Tuesday, July 24, 2007

Hatiku rindu...

Anak saya, Mazby Zubir Khairul Nazri Bin Zainal, baru beberapa hari balik ke UTP di Tronoh, Perak. Semester lepas dia menjalani internship program di projek pembinaan penjara baru di Bentong, Pahang. Oleh sebab itu hampir setiap hujung minggu dia berkesempatan balik ke rumah. Kini semester baru sudah bermula.

Tanpa dia, rumah kami ini kembali sunyi. Melihat bilik anak teruna saya yang kosong dan sepi, hati saya terusik dibuai kenangan di hujung-hujung minggu bersamanya. Timbul rasa kesal di hati saya kerana selalu merungutkan biliknya yang bersepah macam tongkang pecah dan hingar-bingar dengan bunyi gitar. Kini semuanya tiada lagi.

Biliknya yang tidak berpenghuni itu kini kemas teratur. Gitar tong dan gitar lektriknya tersandar kaku di satu sudut. Semuanya membuat hati saya dihimpit perasaan kesunyian dan kehilangan.

Saya melahirkan Khairul di Murphysboro, Illinois, 22 tahun yang lalu. Dia anak tunggal kami. Dan mempunyai anak tunggal adalah satu cabaran besar bagi saya, terutama sekali bila dia sudah dewasa dan mula meninggalkan rumah. Setiap kali Khairul habis bercuti hujung semester, saya akan dirundung perasaan kehilangan. Saya akan dibuai kerinduan yang bukan dibuat-buat.

Sudah bertahun-tahun saya mengalami keadaan ini. Malah sejak Khairul masuk ke sekolah berasrama penuh di tingkatan satu dahulu. Masa itu hampir tiga bulan saya bagaikan orang bingung. Asyik berendam air mata bagaikan Neng Yatimah. Jenuh suami saya, Zainal, menghiburkan hati saya yang berduka-lara. Lama-kelamaan saya jadi lali.

Kata orang alah bisa tegal biasa. Mujurlah saya tidak menjadi buta macam Kassim Selamat (maksud saya KS yang original – bukan KS, Si Matahati Puan Sifu kita itu). Walau pun saya berjiwa sentimental, Khairul tidak menurunkan langsung tabiat ini. Malah dia contrast dengan saya. Bukankah orang sentimental itu jenis yang jiwang-jiwang? Macam saya ini, jiwa saya agak sensitif.

Apabila tiba Hari Ibu misalnya, beria-ia benar saya mengharapkan kad ucapan daripada anak tunggal saya. Malah bukan kad saja, kalau boleh saya inginkan bunga ros, cokelat, panggilan telefon dan yang seumpamanya. Macam yang diterima ibu-ibu lain. Tapi anak saya, Si Khairul itu jenis mahluk Allah yang tidak ambil kisah sangat dengan sambutan Hari Ibu. Biasanya dia beri alasan begini…

“Apasal Mak kecoh-kecoh sangat. Anak dah kata, Anak ni memang sayangkan Mak. Tak payahlah tunggu Hari Ibu baru nak cakap.”

Saya tahu Khairul bercakap benar tapi hati saya tetap merasa tidak puas selagi tidak mendapat kad ucapannya. Semasa di tingkatan dua dahulu, dia telah memberi saya sekeping kad ucapan pada Hari Ibu. Punyalah kembang berbunga-bunga hati saya ini, ibarat bulan jatuh ke riba. Saya seronok sangat.

Kad itu cantik, simple dan hand made, bertulis, ‘Happy Mothers’ Day To U, Mom! I Luv U!’ Sayangnya kad itu tiada bertandatangan. Saya bertanya kepada Khairul mengapa dia tidak turunkan tandatangannya di kad ucapannya itu.

“Anak kena sainlah. Kalau tak ada tandatangan, tak lengkaplah kad Anak ni,” komplen saya beria-ia.

Anda nak tahu apa reaksi Si Khairul selanjutnya?

Dia jawab, “Mak, I want to ask you something. So far, you dah beranak berapa kali? Who else on this planet would call you MOM?”

Hah, itu dia, terkedu saya dibuatnya. Tapi bila difikirkan balik ada benarnya kata-kata Khairul itu. Kenapa saya tak menghargai kad pemberiannya itu sebaliknya menimbulkan hal titik-bengik pula?

Kadang-kadang cakap anak-anak boleh mendorong kita untuk merenung diri sendiri. Inilah padahnya kalau para ibu (sayalah tu!) suka bersikap cerewet tak tentu pasal.

4 comments:

  1. wahhh..jiwang-jiwang nampaknya!

    Kita lagi jauhhh... bilalah AirAsia hendah mulakan penerbangan ke Dubai /Sarjah /UEA... supaya setiap bulan (kalau pun tidak dapat setiap minggu) boleh berulang.. macam orang ke Ipoh tuuu.

    ReplyDelete
  2. Lela, kita serupa. Anak teruna baru masuk asrama. Emaknya pilu tak terkata...SMS dari handphone contraband yang dipinjam dari kawan sangat menghiburkan.

    ReplyDelete
  3. Tn Sabtu,

    Anak tuan nun jauh di Dubai, anak saya di Tronoh saja. Semangat tuan yang positif itu akan kita semai di jiwa. Rasanya kalau Alum ke Dubai, saya berpindah ke sana juga!

    Mun,

    Jangan dilayan perasaan duka lara itu. Jom kita pergi cari cendol...

    ReplyDelete
  4. dat's me..hehehe

    ReplyDelete