Showing posts with label bisnes Kecil. Show all posts
Showing posts with label bisnes Kecil. Show all posts

Thursday, May 14, 2009

Cafe Under The Cherry Tree

Beberapa tahun duhulu, di jalan masuk sebuah taman perumahan, ada sebuah warung yang sangat laris jualannya. Warung itu terletak di bawah sepohon pokok ceri dan ia pun menjadi popular dengan nama Cafe Under The Cherry Tree. Saya pernah bersarapan pagi di sana beberapa kali dan sotonya memang sedap.

Sebahagian besar pengunjung warung itu terdiri daripada orang-orang yang bekerja di pejabat kerajaan dan swasta. Setelah agak lama tidak ke sana, saya teringat semula akan kesedapan soto di warung itu. Malangnya apabila saya ke sana, warung itu sudah tiada lagi. Yang tinggal hanya tapaknya. Dengan perasaan hampa saya pun memusing kereta. Dalam hati berkata : Batu Belah batu bertangkup, aku kempunan hendak makan soto!

Tiba-tiba saya terlihat beberapa orang berpakaian pejabat sedang keluar daripada sebuah restoran. Saya pun mengambil keputusan untuk singgah. Restoran berpintu kaca itu berhawa dingin. Hiasan dalamannya sederhana tetapi menarik. Ketika terpandang saya, tauke restoran itu menegur : Macam pernah tengoklah puan ini. Kenal saya?

Saya terpinga-pinga, tidak pasti siapa dia. Dia menyambung lagi : Dulu puan bersekolah di MGHS, betul? Nama Norlela, betul? Saya tersengih, dalam hati berkata : Saya belajar di MGHS di tingkatan 1 selama 6 bulan sahaja. Ada juga orang yang masih ingat wajah saya setelah 36 tahun tidak pernah berjumpa! Bekas rakan sekolah saya itu (gelarannya Si Montel) menceritakan pengalamannya berniaga makanan.

Dia bermula daripada bawah, berniaga di warung dan kantin. Rupa-rupanya dialah tauke Cafe Under The Cherry Tree yang sudah dirobohkan. Selain warung itu, dia juga pernah berniaga di kantin kakitangan kompleks beli-belah Jaya Jusco. Kini beberapa orang anak Si Montel bekerja di syarikat keluarga mereka, mengurus bisnes restoran dan katering yang sedang berkembang maju. Moral of the story : Mulakan bisnes kecil daripada bawah. Kumpul modal sedikit demi sedikit. Apabila sudah ada pengalaman, besarkan bisnes itu.

Saya menerima beberapa surat daripada pembaca blog ini yang menyatakan hasrat ingin berniaga tetapi tiada pengalaman dan tidak tahu bagaimana hendak memulakan bisnes. Ada yang sudah mula berniaga, kemudian terasa hendak berhenti kerana bingung dengan pelbagai cabaran yang menimpa mereka. Antara perkara yang boleh saya syorkan buat pihak yang bertanya ialah mulakan dengan membuat pelaburan terhadap diri dan masa anda.

Ada 3 cara yang boleh anda lakukan. Pertama, mulakan dengan membaca buku-buku bisnes. Di pasaran sekarang terdapat banyak buku bisnes berbahasa Melayu yang ditulis secara santai dan mudah difahami. Antaranya bertajuk Memulakan Bisnes Sendiri, Formula Menjadi Usahawan Berjaya, Rahsia Bisnes Orang Cina, Siri Buat Duit, Siri Mula Bisnes, Kisah 50 Usahawan Wanita Malaysia, Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya, Bisnes Mamak dan banyak lagi.

Bacalah sebanyak yang mungkin untuk menimbulkan minat anda dan mencari idea untuk memulakan bisnes anda sendiri. Kedua, berkawanlah dengan orang-orang yang terlibat dengan bisnes supaya anda mendapat pendedahan tentang dunia bisnes. Minda orang bisnes tidak serupa dengan minda orang makan gaji. Tajuk perbualan mereka pun berbeza. Ambillah mana yang baik untuk dibuat teladan dan iktibar.

Ketiga, mulakan bisnes secara kecil-kecilan atau bantu kawan-kawan yang sedang membuat bisnes. Dengan cara itu, kita dapat mencipta pengalaman. Kita tidak akan tahu susah-senang mengendalikan sesuatu bisnes melainkan kita mencubanya sendiri. Cabaran awal yang bakal kita hadapi ialah bagaimana menghadapi rejection dan mengikis perasaan malu. Jika 2 perkara ini pun belum boleh kita kendalikan dengan betul, janganlah berani mengeluarkan modal besar untuk memulakan bisnes.

Anda perlukan khidmat Business Coaching? Hubungi saya di 019-6562540 atau emel : norlelazubir@yahoo.com

Saturday, November 8, 2008

What Inspires An Entrepreneur?

Zaid, murid tahun 1 menjadi ketua darjah di kelasnya. Selepas peperiksaan akhir tahun selesai, guru kelasnya membenarkan murid-murid membuat aktiviti bebas seperti membaca buku cerita, melukis dan bermain card games. Zaid dan teman-temannya sangat gembira kerana mereka tidak perlu membuat kerja sekolah.

Sebagai ketua darjah, Zaid bertugas memastikan teman-temannya tidak membuat bising ketika guru tiada di dalam kelas. “Hoi, jangan bisinglah,” sergah Zaid sambil bercekak pinggang tetapi seruannya tidak dihiraukan langsung oleh teman-temannya. Pipi Zaid yang tembam bertukar kemerah-merahan kerana menahan marah.

“Awak semua degil ya?” kata Zaid sambil membesarkan matanya. Dia segera mengambil buku nota kecil yang terselit di poket kemeja putihnya. Buku itu sudah hampir penuh bertulis nama-nama mereka yang melakukan berbagai kesalahan seperti bercakap kuat-kuat, menghentak-hentak meja dan berlari-lari di dalam kelas. Begitulah rutin harian Zaid di kelasnya pada minggu-minggu terakhir sebelum cuti sekolah bermula.

Pada suatu petang, Zaid mengikut ayahnya ke kedai buku. Di sana beliau ternampak kertas-kertas pelekat bergambar (kids sticker stamps). Zaid tertarik hati melihat kertas-kertas stickers itu lalu meminta ayahnya membelikan sebanyak 2 keping. Setiap keping berharga RM2 dan mengandungi 20 stickers. Pada keesokkan harinya, Zaid membawa 2 keping kertas stickers itu ke sekolah.

Sebagai ketua darjah, Zaid sering menjadi ikutan di kelasnya. Apabila mereka melihat Zaid menampal stickers di kotak pensel, teman-teman beliau mula tertarik hati. Mereka mengecek Zaid supaya menjual stickers itu tetapi Zaid enggan. Setelah puas dipujuk, akhirnya Zaid pun bersetuju. Soalnya ialah berapakah harga hendak jual sekeping sticker itu, fikir Zaid dalam hatinya.

“Oklah, saya akan jual kepada awak semua. Satu sticker saya jual 10 sen,” kata Zaid. Dalam beberapa minit sahaja Zaid sudah dikerumuni teman-temannya. “Zaid, saya mahu 1. Ini 10 sen,” kata Amin. “Zaid, saya mahu 2. Nah, ambil 20 sen,” kata Fendi pula. Ramai lagi yang berebut-rebut hendak membeli.

Apabila sampai giliran Anthony, dia pun berkata, “Zaid, saya mahu 5. Ambil ini 50 sen.” Mendengar Anthony mahu 5 stickers, Zaid sangat terkejut. “Amboi, banyaknya,” dia merungut kemudian berkata, “Kalau mahu 5, awak kena bayar RM1.” Tanpa berfikir panjang, Anthony menghulurkan RM1 dan mengambil 5 stickers daripada Zaid.

Melihat Anthony berjaya membeli 5 stickers, Chong menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan RM2. Beliau berkata, “Zaid, saya mahu 10.” Keadaan menjadi hingar-bingar. Teman-teman mereka bersorak apabila mendengar Zaid meminta RM2 daripada Chong. Melihat Chong berjaya mendapat 10 stickers, Chris pula meluru kepada Zaid sambil berkata, “Saya pun mahu 10. Ini RM2.”

Beberapa minit kemudian hampir kesemua stickers Zaid sudah terjual. Yang tinggal hanya beberapa stickers yang gambarnya kurang cantik. Ketika loceng berbunyi, Zaid segera mengumpul wang yang berlonggok di atas mejanya. Semuanya berjumlah RM8. Zaid memasukkan wang itu ke dalam poket kemejanya. Dia bergegas keluar dari kelas dan berlari menuju ke kereta ayahnya yang sedang menunggu di luar pagar sekolah.

Ayah Zaid terkejut melihat poket kemeja Zaid yang menggelembung. Belum pun sempat beliau bertanya Zaid sudah bersuara dengan tercungap-cungap, “Tadi saya jual stickers dengan kawan-kawan dan dapat RM8.” Mata Zaid bersinar-sinar sambil mengeluarkan wang dari poketnya. Sambung Zaid lagi, “Ayah, petang ini kita pergi beli stickers lagi ya. Esok saya mahu jual stickers yang baru pula.”

Friday, March 14, 2008

Ajar Anak Buat Bisnes

Semalam saya menerima pesanan sms daripada seorang remaja bernama Jihan Rufaidah Mustapha berbunyi begini : Assalamualaikum Aunty Lela, Jihan here. I'm selling small cupcakes 50 pieces for RM10. Pisang flavour. Would you like to buy?

Saya segera membalas sms daripada usahawan kecil itu : 'Alaikumsalam Jihan, my dear. Tolong hantarkan esok pagi ya. Terima kasih.

Inilah cupcakes yang dihantar oleh Jihan dan ibunya pagi ini. Cupcakes comel itu sungguh sedap. Dalam masa 5 minit saja, saya sudah 'ngap' 5 biji!! Jihan tersenyum simpul menerima RM10 iaitu bayaran cupcakes hasil tangannya.

Jihan Rufaidah kini belajar di tingkatan 3. Di hari-hari cuti, dia mencari wang poket sendiri dengan menjual cupcakes. Dia bakal usahawan wanita Malaysia di masa depan, insyaAllah. Rasanya ini contoh yang baik buat menggalak anak-anak kita mula berniaga. Syabas kepada ibunya, Noridah Ujang, pemilik Rufaidah Home Bake Cakes & Cookies.

Thursday, January 24, 2008

Sesi Rundingcara Usahawan

Petang kelmarin saya menerima pesanan sms kiriman Datuk Lugiman Abu Seman, Pengurus PKPKS Melaka : Esok ada sesi kaunseling usahawan di sini. Jika puan hendak promosi buku dan mendapatkan input berkaitan usahawan, silalah datang.

Pagi ini saya ke pejabat PKPKS. Sesi rundingcara kali ini dikendalikan pihak PUNB, Unit Prosper. Sesi seperti ini diadakan 2 bulan sekali di tempat yang sama.

