Saturday, November 8, 2008

What Inspires An Entrepreneur?

Zaid, murid tahun 1 menjadi ketua darjah di kelasnya. Selepas peperiksaan akhir tahun selesai, guru kelasnya membenarkan murid-murid membuat aktiviti bebas seperti membaca buku cerita, melukis dan bermain card games. Zaid dan teman-temannya sangat gembira kerana mereka tidak perlu membuat kerja sekolah.

Sebagai ketua darjah, Zaid bertugas memastikan teman-temannya tidak membuat bising ketika guru tiada di dalam kelas. “Hoi, jangan bisinglah,” sergah Zaid sambil bercekak pinggang tetapi seruannya tidak dihiraukan langsung oleh teman-temannya. Pipi Zaid yang tembam bertukar kemerah-merahan kerana menahan marah.

“Awak semua degil ya?” kata Zaid sambil membesarkan matanya. Dia segera mengambil buku nota kecil yang terselit di poket kemeja putihnya. Buku itu sudah hampir penuh bertulis nama-nama mereka yang melakukan berbagai kesalahan seperti bercakap kuat-kuat, menghentak-hentak meja dan berlari-lari di dalam kelas. Begitulah rutin harian Zaid di kelasnya pada minggu-minggu terakhir sebelum cuti sekolah bermula.

Pada suatu petang, Zaid mengikut ayahnya ke kedai buku. Di sana beliau ternampak kertas-kertas pelekat bergambar (kids sticker stamps). Zaid tertarik hati melihat kertas-kertas stickers itu lalu meminta ayahnya membelikan sebanyak 2 keping. Setiap keping berharga RM2 dan mengandungi 20 stickers. Pada keesokkan harinya, Zaid membawa 2 keping kertas stickers itu ke sekolah.

Sebagai ketua darjah, Zaid sering menjadi ikutan di kelasnya. Apabila mereka melihat Zaid menampal stickers di kotak pensel, teman-teman beliau mula tertarik hati. Mereka mengecek Zaid supaya menjual stickers itu tetapi Zaid enggan. Setelah puas dipujuk, akhirnya Zaid pun bersetuju. Soalnya ialah berapakah harga hendak jual sekeping sticker itu, fikir Zaid dalam hatinya.

“Oklah, saya akan jual kepada awak semua. Satu sticker saya jual 10 sen,” kata Zaid. Dalam beberapa minit sahaja Zaid sudah dikerumuni teman-temannya. “Zaid, saya mahu 1. Ini 10 sen,” kata Amin. “Zaid, saya mahu 2. Nah, ambil 20 sen,” kata Fendi pula. Ramai lagi yang berebut-rebut hendak membeli.

Apabila sampai giliran Anthony, dia pun berkata, “Zaid, saya mahu 5. Ambil ini 50 sen.” Mendengar Anthony mahu 5 stickers, Zaid sangat terkejut. “Amboi, banyaknya,” dia merungut kemudian berkata, “Kalau mahu 5, awak kena bayar RM1.” Tanpa berfikir panjang, Anthony menghulurkan RM1 dan mengambil 5 stickers daripada Zaid.

Melihat Anthony berjaya membeli 5 stickers, Chong menyeluk poket seluarnya dan mengeluarkan RM2. Beliau berkata, “Zaid, saya mahu 10.” Keadaan menjadi hingar-bingar. Teman-teman mereka bersorak apabila mendengar Zaid meminta RM2 daripada Chong. Melihat Chong berjaya mendapat 10 stickers, Chris pula meluru kepada Zaid sambil berkata, “Saya pun mahu 10. Ini RM2.”

Beberapa minit kemudian hampir kesemua stickers Zaid sudah terjual. Yang tinggal hanya beberapa stickers yang gambarnya kurang cantik. Ketika loceng berbunyi, Zaid segera mengumpul wang yang berlonggok di atas mejanya. Semuanya berjumlah RM8. Zaid memasukkan wang itu ke dalam poket kemejanya. Dia bergegas keluar dari kelas dan berlari menuju ke kereta ayahnya yang sedang menunggu di luar pagar sekolah.

Ayah Zaid terkejut melihat poket kemeja Zaid yang menggelembung. Belum pun sempat beliau bertanya Zaid sudah bersuara dengan tercungap-cungap, “Tadi saya jual stickers dengan kawan-kawan dan dapat RM8.” Mata Zaid bersinar-sinar sambil mengeluarkan wang dari poketnya. Sambung Zaid lagi, “Ayah, petang ini kita pergi beli stickers lagi ya. Esok saya mahu jual stickers yang baru pula.”

3 comments:

  1. Assalammualaikum
    Menarik entri ni Kak Lela. Saya dulu semasa di darjah 6 pun menjual t-shirt, sticker, buttons yang ada gambar peninju Muhamad Ali. Mak dan Bapa beri modal $50. Perniagaan tak sempat berkembang. Modal hanya dapat dipulangkan setelah bekerja. Semasa di Tingkatan 1 saya digelar budak baju Muhamad Ali. Hehehe...

    ReplyDelete
  2. Alaikumsalam.
    Nampaknya di usia muda lagi Mun sudah menceburi bisnes ya. Benih keusahawanan sudah tumbuh waktu itu di jiwamu. Boleh kongsikan dengan saya, apa yang mendorong minatmu itu?

    Seperti Si Zaid dalam entri ini, dia tidak tahu apa-apa pun tentang untung rugi, apa tah lagi tentang product pricing. Cuma yang pasti, dia merasa sangat seronok. Faktor seronok itulah yang mungkin menjadi pendorong Zaid ketika dia mengajak ayahnya membeli stickers baru.

    ReplyDelete
  3. Dalam kelas, saya menjual gula-gula 5 biji 20 sen, dipakejkan dalam plastik kecil.
    Sebelum guru masuk, rakan-rakan akan lempar 20 sen untuk dapat satu bungkus gula-gula.
    Jual beli akan berlangsung sebelum guru masuk ke kelas.Sangat seronok situasi itu.

    ReplyDelete