Showing posts with label mas cotek. Show all posts
Showing posts with label mas cotek. Show all posts

Wednesday, July 1, 2009

Cerita Mas Cotek

Inilah kebun mas cotek kami.

Setelah dituai, daun-daun mas cotek dicuci dan
dibiarkan kering dengan panas matahari.

Daun-daun mas cotek yang sudah cukup kering dipek
dalam karung plastik. Setiap pek beratnya ialah 1 kg.
Sebahagian hasil tuaian yang sudah siap untuk dijual.
Saya menerima beberapa emel daripada pembaca blog ini yang ingin mendapatkan maklumat tentang penanaman mas cotek. Maka di entri kali ini saya kongsikan beberapa informasi yang mungkin berguna kepada pihak yang bertanya.

Seperti pernah saya ceritakan sebelum ini, saya dan suami menyertai program ladang kontrak anjuran Jabatan Pertanian Putrajaya pada tahun 2008. Kami menanam 300 batang pokok sahaja sebagai percubaan.

Kos keseluruhan yang kami belanjakan ialah RM3,600. Ini termasuk kos anak benih, tanah dan campurannya, polibeg, batu-bata (sebagai alas pokok), gaji pekerja serta baja organik. Pokok mas cotek hanya perlu disiram 3-4 hari sekali. Menjaganya agak mudah.

Oleh kerana kebun mas cotek kami ini terletak dalam dusun buah-buahan, pokok-pokok itu hidup subur dan rimbun tanpa banyak masaalah. Yang menimbulkan masaalah ialah 'perjanjian' ladang kontrak kami. Ia tidak menjadi!!!

Syarikat yang dilantik sebagai anchor tidak bersedia mengambil daun-daun kami seperti dijanjikan. Alasan diberi ialah mesin pengering daun belum sampai di kilangnya. Pokok-pokok yang sepatutnya dituai pada bulan Oktober, 2008 ditangguhkan penuaiannya ke bulan Disember, 2008.

Seterusnya ditangguhkan lagi ke Januari, 2009 dan kemudian dari bulan ke bulan sehinggalah ke hari ini. Ceritanya masih sama iaitu mesin pengering belum sampai lagi. Inilah realiti yang saya alami sendiri dengan menyertai program ladang kontrak. Ia tidaklah semudah yang diwar-warkan.

Entah di mana silapnya saya kurang jelas. Pihak Jabatan Pertanian Putrajaya juga terus senyap tanpa berita. Aduhai, ini memang kes hangat-hangat tahi ayam! Pantang nenek-moyang saya apabila orang buat kerja sekerat jalan seperti ini.

Melihat daun-daun mas cotek semakin lebat dan rimbun, kami pening kepala memikirkan apa hendak dibuat dengan pokok-pokok itu. Sahabat saya, Syimah yang juga menyertai program ladang kontrak ini hampir putus asa melihat pokok-pokoknya banyak mati kekeringan.

Beliau yang tidak menggaji pekerja mengurus pokok-pokok itu sendirian. Seperti saya, Syimah juga tidak tahu apa hendak dibuat dengan pokok-pokoknya sebanyak 500 batang itu. Aduhai, sungguh tidak di sangka program ladang kontrak anjuran Jabatan Pertanian boleh tersadai sekerat jalan!

Saya pernah terbaca kisah seorang pengusaha produk herba di akhbar. Antara produk yang beliau keluarkan ialah teh mas cotek dalam bentuk uncang dan kapsul. Paling menarik ialah ladang dan kilang beliau terletak di Melaka, hanya 6 km dari rumah saya.

Saya hubungi tauke herba itu yang dikenali sebagai Tuan Hj. Yaacob dan isterinya, Hajah Hairani untuk berunding. Kebetulan pada waktu ini mereka baru mendapat pesanan untuk membekal teh mas cotek sebanyak 150,000 uncang dan memerlukan daun-daun mas cotek untuk diproses. Alhamdulillah, Allah memberi jalan keluar kepada saya.

Tuaian kali pertama kami ialah 100 kg daun basah. Setelah dikeringkan beratnya menjadi 20 kg sahaja. Harga daun mas cotek kering ialah RM40 sekilogram. Tuan Hj. Yaacob membayar tunai RM800.

