Showing posts with label karya Norlela Zubir. Show all posts
Showing posts with label karya Norlela Zubir. Show all posts

Thursday, September 25, 2008

Cerita Buku : Royalti & Ulang Cetak

Minggu lalu saya menerima 2 pucuk bingkisan daripada PTS. Bingkisan pertama berisi kad Hari Raya yang membariskan semua staf dan tim PTS. Aduhai, berseri-seri semuanya.

Bingkisan yang kedua berisi penyata kira-kira royalti bagi tahun berakhir 31 Disember, 2007 dan... ia juga beserta sekeping cek. Hmmm, saya sungguh gembira mendapat rezeki royalti ini menjelang Aidil Fitri. Tambahan lagi ini kali pertama saya mendapat royalti untuk kedua-dua buku saya yang terbit tahun lalu.

Saya panjatkan setinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t. Buat Puan Ainon Mohd. dan syarikat penerbitannya, PTS, saya juga ingin mengucapkan setinggi terima kasih. Sebagai penulis baru, saya sangat menghargai ketelusan PTS dalam menunjukkan jumlah jualan buku-buku saya dan cara royalti dikira.

Beberapa hari lalu pula saya mendapat e-mel daripada En. Nazrul Shamsuddin, Pengurus PTSPro. Beliau menyampaikan berita gembira buat saya. Menurutnya, buku saya bertajuk 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia telah dipilih oleh Perpustakaan Negara Malaysia bagi dibekalkan ke perpustakaan desa seluruh Malaysia. Jumlahnya ialah sebanyak 1,089 naskah. Menurut En. Nazrul lagi, PTS dalam proses hendak mengulang cetak buku saya itu.

Bagi anda semua yang sudah memiliki buku-buku saya, mudah-mudahan anda mendapat beberapa manafaat. Hmmm, jika anda sudi, berkunjunglah ke rumah saya pada cuti Aidil Fitri ini. InsyaAllah duit royalti saya ini cukup untuk kita pekena cendol!

Wednesday, August 6, 2008

Pengalaman Di Pesta Buku Selangor

Sejak menjadi penulis, sudah 4 kali saya terlibat dengan program buku (Book Talk dan Author Signing). Ia pengalaman mencabar buat seorang insan yang tebal sifat pemalunya seperti saya. Hmmm, masih teringat lagi bagaimana ketaqnya saya ketika berdiri di atas pentas sambil membicarakan buku-buku saya di pusat beli-belah Jusco Alpha Angle suatu ketika dulu...

Hampir seminggu menjelang program bicara buku pertama buat saya itu, saya tidak lena tidur. Jika dapat tidur pun, sekadar tidur-tidur ayam. Bukan sahaja tidur tidak lena, mandi pun macam tidak basah, makan pula terasa tiada selera.

Apabila acara itu sudah selesai saya merasa seperti terapung-apung di atas awan! Leganya hatiku bukan main. Bahkan ketika itu saya sudah mula berangan hendak buat sekali lagi (bercakap di atas pentas), hohoho! Hmmm, bagi saya, kejayaan menakluki rasa takut ibarat berjaya menakluki Gunung Everest.

Pengalaman kedua pula berlangsung di Mahkota Parade, Melaka. Meski pun sudah ada secubit pengalaman, perasaan gementar tetap mengganggu jiwaku. Namun semuanya saya harungi jua dengan nekad dan membuat muka selamba ketika duduk bercakap di atas pentas ditemani Pegawai Media PTS, En. Roslan Isa. Selepas acara itu, sekali lagi saya merasa seperti terapung-apung di atas awan. Aduhai!

Sifu saya, Puan Ainon Mohd., berkata : Tiada siapa pun yang tahu kita sedang takut jika kita pandai sembunyikan perasaan itu. Orang tidak akan tahu jika kita dapat mengawal bahasa badan (body language) seperti tertunduk-tunduk, tersipu-sipu dan menggelabah. Hmmm, sebenarnya saya tahu semua itu. Di usia 48 tahun ini memang banyak perkara yang saya sudah tahu. Cuma secara praktikalnya, saya masih perlu terus berusaha…

Minggu lalu di Pesta Buku Selangor, saya bertemu rakan penulis yang lebih senior, Tuan Sunthara Segar. Seperti saya, beliau juga terlibat dalam program Author Signing yang dianjurkan pihak PTS. Meski pun pertemuan itu singkat, saya dapat mempelajari beberapa perkara daripada Tuan Sunthara. Yang pertama sekali, beliau menunjukkan cara mempromosi buku. Saudara ingin tahu apa dilakukannya?

