Trajedi yang menimpa usahawan wanita terkemuka, Allahyarhamah Sosilawati Lawiya baru-baru ini satu peristiwa yang sangat menyayat hati. Meski pun ajal seseorang itu sudah ditentukan Allah dan dia pasti akan mati apabila tiba detik dan ketikanya, cara pemergian beliau sukar diterima akal yang waras. Kerakusan manusia yang tamak boleh membutakan hati dan perasaannya, sehingga sanggup melakukan kezaliman terhadap sesama insan. Demi wang ringgit yang mengabui mata si tamak haloba itu, nyawa manusia tidak lagi ada nilainya...
Saya pernah bertemu Allahyarhamah Sosilawati ketika menginterviunya beberapa tahun lalu. Meski pun sibuk, beliau sudi meluangkan masa beberapa jam bersama saya sambil berkongsi kisah bagaimana beliau meniti liku-liku kehidupan sebagai seorang usahawan kecil, sehingga berjaya menjadi seorang jutawan dalam bisnes kosmetik. Kisah beliau itu ada termuat di dalam buku kedua saya bertajuk 'Kisah 50 Usahawan Wanita Malaysia' yang diterbitkan oleh PTS beberapa tahun lalu.
Ketika sesi interviu berlangsung, beliau menyelak helaian sebuah buku yang saya hadiahkan kepadanya. Buku itu ialah buku pertama saya bertajuk 'Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya'. Wanita cantik itu memberi banyak komen tentang fakta-fakta yang beliau setuju dan tidak setuju. Di sebalik raut wajahnya yang mulus dan menawan, Sosilawati seorang yang sangat tegas dan sesekali suaranya bertukar begitu kuat dan seakan menjerit-jerit sehingga dada saya berdebak-debuk dibuatnya!
Ketika selesai sesi interviu, Sosilawati tiba-tiba memberi saya wang RM150. Saya sangat terkejut dan dalam terpinga-pinga, saya bertanya mengapa dia memberi saya wang itu. Beliau mendesak saya mengambilnya kerana tidak sempat membawa saya makan tengahari. Puas saya menolak tetapi dia tetap memberikan wang itu. Seumur hidup saya setelah menjadi orang dewasa, jarang sekali saya diberi hadiah wang sebegitu kecuali oleh suami saya dan saya jadi tersipu-sipu.
Ketika saya hendak meninggalkan pejabat beliau, saya bertembung (bekas) suaminya, Nash. Beliau mengajak saya naik ke tingkat tiga kerana ada 'surprise party' buat isterinya. Kebetulan hari itu adalah hari jadi Sosilawati. Saya pun 'tumpanglah semangkuk' dalam majlis kecil yang disertai kakitangan syarikat kosmetik itu. Nash membacakan doa dengan begitu khusyuk buat isterinya. Saya ada menyimpan gambar-gambar pasangan suami-isteri itu. InsyaAllah nanti saya pos-kan di sini sebagai kenangan dan tatapan bersama.
Kali terakhir saya bertemu Allahyarhamah Sosilawati ialah ketika menyerahkan senaskah buku saya yang memuatkan kisah beliau. Sosilawati adalah seorang tokoh usahawan wanita yang boleh dijadikan teladan kepada para usahawan wanita. Akhirkata saya mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama para solihin. Kepada kaum keluarga beliau, saya doakan semoga dugaan yang besar ini dapat ditempohi dengan penuh kesabaran. Sesungguhnya takdir Allah itu tiada siapa dapat melawannya.
Saya kagum dengan aktifitas anda, terutama kesholihan anda, amiin. salam buat semua.
ReplyDeletekami harus menjadikan sosilawati sebagai teladan kita. amiin.
ReplyDelete