Sewaktu saya sampai, ramai usahawan sudah mendaftar dan sedang menunggu giliran untuk bertemu dengan pegawai-pegawai PUNB. Menurut Penolong Pengurus PKPKS, En. Hafizam Mustaffa, setakat ini 71 orang usahawan di Melaka sudah mendapat bantuan kewangan di bawah Skim Prosper.

Prosper (Projek Usahawan Bumiputera dalam Bidang Peruncitan) menawarkan 3 skim iaitu Prosper Runcit, Prosper Siswazah dan Prosper Pemborong. PUNB adalah Sekretariat Prosper dan ia bekerjasama dengan TPPT Sdn. Bhd. (sebuah syarikat hartanah kelolaan Bank Negara Malaysia) dalam menawarkan skim-skim pinjaman tersebut.

Bagi anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang pakej pinjaman Prosper ini, sila hubungi infoline : 03-27851477 atau emel kepada : prosper@punb.com.my. Anda juga boleh datang terus ke sesi rundingcara yang akan datang di PKPKS Melaka. Untuk jadual rundingcara itu, sila rujuk laman portal PKPKS di http://pks.micth.com

Saya tumpang-sekaki dalam perbincangan secara berkumpulan di antara pihak PUNB dengan ahli-ahli Usahanita Melaka. Gambar di atas dari kiri : Puan Noorhazreen Abd. Ghani (PUNB), Puan Norizan Md. Noor, Naib Pengerusi Usahanita dan ahli-ahlinya.

Disamping mendapat input untuk bahan penulisan saya, beberapa naskah buku saya turut terjual hari ini. Puan Noorhazreen juga berminat melihat katalog buku-buku keusahawanan yang lain terbitan PTS (beliau turut membeli buku saya) untuk pusat sumber di PUNB.

Terima kasih daun keladi kepada Datuk Lugiman dan En. Hafizam yang sudi menjemput saya dan memberi pelbagai maklumat. Bagi anda yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang peranan yang dimainkan oleh pihak PKPKS Melaka untuk pembangunan komuniti usahawan, khasnya di negeri Hang Tuah ini, sila lawati laman webnya di sini.

Saturday, December 22, 2007

Bisnes Kumpulan Elit

Kawan lama saya, Munirah, bertugas di sebuah universiti. Baru-baru ini kami terserempak di sebuah pusat beli belah dan saling bertanya khabar. Secara kebetulan Munirah kini mengajar subjek keusahawanan. Sambil kami minum kopi, saya memberitahu dia tentang buku-buku saya yang memfokus kepada bisnes kecil dan sederhana.

Kata saya : Selain apa yang di ajar secara akademik, dalam bisnes kita perlukan banyak kemahiran praktikal. Contohnya cara berkomunikasi dengan berkesan.

Saya menceritakan satu peristiwa di mana dalam sebuah seminar keusahawanan, seorang usahawan menempelak sekumpulan pegawai kerajaan yang dikatakan lambat memproses permohonan bantuan kewangannya. Para hadirin bersorak-sorak dan bertepuk-tangan tanda menyokong tindakan usahawan itu.

Kerana menurutkan geram, banyak kata-kata tajam dilepaskan dalam majlis tersebut. Tapi apakah kesannya selepas itu? Tentulah ada tindak-balas yang defensif daripada pihak yang dikecam. Kadangkala orang terlupa bahawa memelihara hubungan baik dengan pihak yang bantuannya diperlukan sangat penting.

Kata saya : Hendak menegur orang pun perlukan konsep 'menang-menang'. Ia salah satu kemahiran praktikal yang perlu ada pada semua usahawan.

Reaksi spontan Munirah membuat saya terfikir sesuatu. Bahawa dia tidak nampak pentingnya topik yang saya timbulkan itu.

Kata beliau : Saya sudah lama buat kajian sendiri. Budak-budak universiti tidak berminat dengan bisnes konvensional. Contohnya pembuatan dan pengilangan. Selain sudah biasa, bisnes begitu perlukan modal besar. Budak-budak universiti lebih berminat dengan bisnes baru seperti e-commerce, bisnes internet, francais, MLM, unit trust dan insuran.

Saya tersenyum dan mengangguk sambil berkata : Oh ya?

Jawab Munirah : Ya, mereka lebih minat dengan apa yang boleh jadikan diri mereka jutawan.

Saya bertanya : Bukankah francais perlukan modal besar?

Jawab Munirah : Ya, sekarang ada Prosper dan PUNB sediakan pinjaman. Bisnes beginilah disukai pelajar-pelajar universiti.

Tambah Munirah lagi : Saya bercadang mahu menjemput beberapa penceramah yang membuat bisnes internet untuk berkongsi pengalaman dengan pelajar-pelajar saya.

Saya tersenyum lagi sambil bertanya : Macam Irfankhairi?

Jawab Munirah : Sebenarnya teknik Irfankhairi itu sudah outdated. Di Malaysia ini, masih orang boleh terima lagi. If you go global, semua itu sudah outdated.

Saya tersenyum sendiri sambil hati berkata : Yang Irfankhairi ajar sekarang pun saya belum dapat praktikkan...

Sebelum beredar kami bertukar-tukar kad nama. Saya agak yakin Munirah tidak akan membaca buku-buku saya. Andainya Irfankhairi pun sudah outdated, saya ini apa tah lagi!!! Melihat kelulusan di kad namanya pun, peluh saya sudah merecik, hehehe!!!

Bagi anda yang berfikiran terbuka, janganlah mendiskriminasi sesuatu bisnes itu bertaraf tradisional atau elit. Perkara-perkara asas dalam bisnes (tidak kira apa jenis bisnes pun) termasuk kemahiran praktikal adalah sama saja.

Dengarlah dan bacalah berbagai pengalaman bisnes orang lain, contohnya seperti dalam buku Kisah 50 Usahawan Wanita Malaysia. Anda pasti bersetuju bahawa mereka yang sudah berjaya (sebelum menjadi jutawan) pernah merasai jatuh dan bangun.

Ambillah iktibar daripada berbagai kesilapan yang orang lain pernah lakukan serta dengari suka duka yang sudah mereka harungi. Di dalam pengalaman berharga mereka itu ada banyak tips, petua, solusi, strategi, ilham dan 1001 lagi kemahiran praktikal yang tidak pernah diajar di universiti.

Friday, November 30, 2007

Pekerja Bangla

Projek kami di MAB Ipoh sudah 90% siap. InsyaAllah, jika tiada aral, pertengahan Disember nanti selesailah 100%. Sebenarnya kami sudah melewati tarikh siap asal iaitu 27 November lalu. Kami memohon masa tambahan selama 1 bulan. Kelulusan diberi berdasarkan laporan hujan yang di keluarkan oleh Jabatan Kaji Cuaca. Mengikut lapuran itu, hujan turun lebih 30 hari sepanjang bulan Oktober sehingga 20 November di tapak projek.

Petang tadi ketika kami berada di MAB Ipoh, hujan turun agak lebat. Pekerja kami (9 orang Bangla) duduk berlindung di bawah canvas, sementara Nordin (ketua) mengikut Zainal dan En. Hanafi (pegawai MAB) melihat kemajuan kerja di tapak. Mereka bertiga yang menaiki Pajero MAB kemudian singgah di kafe.

Mengikut cerita Nordin dan En. Hanafi, sejak musim hujan, kolam yang ada di tapak projek semakin banyak ikan di dalamnya. Minggu lalu mereka menjala di sana dan mendapat ikan tilapia dan patin hampir 50 kg. Khabarnya saiz ikan itu besar-besar belaka.

Menurut Nordin, 9 orang Bangla yang berada di bawah kelolaannya kini agak risau kerana kerja akan siap tidak lama lagi. Mereka adalah pekerja sementara yang tidak terikat dengan kami. Mereka dahulunya bekerja dengan seorang tauke Cina. Apabila syarikat tauke itu muflis, mereka dibebaskan untuk bekerja di mana-mana. Permit kerja masing-masing diperbaharui setiap tahun. Saya pun pelik bagaimana mereka mendapatkan kelulusan itu.

Sebelum ini 9 orang Bangla itu pernah bekerja dengan kami di Bekok iaitu projek bersama Ultimate Builders. Kemudian mereka mengikut kami ke Puchong iaitu projek bersama Perspec Prime. Ketika berpindah dari Puchong ke Ipoh, semua tikar-bantal mereka dibawa bersama. Barang-barang itu dimuatkan atas lori sementara mereka menaiki bas ke Ipoh.

Dalam 9 orang itu ada seorang yang menjadi ketua. Gajinya lebih sedikit daripada yang lain. Saya masih ingat, ketua Bangla ini berjumpa dengan Zainal untuk merunding gajinya dulu. Katanya dia boleh mengurus 8 orang Bangla yang lain kerana mereka mendengar arahannya. Gaji harian semua Bangla ialah RM40 sehari. Sebagai ketua, Zaman Bai meminta gaji RM50 sehari. Pembantu beliau bergaji RM45 sehari.

Biasanya apabila kami datang melawat tapak projek, Zainal akan memberi Nordin sejumlah wang untuk menjamu pekerja-pekerja kami. Walau pun hanya nasi bungkus dan air sirap, senyuman mereka lebar sehingga ke telinga sambil mengucap terima kasih.

Setiap kali mendapat gaji, 9 orang Bangla ini akan mengumpul duit masing-masing seperti sistem kutu untuk dikirim kepada keluarga salah seorang daripada mereka di kampung halaman. Dengan cara itu wang dikirim lebih banyak jumlahnya.

Antara 9 orang Bangla itu, ada 2 orang yang sangat kememeh. Setiap kali mendapat gaji mereka berdua akan menangis. Bukan kerana sedih tetapi bersyukur kepada Allah. Jarang sekali saya melihat orang menangis apabila mendapat gaji...

Saya kasihan melihat pekerja-pekerja kami membanting tulang, berpanas dan berhujan saban hari, sejak awal pagi sehingga matahari terbenam. Mereka meninggalkan tanah air dan kaum keluarga demi mencari rezeki. Antara kami dan mereka tiada beza. Ya, kami dan mereka sama-sama mencari rezeki halal di bumi Allah ini...

Tuesday, November 27, 2007

Sijil Halal

Menurut cerita seorang usahawan yang mengusahakan produk makanan, sijil halal sukar diperolehi. Katanya lagi, syarikat orang Melayu lebih susah hendak mendapat sijil halal itu berbanding syarikat orang Cina. Betulkah???

Saya bertanyakan hal ini kepada seorang pegawai MARDI. Beliau adalah salah seorang ahli panel dalam jawatankuasa yang menilai permohonan sijil halal. Kata orang, untuk bersikap adil eloklah kita mendengar cerita kedua belah pihak. Ikuti cerita pegawai MARDI itu...

"Ya, memang benar cerita yang awak dengar itu," Puan Nor memulakan bicaranya.

"Mengapa jadi begitu?" tanya saya.

"Hmmm, panjang kisahnya. Contohnya begini. Kami memberitahu pihak pengurusan hotel-hotel di bandar ini supaya mendapatkan bekalan bahan mentah daripada pembekal-pembekal yang mempunyai sijil halal. Contohnya bekalan daging ayam. Ini bagi menjamin ayam-ayam yang dihidangkan di hotel-hotel itu adalah halal dan selamat dimakan oleh orang Islam," Puan Nor berhenti seketika untuk meneguk kopinya.