Hmmm, Tuan Sunthara sungguh peramah, dia menegur hampir semua pengunjung yang lalu-lalang di depan gerai PTS. Katanya : Saya penulis buku ini (sambil menunjukkan sederet bukunya kepada pengunjung itu). Wajahnya tersenyum manis. Seterusnya apabila pengunjung itu bertanya sesuatu, Tuan Sunthara menjawab : Oh, perkara itu ada saya tuliskan di bab 9. Encik baca di sini, tempat yang saya tandakan ini (sambil menunjukkan bab itu kepada orang yang bertanya).

Tuan Sunthara memang seorang jurujual yang profesional. Saya suka melihat dia membesar-besarkan matanya ketika bercakap. Dia tampak sungguh meyakinkan dan bersemangat. Dia mengajar saya lagi : Berikan kad nama Puan kepada pengunjung. Kadang-kadang mereka sekadar melihat-lihat dahulu dan tidak terus membeli buku kita. Jadi, kita berilah sedikit buah-tangan supaya boleh dibawanya pulang. Kad nama kita itu sangat penting, berikan kepada mereka supaya mereka teringatkan kita.

En. Sunthara bukan sahaja mempromosi buku-bukunya tetapi turut mempromosi buku-buku saya. Katanya kepada sekumpulan pengunjung wanita : Saudari-saudari mahu jadi usahawan? Baca buku ini (Kisah 50 Usahawan Wanita). Ini penulisnya, Puan Norlela Zubir. Yang lucunya saya secara tiba-tiba menjadi tersipu-sipu ketika seorang budak perempuan menghulurkan 2 buah buku kepada saya sambil meminta tandatangan : Ini untuk ibu saya. Namanya Puan Zurinah! Saya pun menandatangan buku-buku itu sambil diperhatikan Tuan Sunthara yang terus memanggil pengunjung lain.

Aduhai, waktu itu peluh saya merecik-recik keluar. Puas saya lap dengan tisu tetapi masih terus keluar lagi dan lagi. Saya sebenarnya terasa sangat malu, eh… bukan malu, tetapi darah gemuruh, hohoho! Tuan Sunthara terus mengusik saya : Puan sedang berpeluh, hahaha! Sabar, sabar, jangan panic, hahaha! Saya turut ketawa bersamanya.

Petang itu saya menyedari bahawa sebagai penulis saya perlu pandai menjual buku-buku saya. Bak kata Editor PTSPro, Tuan Aizat : Penulis perlu bekerjasama. Di PTS terdapat terlalu banyak buku untuk dipromosi. Jika penulis membantu promosi bukunya, tentulah lebih baik. Saya bersetuju dengan En. Aizat dan saya juga berterima kasih kepada Tuan Sunthara kerana mengajar saya menjadi seorang jurujual.

Saturday, August 2, 2008

Program Author Signing Di Pesta Buku Selangor

Anda dijemput hadir ke Pesta Buku Selangor yang berlangsung 25 Julai hingga 3 Ogos, 2008. Aturcara bagi penulis-penulis PTS bertemu pembaca seperti berikut :-









Tarikh: 2 Ogos 2008 (Sabtu)

Penulis: Nuriazam Ismail, Serunai Fakir, Ainin Naufal, Faizal Dzasrik, dan Muhammad Alif Redzuan
Masa: 1.00 – 2.00 petang
Deskripsi: PTS menjemput ibu bapa supaya membawa anak-anak menyertai game win lose or draw. Mereka berpeluang bersama dan bergembira dengan penulis remaja popular. Hubungi En. Nazri, 016-661 1940 bagi maklumat lanjut. Semua dijemput hadir.

Penulis: Dr. Tengku Asmadi Tengku Mohamad
Masa: 2.00 – 3.00 petang
Buku: Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif
Deskripsi: Penulis best seller Motivasi Alihan Pelajar memberi motivasi berguna cara memotivasikan anak. Temui Presiden TAMRIN ini bagi bertanya berkenaan cara mengurus anak supaya belajar secara bijak. Hubungi Cik Siti Nor Fadilah Saleh, 016-661 1764 bagi maklumat lanjut. Semua dijemput hadir.