InsyaAllah dalam 3 bulan lagi, pokok-pokok kami boleh dituai semula. Saya bersyukur usaha kami tidaklah sia-sia. Sehingga entri ini ditulis, syarikat anchor di Batu Pahat masih belum menerima mesin pengering yang ditempah setahun lalu. Itu namanya sindrom menunggu buah tidak gugur!!!

Jika anda bertanya pendapat saya tentang prospek menyertai program ladang kontrak, jawapan saya begini :-

1. Saya fobia.
2. Ada kemungkinan jaminan yang dijanji indah khabar dari rupa.
3. Selidiki betul-betul sebelum melabur wang, masa dan tenaga.

Wednesday, February 4, 2009

Ladang kontrak, benarkah terjamin pembeliannya?

Saya pernah menulis beberapa entri di blog ini berhubung penanaman mas cotek yang diusahakan oleh suami saya sejak setahun lalu. Oleh kerana ini pertama kali menceburi bidang bisnes tani, Hj. Zainal mengambil keputusan untuk mencuba dahulu secara kecil-kecilan. Beliau menanam 300 batang pokok sahaja di tanah dusun kami dengan kos lebih-kurang RM3 ribu.

Sebelum memulakan penanaman, kami mengikuti beberapa siri kursus yang dianjurkan Jabatan Pertanian dan syarikat payung (yang terlibat dalam projek ladang kontrak ini). Kami semakin yakin dengan pokok herba ini apabila mengetahui khasiatnya bernilai tinggi. Ia hasil kajian saintifik oleh pihak MARDI yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Saya menerima beberapa emel daripada pembaca yang ingin tahu tentang prospek penanaman mas cotek secara ladang kontrak. Sesetengah pembaca yang mempunyai tanah berkeluasan 1 hingga 10 ekar sangat berminat untuk melabur dalam bidang ini. Di sini saya ingin berkongsi beberapa maklumat yang mungkin dapat membantu anda membuat pertimbangan.

Pokok-pokok kami kini berusia 10 bulan. Setakat ini tanaman ini belum pernah di tuai lagi. Tuaian pertama dijadualkan pada bulan Disember tahun lalu tetapi ditangguhkan beberapa kali kerana mesin pengering baru (yang ditempah) masih belum sampai di kilang syarikat payung. Mesin itu dijangka sampai pada bulan Febuari ini dan kami masih menunggu pengesahan daripada syarikat payung itu tentang tarikh tuaian yang baru.

Apa yang ingin saya katakan ialah, di peringkat awal kami berpendapat projek ladang kontrak lebih mudah kerana urusan pembelian sudah dijamin oleh syarikat payung. Hakikatnya tidaklah semudah itu. Oleh kerana kami tidak bergantung kepada projek ini sebagai sumber hasil, ia tidaklah menjadi isu besar. Bagaimana pula bagi mereka yang bergantung kepada hasil penanaman ini untuk menampung kehidupan?

Saya berpendapat jika anda ingin membuat pelaburan besar dalam bidang tanaman kontrak seperti ini, terlebih dahulu anda perlu mendapatkan kepastian tentang bagaimana pengurusan tuaian akan dibuat di ladang anda oleh syarikat payung. Kami sendiri sudah memastikan perkara ini tetapi beberapa faktor di luar jangka berlaku. Kebergantungan kepada syarikat payung semata-mata ada kesan sampingannya. Jika mereka tidak mengambil hasil tuaian itu, penanam tidak memperolehi hasil tanamannya.

Agak terlalu awal untuk saya mengatakan usaha bisnes tani ini tidak berbaloi. Bukan itu yang saya maksudkan di sini. Dengan percubaan secara kecil-kecilan itu banyak perkara yang dapat kami pelajari tentang penanaman herba istimewa ini. Kami juga berjaya menghasilkan anak-anak benih yang kini mendapat permintaan menggalakkan daripada pihak pelanggan. Jika anda perlukan anak-anak benih mas cotek spesis betina (jenis telinga kera), sila hubungi Hj. Zainal di talian : 019-6661466.