"Pihak hotel-hotel itu pula meminta kami syorkan nama-nama pembekal daging ayam halal. Mereka (pihak hotel) tiada halangan untuk mematuhi arahan kami itu. Sayangnya, dalam senarai pembekal daging ayam halal yang ada pada kami kebanyakan syarikat dimiliki bukan Bumiputera. Walau pun bukan Islam, syarikat mereka memiliki sijil halal," kata Puan Nor.

"Syarikat Bumiputera tiada sijil halalkah?" tanya saya.

"Saya sudah beritahu beberapa pembekal daging ayam Bumiputera supaya memohon sijil itu. Tapi mereka kata 'susah' sebab kena patuhi banyak syarat. Mereka kata, mereka orang Melayu dan beragama Islam. Itu sudah cukup untuk membuktikan bekalan daging ayam mereka halal," kata Puan Nor lagi.

Menurut Puan Nor, untuk mendapat sijil halal, tempat penyembelihan perlulah bersih, tempat memproses ayam juga bersih daripada segala kotoran. Bukanlah semata-mata penyembelihan dibuat mengikut syariat Islam itu bermakna sudah halal.

Katanya lagi, apabila di syaratkan memasang tile di lantai dan dinding serta membuat longkang-longkang untuk menyalurkan air kotor daripada tempat penyembelihan, pengusaha-pengusaha Melayu itu marah. Mereka kata semua itu perlukan banyak belanja. Apatah lagi apabila kedai perlu ditutup buat sementara untuk renovasi.

"Apabila awak tengok tempat penyembelihan mereka, tentu awak pun tidak selesa. Tahi ayam bersepah-sepah, darah ayam, isi perut ayam bertimbun dan air kotoran dibuang ke sungai. Terlalu kotor. Andainya kami keluarkan sijil, boleh timbul isulah," terang Puan Nor.

Sambung Puan Nor lagi, pengusaha-pengusaha Cina pula bertindak segera apabila dikenakan syarat-syarat itu. Mereka merenovasi kedai, memasang tile di lantai dan dinding dan mematuhi syarat-syarat lain. Dalam tempoh 2 minggu semua syarat dipatuhi. Penyembelihan pula dilakukan oleh pekerja-pekerja Islam. Oleh sebab itu, mereka berjaya mendapat sijil halal.

Lalu saya teringat kata-kata bos SMIDEC di Bengkel Pemahaman Geran Halal & Pembungkusan baru-baru ini. Katanya, konsep halal adalah agenda Allah. Halal adalah cara hidup. Penyediaan makanan halal perlulah mengikut lunas-lunas toiban iaitu bersih yang lebih bersih. Ayat di dalam Al-Qur'an 'halalan toiban' bermaksud halal lagi baik.

Thursday, November 22, 2007

Bengkel Usahawan

Minggu ini saya menghadiri 2 bengkel usahawan. Yang pertama berlangsung pada hari Isnin, 19 November di EQ, Melaka adalah anjuran SMIDEC. Yang kedua berlangsung di PJ selama 2 hari (Rabu - semalam dan Khamis - hari ini) anjuran PKNS. Saya akan menulis tentang bengkel-bengkel tersebut di entri akan datang kerana kesuntukan masa ketika ini.

Bengkel SMIDEC dihadiri lebih 200 orang. Satu rekod yang sangat baik menandakan bidang keusahawanan semakin diminati ramai. Bengkel PKNS apa tah lagi. Semalam lebih 250 orang hadir dan hari ini dijangka bilangan yang sama akan hadir di Klinik Usahawan yang membuka peluang niaga dalam sektor herba.

Saya mengambil peluang mempromosi kedua-dua buku saya kepada rakan-rakan peserta. Ramai juga yang berminat untuk membeli dan sudah menghubungi saya. Sepatutnya saya membuka booth kecil untuk membolehkan buku-buku saya dijual.

Rasa ralat pula apabila ada yang bertanya: boleh saya dapat buku-buku puan sekarang??? Saya hanya membawa contoh buku-buku dan tidak membawa stok untuk dijual. Sesungguhnya saya merasa amat seronok apabila menerima e-mel malam tadi daripada seorang usahawan yang mahukan 5 naskah buku saya yang kedua. Dan panggilan telefon daripada seorang usahawan lagi yang mahu menempah 2 naskah. Alhamdulillah!!!

Lewat petang kelmarin saya menempah 100 buah naskah (50 bagi tiap satu tajuk) kepada Bahagian Jualan, PTS. Esok, insyaAllah, saya akan mengirim buku-buku yang sudah ditempah para pelanggan. Ada lebih 40 naskah semuanya. Alhamdulillah!!!

Thursday, November 15, 2007

Tauke Hujan Emas Malaysia

Ramai orang yang mengambil jurusan pengurusan perniagaan ketika di universiti tidak membuka bisnes sendiri. Sebaliknya ramai orang yang tidak pernah belajar pengurusan bisnes berani membuka perniagaan dan menjadi usahawan. Pelik tetapi benar.

Tauke Syarikat Baja Semburan Hujan Emas Malaysia, Encik Hussin Sudin, merupakan bekas budak pejabat PDRM, Muar. Pada tahun 1998 di usia 40 tahun, beliau mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjadi petani. Tanah di belakang rumahnya seluas 0.8 hektar diusahakan dengan menanam 500 batang pokok kelapa pandan, berselang seli dengan 5000 keladi mawar.

Melalui pergaulannya dengan petani-petani Cina di daerahnya, Encik Hussin mempelajari kaedah yang berkesan untuk meningkatkan hasil tanamannya. Caranya ada 2. Yang pertama ialah menggunakan klon benih baik yang cepat mengeluarkan hasil. Yang kedua ialah menggunakan cara pembajaan yang betul dan sistematik, mengikut jenis dan usia tanaman.

Bermula daripada situ, Encik Hussin mendapat ilham menghasilkan baja cecair semburan yang sesuai dan berkesan untuk semua jenis tanaman. Beliau mencipta bajanya sendiri menggunakan beberapa campuran mengandungi unsur NPK, MgO dan mikro mengikut sukatan-sukatan tertentu.

Sebahagian daripada ruang rumahnya dijadikan makmal untuk memproses baja cecair itu. Dia membuat sendiri penyedilikan R&D bagi menentukan jumlah campuran dan sukatan yang paling baik dengan membancuh bahan-bahan menggunakan beberapa peralatan seperti tong dram dan mesin pencuci pakaian.

Baja ciptaannya itu kemudian dicuba di ladangnya sendiri. Hasilnya terbukti sangat baik dan jauh lebih berkesan daripada baja jenis tabur. Pokok kelapa pandan yang menggunakan baja ciptaannya mengeluarkan buah-buah yang boleh dipetik 40 hari sekali.

Baja ciptaan Encik Husin yang pada mulanya dipasarkan kepada petani-petani di daerah Muar kini sudah terdapat di merata tempat di negara ini. Untuk meyakinkan mutu produk keluarannya kepada para pelanggan yang semakin meningkat, beliau mendapatkan sijil pengesahan daripada pihak SIRIM.

Selain pasaran tempatan, baja cap Cenderawaseh kini dieksport ke Indonesia dan Selatan Thailand. Encik Husin adalah contoh usahawan yang tidak memiliki ijazah. Beliau sedang meniti kejayaan sedikit demi sedikit. Kegigihan beliau menceburi bidang keusahawanan yang penuh cabaran wajar diteladani.

Bagi anda yang berminat menjadi ejen pengedar baja cecair semburan ini, sila lawati blog Encik Hussin Sudin di : http://hujanemasmalaysia.blogspot.com/

Tuesday, November 13, 2007

Hujan Emas Malaysia

Rencana tentang Syarikat Baja Semburan Hujan Emas Malaysia sudah beberapa kali tersiar di Utusan Malaysia, Berita Harian dan Harian Metro.

Syarikat ini mengeluarkan baja cecair semburan berjenama Cenderawaseh yang amat sesuai untuk pertanian dan tanaman kontan termasuk getah dan kelapa sawit. Ia juga sesuai untuk pokok buah-buahan dan pokok-pokok bunga.

Pemilik syarikat ini, Encik Hussin Sudin mengusahakan produk bajanya di Muar, Johor. Produk itu bukan sahaja laris di pasaran tempatan, malah sudah memasuki pasaran di Indonesia dan Selatan Thailand.


Perusahaan baja Encik Hussin bermula secara kecil-kecilan di rumahnya lebih 3 tahun lalu. Kini sudah berkembang ke tahap yang boleh dibanggakan bagi masyarakat Melayu, khususnya golongan usahawan PKS. Namun begitu, Encik Hussin Sudin dengan rendah hati mengakui beliau tidak berpelajaran tinggi. Ikuti kisah beliau dalam entri yang akan datang...

Friday, November 9, 2007

Lokasi

Sebelum ini, laluan kenderaan untuk ke Muar dari Melaka melalui jalan lama. Jalan itu sudah wujud berpuluh tahun. Semasa bersekolah di Singapura dahulu, saya sekeluarga berulang-alik ke Melaka melalui jalan tersebut. Ia melalui beberapa pekan dan kampung seperti Kg. Alai, Kg. Telok Mas, Kg. Pernu, Umbai, Pulai, Merlimau, Serkam dan Sg. Rambai.

Untuk sekian lama, jalan Melaka-Muar itu sentiasa sibuk. Dengan peredaran masa ia menjadi sempit kerana hanya ada 2 lorong. Bagi pemandu yang 'ikut buku' (patuh sangat dengan peraturan jalan raya) memang susah hendak memotong kenderaan di hadapan apabila melalui jalan ini. Saya sendiri rasa ngeri kerana di jalan inilah arwah adik saya, Mazby, menemui ajalnya pada tahun 1984 akibat kemalangan dengan sebuah treler.

Keistimewaan jalan ini ialah kita boleh melihat banyak rumah Melayu Melaka yang cantik-cantik di kiri dan kanan jalannya. Halaman di depan rumah-rumah itu umumnya bersih dihiasai pokok-pokok bunga dalam pasu yang disusun berderet-deret. Pada musim buah-buahan, gerai-gerai buah akan tumbuh bagai cendawan selepas hujan di tepi-tepi jalan itu.

Bagi saya, orang-orang dari luar yang ingin melihat suasana kampung tradisi di Melaka, di jalan Melaka-Muar inilah tempatnya selain daripada di Masjid Tanah. Oleh kerana jalan ini sibuk sangat, bisnes-bisnes kecil dan industri kampung di sepanjang jalan itu turut berkembang.

Mulai tahun ini sebuah lebuhraya (dinamakan Lebuh AMJ) yang baru siap dibina dibuka kepada orang ramai. Ia bermula daripada Simpang Empat, Alor Gajah dan boleh merentas terus ke Muar. Melalui lebuhraya baru ini kita boleh sampai ke Muar dari bandar Melaka dalam tempoh 30 minit saja.