Penulis-Penulis Lain:
Bahtera Nabi Nuh: Saridah Hamid
Rahsia Melabur dalam Unit Amanah: Sunthara Segar (12:00 tgh – 1:00 ptg)
50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia: Norlela Zubir (1:00 ptg – 2:00 ptg)
Salju Sakinah: Zaid Akhtar

Tarikh: 3 Ogos (Ahad)

Dunia Ini Sederhana Kecil: Baharuddin Bekri
Ini Suatu Cerita: Faizal Dzasrik

Thursday, July 31, 2008

Program Author Signing Di Pesta Buku Malaysia

Anda dijemput hadir ke Pesta Buku Malaysia 2008 di PWTC, Kuala Lumpur bermula 31 Julai hingga 3 Ogos, 2008. Aturcara bagi penulis-penulis PTS bertemu pembaca seperti berikut :-






31 Julai (Khamis)
Rahsia Mengurus Insurans Hayat: Sunthara Segar (12:00 tgh – 1:00 ptg)
PDA untuk Mesyuarat Berkesan: Ahmad Fadzli Yusof & Amin Idris (1:00 ptg – 2:00 ptg)
Islam yang Mudah: Alias Othman & Anisah Abd Ghani (2:00 ptg – 3:00 ptg)
50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia: Norlela Zubir (3:00 ptg – 4:00 ptg)


1 Ogos (Jumaat)
Rahsia Melabur dalam Unit Amanah: Sunthara Segar
Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif: Dr. Tengku Asmadi


2 Ogos (Sabtu)
Panduan Menjadi Ibu Bapa Cemerlang: Saat Sulaiman
Kusyi Hirdan, Hani Ismail, Fred Suriya & Amir Husaini


3 Ogos (Ahad)
10 Sahabat yang Dijanjikan Syurga: Saridah Hamid
Hadiah untuk Pengantin: Wan Shuhairi Wan Muhammad
Rahsia Islam di China: Ann Wan Seng
Salju Sakinah: Zaid Akhtar
Hanya Tuhan yang Tahu: A. Razak Adam
Makan Gaji Tetapi Kaya: Shamsuddin Abdul Kadir
Tarik Kekayaan dengan Kuasa Minda: Amar Mahmood

Tuesday, May 13, 2008

Buku PTS Edisi Indonesia

(Entri ini dipetik daripada blog Puan Sifu)

"FAMILLIONAIRE!" adalah buku terbaru PTS yang diterbitkan semula di Jakarta sebagai edisi Indonesia.

Sampai hari ini PTS sudah melesenkan 56 judul buku-buku karangan penulis-penulis PTS kepada penerbit-penerbit Indonesia.

Namun masih banyak kedengaran pengarang dan penerbit Malaysia yang mengeluh-ngeluh mengatakan negara Indonesia tidak melayan buku-buku Malaysia dengan baik.

Ini buku pertama karangan Puan Norlela Zubir, tetapi buku ini sudah berjaya menarik minat PT Hikmah

PT HIKMAH adalah anak syarikat milik penuh MIZAN GROUP, penerbit kedua terbesar di Indonesia, selepas PT GRAMEDIA.

PT GRAMEDIA juga melesen buku-buku PTS.

Puan Norlela adalah contoh bagaimana buku tulisan pengarang baru yang belum terkenal pun sudah berjaya dipilih oleh penerbit Indonesia bagi diterbitkan semula untuk pasaran negara itu.

Justeru, penulis-penulis Malaysia perlu mengetahui ciri-ciri buku yang menarik minat penerbit Indonesia.

Kandungan buku mesti bersifat export-ready, barulah buku itu ada peluang dapat diekspot.

Banyak buku pengarang Malaysia yang hanya dapat di jual dalam pasaran tempatan sahaja kerana isu-isu yang dikupas dalam buku-buku itu adalah isu-isu yang terlalu lokal sifatnya.

Dalam perjanjian pelesenan antara PTS dan penerbit-penerbit Indonesia itu, mereka dibenarkan menukar judul asal buku dan melakukan editing pada teks supaya sesuai dengan Bahasa Indonesia dan citarasa pasaran Indonesia.

