Thursday, August 9, 2007

Fire Walk

Kawan saya, Kay, mengajak pergi ke seminar UPW 2003. UPW adalah singkatan bagi Unleash the Power Within. Saya sudah lama mengenali Anthony Robbins, maksud saya melalui buku-bukunya, Unlimited Power dan Awaken The Giant Within. Tony pakar motivasi yang hebat. Saya teringin belajar sesuatu daripada dia.

Semasa mendaftar di stadium pukul 3:00 petang, saya dipakaikan gelang hijau muda oleh petugas seminar. Di gelang plastik itu tertera nombor bangku saya, L2/J/6. Kay terpisah agak jauh, dia di barisan belakang. Duduk berhampiran di kiri saya, beberapa orang wanita Cina usia 20an. Di kanan pula, beberapa orang lelaki berbagai bangsa.

Yang terdekat seorang lelaki Melayu, kelihatan macam ustaz. Janggut sejemput di dagu menambah perawakan ‘Pak Lebai’nya. Walaupun seminar bermula 6:00 petang, sejak awal stadium sudah bergegar dengan muzik rancak. Di atas pentas para penari tergedik-gedik menari.

Come on, guys, let’s dance!”

Ketua penari berwajah cun menjerit melalui mikrofon yang terlekat di pipinya. Suaranya penuh ceria, jelas dan lantang. Para peserta, kebanyakannya berbaju T dan jeans, mula bangkit dan menari terkinja-kinja. Beberapa orang anak muda di barisan hadapan menari seperti Micheal Jackson. Ramai peserta meniru mereka.

Saya tidak bergerak daripada tempat duduk. Terasa malu hendak bangun, apa tah lagi hendak menari. Aduhai, macam orang buang tabiat.

Come on! I’m talking to you! Come on!”

Bergema-gema melodi rancak berkumandang dengan sorak-sorai gemuruh para peserta. Sudah hampir tiga suku stadium peserta bangun menari. Saya menoleh ke belakang ke arah Kay. Dia sudah mula twist sana, twist sini. Seketika kemudian keluar melodi lain.

That’s the way, aha, aha, I like it, aha, aha!

Pak Lebai di sebelah saya terus bangkit dan menari. Sebelah tangannya mencucuk-cucuk ke atas dan sebelah lagi ke bawah. Boleh tahan dia rupanya. Mungkin dia lebai keturunan ‘Datuk Nikah Kahwin’ dalam filem Musang Berjanggut.

Berpuluh-puluh barisan di hadapan saya, tidak kira yang tua, apatah lagi yang muda, semua menari. Memang tidak kena gaya kalau tidak ikut serta. Saya buat stail sendiri, macam senaman aerobik sambil bertepuk tangan. Mula-mula perlahan, kemudian bertambah laju mengikut rentak muzik. Sambil itu saya jeling-jeling Pak Lebai di sebelah. Dia tersenyum dan saya membalas senyumannya.

Suasana di stadium jadi ceria. Memang itu tujuan seminar dimulai dengan muzik rancak. Para peserta mula beramah-mesra sesama sendiri secara tidak langsung. Sebaik saja muzik berhenti, keluarlah Tony dengan senyuman lebar. Kemunculannya di sambut dengan sorakan gemuruh.

Lelaki setinggi 6 ½ kaki itu lebih kacak daripada yang pernah saya lihat di kulit muka depan buku-bukunya. Dia memakai baju T warna putih, berseluar rona gelap paras lutut, berstokin putih dan berkasut sneakers. Penceramah superstar itu tampak awet muda.

“Woooooooooooooooooooo!!!”

Tony mendepang kedua belah tangannya seperti kepak helang. Jari-jemarinya laju berkipas macam terkena arus lektrik. Serentak dengan pitch suara yang lantang, dia menampar kuat kedua tapak tangannya.

“Yeeeeeessssssssssssssss!!!” jerit Tony. Sorakan gegak gempita lagi.

If you’re happy to be here, say ‘Aye’!!!”

Suara ceria Tony yang penuh bertenaga memenuhi setiap ruang stadium. Dengan spontan sapaannya disahut penonton secara korus.

“Ayeeeeeeeeeee!!!”

