-buku itu tidak mudah diperolehi di kedai-kedai buku biasa selain harga yang agak tinggi. Dengan diskaun khas bersempena Pesta Buku, memang berbaloi saya membimbit dua beg kuning sampai lenguh-lenguh tangan.

Di booth DBP, saya mencari novel yang baru terbit bertajuk Berlabuh Di Hujung Senja. Penulisnya, En. Halil Ali, adalah bekas teman sepejabat dan sebilik Zainal di tahun 1980an ketika mereka berkhidmat di Johor Port dahulu. Ini adalah novel sulung beliau. Di blognya, En. Halil menulis sajak dan saya suka gaya penulisannya. Tahniah En. Halil!

Sementara menunggu Zainal datang menjemput kami, saya duduk bersembang dengan En. Roslan Isa, Pegawai Promosi PTS yang juga bekas editor buku saya. Menurut beliau, meski pun ekonomi meleset sekarang ini, siri Usahawan Cilik, siri 31 Cerita dan siri Buat Duit terus laku dan tinggi jualannya. Buku-buku seperti ini akan terus diterbitkan PTS sepanjang tahun 2009.

Kesempatan bersantai di pesta ini selama empat jam (sambil membaca buku-buku baru di ruang rehat dan duduk berbual-bual menjalin hubungan baik dengan staf-staf dan bos PTS) satu pelaburan masa yang berbaloi. Paling disyukuri suami saya tetap manis melayan saya ketika menjemput kami pulang. Alhamdulillah.

Saturday, April 18, 2009

Pesta Buku 2009


Pesta Buku 2009 sudah bermula semalam di PWTC dan akan berlangsung sehingga 26 April. InsyaAllah saya akan ke sana pada hari Selasa, 21 April. PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. (penerbit buku saya) membuka gerai di lot 72-79 (bersebelahan Dewan Tun Hussein Onn). Menurut Puan Ainon, pada tahun ini PTS mempamerkan banyak buku-buku baru. Kata hatiku: Rugilah saya kerana tiada buku baru tahun ini... Gambar di atas (sebahagian booth PTS di PBAKL 2009) dipetik daripada blog Unika. Nampaknya buku-buku (lama) saya ada di atas rak-rak itu. Bagi anda yang belum lagi mendapatkan buku-buku saya, anda boleh membelinya di sana dengan harga diskaun. Jomlah ke sana!

Tuesday, April 14, 2009

Sindrom Baldi Bocor

En. Tambi (nama samaran) menghubungi saya untuk mendapatkan khidmat coaching. Beliau seorang kontraktor landskap. Isu dihadapi En. Tambi ialah bisnesnya bagus (banyak mendapat projek) tetapi untungnya tidak nampak.

Kata En. Tambi : Masa membuat kosting untuk sebutharga, saya jangkakan dapat untung 35%. Tapi sebenarnya margin yang saya buat purata antara 10-12% sahaja. Saya bingung kenapa untung saya tinggal ciput sangat.

En. Tambi tidak tahu ke mana pergi untung perniagaannya. Situasi beliau ibarat orang mengangkut air dari perigi. Dia pergi-balik mengandar air tetapi tempayan yang diisinya tidak penuh-penuh!

Dalam sesi coaching, saya bertanya En. Tambi soalan berhubung pengurusan modal pusingan, terma jualan, kawalan kredit dan pengurusan stok. Daripada soal-jawab itu, En. Tambi menemui 2 perkara yang ada kaitan dengan isu dihadapinya.

Pertama, beliau selalu lambat membuat tuntutan bayaran (kerja-kerja yang sudah siap tidak segera diinvois kepada pelanggan). Kedua, sistem pungutan hutang beliau tidak agresif. Menurut En. Tambi, beliau mempunyai 2 kemudahan modal pusing di bank iaitu kemudahan overderaf dan kemudahan factoring.

En. Tambi menggunakan kedua-dua kemudahan itu sepenuhnya untuk melancarkan aliran tunai syarikatnya. Kata En. Tambi : Faedah ke atas overderaf dan factoring itu sudah diambilkira dalam pengiraan kos.

Dengan kemudahan factoring, En. Tambi boleh menjual invois-invoisnya kepada bank dan dia dibayar 80% daripada nilai invois. Dengan cara ini dia boleh rolling semula wang itu sebagai modal pusing sebelum menerima bayaran sebenar daripada pelanggan. Tarikh matang invois-invois yang difaktorkan itu (dijual kepada bank) ialah 45 hari.

