Wednesday, December 19, 2007

Impak Persekitaran Yang Berubah

Baru-baru ini saya bertemu En. Aziz, seorang usahawan bisnes makanan yang sangat berjaya. Beliau berkongsi kisah bisnesnya yang kini sedikit terganggu dek persekitaran yang sudah berubah. Dilema yang sedang beliau hadapi agak penting untuk kita renungkan bersama.

En. Aziz menjalankan bisnes makanannya di Melawati. Sudah bertahun-tahun beliau berniaga di sebuah warung bersaiz sederhana yang dibina di atas tanah milik kerajaan (dengan belanja sendiri). Bisnes En. Aziz amat bagus.

Menurut beliau, jualan harian di warungnya mencecah RM3 ribu sehari. Pada hujung minggu hasilnya lebih lumayan daripada itu. Secara kasar jualan bulanan En. Aziz bernilai lebih RM80,000 dan hampir RM1 juta setahun.

En. Aziz seorang yang sangat rajin dan cekap mengurus bisnesnya. Meski pun mempunyai ramai pembantu, beliau sendiri bertungkus-lumus bekerja bagi memastikan urusan di kedainya berjalan lancar. En. Aziz juga bijak mengurus kewangan. Pendek kata, beliau memiliki ciri-ciri seorang usahawan Bumiputera yang unggul.

Baru-baru ini tapak warung En. Aziz diambil balik oleh Pihak Berkuasa Tempatan. Warung beliau dirobohkan dan di atas tapak yang sama, PBT tersebut kini sedang mendirikan 12 lot warung kecil. En. Aziz sudah memohon untuk mendapatkan 4 lot menggunakan nama beliau, isteri dan 2 orang saudaranya. Beliau memohon kepada pihak PBT supaya diberi 4 lot sederet yang kedudukannya saling bersebelahan.

Perkara yang kini merisaukan En. Aziz ialah saiz setiap lot warung itu amat kecil dan hanya boleh memuatkan 4 buah meja. En. Aziz pening kepala memikirkan bagaimana beliau hendak berniaga seperti biasa dengan 16 buah meja sahaja sedangkan sebelum ini warung beliau boleh memuatkan 30 buah meja.

En. Aziz pernah pergi berbincang dengan pihak PBT dan mencadangkan supaya dibina di atas tapak asal sebuah warung sahaja dengan rekabentuk yang lebih baik serta disewakan semula kepada beliau. En. Aziz bersedia membayar sewa sehingga RM1,000 sebulan. Bagaimana pun cadangan beliau ditolak.

Menurut pihak PBT, mereka mahu membina 12 lot kedai kecil bagi membuka peluang kepada orang lain (selain En. Aziz) meski pun bisnes yang boleh dijalankan hanya secara kecil-kecilan. Bagi mereka tindakan itu rasional.

Apa pendapat anda? Adakah tindakan PBT yang secara tidak langsung merosakkan sebuah bisnes orang Melayu yang sudah terbukti maju itu rasional? Susah juga hendak menjawab soalan ini kerana sebagai tuan tanah, PBT itu berhak membuat apa yang dirasakan wajar di pihak mereka.

Iktibar daripada kisah ini ialah dalam bisnes kita perlu sentiasa menjangka kemungkinan yang bakal berlaku ekoran daripada persekitaran yang sering berubah. Memandangkan warung beliau terletak di atas tapak yang bukan milik sendiri, En. Aziz sewajarnya sudah menjangka isu ini lambat laun pasti akan timbul.

Dengan kedudukan kewangan beliau yang kini kukuh, sudah tiba masanya En. Aziz mencari tapak baru yang lebih strategik. Ya, saya sudah mula terbayang sebuah restoran besar milik En. Aziz (seperti Restoran Haslam) yang dikunjungi ramai pelanggan setiap hari...

No comments:

Post a Comment