Saya pernah menulis beberapa entri di blog ini berhubung penanaman mas cotek yang diusahakan oleh suami saya sejak setahun lalu. Oleh kerana ini pertama kali menceburi bidang bisnes tani, Hj. Zainal mengambil keputusan untuk mencuba dahulu secara kecil-kecilan. Beliau menanam 300 batang pokok sahaja di tanah dusun kami dengan kos lebih-kurang RM3 ribu.
Sebelum memulakan penanaman, kami mengikuti beberapa siri kursus yang dianjurkan Jabatan Pertanian dan syarikat payung (yang terlibat dalam projek ladang kontrak ini). Kami semakin yakin dengan pokok herba ini apabila mengetahui khasiatnya bernilai tinggi. Ia hasil kajian saintifik oleh pihak MARDI yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Saya menerima beberapa emel daripada pembaca yang ingin tahu tentang prospek penanaman mas cotek secara ladang kontrak. Sesetengah pembaca yang mempunyai tanah berkeluasan 1 hingga 10 ekar sangat berminat untuk melabur dalam bidang ini. Di sini saya ingin berkongsi beberapa maklumat yang mungkin dapat membantu anda membuat pertimbangan.
Pokok-pokok kami kini berusia 10 bulan. Setakat ini tanaman ini belum pernah di tuai lagi. Tuaian pertama dijadualkan pada bulan Disember tahun lalu tetapi ditangguhkan beberapa kali kerana mesin pengering baru (yang ditempah) masih belum sampai di kilang syarikat payung. Mesin itu dijangka sampai pada bulan Febuari ini dan kami masih menunggu pengesahan daripada syarikat payung itu tentang tarikh tuaian yang baru.
Apa yang ingin saya katakan ialah, di peringkat awal kami berpendapat projek ladang kontrak lebih mudah kerana urusan pembelian sudah dijamin oleh syarikat payung. Hakikatnya tidaklah semudah itu. Oleh kerana kami tidak bergantung kepada projek ini sebagai sumber hasil, ia tidaklah menjadi isu besar. Bagaimana pula bagi mereka yang bergantung kepada hasil penanaman ini untuk menampung kehidupan?
Saya berpendapat jika anda ingin membuat pelaburan besar dalam bidang tanaman kontrak seperti ini, terlebih dahulu anda perlu mendapatkan kepastian tentang bagaimana pengurusan tuaian akan dibuat di ladang anda oleh syarikat payung. Kami sendiri sudah memastikan perkara ini tetapi beberapa faktor di luar jangka berlaku. Kebergantungan kepada syarikat payung semata-mata ada kesan sampingannya. Jika mereka tidak mengambil hasil tuaian itu, penanam tidak memperolehi hasil tanamannya.
Agak terlalu awal untuk saya mengatakan usaha bisnes tani ini tidak berbaloi. Bukan itu yang saya maksudkan di sini. Dengan percubaan secara kecil-kecilan itu banyak perkara yang dapat kami pelajari tentang penanaman herba istimewa ini. Kami juga berjaya menghasilkan anak-anak benih yang kini mendapat permintaan menggalakkan daripada pihak pelanggan. Jika anda perlukan anak-anak benih mas cotek spesis betina (jenis telinga kera), sila hubungi Hj. Zainal di talian : 019-6661466.
Pesan saya buat anda yang berminat dengan projek ladang kontrak, sebelum anda melabur eloklah dibuat kajian terperinci tentang kemampuan syarikat payung yang berurusan dengan kontrak anda itu. Kekadang apa yang kita dengar bukanlah maklumat yang tepat 100%! InsyaAllah saya akan maklumkan perkembangan projek mas cotek kami di entri yang lain.
No comments:
Post a Comment