Saya suka lebuhraya baru itu kerana tidak perlu lagi menempuh kawasan kemalangan yang banyak terdapat di sepanjang jalan lama. Malangnya ia membawa mudharat kepada golongan bisnes terutama pemilik bisnes kecil dan sederhana. Perniagaan mereka merosot teruk kerana kini tidak banyak kenderaan melalui jalan itu.

Seorang peniaga bercerita, kedai kawannya yang menjual 1001 jenis kuih kering seperti kerepek pisang, dodol, wajik dan lain-lain menjadi tumpuan umum terutama menjelang perayaan besar seperti Hari Raya. Kuih-kuih di kedainya sangat laris dan biasanya habis sebelum Hari Raya. Tapi tahun ini berlaku sebaliknya. Ketika bulan Syawal semakin jauh meninggalkan kita, kuih-kuih di kedainya masih banyak tidak terjual.

Peranan lokasi amat penting dalam bisnes. Iktibar daripada kisah ini ialah orang bisnes perlu sentiasa peka kepada perubahan yang berlaku di sekitarnya. Bagi yang berada di zon selesa dan mengabaikan faktor ini, pasti akan pening kepala. Lokasi yang sudah bertahun-tahun menjadi tumpuan orang kini tidak lagi menarik kedatangan pelanggan.

Wednesday, November 7, 2007

Nasihat Tauke Bahulu Warisan

Di negara kita yang aman makmur ini, kerajaan menyalurkan banyak bantuan kepada golongan usahawan, khususnya untuk membantu kaum Bumiputera. Berbagai-bagai agensi ditubuhkan untuk menyalurkan kemudahan kewangan dan khidmat nasihat.

Menurut tauke Bahulu Warisan, Puan Siti, beliau bermula dengan bantuan daripada Jabatan Pertanian. Agensi itu turut mengadakan promosi hasil keluaran para usahawan di bawah bimbingannya di pasaraya Jusco, Tesco dan Giant.

"Budi baik pihak yang membantu di peringkat awal sangat saya kenang," kata Puan Siti. "Tapi, janganlah harapkan sangat bantuan-bantuan itu. Sekiranya ada, adalah. Lebih baik kita berusaha dengan duit sendiri. Apabila terlalu berharap, kita kecewa. Malah makan hati berulam jantung," tambah Puan Siti.

Menurut Puan Siti, bantuan yang beliau terima tidaklah mudah memperolehinya. Ia sangat bergantung kepada pegawai yang mengurus permohonan itu. Seandainya pegawai itu 'suka pada kita', dia akan memproses permohonan dengan cepat. Jika sebaliknya, berbulan-bulan permohonan itu tergantung tanpa jawapan.

"Saya sudah melalui saat-saat menyakitkan itu," kata Puan Siti. "Tatkala bantuan modal pusing sangat mendesak, saya terpaksa tebalkan muka menggagau ke sana ke mari. Masa itu bisnes sedang berjalan tapi modal tersekat. Puas saya merayu supaya dicepatkan proses permohonan saya tapi hampa."

Sambungnya lagi, "Pegawai yang bertugas tidak memberi layanan yang diharapkan. Puas saya menunggu tapi jawapan diterima ialah permohonan saya ditolak. Untuk teruskan bisnes saya bergolok bergadai, meminjam di sana-sini. Allah saja yang tahu peritnya penderitaan saya. Hai, apabila diingat-ingat semula terasa serik sangat. Saya tak mahu harapkan bantuan-bantuan itu lagi. Dengar macam senang boleh dapat, tapi tidak mudah sebenarnya."

"Yang banyak dan betul-betul membantu saya ialah peniaga-peniaga Cina. Mereka itulah yang membekal mesin-mesin dan bahan mentah secara kredit ketika saya sangat memerlukan bantuan. Mereka membantu saya bersungguh-sungguh selama bertahun-tahun sampai saya boleh berdiri sendiri. Saya menjaga hubungan baik kami dengan menepati masa melunaskan hutang kepada mereka," cerita Puan Siti lagi.

"Sekarang ini saya tidak perlu merayu-rayu lagi sebab ramai pembekal yang datang sendiri menawarkan kredit kepada saya. Saya bukan berlagak sombong tapi inilah realitinya. Apabila kita sudah ada nama sedikit, orang sudah kenal, ramai pula yang datang menawarkan itu dan ini. Tapi saya tidak memerlukan lagi semua itu," kata Puan Siti.

Di mata bangsa lain, kaum Bumiputera terkenal sebagai golongan yang suka mengharapkan sabsidi. Juga tersohor sebagai pihak yang sentiasa dimanjakan kerajaan kerana hak istimewanya. Tapi betulkah semua itu?

Jawapannya hanya kita sendiri yang tahu. Situasi seperti dilalui Puan Siti boleh dirumuskan dengan menghayati maksud 2 perumpamaan berikut : (1). indah khabar dari rupa (2). lembu punya susu sapi dapat nama.

Monday, November 5, 2007

Bahulu Warisan


Apabila mengunjungi pasaraya seperti Jusco, Tesco dan Giant di Melaka, KL, Negeri Sembilan dan Johor, anda mungkin pernah singgah di kiosk menjual bahulu yang dimasak dalam oven di depan mata anda.

Bahulu yang kian popular sebagai snek ringan itu dikenali dengan nama Bahulu Warisan. Kini terdapat 21 kiosk Bahulu Warisan di negara kita dan bilangannya akan terus bertambah atas permintaan ramai.

Yang lebih menarik ialah kini sudah ada 4 buah kiosk Bahulu Warisan di Singapura. Ia juga sedang dipikat saudagar dari Dubai untuk diadakan di negara timur tengah itu.

Maklumat lebih menarik ialah kiosk Bahulu Warisan kini sedang dalam proses difrancaiskan sepertimana Nelson's yang menjual jagung dan 1901 yang menjual hotdog. Hebat juga snek tradisi kita ini ya. Tahukah anda milik siapa bisnes menarik ini?

Untuk makluman anda ia adalah milik sepasang suami-isteri yang tinggal di Masjid Tanah, Melaka. Puan Siti Zueliah dan suaminya, En. Azhar memulakan bisnes mereka di rumah 17 tahun yang lalu. Saya menjejaki pasangan ini di kediaman mereka minggu lepas.

Saya langkah kanan sebenarnya kerana sehari selepas pertemuan kami mereka dijadualkan bertolak ke Surabaya. Namun mereka dapat luangkan masa lebih dua jam untuk berkongsi pengalaman.

Melihat bisnes yang sudah menjadi, memang terliur. Apa tidaknya, Bahulu Warisan kini menjadi mesin cetak duit buat pasangan ini. Bukanlah susah untuk mencongak perolehan tahunan bisnes ini yang sudah mencecah berjuta RM.

Namun bukan hal itu saja yang ingin saya bicarakan di sini. Saya mahu menyentuh tentang realiti membangunkan sebuah bisnes kecil. Bagi mereka yang ingin atau baru menceburi bisnes, maklumat ini amat penting. Mereka perlu tahu supaya tidak terpukau dengan gambaran yang manis-manis sahaja.

Thursday, November 1, 2007

Fokus

Sebaik saja beliau bersara pada bulan Mei tahun ini, Puan Norbi Husin dilantik menjadi rektor sebuah kolej baru di Melaka. Kolej itu dikenali dengan nama Kolej Antarabangsa DMDI dan bertempat di Melaka Mall (dahulu pusat beli-belah Kotamas).

DMDI adalah singkatan bagi 'Dunia Melayu Dunia Islam'. Bunyinya sedap kerana kemelayuan dan islamik tapi bagi saya ia mungkin boleh mengehadkan pasaran. 'DMDI' itu rasanya kurang sesuai untuk menarik perhatian bangsa-bangsa lain selain orang Melayu ke kolej itu. Tapi itu pendapat peribadi saya saja. Mungkin agaknya fokus penubuhan kolej itu ialah untuk pasaran di nusantara. Wallahua'lam.

Puan Norbi adalah bekas pentadbir beberapa buah sekolah di Melaka. Sekolah-sekolahnya pernah terpilih sebagai johan Sekolah Harapan Negara peringkat kebangsaan dan mendapat Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan. Puan Norbi juga merupakan seorang penulis buku yang sudah menghasilkan 2 buah buku bertajuk 'Asam Pedas Gula Melaka' dan 'Gurukah Aku Atau...?' Kedua-dua hasil karya beliau terbitan Utusan Publications berkisar tentang dunia perguruan dan pendidikan.

Berbalik kepada Kolej DMDI, ia sebenarnya mengambil-alih tempat Institut Kota Melaka yang dahulu beroperasi di tempat yang sama. Sebagai permulaan, Kolej DMDI mengadakan kursus PJJ di peringkat diploma, ijazah dan sarjana dengan kerjasama beberapa buah universiti tempatan. Ia juga menjalankan berbagai kursus jangka-pendek untuk program komuniti.

Baru-baru ini Puan Norbi menghubungi saya. Perbincangan kami berkisar tentang cadangan mengadakan program Bahasa Inggeris untuk komunikasi. Beliau bertanya sama ada saya dapat mendesain modul-modul latihan yang sesuai. Untuk makluman anda, beberapa tahun dahulu saya bersama seorang teman menjalankan program motivasi dalam bahasa Inggeris untuk remaja pada musim cuti sekolah.

Saya meminta masa seminggu untuk menyelesaikan kerja-kerja saya dahulu. Dalam tempoh itu saya berfikir apakah wajar untuk melabur masa menyediakan modul-modul latihan itu. Ia memerlukan masa dan kajian teliti untuk menyesuaikan dengan sasaran pasaran. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk memperkenalkan seorang teman yang sedang menjalankan program latihan bahasa Inggeris untuk orang awam kepada Puan Norbi.

Selain institusi ternama seperti MMU, UiTM, UTeM, Politeknik dan Kolej Komuniti, di Melaka kini sudah sedia ada beberapa kolej swasta yang menawarkan berbagai jenis kursus dalam berbagai jurusan di peringkat diploma, ijazah dan sarjana. Antaranya Kolej Yayasan Melaka, OUM, Kolej Stamford dan Kolej Teknologi Cosmopoint. Selain itu UiTM juga sudah menubuhkan kampus dalam bandar yang menawarkan kursus-kursus menarik. Nampaknya saingan untuk Kolej DMDI agak hebat. Untuk menonjolkan diri, ia perlu mempunyai 'niche' yang tersendiri.

Bagi saya sendiri, memang mudah untuk lari fokus apabila ditawarkan sesuatu yang baru. Tapi kali ini saya berjaya menolaknya dengan baik. Tumpuan saya sekarang ialah untuk memasarkan modul latihan saya yang memfokus kepada bisnes kecil dan sederhana. Ia berdasarkan faktor-faktor dalam buku-buku saya 'Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya' dan '50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia'. Saya perlu mengukur baju di badan sendiri.

