Showing posts with label Program Latihan. Show all posts
Showing posts with label Program Latihan. Show all posts

Saturday, July 3, 2010

Kursus Team Building JBSB


Pada 24-27 Jun, 2010 Total Manpower Solution Consultant (TMS) berkampung di Saujana Asahan Resort, Melaka bagi mengendalikan kursus team-building untuk Jati Beringin Sdn. Bhd. (JBSB). Kursus ini sepatutnya sudah berlangsung pada tahun lalu, tetapi kerana kesibukan dan menerima banyak tempahan pelanggan, bos besar JBSB, En. Asmadi Wahid, terpaksa menangguhkannya beberapa kali.

JBSB adalah sebuah syarikat vendor kepada TNB dan Telekom. Syarikat milik bumiputera 100% ini sedang berkembang maju dan merasa amat perlu membentuk satu pasukan kerja yang mantap dan bersinergi. Pada malam terakhir kursus, En. Asmadi turut mengadakan jamuan BBQ untuk meraikan anggota kerja syarikatnya. Kami di TMS mendoakan JBSB terus mencapai kejayaan dan kecemerlangan, insyaAllah.

Tim Training TMS



Ini adalah gambar tim training saya di bawah Total Manpower Solution Consultant (TMS). Dari kiri - Cikgu Kamal Padzli, saya, Coach Mohamad Fuad Ariff, Puan Anita Othman, En. Rafiee Hj. Yahya dan Ustaz Meor Zulharmin. 
TMS diasaskan oleh Coach Fuad pada awal tahun 2008 dan pejabatnya terletak  di TTDI Jaya, Shah Alam, Selangor. TMS mengendalikan berbagai kursus seperti  team-building, program bina insan dan pembinaan karektor untuk remaja/belia, kursus ICT dan kursus keusahawanan.
Saya dan Coach Fuad mula berkenalan ketika kami sama-sama mengikuti kursus Certified Business Coach (CBC) di UMCCed pada tahun 2008. Kami kemudiannya menjadi sahabat baik. Keserasian antara kami timbul kerana sama-sama terlibat dalam bidang bisnes. Beliau beberapa kali mengajak saya menyertai pasukan training-nya terutama apabila mengendalikan kursus keusahawanan. Akhirnya saya bersetuju menerima pelawaannya itu. Kini isteri beliau, Puan Anita juga adalah sahabat baik saya. 
Coach Fuad berpegang kuat kepada nilai bekerja sebagai satu jemaah. Hasrat beliau agar tim training TMS menjadi satu pasukan yang saling lengkap-melengkapi. Serba sedikit info tentang tim training saya yang lain - Cikgu Kamal adalah trainer di Jabatan Latihan Khidmat Negara, Kem Gunung Semanggol, Taiping. Ustaz Meor Zuharmin menjalankan bisnes pertanian dan beliau terlibat dalam banyak kursus di bidang keagamaan. En. Rafiee Hj. Yahya bertugas di GITN Sdn. Bhd. di Pulau Pinang dan terlibat dalam kursus berkaitan ICT. Puan Anita pula adalah penyelaras logistik dan koordinator kursus di TMS.    

Thursday, August 13, 2009

Bengkel Buat Duit Dengan Mengajar Tuisyen


Anda berminat menjana wang secara sambilan antara RM1120 hingga RM2520 sebulan dengan mengajar tuisyen?

Sahabat saya, Tuan Osman Affan, pakar motivasi program SMART STUDY membuka peluang ini. Beliau akan mengadakan Bengkel Buat Duit Dengan Mengajar Tuisyen pada hari Ahad, 6 September, 2009.

Pelajari kemahiran sebagai guru tuisyen daripada pakar motivasi tersohor ini. Untuk maklumat lanjut, sila klik di sini.

Monday, August 10, 2009

Expect The Unexpected!