Pesan saya buat anda yang berminat dengan projek ladang kontrak, sebelum anda melabur eloklah dibuat kajian terperinci tentang kemampuan syarikat payung yang berurusan dengan kontrak anda itu. Kekadang apa yang kita dengar bukanlah maklumat yang tepat 100%! InsyaAllah saya akan maklumkan perkembangan projek mas cotek kami di entri yang lain.

Saturday, December 13, 2008

Masa Menuai

Ini gambar pokok-pokok mas cotek di kebun Hj. Zainal yang kini berusia hampir 8 bulan. Untuk melihat gambar-gambar ketika pokok-pokok ini baru ditanam dan ketika berusia 4 bulan, sila klik di sini. InsyaAllah daun dan buah mas cotek ini akan dituai buat pertama kali pada hujung bulan Disember, 2008. Sebahagian daripada pokok-pokok itu juga dijadikan anak-anak benih. Membuat anak benih agak mudah. Caranya ialah dengan memotong dahan yang berpucuk sepanjang 7 ke 8 inci dan ditanam terus ke poli beg berisi tanah, pasir dan baja kompos (diperbuat daripada pelepah dan tunggul pokok kelapa sawit yang dihancurkan). Jika anda ingin menempah anak-anak benih mas cotek dalam kuantiti yang banyak, sila hubungi Hj. Zainal di talian 019-6661466.

Tuesday, November 11, 2008

SDSI Showcase 2008

Pameran SDSI (Satu Daerah Satu Industri) diadakan pada 7 hingga 9 November, 2008 di MITC, Melaka. Mengikut lapuran berita, ia disertai lebih 600 syarikat daripada seluruh Malaysia. Sambutan daripada para pengunjung juga dilapur sangat memberangsangkan. Saya ke sana pada hari terakhir (Ahad) dan memang benar, dewan pameran penuh sesak sehingga lewat petang. Pada pandangan saya, tempoh pameran selama 3 hari itu agak singkat. Diharap pada masa hadapan pihak penganjur dapat melanjutkan pameran tahunan ini sekurang-kurangnya 5 hari.

Penganjuran Showcase SDSI adalah satu usaha yang wajar diberi pujian. Bagi saya, ia berjaya mendekatkan hati masyarakat dengan produk -produk keluaran tempatan dan hasil bumi kita sendiri. Ia juga menimbulkan perasaan bangga di hati apabila melihat majoriti gerai pameran diwakili usahawan-usahawan Melayu yang gigih mempromosi produk masing-masing.

Jika pada suatu masa dahulu bidang bisnes kurang diminati orang Melayu, kini keadaan sudah berubah. Bidang bisnes semakin menjadi pilihan dan membudaya di kalangan orang-orang Melayu. Pelbagai jenis produk berkualiti dipamer dan dijual termasuk hasil pertanian seperti burung puyuh (daging), serunding cendawan, jeruk dan jus roselle, kek lapis Sarawak, jus manjakani, hasil anyaman, tenunan, batik, manik, sulaman, parang (produk Sabah), hiasan lanskap, pokok bonsai, ternakan ikan cara oceantronic, cokelat dan produk-produk herba seperti pecah beling, misai kucing dan hempedu bumi.

Paling menarik minat saya dan Zainal sudah pastilah produk hasilan mas cotek. Tidak dapat dinafikan herba ini sangat menyerlah dan khasiatnya bagi menjaga kesihatan semakin diperakui di kalangan masyarakat tempatan. Saya mengambil kesempatan membuat survey harga teh mas cotek di pameran ini. Hasil survey harga saya daripada 3 buah gerai seperti berikut...

Harga sekotak berisi 12 uncang teh mas cotek
Gerai A = RM10
Gerai B = RM7
Gerai C = RM10 (jika dibeli 2 kotak)


Secara logik harga yang paling murah pasti menarik hati pembeli. Namun tidakkah cara begini menjejaskan harga mas cotek di pasaran dan menguntungkan satu pihak sahaja? Jadi apakah cara terbaik supaya semua peniaga produk ini dapat sama-sama menikmati untung? Saya sarankan mereka menubuhkan satu persatuan supaya boleh duduk semeja dan berbincang bagi menetapkan satu harga yang dapat dipersetujui bersama.