Thursday, October 25, 2007

Kisah Usahawan Kecil : 2

Sambil kami makan nasi lemak pagi tadi, Dee bercerita suatu kisah bagaimana hatinya terbuka untuk menceburi bisnes membuat kek. Begini kisahnya...

Pada satu hari Dee merayau-rayau di bandar Melaka dengan Kelisanya. Fikirannya bingung, asyik memikirkan bisnes apa yang mahu dia ceburi. Sudah banyak kursus dihadiri tapi perasaan 'belum bersedia' masih tebal bersarang di hatinya.

Dalam dia merayau-rayau itu, tiba-tiba perut Dee terasa lapar. Ketika melalui jambatan Cathay, Dee teringat sebuah warung kecil di bawah jambatan itu dan dia pun singgah. Di sebuah meja panjang, seorang wanita warga emas berpakaian sempoi sedang minum teh. Dee duduk di sebelahnya. Sambil makan, Dee berbual dengan wanita tua itu.

Kata Makcik itu dia baru balik dari Pejabat Kebajikan, mengambil duit bantuan. Setiap bulan, apabila mendapat duit bantuan RM60 itu, dia akan belikan kain batik beberapa helai di gerai-gerai Kg. Jawa. Kain-kain batik itu kemudian dijual semula kepada orang-orang kampungnya. Melalui jualan kain batik itu, dapatlah Makcik tersebut membuat keuntungan beberapa belas ringgit.

Selain kain batik, Makcik itu juga berniaga telur ayam. Dia menawarkan telur-telur di dalam raganya kepada Dee. Selain telur, Makcik itu juga menjual keropok ikan. Bekalan keropok ikan diperolehi melalui anaknya yang menjadi pemandu bas ekspres yang berulang-alik dari Melaka ke Kelantan.

Secara purata, Makcik itu menjana pendapatan beberapa ratus RM sebulan melalui bisnes kecil-kecilannya. Katanya dia tidak perlukan bantuan kewangan daripada anaknya kerana berupaya menampung sara hidup sendiri.

Sejak pertemuan dengan Makcik tua itu, Dee mencermin dirinya : Aku ini dengan kelulusan MBA, dengan pengalaman menjadi manager bank bertahun-tahun, dengan kursus bermacam jenis, tapi... satu bisnes pun tak jadi lagi??? Baik aku buang atau bakar saja ijazah MBA itu!!!

Sambung Dee lagi dalam cermin dirinya : Makcik tua yang tidak tahu membaca, tidak tahu Bahasa Inggeris, lagi kan boleh berdikari, ada 'guts' dan boleh buat bisnes!!! Alahai, aku ini apa hal??? Ego??? Ya, aku ada ego yang terlalu besar. Konon aku pandai, banyak ilmu, tapi.... sebenarnya... banyak waswas, tidak yakin diri, dan NO ACTION!!! Malunya aku!!!

Hari itu Dee membuat tekad baru untuk berpegang kepada cogankata Nike : Just Do it! Dan esoknya dia memulakan langkah pertamanya meneroka bisnes membuat kek. Peristiwa tersebut berlaku 2 tahun yang lalu. Demikianlah kisah yang dikongsi Dee untuk iktibar kita bersama.

Wednesday, October 24, 2007

Kisah Usahawan Kecil : 1

Pagi semalam saya menerima sms daripada Dee. Mesejnya ringkas : Need 2 c u. Where r u? Urgent.

Waktu itu saya baru saja sampai ke pejabat dan saya menjawab : Datang ke sini, boleh?

Dee membalas sms, meminta saya bertemunya di Bukit Katil tetapi saya tidak dapat pergi ke sana kerana tiada kenderaan. MF24 tinggal di rumah. Terrano pula di tangan Zainal. Saya tahu Dee kecewa apabila dia menjawab : Tak apalah.

Hati saya tertanya-tanya apa halnya dengan Dee. Selepas solat zohor saya telefon dia. Suara Dee sebak di hujung talian dan dia tidak mahu bercakap lama. Katanya : I'm in good hands now. I'll call you later.

Pagi tadi Dee telefon saya lagi, mengajak keluar untuk sarapan pagi. Saya bertanya : Apa kena semalam?

Dee menarik nafas, lalu menjawab : Kecewa...

Menurut Dee, semalam dia duduk menangis di dalam kereta selama beberapa jam di parkir kereta King's Hotel. Setelah perasaannya reda, barulah dia balik ke rumah.

Saya mengusiknya : Buat suspen saja. Saya fikir awak kena rompak!

Dee tergelak : Haah, kena rompak dengan Zam.

Zam adalah suami Dee. Lelaki itu seorang pegawai tinggi di sebuah syarikat swasta yang bakal bersara tahun depan. Dee pula sudah 5 tahun mengambil skim VSS. Dulu dia berjawatan pengurus bank. Kini Dee menceburi bisnes membuat kek kukus dan pelbagai jenis kek lain (ala Secret Recipe). Sudah 2 tahun bisnesnya beroperasi di rumah. Musim hari raya yang baru lalu, jualan kek Dee mencecah RM80,000.

Melihat prestasi bisnesnya yang meningkat, Dee bercadang membuka sebuah kedai. Dia sudah membuat survey tempat yang sesuai. Kebetulan semalam Zam bercuti dan Dee mengajaknya melihat kedai itu. Sayangnya Zam tiba-tiba jadi berang. Kata Zam, Dee hendak mencari masaalah. Andainya bisnes itu tidak menjadi, pasti rugi dan membazirkan wang. Zam turut beri amaran bahawa dia tidak mahu memikul beban baru menjelang hari pencennya yang semakin hampir.

Dee mengeluh : Kenapa dia tak mahu sokong saya? Kenapa dia patahkan semangat saya?

Zam dan orang-orang sepertinya (yang mungkin sedang menghadapi fobia bagaimana hendak mengendalikan kehidupan selepas pencen) terlalu takut menghadapi risiko, lebih-lebih lagi yang melibatkan kewangan. Bagi mereka, bisnes = risiko = rugi!!!

Iktibar : Antara cabaran utama yang perlu ditangani seorang usahawan baru adalah persediaan mental pasangan hidupnya. Orang yang sepatutnya menjadi pendorong kuat ada kalanya bertukar menjadi pengkondem utama. Dia ibarat musuh dalam selimut. Bak kata pepatah, harapkan pagar, pagar makan padi. Bak mengharapkan sokong, sokong membawa rebah.

Saturday, September 22, 2007

Bisnes MLM

Pernahkah anda menyertai mana-mana syarikat MLM? Mungkin anda salah seorang daripada beribu-ribu usahawan MLM yang sudah menempah kejayaan dan menikmati berbagai imbuhan mewah. Namun bagi diri saya, nasib kurang menyerlah dalam bisnes ini. Saya pernah mencubanya selama setahun tapi tidak menjadi.

Saya terlibat dalam MLM secara tidak sengaja awal tahun 2004 dulu. Pada suatu hari ketika sedang makan roti canai dengan suami di sebuah restoran, saya disapa seorang wanita. Dia meminta izin duduk semeja dengan kami kerana tiada tempat kosong lain di restoran itu.

Wanita itu bernama Lijah dan dia amat peramah. Sambil makan dia berbual dengan saya. Suaminya, Salim, bersembang dengan Zainal. Seronok pula kami berempat bersembang sampai tidak sedar masa sejam berlalu. Ketika hendak beredar, kami bertukar-tukar nombor telefon.

Seminggu kemudian, Lijah menelefon saya. Dia mengajak saya menghadiri majlis home party di Sebatu Inn. Katanya saya boleh belajar macam-macam perkara di sana terutama dari segi penjagaan kulit muka dan kesihatan. Petang Ahad saya pun pergi. Selain saya dan Lijah, ada 10 ke 12 orang lain yang datang.

Selepas mendengar taklimat, saya diminta mencuba alat-alat penjagaan kulit yang dipamerkan. Bermacam jenis barang Lijah tunjukkan, terpesona saya dibuatnya. Semua barang-barang itu ada fungsi tersendiri dan berkualiti tinggi. Harganya pun apa lagi, bak kata Azwan Ali dalam program ‘Cit-Cat’nya, amboi, amboi, amboi!

Lijah merekomen satu set barangan untuk kulit saya. Kerana tergoda, saya pun beli. Maka terkopaklah RM350 daripada dompet. Kata Lijah, andai saya mendaftar menjadi ahli, ia lebih menguntungkan. Antara faedahnya, saya boleh mengumpul poin dan jika cukup jumlahnya, layak mendapat bonus.

Minggu berikutnya, Lijah mengajak saya ke suatu majlis lagi dipanggil NDO atau New Distributors Orientation. Dia menawarkan diri mengambil saya dari rumah dan menghantar saya pulang selepas majlis itu. Kata Lijah, saya dijemput untuk mendengar sahaja. Apa ruginya mendapatkan ilmu dan maklumat baru. Lagi pun, majlis itu percuma, bukan kena tiket pun.

Untuk menjaga hati Lijah yang baik itu, saya pun pergi. Malam itu saya dikenalkan dengan uplines Lijah. Secara berseloroh, Lijah memanggil mereka bertiga itu E-N-M iaitu emak, nenek dan moyang!

Semasa majlis NDO berlangsung, banyak maklumat disampaikan oleh ‘nenek’ Lijah terutama mengenai membina impian besar, konsep syarikat MLM mereka, cara menduplikasi uplines dan bermacam lagi. Katanya melalui perniagaan MLMlah ramai orang biasa berjaya membina empayar kekayaan sehingga berstatus jutawan.

Lijah semakin kerap menghubungi saya. Kekadang dia ajak saya berdating di Deli France untuk minum petang. Saya dapati Lijah itu baik benar, suka berkongsi cerita dan berbincang hal-hal berkaitan masa depan. Setiap kali kami bertemu, Lijah meminjamkan saya berbagai kaset dan buku buku mengenai MLM. Antaranya…

- Wave 3, The New Era In Network Marketing tulisan Richard Poe

- The Parable Of The Pipeline

- How To Build A Large Successful Network Marketing Organisation

- Questions Are The Answers oleh Allan Pease

- Business School tulisan Robert T. Kiyosaki; dan

- Copycat Marketing 101

Saya memang gemarkan buku. Apabila dapat buku, macam tikus jatuh ke beraslah saya, bergolek gelantang di atas katil atau di sofa membaca. Lepas satu buku, baca satu lagi, sampai habis. Dalam dua minggu saja semuanya selesai. Pada suatu hari Lijah mengajak saya berjumpa dengan ‘emak’nya (upline) di Sebatu Inn.

Dalam perjumpaan itu otak saya di ‘cuci’ hampir dua jam. ‘Emak’ Lijah menerangkan tentang pelan pemasaran syarikat MLM mereka. Berkali-kali dia katakan rugi besar andai saya melepaskan peluang keemasan di depan mata. Setelah ‘kena goreng’ saya mengambil keputusan menyertai syarikat itu sebagai ahli biasa. Maka jadilah saya downline atau ‘anak’ Lijah.

