Saya mula bersekolah pada tahun 1967 di Singapura, kemudian berpindah sekolah beberapa kali. Antara darjah satu hingga tingkatan
lima, saya belajar di enam buah sekolah. Tiga di Melaka, dua di Singapura dan satu di JB.
Julai, 1978 saya masuk ke UiTM Shah Alam. Selepas 3 tahun, mendapat diploma dan mula bekerja. Pada awal 80an, graduan UiTM larisnya macam gopis (goreng pisang). Jawatan pertama saya sebagai Pembantu Eksekutif di Ibu Pejabat Felda, Jabatan Angkut.
Tatkala surat tawaran kerja itu sampai, girangnya hati saya ibarat bulan jatuh ke riba. Tapi ibu bapa saya berat hati melepaskan saya pergi. Alasannya, mereka takut saya jadi hantu apabila tinggal di ibukota.
Saya berhempas pulas memujuk kedua-duanya untuk mendapat restu. Dan... merasalah saya menjadi warga kota. Tapi ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Saya dapat menjadi city girl ngam-ngam satu bulan sahaja. Memang tidak sempat jadi hantu pun!!! Anda hendak tahu apa terjadi? Ceritanya begini…
Baru seminggu saya mulakan tugas di KL, ayah saya terbaca satu iklan jawatan kosong di Melaka. Tanpa berlengah dia menelefon, menyuruh saya pohon jawatan berkenaan. Kerana tidak kuasa pening kepala, saya turutkan cakap ayah walau pun dalam hati tidak bercadang langsung mahu berpindah tempat kerja.
Permohonan kerja di Melaka itu mendapat pertimbangan. Apabila sampai surat panggilan temuduga, ayah saya gunakan kuasa vetonya. Dia datang ke pejabat dan mengarahkan saya letak jawatan dengan notis 24 jam.
Sejak kecil saya patuh kepada ibu bapa. Bukannya saya ini baik sangat tapi tidak mahu berbalah dengan mereka. Antara rela dan terpaksa saya meletak jawatan. Pengalaman saya bekerja di KL hanya sebulan itu saja.
Di Melaka saya bertugas di pejabat pihak berkuasa tempatan. Pejabat baru saya itu terletak di sebuah pekan kecil. Setiap hari saya berulang-alik dengan bas ke pejabat yang jaraknya lebih kurang 20 km dari rumah. Perjalanan ke tempat kerja melalui beratus-ratus ekar ladang getah dan ladang kelapa sawit yang berderetan di kiri dan kanan jalan. Terlalu jauh bezanya dengan suasana yang saya lalui ketika bertugas di KL sebelum itu.
Staf di pejabat baru saya majoritinya orang tua-tua (40an) kecuali pembantu pejabat. Dia seorang saja yang muda. Begitu juga di jabatan-jabatan lain berdekatan pejabat saya. Hampir kesemuanya dipenuhi orang-orang hampir pencen! Peluang hendak dapat ‘pakwe’ yang sesuai di pekan kecil itu boleh dikatakan nol. Sesekali terdetik di hati - mungkinkah saya jadi andalusia (anak dara lanjut usia) kalau terus-menerus berada di sana…
Masuk tahun kedua bekerja di pekan kecil itu saya mula rasa bosan. Bukan boring main-main tapi sudah sampai ke tahap mati akal. Saya mencari jalan keluar dengan memberitahu ayah saya mahu menyambung pengajian. Malangnya dia tidak bersetuju dengan rancangan saya.
Sebagai helah, ayah saya kenakan satu syarat. Anda mahu tahu apa syarat itu? You won’t believe it, my dear! Ayah saya kenakan syarat supaya saya berkahwin terlebih dahulu. Kalau sudah kahwin saya boleh pergi belajar ke USA, UK atau mana-mana pun, you name it, dia kata. Alasannya, dia takut saya hanyut dan jadi liar seandainya pergi overseas dengan status masih bujang.
Saya mahu berkahwin dengan siapa??? Pakwe pun tidak ada macam mana hendak kahwin? Ayah saya buat selamba saja mendengar rungutan saya. Ketika itu saya frust gila sebab ayah saya guna kuasa vetonya. Hati saya terkilan sangat tapi apakan daya.