Wednesday, August 27, 2008

Kebun Mas Cotek Hj. Zainal

Ketika saya sibuk dengan program Business Coaching beberapa bulan lalu, Zainal pula sibuk dengan projek mas coteknya. Ini gambar kebun mas cotek Hj. Zainal, diambil 4 bulan lalu pada 27 April, 2008.

Kini pokok-pokok mas cotek itu sedang tumbuh subur dan rimbun. Di atas ini gambar terbaru yang diambil pada 27 Ogos, 2008. InsyaAllah, daun pokok-pokok ini boleh dituai dalam tempoh 4 bulan lagi.

Wednesday, May 7, 2008

Lawatan Ke Lokasi Penanaman Mas Cotek Di Melaka

Seperti dijadualkan, hari ini Jabatan Pertanian Putrajaya mengadakan lawatan ke beberapa lokasi penanaman mas cotek di Melaka termasuk di tempat kami.

Di bawah Program Padanan Perniagaan Industri Herba 2008, Syarikat Moro Seri Utama yang merupakan syarikat payung bagi mas cotek mensasarkan keluasan penanaman sebanyak 500 ekar. Bagaimana pun keluasan ladang kontrak yang kini menyertai program ini ialah 324 ekar.

Gambar di sebelah : Hj. Zainal bersama En. Redza, Jabatan Pertanian Putrajaya (di tengah), En. Ismail, Syarikat Moro Seri Utama (no. 2 dari kiri) dan pegawai-pegawai Jabatan Pertanian Melaka.

Monday, May 5, 2008

Kebun Mas Cotek

Ini sebahagian daripada 'ladang' mas cotek yang sedang diusahakan Hj. Zainal. 300 batang anak benih yang dibeli tempoh hari mengambil tempat kurang 20% daripada tapak kebun kami yang luasnya suku ekar. Masih ada ruang untuk ditanam 2,000 batang lagi.

Jabatan Pertanian Putrajaya akan mengadakan lawatan ke Melaka pada 7 Mei, 2008, bagi meninjau perkembangan para peserta kursus yang mengikuti program penanaman mas cotek di Mardi Telong, Bachok Febuari lalu. InsyaAllah kebun ini salah satu destinasinya.

Wednesday, April 2, 2008

Projek Mas Cotek

Petang Jumaat minggu lalu ketika kami dalam perjalanan ke KL, bos Syarikat Moro Enterprise menelefon saya. Katanya, anak benih mas cotek akan dihantarnya kepada kami pada pagi Sabtu. Walau pun diberitahu kami outstation, dia bersetuju untuk menghantar juga. Nampaknya En. Ismail sudah tidak sabar-sabar lagi hendak menjadikan kami penanam kontraknya!

Sebenarnya saya memang sudah bercadang hendak memulakan projek ini dalam masa terdekat tetapi dek kerana sibuk dengan program coaching, ia tertangguh. Tambahan lagi kebelakangan ini musim hujan. Tapak yang kami sediakan cepat ditumbuhi rumput dan perlu dibersihkan semula.

Namun begitu, elok juga En. Ismail bersikap proaktif. Jika tidak, harus tertunda lagi projek ini! Anak benih dan tanah campuran (tanah baja + pelepah/bahan pokok kelapa sawit yang dihancurkan) sudah ada. Saya hanya perlu membeli poli beg (20x20 inci). Ya, kami membuat keputusan untuk menanam dalam poli beg, bukan terus di atas tanah. Itu lebih baik untuk jangka panjang. Kami juga perlu membeli batu-batu blok untuk dijadikan tapak pokok-pokok itu.

Hanif sudah bersetuju mengalihkan pokok-pokok itu ke dalam poli beg pada hari Ahad minggu ini. Kami hanya perlu sediakan upah untuknya. Saya sendiri belum pasti berapa lama masa diperlukan Hanif untuk menanam 300 batang pokok itu. Yang pasti, upahnya dikira ikut 'piece rate'. Mungkin 3 batang upahnya RM1... Hmmm, saya rasa maksima pun upahnya 2 batang untuk RM1... Aduh, andainya dia rasa tidak berbaloi, mana tahu Hanif suruh saya tanam sendiri! Bos projek ini sebenarnya ialah Hj. Zainal. Peranan saya sebagai cheerleader saja!!!