Sebulan menjadi ahli, Lijah memujuk saya jalankan bisnes itu secara sambilan. Alang-alang menjadi ahli, apa salahnya buat bisnes sekali, kata Lijah. Setelah kerap didesak, saya bersetuju mencuba. Niat asal saya sekadar mecari pengalaman baru. Selama ini saya hanya mendengar cerita orang dan membaca buku-buku MLM tetapi tidak pernah menceburi MLM secara langsung.

Menurut cerita Lijah, buat bisnes MLM tidak susah. Cuma ada 7 perkara wajib perlu dibuat setiap hari. Iaitu mendengar tape, membaca buku, menggunakan semua produk, membuat jualan runcit, menghadiri semua mesyuarat, menghubungi upline setiap hari dan menunjukkan pelan pemasaran kepada kenalan baru.

Lijah berjanji akan membantu saya. Saya disarankan menduplikasi semua cara yang dia ajarkan. InsyaAllah, kata Lijah, jika menduplikasi caranya 100%, saya boleh berjaya dalam bisnes MLM itu. Kunci kejayaan ialah kena tiru apa dia buat 100%.

Modal untuk memulakan bisnes itu lebih kurang RM2,000. Ia digunakan untuk pembelian sebuah beg dipanggil ‘kedai bergerak’ berisi beberapa produk asas dan peralatan untuk digunakan ketika membuat demonstrasi kepada bakal pelanggan.

Dengan memiliki ‘kedai bergerak’ itu saya pun bergelar business builder. Sejak itu saya menghadiri program latihan dan mesyuarat mingguan bersama ‘emak’ dan ‘nenek’ saya. Dalam seminggu, kami bertemu secara tetap sebanyak dua kali. Namun antara saya dan Lijah, kami berhubung melalui telefon setiap hari. Kekadang kami pergi ke KL dan ke JB untuk sesi ceramah, konvensyen, rally pengiktirafan dan sesi promosi produk.

Saya kemudiannya disaran menghantar permohonon untuk menjadi Executive. Dengan status itu, barulah saya dapat menikmati bonus. Syaratnya ialah saya perlu mencukupkan jualan terkumpul sebanyak RM30,000 dalam tempoh 6 bulan. Saya terlepas pandang satu hal penting. Iaitu syarat kuota jualan minima bulanan sebanyak RM8,000 dikuatkuasa serta-merta apabila saya menjadi Executive.

Lijah tidak perjelaskan syarat itu secara khusus dan saya sendiri terlepas pandang. Andai menyedari lebih awal, pasti saya tidak bersetuju memohon menjadi Executive pada waktu itu. Tindakan itu terlalu awal buat saya yang masih belum cukup bersedia untuk berdepan dengan berbagai kerenah dan cabaran bisnes MLM.

Daripada 7 perkara wajib yang perlu dilakukan saban hari, ada dua hal sukar betul mahu buat. Yang pertama, mengekalkan jualan runcit sebanyak RM8 ribu sebulan. Yang kedua, menunjuk pelan pemasaran kepada kenalan baru. Bukan saya tidak cuba membuat temu janji dengan sahabat-handai dan saudara-mara. Namun sasaran saya selalu tidak mengena.

Sepanjang minggu menghubungi kawan, saudara dan sesiapa saja yang saya kenali, mengajak mereka datang ke majlis home-party atau majlis NDO. Ada yang berjanji mahu hadir tapi kemudian membatalkan di saat akhir. Daripada 10 orang yang saya hubungi, biasanya 9 orang mengatakan tiada masa mahu datang.

Hendak cari 10 orang baru untuk dihubungi setiap minggu bukannya senang. Jeran betul saya. Setiap bulan saya membeli stok untuk mencukupkan target jualan minima. ‘Emak’ dan ‘nenek’ yang sarankan buat begitu supaya saya tidak hilang kelayakan sebagai Executive. Oleh kerana prestasi tidak menyerlah, selalulah saya ditegur para uplines.

Saya dikata tidak patuh 100% dalam menduplikasi teknik-teknik yang mereka ajarkan. Memang saya akui tidak boleh hendak menduplikasi cara mereka itu 100%. Bukan kerana malas atau suka memandai sendiri, tapi kerana sifat semulajadi saya tidak suka memaksa orang. Saya rasa malu dan tebal muka menelefon orang berulangkali sedangkan orang dihubungi itu cuba mengelak.

Kata uplines saya, ketika membuat temujanji dengan orang dihubungi, jangan sekali-kali beritahu mereka yang saya mahu tunjukkan produk atau pelan pemasaran. Sebaliknya, katakan pada mereka saya mahu kongsi satu peluang keemasan.

Jika mereka bertanya lebih lanjut tentang peluang keemasan itu, jangan beritahu apa-apa pun. Biarlah rahsia bak lagu Siti Nurhaliza! Tujuannya supaya orang-orang yang dijemput itu berasa suspens dan dapat tahu sendiri ketika mereka datang ke majlis NDO. Bagi saya, taktik itu kelakar betul!

Bagi saya, apabila orang asyik bertanya atas urusan apa saya menjemput mereka, saya beritahu hal sebenar. Jika mereka tidak mahu datang atau tiada masa, saya jemput mereka datang di minggu berikutnya.

Uplines kata cara saya salah. Mereka suruh saya pujuk orang-orang itu sampai mereka kata ‘ya’. Bagi saya jika orang tidak mahu, sudahlah. Buat apa mahu paksa mereka. Macam tidak reti bahasa. Uplines kata saya kena bersikap persistent. Selagi saya tidak patuh menduplikasi cara mereka 100%, bisnes saya tidak akan menjadi.

Sesetengah kenalan yang saya hubungi memberi alasan mereka tiada duit untuk beli produk kesihatan yang saya tunjukkan. Setelah melihat sendiri gaya hidup dan keadaan rumah masing-masing, memang saya akui mereka kurang mampu dari segi kewangan.

Uplines kata saya perlu menekankan kelebihan fungsi produk sehingga bakal pelanggan merasa berbaloi membelinya walaupun mahal. Entahlah. Saya sendiri tidak suka dipaksa-paksa, macam mana mahu buat begitu kepada orang lain.

Satu isu lagi ialah sesetengah pelanggan suka berhutang. Apabila tiba masa membayar, mereka mengelat. Macam-macam alasan diberi, sampai 2 ke 3 bulan baru diselesaikan hutang. Cekik darah betul…

Beberapa kali saya ditegur secara terbuka kerana datang sedikit lewat ke mesyuarat mingguan yang bermula tepat jam 8:00 malam. Kata ‘nenek’, saya tidak berdisiplin. Dia memanggil saya slow coach. Apabila saya beritahu perlu solat maghrib terlebih dahulu sebelum datang ke mesyuarat, dengan selamba dia menjawab begini. . .

“Norlela, tell God you’ll pray later. He’ll understand. I always do that. I just pray in my heart first. Why not pray when you go home after the meeting?”

‘Nenek’ menjeling apabila saya kata solat maghrib tidak boleh ditangguh, kena tunaikan segera pada waktunya. Apabila kami ke KL atau JB sekereta, lagi timbul isu. ‘Nenek’ tidak mahu berhenti di surau R&R untuk kami yang Muslim menunaikan solat jamak. Dia suruh kami solat setelah balik ke rumah untuk menjimatkan masa.

Di sepanjang perjalanan ke KL atau JB itu, ‘nenek’ bercerita hal bisnes MLM saja. Tentang produk itu dan ini. Atau pun dia mainkan berbagai tape mengenai hal yang sama. Katanya, untuk berjaya dalam bisnes MLM, kami kena penuhkan masa dengan aktiviti berguna. Suatu ketika dalam mesyuarat mingguan kami, ‘nenek’ memberi nasihat berikut. . .

“Please remember, ours is a serious business. Clients are our assets. When they call, no matter how busy you are, immediately answer them. Even if your baby’s crying at that time. Attend the client first. Remember, the baby is a liability. The client is an asset.”

TAKSUB. Itulah ungkapan yang paling sesuai diberikan kepada ‘nenek’ MLM saya. Ketaksubannya cuba diterapkan kepada downlinesnya dan itu menimbulkan rasa bosan. Seolah-olah dalam hidup ini tiada hal lain lebih penting daripada produk dan bisnes MLM itu saja. Dalam otaknya hanya ada perkara itu dan dia mahu sifatnya diduplikasikan 100%. Aduhai…

“Muak, muak, muak! Cucu dah muak sangat ni, nenekku sayang! Siang malam, kau tak ada cerita hal lain. Pening kepala gua ni,” jerit hati saya.

Apabila hal ini saya suarakan kepada Lijah, dia diam saja. Kata Lijah, saya jangan ambil hati sangat dengan kerenah ‘nenek’. Dia ingatkan saya, mengikut etika, downlines tidak boleh bercakap hal-hal negatif tentang uplines. Lijah menasihati saya menurut saja cakap ‘nenek’.

Katanya tujuan dan niat ‘nenek’ sebenarnya baik. Lagipun menduplikasi uplines 100% amat penting. Tapi terus terang saya tidak boleh ikut peraturan itu. Kata Lijah, saya tiada pilihan sebab ‘nenek’ itu upline kami. Suka tidak suka saya kena terima dia. Jadi, macam mana saya ini?

Bagi Zainal isu itu kecil saja. Jika tidak sesuai, tarik diri. Sedang kami berbincang, Lijah menelefon beritahu ‘nenek’ mahu buat mesyuarat tergempar pada malam Isnin jam 8:00. Malam Selasa, ada majlis NDO di Sebatu Inn.

Ketika itu awal Ramadhan (2004). Saya beritahu Lijah tidak dapat hadir. Saya mahu kurangkan aktiviti sebelah malam supaya dapat bersolat terawih di masjid. Anda mahu tahu apa jawapan Lijah? Alahai, macam biasalah juga.

Dia buat tidak reti bahasa. Lijah itu bukankah sekutu rapat ‘nenek’ MLM saya… Katanya : Lela buat solat terawih di rumah sajalah lepas meeting nanti. Tidak payah pergi masjid pun boleh. Jangan tidak datang ya. See you there!

Kedua-dua majlis NDO dan mesyuarat itu saya tidak hadir. Saya hantar sms memberitahunya mahu bercuti sepanjang bulan puasa. Itu saja. Tapi macam biasa Lijah buat tidak reti bahasa. Namun saya terus matikan diri. Saya tidak jawab satu pun panggilan telefon Lijah mahu pun ‘nenek’.

Pesanan suara dan sms daripada mereka berdua datang bertalu-talu ke mail box tapi langsung tidak saya hiraukan. Satu pun saya tidak layan. Saya pekakkan telinga terus. Selama ini saya terlalu menjaga hati mereka. Susah benar mulut saya mahu ucapkan NO!!!!, hingga sikap mereka yang suka mendesak itu menjadi-jadi.

Saya mahu tengok sejauh mana sikap persistence mereka itu. Sesungguhnya mereka memang tidak mudah give up. Mereka terus telefon saya bertalu-talu tapi hati saya sudah bulat. Saya bertekad untuk mematikan diri terus sepanjang bulan Ramadan itu.

