Security Fencing : 'Welded Razor Mesh' & 'Concertina Barbed Tape' |
Siapalah kami tanpa mereka... Mereka yang saya maksudkan di sini ialah tim pekerja kami (di gudang dan di tapak projek). Mereka itu terdiri daripada Nordin (supervisor di tapak), Sham (supervisor di gudang), Hanif, Pak Sarip, Pak Andak, Pak Din dan 12 orang buruh kasar rakyat Bangladesh. Kekadang saya terfikir, apakah yang akan berlaku jika orang-orang jenis tahan lasak seperti mereka tidak ada di muka bumi ini. Yang pasti, besar kemungkinan Yuzuki Melaka Sdn. Bhd. tidak boleh menceburi bisnes pasang pagar.
Syukur Alhamdulillah, Allah telah menjadikan orang-orang seperti mereka yang diberiNya banyak kelebihan. Mereka bertenaga kuat, selesa bekerja di bawah panas matahari terik, tidak mudah demam atau selsema apabila ditimpa hujan ribut, tidak cerewet tentang makan minum dan boleh tidur lelap walau pun hanya dalam sebuah kotai yang berlantai papan dan beratap zink. Saya bersyukur kepada Allah kerana mendapat tim pekerja yang baik, cekap bekerja dan mudah bekerjasama.
Ketika musim hujan seperti sekarang, banyak masaalah timbul di tapak kerja seperti tanah runtuh dan pokok tumbang menimpa pagar yang sudah siap dipasang. Namun itu semua ibarat 'makan kacang goreng' sahaja bagi pekerja-pekerja kami. Sewaktu mengikut Zainal melawat tapak kerja baru-baru ini saya rasa seperti mahu pitam apabila berjalan kaki tidak sampai 300 meter. Mata saya berpinar-pinar dipanah matahari dan cepat-cepat saya masuk semula ke dalam Terrano. Saya lihat pekerja-pekerja kami berjalan lenggang-kangkong, bersahaja sahaja mereka mendaki bukit sambil memikul tiang-tiang besi dan mengalihkan batang-batang pokok yang tumbang.
Peranan pihak majikan dan pihak pekerja sama-sama penting dan kedua-dua belah pihak saling memerlukan satu sama lain. Apa yang boleh kami lakukan untuk pekerja-pekerja kami ialah memastikan gaji dan overtime mereka dikira dengan betul dan dibayar tepat pada masanya. Selain itu, keselamatan mereka di tempat kerja dijaga dan kebajikan mereka (yang mana wajar) diberikan perhatian. Yang pasti, pekerja-pekerja kami perlu dilayan dengan baik. Mereka perlu dihormati dan dihargai kerana tanpa mereka siapalah kami... Selebihnya saya serahkan kepada Allah. Allah sahajalah yang membalas budi-baik mereka, insyaAllah.
No comments:
Post a Comment