Manusia hanya boleh merancang dan membuat persediaan sebaik mungkin. Namun apa yang bakal berlaku hanya Allah yang tahu. Di Seminar Peningkatan Daya Saing Usahawan Wanita yang berlangsung di MPC JB minggu lalu terjadi insiden di luar jangka. Bagi penceramah pro, mungkin tidak terasa apa-apa sangat. Bagi saya yang berdarah gemuruh, waduh... berpeluh dahiku apabila bekalan letrik tiba-tiba terputus!!!
Mujur giliran saya belum sampai waktu itu. Penceramah ketiga, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi tenang sahaja menyampaikan ceramah beliau bertajuk Aspek Undang-Undang Menentukan Kejayaan Perniagaan. Para peserta memberi perhatian meski pun pendingin udara tidak berfungsi dan dewan hanya di sinari cahaya samar-samar daripada pintu-pintu yang dibuka. Saya tabik kepada mereka yang bersemangat menimba ilmu. Setiap peserta mendapat senaskah buku tulisan Datuk Azlin, Timbalan Presiden Peniagawati bertajuk Undang-Undang Untuk Usahawan. Buku berharga RM59.90 itu mengandungi banyak maklumat tentang aspek undang-undang yang releven dalam pengurusan bisnes dan wajar dimiliki sebagai rujukan.

Sambil menunggu giliran, saya bertawakkal kepada Allah. Tanpa mikrofon dan alat-bantu (slides & power-point) yang sudah disediakan, saya memikirkan apa perlu diubahsuai. Ketika saya terkomat-kamit membaca doa, tiba-tiba lampu-lampu dewan menyala semula. Alhamdulillah! Dewan riuh dengan sorakan dan tepukan. Mereka bertanya apa doa yang saya baca. Saya tersipu-sipu dan mengucap syukur kepada Allah. Di program ini, buku-buku saya terjual 30 naskah dan 14 naskah lagi buku tulisan Puan Ainon (Mendorong Diri Sendiri & Memulakan Bisnes Sendiri). Juga terjual buku tulisan Ashadi Zain (Rahsia Bisnes Isteri Nabi : Khadijah) dan buku Muslim Kelana (Menjadi Usahawan Sehebat Muhammad Bin Abdullah). Terima kasih kepada Tuan Syed Mohd Al Khafiez yang mengaturkan seorang pegawai MPC mengurus jualan buku-buku tersebut. Terima kasih juga kepada Dr. Rahmat Md. Smail, Pengarah MPC Wilayah Selatan yang sangat baik layanannya. Bagi para peserta seminar yang memerlukan khidmat coaching, silalah hubungi saya. Mohon maaf saya tidak berkesempatan menjawab penuh beberapa pertanyaan dikemukakan tempohari. Gambar bersama beberapa peserta, dari kanan : Dr. Rahmat Md. Smail, Dato' Hazimah Zainuddin (berbaju hijau) - Presiden Peniagawati, Puan Rosleena (bersut hitam) - MPC, Dato' Azlin - Timbalan Presiden Peniagawati dan Puan Noriah Ashari (bersut krim) - Pengarah Urusan Atikah's Songket.

Monday, May 11, 2009

Career Planning Program

Hujung minggu lalu Powermakers Consultancy (milik sahabat saya, Noridah Ujang) mengadakan program Career Planning di Saujana Asahan, Melaka. Para peserta terdiri daripada 50 orang pelajar tahun akhir, jurusan pengurusan pemasaran, Multimedia University (MMU Melaka).

Puan Zaharah Bakar, pensyarah para pelajar itu, mengambil inisiatif dan memberi komitmen menyediakan minda para pelajarnya menghadapi dunia pekerjaan yang bakal ditempuhi. Turut hadir memberi sokongan dalam program 2 hari 2 malam itu adalah suami beliau, En. Nor Ismail, tuan punya firma Noris Architect dan dua orang anak gadis mereka.

Dalam program tersebut, saya mengendalikan sesi Becoming An Entrepreneur. Dalam aktiviti kerja berkumpulan, para pelajar itu menunjukkan kreativiti yang pelbagai dan mengaplikasi pengetahuan mereka dalam teknik-teknik pemasaran, kejurujualan dan promosi produk.

