Thursday, February 14, 2008

Markona, Kona, Kona Baring!

Saya ada seorang kawan bernama Markona. Nama manjanya Kona Baring (corner baring)! Markona masih solo dan beliau banyak duit kerana menjalankan bisnes kecantikan dan spa di 3 buah tempat di Kuala Lumpur. Baru-baru ini ketika kami bertemu Markona kelihatan amat muram.

Menurut Markona, dia baru kehilangan RM50,000. Terbeliak mata saya mendengar cerita bagaimana wang sebanyak itu lesap dalam tempoh 4 bulan. Menurut Markona dia telah menjual 2 buah bisnes spanya untuk mengumpulkan wang RM50,000 itu yang kemudian dijadikan modal bagi menubuhkan sebuah bisnes baru.

Bisnes barunya ialah sebuah restoran makanan barat. Menurut Markona adik saudaranya, Mazli, yang pernah bertugas sebagai chef di sebuah hotel mencadangkan idea bisnes itu. Mazlilah yang mereka-bentuk konsep restoran dan menu makanan serta bertindak sebagai pengurus. Markona menyerahkan segala kerja menubuhkan restoran itu kepada Mazli. Restoran Markona terletak di sebuah kedai 2 tingkat yang disewa RM1,200 sebulan.

Tingkat atas restorannya sepatutnya diubahsuai menjadi sebuah pusat spa. Malangnya renovasi masih tidak siap kerana Mazli memberitahu wang yang ada di tangannya sudah habis. Ekoran daripada soal-selidik Markona yang bertalu-talu, Mazli berkecil hati dan mengambil keputusan menarik diri. Markona pening kepala kerana modal bisnes itu ditanggung dirinya seorang. Mazli tidak keluar sesen pun.

Sambil menyapu airmatanya Markona berkata : Sekarang pusat spa aku hanya ada satu. Cukup-cukup makan sahaja. Habis musnah segala usaha aku selama ini. Restoran itu pula tidak berapa jalan. Hendak dapat RM300 semalam pun susah. Aku sakit kepala fikirkan duit RM50,000 hangus sekelip mata. Mazli sudah cuci tangan. Bayang dia pun tidak nampak lagi.

Markona menunjukkan jari-jemarinya kepada saya sambil berkata : Tengoklah tangan aku ini. Sudah kasar dan kering. Dulu kuku-kuku aku semua berkilat. Tangan-tangan aku halus semasa duduk di spa. Aku tidak biasa buat kerja masak-memasak tetapi sudah terpaksa. Hendak tutup restoran ini terasa sayang. Modal sudah banyak habis di sini. Bak kata pepatah, sayang2 buah kepayang. Dimakan pahit, hendak buang, sayang.

Saya memujuk Markona supaya bersabar. Sesiapa pun yang berada di tempat Markona akan merasa kecewa dan kesal. Namun apakan daya. Nasi sudah menjadi bubur. Sebelum kami berpisah, saya menghadiahkan buku-buku saya, Bagaimana Bisnes Keluarga Berjaya dan 50 Kisah Usahawan Wanita Malaysia kepada Markona.


Iktibar buat peniaga :-

  1. Menurut Datuk Maznah Hamid, modal yang paling penting dalam bisnes bukanlah duit tetapi diri sendiri. Kita sendirilah yang perlu serba-tahu segala selok-belok bisnes yang mahu diceburi.
  2. Sebelum memilih jenis bisnes yang ingin diceburi, kita perlu membuat analisis ke atas diri sendiri. Adakah kita betul-betul minat? Atau kita termakan cakap-cakap manis orang? Sesuaikah bisnes itu dengan personaliti kita? Bersediakah kita untuk memberi komitmen 100% dan menghadapi segala kemungkinan (buruk dan baik)?
  1. Menceburi bisnes dengan tiada kemahiran mengendalikannya melibatkan risiko besar. Jika orang berpengalaman seperti Markona pun pening, apa tah lagi orang yang tiada pengalaman langsung dalam bisnes. Tinggi risikonya apabila kita mengharap kepada orang lain sepenuhnya untuk mengurus bisnes kita.
  1. Lebih baik melabur sebahagian modal untuk menghadiri kursus-kursus berkaitan yang dapat meningkatkan kemahiran sendiri dalam bisnes baru yang ingin diceburi.

8 comments:

  1. Salam Sejahtera Puan Norlela,

    Terima kasih di atas info ini.

    Cerita sebegini sedikit sebanyak ada persamaan dengan apa yang ditulis oleh Puan Sifu PTS dalam bukunya Memulakan Bisnes Sendiri.

    Walau apa pun cerita yang didengar, saya tetap juga ingin buat bisnes. Kenapa Ya?

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Zamri,

    Cerita seperti ini memang lumrah berlaku. Sebenarnya orang yang minat bisnes pasti ingin menceburinya meski pun tahu ada risiko yang perlu dihadapi.

    Yang penting ialah menganalisis diri sendiri : apakah kekuatan dan kelemahan kita. Setelah kita tahu di mana kekurangan kita, berusahalah untuk menambah kemahiran dan ilmu supaya kita memperbaiki di mana2 yang kita lemah. Atau pun, sekiranya ia melibatkan kemahiran teknikal, kita carilah orang yang boleh mengendalikan urusan itu dengan baik, di samping kita juga belajar daripadanya.

    Pokok pangkalnya kita jangan lepas tangan bulat-bulat. Itu yang bahaya. Apabila kita terlalu bergantung kepada orang, biasanya kita dimain angin.