Pasaran Indonesia adalah Laut Biru bagi penulis dan penerbit Malaysia. Laut Biru ini luar biasa besarnya dibandingkan dengan pasaran dalam negeri kita di Malaysia.

Buku terlaris PTS, Rahsia Bisnes Orang Cina karya Ann Wan Seng, terjual 10 ribu naskhah setahun di Malaysia, tetapi buku itu terjual 30 ribu unit di Indonesia dalam masa 2 bulan selepas masuk pasaran.

Isunya sekarang adalah penerbit Malaysia mesti sangup melaburkan wang mempromosi buku-buku terbitan mereka kepada penerbit-penerbit Indonesia supaya mereka berminat melesen buku-buku itu bagi diterbitkan semula sebagai edisi Indonesia.

Wednesday, May 7, 2008

Famillionaire!


Pagi semalam saya menerima panggilan telefon daripada Editor Pengurusan PTS Pro, Cik Rozita Abdul Razak. Beliau memberitahu akan mengirim 5 naskah buku berkulit kuning kepada saya dengan poslaju.

Famillionaire!
adalah tajuk buku itu. Ia adalah versi Indonesia bagi buku pertama saya yang bertajuk asal Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya.

Buku itu yang sudah dilesenkan oleh pihak PTS diterbitkan semula di Indonesia oleh Syarikat Hikmah (PT Mizan Publika). Penterjemahnya ialah Edy Sembodo. Khabarnya buku itu baru sahaja berada di pasaran sana.

Saya sempat membaca beberapa muka surat buku Famillionaire! Bagi saya Edy Sembodo melakukan terjemahan yang bagus. Seronok pula saya membacanya. Ya, sesetengah ayat berbunyi agak lucu, contohnya : bermental tempe, di bawah satu atap dan ibarat orang mengendarai mobil dengan ban bocor...

Buat Puan Ainon Mohd. yang dikasihi, terima kasih di atas usaha Puan sehingga berjaya melesenkan buku saya ini. Begitu juga kepada tim PTS yang telah mempromosi buku ini disamping buku-buku terbitan PTS yang lain. Budibaik Puan dan tim PTS sentiasa dikenang. Saya rasa tambah bersemangat hendak menyiapkan buku baru!

Friday, February 8, 2008

Karya Norlela Zubir


Ini merupakan buku pertama dan kedua yang berjaya saya hasilkan melalui bimbingan Sifu PTS.

Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya merupakan pendedahan eksklusif pengurusan bisnes keluarga, memaparkan senario sebenar serta cabaran yang acap kali berulang. Alhamdulillah, buku ini berjaya dilesenkan untuk penerbitan di Jakarka bersama lebih banyak buku-buku lain di bawah naungan PTS.

50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia mewakili kisah semua kaum wanita yang gigih dan berani meneroka bidang keusahawanan. Setiap usahawan yang diceritakan menyimpan kisah istimewa bagaimana membangun dan mempertahankan bisnes masing-masing. Pengalaman mereka diharap menjadi pendorong dan pembakar semangat, selain menjadi model untuk diteladani.

Buku-buku ini berharga RM18 setiap satu dan boleh dibeli di kedai-kedai buku, antaranya di Popular dan MPH dan secara on-line di BookCafe dan e-Kedai.net.

Anda juga boleh memesan terus kepada saya: norlelazubir@yahoo.com atau hubungi talian : 019-6562540.

Saya mengharapkan maklum balas anda bagi tujuan penambahbaikan karya. Selamat Membaca!

Ulasan Buku Di Utusan Malaysia











Ulasan buku 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia di Utusan Malaysia semalam, Khamis, 7 Febuari, 2008. Terima kasih kepada pengulas, Noraini Abd. Razak.

Wednesday, January 16, 2008

Rencana Di MHI

Terima kasih diucapkan kepada Datuk Lugiman Abu Seman dan En. Mohd. Hafizam Mustaffa, dari Pusat Khidmat Perusahaan Kecil & Sederhana (PKPKS) Melaka, yang membuka ruang untuk saya menulis di akhbar MHI. Rencana pertama bertajuk Membaca, mendengar sumber ilmu dalam bisnes tersiar Ahad lalu, pada Januari 13, 2008. Kandungan penuhnya seperti berikut :-

Kerjaya sebagai usahawan semakin popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Ia bukan sahaja menjadi pilihan golongan muda seperti lepasan universiti dan kolej, malah turut di minati golongan lebih berusia, contohnya mereka yang memilih untuk bersara awal atau pun mereka yang sudah bosan untuk bekerja makan gaji.