Dan ceramah pun bermula. Tony bercakap tentang Neuro Linguistic Programming atau NLP. Ceramah Tony berlanjutan terus dari 6:00 petang hingga 10:00 malam. Anehnya para peserta tetap setia di bangku masing-masing. Hanya yang Muslim silih berganti keluar masuk stadium untuk solat magrib apabila tiba waktunya.

Cara Tony memberi motivasi amat menghiburkan. Dengan mimik muka berubah-ubah mengikut situasi, dia bercerita, berjenaka, menari dan berinteraksi dengan penonton terpilih. Mesej disampaikan mudah difahami walaupun isu-isu diperkatakan agak berat.

Acara kemuncak malam pertama itu ialah berjalan kaki di atas bara api. Ya, berjalan ATAS BARA APIIIII!!! Hati saya berdebar tapi teringin hendak cuba. Matlamat acara itu untuk menakluki rasa TAKUT yang selalu menghalangi kemajuan diri seseorang.

Takut atau FEAR datang dalam pelbagai bentuk - fobia, malu tidak bertempat, rasa rendah diri dan risau yang tidak berhujung pangkal. Termasuk juga dalam suku sakat TAKUT - susah hendak buat perubahan dan peduli sangat apa orang lain kata. Pokoknya apabila perasaan seperti itu ada dalam hati, kemajuan diri seseorang boleh terbantut walau pun dia berpotensi untuk berjaya. Bagi diri anda, apakah yang paling anda takuti?

What is your greastest fear? What is stopping you?” tanya Tony. “Search your heart. Be honest with yourself.”

Apabila difikirkan dalam-dalam, saya ini takutkan macam-macam hal. Saya takut penyakit jantung berulang lagi. Saya takut kehilangan kasih suami, adakah dia akan berubah sikap kalau saya kerap tidak sihat di usia tua? Kalau dia mati dulu, bagaimana?

Kami diminta berkongsi rasa takut masing-masing dengan teman-teman bersebelahan bangku. Pak Lebai, menurut ceritanya, merasa takut dia tidak dapat membimbing anak isterinya ke syurga. Isterinya seorang saudara baru yang sebelum memeluk Islam, beragama Buddha.

Katanya dia selalu dirundung perasaan risau, takut tidak dapat mendidik isteri dan anak mereka menjadi Muslim sejati. Airmatanya menitis ketika bercerita. Perasaaan saya tersentuh dan saya nasihati dia supaya bertawakkal kepada Allah.

Apabila tiba giliran saya bercerita, Lebai itu menasihati supaya saya berserah kepada Allah. Biasanya begitulah, kita lebih mudah menasihati orang lain tapi apabila terkena batang hidung sendiri, seakan terlupa nasihat yang pernah kita berikan itu.

Kata Tony perasaan TAKUT terhadap sesuatu benda atau keadaan boleh dihilangkan apabila kita dapat mengawal mainan perasaan. Dia pernah mengubati seorang wanita yang terlalu takutkan ular. Fobia wanita itu sudah berlarutan sepanjang hayat. Tony dapat menyelesaikan masalahnya dalam tempoh satu jam! Dengan bantuan Tony, wanita itu bukan saja tidak takut pada ular lagi, malah berani memegangnya.

Menurut Tony, mulanya dia sendiri tidak pasti boleh mengubati fobia wanita itu. Tapi dia sudah fikirkan caranya dan percaya boleh menangani fobia ular itu. Yang menghalang, kata Tony, hanya perasaannya.

Dia TAKUT kalau-kalau usahanya tidak berjaya. Dalam apa jua pekerjaan yang ingin kita lakukan, mainan perasaan sendirilah yang selalu membolak-balikkan hati. Yang menjadi halangan bukan risiko tetapi mainan emosi sendiri.

Acara fire walk bermula 11:00 malam. Para peserta diminta membuka stokin dan kasut. Kata Tony, sesiapa yang TIDAK berkaki ayam, kakinya akan melecur. Maknanya semua orang kena berkaki ayam.

Now, when we go out there to walk, I don’t want you to think of the HOT BURNING COALS! Don’t think of THE TOWERING INFERNO!”

Pesanan Tony itu di sambut deraian ketawa penonton yang gelisah. Dia memberi tips tambahan seperti berikut…

When you’re walking on the bed of coals, keep your eyes up. Look up at the sky. Repeat the mantra ‘Cool Moss! Cool Moss’!”

