Baru-baru ini saya menerima emel daripada En. Abdullah Awang (nama samaran). Beliau meminta khidmat nasihat berhubung beberapa isu bisnes yang sedang dihadapinya. En. Abdullah menjalankan bisnes peruncitan bersama seorang rakan kongsi. Dalam emel itu beliau menulis panjang lebar, meluahkan masaalah prestasi bisnesnya yang mendatar dan tidak berkembang walau pun sudah 2 tahun diusahakan.
En. Abdullah bertanya beberapa soalan, antaranya : Bagaimana hendak majukan bisnes saya? Apa patut saya buat untuk menjana keuntungan? Hasil usaha saya setakat ini bagaikan tidak berbaloi, patutkah saya tutup sahaja bisnes ini? Perlukah saya berpindah ke lokasi baru? Bagaimana hendak mengatasi perasaan saya dan rakan kongsi yang selalu stres ketika ini?
Emel itu beliau sudahi dengan kata-kata berikut : Coach Norlela, saya berharap puan sudi membantu saya. Berilah pandangan dan cadangan puan bagaimana hendak menyelesaikan isu-isu yang saya bangkitkan. Bagaimana pun secara terus-terang saya beritahu terlebih dahulu, pada waktu ini saya tidak mampu hendak membayar khidmat puan.
Aduhai, saya dirundung rasa serba-salah setiap kali menerima emel seperti ini! Jika tidak bersedia membantu orang yang terdesak dan memerlukan bantuan, saya memberi gambaran seolah-olah faktor kewangan adalah penentu segala-galanya. Saya tidak tergamak berbuat begitu. Dalam menangani kes seperti En. Abdullah, saya akan mencadangkan seperti berikut :-
1. Saya senaraikan isu-isu dibangkitkan. Isu-isu itu biasanya saling kait-mengait. Namun ia perlu ditangani satu persatu.
2. Saya maklumkan bahawa saya boleh berikan sesi coaching secara pro-bono (tidak berbayar) bagi salah satu sahaja daripada isu-isu itu.
3. Saya akan meminta beliau memilih satu isu (biasanya yang paling mendesak) untuk dibincangkan.
2. Saya maklumkan bahawa saya boleh berikan sesi coaching secara pro-bono (tidak berbayar) bagi salah satu sahaja daripada isu-isu itu.
3. Saya akan meminta beliau memilih satu isu (biasanya yang paling mendesak) untuk dibincangkan.
Meski pun dibuat secara pro-bono, saya tetap mengikut prosedur sebelum memulakan sesi coaching iaitu dengan meminta pihak coachee membaca dan memahami dahulu semua peraturan ditetapkan dalam TOR (terms of reference). Antara syarat dalam kontrak coaching itu ialah berhubung dengan peranan pihak coach dan peranan pihak coachee.
Selain itu, kontrak itu juga menyentuh tentang menjaga hubungan profesional dan kerahsiaan, kesediaan coachee memberi komitmen dan bersikap terbuka ketika proses coaching dijalankan serta dia akan bertanggung-jawab ke atas tindakan-tindakan yang perlu diambil untuk mencapai matlamatnya.
Setahun jagung sebagai Business Coach, saya berjaya membina hubungan baik dengan beberapa orang coachee. Mereka mengguna khidmat saya ketika ini. Proses coaching dibuat dari masa ke masa melalui kiriman sms, telefon dan emel. Paling menyentuh hati, para coachee yang mendapat khidmat pro-bono saya mengirim hadiah berupa kain tudung sulaman tangan yang cantik dan keropok ikan tamban yang sedap. Kata pepatah Melayu, orang berbudi, kita berbahasa. Orang memberi, kita merasa. Semoga Allah murahkan rezeki mereka (dan rezeki saya) serta dimajukan bisnes-bisnes kecil yang sedang mereka usahakan, insyaAllah.
No comments:
Post a Comment