Saturday, December 22, 2007

Bisnes Kumpulan Elit

Kawan lama saya, Munirah, bertugas di sebuah universiti. Baru-baru ini kami terserempak di sebuah pusat beli belah dan saling bertanya khabar. Secara kebetulan Munirah kini mengajar subjek keusahawanan. Sambil kami minum kopi, saya memberitahu dia tentang buku-buku saya yang memfokus kepada bisnes kecil dan sederhana.

Kata saya : Selain apa yang di ajar secara akademik, dalam bisnes kita perlukan banyak kemahiran praktikal. Contohnya cara berkomunikasi dengan berkesan.

Saya menceritakan satu peristiwa di mana dalam sebuah seminar keusahawanan, seorang usahawan menempelak sekumpulan pegawai kerajaan yang dikatakan lambat memproses permohonan bantuan kewangannya. Para hadirin bersorak-sorak dan bertepuk-tangan tanda menyokong tindakan usahawan itu.

Kerana menurutkan geram, banyak kata-kata tajam dilepaskan dalam majlis tersebut. Tapi apakah kesannya selepas itu? Tentulah ada tindak-balas yang defensif daripada pihak yang dikecam. Kadangkala orang terlupa bahawa memelihara hubungan baik dengan pihak yang bantuannya diperlukan sangat penting.

Kata saya : Hendak menegur orang pun perlukan konsep 'menang-menang'. Ia salah satu kemahiran praktikal yang perlu ada pada semua usahawan.

Reaksi spontan Munirah membuat saya terfikir sesuatu. Bahawa dia tidak nampak pentingnya topik yang saya timbulkan itu.

Kata beliau : Saya sudah lama buat kajian sendiri. Budak-budak universiti tidak berminat dengan bisnes konvensional. Contohnya pembuatan dan pengilangan. Selain sudah biasa, bisnes begitu perlukan modal besar. Budak-budak universiti lebih berminat dengan bisnes baru seperti e-commerce, bisnes internet, francais, MLM, unit trust dan insuran.

Saya tersenyum dan mengangguk sambil berkata : Oh ya?

Jawab Munirah : Ya, mereka lebih minat dengan apa yang boleh jadikan diri mereka jutawan.

Saya bertanya : Bukankah francais perlukan modal besar?

Jawab Munirah : Ya, sekarang ada Prosper dan PUNB sediakan pinjaman. Bisnes beginilah disukai pelajar-pelajar universiti.

Tambah Munirah lagi : Saya bercadang mahu menjemput beberapa penceramah yang membuat bisnes internet untuk berkongsi pengalaman dengan pelajar-pelajar saya.

Saya tersenyum lagi sambil bertanya : Macam Irfankhairi?

Jawab Munirah : Sebenarnya teknik Irfankhairi itu sudah outdated. Di Malaysia ini, masih orang boleh terima lagi. If you go global, semua itu sudah outdated.

Saya tersenyum sendiri sambil hati berkata : Yang Irfankhairi ajar sekarang pun saya belum dapat praktikkan...

Sebelum beredar kami bertukar-tukar kad nama. Saya agak yakin Munirah tidak akan membaca buku-buku saya. Andainya Irfankhairi pun sudah outdated, saya ini apa tah lagi!!! Melihat kelulusan di kad namanya pun, peluh saya sudah merecik, hehehe!!!

Bagi anda yang berfikiran terbuka, janganlah mendiskriminasi sesuatu bisnes itu bertaraf tradisional atau elit. Perkara-perkara asas dalam bisnes (tidak kira apa jenis bisnes pun) termasuk kemahiran praktikal adalah sama saja.

Dengarlah dan bacalah berbagai pengalaman bisnes orang lain, contohnya seperti dalam buku Kisah 50 Usahawan Wanita Malaysia. Anda pasti bersetuju bahawa mereka yang sudah berjaya (sebelum menjadi jutawan) pernah merasai jatuh dan bangun.

