Wednesday, July 1, 2009

Cerita Mas Cotek

Inilah kebun mas cotek kami.

Setelah dituai, daun-daun mas cotek dicuci dan
dibiarkan kering dengan panas matahari.

Daun-daun mas cotek yang sudah cukup kering dipek
dalam karung plastik. Setiap pek beratnya ialah 1 kg.
Sebahagian hasil tuaian yang sudah siap untuk dijual.
Saya menerima beberapa emel daripada pembaca blog ini yang ingin mendapatkan maklumat tentang penanaman mas cotek. Maka di entri kali ini saya kongsikan beberapa informasi yang mungkin berguna kepada pihak yang bertanya.

Seperti pernah saya ceritakan sebelum ini, saya dan suami menyertai program ladang kontrak anjuran Jabatan Pertanian Putrajaya pada tahun 2008. Kami menanam 300 batang pokok sahaja sebagai percubaan.

Kos keseluruhan yang kami belanjakan ialah RM3,600. Ini termasuk kos anak benih, tanah dan campurannya, polibeg, batu-bata (sebagai alas pokok), gaji pekerja serta baja organik. Pokok mas cotek hanya perlu disiram 3-4 hari sekali. Menjaganya agak mudah.

Oleh kerana kebun mas cotek kami ini terletak dalam dusun buah-buahan, pokok-pokok itu hidup subur dan rimbun tanpa banyak masaalah. Yang menimbulkan masaalah ialah 'perjanjian' ladang kontrak kami. Ia tidak menjadi!!!

Syarikat yang dilantik sebagai anchor tidak bersedia mengambil daun-daun kami seperti dijanjikan. Alasan diberi ialah mesin pengering daun belum sampai di kilangnya. Pokok-pokok yang sepatutnya dituai pada bulan Oktober, 2008 ditangguhkan penuaiannya ke bulan Disember, 2008.

Seterusnya ditangguhkan lagi ke Januari, 2009 dan kemudian dari bulan ke bulan sehinggalah ke hari ini. Ceritanya masih sama iaitu mesin pengering belum sampai lagi. Inilah realiti yang saya alami sendiri dengan menyertai program ladang kontrak. Ia tidaklah semudah yang diwar-warkan.

Entah di mana silapnya saya kurang jelas. Pihak Jabatan Pertanian Putrajaya juga terus senyap tanpa berita. Aduhai, ini memang kes hangat-hangat tahi ayam! Pantang nenek-moyang saya apabila orang buat kerja sekerat jalan seperti ini.

Melihat daun-daun mas cotek semakin lebat dan rimbun, kami pening kepala memikirkan apa hendak dibuat dengan pokok-pokok itu. Sahabat saya, Syimah yang juga menyertai program ladang kontrak ini hampir putus asa melihat pokok-pokoknya banyak mati kekeringan.

Beliau yang tidak menggaji pekerja mengurus pokok-pokok itu sendirian. Seperti saya, Syimah juga tidak tahu apa hendak dibuat dengan pokok-pokoknya sebanyak 500 batang itu. Aduhai, sungguh tidak di sangka program ladang kontrak anjuran Jabatan Pertanian boleh tersadai sekerat jalan!

Saya pernah terbaca kisah seorang pengusaha produk herba di akhbar. Antara produk yang beliau keluarkan ialah teh mas cotek dalam bentuk uncang dan kapsul. Paling menarik ialah ladang dan kilang beliau terletak di Melaka, hanya 6 km dari rumah saya.

Saya hubungi tauke herba itu yang dikenali sebagai Tuan Hj. Yaacob dan isterinya, Hajah Hairani untuk berunding. Kebetulan pada waktu ini mereka baru mendapat pesanan untuk membekal teh mas cotek sebanyak 150,000 uncang dan memerlukan daun-daun mas cotek untuk diproses. Alhamdulillah, Allah memberi jalan keluar kepada saya.

Tuaian kali pertama kami ialah 100 kg daun basah. Setelah dikeringkan beratnya menjadi 20 kg sahaja. Harga daun mas cotek kering ialah RM40 sekilogram. Tuan Hj. Yaacob membayar tunai RM800.

InsyaAllah dalam 3 bulan lagi, pokok-pokok kami boleh dituai semula. Saya bersyukur usaha kami tidaklah sia-sia. Sehingga entri ini ditulis, syarikat anchor di Batu Pahat masih belum menerima mesin pengering yang ditempah setahun lalu. Itu namanya sindrom menunggu buah tidak gugur!!!

Jika anda bertanya pendapat saya tentang prospek menyertai program ladang kontrak, jawapan saya begini :-

1. Saya fobia.
2. Ada kemungkinan jaminan yang dijanji indah khabar dari rupa.
3. Selidiki betul-betul sebelum melabur wang, masa dan tenaga.

6 comments:

  1. Assalammualaikum
    Kak Lela,
    Saya teringat seorang peserta bengkel yang kita hadiri tempohari. Dia ada ura-ura hendak menebang pokok-pokok duriannya yang berekar2 untuk menanam mas cotek ni...Saya harap tidak sampai jadi begitu.

    ReplyDelete
  2. 'Alaikumsalam Mun. Lama kita tidak bertemu. Harap Mun sihat. Saya kurang pasti sama ada peserta itu sudah menebang pokok-pokok duriannya dan menanam mas cotek. Jika ya, aduhai, saya pinjam tagline Nabil : Lu fikirlah sendiri!

    ReplyDelete
  3. salam puan norlela, saya tertarik hati dgn blog puan dan berminat utk mengetahui sedikit ttg daun mas cotek. jika sesuai, saya mau jalin hubungan perniagaan (nak beli daun mas cotek kering). mohon balasan ke emel saya, mjeff19@hotmail.com. terimakasih.

    ReplyDelete
  4. erm.. saya nak tanya sikit pasal mas cotek ni. cik ni tanam mas cotek untuk jual ke? sebab saya perlukan daun mas cotek untuk buat kajian tahun terakhir di universiti.. dan saya perlukan agak2 2kg daun ini ( berat daun basah, bukan yang sudah kering ). Kalau cik tak jual @ tahu siapa2 atau ada ladang lain yang menjualnya boleh lah rekemen saya ya. T.kasih.

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum cik....erm...perkara yang sama...saya memerlukan mas cotek kering untuk kajian di universiti saya...sekiranya cik ada menjual, mohon diberitahu bila boleh diambil...saya memerlukan 6kg kering..universiti saya terletak di lembah klang...saya tinggalkan no.tel saya: 0132966154

    ReplyDelete
    Replies
    1. owh ye...ni email saya: mnizaruddin88@gmail.com

      Delete