Selepas hari raya, saya maklumkan kepada Lijah yang saya tidak mahu bergerak aktif lagi. Terus-terang dan tanpa berselindung saya terpaksa mengakui bahawa saya hilang minat dan tidak mahu teruskan bisnes itu. Mungkin bisnes MLM tidak sesuai dengan jiwa saya.

Kepada anda yang berjaya di dalam MLM, saya ucapkan TAHNIAH! Sesungguhnya anda mempunyai semangat cukup kental. Bagi saya, bukan semua orang boleh menjalan bisnes MLM. Seperti mana membina kerjaya di bidang lain, tidak ada jalan mudah untuk berjaya dalam bisnes ini melainkan melakukan dengan penuh minat.

Bagi diri saya, keputusan menarik diri mungkin paling baik. Buat menyemak saja saya dalam bisnes MLM ini. Sikap terjal dalam menghadapi segala kerenah dan cabaran yang datang bersamanya tidak wujud dalam diri saya.

Kepada para uplines yang banyak membantu saya mengenali dunia MLM, saya ucapkan ribuan terima kasih. Maafkan saya di atas segala kesilapan dan kekasaran terutama sekali ketika saya mematikan diri sepanjang bulan Ramadan 2004 dulu.

Teruskanlah perjuangan anda. Saya doakan semoga anda meraih kejayaan yang dicari-cari selama ini. Walau pun tidak berjaya di dalam bisnes ini, sekurang-kurangnya saya mencuba dan mendapat serba-sedikit pengalaman berguna.

Kepada Lijah, janganlah berkecil hati dengan saya. Sekali-sekala (lepas raya nanti) jomlah kita pergi minum kopi dan makan roti sandwic di Deli France. Saya sudah terasa rindu hendak makan garlic bread cicah dengan mushroom soup…

Wednesday, September 19, 2007

powermakers OR power rangers???


Gambar : Sesi di MITC Melaka (2004)

Kay mengajak saya membuat bisnes berkaitan program motivasi dan pengembangan minda. Saya bersetuju asalkan ia bersifat project basis. Ini kerana saya belum bersedia untuk terikat dengan Kay sebagai rakan kongsi. Andainya wujud keserasian, boleh difikirkan langkah seterusnya.

Projek pertama kami ialah menganjur sebuah program motivasi diberi nama ‘Impianku Bermula Di Sini’ atau ringkasnya dipanggil ‘Program Impian’. Kami mengambil masa seminggu untuk merangka isi kandungan program sehari itu dan menyiapkan butirannya dalam power point. Apabila siap, kami sediakan bahan promosi berupa flyer.

“Kita kena ada nama syarikatlah. Pakai nama sendiri, nampak tak pro. Jom ikut aku. Kita pergi cari nama,” kata Kay.

Pergi cari nama??? Mahu cari di mana??? Hati tertanya-tanya sambil kaki mengikut Kay menaiki keretanya menuju ke sebuah rumah berkembar di Taman BH. Di sana kami bertemu seorang lelaki India bernama VJ, pemilik syarikat QDMC.

Untuk makluman anda, syarikat tersebut menawarkan khidmat konsultansi mencari nama yang sesuai dan ‘serasi’ bagi syarikat baru. VJ juga memberi khidmat nasihat bagaimana menulis tandatangan yang ada ‘tuah’ yang dipanggilnya millionaire signature.

Sebagai contoh, VJ menasihati pelanggannya sama ada huruf ‘i’ dalam ejaan tandatangan perlu ditulis dengan bertitik atau pun tanpa titik. Atau di bawah tandatangan perlu ada garisan atau tidak. Kata VJ, perkara-perkara kecil begitu boleh menentukan tuah seseorang.

Berbagai kisah menarik diceritakan tentang ‘tuah besar’ memakai nama dan tandatangan yang serasi di mana bisnes dikatakan boleh berkembang maju. Setelah meminta butir-butir diri Kay, VJ memasukkan data itu ke dalam komputernya yang mempunyai perisian khas untuk urusan tilik-menilik. Berikut adalah beberapa nama yang dikatakan ‘serasi’…

  • Geotime Consultancy Service
  • Innopath Consultations & Solutions
  • Eramasa Consultations & Solutions
  • Powermakers Consultancy

Daripada 4 nama yang disyorkan, Kay memilih nama Powermakers Consultancy dan kemudian mendaftarnya di SSM. Kata Kay, nama Powermakers itu tampak profesional. Tapi yang lucunya, orang selalu tersasul dan memanggil syarikat itu Power Rangers!

Program Impian kami yang pertama berlangsung pada 6 Disember, 2004 di bangunan MITC, Melaka dan di sertai 30 orang pelajar sahaja. Yang kedua, juga berlangsung di MITC, dihadiri 70 orang pelajar. Program yang ketiga di adakan di INB Resort. Yang keempat dan seterusnya, di beberapa tempat lain termasuk di sekolah dan kehadiran pelajar mencecah lebih 100 orang.

Antara aktiviti yang kami jalankan dalam Program Impian itu ialah satu sesi di mana kami meminta para peserta yang berusia antara 10 ke 12 tahun membayangkan 4 impian yang ingin mereka capai apabila dewasa.

Impian pertama, sebuah universiti tempat mereka ingin melanjutkan pelajaran serta kelulusan tertinggi yang ingin mereka capai di bidang akademik. Kedua, kerjaya yang ingin mereka ceburi. Ketiga, jenis rumah yang ingin mereka diami dan keempat, jenis kereta yang ingin mereka miliki suatu hari nanti.

Para peserta kecil itu dikehendaki membayangkan keempat-empat impian itu dengan seberapa jelas yang boleh. Kemudian, mereka perlu menulis, melukis atau menampal gambar-gambar berhubung 4 impian itu seperti mana yang mereka imaginasikan, di sebuah buku sketch yang kami berikan, diberi nama Buku Impian.

Untuk membantu kanak-kanak itu mencari ilham, kami sediakan untuk mereka senarai panjang nama-nama universiti tempatan dan seberang laut, jenis-jenis kelulusan akademik serta senarai berbagai kerjaya. Semuanya kami tampalkan di dinding dewan.

Setimbun majalah-majalah terpakai yang mempunyai pelbagai gambar rumah berhias cantik, mahligai dan gambar kereta-kereta mewah juga kami sediakan. Mereka dibenarkan menggunting mana-mana gambar yang disukai dan menampalnya di Buku Impian masing-masing.

Mereka di beri masa sejam setengah untuk menyiapkan tugasan itu. Dalam sesi berikutnya, mereka diminta berkongsi cerita tentang impian masing-masing. Otak budak-budak memang lucu kerana mereka tidak bersikap hipokrit. Apa saja yang terfikir dinyatakan tanpa berselindung.

Antara kerjaya pilihan mereka yang popular ialah doktor pakar, jurutera, angkasawan, saintis, ketua polis, arkitek, peguam, interior designer, usahawan dan tauke kedai emas. Boleh dikatakan masing-masing semuanya ingin mendiami mahligai indah dengan berbagai kemewahan, disamping memiliki kereta besar berjenama mahal.

Melihat Buku Impian budak-budak itu, saya perasan satu perkara yang amat ketara. Iaitu perbezaan di antara budak-budak daripada keluarga berada atau dari kawasan bandar dengan yang datang daripada latar belakang kurang berada dan kawasan kampong.

Latar belakang hidup dan pendedahan kanak-kanak itu kepada dunia luar memang mempengaruhi tahap pemikiran dan kreativiti mereka dalam menceritakan kehebatan impian masing-masing.

Setelah merangsang pemikiran kanak-kanak itu dengan 4 impian masa depan mereka, kami membawa mereka ‘balik ke alam nyata’ dengan menyatakan bahawa semuanya bermula dengan keputusan peperiksaan UPSR mereka. Mereka perlu berjaya dalam peperiksaan itu terlebih dahulu sebelum dapat melangkah lebih jauh.

Kami kemudiannya mendedahkan mereka kepada potensi otak manusia yang hebat. Kami tunjukkan cara membuat gol jangka pendek dan gol jangka panjang. Kanak-kanak itu turut di ajar mengenali Time Wasters dan cara-cara membuat pernyataan harian kepada diri sendiri dipanggil Affirmations.

Kami juga adakan sesi berkongsi cerita oleh beberapa orang Role Model tentang teknik belajar dan cara mengingat fakta. Yang menjadi Role Model itu terdiri daripada para pelajar universiti yang kami jemput khas untuk menceritakan pengalaman belajar ketika kecil dahulu sehingga berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM.

Secara keseluruhan Program Impian itu amat disukai para peserta kecil kami kerana ia berselang-seli dengan aktiviti hiburan seperti nyanyian dan permainan. Walau pun masih baru, saya dan Kay bolehlah dikatakan berjaya melakukan tugas itu. Kata orang pun, see the leglah!!!

Untuk makluman anda, ketika kecil dulu saya tidak pernah mempunyai Buku Impian. Tidak pernah terfikir pun untuk membuatnya sebab tidak tahu pun tentangnya. Yang pernah saya lakukan ialah berangan-angan saja untuk mencapai impian itu dan ini.

Zaman saya bersekolah dulu, pengangkutan utama untuk ke mana-mana ialah bas MOS. Bas berwarna merah kuning itu selalu sampai lewat dan sentiasa sesak sampai ke tangganya. Ia bergerak lambat sekali macam kura-kura tua.

Semua itu membuat saya berazam sejak kecil lagi untuk belajar memandu dan memiliki sebuah kereta sendiri. Impian saya ialah tidak mahu menaiki bas MOS sampai bila-bila pun!

Seperkara lagi ialah saya pernah berazam untuk tinggal di sebuah rumah yang berpagar seperti rumah-rumah di bandar. Ini kerana zaman saya kecil dulu, kerap benar saya terpicak tahi ayam yang bersepah-sepah di kaki lima dan halaman hampir setiap rumah di kawasan kampong saya!

Apabila terkenang impian dulu-dulu, terasa betapa kecilnya dunia saya masa itu. Ketika itu otak saya ini tidak pernah dirangsang supaya berimpian perkara yang besar-besar. Betapa beruntungnya nasib budak-budak zaman sekarang yang terdedah kepada bermacam pilihan.

Terlanjur bercerita tentang impian, pernahkah anda bertanya lagi kepada diri sendiri : apakah impian anda yang terkini? Biasanya semakin usia meningkat, kita terlupa akan impian diri sendiri. Kononnya hanya budak-budak layak berimpian sedangkan orang dewasa tidak memerlukannya lagi. Tapi benarkah begitu?

Betulkah orang dewasa tidak perlu lagi mempunyai impian? Sebenarnya tidak salah jika kita terus membina impian baru dalam hidup ini. Contohnya, apabila kita sudah mencapai sesuatu impian, kita bina impian yang lain pula.

Saya pernah menghadiri seminar National Achievers Congress 2003 di mana salah seorang penceramah, Brian Tracy, menyatakan apabila kita mempunyai impian, jangan hanya menyimpannya di dalam kepala. Sebaliknya hendaklah impian itu dituliskan secara hitam putih.

