Ahad minggu lalu saya ada temujanji dengan 5 orang pelajar UTeM. Kami bertemu di Kampung Buku yang terletak di Taman Botanikal, Ayer Keroh, Melaka. Pada pagi itu kami membincangkan topik keusahawanan. Mereka yang merupakan pelajar tahun akhir, kursus ijazah kejuruteraan elektronik, inginkan maklumat bagi menyiapkan kertas projek. Mereka mengaku tidak banyak tahu tentang aspek keusahawanan. Menurut mereka, ketika ini tiada seorang pun bercadang hendak menjadi usahawan kecuali jika tidak dapat mencari pekerjaan apabila mereka tamat belajar pada bulan Mei tahun ini.
Sambil menjawab soalan-soalan yang mereka ajukan (mereka membawa satu senarai), perbincangan kami berkisar kepada topik-topik seperti bisnes internet, bisnes pertanian, bisnes part-time di rumah dan sebagainya. Saya ambil kesempatan bertanya beberapa soalan yang mendorong mereka berfikir lebih dalam tentang dunia bisnes. Semakin lama berbincang, semakin disedari mereka sebenarnya tahu banyak perkara, bahkan ada yang mula mengaku berminat untuk mempunyai bisnes sendiri setelah berkeluarga kelak.
Waktu itu saya teringatkan peristiwa Puan Ainon Mohd. ditanya sekumpulan pelajar KUIS berhubung soal kerjaya. Manakah yang lebih baik diantara makan gaji dan bekerja sendiri? Puan Ainon menjawab : Pintu masuk pekerjaan di mana-mana pun boleh. Tetapi biarkan pintu itu terus terbuka. Maksudnya ialah, janganlah selepas kita menjadi jurutera atau doktor (sebagai contoh) maka kita tidak boleh lagi membuat perkerjaan lain. Biarkan pintu itu terus terbuka! Pesanan yang sama saya sampaikan kepada 5 orang pelajar UTeM itu.
No comments:
Post a Comment