Monday, August 10, 2009

Expect The Unexpected!

Manusia hanya boleh merancang dan membuat persediaan sebaik mungkin. Namun apa yang bakal berlaku hanya Allah yang tahu. Di Seminar Peningkatan Daya Saing Usahawan Wanita yang berlangsung di MPC JB minggu lalu terjadi insiden di luar jangka. Bagi penceramah pro, mungkin tidak terasa apa-apa sangat. Bagi saya yang berdarah gemuruh, waduh... berpeluh dahiku apabila bekalan letrik tiba-tiba terputus!!!
Mujur giliran saya belum sampai waktu itu. Penceramah ketiga, Datuk Azlin Ahmad Shaharbi tenang sahaja menyampaikan ceramah beliau bertajuk Aspek Undang-Undang Menentukan Kejayaan Perniagaan. Para peserta memberi perhatian meski pun pendingin udara tidak berfungsi dan dewan hanya di sinari cahaya samar-samar daripada pintu-pintu yang dibuka. Saya tabik kepada mereka yang bersemangat menimba ilmu. Setiap peserta mendapat senaskah buku tulisan Datuk Azlin, Timbalan Presiden Peniagawati bertajuk Undang-Undang Untuk Usahawan. Buku berharga RM59.90 itu mengandungi banyak maklumat tentang aspek undang-undang yang releven dalam pengurusan bisnes dan wajar dimiliki sebagai rujukan.

Sambil menunggu giliran, saya bertawakkal kepada Allah. Tanpa mikrofon dan alat-bantu (slides & power-point) yang sudah disediakan, saya memikirkan apa perlu diubahsuai. Ketika saya terkomat-kamit membaca doa, tiba-tiba lampu-lampu dewan menyala semula. Alhamdulillah! Dewan riuh dengan sorakan dan tepukan. Mereka bertanya apa doa yang saya baca. Saya tersipu-sipu dan mengucap syukur kepada Allah. Di program ini, buku-buku saya terjual 30 naskah dan 14 naskah lagi buku tulisan Puan Ainon (Mendorong Diri Sendiri & Memulakan Bisnes Sendiri). Juga terjual buku tulisan Ashadi Zain (Rahsia Bisnes Isteri Nabi : Khadijah) dan buku Muslim Kelana (Menjadi Usahawan Sehebat Muhammad Bin Abdullah). Terima kasih kepada Tuan Syed Mohd Al Khafiez yang mengaturkan seorang pegawai MPC mengurus jualan buku-buku tersebut. Terima kasih juga kepada Dr. Rahmat Md. Smail, Pengarah MPC Wilayah Selatan yang sangat baik layanannya. Bagi para peserta seminar yang memerlukan khidmat coaching, silalah hubungi saya. Mohon maaf saya tidak berkesempatan menjawab penuh beberapa pertanyaan dikemukakan tempohari. Gambar bersama beberapa peserta, dari kanan : Dr. Rahmat Md. Smail, Dato' Hazimah Zainuddin (berbaju hijau) - Presiden Peniagawati, Puan Rosleena (bersut hitam) - MPC, Dato' Azlin - Timbalan Presiden Peniagawati dan Puan Noriah Ashari (bersut krim) - Pengarah Urusan Atikah's Songket.

No comments:

Post a Comment