Sejak dahulu sehingga kini pihak kerajaan terus menyediakan berbagai bantuan dan kemudahan untuk membantu mereka yang menceburi bisnes. Dengan dorongan dan sokongan yang diberikan itu dijangka bertambah ramai lagi yang akan menjadi usahawan di masa hadapan. Perkembangan yang sihat ini sangat menepati hasrat kerajaan untuk meramaikan masyarakat perdagangan di negara kita.

Bagi mereka yang baru menceburi bisnes, banyak perkara yang perlu diketahui. Sebagaimana bidang-bidang lain, untuk mengurus bisnes kita memerlukan berbagai ilmu. Sebagai pemilik bisnes kitalah perancang utama yang menentukan berbagai keputusan. Kita ibarat pilot pesawat terbang atau kepten kapal yang perlu menentukan halatuju bisnes yang dikendalikan.

Di dalam apa jua jenis bisnes, hampir setiap masa kita perlu membuat keputusan-keputusan penting dan pastinya memerlukan maklumat yang betul. Secara logiknya keputusan yang tepat akan membawa impak baik dan positif kepada bisnes kita. Sementara keputusan sebaliknya boleh membawa impak buruk dan negatif, malah mungkin juga bencana besar.

Di manakah kita boleh mendapat ilmu dan maklumat bagi membantu kita membuat keputusan? Sukarkah untuk mendapatkan ilmu dan maklumat bisnes itu? Sebenarnya terdapat banyak sumber di sekeliling kita yang boleh dimanafaatkan. Salah satu cara yang mudah dan praktikal ialah membaca buku-buku bisnes dan bahan bacaan yang berkaitan di akhbar atau majalah. Di pasaran kini terdapat banyak bahan bacaan yang boleh menambah pengetahuan kita dalam bisnes.

Sebagai usahawan, sama ada masih baru atau pun sudah lama menceburi bisnes, kita perlu rajin membaca. Jadikanlah membaca satu hobi kerana secara tidak langsung kita menambah banyak maklumat berguna. Peruntukkan sedikit wang setiap bulan untuk melabur dalam buku-buku bisnes dan carilah bahan bacaan yang mudah difahami. Percayalah, sambil membaca banyak ilmu boleh diceduk bagi membantu kita mengendalikan berbagai isu bisnes.

Selain membaca, satu lagi cara yang praktikal ialah dengan mendengar pengalaman orang lain. Apabila kita bertanya kepada mereka yang sudah lama berniaga, biasanya masing-masing akan berkongsi berbagai cerita VSS iaitu VERY SUCCESSFUL STORIES dan VERY SAD STORIES. Bagi anda yang ingin mengetahui realiti dunia bisnes, dengarlah kedua-dua versi cerita kejayaan dan kegagalan itu tanpa rasa prejudis.

Hampir semua usahawan yang sudah berjaya pernah menempuh kegagalan. Itulah hakikat yang perlu kita terima sebagai orang bisnes. Apabila kita banyak mendengar pengalaman orang lain tentang cerita jatuh-bangun dan suka-duka dalam bisnes, secara tidak langsung kita lebih bersedia menghadapi kemungkinan gagal dan akan lebih berhati-hati. Jangan sekali-kali memandang rendah kepada mereka yang pernah gagal. Ambillah pengalaman mereka sebagai iktibar dan pengajaran.

Apakah yang boleh kita perolehi dengan mendengar pengalaman bisnes orang lain? Sebenarnya banyak yang boleh kita dapat hanya dengan mendengar. Dalam kisah-kisah orang bisnes biasanya ada petua, pesanan, tip, strategi, contoh berkesan, contoh tidak berkesan, solusi, jalan keluar, idea, ilham dan 1001 macam lagi. Percayalah, tidak rugi kita banyak mendengar. Malah cara ini boleh menambah input bagi membantu kita menyelesaikan berbagai isu.