Friday, March 7, 2008

Kursus Teknikal Mas Cotek di Mardi Telong

Para peserta kursus (dari Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Melaka) bergambar bersama pegawai dan staf di Stesen Mardi Telong, Bachok, Kelantan. Lelaki yang berbaju kuning-putih (berdiri di barisan tengah) adalah En. Ismail Dahalan, pemilik Syarikat Moro Seri Utama Enterprise iaitu syarikat payung yang merupakan pembeli hasil tuaian dalam projek mas cotek ini.

Pihak Mardi di Telong membuat kajian secara saintifik bagi membuktikan khasiat mas cotek dan bagaimana mengekal kualitinya supaya produk-produk yang dihasilkan berasaskan herba itu boleh diekspot. Kajian efikasi juga dilakukan bagi menentukan dosej yang selamat diambil dan jenis-jenis mas cotek yang mempunyai potensi pengeluaran hasil tinggi.

Pihak Mardi juga memberi tunjuk-ajar kaedah penuaian yang sesuai tanpa merosak dan membantut tumbesaran pokok, apa perlu dilakukan selepas mas cotek dituai dan proses pengeringannya. Pengendalian selepas tuai adalah penting serta perlu mengikut beberapa peraturan supaya hasil tuaian tidak rosak dan menjejaskan kualitinya.

Menurut Hj. Musa Yaacob dan Puan Nurul Afza, pegawai-pegawai penyelidik di Stesen Mardi Telong, mereka kini merasakan hasil kajian yang diusahakan di sana lebih bermakna dan memberi manafaat kepada masyarakat. Mas cotek adalah antara herba hasil bumi kita yang bernilai tinggi dan berpotensi dipasarkan di peringkat global.

Hasil kajian Mardi ke atas herba mas cotek juga sudah memenangi beberapa pengiktirafan antarabangsa. Sebelum ini daerah Telong di Bachok dikenali dengan hasil tembakau. Meski pun hasilnya tinggi, mereka di Mardi merasa kurang enak kerana seolah-olah mendorong industri rokok yang memudaratkan kesihatan umum.

Saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran kursus ini. Khususnya buat En. Mohamed Redza Baba, Ketua Bahagian Herba dan Rempah Ratus bagi Tanaman Industri, Kementerian Pertanian, Putrajaya.

Thursday, February 28, 2008

Kursus Teknikal Mas Cotek















Lanjutan daripada Program Padanan Perniagaan Industri Herba yang diadakan pada 21-22 November, 2007 lalu di Menara PKNS, PJ, disusuli dengan lawatan ke ladang-ladang mas cotek pada 6 Disember, 2007 di Batu Pahat, kini sampailah ke fasa ketiga iaitu kursus teknikal penanaman dan pemprosesan lepas tuai mas cotek. Kursus ini akan diadakan di Pusat Pertanian Lundang, Kota Bahru, Kelantan pada 4-5 Mac, 2008. Saya dan Zainal akan menghadiri kursus ini.

Sebelum ke KB, insyaAllah, kami akan singgah di Terengganu pada Ahad ini untuk bertemu beberapa orang pelanggan tetap yang majoriti berniaga di Kuala Berang. Sudah bertahun-tahun mereka melanggan Kawat Duri High Tensile daripada kami. Oleh kerana jarak yang jauh, kami dan mereka sekadar berurusan melalui telefon dan faks. Biasanya mereka membuat tempahan, kemudian wang dimasukkan ke akaun bank kami dan slip bank difakskan sebagai bukti. Seterusnya kami menyewa lori untuk menghantar Kawat Duri HT itu kepada mereka. InsyaAllah Ahad ini kami akan bertemu pelanggan-pelanggan setia ini sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Bahru.

Gambar-gambar di atas : daun mas cotek (jenis jantan dan betina) yang sudah dituai dan dikeringkan termasuk akar dan buahnya (juga diasing dan dikeringkan). Semuanya (daun, buah dan akar) akan dikisar dan dicampurkan dalam kadar tertentu untuk dijadikan ramuan bagi mas cotek uncang dan ekstrasi minyaknya.