Maklumat menarik yang saya perolehi ialah ramai di kalangan para pelajar berminat dalam bisnes. Seorang pelajar berbangsa Cina memberitahu saya, beliau sudah pun menjalankan bisnes online sejak setahun lalu. Daripada keuntungan bisnes kecilnya, beliau sudah menyimpan RM6 ribu untuk persiapan membayar balik pinjaman PTPTNnya.

Saujana Asahan terletak di kaki Gunung Ledang, gunung lagenda penuh mistik dan rahsia. Maka tidak sahlah jika program ini tidak disertai beberapa aktiviti luar di sebelah petang seperti mendaki, meredah hutan & sungai, flying fox dan abseiling (obstacle activities). Semua aktiviti luar dikendalikan tim En. Koh yang terdiri daripada Cikgu Taufik dan En. Azlan.

Kami mengalu-alukan para pensyarah, tenaga pengajar dan pihak pengurusan kolej dan universiti yang ingin mengadakan program Career Planning mendapatkan khidmat kami. Sila hubungi saya di : 019-6562540 atau emel : norlelazubir@yahoo.com

Wednesday, January 21, 2009

Pesanan Buat Graduan

Bakal graduan fakulti FKEKK, UTeM
Ahad minggu lalu saya ada temujanji dengan 5 orang pelajar UTeM. Kami bertemu di Kampung Buku yang terletak di Taman Botanikal, Ayer Keroh, Melaka. Pada pagi itu kami membincangkan topik keusahawanan. Mereka yang merupakan pelajar tahun akhir, kursus ijazah kejuruteraan elektronik, inginkan maklumat bagi menyiapkan kertas projek. Mereka mengaku tidak banyak tahu tentang aspek keusahawanan. Menurut mereka, ketika ini tiada seorang pun bercadang hendak menjadi usahawan kecuali jika tidak dapat mencari pekerjaan apabila mereka tamat belajar pada bulan Mei tahun ini.

Sambil menjawab soalan-soalan yang mereka ajukan (mereka membawa satu senarai), perbincangan kami berkisar kepada topik-topik seperti bisnes internet, bisnes pertanian, bisnes part-time di rumah dan sebagainya. Saya ambil kesempatan bertanya beberapa soalan yang mendorong mereka berfikir lebih dalam tentang dunia bisnes. Semakin lama berbincang, semakin disedari mereka sebenarnya tahu banyak perkara, bahkan ada yang mula mengaku berminat untuk mempunyai bisnes sendiri setelah berkeluarga kelak.

Waktu itu saya teringatkan peristiwa Puan Ainon Mohd. ditanya sekumpulan pelajar KUIS berhubung soal kerjaya. Manakah yang lebih baik diantara makan gaji dan bekerja sendiri? Puan Ainon menjawab : Pintu masuk pekerjaan di mana-mana pun boleh. Tetapi biarkan pintu itu terus terbuka. Maksudnya ialah, janganlah selepas kita menjadi jurutera atau doktor (sebagai contoh) maka kita tidak boleh lagi membuat perkerjaan lain. Biarkan pintu itu terus terbuka! Pesanan yang sama saya sampaikan kepada 5 orang pelajar UTeM itu.

Tuesday, November 25, 2008

Understudy & Peer-Learning

Minggu lalu saya menerima sms daripada Tuan Osman Affan. Beliau memberitahu akan mengendalikan program Smartstudy Learning Skills di Politeknik Merlimau, Melaka pada hari Isnin, 24 November, 2008. Beliau menjemput saya datang ke program itu.

Sudah pasti saya tidak mahu melepaskan peluang ini. Pertama, ia diadakan di Melaka, tidak sampai 30 km pun dari tempat saya. Kedua, Tuan Osman Affan seorang trainer ternama, pasti banyak teknik-teknik persembahan yang boleh saya pelajari daripadanya.