Bukan semua yang kita baca atau dengar boleh digunakan 100%. Mana-mana yang baik dan sesuai bolehlah kita tiru bulat-bulat. Atau pun kita kaji semula dan ubahsuai di mana yang perlu. Bagi bisnes kita, kitalah yang lebih tahu apa yang boleh dan tidak boleh dibuat. Kata orang, mengukur baju biarlah di badan sendiri. Sekurang-kurangnya dengan mendengar pengalaman orang lain, otak kita terangsang untuk berfikir dan besar kemungkinan dapat mencetuskan ilham lebih baik.

Amatlah rugi andainya kita terus mengulangi kesilapan-kesilapan yang orang lain pernah lakukan dalam bisnes mereka hanya kerana kita tidak peka. Maklumat-maklumat itu sudah tertulis dalam berbagai buku dan bahan bacaan atau pun sudah kerap diceritakan orang tetapi kita tidak membaca dan mendengar dan kerana itu kita tidak tahu. Ingatlah, sebagai orang bisnes kita tidak boleh bersikap naïve atau lurus bendul. Kita perlu peka dan banyak mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita.

Wednesday, January 9, 2008

Buku Baru 2008

Tahun ini, insyaAllah, saya bertekad mahu menyiapkan 2 buah buku. Kedua-duanya masih buku berkaitan bisnes dan pengurusan. Sepatutnya buku ke3 saya sudah siap pada 31 Disember, 2007 yang lalu. Malangnya ia masih belum selesai, masih lagi separuh jalan. Puncanya kerana saya memulakan buku ke4 pula ketika sedang menulis buku yang ke3.

Saya perlu berbincang semula dengan En. Roslan, editor PTSPro, berhubung tarikh siap yang baru bagi buku ke3 dan memaklumkan kepadanya sinopsis buku ke4. Buku baru itu saya mulakan tanpa pengetahuannya. Secara tiba-tiba saya terasa ingin menulisnya dan terus saya mulakan sehingga penulisan buku ke3 tertangguh.

Ah, mungkin saya ini mentee yang tidak mendengar nasihat Puan Sifu kerana tidak menggunakan teknik KJ Method sepenuhnya dan masih menulis ikut mood. Tugasan di pejabat bukanlah puncanya. Entahlah, mungkin saya menyibukkan diri dengan aktiviti lain seperti kursus dan etc etc. Ah, saya memang pandai mencari alasan mengapa buku saya belum siap ditulis.

Buku ke3 saya bertajuk Bagaimana Menghargai Pekerja Anda. Buku ke4 pula belum bertajuk. Ia berkaitan Kemahiran Praktikal Bagi Bisnes Kecil & Sederhana. Saya teruja menulisnya kerana beberapa orang yang saya kenali membuka bisnes kecil masing-masing sepanjang tahun lalu. Secara tidak langsung banyak perkara yang mendorong saya untuk menulis buku ke4 itu.

Saya masih memikirkan bagaimana hendak menulis beberapa buah buku serentak. Melihat buku Pak Latip (Abdul Latip Talib) yang terbit satu demi satu (berderet-deret) tahun lalu, saya benar-benar kagum dengan semangatnya. Pak Latip begitu konsisten menulis. Novel terbaru beliau yang sedang saya baca kini ialah kisah Si Bongkok Tanjung Puteri. Novelnya, Salahudin Penakluk Jerusalem juga sudah saya baca.

Saya juga berhasrat menulis buku-buku di luar bidang saya seperti novel remaja. Sebelum itu saya perlu banyak membaca novel-novel yang bagus. Pesan Puan Sifu, untuk menghasilkan novel yang bermutu, penulis perlu membiasakan dirinya membaca karya-karya yang bagus yang mempunyai ciri-ciri evergreen, menggunakan Bahasa Melayu Tinggi, mengandungi unsur-unsur budaya dan sejarah serta dapat memandaikan bangsa.

Aduh, saya bukan seorang peminat novel. Namun akhir-akhir ini saya sudah membaca beberapa karya penulis-penulis yang hebat seperti Ayat-Ayat Cinta (Habiburrahman El Shirazy), Laskar Pelangi (Andre Hirata), Jibam (Ujang) dan terbaru, Surat-Surat Perempuan Johor (Faisal Tehrani) dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (Pak Hamka).