Arahan selanjutnya cara paling selamat berjalan di atas bara api ialah dengan melangkah penuh keyakinan dan tidak boleh berhenti di tengah jalan. Juga tidak boleh berlari, kerana kalau terjatuh, kita akan cedera melecur.

Apabila sudah sampai di penghujung jalan berbara itu, tapak kaki perlu dibersihkan dari bunga-bunga api yang mungkin terselit di celah-celah jari kaki. Selepas itu, kata Tony, jeritkanlah sorakan gembira.

Just say out what you feel! Express your feelings of success the way you want.

Setelah semuanya jelas diterangkan, Tony mendahului yang lain menuju kawasan parkir kereta. Di sana, berpuluh-puluh barisan bara api sudah tersedia, merah menyala-nyala. Mengekori di belakang Tony, ribuan peserta berjalan berbaris-baris, masing-masing berteriak "Cool Moss! Cool Moss!”

Acara berjalan di atas bara api itu bukanlah paksaan. Para peserta diberi pilihan dan seandainya tidak mahu melaluinya, pihak penganjur tidak mengenakan apa-apa denda. Ketika terserempak dengan Kay di luar stadium, hati saya sedang gundah-gulana.

"You nak jalan?” tanya Kay.
“Nak, jomlah,” jawab saya.
“You pergilah dulu.”

Jawapan Kay membuat hati saya cuak. Semangat saya yang tadinya berkobar tiba-tiba terasa hendak kantoi. Namun kaki terus melangkah. Paluan gendang kedengaran sayup-sayup dari jauh, mula-mula perlahan, kemudian semakin kuat apabila mendekati tempat yang di tuju.

Bahang bara mula terasa. Di celah ribuan manusia terselit diri saya dengan kaki seluar siap tersingsing ke paras betis. Bau peluh di keliling saya menusuk ke lubang hidung.

“Betul kau nak berjalan atas bara api ini?” hati saya bertanya diri sendiri.

Fikiran saya menerawang mencari jawapan. Kedatangan saya ke seminar UPW itu ada tujuan yang jelas, mahu mencari semula semangat diri yang tenggelam-timbul. Yang tidak lagi cekal seperti dulu. Yang selalu merudum dan layu sejak diserang sakit jantung.

Saya memohon kekuatan daripada Allah. Mohon di beriNya keyakinan diri. Saya ingin melakukannya bukan untuk sesiapa tapi diri sendiri. Sambil membulatkan tekad saya menarik nafas panjang dan beratur menunggu giliran dalam barisan yang penuh sesak.

Dengan hati berdebar, saya amati apa dilakukan mereka yang berada di hadapan. Ada yang berjalan cepat dengan menghentak kaki diiringi laungan mentera “Cool Moss! Cool Moss!” Ada yang tiba-tiba terhenti dan terpaku apabila sampai di depan bara api, kemudian terus maju melangkah.

Apabila sudah hampir tiba giliran, saya fokuskan fikiran. Ya, saya akan menghadapi cabaran ini dengan yakin dan tenang, bisik hati saya.Bermula dengan bacaan Bismillah, saya pun mula berjalan, selangkah demi selangkah. Mata saya memandang ke langit hitam yang cantik dihiasi bulan dan bintang-bintang berkelipan.

“Lumut Dingin! Lumut Dingin!”

Saya membaca mentera sambil melangkah dan terus melangkah.Tiba-tiba kaki terasa sejuk terpijak becak. Saya sudah sampai ke penghujung jalan.

“Eiii, sekejap dah sampai, mengapa tak rasa apa-apa pun?”

Antara percaya dengan tidak, saya memandang kaki. Kelihatannya masih baik dan tidak melecur sedikit pun! Senyuman manis terukir di bibir. Saat itu saya menggengam tangan dan menumbuk ke langit.

Yes, I did it! Syukur, Alhamdullillah!!!”

Kata-kata itu saya jeritkan sekuat-kuatnya dalam hati. Sesungguhnya perasaan saya terasa senang saat itu. Beban risau yang sebelum itu berat terpikul di bahu hilang entah ke mana. Sambil berjalan mencari Kay, fikiran saya melayang-layang. Hati terasa puas.

Di sana sini kedengaran suara orang bersorak-sorai. Tandanya masing-masing sudah melaksanakan perjalanan mencabar itu dengan jayanya.

“Alahai, buat kecut-kecut perut aje. Ingatkan kaki ni melecur, rupanya tak rasa apa-apa pun!”

Terkekek-kekek seorang lelaki lembut ketawa sambil bertepuk bertampar dengan temannya, juga seorang lelaki lembut.

“Akak ni dah selesai ke?” Si lelaki lembut itu bertanya saya dengan ramah mesra.

Melihat saya tersenyum, dia ucapkan tahniah. Sesi malam itu selesai kira-kira jam 1:00 pagi. Balik dari stadium, saya dan Kay singgah di McD’s bersebelahan hotel MINT (tempat kami menginap) yang penuh sesak dengan pengunjung.

Sambil makan cheese burger dan menghirup kopi panas, mulut kami sibuk bercakap. Maklumlah orang balik dari ‘medan perang’, lapar bukan main! Kami dengar cerita, ada dua peserta melecur sedikit tapak kaki mereka terkena bunga-bunga api. Yang lucunya, ada juga peserta yang tidak mahu ambil cabaran itu sebab TAKUT. Saya tersenyum sambil hati berkata…

“TAKUT? Apa ni, bara api 10 kaki pun takut ke? Come on, releks la kawan!”

Kembali daripada seminar 4 hari itu, semangat saya semakin pulih. Pada suatu hari seorang teman meminta nasihat saya meredakan perasaan gemuruhnya. Rina diminta menyampaikan ucapan dalam sebuah majlis. Entah tersampuk penyakit apa, dia dilanda perasaan takut dan semakin dekat ke tarikh majlis, risau Rina menjadi-jadi. Dia takut berhadapan CEOnya yang datang dari ibu pejabat. Semasa diminta memberikan sedikit tips, saya beritahu Rina begini…

“Mula-mula kau bayangkan CEO tu pakai singlet dengan kain pelikat. Lepas tu kau bayangkan bini dia sedang naik angin. Bini dia tunjal-tunjal dahi CEO tu dan piat-piat telinganya.”

Mahu tahu apa terjadi? Rina ketawa terbahak-bahak. Dia geli hati membayang CEOnya yang berusia lewat 50an kena buli sakan dengan isteri. Apabila dia asyik ketawa, perasaan gemuruh pun hilang entah ke mana.

Khabarnya semasa menyampaikan ucapan, Rina relaks saja. Melihat muka CEOnya bukan perasaan takut yang timbul, sebaliknya dia rasa hendak ketawa. Rina tersenyum memanjang sampai ke akhir majlis.

Betullah kata Tony, emosi hanya mainan perasaan. Kita boleh mengawalnya jika berusaha. Lain kali apabila anda dilanda perasaan gemuruh, takut atau sedih yang datang tidak berhujung pangkal, cubalah teknik ini. Mudah-mudahan berjaya. Wallahualam.

3 comments:

  1. Saya rasa "sales" buku Anthony Robbins naik minggu ini.

    ReplyDelete
  2. Puan Norlela,tindakan puan mengikut kata doktor itu adalah yang terbaik.sakit jantung bukan sakit main-main.Puan perlu buat routin check up untuk memastikan keberkesanan ubat yg puan ambil sekarang.
    Saya naik risau lihat terlalu banyak testimonial mulut-mulut tentang pelbagai produk makanan tambahan di pasaran.saya bimbang ia lebih kepada soal untung sahaja sebab produk-produk tersebut tidak ada ujian klinikal.
    Cerita pengajaran yg saya tulis dalam blog saya itu terjadi pada orang Air Keroh juga...saya pun tak faham mengapa arwah terpengaruh dengan kata-kata "orang" .Rawatan yg arwah pilih itu adalah rawatan alternatif di tepi jalan Semabok(tak ingat nama).
    Iyalah..dah takdir tapi kita yang masih hidup perlu ambil pengajaran ya tak..

    ReplyDelete
  3. benar, inilah kekuatan ilmu NLP. Ianya mengarahkan minda untuk fokus apa yag kita inginkan. The Great Story.

    From : Mohd Mustaqiim Asmuji
    (Certified NLP Practitioner NFNLP-USA)
    Calon Program Master Practitioner NLP
    019-2044036
    (facebook : Mohd Mustaqiim)

    ReplyDelete