    Apabila melibatkan modal, jangan mudah2 lepas tangan. Paarah oiii! Lebih baik simpan dalam ASB. Kepala tidak pening. Hujung tahun, insyaAllah, ada untungnya.

    Tuan Zamri mahu buat bisnes apa?

    ReplyDelete
  3. Puan Norlela yang dikasihi,

    Cara bercerita amat disukai oleh pembaca 'beginner'.

    Teknik ini menghasilkan buku yang dapat bertahan lama dalam pasaran.

    Teruskan bercerita!

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum Puan Sifuku yang dikashi,

    Terima kasih atas nasihat puan. InsyaAllah saya akan siapkan buku tersebut.

    Salam.

    ReplyDelete
  5. Saya juga menyukai cara yang puan tuliskan. Cuma saya bertambah gembira jika Puan dapat membantu sahabat Puan tadi untuk memperolehi keyakinan diri menjadi lebih cemerlang.

    Kata pepatah jepun, jatuh 7 kali, tetapi bangun 8 kali.

    Apa kata Puan bimbing Puan Markona itu agar lebih berjaya, dan masukkan cerita kedua markona yang telah mendapat kembali sekurang-kurangnya RM50 ribu yang ghaib itu.

    Kredit untuk Puan

    ReplyDelete
  6. En. Shamsudin,

    Saya suka dengan syor tuan itu. Itulah sebabnya saya akan mengikuti program Business Coaching di UMCCed mulai 1 Mac, 2008 selama 6 bulan. InsyaAllah saya akan menjadi Certified Business Coach apabila lulus semua ujian.

    Kemahiran itu nanti InsyaAllah akan menjadi nilai tambah kepada khidmat latihan dan kaunseling yang boleh saya tawarkan kepada usahawan EKS yang memerlukan cara dalam mencari jalan keluar kepada isu-isu yang dihadapi.

    Sebenarnya orang bisnes seperti Markona itu, jauh di sudut hatinya beliau sudah tahu apa jawapan untuk menyelesaikan isu yang beliau hadapi. Yang mengkaburkan beliau mungkin ketika ini dia masih tidak dapat melihat dengan pasti jalan keluar yang terbaik.

    Bagi saya jawapannya ialah tutup saja restoran itu. Menanggung sewa RM1,200 bulan itu satu beban yang tidak berbaloi dengan hasil yang diperolehi. Banyak isu lain yang menyebabkan bisnes restoran itu tidak jalan. Yang ketara ialah lokasinya pun tidak kena. Bagi saya, Markona sewajarnya memulakan bisnes spa yang baru. Dia sudah terbukti sangat bagus dalam bisnes itu.

    Mengikut teknik coaching, coachee (orang yang di'coach') yang perlu membuat keputusan2 penting itu, bukan coach yang memberi jawapan yang dia fikirkan betul. Tugas coach ialah untuk menggunakan soalan2 'power' yang akhirnya dapat mencungkil jawapan yang diingini daripada mulut coachee itu sendiri.

    Kekadang kita tengok orang buat sesuatu dan kita dapat jangka ia akan memberi impak yang salah. Tetapi jika kita yang beritahu dia itu salah, sukar bagi orang tersebut menerimanya. Dia lebih suka jika jawapan itu ditentukan oleh dirinya sendiri.

    Oleh kerana itu komitmen terhadap tindakan2 yang perlu diambil juga akan menjadi tanggung-jawabnya sendiri. Dia tidak perlu didesak melakukannya, cuma didorong dan diberi semangat sudah memadai.

    Saya sendiri pun mengalami proses ini ketika hendak bangun semula daripada bisnes yang pernah jatuh ketika kegawatan ekonomi dahulu. Saya seakan tahu jawapan apa langkah2 yang perlu diambil tetapi ia tidak mudah dibuat. Kekadang tindakan2 yang betul itu bukanlah perkara2 yang menyukakan hati. Ia perit dan perlukan pengorbanan. Tetapi suka atau tidak itulah jawapannya.

    Doakan saya, En. Shamsudin. Saya perlukan dorongan daripada orang-orang yang komited untuk membantu orang lain seperti tuan, Puan Sifu yang dikasihi, Tuan Sabtu yang banyak membantu saya berfikir untuk mencuba sesuatu yang baru, En. Zamri Mohamad dan ramai lagi rakan2 di PTS yang secara tidak langsung memberi kekuatan kepada saya melalui tindak-tanduk mereka. Salam.

    ReplyDelete
  7. Waalaikumussalam wbt,

    Pada mulanya saya mahu buat bisnes penternakan kambing. Tapi, bisnes ini memerlukan modal permulaan yang agak tinggi. Kemudian sekarang beralih kepada penternakan lintah pulak. Projek sudah dimulakan awal Januari tahun ini. Kami(saya dan biras), telah menandatangani kontrak dengan dua buah syarikat pembeli dan pembekal lintah di utara. Sedikit sebanyak maklumat dan pengalaman yang didapati, telah saya kemaskinikan di blog usahatani(//zamri-usahatani.blogspot.com).

    Sekian.

    ReplyDelete
  8. En. Zamri,

    Saya akan kerap ke blog tuan, InsyaAllah. Hebat juga bisnes yang tuan ceburi. Saya pernah lihat program tentang penternakan lintah di Majalah 3. Saya doakan tuan berjaya dalam bisnes ini. Salam.

    ReplyDelete