Sunday, January 6, 2008

Self-Audit

Sifu saya, Puan Ainon Mohd. bijak orangnya. Dia dapat 'membaca' apa yang sedang bermain-main di fikiran mentee-menteenya (termasuk saya). Di sini saya memetik 2 nota kuliah beliau yang tersiar di blog UNIKA beberapa hari lalu, antara lain bermaksud...

1. Ramai di antara kita suka membuat self-audit. Apabila keterlaluan ia menjadi penyekat kejayaan. Ramai di antara kita sering meragui kebolehan sendiri. Orang tidak mengata sangat tetapi kita yang terover mengkritik diri sendiri.

2. Kita menulis bagi memandaikan bangsa. Jangan pedulikan orang pandai-pandai lain. Mereka itu sudah pandai-pandai belaka. Buku-buku PTS bukan ditulis bagi bacaan mereka, sebaliknya untuk orang-orang yang belum begitu pandai dalam sesuatu bidang ilmu.

Meski pun sudah menghasilkan dua buah buku, perasaan meragui kebolehan diri sesekali mengetuk pintu hati saya. Contohnya ketika beberapa orang daripada kalangan mereka yang berkelulusan tinggi menyatakan hasrat ingin memiliki buku-buku saya. Mulut ini tanpa sengaja berkata : Apabila membaca buku-buku ini, jangan lupa penulisnya tidak bersekolah tinggi!!!

Entah mengapa saya berkata demikian. Sedangkan saya sendiri tahu bukanlah mudah untuk menghasilkan sesebuah buku. Menulis adalah satu tugasan yang berat dan memerlukan daya fikiran serta disiplin. Bukanlah mudah hendak menghasilkan sesebuah karya seandainya kita tidak benar-benar minat dan serius menulis.

Bagi sesetengah orang, kata-kata saya itu menandakan perasaan seorang yang merendah diri. Ya, itu memang benar. Namun hakikatnya di luar sedar saya kadangkala cenderung membandingkan diri dengan mereka yang berkelulusan sarjana dan Ph.D. Terselit rasa bimbang di sudut hati andainya hasil tulisan saya dinilai secara negatif.

Sebenarnya mereka itu tidak pun memandang rendah, malah menghormati dan merasakan pengalaman saya dalam bisnes selama beberapa tahun memberi autoriti untuk saya menulis dalam bidang yang saya ceburi ini.

Saturday, November 3, 2007

30 Usahawan Wanita Gemilang


Majalah Dewan Ekonomi keluaran November, 2007 menyiarkan rencana saya yang dipetik daripada buku '50 Kisah Usahawan Wanita'.

Menurut En. Azli, editor DE, hanya 30 usahawan yang dipilihnya untuk dipaparkan di muka surat 16 hingga 21 kerana yang 20 lagi tiada gambar.

Terdapat typing error pada ejaan nama Puan Nafisah Radin (ditulis Nafusah Radin). Saya mohon maaf bagi pihak DE.

Rencana ini hanyalah catitan ringkas. Untuk membaca kisah penuh usahawan-usahawan itu, dapatkan buku '50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia' yang akan berada di pasaran dalam masa terdekat. Selamat membaca!

Tuesday, August 28, 2007

Gambar Minggu Lalu

Gambar di kiri, saya bersama Puan Ainon (Sifu PTS) dan Puan Maimun Simun atau Mun (Sifu MMU Melaka).

"Buat lawak pun tak pandai, macam mana nak buat skrip animasi ni?" Puan Ainon mengusik kami.

Kisah mitos 4 ekor naga berlawan dengan anaconda berkepala 7, kemudian jatuh ke lautan dalam dan semangat menyerap ke qalbu 4 super hero Asia : jaguh ninja, jaguh kungfu, jaguh tomoi dan jaguh silat. Mereka diseru bertemu sang puteri di Tasik Cini...

Puan Sifu, saya sudah mula tengok Sinchan, Doraemon, Jojo, Power Rangers... Mahu cari ilham... hehehe!

Monday, August 27, 2007

Hi-Tea With Local Authors

Petang Sabtu, 25 Ogos, 2007, saya menghadiri program minum petang bersama penulis tempatan anjuran MPH. Acara diadakan di Booker Room, MPH Megastore 1 Utama. Ia sebahagian daripada kempen 'Support Malaysian Writers' yang bertujuan menghargai hasil kerja penulis-penulis Malaysia.

