Monday, August 20, 2007

Moon

‘Mona’ namanya di rumah, tapi saya dan teman-teman seasrama memanggil dia ‘Moon’. Kami pertama kali bertemu ketika sama-sama menjinjing beg pakaian, bantal dan baldi ke Hostel 3B, UiTM Shah Alam pada tahun 1978. Dia berasal dari Manjoi, Ipoh tapi sejak kecil bermastautin di KL. Antara kami berlapan yang menghuni bilik 326, dia yang paling kurus, paling tinggi dan paling putih melepak.

Tabiat Moon suka membeli jajan tapi tidak suka memakannya. Dia menderetkan botol-botol dan mangkuk Tupperware penuh berisi biskut, kacang goreng, kuaci, buah kana, asam boi dan gula-gula di atas meja tulisnya macam barang pameran.

Saya yang lalu lalang di depan katil Moon kecur air liur melihat jajannya yang tidak berusik. Sesekali saya singgah di tepi katil Moon yang suka bergolek atas tilam. Bila sudah agak lama saya di situ, Moon bertanya…

“Apa ke heh kamu ni? Aku tahu, kamu nak ngendeng jajan aku, kan? Kalau nak makan, ambik je lah. Tak payah nak tanya-tanya aku lagi.”

Saya tanpa segan silu membuka botol. Bukan saya seorang, dorm mates yang lain pun tumpang sekaki. Apabila hampir hujung minggu, semua jajan Moon mula susut. Tapi Moon tidak marah, cuma tidak suka melihat botol-botolnya kosong, lalu dipenuhkan semula pada awal minggu. Itulah yang berlaku sepanjang 4 semester kami tinggal sebilik bersama Moon.

Tamat pengajian, Moon bertugas beberapa bulan di MAMPU, kemudian meneruskan pengajian di Bowling Green University sehingga peringkat sarjana. Semasa dia di USA, kami terus berhubung dengan surat. Apabila saya pula melanjutkan pelajaran ke SIU-C, hubungan kami terputus beberapa tahun.

Moon bertemu jodoh ketika bertugas di Hong Kong Bank. Dia kemudian mengikut suaminya berpindah ke Tashkent, Uzbekistan atas urusan kerja. Moon pernah bermalam di rumah saya semasa balik bercuti. Walau pun lama kami terputus hubungan sikapnya tidak berubah, tetap mesra dan peramah. Kali terakhir kami bertemu tahun 1999 dulu. Sejak itu saya tidak mendengar beritanya lagi.

Suatu malam ketika sedang mengemas almari baju, saya terjumpa sebuah kotak berisi surat dan gambar kawan-kawan lama. Entah berapa lama kotak itu sudah tersorok di celah kain-baju, saya kurang pasti.

Saya kira semuanya, ada 30 pucuk surat, masih berlipat kemas di dalam sampul masing-masing. Paling banyak surat dan kad ucapan kiriman Moon ketika dia masih belajar di Ohio. Lalu satu per satu saya buka dan baca. Kenangan lama kembali di ingatan ketika membaca cerita-cerita mencuit hati yang dicoretkan Moon untuk saya.

Saya begitu leka membaca sehingga tidak sedar jam sudah pukul 1.00 pagi. Selesai membaca surat yang terakhir, hati digamit perasaan rindu pada Moon. Saya rindukan suara dan gelak-ketawanya. Serta ungkapan “Apa ke heh kamu ni?” yang selalu dia ucapkan. Entah di mana dia agaknya. Masihkah di Tashkent atau sudah balik ke KL? Malam itu saya bertekad hendak menghubungi Makcik Anom untuk bertanya khabar anak kesayangannya, Mona.

“Kamu tak tau heh ke, Lela?” Makcik Anom terkejut saya bertanya di mana Moon.

"Apa hal, Makcik?” tanya saya kehairanan.

“Mona dah lama balik ke KL. Dia sakit sekarang ni. Dah setahun 8 bulan Mona sakit, kamu tak tau heh lagi???”

“Moon sakit? Sakit apa, Makcik?”

Berita itu benar-benar buat saya terkejut kerana menyangka Moon masih berada di luar negara.

“Sekarang ni dia dah kurus kering, Lela. Mona dah tak serupa dia lagi,” sebak suara Makcik Anom bercerita.

“Boleh saya cakap dengan dia, Makcik?” tanya saya lagi.

“Mona di rumah dia di Seri Setia. Kamu telefonlah sendiri. Nanti Makcik bagi nombor dia.”

Menurut Makcik Anom, Moon mengalami masalah hempedu. Setelah menjalani pembedahan, keadaannya menjadi lebih teruk. Kata Makcik Anom lagi, Moon sudah lama berhenti kerja. Dia sudah tidak larat. Malah untuk membuat kerja rumah pun dia tidak mampu dan dirinya diurus sepenuhnya oleh seorang pembantu Indonesia.

Moon berubat di hospital pakar tapi masih tidak sembuh. Kemudian berubat pula cara kampong. Masih tiada perubahan. Kata Makcik Anom, penyakit hempedu itu buat hidup anaknya menderita.