Thursday, December 6, 2007

Ladang Mas Cotek

Sebelum ini saya kurang berminat dengan herba-herba tradisi orang Melayu seperti tongkat ali, kacip fatimah dan mas cotek. Antara penyebabnya ialah herba-herba itu selalu dikaitkan dengan faktor seksual.

Iklan-iklan di TV dan radio misalnya, secara tersirat terlalu memfokus khasiat herba-herba tersebut ke arah itu. Terus-terang saya merasa geli dan malu mahu mengaitkan diri dengan herba-herba 'gatal' itu.

Baru-baru ini ketika menghadiri bengkel herba anjuran PKNS, saya didedahkan kepada perspektif berbeza. Saya mulai faham bahawa herba-herba tradisi kita mengandungi banyak khasiat untuk penjagaan kesihatan dan rawatan berbagai penyakit kronik.

Mas cotek contohnya amat sesuai untuk mengubati kanser payu dara, kolesterol tinggi, gout, paru-paru berair, darah tinggi, buasir, migrain dan kencing manis. Kajian makmal oleh FRIM dan Jabatan Pertanian membuktikan herba ini mengandungi chemical content berupa anti oksida yang kuat selain membantu penyerapan nutrien dan melancarkan peredaran darah. Saya benar-benar kagum.

Selama ini saya kenal benar dengan khasiat teh hijau, ginseng dan cordyceps. Sayangnya saya tidak pernah ambil tahu tentang herba-herba tradisi yang tumbuh di negara sendiri, sedangkan khasiat yang terkandung di dalam herba-herba tradisi kita tidak kurang hebatnya. Malah melalui kajian bio-teknologi, herba-herba itu berpotensi besar dipasarkan ke seluruh dunia.

Hari ini saya dan Zainal menghadiri majlis taklimat penanaman mas cotek di Kg. Sg. Nibong, Batu Pahat Johor. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Pertanian, Bahagian Padi, Tanaman Industri & Florikultur Putrajaya.

Syarikat Moro Seri Utama Enterprise menjadi tuan rumah bagi program hari ini. En. Ismail Dahlan, pengurus syarikat itu adalah usahawan yang sangat berjaya dalam menghasilkan produk-produk mas cotek. Antara keluaran syarikat beliau ialah serbuk mas cotek dalam bentuk uncang (seperti teh uncang).

Dalam program hari ini yang dihadiri 60 orang peserta dari seluruh Malaysia, kami diberi taklimat berhubung jenis-jenis pokok mas cotek, teknologi penanaman dan pembajaannya serta cara penuaian dan pengeringan.

Pokok mas cotek sesuai ditanam di tanah gambut, tanah liat dan tanah bukit. Untuk memberi kefahaman kepada para peserta, kami di bawa melawat beberapa ladang. Antaranya di Sg. Nibong (tanah gambut), Kg. Beroleh (tanah liat) dan Empangan Semerung (tanah bukit).

Matlamat program ini adalah untuk mendapatkan bekalan mas cotek melalui perjanjian ladang kontrak. Para peserta yang berminat akan diberi kursus teknikal untuk menjadi penanam mas cotek dan seterusnya membekalkan daun, ranting, buah dan akar mas cotek itu kepada Syarikat Moro Seri Utama Enterprise.

Keluasan ladang secara kelompok (di seluruh negara) melalui penanam-penanam kontrak yang disasarkan oleh Syarikat Moro ialah 500 hektar. Ini bagi menampung keperluan bahan mentah syarikatnya dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Permintaan ke atas produk mas cotek kini dan di masa depan dijangka semakin melonjak tinggi di pasaran tempatan dan global.

Saturday, November 24, 2007

Klinik Usahawan

Saya, Maimun (Mun) dan Shaharimah (Syimah) menghadiri klinik usahawan anjuran PKNS pada 21 dan 22 November lalu. Lokasinya di Seminar & Conference Centre, Tingkat 15, Menara PKNS, PJ. Kami berulang-alik Melaka-PJ-Melaka selama 2 hari itu. Perjalanan kami bermula jam 6:30 pagi dan berakhir kira-kira jam 9:00 malam.