Kata Brian, tulis satu impian yang ingin anda capai di atas sekeping kertas dan kemudian simpanlah kertas itu dalam laci atau dompet anda. Kemudian, untuk merealisasikan impian itu, ikuti 6 langkah berikut :-

  1. Tuliskan butiran gol yang ingin anda capai.
  2. Tetapkan jangka masa untuk mencapai gol itu.
  3. Senaraikan perkara-perkara yang perlu anda buat.
  4. Susun perkara-perkara itu mengikut keutamaan.
  5. Ambil tindakan seperti yang anda rancangkan itu.
  6. Buat satu perkara setiap hari ke arah pencapaian gol anda itu.

Setahun kemudian, anda bukalah semula kertas impian itu dan anda boleh pastikan apa yang anda catitkan di situ hampir atau sudah pun menjadi kenyataan. Jika tidak percaya, cubalah sendiri.

Kesimpulannya, apa pun yang kita mahu, jika dicatitkan dengan jelas, InsyaAllah, perkara itu akan melekat di otak kita. Secara tidak langsung kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Ini berlaku kerana minda terpendam akan sentiasa mengingatkan tentangnya, membuat kita lebih fokus untuk berusaha ke arah itu dan menjadikan ia satu kenyataan.

Cuba anda bayangkan seseorang yang tiada mempunyai impian. Adakah orang begini tampak ceria dan bersemangat atau dia kelihatan bosan dan muram melalui kehidupannya yang hambar? Pasti anda dapat meneka jawapannya.

Tanpa impian, hidup kita akan terasa kosong. Kita mungkin dilanda resah, tidak bahagia, kurang menghargai masa dan selalu kecewa. Ini kerana mencabar diri mencapai sesuatu memberi kita semangat untuk berusaha. Oleh itu untuk mencapai kehidupan lebih bermakna, perlulah kita memiliki impian baru, waima pada usia sudah menjelang senja.

Cuba anda bayangkan seorang banduan yang sedang menanti hukuman gantung. Masihkah orang begini perlu berimpian? Jawabnya ‘ya’ kerana Islam mengajar manusia jangan sekali-kali berputus asa. Sang banduan itu masih boleh bertaubat bersungguh-sungguh dan memohon keampunan daripada Allah.

‘Kita boleh mencapai apa saja impian yang kita inginkan’ – apa pendapat anda? Bagi saya, semua itu mengarut. Bukan semua orang boleh menjadi Nicol David, David Beckham, Siti Nurhaliza atau Mawi, sekalipun ramai yang kepingin sangat menjadi seperti mereka.

Dalam menetapkan impian dan mengejarnya, biarlah kita bersikap realistik serta jujur kepada diri sendiri. Ukur dulu segala kekuatan dan kekurangan yang ada dalam diri kita. Ini kerana mengetahui apa yang kita mampu buat sama pentingnya dengan mengetahui apa yang kita tidak mampu buat.

Berimpian terlalu tinggi sedangkan apa yang ingin dicapai itu tidak realistik dengan kebolehan diri, boleh merosakkan seseorang. Janganlah suka hendak membuat perkara yang mustahil kerana ia membuang masa dan boleh melunturkan semangat.

Tuesday, September 18, 2007

Meals In Minutes

Ketika mengambil keputusan berhenti kerja pada bulan Oktober, 2001, persoalan yang kerap saya fikirkan ialah bagaimana hendak mengisi masa lapang. Saya sudah biasa bekerja. Jika duduk berehat saja di rumah, lama-lama bosan. Sudah lama saya berimpian memiliki sebuah restoran. Tiba-tiba hati teringin hendak mencuba.

“Kau berhenti kerja sebab nak kurangkan stres. Rehat ajelah kat rumah. Kenapa sibuk nak bisnes? Nanti kau sakit balik, macam mana?”

“Kau ingat buka restoran tu senang? Penatnya bukan main. Kau tak larat nanti.”

“Kau ni ibarat keluar dari mulut harimau, mahu masuk mulut buaya. Fikir dulu masak-masak.”

Begitulah antara pandangan ahli keluarga dan kawan-kawan apabila mendapat tahu saya mahu buka restoran. Ramai yang menggeleng kepala tapi saya tidak ambil pusing sangat. Saya perlu buat sesuatu untuk mengisi masa walau pun hanya bisnes kecil-kecilan. Zainal tiada halangan, cuma dia berpesan : jangan merungut apabila penat.

Rumah kedai 2 tingkat kami di Taman Dimensi sudah lama siap dan diserahkan kunci oleh pemaju. Lokasinya dekat dengan kampus UiTM Lendu, di Alor Gajah. Di situ saja sudah cukup ramai pelajar dan pensyarah. Apabila buka restoran tentu akan jadi tumpuan ramai, fikir saya.

Soalnya, bolehkah saya menguruskan restoran? Saya tiada pengalaman khusus dalam bidang masak-memasak secara komersial. Yang saya ada hanya pengalaman mengurus syarikat pengilangan selama 12 tahun. Sebuah kilang dan sebuah restoran bukankah jauh berbeza? Ah, cubalah dulu. Belum cuba, belum tahu, bisik hati saya. Semangat saya mula berkobar-kobar.

Konsep restoran yang saya inginkan ialah yang sesuai dengan nama yang saya pilih untuknya, Restoran Meals-In-Minutes. Saya membayangkan restoran itu selesa, berhawa dingin dan menu utamanya berupa set nasi ayam, set asam pedas dan beberapa jenis makanan barat. Setelah menyediakan kertas rancangan dan mereka-bentuk renovasi, saya pun memohon lesen perniagaan di MPAG.

Memulakan bisnes baru bukanlah kerja enteng Terlalu banyak yang perlu diuruskan. Selesai membeli bermacam peralatan dapur, kerusi-meja dan pinggan mangkuk, saya mencari pembekal bahan mentah, tukang masak, pembantu restoran, membuat promosi dan bermacam-macam hal lagi. Apabila restoran mula beroperasi, kerja bertambah.

Di bulan pertama dan kedua, kesihatan saya ok. Masuk bulan-bulan seterusnya, ada hari saya ok, ada hari kesihatan kantoi. Namun, pekerja saya seramai 4 orang boleh diharap. Mereka banyak membantu. Apabila tidak bertugas outstation, Zainal singgah di restoran kami selepas waktu pejabat. Dia membantu saya apa-apa yang patut.

Apabila selesai urusniaga, kami tutup kedai bersama dan balik ke rumah di Bukit Beruang. Saya biasanya memandu di depan sementara Zainal menunda di belakang. Untuk kemudahan saya, Zainal mengubahsuai tingkat atas rumah kedai kami itu. Dia buatkan bilik tidur dan pejabat untuk saya melepak apabila penat.

Jualan harian di restoran kami sederhana saja. Saya dapati para pelajar di UiTM Lendu lebih suka keluar makan pada waktu lewat petang sehingga ke jauh malam. Pada waktu siang, restoran saya lebih dikunjungi para pensyarah dan orang pejabat sahaja.

Bagi meningkatkan jualan, restoran saya beroperasi dari jam 9.00 pagi sehingga 11.00 malam. Waktu perniagaan yang panjang itu meletihkan. Seperkara lagi yang saya tidak suka ialah kunjungan para pelanggan yang ramai pada waktu menjelang senja. Rutin harian itu menimbulkan rasa serba-salah.

Ketika suara azan mula berkumandang di surau, urusniaga di restoran saya mula merancak. Beberapa pasangan muda kerap datang menjamu selera pada waktu senja dan memadu kasih sambil makan. Di restoran saya ada privacy. Jadi mereka duduk berlama-lama, sampai tidak hiraukan solat magrib. Pekerja saya yang 4 orang itu pun, kerana terlampau sibuk melayan pelanggan, selalu terlepas solat magrib.

Untuk menyelesaikan isu itu saya memendekkan waktu berniaga, dari jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang saja. Tentu anda dapat agak apa yang terjadi selepas itu. Ya, jualan saya merosot. Apabila tiba cuti semester, bertambah teruk jadinya. Taman Dimensi tiba-tiba jadi lengang selengang-lengangnya, macam tidak berpenghuni.

Ketika musim cuti semester, restoran saya sunyi sepi. Seharian menunggu pelanggan tapi jualannya tidak seberapa. Untuk jimatkan kos saya membuat keputusan untuk menutup kedai sementara menunggu semester baru dibuka. Pekerja saya yang 4 orang itu kenalah bercuti panjang.

Saya terpaksa akui sudah melakukan banyak kesilapan kerana tidak membuat market research yang lengkap sebelum membuka restoran kami itu. Kesilapan-kesilapan itu sepatutnya boleh dielakkan andai saya lebih teliti. Pertama, tentang cuti semester UiTM yang lamanya hampir 3 bulan. Ketika para pelajar bercuti, hampir semua bisnes di Taman Dimensi turut terbantut. Perkara ini saya terlepas pandang.

Kedua, saya tidak tahu yang MPAG akan membina sebuah medan selera betul-betul di seberang jalan, setentang dengan pintu masuk ke UiTM. Belum setahun saya membuka Meals-In-Minutes, medan selera itu pula di bina dan beberapa bulan kemudian mula beroperasi. Oleh kerana lokasinya lebih dekat, lebih mudah bagi para pelajar singgah makan di situ daripada hendak ke restoran saya.

Ketiga, sikap saya sendiri. Saya tidak sedar (sehinggalah melalui sendiri pengalaman itu) yang saya pantang betul melihat orang-orang muda berdating dalam kedai saya. Rasanya macam saya bersubahat membuat maksiat. Setiap petang darah saya menyirap melihat pasangan teruna-dara memadu kasih.

Alahai, naik berbulu biji mata saya. Menyampah betul!!! Anda fikirlah sendiri, andainya tauke sudah menyampahkan pelanggannya, apa mahu jadi??? Untuk makluman anda, RESTORAN MEALS-IN-MINUTES kemudian ditutup terus. Saya terpaksa akui sudah tersilap memilih lokasi. Kedai itu sekarang saya sewakan. Nampak gayanya ia lebih sesuai sebagai sebuah cyber café.

Apabila memikirkan modal puluhan ribu yang sudah dilabur di RESTORAN MEALS-IN-MINUTES itu, kesal juga saya. Tapi bisnes kantin selama 2 tahun sudah balikkan modal dan saya harus bersyukur. Yang lebih penting saya mendapat pengajaran berharga.

Iktibar daripada pengalaman ini ialah jika hendak menceburi bisnes, carilah bidang yang sesuai dengan diri kita. Baik dari segi kebolehan, ketahanan mahu pun prinsip yang kita pegang. Sekadar menyukai sesuatu bisnes itu tidak bermakna kita layak melakukannya. Kuncinya ialah mengukur baju di badan sendiri.

Norlela : tidak suka keluar malam – segan duduk di kaunter cash register sebagai cashier – tidak tahan lasak untuk buat kerja catering – malas cuci pinggan – tidak suka muzik yang bising – rimas pasangan berdating dalam restoran – suka kira duit – suka makan di rumah - etc etc etc. Keputusan : Norlela tidak sesuai buat bisnes restoran!!!