Kali terakhir kami bertemu, Moon masih segar bugar, malah kelihatan seperti Mak Datin. Dengan badannya yang sudah berisi dan wajah gebu, Moon tampak menawan betul. Kulitnya yang putih melepak tambah berseri apabila bertudung. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana rupa Moon setelah menderita sakit hampir 2 tahun.

“Aku tak sihat,” parau suara Moon menyambut panggilan telefon saya. “Datanglah tengok aku. Kau tak rindu aku ke?”

Saya tergamam mendengar suara Moon. Bunyinya terlalu lain, bukan macam biasa. Entah mengapa bulu roma terasa meremang tatkala suara kasarnya kedengaran di gagang telefon. Menurut Moon disamping sakit hempedu, dia mungkin terkena buatan orang. Dia mengadu seluruh tubuhnya terasa miang dan gatal. Keluarganya sudah puas berikhtiar, membawa dia berubat di merata tempat. Namun masih belum sembuh.

“Aku pernah mandi dalam kubang kerbau. Pak Kiyai yang ubatkan aku nak buangkan rasa miang ni. Tapi tak baik-baik,” cerita Moon sedih.

“Hari-hari aku tak ada selera nak makan. Kalau makan pun, sikit sangat. Tapi kau tau, aku berak berbaldi-baldi. Rasa azab betul hidup aku ni.”

Suara Moon tercungap-cungap. Saya dapat rasakan dia kepenatan kerana banyak bercakap. Berkali-kali dia meminta saya datang menjenguknya.

“Nanti bila aku dah sihat, aku nak buat umrah. Nak bawa Mak dan Ayah aku. Nak bawa Coh,” kata Moon beria-ia.

Air mata saya mengalir. Pilu hati mendengar betapa besar harapan Moon untuk sembuh daripada penyakit yang dideritainya. Saya berjanji akan menziarahinya dalam masa terdekat. Malangnya keadaan tidak mengizinkan saya untuk bercuti.

Syarikat kami pada waktu itu (2002) baru ditawarkan sebuah kontrak pagar bernilai lebih RM1 juta di Manjung Coal Power Station. Peremba, syarikat yang menawarkan projek itu, hendak datang membuat factory audit di kilang kami. Banyak persediaan yang perlu dibuat. Saya merasa serba-salah. Akhirnya saya buat keputusan untuk menyiapkan dahulu segala tugasan yang mendesak itu.

“Nanti bila semua kerja dah beres, aku akan datang tengok kau ya. Aku janji,” saya memujuk Moon tatkala dia menelefon lagi bertanya bila kami dapat bertemu.

Selang beberapa hari, saya menerima panggilan Maton. “Pergilah tengok Moon. Dia asyik tanyakan kau.”

Menurut Maton keadaan Moon agak tenat. Dia dibawa balik ke rumah ibunya di USJ. Ikut firasat Maton mungkin Moon tiada harapan untuk hidup lama.

“Datanglah cepat tengok dia. Nanti kau menyesal,” kata Maton.

Paling cepat saya boleh melawat Moon pada hari Selasa minggu berikutnya iaitu setelah selesai urusan factory audit. Sejak mengetahui keadaan Moon tenat, fikiran saya dilanda risau. Saya tidak putus-putus berdoa, memohon Allah sembuhkan penyakitnya.

Dengan izin Allah, urusan kerja saya selesai mengikut jadual. Saya bertolak ke USJ pada pagi Selasa bersama seorang staf pejabat. Kami sampai di rumah Moon jam 10.30 pagi. Rumah teres dua tingkat milik keluarga Moon yang biasanya tampak ceria dihiasi pokok-pokok bunga, kelihatan suram daripada luar. Hati saya berdebar ketika memberi salam. Makcik Anom dan Coh, kakak sulung Moon menyambut kami.

Perlahan-lahan saya melangkah masuk ke ruang tamu. Di situ terletak sebuah katil besar dan terbaring di atasnya seorang wanita yang kurus kering seakan tulang-tulangnya dibaluti kulit semata-mata. Wajah cengkung yang terbaring itu kepunyaan Moon, sahabat yang sekian lama tidak saya temui. Debaran di dada semakin laju ketika mendekatinya. Perasaan saya bercampur-baur, antara terkejut, kasihan dan takut.

“Moon, aku datang ni. Lela ni, Moon, bukalah mata kau.”

Saya memegang tangan Moon sambil mengusap-usap rambutnya yang masih lebat. Namun Moon tidak bersuara. Dia kelihatannya seperti sedang tidur nyenyak. Sesekali kedengaran dia berdengkur.

“Peluklah dia, Lela. Kejutkan dia. Dia nak sangat jumpa kamu,” kata Makcik Anom.

Menurut ibunya, sejurus sebelum saya sampai, Moon yang baru selesai makan masih boleh berbual. Dia makan sedikit saja, kemudian mengadu rasa terlalu mengantuk. Makcik Anom beria-ia menyuruh saya gerakkan Moon daripada tidur lenanya.