Klinik ini membincangkan peluang bisnes dalam industri herba melalui pemasaran kontrak pada hari pertama. Kemudian bagi yang berminat diadakan sesi business match-making dengan 5 syarikat payung pada hari kedua. Pada hari pertama 250 orang peserta hadir dan 150 daripada jumlah itu berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut termasuk kami bertiga.

5 syarikat payung yang terlibat dalam program ini ialah Malaysian Herbal Corporation (MHB), Rentak Timur Sdn. Bhd. (RTSB), BanDar Agro Spice Industries (BASPI), Moro Seri Utama Enterprise (MSUE) dan Phtofolia Sdn. Bhd. (PSB).

Pada hari kedua, para peserta dibahagi kepada 5 kumpulan. Setiap kumpulan diberi masa 1 jam untuk mendengar taklimat setiap satu syarikat payung secara bergilir dengan kumpulan lain. Dalam sesi itu, para peserta diberi peluang bertanya apa saja soalan tentang peluang bisnes yang ditawarkan. Kami bertiga dalam kumpulan 4.

Secara ringkasnya setiap syarikat payung itu sudah ada kilang mereka sendiri yang menghasilkan produk-produk seperti ekstrak vanila, rempah-ratus dan pelbagai herba yang diperlukan dalam industri makanan, kosmetik dan pembuatan ubat-ubatan. Mereka menjadi pembekal bahan mentah dan ramuan separa siap kepada syarikat-syarikat seperti Nestle, Adabi, Maggi dan kilang-kilang kosmetik serta pharmaseutikal.

Permintaan untuk bahan mentah herba yang sudah diproses atau diekstrak amat tinggi, baik di dalam mahu pun di luar negara. Ratusan tan diperlukan setiap bulan. Sebagai pembekal, syarikat-syarikat payung itu memerlukan banyak 'contract farmers' bagi mendapatkan herba-herba seperti serai, limau purut, mas cotek, bunga kantan, vanila, cengkih, daun kari, halia, cili, daun bawang dan macam-macam lagi. Bagi yang berminat, syarikat payung akan mengaturkan siri lawatan dan perbincangan lanjut sehingga akhirnya membuat kontrak perjanjian untuk tempoh beberapa tahun.

Yang diperlukan di pihak peserta ialah tanah, sama ada milik sendiri atau dipajak. Ada jenis tanaman yang memerlukan minima 5 ekar. Ada yang memerlukan minima 1/4 ekar sahaja. Ada juga syarikat payung yang menyediakan tanah seluas 100 ekar dan memerlukan 10 syarikat atau individu untuk menguruskan penanaman. Teknik menanam, penyediaan benih, cara penanaman, membaja sehingga pengangkutan tuaian di aturkan apabila kontrak sudah ditandatangan. Agensi yang terlibat dalam program ini ialah Kementerian Pertanian Bahagian Industri Herba.

Tujuan saya ke klinik tersebut adalah untuk mendapatkan informasi bagi dijadikan bahan tulisan saya untuk terbitan di majalah dan buku-buku seterusnya. Sambil itu saya juga mencari peluang bisnes seandainya sesuai. Saya bukan rencam, maksudnya hendak buat itu dan ini, tapi sanggupkah melakukannya? Sebenarnya saya sekadar mahu memulakan sesuatu usaha secara kecil-kecilan khasnya dalam industri herba yang mempunyai masa depan cerah ini.

Yang menarik minat saya ialah penanaman mas cotek kerana ia tidak memerlukan tanah yang luas. Menurut En. Ismail, bos Moro, tanah dusun buah-buahan juga sesuai di sulam dengan pokok-pokok mas cotek. Syimah dan Mun juga berminat dengan mas cotek. Tadi Syimah menelefon En. Ismail dan beliau bersetuju untuk datang esok bagi melihat tapak dan kesesuaian tanah. Saya pun tumpang sekaki iaitu akan mengajak beliau melawat tanah dusun saya yang luasnya sekangkang kera.

Syimah bertanya : Besarkah kera itu? Kalau king-kong, besar juga kangkangnya. Mahu makan 2-3 ekar.

Jawab saya : Kera saya jenis king-kong terencat tumbesaran. Jadi kangkangnya 1/4 ekar je!!!