Sunday, December 16, 2007

Apabila Mem Besar Tiada Di Rumah...

6 hari saya tiada di rumah. Bukan jauh sangat pun langkah saya, sekadar di KL saja. Meski pun begitu, amat terasa betapa rindunya saya kepada dua lelaki yang ditinggalkan di Melaka. Siapa lagi kalau bukan Mr. Z dan anaknya, Mr. A.

Tepat jam 5:00 petang Jumaat lalu, mereka berdua sudah menanti saya di lobi Grand Seasons. Kebetulan saya terlewat keluar kerana sesi bergambar dengan teman-teman. Tatkala saya melihat handset, ada 2 miss call daripada Alum dan 2 miss call daripada Zainal.

Semalam saya masih letih tetapi hari ini sudah segar. Saya melihat sekeliling rumah. Daun-daun kering dan ranting-ranting patah di bawah pokok mangga bertaburan di sana-sini menutupi tanah. Ketara benar sudah lama halaman rumah tidak bersapu.

Pokok-pokok bunga dan pelepah pinang ada yang sudah rebah ke bumi, mungkin ditiup ribut. Dedalu sudah memanjat pagar. Rumput liar memenuhi pasu-pasu bunga. Saya menarik nafas panjang.

Dalam peti ais, ada 2 teko berisi teh O. Sayur-sayuran masih dalam bungkusan plastik. Sawi sudah berwarna kuning, kangkong sudah kering. Di atas kabinet dapur dan almari TV, terdapat beberapa cawan dan gelas kosong.

Hari ini saya menyediakan hidangan tengahari : asam pedas ikan kurau dan udang goreng butter. Sebaik saja gulai di atas dapur itu mendidih, Alum sudah menceduk kuah semangkuk kecil untuk di hirup. Sambil menceduk untuk kali kedua dia berkata : Ini baru masuk. Cukup garam, cukup asam.

Selepas makan, dua beranak yang kekenyangan itu tertidur di depan TV. Seorang terlelap di atas kerusi malas. Yang seorang lagi tergolek di atas karpet. Kira-kira jam 5:00 tadi Alum terjaga. Dengan mata yang masih sembab macam karipap dia berkata : Mak ni masak kuah taruh ubat tidur ke???

Sebentar tadi dia lalu di sini sambil mengintai-intai skrin dan bertanya : Mak taip apa tu? Saya menahan gelak sambil menjawab : Adalah cerita sikit...

3 comments:

  1. Assalammualaikum
    Hehehe...cutenya cerita ini.. Baru tau ya ditinggalkan mem dekat seminggu.

    ReplyDelete
  2. Alaikumsalam Mun,

    Saya tanya : best ke bini tak ada??? Dia geleng kepala. Saya tanya lagi : Best tak bini ada??? Dia angguk kepala. Hihihi!!!

    ReplyDelete