Seperti dijangkakan program seharian semalam berjalan lancar. Para peserta yang hadir hampir 700 orang dan dewan tetap penuh sehingga ke petang. Turut sama membuat understudy di program ini ialah Puan Fatimah Az Zahra dan Cik Mimi yang datang dari KL. Sebelum ini Puan Fatimah Az Zahra dan suaminya, En. Rizal, turut mengikuti program kendalian Tuan Osman Affan di Kuala Terengganu dan merata tempat di Lembah Kelang.

Di kesempatan semalam, saya berpeluang bertemu dan berkenalan dengan para pensyarah Jabatan Perdagangan di Politeknik Merlimau. Melalui Cik Nazila dan Cik Widayah yang menguruskan program semalam, kami dimaklumkan mereka mengetahui program Tuan Osman melalui laman web beliau, http://www.smartstudy.com.my/. Lalu En. Osman dihubungi dan seterusnya program diaturkan. Begitu berkesannya promosi yang dibuat melalui laman web.

Saya mengambil kesempatan di sini mengucapkan ribuan terima kasih, khasnya kepada En. Osman Affan, juga kepada urusetia program semalam di atas layanan istimewa yang diberikan. Kami bertiga (Fatimah, Mimi dan saya) diberi sebuah bilik khas untuk berehat di hotel mini di Jabatan Hospitaliti. Harapan saya agar dapat bekerjasama dengan pihak Politeknik Merlimau untuk program keusahawanan di masa depan.

Wednesday, October 29, 2008

Program SPIES Di KUIS

Pada 23 & 24 Oktober, 2008 saya bersama kumpulan trainer PTS (diketuai oleh Dr. Tengku Asmadi) mengendalikan program Kepimpinan Siswa di bawah Projek SPIES bagi Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS). Turut bersama kami ialah Puan Sifu dan beliau juga berkampung di sana selama 2 hari 2 malam. Hmmm, saya duduk satu apartment dengannya di tingkat 10 sementara kumpulan trainer lelaki di tingkat 11.

Sepanjang program yang dihadiri 120 orang pemimpin pelajar itu, saya mempelajari banyak perkara berhubung bidang latihan. Kumpulan trainer yang saya sertai ini terdiri daripada mereka yang banyak pengalaman, malah mereka sudah biasa muncul di TV. Saya kagum dengan sikap mereka yang sentiasa merendah diri dan kami saling bekerjasama sebagai satu pasukan. Ia satu pengalaman sangat berguna di mana saya dapat melihat kekuatan trainer-trainer lain dan kini sedang berusaha meningkatkan kemahiran saya sendiri.

Kesempatan duduk bersama Puan Ainon membolehkan saya membuat banyak catitan. Beliau bagaikan sebuah ensaiklopedia. Ada-ada sahaja idea yang diutarakan dan saya pun menjadi tidak lekang dengan buku nota saya. Hmmm, saya masih belum puas berguru dengannya...

Saya terkenang kata-kata Puan Ainon kepada para peserta kursus (yang rata-rata mahukan tempoh program itu dipanjangkan lagi) berbunyi begini : Sudah kena berus, kena sental pun, saudara-saudari masih mahu sambung program ini lagi? Hmmm, begitulah adat berguru. Demi mendapatkan ilmu berguna kenalah tahan telinga!

Pesan Puan Ainon : Nanti apabila Puan sudah sebaya saya, ajarlah pula orang lain. Kita panjangkan ilmu kepada orang lain. InsyaAllah, itulah yang akan saya lakukan, moga-moga Allah panjangkan usiaku dan memberi kemudahan untuk saya melakukannya. Terima kasih di atas segala tunjuk-ajarmu, Puan Ainon. Semoga Allah membalas jasamu dan ilmu yang dikongsikan dengan pahala dan ganjaran yang setimpal.

Gambar dipetik daripada blog Tuan Sabtu : Saya bersama sebahagian trainer di majlis penutup program, dari kanan, En. Abd. Razak, En. Faris, En. Zamri, En. Osman Affan, Dr. Tengku Asmadi, Tuan Sabtu dan En. Shamsuddin Kadir (SK).