Antara yang hadir ialah CEO MPH, Dato' Ng Tieh Chuan, Datuk Zaid Ibrahim (saya lupa nama buku beliau yang baru terbit), Rehman Rashid (A Malaysian Journey), Billi Lim (Dare To Fail), Dr. Rozieta Shaari (Raising Happy Kids), Lee Su Kim (Malaysian Flavours & Manglish), Bridget Menezes (Self-Empowerment) dan ramai lagi.

Acara utama program ialah forum membincangkan tajuk : The direction of the local book industry in the next 10 years. Ahli-ahli panel antaranya Dato' Ng, Puan Nisah Harun (peguam, penulis & pemilik Ujana Ilmu) dan Sharon Bakar.

Antara penulis-penulis PTS yang hadir selain saya ialah En. Shamsuddin Abdul Kadir (Hidup Tenang Walaupun Berhutang), Puan Saridah Abd. Hamid (Bahtera Nabi Nuh dan Kisah-Kisah Lain) dan En. Hashim Ali (Pelaburan Hitam).

Sebahagian penulis yang hadir menerbitkan buku mereka sendiri dan menghadapi isu pengedaran (di mana buku yang habis tidak di'replenish' dll.). Juga dibincangkan isu penjualan buku secara 'on-line' ke luar negara di mana harga buku mungkin RM20 tetapi kos penghantaran menjangkau RM200 ke RM600, menjadikan ia terlalu mahal.

MPH sendiri menghadapi dilema itu dan mencadangkan penubuhan 'guild' penulis untuk menangani isu tersebut bersama. Isu lain dibincang ialah harga buku-buku dijual lebih mahal di premis tertentu seperti di KLIA atau Amazon.com (dalam USD) tetapi royalti masih dibayar mengikut harga runcit biasa dalam RM.

Turut dibincangkan isu hakcipta untuk buku-buku tempatan yang diterjemahkan ke bahasa asing. Mr. Ng menggalak penulis-penulis berfikir secara global supaya buku-buku keluaran tempatan dapat diekspot. Puan Nisah Haron menasihati penulis membaca dan memahami dokumen perjanjian dengan penerbit sebelum menandatangan.

Sebagai penulis baru, saya berpuas hati melihat buku 'Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya' turut dipamerkan di ruangan promosi. Juga saya merasa amat berterima-kasih kepada PTS kerana mengiklan buku saya itu bersama beberapa buku lain (satu muka surat penuh) dalam MPH Quill, Issue 15 (Aug-Sept '07) iaitu majalah buku keluaran MPH.

Tatkala bertemu Puan Nisah Haron, saya bertanya mengapa buku saya tidak dijual di Ujana Ilmu (kedai buku online miliknya). Beliau tergelak-gelak kerana katanya buku-buku PTS terlalu banyak. Sambil itu beliau menuding kepada suaminya... "Tanya pada dia ni, Puan. Dia ni yang urus hal buku." Suaminya terpinga-pinga!!!

Thursday, August 2, 2007

Ulasan Buku Di Milenia Muslim



Ulasan buku Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya
di muka surat 63 majalah Milenia Muslim keluaran Ogos, 2007.

Tuesday, July 17, 2007

Topik-topik 'taboo' dalam buku bBKb

Assalamualaikum.

Dalam buku 'Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya' anda dapat membaca banyak topik tentang perkara-perkara yang dianggap 'taboo' atau 'pantang' dalam bisnes keluarga untuk dibincang secara terbuka.

Bagi sesetengah orang, topik-topik 'taboo' itu dianggap mengaibkan diri sendiri apabila didedahkan. Namun saya mendapat banyak maklum-balas yang positif daripada para pembaca yang merasakan buku itu meluahkan rasa hati mereka. Buku itu ibarat jurucakap bagi mereka yang hendak menegur tapi takut menyinggung perasaan.

Walau apa pun, tepuk dada tanyalah selera sendiri. Jika sesuai bagi anda, ambillah. Jika tidak bersetuju, tidak usah ikut. Yang baik jadikan teladan. Yang sebaliknya, buat iktibar.