Pada suatu hari keluar iklan di surat khabar tentang ujian TOEFL (Test of English As A Foreign Language). Sesaja untuk suka-suka saya mendaftar dan pergi menduduki ujian itu di KL pada 19 Febuari, 1983.
Dalam dewan peperiksaan, saya duduk di belakang seorang jejaka Melayu berkulit sawo matang. Secara kebetulan, kawan jejaka itu duduk di belakang saya. Sementara menunggu ujian bermula, si dia di depan saya asyik berpaling ke belakang dan berbual dengan temannya yang di belakang saya. Akhirnya mata kami bertembung. Dia menegur saya dan kami berkenalan secara ringkas.
Dalam sekejapan saja jejaka di depan saya itu sudah beramah-tamah. Tanpa segan silu dia bertanya kalau-kalau saya ada pemadam spare sebab dia mahu pinjam. Hai, baru kenal tidak sampai 10 minit dia sudah berani meminjam harta benda saya... Saya tidak berkenan betul dengan jejaka itu tapi saya berikan juga pemadam extra yang ada dalam kotak pensel.
Selesai ujian saya ambil bas ke Puduraya dan balik ke Melaka. Tidak lama kemudian keputusan ujian TOEFL itu pun keluar. Markah saya ok. Pada suatu hari di pejabat, saya terima panggilan telefon dari Johor Bahru. Pemanggilnya saya tidak kenal. Puas si pemanggil itu memperkenalkan dirinya tapi saya memang tidak ingat.
Rupa-rupanya dia adalah jejaka yang duduk di depan saya semasa ujian TOEFL dahulu! Katanya dia terhutang budi kepada saya sebab pinjamkan pemadam ketika ujian. Saya tergelak besar, tidak sangka pula pemadam spare itu masih disimpannya.
Dia mendapat nombor saya daripada operator telefon. Sesungguhnya saya sudah terlupa langsung hal pemadam, apatah lagi wajahnya. Di pendekkan cerita, jejaka itu yang namanya Zainal Ahmad, bertanya khabar, keputusan ujian TOEFL saya dan ke mana saya hendak further study…
Saya kelentongkan dia, kononnya sudah memohon tempat di beberapa universiti seperti di Indiana, Iowa dan Colorado. Yang sebetulnya satu habuk pun tidak ada. Semua itu saya reka-reka saja. Dia beria-ia mempelawa saya belajar di universiti yang sama dengannya di SIU-C. Diberinya alamat universiti itu dan diajarkan cara-cara untuk memohon masuk ke sana. Sesaja untuk suka-suka saya menghantar permohonan ke universiti berkenaan.
Tidak lama selepas itu, keluar pula iklan biasiswa JPA untuk pengajian di seberang laut. Sekali lagi si dia tawarkan diri mengambilkan borang untuk saya. Saya pun apa lagi, bak orang mengantuk disorongkan bantal. Ditakdirkan Allah kedua-dua pemohonan saya untuk mendapatkan tempat di universiti dan penaja biasiswa, berjaya.
Bersambung...
Salam Pn.Lela,
ReplyDeletehemmm...menarik cerita2 puan, saya mengikuti beberapa cerita puan, sungguh menarik...tersenyum saya membacanya.
sayang betul puan dgn suami ya.
cerita yg ini ada sambungan ke? nak tau kisah seterusnya.
Assalamualaikum Ks,
ReplyDeleteCerita ini sambungannya di entri 'It's My Life!'
Suami yang baik wajar disayangi, begitu juga isteri yang baik. Betul tak, Ks?
Suami saya itu tahan kena sakat. Itu yang saya suka, Ks!!!
Pheww.. nasib baik Hj Zainal datang tepat pada masanya! Cok sukur Ya Rabbi.. so sweet!
ReplyDeleteNgah, Etuy cakap,"Eh Alum Ana lah! Woww!" :)
Ayza,
ReplyDeletePagi tadi masa Mak telefon KN, Etuy tumpang sekaki. Dia cakap, "Ana kawin, eh?" KN pun bunyikan kompang, "Kempung-kempung!". Etuy tergelak!!!