Sunday, October 26, 2008

Kursus Pembentukan Usahawan Cemerlang PKPS

Saya berada di Carlton Holiday Hotel, Shah Alam pada 20 & 21 Oktober, 2008. Sahabat saya, Tuan Mohamad Fuad Ariff, pemilik syarikat TMS Total Manpower Solution Consultant Sdn. Bhd. yang mengendali kursus Pembentukan Usahawan Cemerlang untuk PKPS (Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor) menjemput saya sebagai penceramah. Saya diminta berkongsi pengalaman sebagai usahawan dengan 23 orang peserta yang terdiri daripada para pegawai dan eksekutif PKPS.

Di akhir kursus, maklumbalas paling popular yang kami terima menyatakan tempoh kursus 2 hari itu tidak mencukupi. Rata-rata para peserta mahukan tempoh kursus lebih lama untuk memahami pelbagai aspek keusahawanan. Pastinya itu berita baik buat Tuan Fuad yang sudah pun bersedia menawarkan kursus keusahawanan lanjutan untuk PKPS selepas ini.

Seperti biasa ketika waktu minum dan makan bersama para peserta, saya ditanya berbagai soalan berhubung isu-isu bisnes. Oleh kerana masa yang terhad, saya menyarankan supaya mereka menghubungi saya selepas kursus melalui e-mel atau telefon. Usahlah malu dan segan. Jika hendak menjadi usahawan, perasaan MALU (tidak bertempat) itulah tembok penghalang pertama yang perlu kita robohkan.

Ada peserta yang tersipu-sipu mengaku kepada saya bahawa dia hendak berniaga tetapi tidak tahu caranya dan ada juga yang takut hendak berniaga kerana tidak mahu rugi. Macam-macam isu diperkatakan dalam berbual-bual itu tetapi percayalah jika anda inginkan jawapan kepada soalan-soalan itu, buatlah sesuatu. Ambillah langkah pertama yang paling mudah iaitu hubungi saya untuk mendapatkan khidmat coaching.

Saya merakamkan ucapan terima kasih buat sahabat saya, Tuan Fuad yang sudi menjemput saya menyertai program latihannya. Terima kasih juga kepada isterinya, Puan Anita. Saya belajar banyak perkara daripada mereka berdua tentang teknik mengendali kursus yang tampak mudah tetapi tidaklah semudah yang disangka.

Sesungguhnya untuk maju dalam bisnes (khususnya di sini adalah bisnes training) kita perlu bergerak secara berjemaah dan saling tolong-menolong antara satu sama lain. Agak sukar untuk maju jika kita bergerak secara bersendirian. Bak maksud sepotong hadis, seekor kambing yang tertinggal daripada kumpulannya pasti akan dibaham harimau.

Sunday, September 7, 2008

Seminar Isu-Isu Perniagaan Keluarga

Semalam, Sabtu, 6 September, 2008, saya dijemput memberi ceramah di Seminar Isu-Isu Perniagaan Keluarga anjuran Kolej Yayasan Melaka. Seminar itu dihadiri oleh semua pelajar semester 6 Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (BBA Hons) Program UUM/KYM.

Menurut En. Mohamad Ikhwan Bin Mohamed Azahar, Pengarah Seminar tersebut, program yang merupakan tugasan mereka bagi subjek 'PME 3035 Seminar Keusahawanan' disertai 180 orang pelajar.





Meski pun seminar diadakan pada sebelah petang (2-5), program ini berlangsung dalam suasana amat ceria. Sesi soal jawab juga mendapat respon sangat baik daripada para pelajar itu.

Hmmm, saya gembira dapat berkongsi ilmu dengan anak-anak muda belia di petang Ramadan yang mulia itu. Tambahan lagi apabila mereka sendiri tampak menyukai subjek keusahawanan. Mungkin juga sikap pensyarah mereka, En. Rosmizan Ali yang cool itu menjadikan program mendapat sambutan baik.