En. Tambi memberi kredit 30 hari kepada pelanggannya. Sesetengah pelanggan mengambil peluang menarik tempoh kredit itu antara 60 sehingga 90 hari. Pihak bank mengenakan denda lewat selepas tarikh matang invois, maka di sinilah peratus keuntungan En. Tambi mula terhakis.

Iktibar daripada kes ini ialah kita boleh menggunakan kemudahan bank sebagai modal pusing dan melancarkan aliran tunai. Pada masa sama kita tidak boleh leka dengan kawalan kredit dan aktiviti pungutan hutang. Ini kerana kemudahan bank, selain ada kos faedah ditetapkan, juga tertakluk kepada denda lewat.

Nota : Anda memerlukan khidmat bisnes coaching? Hubungi saya di : 019-6562540 atau emel : norlelazubir@yahoo.com

Saturday, April 4, 2009

Pandai Kowtim

Zainal mempunyai 3 orang site supervisor. Setiap orang menjaga satu projek pagar di tempat yang berlainan. Di antara 3 orang itu, Nordin paling baik prestasinya. Beliau boleh menyiapkan sesuatu kerja lebih awal daripada tempoh ditetapkan. Contohnya, untuk satu bahagian kerja yang diberi tempoh siap 2 minggu, dia dan tim kerjanya dapat menyiapkan dalam seminggu sahaja. Hasil kerja Nordin dan timnya berkualiti dan selalu dipuji pihak pelanggan dalam Progress Meeting bulanan yang dihadiri Zainal.

Supervisor kedua, Shariff namanya, sesekali merasa tercabar dengan prestasi baik Nordin. Beliau memberi alasan Nordin boleh menyiapkan kerjanya lebih awal kerana diberi kawasan kerja mudah iaitu tiada bercerun atau tanah tidak keras. Supervisor ketiga, namanya Salleh, memberi alasan Site Engineer yang menjaga tapak dia bekerja sangat cerewet, menyebabkan kerja-kerja di sana adakala kurang lancar. Ada kebenaran juga alasan-alasan yang mereka timbulkan itu.

Saya ingin kongsikan strategi kerja Nordin. Ia berguna dan boleh diaplikasi dalam mengurus bisnes kita. Pendekatan Nordin ialah dia pandai membuat orang suka kepadanya. Istilah mudah ialah dia pandai kowtim dan di mana-mana pun dia bekerja, Nordin mudah mendapat bantuan. Contohnya untuk mengalih tiang-tiang pagar konkrit, pemandu excavator akan datang tanpa bertangguh apabila Nordin memerlukan dia. Contoh lain, apabila Nordin memerlukan simen ready-mix, lori siput itu akan datang menghantarnya mengikut masa dijangkakan. Hanya sesekali Nordin perlu menunggu lama.

Alat kowtim yang Nordin gunakan bukanlah canggih, bahkan biasa-biasa sahaja. Antaranya :-

1. belanja kopi/teh tarik di warung berhampiran tapak kerjanya
2. memberi sebatang rokok kepada driver excavator dan driver lori
3. mengangkat tangan apabila bertembung orang-orang di tapak
4. bertegur-sapa dengan semua orang di tapak kerja
5. menepuk-nepuk bahu orang yang membantunya

Dalam buku How To Win Friends & Influence People oleh Dale Carnegie, terdapat petikan berikut :-

The deepest principle in human nature is the craving to be appreciated. The rare individual who honestly satisfies this heart hunger will hold people in the palm of his or her hand (and even the undertaker will be sorry when he or she dies!).

Tuesday, March 31, 2009

You Can Leverage On Me!

Saya menerima beberapa emel daripada pembaca bertanyakan jenis bisnes yang saya ceburi ketika ini. Untuk makluman anda, saya dan suami menceburi dua jenis bisnes. Pertama, sebagai Kontraktor Binaan (bahagian ini diurus oleh suami saya). Kedua, sebagai Perunding Latihan & Konsultansi (bahagian ini di bawah kendalian saya). Kami bernaung di bawah satu syarikat iaitu Yuzuki Melaka Sdn. Bhd.

Sebelum mengurus bisnes sendiri, saya bertugas sebagai Pengarah Urusan di Kawat Zubir Sdn. Bhd. Ia sebuah syarikat perkilangan mengeluar dan membekal alatan memagar bagi pasaran tempatan dan eksport. Saya mengambil-alih syarikat tersebut daripada ayah saya pada tahun 1989 dan menerajuinya sehingga tahun 2001. Pada tahun 2002 hingga 2005 saya menjalankan bisnes restoran dan MLM. Kemudian bermula tahun 2006 saya menjadi penulis buku-buku bisnes. Saya mula menceburi bidang training & business coaching pada tahun 2008.

Penglibatan lebih dua dekad dalam bisnes memberi saya banyak pengalaman VSS (very successful stories & very sad stories). Kelebihan inilah (pengalaman pandai bodoh dalam mengurus bisnes) yang saya tawarkan kepada anda. Manfaatkanlah pengalaman saya bagi memajukan bisnes anda.

Doa saya semoga Allah melimpahkan rezeki daripada sumber yang baik-baik, halal dan penuh barakah buat kita semua, insyaAllah.

Tuesday, March 24, 2009

Pelanggan Gred A & Terma Jualan

Semalam saya mengikut Zainal pergi ke sebuah kedai hardware untuk membeli bolts & nuts. Barangan ini digunakan bagi 'mengikat' pagar rangkai dan kawat rentang kepada tiang konkrit.

Harga sepasang bolt & nut ialah RM0.90 dan Zainal memesan sebanyak 2,500 pasang. Cuba anda kira berapa harganya? Ya, jumlahnya ialah RM2,250. Oleh kerana kuantitinya banyak, kami perlu menunggu 2 hari untuk mendapatkan barangan itu.

Pelayan kedai hardware itu meminta deposit RM250 dan baki RM2,000 lagi perlu dijelaskan ketika mengambil barangan tersebut pada hari esok. Sambil menyerahkan bil sementara (temporary bill), pelayan itu mengingatkan bahawa baki bayaran perlu dibuat secara tunai.

Saya bertanya : Awak mahu saya bawa tunai RM2 ribu? Bahaya bawa wang banyak-banyak. Lebih mudah saya beri awak cek.

Jawab pelayan kedai : Saya masuk dalam, tanya bos dulu.

Dia masuk ke pejabat bosnya dan keluar semula dengan berkata : Minta maaf. Kami tidak terima cek. Awak perlu bayar tunai.

Saya berkata lagi : Leceh bawa wang banyak-banyak. Jika RM100 atau RM200 tidak mengapa. Ini RM2 ribu. Lagi pun, sudah 2-3 kali saya membeli dengan awak, bukan? Cek saya baik. Tidak ada masaalah. Awak jangan bimbang.

Jawab pelayan kedai : Ini company saya punya law. Very sorry.

Balik ke pejabat, saya ceritakan insiden ini kepada staf kami, Mansur. Secara spontan beliau menjawab : Bab berniaga orang Cina memang tegas.

Saya bertanya lagi : Apa boleh kita pelajari daripada insiden ini?

Jawab Mansur : Kita perlu berpegang kepada syarat dan terma jualan yang ditetapkan oleh syarikat. Perkara itu tidak boleh diubah-ubah walau pun pembeli mendesak.

Tambah Mansur lagi : Hanya pelanggan terpilih sahaja diberi keistimewaan khas dan boleh diberi kelonggaran syarat iaitu pelanggan gred A. Yang lain tetap tertakluk kepada syarat-syarat biasa. Kita perlu beritahu kepada pelanggan dengan cara baik supaya dia faham.

Sambil mengangguk saya berkata : Bagus, Mansur. Awak memang bijak! Contohilah pelayan kedai itu.

Tuesday, March 10, 2009

Inspirasi Usahawan Wanita

Buku kedua saya ini sudah terbit pada akhir tahun 2007. Lebih setahun sudah berlalu, namun saya masih menerima maklum-balas daripada para pembaca. Sebagai contoh hari ini, ketika saya berada di lebuhraya PLUS dalam perjalanan dari Melaka ke KL, saya mendapat kiriman sms berbunyi begini :-

Maaf jika terlewat mengucap tahniah di atas penghasilan buku yang hebat : 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia. Saya tidak puas membacanya berulang-ulang kali. Bilakah puan akan menghasilkan buku seumpamanya lagi? Bolehkah saya beri cadangan? Puan pilihlah pula golongan usahawan wanita yang kurang kelulusan akademik, datang daripada keluarga susah atau bekas kakitangan kerajaan tetapi muncul sebagai usahawan berjaya. Sebenarnya buku puan umpama mentor bagi saya. Semoga puan diberi rahmat olehNya kerana berjaya membuka minda saya untuk tidak takut menjadi usahawan. Doakan saya berjaya dalam bisnes. Kesan hasil daripada buku puan ini saya menjadi semakin bersemangat. Salam, Mazliza, Kelantan.

Sebagai penulis buku ini, saya sangat bersyukur kerana banyak mendapat maklum-balas positif daripada para pembaca. Saya gembira buku ini menjadi pendorong semangat bagi para usahawan wanita. Saya doakan semoga anda semua berjaya dalam bisnes masing-masing. Gambar di atas dipetik daripada blog Puan Ayu Darlu yang turut menulis entri tentang buku ini.

Friday, March 6, 2009

Business Coaching Workshop

Jika sebuah bisnes diibaratkan sebuah kapal dan pemilik bisnes itu diibaratkan kepten kapal tersebut, di manakah kepten itu perlu berada ketika kapal sedang belayar? Adakah dia perlu berada di atas bridge sambil meneropong ke lautan luas bagi memantau apa
yang ada di hadapan laluan kapalnya? Atau dia perlu berada di bilik enjin untuk menjaga kelancaran enjin kapalnya?

Ramai pemilik bisnes bertindak sebagai kepten kapal yang duduk di bilik enjin. Contohnya jika menjalankan bisnes restoran, tauke restoran itu sibuk bekerja di dapur sehingga dia tidak sempat memantau apa yang sedang berlaku di luar dapurnya. Kesibukan mengehadkan masa untuk dia meneliti persoalan-persoalan penting yang menentukan masa depan dan hidup mati bisnesnya, contohnya seperti berikut :-
  • Bagaimanakah para pekerja restoran ini melayan pelanggan?
  • Adakah pelanggan berpuas hati dengan servis yang diberikan?
  • Berapa lamakah pelanggan perlu menunggu pesanan mereka ketika masa peak?
  • Apakah nic restoran ini?
  • Apa yang unik tentang bisnes ini yang tiada di restoran lain?
  • Apakah isu-isu yang sedang mengancam bisnes ini?
  • Bagaimana hendak meningkatkan keuntungan restoran ini sebanyak 10%?
  • Bagaimana cara hendak menambah bilangan pelanggan sebanyak 20%?
  • Apakah langkah yang perlu diambil bagi menangani isu yang mengancam bisnes ini?
  • Bagaimana keadaan restoran ini 5 tahun akan datang?
  • Apakah yang perlu berubah jika bisnes restoran ini hendak dikembangkan?
  • Ke mana hala tuju bisnes restoran ini?
Banyak bisnes kecil mudah terjejas apabila ditimpa sesuatu cabaran di luar jangkaan seperti ekonomi meleset, ditipu, pekerja berhenti atau pemilik bisnes itu tiba-tiba jatuh sakit. Atau pun bisnes tidak boleh beroperasi jika taukenya tidak ada sepenuh masa. Ini berlaku kerana bisnes itu tidak ada sistem dan tidak mempunyai asas-asas yang kukuh. Jika pemilik bisnes mahukan bisnesnya berdaya maju, bertahan lama dan boleh beroperasi tanpa kehadirannya sepenuh masa, dia perlu menguasai 6 perkara penting. Program ActionCoach Busines Coaching mengajar 6 perkara penting itu iaitu :-
  • Business Mastery
  • Financial Mastery
  • Marketing Mastery
  • System Mastery
  • Team Mastery
  • Planning Mastery
Saya mengikuti program ini selama 6 sesi di Misdec, Melaka. Kos keseluruhan program ini ialah RM3,000. Jika anda memiliki bisnes yang berdaftar di SSM, anda layak memohon gran SMIDEC bagi membiayai 80% kos program ini. Anda cuma perlu membayar RM600 sahaja. Jika anda bertanya komen saya tentang program ini, saya katakan begini : Ia sangat bagus. Amat berbaloi melabur RM600 dan masa selama 6 hari untuk memantapkan bisnes kita. Selain di Melaka, program ini dijalankan secara bersiri di Selangor, Perak, Kedah, Pahang dan Negeri Sembilan. Untuk mengikuti program ini sila hubungi Coach Asri Jusoh di talian 012-2936464 dan Coach Ungku Azlan Ungku Chulan di talian 019-3879617. Gambar : dari kiri, Coach Asri, Coach Azlan, Fina (cafe-owner), Norlela (bisnes training), Noridah (bisnes kek), Noraini (bisnes training), Haji Abu (bisnes baja), En. Hazizul (Pengurus Misdec) dan En. Asmadi (vendor TNB).

Monday, March 2, 2009

Tentang Tawakkal & Rasuah

Dua orang kontraktor binaan bertemu di sebuah majlis perkahwinan. Sambil menikmati hidangan, mereka bercerita tentang senario bisnes semasa yang banyak melibatkan pemberian rasuah. Encik Malungun berkata : Saya tahu memberi rasuah itu haram, tetapi jika saya tidak mahu beri, susahlah hendak dapat peluang bisnes. Jawab Encik Chalit : Kita perlu yakin rezeki kita di tangan Allah, bukan di tangan manusia. Encik Malungun mengeleng-geleng kepalanya sambil berkata : Itu saya tahu tetapi dalam bisnes tindakan kita perlu praktikal. Jika tidak ikut trend, kita terlepas peluang. Ini realiti dalam bisnes. Encik Chalit tersenyum sambil mengunyah lauk, kemudian berkata lagi : Kita kena bertawakkal kepada Allah.

Sketsa di atas ini bukanlah rahsia besar. Hampir setiap hari kes-kes rasuah dilaporkan di dada-dada akhbar. Yang menyedihkan ialah ia banyak berlaku di kalangan orang-orang Islam. Yang meminta rasuah itu adalah orang Islam. Yang memberi rasuah pun adalah orang Islam. Ramai orang percaya pemberian rezeki ditentukan oleh Allah. Bagaimana pun mereka tidak begitu yakin untuk bertawakkal kepadaNya dalam bab rezeki ini.

Bertawakkal yang saya maksudkan di sini ialah berusaha dahulu, kemudian disusuli dengan memohon doa kepada Allah. Contohnya apabila membida tender kerja, proses mengisi borang tender, mengisi nilai BQ, meletak harga, penyediaan profil syarikat (dengan pengalaman-pengalaman kerjanya) dan memasukkan pekej borang tender itu ke dalam peti tender (sebelum tarikh tutupnya), semua itu termasuk dalam bab usaha. Kemudian, kita berdoalah banyak-banyak. Sama ada tender itu berjaya atau tidak, kita serahkan sahaja kepada Allah.

Namun bagi sesetengah orang bisnes, usahanya tidak terhenti di situ. Ia disusuli dengan proses melobi dan membuat perhitungan tertentu dengan pihak yang berkuasa membuat keputusan. Bagi sesetengah orang Islam, meminta dan memberi rasuah adalah normal dan adat dalam bisnes. Malang sekali jika amalan rasuah ini terus-menerus tidak dipandang hina dan jijik oleh orang-orang Islam sendiri. Menyentuh bab tawakkal, sila ikuti kisah berikut :-

Seorang lelaki sedang memanjat sebuah gunung, tiba-tiba dia tergelincir dan melurut jatuh ke bawah. Sambil menjerit-jerit meminta pertolongan, dia cuba berpaut kepada sebuah batu. Lelaki itu memeluk batu itu kuat-kuat. Kemudian dia cuba mengintai ke bawah dan ternampak sebuah gaung yang dalam. Lelaki itu merintih-rintih kesedihan : Ya Tuhanku, tolonglah aku! Tolonglah aku! Jika tidak engakau yang menolong aku, pasti aku mati. Tiada daya aku hendak memanjat ke atas. Bahkan tenagaku semakin lemah. Ya Tuhan, tolonglah aku! Jika tidak, aku akan jatuh ke dalam gaung! Matilah aku!

Tiba-tiba terdengar suatu suara berkata-kata : Lepaskan tanganmu itu. Nanti engkau akan jatuh ke bawah tetapi engkau pasti selamat. Lelaki itu terkejut besar lalu bertanya : Siapa engkau? Hoi suara, siapa engkau? Jawab suara itu : Akulah Tuhanmu. Lepaskan tanganmu. Nanti engkau akan jatuh dengan selamat. Jawab lelaki itu : Aku tidak percaya! Aku tidak percaya! Hoi suara, ada sesiapa lagikah di atas sana yang boleh tolong tarik aku ke atas? Soalan lelaki itu tidak mendapat jawapan.

Kisah di atas ini diilhamkan oleh seorang bukan Muslim. Oleh itu ia tidak syariah-compliant. Bagaimana pun iktibar yang boleh diambil ialah kisah ini hendak menunjukkan tahap tawakkal seorang insan kepada Tuhannya. Ramai orang Islam mengaku beriman tetapi tahap tawakkalnya sama sahaja seperti lelaki yang berpaut kepada batu itu dan Encik Malangun seperti dalam 2 kisah di atas.

Maksud Ayat 1000 dinar (Surah Ah Thalaaq, ayat 2-3) : Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.