Ambillah iktibar daripada berbagai kesilapan yang orang lain pernah lakukan serta dengari suka duka yang sudah mereka harungi. Di dalam pengalaman berharga mereka itu ada banyak tips, petua, solusi, strategi, ilham dan 1001 lagi kemahiran praktikal yang tidak pernah diajar di universiti.

4 comments:

  1. Assalam alaikum Puan,

    "Cara berkomunikasi dengan berkesan."

    Saya bersetuju dengan idea ini. Bukan kerana saya bekas pelajar komunikasi tetapi komunikasi adalah soft skill yang paling asas dan paling ramai gagal mempraktikkannya.

    Ramai hendak bercakap tetapi ramai tidak mahu mendengar. Hasilnya tentulah gagal.

    Isu outdated atau tidak, bagi saya apa jua bisnes, tapaknya yang outdated itulah yang mengukuhkan gaya bisnes baru. Jika yang outdated itu tidak dapat dikuasai usah cerita yang updated. Nanti jadi bahan gelak.

    Saya kira pelajar universiti tidak berminat dengan bisnes konvensional. Bukan kerana bisnes itu tetapi amalan dalam bisnes itu.

    Pertama, yang jutawan dalam bisnes ini adalah mereka yang dipayungi, maka para pelajar melihat bisnes-bisnes itu tidak ada harapan hidup jika tidak ada payung cap mana-mana ahli politik.

    Kedua, pensyarah sendiri tidak komited mengetengahkan golongan bisnes kategori ini yang bersih cap payung.

    Ketiga, rasanya kegilaan pensyarah perlu ada selain daripada membuat kajian sahaja. Perlu ada gila-gila dalam menjemput mereka dalam bidang ini datang ke universiti dan bercerita mengenai dunia bisens ini.

    Pensyarah saya berusia 60 tahun, selama dua tahun belajar di bawahnya dahulu, kelas diwajibkan dua perkara.

    Lawatan ke tempat media
    Menjemput ikon dalam bidang komunikasi yang praktis bidang berkenaan dalam forum atau syarahan jemputan.

    Keempat

    Budaya fikir pensyarah dan pengamal bisnes adalah dua cabang berbeza. Mereka mempunyai banyak maklumat yang boleh digunakan. Tapi jika mereka pengamal bisnes itu lebih bagus meskipun bisnes kecil dan kredibiliti mereka lebih tinggi. Pengajaran mereka lebih hidup!

    Kelima.

    Rumusan nasihat Irfan Khairi dalam blognya, "Saya sedar ramai orang tahu dan lebih pandai daripada saya. Tetapi kepandaian itu tidak menjamin apa-apa sehingga mereka berjaya meletakkan bisnes mereka lebih jauh berbanding bisnes outdated ini."

    Saya bimbang, orang mahu buat bisnes sebab mahu jadi hebat atau mahu cari rezeki halal?

    Yakinlah Puan, isu usahawan sebagai ikon halal dalam bisnes paling jarang diceritakan dalam universiti. Hahahha

    ReplyDelete
  2. Alaikumsalam Zamri,
    Bisnes payung cap ahli politik memang banyak. Selagi dahan tempat berpaut itu ada, mudahlah berniaga. Selama saya terlibat dalam bisnes, tidak pernah guna kabel politik sebab tidak mampu menanggung kosnya. Kata orang bisnes yang tiada kabel politik, tiada umphhh!!!

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum,

    Melalui pengalaman sendiri, bisnes kecik atau besar bukan soalnya untuk berjaya. Ibu saya seorang peniaga kecil tapi alhamdulilah mampu membesarkan anak-anak dan juga mampu mengumpulkan aset sendiri. Walaupun tak sekaya mana, tapi saya rasa cukup berjaya.

    ReplyDelete
  4. Alaikumsalam Impian Kasih,
    Seperti ibu anda, ramai orang sudah berjaya dalam bisnes yang kelihatan biasa2 saja. Kita patut mencontohi mereka kerana bisnes yang kelihatan canggih belum tentu berjaya menempuh zaman.

    ReplyDelete