Saya memanggil namanya berkali-kali, namun Moon tetap lena seperti tidak sedarkan diri. Air mata saya yang sudah tidak tertahan berjujusan membasahi pipi. Mengikut firasat saya, Moon sebenarnya bukan sedang tidur lena, tetapi dia sedang nazak! Ya Allah, benarkah apa yang terdetik di hatiku ini???

Suami Moon dan ayahnya, Pakcik Halim, membaca ayat-ayat suci Al-Quran disisi Moon. Saya mengambil wudhu, kemudian ikut membaca surah Yasin bersama-sama mereka. Suasana sayu menyelubungi rumah yang suram itu. Selesai membaca Yasin, Makcik Anom mengajak kami minum di dapurnya. Sambil leka mendengar cerita Coh dan ibunya tentang Moon, fikiran saya melayang jauh…

Di sudut dapur itu lebih 20 tahun dulu, saya dan teman-teman sebilik pernah duduk bersama membuat kuih-muih untuk hari raya. Moon yang ajak kami berbuka puasa di rumahnya, kemudian membantu Coh membuat biskut Mazola dan karipap serunding. Saya, Maton, Roi dan yang lain-lain pantang dipelawa, suka sangat hendak ke rumah Moon.

Makcik Anom rajin melayan kami. Coh juga. Mereka perlakukan kami macam ahli keluarga sendiri. Bagaikan terngiang-ngiang di telinga saya, gelak-ketawa kami yang ketika itu sedang menerap adunan tepung sambil meratah biskut Mazola yang separuh hangus. Suara kami riuh rendah, berselang-seli dengan suara Makcik Anom yang becok berleter…

“Hisy! Asyik ketawa saja, bila nak siap kuih Coh kamu ni, hah??? Wei, sampai ke sahur kamu semua berjaga.”

Saya teringat Moon yang ketika itu sibuk merebus ikan kembung untuk kucingnya. Dia tidak hiraukan langsung biskut dan karipap Coh. Kami pula lebih banyak bercakap daripada membuat kerja. Mulanya Coh semacam mahu marah tapi akhirnya dia pun sama seronok sebab kami asyik memuji biskut Coh sedap! Alangkah manisnya kenangan waktu itu.

Hari itu suasana di dapur Makcik Anom diselubungi kesedihan yang teramat sangat. Saya berada di sana sehingga 2.00 petang. Melihat Moon masih tidak sedar, saya meminta diri untuk balik dan berjanji datang menjenguknya lagi dalam sehari-dua. Kalau diikutkan hati, saya ingin duduk lebih lama. Tetapi niat itu dibatalkan kerana tidak mahu menyusahkan staf pejabat yang meneman saya ke rumah Moon.

Hujan turun lebat di sepanjang perjalanan. Sambil memandu, saya asyik terkenangkan Moon. Bayangan Moon dengan perutnya sedikit membusung bermain-main di mata. Hati saya teramat kesal kerana tidak menjengok Moon lebih awal.

Sungguh saya tidak menduga bertemu Moon dalam keadaan amat menyedihkan. Semakin kuat detik di hati saya mengatakan Moon sebenarnya nazak, bukan tidur lena seperti yang dikatakan Makcik Anom. Tapi mungkin juga saya tersilap.

Kami berhenti solat jamak zohor dan asar di R&R Seremban, kemudian meneruskan perjalanan pulang. Sampai di rumah, saya masih memikirkan Moon. Sudahkah dia sedar? Atau masihkah dia seperti ketika saya tinggalkan? Fikiran rasa tidak tenteram.

Tiba-tiba telefon berdering. Dengan hati berdebar-debar dan tangan menggeletar, saya gagahi diri mencapai telefon. Maton yang berada di talian. Sewaktu dia memberi salam, hati ini bagaikan dapat meneka apa yang hendak diucapkan seterusnya…

“Lela, Moon dah tak ada,” suara Maton berselang-seli dengan tangisan terdengar sayup-sayup di gagang telefon.

“Innalillahi wainna ilahirrojiun,” airmata saya gugur lagi.

“Dia pergi dekat nak masuk waktu maghrib tadi,” cerita Maton.

Kami berdua sama-sama menangis.

“Aku janji nak datang tengok dia hari ini, tapi kat ofis banyak sangat hal. Aku sampai dah lewat,” Maton mengadu penuh kesalan.

Saya memujuk Maton. Kami berdua saling mententeramkan satu sama lain.

Selepas solat isyak, saya dan Zainal membaca Yasin dan Tahlil untuk arwah Moon. Dan entah berapa kali bacaan saya terhenti kerana menahan sebak di dada. Benarlah janji-janji Allah bahawa ajal seseorang itu tidak dipercepat atau dilewatkan walau sesaat jua pun.

Tiba masa dan ketikanya, nyawa kita pasti akan tercabut. Moon yang kami kasihi sudah pergi menyahut panggilan Illahi. Dia telah pergi untuk selama-lamanya dan tidak akan kembali lagi.

Semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh sahabatku, Maimunah Binti Abdul Halim. Semoga Allah ampuni segala dosa-dosanya. Semoga Allah terima segala amal baiknya. Semoga rohnya sejahtera di alam barzakh. InsyaAllah.

1 comment: