Sunday, February 10, 2008

Mohan Si Tukang Gunting

Sudah 22 tahun Zainal bergunting dengan Mohan. Kedainya yang dahulu terletak di Ayer Keroh Heights kini sudah bertambah 2 buah lagi iaitu di Batu Berendam dan Melaka Sentral. Kedai di Ayer Keroh itu kini dikendalikan oleh 2 orang anak lelaki beliau. Kedai di Batu Berendam pula dikendalikan oleh orang kanan Mohan, seorang pekerja dari India yang sudah lama berkhidmat dengannya. Mohan sendiri menguruskan kedai terbaru di Melaka Sentral bersama seorang anak saudaranya.

Saya perhatikan sejak bertahun-tahun Zainal tidak serasi dengan tukang gunting lain. Pernah dia bertukar angin ke kedai lain untuk sekali-dua tetapi pasti akan kembali kepada Mohan. Dia sanggup pergi dan pulang tanpa bergunting kerana ramai sangat pelanggan yang menunggu giliran. Kemudian kira-kira jam 9:00 atau 10:00 malam, Mohan akan membuat panggilan : Abang, sekarang datang, boleh? Saya tunggu, Abang datang, wokey?

Saya pernah bertanya Zainal tentang keistimewaan Mohan. Suatu hari dia mengajak saya menemaninya bergunting. Sebaik saja ternampak Zainal melalui cermin kedainya, Mohan yang bermuka manis itu membuka pintu kaca dan mempersilakan kami masuk. Dia mengelap sebuah kerusi dan menjemput Zainal duduk. Kemudian dia pergi ke rak dan menghulurkan beberapa majalah kepada saya. Muka manisnya berseri tersenyum.

Waktu itu lagu popular Kabie Kushie Kabie Gham sedang mendayu-dayu dari corong radio. Selesa pula rasanya duduk di kedai berhawa dingin itu sambil membaca majalah hiburan dan beberapa akhbar harian. Saya tersenyum apabila terpandang kaki sendiri yang bergoyang-goyang mengikut alunan muzik rentak Hindustan!

Sedang Mohan menggunting rambut Zainal, anak saudaranya melayani seorang anak muda. Lelaki seakan Mat Rempit itu menunjukkan fesyen rambut dalam majalah dan memilih stail rambut tercacak. Beberapa ketika kemudian saya lihat pemuda itu memberi komen dan anak saudara Mohan mengangguk-angguk sambil mengubah-suai rambut pelanggannya itu seperti dikehendakinya.

Siap bergunting, Mohan menyikat rambut Zainal. Dikerolnya berkali-kali dan kemudian dia mengeluarkan cermin. Zainal tersenyum lebar. Selesai semuanya, Mohan mengemaskan misai dan janggut Zainal. Kemudian dia membongkokkan badan Zainal dan menepuk-nepuk dengan agak kuat beberapa kali : Papap, papap! Papap, papap! Saya terleka melihat Zainal rileks sahaja dikarate-manja oleh lelaki India itu!

Akhir sekali Mohan memulas-mulas kepala Zainal, ke kiri dan ke kanan. Kedengaran bunyi berletap-letap. Senyuman Zainal bertambah lebar tanda puas hati. Sambil dia bangun dan mengeliat lega, tangannya menyeluk poket dan dompet dikeluarkan. Sebelum kami melangkah keluar kedainya, Mohan sekali lagi membukakan pintu dan mengucapkan terima kasih. Senyuman manisnya tidak lekang di bibir sambil dia berpesan supaya Zainal datang lagi ke kedainya.

Iktibar buat peniaga :-

1. Senyuman adalah senjata sulit yang sangat memikat hati pelanggan. Peniaga yang tidak suka senyum (urat senyumnya terputus) perlu belajar mengukir senyum selalu (menyambung semula urat senyumnya).

2. Layanan istimewa meski pun hanya hal-hal kecil yang biasanya dianggap remeh-temeh sangat bermakna buat pelanggan. Layanan special itulah yang menggamit pelanggan untuk terus datang berulang-ulang kali.

3. Mengekalkan pelanggan lama adalah jauh lebih mudah berbanding usaha memikat hati pelanggan baru. Caranya ialah dengan terus memberi layanan bagus dan memuaskan setiap kali berurusan dengan pelanggan lama.

2 comments:

  1. Assalammualaikum
    Kak Lela, Jejaka-jejaka rumah saya pun menggunakan khidmat anak-anak Mohan di Ayer Keroh Heights. JJ, anak lelaki saya yang berumur 10 tahun itu tidak mahu pergi ke tempat lain. Memang ceria kedainya. Saya suka mendengar cara mereka berbual sesama sendiri, menggunakan bahasa Tamil diselangselikan dengan Bahasa Melayu yang fasih.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Puan Norlela,

    Tuliskan buku yang memuatkan kisah-kisah seperti ini dan timbulkan dorongan bagi menjadikan umat Islam dapat menguasai konsep Menambat Hati Pelanggan.

    Dapatkan cerita ataupun ciptakan cerita yang dapat mendorong secara separuh sedar orang Islam menguasai ekonomi.

    ReplyDelete