Saya membawa 25 naskah kedua-dua buku saya untuk dijual kepada mereka yang berminat. Tidak sangka pula ramai yang mahu memilikinya dan beratur mendapatkan tanda-tangan saya. Waduh, lengoh juga tangan saya dibuatnya (hihihi, perasan!).

Kepada anda semua, Selamat Berpuasa dan semoga bulan Ramadan yang penuh barakah ini menjadikan kita bertambah rajin melakukan ibadah bagi mendapat keredhaan Allah. s.w.t.

Friday, May 23, 2008

Perunding Latihan PTS

Saya mula dikenali sebagai penulis buku pada tahun 2007. Dengan izin Allah, PTS yang menjadikan impian sejak kecil itu satu realiti.

Dengan galakan kuat Puan Ainon, saya menceburi pula bidang training. Seorang teman penulis bertanya : Mengapa sibuk sangat mahu jadi trainer?

Saya menjongketkan kening 2 kali... Mungkinkah suatu hari nanti saya menjadi seperti mereka dalam gambar ini? Doakan saya berjaya.

Tuesday, April 22, 2008

Seminar Peningkatan Produktiviti Usahawan Wanita

Hari ini saya menghadiri program anjuran MPC (Perbadanan Produktiviti Malaysia) dan PENIAGAWATI (Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan & Profesyen Malaysia). Saya dijemput menyampai ceramah bertajuk Perkongsian Pengalaman & Cabaran Dalam Bisnes Keluarga. Lebih 170 orang usahawan wanita hadir, majoriti mereka dari Melaka.

Sebelum tiba giliran saya, ceramah disampaikan oleh Presiden PENIAGAWATI, Dato' Hazimah Zainuddin bertajuk Isu & Cabaran Usahawan Wanita Dalam Perniagaan.

Ia diikuti ceramah oleh Dato' Azlin Shaharbi, Timbalan Presiden PENIAGAWATI bertajuk Penubuhan Organisasi Perniagaan & Aspek Undang-Undang Yang Releven. Ceramah terakhir disampaikan En. Mohd. Yazid Jenin (MPC) bertajuk Kecemerlangan Melalui Persekitaran Berkualiti.

Kedua-dua buku saya, Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya dan 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia dijual kepada para peserta seminar bersempena program ini. Terima kasih kepada pegawai MPC, Cik Wan Fazlin Nadia Wan Osman yang menguruskan penjualan buku-buku saya.

Dato' Hazimah yang kisahnya turut termuat dalam buku kedua saya amat gembira ketika kami bertemu. Hmmm, kami berpeluk Arab! Sebenarnya ketika hendak menulis kisahnya dulu, saya menginterviu Dato' Hazimah melalui e-mel dengan perantaraan P.A. beliau. Hari ini adalah kali pertama kami bertemu-muka dan pastinya saya juga amat gembira.

Dato' Azlin yang merupakan seorang peguam asyik bertanya tentang PTS. Beliau mahu berhubung dengan Puan Sifu. Meski pun sibuk dengan tugasan, beliau kepingin sangat berbincang tentang penulisan buku bersama Puan Sifu kita yang popular itu. Buku pertama Dato' Azlin diterbitkan Peniagawati.

Saya turut membicarakan khidmat business coaching kepada para peserta seminar. Ramai yang bertanya berbagai isu berhubungkait bisnes keluarga ketika sesi soal-jawab. Saya gembira dapat memperkenalkan diri, syarikat saya (Yuzuki Melaka Sdn. Bhd.), khidmat yang saya tawarkan, buku-buku saya dan juga PTS dalam program hari ini.

Ucapan terima kasih saya khas buat Dr. Rahmat Md. Smail, Pengarah MPC Wilayah Selatan dan En. Zakaria Md. Shariff, Pengurus MPC Wilayah Selatan. Terima kasih Pak Ya! Aduhai, kembang rasa hati apabila Pak Ya menyambut saya di lobi dan menguruskan pengangkutan buku-buku saya ke tingkat 7. Thank you yam leaf!

