Selepas program Bicara Penulis Ahad lalu, hati saya terasa senang sekali. Mungkin kerana berjaya berdiri selama 1 jam di atas pentas (dalam sebuah pusat beli-belah yang penuh dengan pengunjung) membicarakan buku-buku hasil karya sendiri, amat terkesan di hati saya satu perasaan bahawa sebagai seorang penulis memang sewajarnya saya yang membicarakan isi kandungan buku-buku saya supaya bakal-bakal pembaca tahu apa yang menarik terkandung di dalamnya.
Pada mulanya memang saya terasa amat jeran, saya bagaikan pening-pening lalat memikirkan program Bicara Penulis itu. Saya membuat keputusan untuk hadir sehari awal iaitu pada hari Sabtu untuk melihat sendiri bagaimana 2 rakan penulis, En. Shamsuddin Abd. Kadir dan En. Zamri Mohamed membicarakan buku-buku mereka.
Aduhai, kecut hati saya tatkala melihat En. Roslan (tepat pada pukul 1:50 petang) naik ke pentas dan mengalu-alukan kedatangan para pelanggan ke Centre Court kerana acara akan bermula. Dia terus menjemput para pelanggan walau pun panggilannya seperti tidak dihiraukan orang. En. Roslan memang bold. Dia dengan bersahaja terus berceloteh memperkenalkan penulis-penulis yang akan mengambil bahagian.
Tepat jam 2 petang En. Shamsuddin naik ke atas pentas. Masa 1 jam yang diberi dipergunakan 100% untuk bercakap tentang buku beliau. Dia memang bersemangat dan saya mengurut dada 2-3 kali sambil memikirkan giliran saya di esok hari. Hati berkata-kata : Akak takut... Akak ketaq sangat... Akak nak balik Melaka... Akak nak ambil MC... Tolong sama gua, tolong! Gua takut!
En. Zamri Mohamed lagi candi orangnya. Seronok pula saya melihat telatahnya di atas pentas. Anak muda berusia 26 tahun itu benar-benar mempromosi buku-buku beliau sampai hampir terlajak masa sejam itu. Aduhai, dari mana mereka ini dapat semangat yang begitu kental.
En. Roslan, Cik Rozita, En. Zain dan tim PTS yang lain, mereka memang best. Saling bekerjasama menukar banting/poster dan buku-buku yang dipamerkan apabila pentas berganti penulis. Saya sangat suka dengan semangat mereka : rajin, proaktif, cekap, bold.
Malam itu saya dan Zainal menginap di Hotel De Palma. Sesungguhnya saya sangat teruja dengan semangat rakan-rakan penulis dan tim PTS. Saya berkata kepada diri sendiri : Norlela, jangan lepaskan peluang ini. Just do it! Malam itu saya berehat secukupnya. Hati saya tidak putus2 berdoa kepada Allah : Ya Tuhanku, berilah aku kekuatan...
Dipendekkan cerita, esoknya saya tunaikan solat dhuha, kemudian solat jamak zohor dan asar sebelum check-out jam 1:20 petang. Setibanya di Alpha Angle, perasaan saya masih tenang. Saya tersenyum melihat banting/poster dengan gambar saya sudah siap terpasang di atas pentas. Dan Alhamdulillah, semuanya dapat saya tempohi dengan baik.
Gelodak hati saya hilang terus sebaik saja saya membulatkan hati bahawa saya tidak akan turun daripada pentas melainkan jarum jam sudah mencecah pukul 3 petang. Seperti saya katakan di entri sebelum ini, Zainal memberi saya gred C+ saja.
Dia kata : Lain kali jangan menjerit, apabila suara you serak, bunyinya tak best... oppsss... best juga... tapi tak berapa best, hehehe!
Jawab saya : Hmmm, apa-apa ajelah. Yang penting I sudah merdeka. Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Untuk makluman anda, ketika bercakap di atas pentas, saya dapat menangkap beberapa pasang mata yang tekun mendengar bicara saya. Antara mereka itu ada yang duduk di kerusi, ada yang bersandar di rak buku, ada yang sedang memilih buku... Mereka mendengar dan memandang ke arah saya sambil mengangguk dan dengan sendiri saya sedar, memang ada orang yang mendengar dan memberi perhatian.
Kami balik ke Melaka kira-kira jam 5:00 petang. Itulah pengalaman pertama saya. Akhirkata, terima kasih kepada PTS kerana memberi peluang ini kepada saya. Buatlah acara begini lagi kerana saya pasti akan memberi kerjasama penuh. Secara peribadi, ia sudah menyuntik semangat yang tinggi kepada saya dan insyaAllah saya mahu melakukannya berkali-kali lagi dengan lebih baik. Akak sudah berani, hehehe!!!
Tahniah puan! Saya pula yang rasa cemburu pada puan.
ReplyDeleteAssalamualaikum Tuan Anuar,
ReplyDeleteApa khabar orang Dewan Bahasa? Alahai, usahlah cemburu!!! Tuan yang banyak membantu saya. Masakan dapat saya lupa editor yang pertama sekali saya temui di PTS. Budi tuan sentiasa dikenang...