Thursday, April 10, 2008

Career & Entrepreneurship Fair 2008 di MMU Melaka


MMU Melaka mengadakan Career & Entrepreneurship Fair 2008 selama 3 hari bermula 8 hingga 10 April. Syarikat saya, Yuzuki Melaka Sdn. Bhd. antara 36 exhibitors yang menyertai program itu.

Ini pertama kali saya membuka booth di MMU iaitu apabila Bahagian Hal Ehwal Pelajarnya bersetuju dengan proposal saya mengadakan bengkel keusahawanan bertajuk Starting Your Own Business While Still In University pada minggu akhir bulan April ini. Assistant Director STAD mencadangkan program saya itu dipromosi oleh sekumpulan 10 orang pelajar. Antara strategi pemasaran mereka ialah menjemput para pengunjung yang melawat booth kami untuk mengambil ujian dipanggil Entrepreneur Test.

Tujuan ET ialah untuk mengetahui sama ada para pelajar itu memiliki ciri-ciri asas seorang usahawan. Semua pelajar yang mengambil ujian diberi kupon untuk menyertai cabutan nombor bertuah. Antara hadiah paling popular yang menjadi idaman ramai ialah Apple Ipod Nano 8GB dalam pelbagai warna.

Ini semua idea En. Syukor yang faham benar apa yang menarik perhatian golongan muda. Sudah 2 petang (Selasa & Rabu) tepat jam 5:00, cabutan nombor bertuah dilakukan di pentas dewan pameran. Para pelajar yang menanti acara itu bersorak gembira. Pada mulanya saya tidak tahu apa bendanya Ipod Nano itu! Sejak semalam barulah saya tahu. Aduhai, ketinggalan zaman sedikitlah Si Trainer ini!!!


Bukan para pelajar saja yang berminat dengan bengkel saya ini. Beberapa orang staf syarikat exhibitors juga mahu menyertainya. Mereka ambil peluang berbincang isu-isu bisnes sambil melihat buku-buku saya. Betul juga kata Puan Sifu, apabila ada buku sendiri, lebih mudah untuk memasarkan diri kita sebagai trainer.

Wednesday, March 12, 2008

Program MPC

Saya menerima surat jemputan daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan yang berpejabat di Johor Bahru. Mereka akan menganjurkan program 'Seminar Peningkatan Produktiviti Usahawan Wanita' pada 22 April, 2008 di Hotel Renaissance, Melaka. Objektif utama program itu adalah untuk memberi pendedahan kepada golongan usahawan wanita berhubung :-

1. strategi peningkatan produktiviti

2. penjenamaan produk ke arah peningkatan daya saing; dan

3. isu serta cabaran usahawan wanita dalam perniagaan.

Mengikut aturcara program yang disertakan, antara penceramah jemputan ialah Dato’ Hazimah Zainuddin (Presiden Peniagawati) yang akan membicarakan tajuk ‘Isu dan Cabaran Usahawan Wanita dalam Perniagaan’.

Penceramah kedua adalah saya sendiri yang diberi tajuk ‘Perkongsian Pengalaman Perniagaan dan Cabaran Dalam Perniagaan Keluarga’. Saya diberi masa selama 1.5 jam (11:30 pagi hingga 1:00 tengahari) untuk berkongsi pengalaman dalam bisnes.

Di sebelah petang, Cik Azlin Sharabi (Timbalan Presiden Peniagawati) akan membicarakan tajuk ‘Penubuhan Organisasi Perniagaan & Aspek Undang-undang yang Relevan’. Terakhir sekali ialah ceramah bertajuk ‘Amalan P&Q ke Arah Peningkatan Daya Saing’ oleh penceramah MPC sendiri.

Tentunya dalam program ini, saya akan memfokus kepada sebahagian isu yang terkandung dalam buku-buku saya, Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya dan 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia. Perkara ini sudah dibincangkan dengan En. Zakaria Md. Shariff, Pengurus MPC Wilayah Selatan ketika beliau berkunjung ke pejabat saya bulan Febuari lalu.